ctkamalia.weebly.com · web viewperancangan ini meliputi aspek-aspek ekonomi dalam perancangan...
Post on 05-Oct-2020
5 Views
Preview:
TRANSCRIPT
FAKULTI BAHASA MODEN DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA.
BBM 3204
SOSIOLINGUISTIK
NAMA PENSYARAH : DR. ARBAK BIN OTHMAN
TAJUK : KONSEP PERANCANGAN BAHASA
1.0 PENGENALAN
Perancangan Bahasa merupakan salah satu cabang yang tersendiri dalam Ilmu Sosiologi
Bahasa. Terdapat pelbagai teori-teori dan juga aspek-aspek dalam proses perancangan bahasa
yang dikenakan pada bahasa Melayu. Sepertimana yang kita semua ketahui, bahasa Melayu
merupakan bahasa ibunda dan bahasa rasmi serta bahasa kebangsaan negara Malaysia yang
sering digunakan dalam urusan pentadiran, perundangan dan kehakiman, pendidikan serta dalam
pelbagai sektor kehidupan yang lain. Golongan cerdik pandai dan cendekiawan ulung seperti
Awang Sariyan, Emiretus Nik Safiah Karim, Asmah Hj Omar dan ramai lagi tokoh-tokoh bahasa
yang lain telah pun menerokai dan menyelami apa yang tersurat dan tersirat dalam proses
perancangan bahasa iaitu bahasa Melayu.
1
Mengikut sejarah, bahasa Melayu dirancang secara rasmi sejak setahun sebelum
kemerdekaan, apabila Jawatankuasa Pelajaran Razak (1956) menetapkan bahasa Melayu sebagai
bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan di negara Malaysia. Pada tahun 1956 ini juga,
kerajaan telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai persiapan menjadikan bahasa
Melayu sebagai wahana komunikasi yang berkesan dalam pelaksanaan jentera pentadbiran
negara iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Selain itu, ditubuhkan juga oleh
kerajaan Institut Bahasa yang kini ditukar nama kepada Institut Bahasa Melayu Malaysia sebagai
langkah mempersiapkan tenaga pengajar bahasa Melayu untuk mendidik generasi muda di
negara Malaysia ini agar celik ilmu tentang bahasa dan mempraktikan semua bahasa khususnya
bahasa Melayu.
Oleh itu, dalam kertas kerja ini saya akan memberikan beberapa pengertian yang telah
diberikan oleh beberapa sarjana sosiolinguistik dengan beberapa perbandingan atau perbezaan
dari segi penekanan konsep-konsep tertentu walaupun maksud umum perancangan bahasa itu
hampir sama antara satu sama lain.
2.0 PERANCANGAN BAHASA
2.1 KONSEP PERANCANGAN BAHASA
Perancangan Bahasa merujuk kepada usaha dan tindakan yang dilakukan oleh sesebuah
negara untuk menentukan supaya sistem komunikasi berjalan dengan lancar dalam segala bidang
kehidupan seluruh negara terutama sekali dalam bidang pendidikan, pentadbiran, ekonomi dan
yang tidak kurang pentingnya dalam bidang penyatuan negara. Bagi negara yang mempunyai
lebih dari satu bahasa, mereka mentafsirkan perancangan bahasa ini sebagai penentuan bahasa
yang mana mereka hendak menjadikan sesuatu bahasa itu sebagai bahasa nasionalnya atau
bahasa rasminya, dan kemudian diiukti oleh pembinaan bahasa itu. Dengan demikian, dapatlah
dikatakan bahawa Perancangan Bahasa pada keseluruhannya terdiri dari dua tahap yang utama
2
iaitu penentuan dan pembinaan. Bukan semua negara di dunia ini memerlukan kedua-dua tahap
tersebut, tetapi sebahagian besar memerlukan tahap pembinaan disebabkan keadaan
sosiolinguistiknya sendiri.
Bahasa merupakan alat komunikasi, alat berfikir dan juga alat menghasilkan buah fikiran.
Dengan tugasa-tugas yang penting itu, bahasa tidak dapat dibiarkan untuk tumbuh dan menyebar
secara liar. Bahasa yang tumbuh tanpa perancangan itu dapat menghalang sistem berkomunikasi
secara lancar antara pemakai-pemakai bahasa, menyulitkan konseptualisasi dan juga
pengwujudan konsep-konsep hasil pemikiran. Konseptualisasi ini tidak boleh berlaku tanpa
penguasaan bahasa dan penguasaan bahasa yang teratur itu mestilah disertai dengan
perancangan. Selain itu juga, bahasa dan unsur-unsurnya dapat dinilai(dievaluasi), diubah,
diperbaiki, diganti dan disesuaikan dengan bahasa lain atau unsur-unsur lain. Walaupun bahasa
tidak dapat dicipta sesuka hati, tetapi unsur-unsurnya yang dianggap tidak sesuai dapat diganti
atau dicipta dari semasa ke semasa mengikut keperluan masyarakat.
Perancangan bahasa ini seolah-olah merupakan sesuatu yang baru. Sebenarnya usaha
merancang bahasa itu sudah lama ada dan dijalankan di berbagai-bagai negara. Usaha yang
proaktif dan progresif ini nyata sekali dijalankan dalam kalangan negara-negara yang berusaha
untuk membangunkan negara setelah mencapai kemerdekaan dari kuasa-kuasa besar yang
menjajahnya. Salah satu tindakan utama yang diambil oleh negara-negara yang baru mencapai
kemerdekaan adalah dengan menentukan bahasa dan kemudiannya menegakkan bahasa yang
dinamakan sebagai bahasa kebangsaan. Dalam kalangan negara-negara maju, perancangan
bahasa sudah sekian lama dimulai dan telah dibuktikan dengan wujudnya bahasa yang utama
iaitu bahasa rasmi dan bahasa akademik. Perancangan bahasa itu dilakukan dengan pembinaan
bahasa dari pelbagai segi linguistik, misalnya dari segi peristilahan, ejaan, tulisan dan
sebagainya.
3
Penulisan tentang pelbagai usaha perancangan bahasa banyak dilakukan di sana sini oleh
pemerintah dari pelbagai negara. Rentetan dari itu, mereka berminat untuk mengkaji proses-
proses yang sebenarnya berlaku dalam penggubalan Dasar Bahasa dan pembinaan dan
pelaksanaan bahasa makin bertambah. Pada tahun 1966 diadakan Conference On Language
Problems yang membincangkan masalah bahasa di negara-negara yang sedang membangun.
Kertas-kertas yang dibentangkan dalam persidangan itu dibukukan dalam Language Problems of
Developing Nations (New York, Willey and Sons, 1968) yang disusun bersama oleh Joshua A.
Fishman, Charles A. Ferguson dan Jyotirindra Das Gupta. Buku ini mendapat perhatian ramai
dan telah digunakan dalam kursus dan perbincangan yang diadakan dalam kalangan para sarjana
dengan tema “Perancangan Bahasa”.
Empat orang sarjana iaitu Joshua A. Fishman, Bjorn Jernudd, Das Gupta dan Joan Rubin
(1968-1969) sama-sama bermastautin di East-West Center di Hawaii, untuk mengkaji berbagai-
bagai aspek teoretis dari Perancangan Bahasa. Dalam pertengahan tahun 1969, mereka
menganjurkan pertemuan antara sarjana dari pelbagai negara untuk membincangkan masalah
Dasar Bahasa (Language Policy) dan pemilihan bahasa dan dengan itu menyediakan kerangka
teoretismuntuk Perancangan Bahasa. Hasil daripada pertemuan ini, Rubin dan Jernudd (1971)
telah mengedit buku yang berjudul Can Language Be Planned? Di samping itu juga, satu projek
penyelidikan dalam Perancangan
Bahasa secara besar-besaran telah dijalankan pada tahun 1969 hingga tahun 1972 dengan
nama International Research Project On Language Planning Processes. Projek ini meninjau
peluasan (elaboration) leksikal untuk pemodenan bahasa. Empat buah negara dipilih untuk
dijadikan medan projek penyelidikan ini iaitu Israel, Indonesia, Sweden dan India. Laporan hasil
projek ini disiapkan dalam bulan Oktober 1972.
Einar Haugen (1959) ialah orang yang pertama sekali menggunakan istilah “language
planning” dalam makalahnya “Planning for a Standard Language in Modern Norway” yang terbit
dalam Journal of Anthropological Linguistics. Makalah ini muncul kembali dalam kumpulan
karangan Haugen yang berjudul The Ecology of Language (Stanford University Press, Stanford,
California,1972). Mengikut Haugen, konsep Perancangan Bahasa ini timbul apabila seorang
rakyat Amerika yang berketurunan Norwegia, mengkaji perkembangan bahasa di Norwegia.
4
Haugen (1959), mencipta istilah “language planning” hasil daripada pemerhatiannya terhadap
perkembangan yang berlaku di Norwegia.
Mengikut Haugen, Perancangan Bahasa juga adalah linguistik normatif atau linguistik
preskriptif. Bagi Haugen, perancangan bahasa yang dikatakan kegiatan menyediakan ejaan,
tatabahasa, dan kamus yang normatif, kemudiannya dianggap sebagai salah satu hasil
perancangan bahasa. Oleh yang demikian, Haugen telah memberi definisi yang lebih pendek dan
padat, di mana Haugen menyatakan bahawa perancangan bahasa adalah evaluasi perubahan
linguistik. Sebenarnya, sebelum Haugen mencipta istilah language planning itu, terdapat dua
istilah yang digunakan oleh para sarjana bahasa yang berminat dalam kegiatan linguistik yang
kemudiannya dinamakan perancangan bahasa. Istilah itu adalah glossopolitics dan language
engineering. Istilah glossopolitics digunakan oleh Robert A. Hall Jr. manakala language
engineering digunakan oleh Goerge P. Springer.
Dalam perancangan bahasa Melayu terdapat tiga dimensi perancangan bahasa. Dua
dimensi diutarakan oleh Heinz Kloss dan satu dimensi lagi oleh Francis X. Karam. Dimensi yang
diutarakan oleh Kloss, melihat bahasa dari segi korpus yang ada dan dari segi taraf bahasa.
Perancangan bahasa yang menumpukan perhatian kepada korpus dinamakan Perancangan
Korpus Bahasa dan dari segi taraf bahasa dinamakan Perancangan Taraf Bahasa. Perancangan
korpus bahasa tidak lain adalah dari pembinaan bahasa kerana perancangan ini meliputi
penciptaan istilah-istilah baru, perubahan-perubahan yang dilakukan dalam sistem ejaan dan
morfologi (sistem kata) dan pengambilalihan sistem tulisan baru. Manakala bagi Perancangan
Taraf Bahasa meliputi kedudukan sesuatu bahasa dalam hubungannya dengan bahasa lain dalam
sistem pemerintahan dan perancangan taraf bahasa ini dinamakan juga sebagai Perancangan
Dasar Bahasa. Dimensi yang ketiga dinamakan oleh Karam sebagai Perancangan untuk
Perancangan Bahasa. Perancangan ini meliputi aspek-aspek ekonomi dalam perancangan bahasa
dan juga aspek-aspek pengurusan yang lain dalam perancangan.
Selain itu, mengikut Richard Noss yang mana telah banyak membuat penyelidikan
mengenai dasar bahasa di Asia Tenggara dan beliau melihat perancangan dari segi Perancangan
Taraf Bahasa. Bagi beliau, Perancangan Dasar Bahasa terdiri daripada tiga dasar iaitu dasar
bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan dan dasar bahasa am. Dasar bahasa rasmi adalah dasar
5
yang dikeluarkan oleh pemerintah yang menentukan bahasa yang seharusnya digunakan dalam
mencapai matlamat tertentu. Manakala dasar bahasa pendidikan adalah dasar yang dipegang
dalam menggunakan bahasa sebagai bahasa penghantar di sekolah. Dasar bahasa am pula adalah
dasar yang secara tidak rasmi diterima oleh kerajaan mengenai penggunaan bahasa dalam
perdagangan, perhubungan rakyat dan dalam hubungan dengan orang-orang, badan-badan atau
negara-negara luar.
Jika dilihat perancangan pada keseluruhannya, maka tidak dapat tidak proses yang
berlaku adalah seperti berikut :
Rajah di atas memperlihatkan proses yang berlaku dalam perancangan yang sebenarnya.
Tetapi lahirnya konsep perancangan itu belum tentu seperti dalam rajah di atas. Ini kerana,
biasanya yang lahir terlebih dahulu adalah Perancangan Taraf Bahasa dan dari itu timbul
Perancangan Untuk Perancangan Bahasa. Dari rajah di atas juga dapat dilihat bahawa
Perancangan Untuk Perancangan Bahasa tidak dapat dipisahkan dari Perancangan Taraf Bahasa.
Kedua-duanya melibatkan penentuan yang bersifat politik dan ekonomi yang dibuat oleh ahli-
ahli yang bukan ahli bahasa.
Perancangan bahasa juga merujuk kepada usaha-usaha yang disengajakan untuk
mempengaruhi tingkah laku orang-orang lain dari segi pemerolehan, struktur, atau peruntukan
fungsi bahasa. Biasanya, ia akan membabitkan perkembangan matlamat, objektif dan strategi
6
Perancangan Untuk Perancangan Bahasa
Perancangan Taraf Bahasa
Perancangan Korpus Bahasa
Pelaksanaan
Penilaian
untuk mengubah cara bagaimana bahasa digunakan. Pada peringkat kerajaan, perancangan
bahasa mengambil bentuk dasar bahasa. Banyak negara yang mempunyai badan kawal atur
bahasa yang ditugasi secara khusus untuk merumuskan dan melaksanakan dasar-dasar
perancangan bahasa.
Istilah perancangan bahasa sering dikaitkan dengan konteks dunia ketiga, dan dilihat
sebagai suatu alat untuk mengasaskan bahasa kebangsaan sebagai sebahagian proses pemodenan
dan pembangunan negara. Perancangan bahasa boleh dibahagikan kepada tiga sub-dimensi:
1. Perancangan korpus merujuk kepada campur tangan dalam bentuk-bentuk sebuah bahasa. Ini mungkin boleh dicapai melalui mencipta kata-kata atau ungkapan-ungkapan yang baru, mengubah suai yang lama, atau memilih antara bentuk-bentuk alternatif. Perancangan korpus bertujuan untuk mengembangkan sumber-sumber sebuah bahasa supaya ia akan menjadi satu perantara komunikasi yang sesuai untuk topik-topik moden dan bentuk-bentuk huraian yang dilengkapi dengan istilah yang diperlukan untuk kegunaan pentadbiran, pendidikan, dan sebagainya. Perancangan korpus sering dikaitkan dengan pemiawaian sesebuah bahasa, dan membabitkan penyediaan ortografi normatif, tatabahasa, dan kamus untuk panduan penulis dan penutur di dalam sebuah komuniti pertuturan. Langkah pertama dalam perancangan korpus ialah pengembangan sebuah sistem tulisan.
2.
3. Perancangan status merujuk kepada usaha-usaha untuk memperuntukkan fungsi-fungsi bahasa dan kenal huruf di dalam sebuah komuniti pertuturan. Ia membabitkan pilihan status, dan menyebabkan sesuatu bahasa atau kelainan menjadi sebuah bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan sebagainya. Seringnya, perancangan status akan melibatkan peningkatan sebuah bahasa atau loghat menjadi sebuah kelainan prestij yang mungkin menjejaskan loghat-loghat yang bersaingan. Perancangan status ialah perkara yang mesti bagi mewujudkan sebuah sistem tulisan yang baru kerana sebuah sistem tulisan hanya dapat diperkembangkan selepas suatu loghat yang sesuai telah dipilih sebagai piawai.
4. Perancangan pemerolehan adalah berkenaan dengan pengajaran dan pembelajaran
bahasa, baik bahasa kebangsaan mahupun bahasa kedua atau bahasa asing. Ia
7
melibatkan usaha-usaha untuk mempengaruhi bilangan pengguna serta pengagihan
bahasa dan kenal huruf yang dicapai melalui mencipta peluang atau insentif untuk
mempelajarinya.Usaha- usaha ini mungkin mendasari dasar dasar asimilasi atau
kemajmukan.Perancangan pemerolehan adalah berkait secara langsung dengan
penyebaran bahasa.
2.2 KONSEP PERANCANGAN BAHASA MELAYU DI MALAYSIA.
Profesor Dr. Awang Sariyan merupakan salah seorang tokoh bahasa yang terlibat secara
langsung dalam perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan
bahasa penghantar utama pendidikan dan juga dalam proses pembakuan bahasa Melayu
melaluinya penglibatannya sebagai pegawai perancang bahasa dan kemudian Pengarah Jabatan
Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga melalui Persatuan Linguistik Malaysia(PLM).
Beliau telah membicarakan tentang perancangan bahasa Melayu di Malaysia dalam makalahnya
yang berjudul “Ceritera Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia”
Mengikut beliau, perancangan bahasa merujuk kepada proses pembinaan bahasa dan
pengembangan bahasa sesuatu bahasa untuk tujuan tertentu. Pembinaan bahasa merujuk
8
kepada usaha melengkapkan bahasa daripada sudut korpus bahasanya iaitu kosa kata umum,
istilah, tatabahasa, ejaan, sebutan dan laras bahasa yang memainkan peranan sebagai wahana
komunikasi yang cekap dan berkesan dalam konteks pembangunan bangsa dan negara. Manakala
pengembangan bahasa pula berkaitan dengan usaha memasyarakatkan bahasa yang dibina
korpusnya kepada para pengguna bahasa dalam pelbagai sektor seperti sektor perkhidmatan
awam, sektor pendidikan, sektor swasta dan sektor antarabangsa.
Dalam konteks di Malaysia, perancangan bahasa melibatkan bahasa Melayu yang
dirancang untuk menjadi bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu diasaskan pada
Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaaan. Perlembagaan Persekutuan
Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan telah membentuk undang-
undangnya sebagai asas kepada perancangan bahasa Melayu. Secara rasminya, perancangan
bahasa di Malaysia telah bermula setahun sebelum kemerdekaan negara apabila Jawatankuasa
Pelajaran Razak (1956) merumuskan usul-usul ke arah pembentukan dasar dan sistem
pendidikan kebangsaan yang menjadi tonggak sebagai bahasa penghantar utama. Penubuhan
Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institusi Bahasa juga merupakan uasaha perancangan bahasa
yang dilakukan oleh kerajaan untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi bagi
pembinaan negara.
Pembinaan bahasa Melayu sebagai bahasa moden untuk mengisi keperluan pembangunan
negara telah dilakukan secara terancang dan pembinaan bahasa ini dikenali juga dengan nama
perancangan korpus bahasa yang mana telah dilakukan dalam bidang ejaan, peristilahan, kosa
kata umum, tatabahasa, sebutan dan larasa bahasa.
2.2.1 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Ejaan
Usaha pengemaskinian sistem ejaan dilakukan untuk mengatasi masalah tidak
selarasnya beberapa sistem ejaan Rumi yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu.
Sistem ejaan Rumi yang sedia ada sejak tahun 1940-an ialah sistem ejaan Zaba.
Kemudian ada pula sistem ejaan Universiti Malaya, sistem ejaan Universiti Kebangsaan
Malaysia dan versi lain yang digunakan oleh pelbagai pihak lain. Sesuai pula dengan
9
semangat penyatuan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia untuk memenuhi kerjasama
dan persefahaman serantau.
Sistem ejaan Rumi baharu yang dirasmikan ialah ialah sistem ejaan yang
diselaraskan bersama antara Kerajaan Malaysia (melalui Jawatankuasa Tetap Bahasa
Melayu) dengan Pemerintah Indonesia (yang diwakili oleh Panitia Kerjasama
Kebahasaan), melalui badan rasmi kerjasama kebahasaan antara negara, iaitu Majlis
Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) yang ditubuhkan pada tahun 1972. Pengisytiharan
Sistem Ejaan Rumi Baru (di Indonesia disebut sebagai Sistem Ejaan Yang
Disempurnakan) berlangsung secara serentak di Kuala Lumpur dan di Jakarta pada 16
Ogos 1972. Majlis pengisytiharan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia,
Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak bin Hussein di Kuala Lumpur.
Selain dirasmikan di Malaysia dan di Indonesia, sistem ejaan Rumi telah diterima
sebagai sistem ejaan yang rasmi di Brunei Darussalam dan di Singapura, dan diterima
sebagaiejaan baku di Thailand Selatan dan di Kemboja serta kira-kira 30 buah negara
sedunia yang mempunyai pusat pengajian Melayu/Indonesia yang mana sejak tahun 2000
menjadi anggota Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), dengan Dewan Bahasa
dan Pustaka Malaysia sebagai Urus Setianya. Hal ini bertujuan untuk membentuk
persefahaman dan kerjasama serantau dan antarabangsa, sebagai pedoman kepada
masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan sejumlah buku dan risalah.
Antaranya Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (1975), Daftar Ejaan Rumi Bahasa
Malaysia(1981), dan Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi-Sebutan-Jawi (2001).
Selain usaha menyempurnakan sistem ejaan Rumi yang menjadi ejaan rasmi,
sistem ejaan Jawi juga turut diusahakan untuk menyempurnakan sistem ejaan tersebut
dan meluaskan penggunaannya dalam bidang-bidang tertentu, khususnya dalam bidang
pendidikan dan di tempat awam. Pada tahun 1984, Dewan Bahasa dan Pustaka
menganjurkan Konvensyen Tulisan Jawi dan bertitik tolak daripada konvensyen itu telah
diusahakan pengemaskinian sistem ejaan Jawi hingga dapat diterbitkan Pedoman Ejaan
Jawi yang Disempurnakan (1986) dan daftar kata lengkapnya dalam Daftar Kata: Rumi-
Sebutan-Jawi (2001). Untuk kegunaan yang lebih berkesan dan praktis, Dewan Bahasa
10
dan Pustaka dengan usaha sama pihak swasta telah menerbitkan perisian komputer
Dewan Eja yang merupakan penyemak ejaan Rumi bahasa Melayu.
2.2.2 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Peristilahan
Usaha menggubal istilah dalam bahasa Melayu untuk mengisi peranannya sebagai
bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di negara ini telah bermula pada tahun
1957, dengan dua bidang terawalnya iaitu Istilah Kerajaan dan Istilah Ilmu Sains dan
Teknik. Sehingga kini, istilah yang terhasil dalam bahasa Melayu hampir mencecah
jumlah 1 juta dan meliputi ratusan bidang ilmu dan professional ( bidang istilah yang
sedang diusahakan di peringkat Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia
berjumlah 250 bidang). Jumlah buku istilah dalam bahasa Melayu yang telah diterbitkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja ialah 199 judul. Seluruh peringkat dalam sistem
pendidikan negara telah pun memenfaatkan penggunaan istilah yang digubal untuk
penyampaian dan pengembangan ilmu kepada pelajar semua peringkat.
Daripada hampir seluruh bidang ilmu moden yang digubal istilahnya, baik dalam
bidang ilmu sains sosial mahupun ilmu sains tabii, terdapat bidang baharu yang berkaitan
dengan kemajuan negara yang mutakhir iaitu aeroangkasa, kejuruteraan kapal terbang
dan kejuruteraan automotif. Pengerusi Jawatankuasa Istilah Aeroangkasa, Dr. Ahmad
Sabirin merupakan pakar yang mereka bentuk, melancarkan dan mengoperasikan
mikrosatelit pertama Malaysia, iaitu TiungSAT-1. Keperluan terhadap istilah-istilah
baharu dalam bidang tertentu dan keperluan terhadap istilah bidang ilmu dan professional
yang baharu terus-menerus ditangani oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama
pakar-pakar ilmu yang sebilangan besarnya terdidik dalam sistem pendidikan
kebangsaan, sekurang-kurangnya di peringkat sekolah.11
Selain itu, dalam usaha memperkaya istilah dalam bahasa Melayu untuk
menjadikannya berupaya menjadi bahasa ilmu moden, ribuan pakar dalam ratusan bidang
yang kesemuanya merupakan aset negara telah dan sedang terlibat secara intensif
melakukan penggubalan istilah, menyusun glosari dan kamus istilah serta
mengembangkannya dalam kuliah mereka di institusi pengajian tinggi dan juga dalam
pengurusan institusi professional masing-masing. Dalam usaha memperluas sumbangan
kepakaran mereka untuk memperkaya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, Dewan
Bahasa dan Pustaka sudah pun merancang dan memulakan gerak langkah melibatkan
pakar-pakar ilmu dan professional dalam penghasilan karya ilmiah dalam bentuk buku
dan kamus ensiklopedik dalam bidang masing-masing iaitu sebagai peningkatan dan
peluasan daripada kerja penggubalan istilah selama ini.
2.2.3 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Kosa Kata
Usaha merakamkan kekayaan kosa kata atau perbendaharaan kata dalam bahasa
Melayu secara terancang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bermula sejak awal tahun
1960-an. Namun lama sebelum itu kekayaan kosa kata bahasa Melayu telah dirakamkan
oleh para sarjana asing sejak beberapa abad silam dalam bentuk daftar dan kamus,
misalnya Daftar Kata Melayu-Cina (abad ke-15), Kamus Melayu-Itali oleh Antonio
Pigafetta pada suku pertama abad ke-16, Kamus Melayu-Inggeris oleh thomass Bowry
pada awal abad ke-18, A Dictionary of the Malay Language oleh Marsden pada tahun
12
1821 dan beberapa buah kamus lain oleh R.J. Wilkinson (1901,1908,1932),
W.G.Shellabear (1902,1916) dan R.O Winstedt (1913).
Usaha pertama Dewan Bahasa dan Pustaka bermula pada tahun 1964 terhasil pada
tahun 1970 dengan terbitnya Kamus Dewan, iaitu kamus ekabahasa bahasa Melayu yang
dianggap berwibawa sebagai rujukan. Kamus yang entrinya berjumlah kira-kira 30,000
patah itu kemudiannya diterbitkan dalam edisi baharu pada tahun 1984 dan 1989
(masing-masing dengan tambahan 900 entri dan 2,000 entri), edisi ketiganya pada tahun
1994 (dengan tambahan 6,000 entri) dan edisi keempatnya insya-Allah pada tahun 2003
(dengan tambahan 5,000 entri). Untuk pelajar sekolah menengah, Dewan Bahasa dan
Pustaka menyusun dan menerbitkan Kamus Bahasa Malaysia Edisi Pelajar pada tahun
1975, sementara untuk pelajar sekolah rendah disusun dan diterbitkan Kamus Rendah
Dewan Bergambar pada tahun 1989 dan pada tahun 2002 ini dijangka terbit edisi
baharaunya dengan judul Kamus KBSR Dewan . Kamus ekabahasa bahasa Melayu yang
dirancang memuatkan 67,000 entri, iaitu Kamus Umum Bahasa Melayu Dewan yang
terbit pada tahun 2007.
Tambahan itu pula, untuk keperluan penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan
masyarakat, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan Kamus Dwibahasa Bahasa
Inggeris – Bahasa Malaysia (1979, edisi kedua 2001), Kamus Inggeris – Melayu Dewan
(1991), dan Kamus Inggeris – Melayu Dewan Edisi Ringkas (1995). Kamus Bahasa
Melayu – Bahasa Inggeris yang terbit pada tahun 2007. Kamus dwibahasa lain yang telah
terbit ialah Kamus Perancis – Melayu (1996) dan kini sedang diusahakan edisi keduanya.
Yang sedang disusun ialah Kamus Bahasa Mandarin – Bahasa Melayu, Kamus Bahasa
Tamil – Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Thai – Bahasa Melayu dan Kamus Bahasa
Khmer – Bahasa Melayu.
13
Selain itu, kamus istilah dalam pelbagai bidang ilmu yang diterbitkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka pula telah menjangkau jumlah 24 judul setakat ini dan banyak lagi
yang dalam proses penerbitan dan penyusunan. Menurut kajian yang telah dibuat tentang
kepustakaan kamus Melayu di Malaysia, setakat ini tidak kurang daripada 552 judul
kamus telah diterbitkan oleh pelbagai penerbit di negara ini. Demi memastikan
pengembangan bahasa Melayu yang lebih berkesan, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan
kerjasama swasta telah menerbitkan kamus elektronik, iaitu Kamus Telapak BESTA
DBP-1 (1998) dan Kamus Pena Quicktionary (2000).
2.2.4 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Tatabahasa
Tatabahasa Melayu sebagai asas sistem bahasa Melayu yang berkaitan dengan
proses pembinaan kata dan ayat telah menjadi perhatian dan kajian sarjana Eropah iaitu
Belanda dan Inggeris sejak abad ke-17. Usaha penyusunan tatabahasa Melayu yang
meninggalkan kesan dan pengaruh yang cukup besar ialah yang dilakukan oleh Pendeta
Zaba. Karyanya yang berjudul Pelita Bahasa Melayu sebanyak tiga jilid telah membantu
memantapkan perkembangan bahasa Melayu apabila buku tersebut menjadi rujukan
utama dalam sistem pendidikan di negara ini selama puluhan tahun sejak 1940-an. Pada
tahun 2000, buku itu diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam ejaan
Rumi baharu sebagai buku edisi mewah.
Dewan Bahasa dan Pustaka berusaha mengemaskinikan tatabahasa Melayu
dengan menerbitkan Tatabahasa Dewan Jilid 1 (1986), Tatabahasa Dewan Jilid II
(1989) dan Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993). Selain itu, banyak buku dan risalah
tatabahasa lain yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit lain. Mulai
tahun 2001, Dewan Bahasa dan Pustaka telah merancang penyusunan Tatabahasa Praktis
Bahasa Melayu untuk menjadi rujukan masyarakat umum. Sesuai dengan keperluan
semasa, Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan Universiti Multimedia telah
menerbitkan CD-rom Tatabahasa Melayu yang interaktif sifatnya dan dirancang
pelancarannya oleh Canselor Universiti Multimedia dalam bulan Julai 2002. Selain itu,
Dewan Bahasa dan Pustaka turut menerbitkan sejumlah buku tatabahasa lain, antaranya 14
yang luas digunakan oleh pelajar di pusat pengajian tinggi termasuklah Nahu Melayu
Mutakhir oleh Prof. Asmah Haji Omar.
2.2.5 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Sebutan
Usaha untuk membakukan sebutan bahasa Melayu telah mula dibincangkan dan
dirumuskan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956.
Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun
1984 telah mula menggerakkan perumusan sebutan baku yang berasaskan rumusan
Kongres dan bersempena dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu di sekolah pada
tahun 1988, sebutan baku yang dirumuskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka telah
diintegrasikan dalam sukatan pelajaran baharu mata pelajaran Bahasa Melayu. Antara
bahan terbitan yang telah dihasilkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Pedoman
Sebutan Baku Bahasa Melayu, Sebutan Baku Bahasa Melayu (berserta kaset) dan Daftar
Kata Bahasa Melayu : Rumi – Sebutan – Jawi.
2.2.6 Pembinaan Bahasa Melayu dalam Bidang Laras Bahasa
Laras bahasa berkaitan dengan pelbagai bentuk penggunaan bahasa mengikut
bidang-bidang khusus, misalnya bahasa dalam bidang undang-undang, bahasa dalam
bidang sains, bahasa dalam bidang kewartawanan, bahasa dalam bidang pentadbiran dan
sebagainya. Pengayaan laras bahasa Melayu dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan
15
Pustaka melalui penerbitan karya ilmu dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat
dan juga penerbitan karya kreatif.
Bermula dari penglibatan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam penerbitan, hampir
10,000 judul buku telah berhasil diterbitkan. Daripada koleksi Perpustakaan Negara
Malaysia (1966- 2001), sejumlah 105,8989 judul direkodkan sebagao buku yang
didaftarkan di bawah Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1964 dan akta Penyerahan Bahan
Perpustakaan 1966. Walaupun jumlah lebih seratus ribu judul itu turut merangkum buku
dalam bahasa lain, 60, 474 judul merupakan terbitan dalam bahasa Melayu.
3.0 PENUTUP
Perancangan bahasa terbit daripada falsafah yang menganggap bahawa bahasa itu adalah
lakuan manusia yang serupa dengan alat. Sesuatu alat boleh dirancangkan untuk diperbaiki dan
sesuatu alat itu boleh diperbaiki dari segi ejaan, tatabahasa, istilah dan penggunaan bahasa itu
secara umumnya untuk menjadi lebih efisien. Ini berpandukan kepada norma ideal yang telah
dikenal pasti dan dikodkan. Negara Malaysia memang terlibat secara langsung dalam
perancangan bahasa, lebih daripada tiga puluhtahun lalu. Sebenarnya, usaha merancangkan
16
bahasa Malaysia ini berlaku begitu pesat sekali sehingga menimbulkan banyak perubahan
kepada bahasa Malaysia. Pendek kata, Malaysia terlibat di dalam semua peringkat perancangan
bahasa walaupun seribu satu dugaan yang penuh dengan halangan dan cabaran yang timbul .
Tetapi banyak juga kebaikan yang diperoleh daripada proses perancangan bahasa.
Dalam hal ini, Malaysia dapat menjadi satu model perancangan bahasa hingga ke kaca
mata global dan Malaysia pada masa kini duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan
negara-negara lain. Oleh itu, perancangan bahasa ini perlulah dicatatkan dan dibukukan dalam
minda para sarjana khususnya dan juga masyarakat umumnya demi memahami konsep, falsafah
dan aktiviti yang dilakukan untuk memenuhi tujuan perancangan bahasa itu sendiri. Uslub dan
minhaj yang proaktif dan progresif juga perlu diimplementasikan agar bahasa Melayu terus
digunakan dan tidak pupus ditelan dek zaman walaupun terdapat persaingan yang hebat anatara
bahasa antarabangsa yang lain terutamanya bahasa Inggeris.
4.0 RUJUKAN
1. Asmah Haji Omar. (1978). Perancangan Bahasa Dengan Rujukan Khusus
Kepada Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka.
17
2. Abdullah Hassan. (1989). 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Awang Sariyan. (2005). Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu
Di Malaysia. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Arbak Othman dan Ahmad Mahmood Musanif. (2010).
Fail Sosiolinguistik. Kuala Lumpur : Nusabuku Enterprise.
18
top related