asas pembangunan pelancongan malaysia a

Upload: irahairah

Post on 18-Oct-2015

43 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

esaiment

TRANSCRIPT

BAB 2:

1

ASAS PEMBANGUNAN PELANCONGAN MALAYSIA

Pengenalan

Akan menggalurkan latar belakang pengasasan serta menganalisis perkembangan dan keadaan (state) pelancongan Malaysia dalam period sebelum merdeka. Ini penting kerana dari zaman itulah terbentuknya tapak asas infrastruktur serta superstruktur dan juga isu-isu pembinaan bangsa yang berkait dengannya. Daripada segi infrastruktur dan superstruktur dapat dilihat pada komponen-komponennya. Sebahagian daripada pelabuhan, perkapalan, jalan kereta api, rumah tumpangan, restoran, daya tarikan dan kemudahan-kemudahan lain bagi tujuan perjalanan pada zaman kontemporari ini adalah terbangun sejak dari abad ke-19 lagi, malah ada yang lebih awal dari itu. Daripada pembinaan bangsa, isu-isu polarisasi dan pemisahan struktural secara spatial dan sosio-ekonomi-politiko juga terasas sejak zaman tersebut. Sebagaimana akan dijelaskan, perkembangan yang berlaku pada masa lalu itu bukan sekadar berkekalan malahan masih terus menjadi indepensible variable yang mempengaruhi ciri-ciri pembangunan pelancongan yang menimbulkan permasalahan pembinaan bangsa Malaysia sehingga kini.

Walaupun secara konseptualnya pelancongan adalah bersifat komposit dari bancuhan pelbagai komponen, namun definisi pelancongan yang diajukan oleh Pearce (1989: 15) agak relevan digunakan sebagai rangka analitikal iaitu [Tourism] development might be narrowly defined as the provision or enhancement of facilities and services to meet the needs of tourists.

***

Sebagaimana di tempat-tempat lain di rantau ini, oleh kerana berada di persimpangan jalan antara Timur dan Barat manusia dari pelbagai benua sama ada melalui jalan laut mahupun darat, kewujudan komponen ini boleh sahaja dikesan sejak zaman purbakala dengan menspekulasi pelbagai sumber seperti batu bersurat, catatan bertulis dan reliks pada artifaks atau monumen sejak beberapa abad sebelum alaf pertama Masihi. Sehubungan itu, dengan menggali sumber-sumber ini setiap tempat di rantau ini dapat mendakwa mempunyai sejarah tersendiri tentang hal ini. Sungguhpun begitu, kajian ini hanya memberi fokus terhadap perkembangan di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura dalam memperkatakan pembangunan komponen pelancongan pada peringkat awal di Malaysia ini akan dipertalian dengan kedudukan Negeri-Negeri Selat itu sebagai tapak asas kepada penyerapan kuasa penjajah ini kerana dua sebab.

Pertama, terdapat sumber-sumber tentang tempat-tempat ini agak jelas. Keterangan berikut dapat dianggap sah sehingga terdapat sumber-sumber di tempat-tempat lain yang lebih meyakinkan. Kedua, perkembangan yang berlaku di Negeri-Negeri Selat itu menjadi asas kepada pembangunan pelancongan Malaysia pada hari ini.

Perjalanan pada zaman pra-industriDengan kedudukannya di persimpangan lalu lintas utama antara Timur dan Barat, Malaysia benar-benar berada di medan pertembungan pelbagai bangsa yang luar biasa sejak zaman berzaman. Daripada bahan-bahan artifak dan etno-linguistik serta sumber-sumber tulisan pelawat purbakala, dapat dicungkil keterangan tentang kehadiran dan pemestautinan orang luar di kawasan ini dapat dikesan sejak sebelum abad Masihi lagi. Misalnya, penemuan sampan purba di Pulau Tioman dan gambar kapal layar pada tembikar.Dari sumber tulisan India purba terdapat penyebutan Suwarnabumi, Suwarnihadvipa dan Suwarnabumi bermaksud Semenanjung Emas yang dihujahkan oleh sesetengah pengkaji secara geografisnya ia terletak di Semenanjung Malaysia. Dari sumber Arab terdapat keterangan tentang Ptolemy seorang ahli geografi Rom semasa pemerintahan Adrianus dan Antonius abad ke-2 Masihi yang dikenali oleh mereka sebagai Batlimus yang menyebut The Golden Chersones (Semenanjung Emas) di dalam bukunya berjudul Geography dikatakan juga merujuk kepada kawasan ini (Hikmat Nagib 1985: 119). Dari sumber Cina terdapat keterangan tentang perjalanan penyebar agama Buddha dari Cina bernama Fa-Shien yang singgah di Jawa pada abad kelima Masihi dan I-Tsing yang singgah di Palembang dan Kedah Tua pada abad ketujuh Masihi. Kedua-dunya dalam perjalanan ke India. Pada abad ke-8 terdapat catatan orang Arab dan India (Wheatly 1965 dan Wolters 1965). Daripada Barat terdapat keterangan tentang perjalanan Marco Polo pada abad ke-13 dan Ibn Bhtutah pada abad ke-14 yang singgah di beberapa tempat di kawasan ini (Ibid.).

Dalam sumber Arab terdapat keterangan tentang nama tempat seperti Primola, Tioman. Sumber-sumber ini boleh saja dijadikan petunjuk untuk menjelaskan kedatangan, penerimaan dan kegiatan layan tamu terhadap orang luar bukanlah fenomena baharu bagi masyarakat di rantau ini. Ia dilakukan untuk pelbagai tujuan, meliputi perdagangan, diplomatik, utusan, pengembaraan, pilrimage, dan pendakwahan. Selain kepentingan kedudukan dalam konteks pelayaran kapal layar mengikut musim angin, tempat-tempat di kawasan Selat Melaka mempunyai pelbagai sumber dan perkhidmatan yang diperlukan bagi orang dalam perjalanan, terutamanya makanan, minuman dan tempat tinggal. Dengan kedudukan itu, di samping berita-berita yang disebarkan oleh para pelawat yang pernah melewatinya, pastilah kebanyakan masyarakat dunia telah mengetahui tempat-tempat di Selat Melaka, termasuk Malaysia, sejak beratus-ratus tahun sebelum kedatangan kuasa kolonial Barat. Perkembangan itu telah berlaku jauh lebih awal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15.

Pernyataan begini sudah sering diungkapkan oleh hampir setiap pengkaji dalam memperkatakan sejarah peradaban rantau ini. Tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa selain menjadi penghubung, Semenanjung Malaysia juga merupakan permatang yang menghalang perhubungan tersebut, khususunya bagi pelayaran kapal layar mengikut musim angin. Ciri-ciri kedudukan ini menyebabkan konsep pertembungan itu bukan sekadar membawa persinggahan sementara tetapi juga menjadi destinasi terakhir dan pemestautinan kekal bagi manusia sejagat ke rantau ini.

Jelasnya, perjalanan dan perhubungan masyarakat luar merupakan petanda kepada kebangunan peradaban.Melihat secara domestik pula, terdapat pelbagai sumber yang menunjukkan kegiatan perjalanan telah menjadi salah satu amalan biasa di kalangan komuniti peribumi tempatan sejak dahulu kala. Ini dapat dilihat daripada kewujudan kapal layar dan perahu, pelabuhan, penggunaan mata wang, jawatan khusus tentang hal-ehwal laut; konsep jarak; etimologi kegiatan perjalanan; dan pengangkutan darat. Antara yang dapat dikesan dalam Sejarah Melayu dan catatan oleh Abdullah Munshi ialah: 1) Kapal layar dan perahu: Pilu (sejenis perahu China), telumba, tongkang, ganting, ketulus, lancaran (perahu besar dan laju), selur, dendang, jong, tidar, data, banting, pembujangan, kayuh-kayuhan, penanggahan, lelanang, pemangkah, telemba, jokong, pilang, sum (sejenis kapal Siam), balok (perahu muatan, ghali, fusta, ghalias, dendang bersayap, jurung, larca, payang, beda; 2) Pelabuhan dan kemudahan perjalanan: Nama-nama pelabuhan atau pengkalan seperti Kuala Kedah, Kelang, Linggi, Melaka, Muar, Kuala Terengganu, Kelantan, Kuala Pahang; ungkapan labuhan dagang bermaksud pelabuhan; 3) Penggunaan mata wang: Derham (mata wang perak), wang mas; 4) Jawatan: Syahbandar, kiwi bermaksud pedagang, berselat bermaksud menguasai kawasan selatan, kastam; 5) Konsep jarak dan nama tempat: gorah bumi (bahasa Parsi) bermaksud dua atau tiga batu, saujana mata memandang, had (bahasa Arab) bermaksud takat, laut selbu bermaksud laut lepas seperti Samudera, atas angin merujuk kepada India, Parsi, Arab dan Eropah, bawah angin dan Nusantara merujuk kepada kepulauan Melayu, rantau merujuk kepada pantai sejauh sungai atau pesisir, teluk rantau bermaksud daerah sekeliling, benua merujuk kepada orang Asli yang tinggal di pedalaman; musim Jawa bermaksud masa angin bertiup dari barat-laut (bulan Jun-September); 6) Etimologi kegiatan perjalanan: bermuatan bermaksud mengisi barang-barang ke dalam perahu, ada ungkapan alu-alukan bermaksud silakan datang, berdagang bermaksud merantau, anak dagang bermaksud orang dalam perantauan atau pengembara, telangkai bermaksud sama dengan anak dagang, dinyahkan bermaksud dihalau keluar dari kampung pemestautinan, menyingkir dan menolak lebih kurang sama dengan dinyahkan, orang pergi-pergian bermaksud pengembara atau anak dagang, melara bermaksud merayau, datanglah (misalnya, datanglah ke Singapura bermaksud tibalah di Singapura), tersandar bermaksud terdampar, terhantar bermaksud telantar, mendarat bermaksud berjalan ke ara darat, pengutan bermaksud perahu-perahu yang terkumpul di pelabuhan, sarat bermaksud penuh muatan perahu. 7) Pengangkutan darat: tandu bermaksud usungan, adanya ungkapan kenaikan yang merujuk kepada kenderaan, kereta lembu, usungan merujuk kepada tandu (alat kenaikan yang dibawa dengan dipikul beramai-ramai), lebuh bermaksud jalan raya. Di samping itu, di kalangan komuniti beragama Islam terdapat aktiviti naik haji ke Makkah sejak berlakunya proses Islamisasi. Kegiatan keagamaan ini berterusan sehingga kini.

Demikianlah antara senario umum tentang aktiviti dan kemudahan perjalanan dalam geo-politiko-budaya komuniti lokal pra-industri. Sungguh pun begitu, aktiviti dan penyediaan kemudahan perjalanan itu tidak memenuhi krikteria pelancongan moden.

ParadoksPada prinsipnya, terdapat tiga krikteria utama dalam mencirikan pelancongan moden iaitu, pertama, wujudnya perkhidmatan berbayar, kedua, wujudnya organisasi yang khusus bagi perjalanan, dan ketiga, kegiatan sesuatu perjalanan itu adalah untuk bersenggang (Medlik and Burkart; McIntosh). Sesetengah pengkaji pula menekankan wujudnya apa yang disebut sebagai pengembara sedang bersenggang (traveler at leisure) (Nash 1998: 2) sebagai krikteria utamanya. Berasaskan krikteria ini, aktiviti dan penyediaan kemudahan perjalanan yang wujud dalam masyarakat peribumi pra-industri di Malaysia itu tidak dapat dianggap sebagai memenuhi krikteria pelancongan moden. Sebagai tambahan, hampir semua pengkaji bersepakat bahawa pelancongan moden tidak wujud dalam daripada masyarakat pra-industri walaupun di negara mana sekali pun, termasuk di negara maju. Sebaliknya ia terbangun di dalam masyarakat industri (Sutton 1989: 85-86).

Tidak timbul kontroversi untuk menerima kenyataan para pengkaji yang menegaskan bahawa sifat-jadi (nature) pelancongan yang ada pada hari ini adalah suatu set fenomena atau industri yang bercambah dalam peradaban Eropah barat pasca-agraria abad ke-14 iaitu era selepas Zaman Pertengahan yang dituruti oleh Renaissance, Revolusi Industri (yang menggantikan Revolusi Pertanian) dan kegiatan merkantalis internasional, kolonialisasi dan imperialisasi. Misalnya, Lanfant (1993: 75) menyatakan [The] concept of leisure elaborated by sociology is born in the context of Western society and bears the stamp of ideals peculiar to Western culture. Pemple (1987: passim) dan Burkart dan Medlik (1981: 15) secara terang-terang menyatakan pelancongan moden adalah berasal dari Britain. Oleh itu, pengetahuan tentang sejarah peradaban Eropah barat menjadi semacam suatu prasyarat untuk memahami pembangunan pelancongan di sesebuah negara walaupun di negara bukan-Barat.

Sehubungan itu, pelancongan sedunia pada peringkat awal sering pula dikaitkan dengan the Grand Tour (abad ke-17) dan peranan Thomas Cook yang menggagaskan konsep agensi dan promosi pelancongan di Midlands, England, pada pertengahan abad ke-19 (lihat Burkart and Medlik 1981: 15). Walau bagaimanapun, bagi negara-negara di benua lain terutama negara yang pernah menjadi koloni penjajahan seperti Malaysia, India, Carribean fakta-fakta empirikal jelas menunjukkan asas pembangunan pelancongan berkembang seiringan dengan proses merkantalisme, imperialisme, kolonialisme dan internasionalisme yang dibawa oleh kuasa Barat (Sutton 1989: 85-99).

Pernyataan ini memberi implikasi besar daripada segi teori dan praktis. Kecenderungan yang memperlihatkan pengaruh luar, iaitu dari Barat, ini barangkali kajian ini mudah ditanggapi sebagai satu kajian yang terikat kepada sesuatu teori atau pendekatan yang khusus. Sememangnnya, pada satu sudut, pernyataan ini memberi gambaran bahawa pelancongan di negara-negara bekas koloni berkembang dalam kerangka pemikiran Modenis yang secara keseluruhannya adalah berpaksi kerangka extended-core. Pada sudut yang lain, ia juga memberi gambaran bahawa fenomena dan industri ini berkembang dalam kerangka pemikiran Marxis atau neo-marxis (seperti the Dependency Theory oleh Cordoso dan Frank, dan the World System oleh Wellestien) yang secara keseluruhannya melihat dalam kerangka core-peripheral iaitu pusatnya adalah di Barat dan penggirnya adalah negara-negara bukan Barat, termasuk Malaysia. Kita tidak perlu menafikan kebenaran tanggapan begini, dan berpendirian setiap teori atau pendekatan konvensional itu masih relevan, tetapi bahasan-bahasannya amat bergantung kepada situasi atau konteks dan pada zaman mana.

Secara keseluruhannya, penghuraian di atas ingin menegaskan bahawa sementara perkembangan-perkembangan di sekitar kegiatan komuniti peribumi pra-industri (atau pra-kolonial) di peringkat lokal wajar dikemukakan dan inilah lazimnya dilakukan oleh kebanyakan pengkaji dalam memperkatakan sejarah perkembangan aspek-aspek pembangunan sesuatu bangsa untuk pelbagai tujuan, termasuk untuk memenuhi tuntutan kesarjanaan atau sebagai suatu usaha menimbulkan rasa bangga terhadap peradaban bangsa tersebut namun pelancongan di negara-negara bukan-Eropah barat dan Amerika Utara tidaklah terbangun secara organik atau dari akar umbi peradaban peribumi itu sendiri. Senario ini agak ketara di Malaysia yang merupakan antara beratus buah negara bekas koloni. Sebagaimana pembangunannya secara umum, pembangunan pelancongan Malaysia adalah diasaskan oleh fenomena perjalanan yang timbul ekoran daripada anjakan ekonomi kapitalistik, teknologi moden-canggih, politik bersifat demokratik yang diperkenalkan oleh kuasa Barat. Walaupun diperkenalkan oleh Barat, dan membawa unsur-unsur Barat, tetapi ia menjadi suatu fenomena yang global kerana menjadi amalan yang universal, merentasi sempadan kebangsaan dan batas sosiobudaya etnik sejagat. Oleh itu, rangka analitikal tentang pembangunannya di Malaysia tidak dapat dibentuk berasaskan faktor-faktor dalaman atau di peringkat lokal semata-mata. Seseorang pengkaji tidak dapat bersikap pseudo-patriotistik kerana betapa banyak sekalipun usaha dicurahkan untuk menonjolkan local-genius pasti akan mendapati unsur-unsur Barat tetap terpendam di dasar pembangunan pelancongan. Pernyataan ini tidak bermaksud bahawa unsur-unsur lokal yang asliah (authentic) langsung tidak ada. Harus juga disedari bahawa secara bandingannya dengan industri-industri lain seperti pembuatan (perkilangan), petroleum, perundingan (consultancy) dan kewangan pelanconganlah industri yang paling banyak mempunyai tenaga dalaman (internal forces) yang mempertahankan berlakunya standardisasi global itu. Pernyataan ini lebih tepat diungkapkan dengan kenyataan Olsen et al (1992), Booth (1991), Boddewyn (1986) dan Green et al (1975): (Tourism) marketing mix variables appear to be resistant to standardization in the hospitality industry. Ini kerana industri ini menjadikan satu urusannya untuk mengekal dan mengketengahkan aspek-aspek budaya dan alam semula jadi lokal sebagai salah satu daya tarikan dalam usaha untuk menerbitkan keunikan kepada pelawat. Walau bagaimanapun, seperti dinyatakan, ia juga membawa pelbagai pengaruh dari luar. Oleh itu, sejauh yang mungkin, mahu tidak mahu rangka analitikal itu harus bersifat bersepadu antara aspek-aspek lokal dengan aspek-aspek global. Justru itu, kajian ini berpendirian bahawa dalam situasi awal abad ke-21 ini pendekatan globalisasi dapat menyediakan rangka analitikal yang lebih jitu.

Agak sukar untuk mencari titik tolak pengasasan atau sejak bilakah munculnya pelancongan Malaysia secara jitu. Ini kerana, pertama, sekiranya dilihat sebagai industri, pelancongan adalah suatu industri yang bersifat komposit. Komponen-komponennya terdiri daripada gabungan pelbagai industri; meliputi industri-industri pengangkutan, penginapan, perkhidmatan makan-minum, daya tarikan, agensi perjalanan, promosi, acara dan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang mempunyai latar belakang sejarah dan set-set angkubah yang tersendiri. Jelasnya, kemunculan dan perkembangan komponen-komponennya ini adalah secara tidak seragam. Kedua, sebahagian besar komponen-komponennya itu muncul pada awalnya bukan untuk tujuan pelancongan, tetapi untuk kegunaan lain. Misalnya, kapal laut, kereta api, motokar, bas dan pengangkutan udara diwujudkan untuk mengatasi masalah mengangkut barangan, pedagang atau penumpang untuk pelbagai urusan. Demikian juga rest-house, hotel, tempat makan, tidak semestinya untuk pengembara sedang bersenggang semata-mata. Ia digunakan juga oleh para pelawat dalam urusan pentadbiran, perniagaan, malah di kalangan pemestautin atau penduduk kekal. Ketidakseragaman perkembangan dan kepelbagaian fungsi komponen-komponen ini menyebabkan penghuraian tentang pembangunan pelancongan agak kompleks. Masing-masing komponen di dalamnya mempunyai sejarah tersendiri.

***

Kajian tentang asas perkembangan industri pelancongan Malaysia telah dilakukan oleh Kadir Hj. Din. Dalam kajian desertasi Ph.Dnya, beliau mengajukan pernyataan bahawa tourism in fact grew almost immediately after the beginning of colonial penetration on the initiative of the earlier pioneers most of whom were colonial expatriates based on the island of Penang (Kadir Hj. Din 1990: 87). Jelasnya, beliau melihat pembangunan pelancongan Malaysia yang ada pada hari ini bermula seiringan dengan proses pembangunan Pulau Pinang oleh Francis Light pada tahun 1786. Sungguhpun begitu, menurut beliau bibit-bibit industri perjalanan di Malaysia dapat kesan lebih awal daripada itu. Dalam tulisan yang lain, beliau mengaitkan pernyataan ini dengan menyatakan The travel industry in its rudimentary forms came with the advent of Western mercantilist trade in the fifteenth century which led to the emergence of trading ports, forts and posts in several locations in Southeast Asia, which later served as staging points for colonial penetration. Meanwhile the growth of the China trade also necessitated the establishment of half-way ports en-route to China, as on the foundation of Penang: It was also necessary to provide restaurant and refreshment ports for traders restaurant and refreshment ports were just as important as trading ports (Kadir Hj. Din 1992: 108).

Secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa menurut Kadir Hj. Din perkembangan pelancongan Malaysia adalah dirintis oleh kegiatan perdagangan merkantalis Eropah. Oleh kerana beliau menyebut abad ke-15, maka kemungkinan besar perintisan tersebut merujuk kepada kegiatan golongan merkantilis Portugis yang pada mulanya bertapak di Goa, India, dan kemudiannya mengadakan perdagangan di Melaka pada zaman Kesultanannya (1400-1511) sebelum menaklukinya pada tahun 1511. Ini diikuti oleh kuasa ekonomi-politik Belanda dan British pada abad-abad berikutnya. Kuasa-kuasa Eropah ini pada mulanya hanya melakukan kegiatan perdagangan. Perdagangan itu dilakukan bukan sahaja di peringkat regional tetapi melampaui ke benua China, India dan Eropah. Kegiatan ini dilihatnya telah mengasaskan rangkaian dan itinerary perjalanan maritim, terutamanya pembinaan pelabuhan-sementara antara India dengan China. Di petempatan tersebut muncul perkhidmatan penyediaan kemudahan perjalanan seperti tempat tinggal dan makan-minum. Untuk mengukuhkan kedudukan, mereka membina kubu pertahanan. Ini kemudiannya menjadi objek daya tarikan pelancongan pada zaman moden seperti AFamosa dan kubu Belanda di Pulau Pangkor. Selanjutnya, untuk menjaga kepentingan ekonomi, mereka mengadakan langkah penguasaan politik. Pelabuhan-pelabuhan sementara tadi dijadikan pangkalan untuk menakluki dan mengambil alih kuasa pemerintahan komuniti lokal di Semenanjung dan kawasan sekitarnya.

Kerangka penghuraian ini ini dapat dilihat sebagai bermula dengan sejarah kependudukan Portugis (1511), Belanda (1643) di Melaka, dan kependudukan British di Pulau Pinang (oleh Francis Light pada 1786) dan di Singapura (oleh Stamford Raffles pada 1819). Kuasa penjajah yang paling mendalam meninggalkan pengaruh sehingga kini adalah pentadbiran British. Pada tahun 1826, setelah berjaya menguasai politik di petempatan-petempatan tersebut, British menubuhkan Negeri-Negeri Selat sebagai pangkalannya. Pertapakan itu pada mulanya hanya di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Dari situlah mereka menyerap ke Negeri-Negeri Melayu. Pada mulanya penyerapan itu dilakukan melalui kegiatan ekonomi seperti melabur dalam peladangan gambir untuk dijadikan pewarna pakaian dan kopi, serta perlombongan. Walau bagaimanapun, mulai tahun 1874, dengan Perjanjian Pangkor, mereka menyerap ke Negeri-Negeri Melayu melalui kegiatan politik. Proses kemaraan ekonomi-politik British ini berlanjutan dengan penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895 yang melibatkan empat buah negeri iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di bawah satu pentadbiran pusat. Kemudian mulai tahun 1909, dengan Perjanjian Bangkok, seluruh negeri Melayu Semenanjung berada di bawah kuasa ekonomi-politik British. Hanya pada tahun 1957 proses kolonialisasi daripada segi politik ke atas komuniti lokal itu berakhir.

Dapat disimpulkan, berdasarkan pemaparan ini, pembangunan pelancongan Malaysia berkembang seiringan dengan proses merkentilisasi atau kapitalisasi internasional, kolonialisasi dan imperialisasi. Penghuraian berasaskan kerangka kemaraan kuasa ekonomi-politik kolonial ini relevan dijadikan premis untuk memberi gambaran umum tentang sejarah perkembangan awal industri pelancongan Malaysia. Pada segi yang lain, sekiranya diperhatikan dengan teliti dari sudut lokal, proses ini tersebut adalah senegerik dengan proses modenisasi, internasionalisasi, urbanisasi, industrialisasi dan globalisasi. Kesenegerikan proses-proses ini dapat diperhatikan secara implisit di sepanjang penghuraian tulisan ini.

Salah satu sumber tempatan berjudul Riwayat Rajya-Rajya I Bhumi Nusantara I, dalam bahasa Jawa-kuno yang ditulis pada 1677 Masihi, menyatakan sejak sebelum abad ke-3 Sebelum Masihi telah datang orang-orang dari India, Syangka, Yawana, Campa, Gaudi dan Saimwang ke Nusantara. Sumber ini menyatakan orang-orang luar itu meninggalkan negara asal mereka kerana beberapa sebab iaitu: berlaku bencana alam seperti kemarau dan gempa bumi, perdagangan dan juga penindasan politik. Rantau ini menjadi destinasi kerana tanahnya subur dan terdapat rempah (lihat Atja (Drs.) dan Edi S. Ekadjati (Dr.). penyunting dan penterjemah. 1987). Para pengkaji moden juga telah banyak memperkatakan tentang kedatangan manusia purba itu (lihat misalnya XXXXXXX).

Misalnya, dengan berdasarkan catatan Marco Polo yang hadir di Sumatera pada tahun XXXX, atau Ibn Bhatutah pada tahun, ataupun catatan Majapahit berjudul Nagarathagama (1365 Masihi) yang menyebut tentang 14 buah tempatan seperti Kelantan, Terengganu, Temasik, XXX

Ada juga pengkaji yang menyatakan nama-nama itu merujuk kepada Sumatera, dan ada pula yang merujuk kepada kawasan pergunangan tanah besar Asia (Lihat Wheatly 1966, Wolters 1967).

Barangkali ada pengkaji yang akan menambah lagi senarai nama pengembara maritim purbakala itu dengan menyebut catatan Prapanca (1365), seorang penyair Majapahit, berjudul Nagaratagama tentang kawasan geo-politik kerajaan Majapahit di rantau ini pada abad ke-14.

Misalnya, pada abad ke-7 Masihi I-Tsing, mubaligh Buddha Cina yang terkenal itu, dalam catatannya yang berjudul Nan-hai Chi-kuei Nei-fa Chuan telah mberitahu masyarakat di negara China supaya datang belajar di Palembang kerana dikatakannya tempat itu mempunyai institusi pengajian Buddha dengan seribu orang pelajar dari pelbagai tempat (lihat Wang Gungwu 1958, Wheatly 1966 dan Wolters 1967).

Misalnya, dalam memperkatakan pembangunan pelancongan di Eropah, walaupun The Grand Tour pada abad ke-17 dan peranan James Cook (1850) dilihat sebagai titik tolak pelancongan moden, tetapi penghuraian perkembangan tersebut melangkaui zaman prasejarah. Antara keterangan yang sering dikemukakan adalah seperti berikut: Kewujudan beberapa komponen pelancongan dikatakan boleh dikesan dari sejak zaman prasejarah. Kegiatan manusia menggunakan kemudahan dalam perjalanan (itinerary) dan pengembaraan keluar dari lingkungan tempat kediaman sendiri dengan melakukan perdagangan tukar barang dan penyebaran agama dapat di kesan sejak beribu-ribu tahun sebelum Masihi lagi. Penggunaan mata wang asing, kenderaan beroda dan rumah tumpungan (Shulgi) telah wujud dalam peradaban Mesopotamia sejak 4000 S.M.; objek-objek buatan manusia yang mengkagumkan di Mesir telah menarik perhatian sejak 2000 S.M.; tempat-tempat daya tarikan (attractions) seperti spas; tempat berhibur (amusement) dan rumah tumpangan telah wujud dalam peradaban Yunani-Rom antaranya Sukan Olimpik, persembahan di Colosseum, Dewan Pantheon. Seiringan dengan itu, pengembaraan jarak jauh merentasi sempadan wilayah, negara, laut dan benua juga telah berlaku. Antaranya, para peneroka perdagangan antarabangsa itu adalah terdiri daripada kalangan masyarakat Timur Tengah, India dan China. Di sekitar Laut Mediterranean, masyarakat Phoenicia (sekitar Jordan) telah mengembara melalui laut dari satu tempat ke tempat lain untuk berniaga, dan bentuk tulisannya tersebar sehingga diambil oleh orang Rom menjadikan abjabnya (dikenali sebagai abjab Roman) yang kemudian menjadi tulisan lingua franca seluruh dunia pada hari ini di kalangan orang Melayu dinamakan tulisan Rumi yang diterima setelah dijajah oleh bangsa Eropah. Perjalanan Iskandar Zulkanain (abad ke-3 S.M.) dari Asia Kecil, Lembah Indus, Parsi hingga ke barat Mesir menerbitkan kebudayaan Hellenistic (iaitu gabungan kebudayaan Barat dengan Timur, khususnya unsur Parsi). Senario ini berlanjutan di dalam abad-abad Masihi seperti penyebaran Islam, pengembaraan Marco Polo (1271), Ibn Bhatutah (1325), kuasa laut Sepanyol dan Portugal (selepas Perjanjian TTTTT) dengan misi 3G (gold, glory dan gospel), rangkaian dan para perdagang barangan mewah pelbagai masyarakat dunia, kegiatan perdagangan antarabangsa golongan kapitalis dan imperialisme Barat.

Dalam Sejarah Melayu ada keterangan tentang kedatangan orang Portugis (yang dipanggil Feringgi atau Benggali Putih) pada zaman Kesultanan Melayu Melayu sebelum ia ditakluki.

Negeri Pulau Pinang tidak wujud sebelum tahun 1786. Pada asalnya ia adalah sebuah daerah dalam negeri Kedah. Ia menjadi sebuah entiti politik tersendiri ekoran peranan Francis Light.

Dalam penulisan sejarah konvensional sering disebut Negeri-Negeri Selat itu terdiri hanya tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Sebenarnya terdapat sebuah lagi petempatan yang termasuk dalam Negeri-Negeri Selat iaitu Dinding, Perak.