menilai subjek seni di masa hadapan
Post on 02-Jan-2016
23 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
MENILAI SUBJEK SENI DI MASA HADAPAN- BY SITI HAYATI
PENDAHULUAN:
Pendidikan Seni merupakan salah satu subjek yang diajar di sekolah-sekolah seluruh
Malaysia. Sejak Malaysia merdeka sehingga sekarang banyak perubahan yang telah berlaku
pada Kurikulum Pendidikan Seni. Perubahan-perubahan ini adalah perlu bagi meningkatkan
lagi mutu subjek seni ini bagi memartabatkan seni sebagai satu subjek yang penting di ajar di
sekolah.
Pendidikan ditakrifkan sebagai proses pemasyarakatan, aktiviti dan proses yang bertujuan
untuk menghasilkan perubahan yang dikehendaki di dalam diri seseorang. Dalam masyarakat
primitif, proses pendidikan adalah penyampaian pengetahuan tradisi dengan cara hidup yang
diperolehi daripada generasi terdahulu. (Atan Long: Psokologi Pendidikan, Dewan Bahasa
dan Pustaka 1978).
Edlar (1970) pula berpendapat: Pendidikan pada sebarang tempat adalah khusus serta boleh
dalam apa juga keadaan yang mewujudkan gabungan alam dan manusia. Oleh itu dalam
pendidikan, penyampaian dan pemerolehan ilmu itu bertujuan untuk membawa perubahan ke
dalam diri manusia agar terbentuk peribadi mulia.
Menurut Kamus Oxford, seni adalah, ’........... the production of something beautiful, skill or
ability in such work...’.
Victor Lowenfeld pula menyatakan, ’ Art is a fundamental human process’......
Syed Naquib Al-Attas menyatakan, ’ pendidikan ialah suatu proses menerapkan sesuatu
kepada manusia. Kandungan pendidikan adalah ilmu proses pendidikan iaitu perintisan ilmu
ke dalam diri manusia..’
Teknologi elektrik; tempias teknologi maklumat dan agen transportasinya telah mula menular
di dalam perkembangan seni tampak. Ia akan menjadi aliran baru yang mampu memberi
perubahan dan transformasi kepada pengucapan berkarya. Jika dilihat pengamal seni di
Malaysia masih lagi bimbang untuk melakukan sedikit anjakan evolusi minda. Hakikat
terhadap berus, cat, dan kanvas sebagai alatan dan media unggul tidak seharusnya diketepikan
tetapi sebaliknya perlu dikembangkan.
Komputer, perisian dan skrin elektronik mampu memperkayakan gaya pengucapan berkarya.
Melalui kesepaduan seni dan teknologi terkini boleh boleh mengujudkan kepelbagaian
disiplin seni yang mampu memberi pilihan kepada generasi masa akan datang. Sekaligus
transformasi seni ini boleh dijadikan pemangkin kepada pendidikan dan pengajaran. Tidak
dinafikan generasi sekarang dan akan datang telah dan terus terdedah kepada perkembangan
teknologi dunia.
PERANAN SENI DI MASA HADAPAN:
Manusia tidak pernah berhenti pada satu keadaan. Begitu juga perkembangan pemikiran, idea,
aliran dan falsafah. Terciptanya sesuatu yang baru sekarang ini bukanlah bermula dari tiada
tetapi sebenarnya ia diberi pembaharuan yang lebih maju dan berteknologi. Di zaman
sekarang tenaga elektrik menjadi keperluan utama manusia dalam kehidupan seharian. Ini
bermakna ia menggerakkan perkakasan elektronik sekaligus menjadi tenaga menghidupkan
zaman teknologi. Rata-rata manusia mengaitkan teknologi dengan elektronik, dan inilah
hakikat teknologi sekarang.
Menurut Robert A.Ott dari Pennsylvania telah meletakkan tiga elemen tentang peranan seni
iaitu;
a) Seni sebagai sesuatu disiplin yang berubah dan mengembang dari segi isi
kandungan, kontent ataupun disiplin.
b) Seni sebagai sesuatu media untuk elajar tentang etnik, bangsa dan jantina.
c) Seni sebagai satu cara ”barrier breaking” (cara memusnahkan tembok) bagi
pembelajaran media dan teknologi.
Seni dianggap sebagai sesuatu disiplin yang berubah dan mengembang dari segi kandungan ,
kontent ataupun disiplin. Di United States, institusi pendidikan telah mula sedar tentang
kepentingan subjek seni ini dan telah mengalami perubahan-perubahan. Mereka bukan sahaja
mengajar teknik-teknik tetapi juga sejarah seni dan seni kritikan. Seni bukan sahaja diajar di
studio, tetapi juga sesuatu yang dikaitkan dengan persekitaran dan masyarakat. Oleh itu
menurut pendapat Ott, guru seni dianggap sebagai seorang ahli falsafah, penulis, ahli sejarah
dan juga artist yang kreatif.
Di Malaysia kandungan kurikulum sukatan Pendidikkan Seni juga memberi pendedahan
seperti itu bahkan guru-guru dihantar berkursus sebagai langkah kerajaan mengajar guru-guru
tentang pelbagai kemahiran sebagai melengkapkan guru untuk pendidikan seni di masa
hadapan.
Seni juga telah mengalami perubahan di mana jika dahulu pembelajaran ini hanya untuk
pelajar yang mempunyai bakat tetapi sekarang semua pelajar boleh mempelajari seni
termasuk pelajar kurang upaya.
Lebih ramai masyarakat yang mula memahami tentang seni dan ingin tahu tentang sejarah
seni dan kritikan seni. Justeru guru seni perlu melengkapkan diri tentang ilmu-ilmu seni dan
pusat-pusat seni perlu ditubuhkan untuk memenuhi keperluan masyarakat seni yang telah
menjadi suatu pendidikan jangka hayat. John Dewey menyatakan,’.....pendidikan adalah kerja
mengatur pengetahuan untuk menambahkan pengetahuan yang sentiasa bertambah’......
Seni juga mengalami evolusi kerana perlu memenuhi kehendak yang berbeza mengikut umur
masyarakat. Menurut Ott lagi, seni merupakan refleksi pemikiran golongan intelektual dari
zaman berzaman.
Menurut Bauhaus, budaya hidup masyarakat ”elite” iaitu golongan bangsawan yang
meminta sekolah mengadakan kurikulum seni untuk anak mereka supaya ada perasaan halus
dan budi pekerti”.
Mesej yang disampaikan dalam sesuatu seni boleh dipertahankan dalam jangka masa
yang lama dan ia adalah asas kepada pemahaman tentang suatu budaya, etnik dan golongan
masyarakat.
Kurikulum Pendidikan Seni di Malaysia telah mempelajari tentang sumbangan wanita
terhadap seni dalam sesuatu masyarakat terutama bidang kraf dan masih banyak kajian yang
perlu dilakukan. Mungkin suatu pembaharuan akan ditemui pada masa hadapan tentang kajian
seni berbentuk budaya dan jantina.
PERUBAHAN-PERUBAHAN SENI DALAM PENDIDIKAN:
Manusia dijangka akan lebih menerima dan mula berminat terhadap seni untuk membolehkan
mereka faham tentang sesuatu budaya. Seni menjadi asas kepada segala jenis pembelajaran
(centre of learning). Melalui seni kita boleh mengetahui tentang cara pemikiran, emosi, adat
istiadat masyarakat dan pemahaman ini berkembang berterusan di masa hadapan.
Melalui kemudahan teknologi, masa hadapan seni juga akan berubah. Sebagai contoh, lebih
banyak penggunaan seni visual seperti muzium yang berdinding pameran video secara virtual
(maya) tentang barang-barang antik. Sistem komunikasi yang melibatkan pembelajaran secara
interaktif menggunakan alat-alat elektronik juga turut akan berkembang. Melukis
menggunakan program komputer juga akan membawa perubahan pembelajaran di mana ia
akan lebih melibatkan deria penglihatan dan bunyi yang boleh dikombinasikan dengan
menggunakan teknologi.
Masyarakat dunia akan lebih mahir menggunakan komputer di masa hadapan. Sebagai
contoh ikon dalam komputer juga merupakan sebahagian seni yang memerlukan kemahiran
menginterpretasikan ikon tersebut. Oleh itu seni secara tidak langsung akan dipelajari oleh
semua pihak kerana untuk menjalani kehidupan seharian mereka memerlukan seni juga.
Menyedari kesan hasil dari ’perkahwinan’ antara seni dan teknologi, keghairahan melayari
zaman teknologi mengajak generasi baru pengamal seni serta pengkarya seni atau mereka
yang inginkan pembaharuan sama-sama menjadikan inovasi teknologi terkini sebagai satu
pengucapan seni bentuk baru. Anjakan demi anjakan, eksplorasi demi eksplorasi dan
sempadan seni mula dicabar dan dilebarkan. Percubaan-percubaan seperti ini mencabar
pendekatan penyampaian seni dewasa ini.
Dalam seni juga berlaku perubahan dan perkembangan. Ianya bergerak seiringan dengan
kemajuan teknologi dunia, hasil dari perkembangan revolusi perindustrian dan mesin.
Menyingkap perkembangan awal, percubaan menggabungkan seni dan teknologi ini telah
lama bertapak hasil kutipan dan pembaharuan dari pembawaan aliran dadaisma dan
kontruktivisma oleh Duchamp, Laszlo Moholy-Nagy, Man Ray dan Alexander Calder. Juga
gerakan seni awal dari beberapa kumpulan seni seperti ZERO di Jerman tahun 1957 dan
Groupe de Recherche d’Art Visual (GRAV) di Perancis tahun 1960. Karya yang dihasilkan
lebih bersifat arca kinetik yang kelihatan seperti mesin.
Walau bagaimanapun perkembangan ini sukar diterima sehinggalah pada tahun 1960-an seni
dan teknologi ini dipopularkan di Amerika. Pada tahun 1966 Experiments In Art and
Technology ditubuhkan memperlihatkan kerjasama antara saintis dan pelukis. Perkembangan
seni ini membawa suatu pengucapan baru dalam aliran seni tampak. Kepelbagaian elemen
yang melibatkan cahaya dan kinatik ditampilkan. Keghairahan menjadikan mentol dan
elektrik sebagai medium baru ditampilkan dalam karya-karya Dan Flavin (Green Crossing
Green,1966) dan Bruce Nauman (Green Light Corridor,1970).
Kepesatan dunia sains dan teknologi yang bermaharajalela mewarnai kehidupan kontemporari
telah mencetuskan suatu bentuk medium dan penyampaian baru. Penampilan bentuk seni 4
dimensi memberi banyak alternatif kepada pengamal seni. Video dan filem berkembang
sebagai penyampai baru seni tampak yang agak konsepsual.
Jika dilihat perubahan dan perkembangan seni dan teknologi ini tidak langsung menjejaskan
bahasa dan tatabahasa seni tampak. Perletakan elemen formalistik seni dan konteks serta
isinya masih lagi dalam aturan yang sama. Jelas para pelukis tidak mengabaikan atau
mengenepikan elemen-elemen seperti garisan, rupa, bentuk, ruang dan sebagainya
termasuklah komponen lain seperti imbangan, harmoni, ulangan dan lain-lain. Cuma teknik
dan gaya penyampaian sahaja yang berlainan.
Kesimpulannya di sini, gabungan antara teknologi dan seni boleh dilihat sebagai pendekatan
yang bersifat kesepaduan, multi disiplin dan intergrasi yang akan menyentuh terhadap soal-
soal budaya, bangsa, sosial dan agama. Ini menjadi perkara penting dalam menentukan
kejayaan mengujudkan identiti Malaysia melalui gabungan seni dan teknologi.
Menurut Segmen Frued,,’...... manusia perlu mengawal persekitaran supaya dapat
keseimbangan dan perlu ada kebijaksanaan supaya mendapat sebanyak mungkin
pengalaman-pengalaman yang penting’....
Oleh itu dimensi dan pandangan manusia terhadap seni telah sentiasa berubah dari
dahulu lagi dan akan terus berubah di mana masyarakat sekarang lebih berpendidikan dan
mula memahami seni dan lebih berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang seni. Guru-
guru seni perlu bersedia menghadapi cabaran ini dan mahir dalam penggunaan teknologi
kerana ia menjadi media dalam kelas. Pendidikan Seni juga tidak lagi berfokuskan kepada
golongan pelajar sahaja tetapi juga golongan dewasa dan warga tua.
Perubahan dalam Pendidikan Seni sentiasa berlaku dan perubahan ini bukan sahaja
dari segi kandungan kurikulum atau teknik pengajaran tetapi juga melibatkan perubahan cara
pemikiran, proses pengajaran dan pembelajaran seni, sejarah seni dan asas-asas seni. Antara
perubahan-perubahan tersebut ialah:
a) Budaya Visual (visual culture)
Seni budaya visual mula mengambil tempat di kalangan masyarakat sekarang.
Contoh seni budaya visual termasuk seni halus, pengiklanan, filem, video, seni rakyat,
televisyen, landskap, grafik komputer, seni dalam bidang komunikasi dan produksi. Kesemua
perkara tersebut telah menjadi sebahagian dari budaya manusia masa kini dan yang paling
popular seperti iklan dan filem. Justeru pengajaran seni bukan sahaja melibatkan seni halus
tetapi pelajar juga harus diajar untuk melihat, mengkritik dan memahami maksud, tujuan,
hubungkait dan pengaruh seni budaya ini.
Untuk membuat perbezaan tentang jenis seni budaya ini menjadi semakin sukar
kerana kepercayaan bahawa seni halus merupakan satu-satunya seni yang bernilai dan
dihargai tidak lagi boleh berdiri sendiri kerana cara penilaian sesuatu seni bukan sahaja dilihat
dari aspek kualiti estetik seni tetapi juga termasuk cara penyediaan, bahan
digunakan,penggunaan teknologi termasuk aspek teknikal.
Aspek-aspek komersial juga telah dimasukkan sehingga berlaku proses kitar
semula berlaku. Sebagai contoh, pakaian, muzik, budaya dan lain-lain yang popular suatu
masa dahulu telah muncul semula selepas beberapa tempoh. Justeru seni budaya ini telah
menjadi sebahagian dari budaya hidup pelajar dan pelajar harus diajar untuk menilai dan
mengkritik seni budaya ini. Pelajar juga harus digalakkan menghasilkan seni budaya mereka
sendiri sebagai satu cara mereka mengekspresikan imaginasi dan komunikasi mereka. Mc Fee
pernah menyatakan; ’....belajar membaca mesej dan mengkaji komunikasi perspektif individu
dapat meningkatkan kepekaan terhadap persekitaran dan alam’...
Pendekatan Mc Fee lebih menekankan kepada kebudayaan sesuatu masyarakat
kerana beliau berpendapat seni dalam budaya sebagai topik utama pembelajaran Pendidikan
Seni.
b) Interaksi Kognitif
Menurut satu kajian tentang kognitif telah mendapati bahawa hubungan bentuk,
perasaan dan pengetahuan adalah sebahagian dari proses kognitif. Kepentingan hubungan
emosi antara manusia dan objek serta pembelajaran harus disedari dan diberi perhatian oleh
pendidik. Ilmu yang diperolehi hasil dari pengetahuan seseorang pelajar, berbanding dengan
ilmu yang diperolehi dari kombinasi pengetahuan dan motivasi dalaman harus diambil kira.
Manusia belajar hasil dari interaksi pengetahuan yang ada, pengetahuan yang dipelajari dan
persekitaran. Justeru pelajar harus digalakkan untuk mendapat pengetahuan bukan sahaja dari
pengalaman guru tetapi juga dari interaksi dan emosi mereka semasa mencari dan
mempelajari sesuatu ilmu itu.
c) Perspektif Sosial
Jika seni diajar tanpa memasukkan nilai-nilai dan pandangan sosial terhadap seni
maka ianya akan menjadi suatu pengajaran dan pembelajaran seni semata-mata kerana
perspektif kurikulum. Seni harus juga dipandang dan diinterpretasikan dengan sifat-sifat
sosial seperti jantina, bangsa, etnik, bakat istimewa, budaya, sosioekonomi, keadaan politik,
alam sekitar dan perasaan manusia. Ini disebabkan seni adalah kompleks, mempunyai unsur
kepelbagaian dan mewakili sesuatu budaya. Oleh kerana itu, tujuan seni dan asal usul seni
hanya boleh difaham jika seseorang melihat seni dari perspektif sosial.
d) Kebebasan Menggunakan Teknologi
Pelajar harus digalakkan menggunakan teknologi dalam menghasilkan hasil seni
mereka dan diasuh minda mereka untuk berfikiran terbuka dan berdaya imaginasi yang tinggi
(think out of the box) supaya mereka boleh keluar dari kepompong pemikiran yang terhad dan
seterusnya membolehkan seni itu menjadi lebih kreatif.
Di Malaysia hanya segelintir sahaja pengamal seni yang berani membawa pendekatan seni
elektronik ini seperti Hasnul Jamal Saidon, Wong Hoi Chong dan Kungyu Liew. Teradapat
usaha yang dijalankan oleh Balai Seni Lukis Negara untuk membantu dalam
mengenengahkan perkembangan seni elektronik ini seperti menganjurkan Video Art Festival
1994 yang menampilkan kepelbagaian pelantar kategori teknik dan proses.
Melalui pameran solo Hasnul Jamal Saidon, Hyperview (1977), beliau cuba
menggabungkan beberapa pendekatan seperti kolaj digital, seni video, seni interaktif multi
media, komputer animasi dan juga lukisan dan catan. Menerusi kepelbagaian ini telah
memberi peluang kepada beliau untuk membuktikan bahawa teknologi tidak mengasingkan
seni malahan mampu bekerjasama sebagai proses ataupun orientasi objek seni.
a) Perbezaan Budaya
Sememangnya seni tidak boleh dipisahkan terutamanya bagi seni visual. Perbezaan
sempadan, masa boleh ditunjukkan melalui seni. Misalnya dari pemakaian seseorang wanita,
identiti sesuatu masyarakat dapat dilambangkan. Begitu juga dengan dunia moden ini dari
aspek pemakaian dan ke mana arah tuju manusia, dapat dikesan betapa perbezaan budaya
menjadi semakin kecil dan budaya mulai berintergrasi.
b) Pembentukan Konstektual
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Persky,Sandene dan Askew (1998)
mendapati bahawa pelajar tidak berupaya untuk faham sesuatu maksud atau pembentukan
hanya melalui pengajaran dan pembelajaran. Sebaliknya tahap pemahaman yang dibina oleh
pelajar adalah dari segi kontekstual dahulu. Mereka akan membuat perbandingan, analisis
dan melihat persekitaran dan membina pemahaman sendiri dari segi konteks sesuatu sebelum
boleh memahami sesuatu perkara atau bentuk seni itu yang sebenarnya.
c) Kritikan Konstruktif
Sesuatu pengetahuan diperolehi oleh pelajar hasil dari membanding beza, melihat
kepada kepelbagaian, budaya dan perbandingan sebelum mereka boleh menimba sesuatu
ilmu. Justeru dalam membentuk kurikulum, unsur kritikan harus diambil kira. Semasa
membuat penilaian hasil seni, perlu ada pandangan dari aspek kritikal dan respons yang
konkrit untuk guru menilai.
Berdasar perubahan-perubahan tersebut boleh dirumuskan seperti berikut;
a) Isi kandungan Pendidikan Seni harus melibatkan seni budaya visual
b) Kaitkan perasaan, fungsi dan bentuk harus diketahui untuk menghasilkan sesuatu
produk seni .
c) Tahap kognitif secara individu atau kumpulan harus diambil kira dalam proses P&P
Pendidikan Seni.
d) Analisa unsur sosial yang terdapat dalam sesuatu seni atau objek.
e) Memahami sesuatu hasil seni dan bentuk dari sudut kontent.
f) Gabungjalinkan unsur teknologi dalam Pendidikan Seni
g) Dalam menilai dan menginterpretasikan seni, haruslah dilihat dari segi kritikan
konstruktif yang membina.
KESAN PERUBAHAN SENI DI MASA HADAPAN:
Selari dengan perkembangan teknologi dunia, seni dan teknologi tidak boleh dipisahkan.
Interactive networking atau internet telah membolehkan pelajar dan guru memperolehi lebih
banyak peluang untuk mengetahui tentang imej visual, bunyi, seni dari pelbagai dimensi dan
budaya penggabungan seni dan teknologi tidak dapat dinafikan akan membentuk satu satu
generasi yang baru belajar asas seni dengan menggunakan teknologi.
Bukan sahaja perubahan dan revolusi maklumat yang berlaku dekad ini memaksa kita
menggunakan teknologi tetapi juga penting bagi guru dan pelajar kerana mereka mempunyai
banyak sumber bahan dan maklumat. Cara-cara penghasilan seni untuk masa hadapan juga
akan berubah di mana penggunaan software seperti VU-See Me membolehkan pelajar
berkomunikasi dengan kawan-kawan dari benua lain dalam menghasilkan folio atau kerja
kursus mereka.
Penggunaan teknologi ini akan membantu membentuk satu komuniti yang baru, yang boleh
berada di mana-mana dunia dan mampu berkomunikasi dan bertukar-tukar pendapat tentang
seni dan lain-lain . Ini dianggap sebagai pembangunan komuniti (community building). Guru
dan pelajar boleh berbincang tentang isu seni seterusnya bertukar-tukar pengalaman dan
pengetahuan.
Sebagai contoh yang terdapat di Institute John F.Kennedy yang telah mewujudkan
suatu net forum secara online di mana ramai guru telah meminta bantuan dan seterunya
bertukar-tukar idea berkaitan dengan seni dan masalah yang mereka hadapi. Ini merupakan
satu komuniti secara virtual. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah isu-isu pedagogi
, kontroversi pelbagai perkara dalam disiplin seni, dan bertukar-tukar pengalaman. Di
samping itu, videoconference juga boleh diadakan kerana cara begini sebenarnya adalah
sebahagaian dari apa yang dikatakan reformasi dalam bidang pendidikan yang sedang berlaku
sekarang.
Kombinasi pendidikan jarak jauh dan kemudahan networking, guru dan pelajar boleh
bekerjasama dalam merancang, mengimplementari dan membuat penilaian sesuatu kurikulum
atau aktiviti. Sebagai contoh guru-guru boleh bekerjasama membentuk suatu sistem penilaian
interaktif dan menentukan unsur yang hendak dinilai bagi sesuatu aktiviti.
Pelajar juga mudah mendapatkan maklumat yang melibatkan audio, grafik dan imej yang
bergerak. Misalnya jika ingin mempelajari sesuatu tajuk seni dan langkah-langkah proses
penghasilan, pelajar boleh melihat beberapa audio visual serta penerangan yang boleh
difahami oleh pelajar dan guru. Ini membolehkan pelajar lebih menghargai proses
pembelajaran itu sendiri.
Proses pembelajaran juga akan menjadi lebih menarik kerana guru dan pelajar akan
melibatkan diri bersama-sama dalam menghasilkan suatu pembelajaran, misalnya
bekerjasama untuk membentuk suatu laman web yang berkaitan dengan sesuatu tajuk. Ini
menyebabkan pelajar melibat diri secara langsung dalam proses pembelajaran bukan lagi
bergantung kepada guru semata-mata. Penggunaan teknologi dalam pendidikan menjadi
pelajar lebih aktif dalam proses pembelajaran.
Pelajar juga boleh mengakses kepada sumber maklumat dan guru-guru boleh mendapatkan
ABM secara langsung yang boleh dijadikan sebagai petunjuk kepada guru dan pelajar.
Teknologi lebih menyumbang kepada pembangunan Pendidikan Seni. Penggunaan teknologi
lebih bermanfaat di masa hadapan kerana melaluinya, penghasilan seni, pameran seni serta
mengkritik akan menjadi lebih meluas kerana ia menjadi lebih cepat dan mudah dengan
bantuan software dan program yang semakin banyak di pasaran dan internet. Paling penting
ialah komunikasi masyarakat menjadi lebih mudah dan penglibatan pelajar menjadi lebih
penting dalam pendidikan yang berteraskan teknologi dan media.
Penglibatan elektronik dan komputer ini bukanlah terus menerus menolak atau mencabar
hakikat terhadap berus, cat dan kanvas sebagai alatan dan media unggul sejak dari zaman
Renaisance, tetapi melihat keupayaan teknologi komputer, aplikasi perisian, skrin elektronik,
gelombang atau pancaran cahaya elektronik bahkan terkini internet mampu memperkayakan
gaya pengucapan berkarya dalam berbagai katogari pelantar seni.
Kepesatan teknologi komputer ini juga turut menghasilkan aplikasi perisian yang
menyumbang kepada seni dan kreativiti. Dengan aplikasi perisian ini memungkinkan
kemajuan kreativiti di mana mampu memperbaiki dan memantapkan nilai-nilai artistik
manusia. Aplikasi perisian lebih bersifat sebagai metafora peralatan. Justeru teknologi tinggi
dan komputer tidak sewajarnya dianggap sebagai peralatan semata-mata kerana ia juga boleh
bertindak sebagai penyataan maklumat yang abstrak. Perlaksanaan seni juga dapat dilakukan
oleh komputer dengan cara memudah, meringkas dan mempercepatkan proses pekerjaan seni
dan penampilan proses seni itu sendiri.
Kebanyakan hanya pengamal seni generasi baru atau mereka yang inginkan perubahan sahaja
yang berani untuk melibatkan penggunaan teknologi komputer di dalam penghasilan karya
seni. Justeru kita lihat generasi baru sebagai generasi yang mudah menelan dan mencerna
teknologi elektronik walau dalam apa juga bentuk sekalipun.
PENUTUP:
Teknologi merentasi kurikulum merupakan satu petanda bahawa dunia pendidikan akan
sentiasa mengalami perubahan demi perubahan. Kemajuan penggunaan teknologi moden
dalam pengajaran Pendidikan Seni sentiasa dialu-alukan dalam usaha meningkatkan martabat
subjek ini namun terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi. Antara isu atau cabaran
penggunaan teknologi adalah isu berkaitan dengan copyright/hak cipta. Ini kerana
penggunaan di internet tidak dapat dihalang dan semua pihak berupaya mengambil bahan
dengan sewenang-wenangnya. Juga masalah menggunakan media yang sesuai seperti yang
berkualiti tinggi supaya seni itu dpat dilihat dan dialami dengan cara yang betul. Jika kualiti
kurang memuaskan ita bimbang jika ianya salah diinterpretasikan. Namun begitu penggunaan
teknologi lebih memberi manfaat di masa hadapan jika penggunaanya dipraktikkan kerana
kemanfaatannya yang tidak perlu dipertikaikan lagi dalam sumbangannya dalam subjek seni
ini.
Bagaimanapun dalam masa mengharungi perubahan dan perkembangan ini seharusnya
pengamal seni tanah air tidak mengenepikan elemen dan prinsip budaya bangsa sendiri yang
ada kekuatannya dan mampu memeriahkan seni tampak seterusnya mengujudkan
kepelbagaian disiplin seni yang mampu memberi pilihan kepada generasi akan datang.
http://sitihayatimohdyusoff.blogspot.com/2011/08/menilai-subjek-seni-di-masa-hadapan-by.html
top related