pembelajaran abad 21
Post on 28-Jan-2016
225 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
PENDIDIKAN ABAD KE-21 PEMBINA INSAN
Pendidikan abad ke-21 yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia pada tahun 2014, sebagai projek rintis, dan diteruskan pada tahun ini,
2015, ke seluruh negara, diharapkan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di
negara kita, ke arah melahirkan insan yang seimbang dan holistik, selari dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam pendidikan abad ke-21, Kementerian
Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan tiga kemahiran yang perlu dikuasai bagi
mencapai matlamat yang telah digariskan. Tiga kemahiran tersebut adalah
kemahiran pembelajaran dan inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi,
dan kemahiran hidup dan kerjaya. Ketiga-tiga kemahiran ini akan dibincangkan
dengan lebih lanjut dalam penulisan ini.
Dalam kemahiran pertama, kemahiran pembelajaran dan inovasi, golongan
pendidik diharapkan dapat menyediakan para pelajar dengan kebolehan dan
kemampuan untuk berfikir secara kritis dan kreatif, melalui sesi pengajaran dan
pembelajaran yang dilaksanakan. Hal ini dapat membantu para pelajar
menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian secara kreatif dan
inovatif, melalui komunikasi dan kolaborasi yang dijalankan semasa proses
penyelesaian masalah dilalui, tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak lain.
Apabila kemahiran pembelajaran dan inovasi ini dapat dikuasai oleh para pelajar,
proses pembentukan individu yang seimbang dan holistik dapat diteruskan lagi
usahanya, seperti mana digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dalam kemahiran kedua pula iaitu kemahiran maklumat, media dan teknologi,
para pendidik bertanggungjawab menyediakan para pelajar dengan kemahiran
mencari, meneroka dan menggunakan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada
pelbagai sumber dengan lebih bertanggungjawab. Selain itu, para pelajar juga
sewajarnya dididik dengan kesedaran dan kepentingan menilai dan menganalisis
maklumat-maklumat yang dikumpul dan diperoleh. Pelbagai maklumat yang diterima
para pelajar seharusnya dapat dinilai sejauh mana kebenarannya, sebelum boleh
diguna pakai dan disebarkan kepada masyarakat sekeliling. Hal sedemikian rupa
dapat membantu sistem pendidikan di negara kita, ke arah melahirkan insan yang
seimbang dan holistik, dari segi pengetahuan dan nilai murninya.
Dalam kemahiran ketiga, kemahiran hidup dan kerjaya, para pelajar perlu
dididik dan dikembangkan potensi mereka, agar para pelajar berkeupayaan hidup
berdikari dalam kehidupan dunia yang semakin mencabar dewasa ini. Kemahiran
hidup dan kerjaya seharusnya mampu menyediakan para pelajar di Malaysia
dengan sikap kebolehsuaian dan fleksibel, para pelajar yang mempunyai inisiatif dan
terarah kendiri, dan mempunyai kemahiran sosial dan antara budaya yang baik.
Disamping itu, melalui kemahiran ini, para pelajar sewajarnya memiliki nilai
produktiviti dan akauntabiliti, dalam masa yang sama, bertanggungjawab dan
berkepimpinan dalam setiap perkara yang dilakukan.
Kesimpulannya, melalui ketiga-tiga kemahiran yang diperkenalkan dalam
pendidikan abad ke-21 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, kemahiran
pembelajaran dan inovasi, kemahiran maklumat, media dan teknologi, dan
kemahiran hidup dan kerjaya; diharapkan segala cita-cita yang disenaraikan dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat direalisasikan dengan jayanya, terutamanya
dalam proses melahirkan dan membina insan yang seimbang dan holistik dari setiap
sudut kehidupannya. Namun, hal ini memerlukan kerjasama dan komitmen setiap
pihak dalam masyarakat Malaysia ke arah menjadikannya suatu kenyataan.
AINOL HAMIDAH BINTI AHMAD SARIMIN
P82043
top related