asaimen

Upload: zakirah-yaakob

Post on 29-Feb-2016

7 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

guru dan cabaran semasa versi kajian

TRANSCRIPT

ISI KANDUNGAN1.0 PENGENALAN1.1 Cabaran dan Isu1.2 Pernyataan Masalah1.3 Objektif Kajian1.4 Kepentingan Kajian

2.0 TINJAUAN LITERATUR3.0 METODOLOGI3.1 Pemerhatian3.2 Soal Selidik

4.0 DAPATAN KAJIAN5.0 KESIMPULAN6.0 REFLEKSIBIBLIOGRAFI

1.0PENGENALANDalam era globalisasi, para pendidik sering berhadapan dengan pelbagai cabaran, inovasi dan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan. Justeru itu, sebagai guru, pengkaji sentiasa berhadapan dengan isu, cabaran dan tekanan yang berlaku dalam dunia pendidikan. Hanya guru yang profesional dan mampu menghadapi cabaran sahaja yang dapat membantu negara mencapai aspirasi sistem pendidikan secara menyeluruh dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. 1.1Cabaran dan IsuSemakin hari, kita semakin menghampiri ambang Wawasan 2020. Keadaan ini menandakan permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat kita semua. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cabaran didefinisikan sebagai hasil mencabar iaitu mempersoalkan dan mempertikaikan sesuatu unsur yang mencabar serta menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi. Dalam konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk melihat keupayaannya dalam melaksanakan tugasan bukan sahaja dalam bilik darjah malah di sekolah secara amnya.Merujuk kepada perkara di atas, cabaran ini wujud kerana Wawasan 2020 yang telah diasaskan oleh bekas Perdana Menteri kita, iaitu Tun Dr. Mahatir bertujuan untuk membolehkan negara Malaysia menjadi salah satu negara yang moden pada tahun 2020. Antara cabaran Wawasan 2020 kepada guru adalah mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mewujudkan masyarakat yang bermoral etika, liberal dan bertolak ansur, santifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, masyarakat penyayang dan budaya menyayangi. Dengan itu, guru memainkan peranan yang penting dalam mencapai hasrat Wawasan 2020 dalam menghasilkan modal insan yang berakhlak mulia.Selain itu, guru dalam era globalisasi ini juga perlu menghadapi cabaran semasa dalam proses pendidikan antaranya berkaitan integrasi nasional, pendemokrasian pendidikan, tonggak pendidikan, globalisasi dalam pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta gejala sosial dalam kalangan pelajar merupakan antara cabaran terbesar yang perlu dilalui dan diuruskan oleh para guru bermula daripada sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Oleh itu, menjadi satu cabaran kepada para guru untuk menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sebagai suatu aktiviti yang menarik kepada murid-murid.1.2Pernyataan MasalahPernyataan masalah ini adalah berdasarkan praktikum fasa ketiga pengkaji di Sekolah Kebangsaan Methodist (ACS) Ipoh selama dua belas minggu. Sepanjang melaksanakan praktikum fasa ketiga ini, pengkaji menimba pelbagai ilmu termasuklah ilmu pedagogi untuk murid yang hadir daripada pelbagai latar belakang keluarga. Sekolah ini merupakan sekolah kategori A yang mempunyai 900 orang murid, dan semuanya adalah murid lelaki. Pengkaji telah ditugaskan untuk mengambil alih kelas tahun 5 bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia yang mempunyai 29 orang dan kelas tahun 4 yang juga mempunyai 29 orang murid. Mereka memiliki aras pengetahuan yang pelbagai, iaitu rendah, sederhana dan tinggi. Perbezaan aras pengetahuan murid ini sedikit sebanyak memberi cabaran kepada pengkaji untuk menyediakan rancangan pengajaran harian yang sesuai mengikut tahap mereka. Kadangkala, apabila pengkaji menyediakan bahan pembelajaran menggunakan aras pengetahuan yang tinggi, murid yang lemah akan ketinggalan. Manakala apabila pengkaji menggunakan aras pengetahuan yang rendah, murid yang cerdik akan hilang tumpuan dan berasa tidak minat dengan pengajaran pengkaji kemudian mula mengacau kawan-kawan yang lain. Bagaimanapun sikap murid, pengkaji tidak meletakkan kesalahan itu terhadap murid, sebaliknya pengkaji menjadikannya sebagai medan muhasabah kepada diri sendiri untuk memikirkan kaedah dan teknik yang sesuai untuk digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.Sepanjang khidmat pengkaji sebagai guru praktikum di sini, pengkaji juga menghadapi beberapa masalah untuk menjadi seorang guru yang digeruni. Antara masalah tersebut ialah masalah disiplin murid yang menyebabkan pengkaji sukar untuk mengawal kelas. Seperti yang kita tahu, asal kewibawaan seseorang guru itu bermula daripada kemahirannya mengawal kelas. Memandangkan sekolah ini adalah sekolah lelaki, maka tahap kebiadapan dan keberanian mereka adalah tinggi, terutamanya terhadap guru baru dan perempuan. Oleh itu, keadaan kelas yang tidak terkawal menyebabkan pengkaji sering berasa kecil untuk menjadi seorang guru. Namun pengkaji tidak terus berputus asa kerana janji Allah itu benar, bahawa sebaik-baik manusia ialah manusia yang belajar dan mengajarkan. Secara umumnya, pengkaji telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran pedagogi dan isu-isu cabaran di sekolah serta cara mengatasinya semasa berada di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Justeru, tidak seharusnya pengkaji berasa putus asa dan kecewa dengan tingkah laku murid yang sering dilabelkan sebagai hantu siang oleh guru-guru di sekolah ini. Pengkaji perlu berusaha dengan lebih gigih untuk membaiki pengajaran di dalam kelas terutamanya agar segala hasrat dan impian negara kita untuk melahirkan modal insan yang sempurna daripada pelbagai aspek akan tercapai dengan gandingan usaha-usaha para guru.1.3Objektif KajianObjektif utama pengkaji menjalankan kajian ini adalah untuk membaiki amalan pedagogi pengkaji yang boleh menarik minat murid untuk belajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Manakala objektif-objektif khusus yang pengkaji tetapkan untuk mencapai objektif utama pengkaji bagi menarik minat murid untuk belajar adalah seperti berikut:1. Murid dapat memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar melalui penggunaan Bahan Bantu Mengajar yang menarik.2. Mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid melalui kaedah pembelajaran yang praktikal dan mudah.

Justeru persoalan kajian ini adalah seperti berikut:1. Adakah Bahan Bantu Mengajar yang digunakan dapat menarik tumpuan murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas?2. Adakah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunakan dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

1.4Kepentingan KajianAntara kepentingan pengkaji menjalankan kajian ini adalah sebagai pendedahan kepada guru pelatih yang baru hendak melalui fasa praktikum di sekolah mengenai isu dan cabaran semasa yang bakal dilalui dalam arena pendidikan. Pentingnya seseorang itu mengambil cakna mengenai isu dan cabaran semasa adalah sebagai panduan untuk menempuh jalan yang telah ditempuhi oleh guru-guru pelatih senior yang telah melalui asam garam dunia praktikum. Hal ini demikian kerana sebagai guru praktikum, kita akan diselia oleh pensyarah dan guru pembimbing pada setiap minggu. Jika masalah murid tidak minat belajar ini tidak dapat diselesaikan, maka keadaan ini akan mempengaruhi markah penilaian pensyarah dan guru pembimbing kepada kita. Memandangkan ini adalah praktikum fasa terakhir pengkaji, pengkaji berazam untuk melakukan yang terbaik dan memperoleh keputusan yang baik sebelum melangkah ke alam perguruan yang sebenar di samping dapat memahami keperluan murid dengan membaiki amalan pedagogi pengkaji ketika mengajar di dalam kelas.Selain itu, kajian ini juga penting kepada pihak sekolah. Hal ini demikian kerana jika masalah murid tidak minat belajar ini tidak dapat diselesaikan dengan kadar segera, dibimbangi akan menimbulkan masalah lain dan memberi impak yang besar kepada pencapaian akademik sekolah seperti murid gagal dalam peperiksaan dan masalah disiplin yang semakin menjadi-jadi sehingga murid menjadi lebih berani untuk melakukan sesuatu yang di luar jangkaan seterusnya memberi kesan yang lebih buruk kepada murid tersebut pada masa akan datang. Pada masa yang sama, kajian ini penting untuk memenuhi hasrat kerajaan Malaysia untuk melahirkan murid yang seimbang dari semua aspek sama ada dari aspek akademik mahupun aspek tingkah laku yang menjadi tonggak kejayaan kepada seseorang individu. Hal ini demikian kerana anak-anak hari ini adalah pemimpin-pemimpin pada masa depan. Jadi mereka perlu dilatih dan dibentuk untuk menjadi seorang individu yang berguna kepada diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

2.0TINJAUAN LITERATURTinjauan literatur merujuk kepada hasil-hasil kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu terhadap sesuatu masalah dan isu. Memandangkan masalah dan isu yang pengkaji bawakan dalam penulisan ini ialah isu murid kurang minat untuk belajar, maka tinjauan literatur pengkaji adalah berkaitan isu dan persoalan minat murid. Kajian oleh Munirah (2010) menyatakan bahawa wujud hubungan yang positif antara teknik pengajaran menggunakan Bahan Bantu Mengajar menerusi model dengan peningkatan dari segi kefahaman dan ingatan murid. Beliau menyebut bahawa para guru perlu menyediakan satu kaedah pengajaran yang berkesan dengan menggunakan sebanyak mungkin Bahan Bantu Mengajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Keadaan ini sedikit sebanyak memberi teguran kepada pengkaji untuk mengajar dengan menggunakan Bahan Bantu Mengajar yang lebih menarik pada masa akan datang dengan penggunaan warna dan aktiviti yang sesuai. Hal ini demikian kerana merujuk kepada kajian Hajijah (2010) mendapati bahawa dengan kaedah mesra warna dalam pengajaran dan pembelajaran serta ditambah dengan aktiviti bermain dapat menarik minat murid untuk terus belajar.Christoper Anak Barat dan Supli Affendi Rahim (2010), juga ada menyatakan bahawa manusia belajar 10% melalui penglihatan, memahami dan mengingati sebanyak 20% daripada deria pendengaran dan lebih 80% melalui deria pendengaran dan penglihatan. Maka sebaik-baik pengajaran adalah pengajaran yang menggabungkan kedua-dua deria, iaitu deria pendengaran dan penglihatan. Beard dan Senioa (1980) dalam kajian Nur Hanis Mohd Hatta (2012), melaporkan bahawa kajian ahli psikologi menunjukkan bahawa kaedah mengajar yang berkemungkinan besar dapat menggerakkan murid untuk belajar atau mengekalkan motivasi yang baik ialah kaedah yang melibatkan mereka dengan aktif. Justeru, salah satu cara untuk membentuk pengajaran aktif adalah dengan cara melibatkan murid untuk penyelesaian masalah. Pada asasnya, ia adalah sejenis pembelajaran yang berasaskan konsep tetapi cenderung kepada pembelajaran yang lebih rumit dengan maklumat yang kurang. Antara masalah yang boleh digunakan adalah seperti teka-teki bergambar (Rosie Turner Bisset, 2010). Dengan mengambil kira daripada hasil-hasil kajian yang lepas ini, maka pengkaji telah merancangkan satu jalan penyelesaikan kepada masalah murid kurang minat untuk belajar melalui kaedah yang melibatkan penggabungjalinan dua deria iaitu deria pendengaran dan deria penglihatan atau dengan kata lain melalui aktiviti yang melibatkan murid untuk menyelesaikan masalah. Oleh itu, pengkaji telah memilih teknik pengajaran yang menggunakan permainan kuiz dan menggunakan Bahan Bantu Mengajar yang menarik untuk membantu pengkaji memberi penerangan semasa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pada masa yang sama, pengkaji juga menetapkan peraturan permainan untuk mengawal tingkah laku murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

3.0METODOLOGIMetodologi penyelidikan merupakan kaedah dan teknik mereka-bentuk, mengumpul dan menganalisis data supaya dapat menghasilkan bukti yang boleh menyokong sesuatu kajian atau dengan kata lain, metodologi merupakan satu alat yang digunakan untuk merumuskan perkara yang dikaji. Tujuan metodologi ialah untuk membantu pengkaji memahami dengan lebih terperinci tentang pengaplikasian kaedah dengan membuat huraian proses kajian. Antara metodologi yang pengkaji gunakan dalam kajian ini adalah seperti berikut:

3.1PemerhatianPengkaji menggunakan kaedah pemerhatian dalam kajian ini. Kaedah ini dijalankan bagi memerhati tingkah laku murid di dalam kelas. Oleh itu, pengkaji telah menyediakan borang pemerhatian bagi memudahkan pengkaji memantau dan mengenal pasti kategori tingkah laku murid sepanjang pengkaji bertugas di sekolah ini. Kaedah pemerhatian ini dijalankan untuk menjawab persoalan kajian yang pertama iaitu, adakah Bahan Bantu Mengajar yang digunakan dapat menarik tumpuan murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas? Justeru itu, aspek tingkah laku murid yang pengkaji perhatikan untuk menentukan sama ada kajian yang jalankan berjaya atau tidak adalah seperti berikut:Bil.PerkaraYaTidak

1.Murid dapat memberikan tumpuan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

2.Murid tidak mengganggu kawan yang lain ketika guru sedang mengajar.

3.Murid tidak berjalan-jalan di dalam kelas ketika guru sedang mengajar.

4.Murid dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan baik.

Jadual 1: Contoh Instrumen Pemerhatian3.2Soal SelidikPengkaji juga menggunakan kaedah soal selidik untuk menjalankan kajian ini. Soal selidik merupakan satu set soalan atau item dalam bentuk tulisan yang dibentuk secara khusus untuk mengumpul maklumat bagi tujuan analisis yang dapat menjawab persoalan kajian. Kaedah soal selidik ini dilaksanakan berkesinambungan daripada persoalan kajian yang kedua iaitu, adakah kaedah pembelajaran yang praktikal dan mudah dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid? Berikut merupakan contoh borang soal selidik yang pengkaji gunakan untuk menjalankan kajian ini.Arahan: Sila bulatkan jawapan anda berdasarkan skala berikut.1Sangat tidak setuju

2Tidak setuju

3Kurang setuju

4Setuju

5Sangat setuju

Bil.PerkaraSkala

12345

1Saya berasa seronok dengan pembelajaran hari ini.12345

2Gambar/ bahan yang digunakan menarik.12345

3Saya suka dengan permainan yang dilaksanakan.12345

4Saya dapat memahami arahan aktiviti yang diberikan.12345

5Saya tidak mengantuk ketika belajar.12345

Jadual 2: Contoh Instrumen Soal Selidik4.0DAPATAN KAJIANDapatan kajian secara umumnya diambil daripada hasil analisis instrumen pemerhatian dan soal selidik yang dijalankan terhadap murid-murid.

4.1Cabaran dan Cara PenyelesaianAntara cabaran dan tekanan yang pengkaji hadapi semasa berada di sekolah dari perpsektif personal adalah masalah disiplin murid sehingga menyebabkan pengkaji sukar untuk mengawal kelas ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pertama kali pengkaji masuk ke kelas, pengkaji berasa sangat terkilan dengan tingkah laku murid yang tidak berdisiplin. Murid seolah-olah sengaja mahu menguji tahap kesabaran dan kebolehan pengkaji. Suasana kelas kelihatan begitu huru-hara seperti tongkang pecah. Ditambah pula dengan murid yang keluar masuk kelas sesuka hati tanpa meminta izin, berjalan ke sana-sini. Ada murid yang tidur, ada murid yang mengganggu kawan dan tidak kurang juga yang menjerit-jerit, ketawa dan bergurau senda tanpa menghiraukan pengkaji yang mengajar di hadapan. Mengenangkan situasi ini, pengkaji sebagai guru praktikum berasa sangat tercabar dan tertekan. Ini adalah kali pertama pengkaji dihantar ke sekolah lelaki berbanding praktikum yang sebelum ini pengkaji dihantar ke sekolah yang kesemuanya adalah perempuan. Pengkaji jadi tertanya-tanya sendiri, bagaimana pengkaji hendak mengajar dalam suasana yang sedemikian? Apa yang patut pengkaji lakukan?. Akhirnya pengkaji mendapati bahawa masalah ini berpunca daripada murid yang tidak berminat untuk belajar. Ada kemungkinan pengajaran yang pengkaji sampaikan tidak menarik atau penampilan diri pengkaji kurang meyakinkan, boleh jadi juga disebabkan suara pengkaji yang kurang tegas di dalam kelas. Pelbagai kaedah dan teknik telah pengkaji aplikasikan dalam kelas tersebut, dan antara kaedah yang kelihatan berjaya ialah kaedah permainan dan penggunaan Bahan Bantu Mengajar yang menarik. Hal ini demikian kerana naluri murid sememangnya sinonim dengan bermain. Maka itu, pengkaji masukkan unsur-unsur bermain dalam sesi pengajaran dan pembelajaran pengkaji dan pendekatan ini sedikit sebanyak berjaya membantu pengkaji untuk menangani masalah murid tidak berminat untuk belajar di dalam kelas. Untuk memastikan berjaya atau tidak kajian yang pengkaji jalankan adalah diambil daripada hasil analisis method yang digunakan iaitu, kaedah pemerhatian dan soal selidik. Hasil daripada pemerhatian yang dijalankan mendapati bahawa terdapat perubahan tingkah laku murid yang positif daripada murid tidak minat untuk belajar kepada tingkah laku murid yang memberi tumpuan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran pengkaji di dalam kelas. Dapatan ini dikukuhkan lagi dengan instrument soal selidik yang dijalankan terhadap murid-murid. Bil.PerkaraSebelumSelepas

1.Murid dapat memberikan tumpuan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.40%80%

2.Murid tidak mengganggu kawan yang lain ketika guru sedang mengajar.50%80%

3.Murid tidak berjalan-jalan di dalam kelas ketika guru sedang mengajar.60%90%

4.Murid dapat menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan baik.70%90%

Jadual 3: Hasil Analisis Instrumen PemerhatianHasil daripada analisis instrumen pemerhatian yang dijalankan, pengkaji mendapati bahawa pendekatan yang pengkaji guna untuk menarik minat dan tumpuan murid terhadap pengajaran melalui penggunaan Bahan Bantu Mengajar yang menarik berjaya menampakkan perubahan minat murid terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Pemerhatian yang dilakukan oleh pengkaji ini adalah hasil penilaian pengkaji terhadap murid. Manakala hasil soal selidik yang dijalankan seperti yang terdapat dalam jadual di bawah adalah hasil penilaian murid tahun 5 seramai 29 orang terhadap suasana pengajaran dan pembelajaran yang dilalui sendiri oleh murid-murid tersebut secara personal. Hasil analisis instrumen soal selidik ini juga menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan sehingga majoriti keseluruhan murid menunjukkan minat mereka untuk belajar menerusi kaedah pembelajaran yang mudah dan praktikal melalui penggunaan teknologi dan permainan.1Sangat tidak setuju

2Tidak setuju

3Kurang setuju

4Setuju

5Sangat setuju

Bil.PerkaraSkala

12345

1Saya berasa seronok dengan pembelajaran hari ini.29

2Gambar/ bahan yang digunakan menarik.326

3Saya suka dengan permainan yang dilaksanakan.227

4Saya dapat memahami arahan aktiviti yang diberikan.29

5Saya tidak mengantuk ketika belajar.128

Jadual 4: Hasil Analisis Instrumen Soal SelidikSelain itu, pengkaji juga mengahadapi cabaran dan tekanan dari perspektif sekolah. Sebagai guru abad 21, pengajaran dan pembelajaran yang berkait dengan teknologi maklumat memang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, pengkaji akan mengalami masalah apabila mengajar dengan menggunakan penggabungjalinan teknologi maklumat. Hal ini demikian kerana sekolah ini tiada kemudahan LCD dalam setiap kelas. Jadi setiap kali ingin menggunakan LCD, pengkaji perlu berjumpa dengan guru yang diamanahkan untuk memegang LCD sekolah dan membawanya sendiri ke kelas. Sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran bermula, pengkaji akan mengambil sedikit masa untuk memasang komputer dan LCD menyebabkan emosi dan persediaan mengajar pengkaji sedikit terganggu di tambah pula dengan lokasi sekolah yang bersebelahan dengan landasan kereta api dan aktiviti pembangunan yang setiap pagi mengeluarkan bunyi yang bising dan lama. Keadaan ini seperti memberi peluang kepada murid-murid untuk berbuat bising dan tidak menghirau pengkaji di hadapan.Oleh itu, pengkaji hanya mempunyai dua pilihan apabila berhadapan dengan situasi ini, iaitu sama ada berhenti mengajar seketika dan menunggu sehingga bunyi kereta api hilang tetapi memakan masa sehingga lima minit atau meneruskan pengajaran dan pembelajaran dengan menguatkan suara untuk melawan bunyi kereta api dan aktiviti pembagunan tersebut tetapi penyelesaian ini akan memakan banyak tenaga pengkaji sehingga menyebabkan setiap kali selesai pengajaran dan pembelajaran, pengkaji akan berasa terlalu letih dan penat. Walau bagaimanapun, pengkaji berasa puas hati dengan sesi pengajaran yang disampaikan kerana kaedah pengajaran yang mudah dengan menggunakan LCD dan praktikal melalui aktiviti permainan menampakkan keberhasilan yang tinggi terhadap objektif yang ingin dicapai iaitu mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan. Hasil daripada analisis instrumen pemerhatian yang digunakan juga menunjukkan bahawa murid mula memberi tumpuan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung dan aktiviti mengacau kawan sebelah mulai berkurang.Pada masa yang sama, kehadiran pengkaji sebagai guru praktikum di sekolah ini turut menjadi kebimbangan kepada guru-guru sekolah kerana bimbang akan prestasi anak murid mereka apabila menjelang peperiksaan nanti. Oleh itu, cabaran yang pengkaji hadapi daripada perspektif sekolah juga adalah bagaimana mengajar murid untuk menguasai pelbagai kemahiran dalam satu masa iaitu kemahiran bertingkah laku murid untuk menjadi seorang beretika dan berakhlak mulia dan kemahiran belajar murid untuk menguasai akademik sebagaimana yang dihasratkan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk melahirkan murid yang serba boleh menjelang tahun 2020. Walau bagaimanapun, pengkaji tidak meletakkan cabaran ini sebagai penghalang dan pelemah semangat, malahan pengkaji memandang cabaran ini sebagai jalan untuk meningkatkan kualiti diri dalam bidang perguruan. Oleh itu, pengkaji akan memastikan murid dapat menguasai pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas secara maksimum dan murid juga didedahkan dengan contoh-contoh soalan peperiksaan dan cara menjawabnya dengan betul dari semasa ke semasa. Justeru itu, kebimbangan guru-guru terhadap pencapaian murid dalam peperiksaan yang bakal dihadapi murid menjadi semakin berkurang kerana yakin bahawa guru-guru praktikum tidak mengabaikan status pencapaian akademik murid dan sentiasa memberi laporan perkembangan murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.Dari perpsektif kebangsaan pula, pengkaji menghadapi cabaran dan tekanan dari aspek rombakan sistem yang dilakukan. Usah melihat terlalu jauh, cukup setakat rombakan sistem yang berlaku pada peringkat Institut Pendidikan Guru. Pengkaji menghadapi tekanan daripada rombakan sistem intership dan isu posting yang berlaku secara drastik dalam masa yang terlalu cepat. Bayangkan isi pembelajaran yang perlu dilalui selama enam bulan dipendekkan kepada tiga bulan dalam keadaan semua tugasan asaimen dan kajian tindakan perlu dilaksanakan seperti biasa. Malah, status pengkaji sebagai guru pelatih dilihat seperti tiada jaminan sama ada diberi posting terus atau dihantar ke sekolah sebagai guru interim. Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa ketidakpuasan pengkaji sebagai bakal guru kelak. Walau bagaimanapun, sebagai guru pelatih di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, pengkaji perlu akur dengan setiap keputusan yang disyurakan oleh pihak kementerian. Oleh itu, tiada jalan penyelesaian yang paling ampuh untuk situasi ini melainkan dengan melatih diri untuk bersabar dan terima setiap keputusan dengan hati yang terbuka. Hal ini demikian kerana apabila menyebut bidang perguruan, ia tidak dapat dipisahkan dengan sifat sabar dan patuh.

5.0KESIMPULANKesimpulan yang boleh pengkaji buat daripada keseluruhan penulisan ini adalah untuk menjadi seorang guru bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Bayangkan jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, seorang raja menaiki tahkta, seorang peguam menang bicara dan seorang ulama mulia, semuanya bermula daripada seorang guru biasa yang mengajar tulis baca. Oleh itu, tidak hairanlah jika profesion keguruan ini diangkat sebagai profesion yang mulia, malah kerajaan Malaysia sanggup memberikan peruntukan yang paling tinggi dalam pembangunan negara kepada pembangunan pendidikan kerana sedar betapa pentingnya nilai pendidikan dalam sesebuah negara. Justeru itu, guru mestilah tabah dan terus sabar dalam membantu negara membentuk anak-anak yang cemerlang kerana anak-anak hari ini, adalah pemimpin-pemimpin masa depan. Jika kita hendak melihat negara pada masa depan, maka lihatlah anak-anak pada hari ini.

6.0REFLEKSI

11