abstrak stdg

30
ABSTRAK PERBUALAN ANTARA WATAK DALAM NOVEL ‘SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG’ : SATU KAJIAN TANYA JAWAB Oleh : Noor Liza binti Abdullah Kajian ini adalah bertujuan untuk menganalisis urutan tanya jawab dalam perbualan antara watak berdasarkan bentuk nahuannya, struktur makna dan makna konteks secara analisis nahu wacana dalam konteks penggunaannya yang sebenar seperti yang terdapat dalam teks dengan mengambil kira hubungan antara sesuatu ayat tanya dengan ayat-ayat lain yang melatarinya. Kajian ini menggunakan kaedah kajian pustaka dan penganalisaan data. Kaedah pustaka digunakan untuk mengumpul bahan yang berkaitan dengan struktur tanya jawab bahasa Melayu, analisis wacana dan bahan-bahan yang relevan dengan teks novel Seorang Tua di Kaki Gunung. Analisis data dibuat menurut kerangka nahu wacana. Berdasarkan analisis akan cuba dibuktikan sama ada ayat tanya dalam novel ini mendukung makna pertanyaan sahaja atau maksud-maksud lain. Hasil kajian mendapati bahawa ayat tanya dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung ini telah digunakan bukan sahaja sebagai pertanyaan tetapi sebagai pengungkapan pelbagai maksud yang lain seperti mendapatkan kepastian, sapaan, spekulasi, dan pernyataan yang melahirkan perasaan seperti tercabar, kesal, sedih, kecewa, mengharap, hairan, curiga, dan sebagainya. Manakala tindak balas kepada pertanyaan, selain sebagai jawapan atau memberikan maklumat juga mendukung maksud seperti penolakan, penafian, ketidakendahan, kepastian, peringatan, sindiran dan eskapism. Tindak balas ini juga diperluas dan diberi penerangan lanjutan oleh pendengar. Sebagai kesimpulannya, kajian membuktikan bahawa maksud penutur dan pendengar harus diambil kira dalam menentukan maksud sebenar sesuatu bentuk bahasa kerana bahasa yang realistik

Upload: asliza-adzlan

Post on 11-Jul-2016

15 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: ABSTRAK stdG

ABSTRAK

PERBUALAN ANTARA WATAK DALAM NOVEL ‘SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG’ : SATU KAJIAN TANYA JAWAB

Oleh :Noor Liza binti Abdullah

Kajian ini adalah bertujuan untuk menganalisis urutan tanya jawab dalam perbualan antara watak berdasarkan bentuk nahuannya, struktur makna dan makna konteks secara analisis nahu wacana dalam konteks penggunaannya yang sebenar seperti yang terdapat dalam teks dengan mengambil kira hubungan antara sesuatu ayat tanya dengan ayat-ayat lain yang melatarinya.

Kajian ini menggunakan kaedah kajian pustaka dan penganalisaan data. Kaedah pustaka digunakan untuk mengumpul bahan yang berkaitan dengan struktur tanya jawab bahasa Melayu, analisis wacana dan bahan-bahan yang relevan dengan teks novel Seorang Tua di Kaki Gunung. Analisis data dibuat menurut kerangka nahu wacana. Berdasarkan analisis akan cuba dibuktikan sama ada ayat tanya dalam novel ini mendukung makna pertanyaan sahaja atau maksud-maksud lain.

Hasil kajian mendapati bahawa ayat tanya dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung ini telah digunakan bukan sahaja sebagai pertanyaan tetapi sebagai pengungkapan pelbagai maksud yang lain seperti mendapatkan kepastian, sapaan, spekulasi, dan pernyataan yang melahirkan perasaan seperti tercabar, kesal, sedih, kecewa, mengharap, hairan, curiga, dan sebagainya. Manakala tindak balas kepada pertanyaan, selain sebagai jawapan atau memberikan maklumat juga mendukung maksud seperti penolakan, penafian, ketidakendahan, kepastian, peringatan, sindiran dan eskapism. Tindak balas ini juga diperluas dan diberi penerangan lanjutan oleh pendengar.

Sebagai kesimpulannya, kajian membuktikan bahawa maksud penutur dan pendengar harus diambil kira dalam menentukan maksud sebenar sesuatu bentuk bahasa kerana bahasa yang realistik adalah bahasa yang digunakan dalam kalangan penutur dan pendengar dalam interaksi seharian.

Page 2: ABSTRAK stdG

PERBUALAN ANTARA WATAK DALAM NOVEL ‘SEORANG TUA DI KAKI GUNUNG’ : SATU KAJIAN TANYA JAWAB

Oleh :Noor Liza binti Abdullah

Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak,Kota Samarahan, Sarawak.

Pengenalan

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat melepaskan diri daripada

berkomunikasi atau berinteraksi dengan orang lain, sama ada untuk menyampaikan

perasaan, kehendak, pengetahuan, pendapat atau seumpamanya. Komunikasi yang

kita lakukan itu mungkin dalam bentuk lisan atau pertuturan ataupun dalam bentuk

tulisan. Untuk berkomunikasi atau berinteraksi, bahasa digunakan sebagai wahana

untuk menyampai mesej yang diingini.

Peranan bahasa dalam proses komunikasi sangat penting. Hal ini kerana

ketepatan bahasa menentukan proses penyampaian dan penerimaan mesej berlaku

dengan berkesan. Bahasa yang tepat akan menghasilkan mesej yang tepat. Oleh itu,

bahasa berfungsi sebagai wahana perhubungan yang baik antara seseorang dengan

seseorang yang lain. Bahasa yang tepat merupakan inti komunikasi yang berkesan.

Dalam kajian ini, hanya ayat tanya dan jawapan yang menjadi urutannya yang

akan dikaji. Ini berdasarkan hakikat bahawa tanya jawab adalah salah satu aspek yang

amat penting dalam perbualan.

Page 3: ABSTRAK stdG

Kepentingan Kajian

Menurut Leech (1993 : xx), pengucapan dalam bahan sastera sebenarnya adalah

peningkatan atau pembebasan secara kreatif punca bahasa yang digunakan sehari-

hari. Jika diteliti, novel sebagai karya sastera, terdiri daripada rangkaian situasi wacana,

yang satu menyatu dalam yang lain, melaluinya pengucap menyampaikan amanat

kepada lawan bicara. Peringkat yang paling menyatu ialah apabila watak berbicara

sesama watak, yang lain dari yang lain, kerana di sini amanat dapat bergerak ke

beberapa banyak arah.

Disebabkan bahagian terbesar daripada hampir setiap novel terdiri daripada

percakapan antara watak, maka penganalisaan tentang bagaimana watak

berkomunikasi sesama watak, khususnya dalam situasi tanya-jawab, diharap dapat

membantu menyumbang kepada pemahaman kita terhadap ‘perbualan’ antara

pengarang dan pembaca. Dengan adanya kajian ini, maka ayat tanya akan dilihat

bukan sahaja berdasarkan aspek nahu tetapi juga dari sudut konteks ujaran.

Kajian ini juga akan menunjukkan bahawa situasi ujaran sebelum dan selepas

berlakunya urutan tanya jawab itu penting. Dengan cara ini, penghujahan tidak hanya

terhad kepada aspek leksikal, sebaliknya mengambil kira situasi ujaran penutur dan

pendengar dalam perbualan sebenar serta perasaan dan keinginan individu yang

menuturkan serta mendengar ujaran tersebut.

Page 4: ABSTRAK stdG

Analisis Tanya Jawab Perbualan Antara Watak dalam Novel Seorang Tua di Kaki Gunung

Dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung (STDKG) terdapat banyak ayat tanya yang

menarik dalam perbualan antara watak untuk dibuat kajian. Ayat tanya dalam novel

akan dianalisis dari aspek nahuan, makna struktur dan makna konteks dalam situasi

perbualan antara watak berdasarkan analisis nahu wacana. Tujuannya adalah untuk

memperlihat bahawa suatu ayat tanya itu bukan sahaja memerlukan pendengar

memberikan maklumat atau jawapan, sebaliknya boleh menyatakan maksud-maksud

lain seperti persetujuan, penerimaan, penolakan, permintaan dan sebagainya.

Secara umumnya, ayat tanya bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada

beberapa golongan dan subgolongan. Nik Safiah Karim et. al. (1995 : 422-428), telah

menggolongkan ayat tanya kepada empat golongan yang utama. Berdasarkan nada

suara dan penggunaan perkataan tertentu ayat tanya dapat digolongkan kepada dua

jenis, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya. Ayat tanya

dengan kata tanya dipecahkan kepada dua subgolongan, iaitu ayat tanya dengan kata

ganti nama tanya dan ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya. Manakala

berdasarkan jawapan yang dikehendaki oleh ayat tanya tersebut, ayat tanya

digolongkan kepada dua jenis, iaitu ayat tanya tertutup dan ayat tanya terbuka.

Oleh itu, dalam analisis dari segi bentuk nahuan, ayat tanya akan dihuraikan

berpandukan golongan dan subgolongan ayat tanya yang dinyatakan tersebut.

Penganalisaan juga dibuat berdasarkan makna struktur dan makna konteks ujaran

antara penutur dan pendengar dalam situasi sebenar berpandukan kajian analisis

wacana.

Page 5: ABSTRAK stdG

Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya

Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang dibentuk dengan mengucapkan

ayat penyata biasa dengan nada suara yang meninggi atau menaik sebelum

kesenyapan pada akhir ayat.

Berikut adalah contoh perbualan yang mengandungi ayat tanya tanpa kata tanya

yang akan dianalisis dari sudut bentuk, makna struktur dan makna konteks ujaran

penutur dan pendengar.

Perbualan 1

“Aku nak bawa Lamin ke rimba,” kata Tukya. Lamin terkernyeh. Gigi kecil…“Ke huma?” Kata Besah.“Belum masak. Kau saja yang pergi tolong hambat burung tiak atau tengok-tengok penjuru mana yang masak dulu. Kalau masak bila Fikri balik nak ambil Lamin, sempat kita tumbuk,” kata Tukya.Besah tidak membantah. Itulah ketaatan dan kesetiaannya sejak berkahwin dengan Tukya.

(Seorang Tua di Kaki Gunung : 24)

Dalam perbualan 1 di atas, fokus analisis adalah urutan tanya jawab yang

bermula dengan pertanyaan Besah, Ke huma? untuk mengenal pasti bentuk nahuan,

makna struktur dan makna konteks ujaran tersebut. Analisis seterusnya adalah jawapan

Tukya, iaitu Belum masak. Kau saja yang pergi tolong hambat burung tiak atau tengok-

tengok penjuru mana yang masak dulu. Kalau masak bila Fikri balik nak ambil Lamin,

sempat kita tumbuk bagi membincangkan konteks uruan tanya jawab dalam perbualan

tersebut.

Dalam ujaran, Ke huma? Terdapat tanda soal (?) yang menggambarkan intonasi

menaik sebelum menurun sedikit pada akhir ayat atau intonasi akhir menaik. Ahli

bahasa menganggap ayat penyata atau berita dengan intonasi menaik sebagai

pertanyaan. Bolinger (1982 : 1-22), menjelaskan bahawa intonasi akhir menaik

menggambarkan ketidaklengkapan, iaitu syarat persediaan pertama pertanyaan.

Page 6: ABSTRAK stdG

Intonasi akhir menaik juga menggambarkan ketidakpastian dalam hal-hal yang selain

daripada pengetahuan atau proposisi seperti ketidakpastian tentang kefahaman

pendengar atau kejanggalan dalam perbualan dan sebagainya. Manakala Brown et. al.

(1980), berpendapat bahawa intonasi akhir menaik menggambarkan satu permintaan

tindak balas, iaitu bentuk pertanyaan.

Dalam perbualan 1, ayat tanya dalam perbualan tersebut dianggap dari sudut

nahuannya. Bentuk ujaran Ke huma? Merupakan bentuk ayat tanya tanpa kata tanya

yang terbentuk daripada ayat penyata yang dihasilkan dengan meninggikan suara. Ini

berdasarkan pendapat Nik Safiah (1995 : 324), yang menyatakan bahawa ayat tanya

tanpa kata tanya lazimnya diucapkan dengan nada suara meninggi sebelum

kesenyapan pada akhir ayat. Dalam tulisan, nada tanya ini dilambangkan dengan tanda

soal (?). Maka berdasarkan aspek intonasi, ujaran Ke huma? jelas menunjukkan

bahawa ujaran tersebut ialah ayat tanya yang wujud tanpa kata tanya.

Ujaran tersebut boleh disertai partikel penegas –kah yang diletakkan pada unsur

yang dijadikan fokus atau judul ayat. Nik safiah (1995 : 423), menyatakan bahasa

dalam bahasa Melayu lisan, khususnya dalam perbualan, partikel –kah biasanya

diletakkan pada hujung ayat. Berdasarkan ujaran yang dikaji, ayat tanya tersebut boleh

dinyatakan seperti berikut, iaitu Ke humakah?. Berdasarkan pernambahan partikel –kah

ini, ujaran ini boleh juga diberi jawapan ya, tidak atau bukan seperti yang berikut:

A: Ke humakah?

B: Tidak.

Aspek makna juga penting dalam mengenal pasti sama ada ujaran Ke huma?

Dianggap sebagai pertanyaan atau tidak. Ujaran Ke huma? Seolah-olah bermaksud

penutur menanyakan sama ada pendengar mahu pergi ke huma atau tidak. Dari segi

makna strukturnya, ayat tanya dalam perbualan 1 membawa maksud, Besah (penutur)

ingin mendapatkan maklumat sama ada Tukya (pendengar) sama ada Tukya akan ke

huma atau tidak. ‘Huma’ di sini merujuk kepada sawah padi yang di tanam di kawasan

lereng bukit.

Page 7: ABSTRAK stdG

Apabila penutur menanyakan kemahuan pendengar, maka terpulanglah kepada

pendengar sama ada mahu mengesahkan atau tidak kemahuannya. Dengan itu, ujaran

Ke huma? Menunjukkan penutur kekurangan maklumat. Jadi, pertanyaan itu dianggap

sebagai percubaan untuk mencungkil maklumat daripada pendengar.

Dilihat dari segi makna struktur, jawapan yang diberi, seolah-olah

menggambarkan bahawa Tukya mengeluarkan arahan agar Besah sahaja yang ke

huma untuk menghalau burung tiak daripada memakan padi atau meninjau tanaman

yang akan masak.

Daripada huraian di atas, jelas bahawa analisis terhadap ujraran Ke huma?

bermula dengan ketidakpastian bahawa ujaran tersebut merupakan kependekan dari

satu ayat tanya. Pertimbangan ini penting kerana ini menjadikan ujaran tersebut

sebagai satu proposisi yang tidak lengkap dan secara tidak langsung menggambarkan

kekurangan pengetahuan kepada pihak penutur.

Dalam urutan tanya jawab yang dikaji, pendengar menyatakan Belum masak.

Kau saja yang pergi tolong hambat burung tiak … sebaik sahaja penutur menyatakan

Ke huma? . Secara bandingannya, agak mudah untuk menganggap ujaran pendengar

itu sebagai jawapan. Jawapan ini sudah cukup bagi penutur, iaitu Besah akur,

menggambarkan persetujuan kepada maklumat yang diberikan oleh Tukya. Jawapan

itu boleh juga dianggap sebagai arahan.

Dari segi konteks ujaran penutur dan pendengar, urutan tanya jawab dalam

perbualan 1 mempunyai maksud yang implisit atau tersirat. Ujaran Ke huma? diujarkan

oleh Besah kerana Tukya dalam konteks perbualan sebelumnya memberitahu Besah

bahawa dia akan membawa Lamin ke rimba untuk menaiki gunung. Kemungkinan

pernyataan Tukya ini adalah suatu pernyataan yang melanggar rutin harian kehidupan

Tukya dan Besah. Hal ini demikian kerana, sebelum kehadiran Lamin di kampung,

Tukya dan Besah akan ke huma pada setiap pagi. Jadi, apabila Tukya menyatakan

Page 8: ABSTRAK stdG

bahawa dia akan membawa Lamin ke rimba pada keesokan paginya, maka

menyebabkan Besah ragu-ragu atas permintaan tersebut. Oleh itu, pertanyaan Ke

huma? tersebut lebih merupakan pertanyaan yang bertujuan untuk mendapatkan

kepastian daripada pertanyaan yang inginkan maklumat atau jawapan seperti yang

didefinisikan oleh penahu.

Berdasarkan urutan jawapan dalam perbualan 1 di atas, pernyataan Tukya, iaitu

Belum masak. Kau saja yang pergi … , jelas tidak menjawab maksud atau matlamat

pertanyaan yang dikemukakan jika dianalisis berdasarkan prinsip nahu. Walau

bagaimanapun, jawapan tersebut telah dapat memenuhi kehendak penutur. Ini kerana

penutur akur sahaja dengan jawapan yang diberi oleh pendengar. Seterusnya

perbualan tersebut berhenti di situ, tanpa mendapat apa-apa bantahan daripada

penutur.

Jika dilihat dari segi konteks, ujaran ...Kau saja yang pergi… adalah satu arahan

yang diberi oleh pendengar kepada penutur dan arahan tersebut perlu dipatuhi. Di

samping itu, ujaran tersebut memberi kepastian dan penjelasan kepada penutur

bahawa pendengar tidak akan ke huma pada esok hari. Jika dianalisis dari segi makna

konteks, urutan tanya jawab tersebut mencapai matlamat penutur apabila pendengar

mengeluarkan arahan agar penutur sahaja yang akan ke huma. ini membawa maksud

bahawa pendengar tidak akan ke huma, sebaliknya hanya penutur yang akan ke huma.

Jelaslah di sini bahawa perbualan tersebut difahami berdasarkan makna konteks antara

penutur dan pendengar. Maka, urutan tanya jawab dalam perbualan 1 memenuhi aspek

makna dari segi konteks ujaran. Di samping itu, kepentingan makna konteks ini jelas

memainkan peranan yang besar untuk mewujudkan pemahaman dalam situasi

perbualan tersebut.

Pengenalpastian terhadap ujaran Ke huma? telah dilakukan berdasarkan

pelbagai sudut. Kriteria yang dihuraikan di atas jelas menunjukkan bahawa ujaran ini

adalah satu pertanyaan. Berdasarkan konteks ujaran juga, ujaran tersebut memenuhi

syarat sebagai pertanyaan.

Page 9: ABSTRAK stdG

Ayat Tanya dengan Kata Tanya

Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya seperti

apa, siapa, berapa, mengapa, bagaimana, dan selainnya. Ayat-ayat ini terdiri daripada

dua golongan, iaitu:

a) Ayat tanya dengan kata ganti nama tanya

b) Ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya

Ayat Tanya dengan Kata Ganti Nama Tanya

Ganti nama tanya dalam bahasa Melayu ialah seperti apa, siapa dan mana. Ayat

tanya dengan ganti nama tanya dibentuk dengan ganti nama tanya menduduki unsur

predikat. Dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung penggunaan ayat tanya dengan

kata ganti nama tanya terdapat dalam perbualan berikut :

Perbualan 2

“Atuk, ini pokok apa? … Tanya Lamin sambil bergantung pada akar yang dicantasnya tadi, dan menghayun-hayunkan badannya ke sana ke mari.“Errr Atuk ingat … medang gatal!”

(Seorang Tua di Kaki Gunung : 31)

Dalam perbualan 2 di atas, pertanyaan Atuk ini pokok apa? Jelas menunjukkan

bahawa ayat tersebut ialah ayat tanya dengan kata ganti nama tanya. Kata ganti nama

yang digunakan ialah apa. Berdasarkan ayat tersebut, kata ganti nama tanya

menduduki unsur predikat, seperti berikut (garis [/] memisahkan subjek dengan

predikat) :

Atuk ini pokok,/ apa?

Bentuk ini boleh mengalami proses pendepanan predikat, yang akan

menghasilkan ayat berikut :

Page 10: ABSTRAK stdG

Apa pokok ini, atuk?

Walau bagaimanapun, ayat di atas merupakan bentuk bahasa lisan. Menurut Nik

Safiah (1995 : 426), bagi bentuk bahasa tulisan, ayat tersebut perlu menerima partikel

-kah pada unsur yang dikedepankan seperti contoh berikut :

Apakah pokok ini, atuk?

Namun begitu, sekiranya ayat di atas ditulis semula mengikut struktur ayat

bahasa Melayu baku maka binaannya adalah seperti yang berikut :

Apakah nama pokok ini, atuk?

Berdasarkan makna struktur, ayat tanya yang dinyatakan oleh penutur

membawa maksud bahawa penutur ingin mengetahui daripada datuknya, nama pokok

yang akarnya dibuat tali bergantungan seperti buaian. Manakala jawapan yang diberi

oleh pendengar adalah jelas, iaitu …medang gatal.

Berdasarkan makna konteks pula, ujaran pertanyaan penutur adalah jelas, iaitu

untuk mengetahui nama pokok. Jika dilihat berdasarkan situasi perbualan, penutur dan

pendengar berada di dalam hutan yang penuh dengan pelbagai spesies pokok hutan

yang jarang ditemui. Bagi penutur yang kurang berpengetahuan tentang tumbuhan

hutan, maka pertanyaan tersebut dituturkan mungkin disebabkan oleh sifat pokok itu

yang istimewa, iaitu akarnya boleh dibuat tempat bergantungan seperti buaian.

Pertanyaan ini menunjukkan penutur benar-benar ingin mendapatkan maklumat untuk

menambah pengetahuannya tentang dunia tumbuh-tumbuhan.

Jika diteliti, pertanyaan ini menepati definisi ayat tanya yang dikemukakan oleh

penahu dan membawa pendengar menjawab soalan yang dikemukakan oleh penutur,

iaitu ayat yang memerlukan jawapan (Asmah, 1993 : 388).

Page 11: ABSTRAK stdG

Jika dilihat urutan jawapan yang diberi oleh pendengar pelbagai interpretasi

boleh dibuat. Ujaran Errr Atuk ingat … memaparkan bahawa pendengar kurang pasti

untuk memberikan jawapan. Mungkin kerana pendengar sudah lupa disebabkan usia

yang kian lanjut atau kerana pendengar telah lama ‘berdamping’ dengan dunia hutan.

Namun begitu, pendengar seboleh-bolehnya memberi jawapan kepada pertanyaan

penutur. Hal ini demikian kerana pendengar tidak mahu penutur menganggap bahawa

beliau kurang berpengalaman tentang tumbuhan hutan. Ini kerana selama ini penutur

mengganggap pendengar adalah seorang yang bijak dan mengetahui segala hal, lebih-

lebih lagi tentang keadaan di rimba. Walaupun ujaran ini jelas menunjukkan bahawa

Tukya kurang pasti dengan jawapan yang diberi namun, penutur berpuas hati dengan

jawapan yang diberi.

Ayat Tanya dengan Frasa Sendi Nama Tanya

Ayat-ayat jenis ini terdiri daripada ayat-ayat yang didahului oleh frasa sendi

nama tanya seperti : di mana, dari mana, ke mana, sejak bila, sampai bila, bagaimana,

dengan siapa, daripada siapa dan sebagainya (Nik Safiah, 1995 : 427). Seperti juga

dengan ayat tanya dengan ganti nama tanya, ayat jenis ini dibentuk dengan frasa sendi

nama tanya hadir dalam predikat.

Untuk tujuan analisis seperti yang dinyatakan di atas, perhatikan perbualan

berikut ;

Perbualan 3

“Pagi ini Paknya nak ke mana?” tiba-tiba Besah bertanya.Kedut kulit mukanya dengan terkakap-kakap berjalan seperti satu kecurigaan jika ditinggalkan.“Aku nak bawa Lamin ke rimba, naik gunung,: Kata Tukya

(Seorang Tua di Kaki Gunung : 24)

Page 12: ABSTRAK stdG

Fokus analisis adalah urutan tanya jawab dalam perbualan di atas yang bermula

dengan pertanyaan Besah, Pagi ini Paknya nak ke mana? untuk mengenal pasti aspek

nahuannya, makna struktur dan makna konteks urutan tanya jawab tersebut. Analisis

seterusnya adalah jawapan Tukya, iaitu Aku nak bawa Lamin ke rimba, naik gunung.

Dalam ujaran Pagi ini Paknya nak ke mana? jelas menunjukkan bahawa ujaran

ini ialah ayat tanya dengan frasa sendi nama tanya. Ini dibuktikan dengan kehadiran

kata sendi nama tanya ke mana yang diletakkan dalam predikat ayat. Ayat ini juga

boleh mengalami proses pendepanan predikat yang akan menghasilkan ayat Ke

manakah Paknya nak pergi pagi ini?. Partikel -kah dalam ayat ini berperanan sebagai

unsur penegas bagi frasa sendi tanya tersebut.

Di lihat dari aspek makna struktur, ujaran pertanyaan tersebut membawa

maksud bahawa Besah ingin mendapatkan maklumat tentang aktiviti yang telah

dirancang oleh Tukya bersama Lamin pada pagi tersebut.

Manakala jawapan yang diberi oleh Tukya jelas menunjukkan bahawa Tukya

memberitahu dengan terus-terang bahawa beliau akan membawa Lamin ke rimba

untuk mendaki gunung.

Dilihat dari aspek makna konteks pula, ujaran ini timbul apabila Tukya begitu

mendesak agar Lamin cepat mandi walaupun Lamin memberi alasan sejuk. Perbuatan

Tukya ini menimbulkan keraguan Besah sama ada Tukya ingin meneruskan rutin harian

ke huma atau mempunyai perancangan lain. Ujaran ini juga menggambarkan perasaan

curiga Besah jika beliau ditinggalkan seorang diri di rumah. Ini mungkin kerana, selama

bersama Tukya, Besah akan sering membantu suaminya untuk melakukan segala

kerja. Jarang sekali dia ditinggalkan seorang diri di rumah. Mungkin dengan kehadiran

Lamin akan menyebabkan Tukya lupa akan dirinya. Ini kerana Tukya mempunyai

hasrat untuk mengajar Lamin akan kehidupan di rimba, iaitu untuk mengenal kehidupan

yang terdapat di dalam rimba Gunung Bongsu.

Page 13: ABSTRAK stdG

Ujaran ini juga boleh dijeniskan sebagai soalan yang mengandungi mesej yang

tersirat. Yang ditanya bukan merupakan hajat sebenar yang ingin disampaikan. Ini

kerana Besah memang sedia maklum bahawa Tukya mempunyai hajat yang besar,

iaitu untuk memperkenalkan dunia rimba kepada Lamin. Persoalan ini mungkin bukan

pertanyaan yang meminta maklumat, kerana hakikatnya Tukya telah memberitahu

Lamin bahawa beliau akan membawa Lamin ke rimba sebelum Lamin mandi dalam

situasi sebelumnya. Tetapi pertanyaan ini cuba untuk menimbulkan keraguan di hati

pendengar agar memikirkan smeula apa-aoa yang ingin dilakukan. Nor Hashimah

(1992 : 889), menggolongkan pertanyaan sebegini sebagai interogatif implikatur.

Ayat Tanya Tertutup

Ayat tanya tertutup ialah ayat tanya yang memerlukan jawapan ya atau

tidak/bukan. Perhatikan contoh perbualan berikut:

Perbualan 4

“Muka tu tak surut-surut lagi. Tak makan ubat ke?” tanya Fikri pula dengan renungan seperti mengejek.“Dah lega pun,” kata Tukya selamba. Tetapi dalam hatinya amat menyesali kepulangan Fikri kali itu.

(Seorang Tua di Kaki Gunung : 89)

Fokus analisis adalah urutan tanya jawab dalam perbualan di atas yang bermula

dengan pertanyaan Fikri, Tak makan ubat ke? untuk mengenal pasti bentuk nahuan,

makna struktur dan makna konteks ujaran tersebut. Analisis seterusnya adalah jawapan

Tukya, iaitu Dah lega pun. bagi membincangkan konteks urutan tanya jawab dalam

perbualan tersebut.

Page 14: ABSTRAK stdG

Ujaran Tak makan ubat ke? memang dapat dianggap sebagai pertanyaan

kerana ayat tanya yang dibentuk secara nahuan memang sesuai kepada fungsi

pertanyaan. Oleh sebab ayat tanya adalah proposisi yang tidak lengkap.

Menurut Asmah (1993 : 392), pertanyaan tertutup ini boleh mempunyai kaitan

pilihan (dengan atau). Jika diteliti ayat tersebut, ujaran pertanyaan ini turut memberi

pilihan kepada pendengar untuk menjawab soalan tersebut sama ada ya atau tidak.

Jika dalam bentuk ayat baku, ayat tersebut boleh dinyatakan seperti berikut, iaitu Ayah

makan ubat atau tidak?. Walau bagaimanapun, dalam bahasa lisan, ayat tersebut tidak

menggunakan atau pada pemilihan jawapan. Sebaliknya, dalam ujaran tersebut, kata

sendi ke boleh membawa maksud penegasan kepada jawapan ya atau tidak. Menurut

Asmah (1992 : 107), kata-kata seperti dah, dok, tengah, dan tak … lagi berfungsi

sebagai kata kerja aspek dalam dialek Kedah. Berdasarkan ujaran tersebut, kata kerja

aspek tak…ke boleh berfungsi kata kerja aspek yang mendukung makna perbuatan

yang sedang atau telah berlaku.

Pertanyaan Tak makan ubat ke? adalah pertanyaan yang mengenakan

penjudulan pada predikat, objek atau ajung ayat. Pertanyaan tertutup memerlukan

jawapan sama ada ya atau tidak. Pertanyaan ini mempunyai proposisi yang tidak

lengkap kerana pengetahuan sama ada proposisi tersebut benar atau tidak. Dalam

perbualan 4 di atas, penutur tidak pasti sama ada Tukya makan ubat atau tidak. Yang

menjadi pelengkap kepada proposisi tersebut adalah pilihan jawapannya, misalnya ya

atau tidak yang meletakkan kedudukan pertentangan positif atau negatif atau

membawa kesimpulan sama ada pasti atau tidak.

Ujaran tersebut diberi intonasi tanya, iaitu mempunyai nada yang meninggi

sedikit sebelum kesenyapan terakhir. Ini kerana kajian ke atas intonasi menunjukkan

bahawa intonasi akhir yang menaik merupakan satu penanda niat pengucapan yang

paling jelas untuk pertanyaan. Menurut Abdullah (1989 : 183), ayat tanya ialah ayat

yang disertai pola intonasi akhir yang menaik ( →#) . Nada akhir dalam kontor itu

Page 15: ABSTRAK stdG

selalunya tinggi. Dalam ujaran Tak makan ubat ke? , intonasi akhirnya adalah menaik.

Biasanya dalam tulisan diberi tanda soal (?) .

Dari segi intonasi juga, ujaran pertanyaan di atas jelas menggambarkan

ketidakpastian penutur. Oleh itu, penutur memerlukan kepastian tentang maklumat

tersebut daripada pendengar.

Dari segi makna struktur, ujaran tersebut bermakna Fikri menanyakan Tukya

sama ada beliau makan ubat yang diberikan oleh doctor. Oleh itu, penutur dianggap

cuba mencungkil maklumat tersebut daripada pendengar.

Konteks ujaran pula, urutan tanya jawab ini sebenarnya sudah memberi pilihan

kepada pendengar untuk menjawab sama ada ya atau tidak. Pendengar tidak perlu

menjawab dengan penuh pertanyaan tersebut. Walau bagaimanapun, jawapan yang

diberi oleh pendengar bergantung kepada konteks maknanya. Ia tidak semata-mata

dikatakan bergantung kepada kontor intonasi menaik, atau bentuk ayat tanya tersebut.

Dari segi konteks sebelumnya, Fikri telah mendapat tahu bahawa Tukya telah

dimasukkan ke hospital kerana diserang lebah ketika cuba mengambil misan lebah di

rimba. Oleh itu, jelaslah bahawa Fikri sebenarnya kurang pasti keadaan Tukya yang

masih belum sembuh.

Selalunya ayat tanya tertutup memerlukan jawapan pendek ya atau tidak/bukan.

Walau bagaimanapun, dalam urutan perbualan ini, jawapan yang diberi oleh Tukya

tidak menepati pendefinisian yang diberi oleh penahu. Untuk itu, analisis jawapan ini

perlu dilihat dari aspek makna konteks. Berdasarkan situasi, pertanyaan yang

diutarakan oleh Fikri jelas menunjukkan bahawa dia tidak memerlukan maklumat atau

jawapan. Persoalan ini merupakan satu sindiran. Mungkin Fikri ingin menyindir bapanya

atas perbuatan sia-sia yang dilakukan untuk mengambil misan lebah sehingga

menyebabkan muka bapanya bengkak. Mungkin juga Fikri ingin mempersenda akan

bapanya. Persoalan ini mungkin dikemukakan kerana Fikri mungkin tahu bahawa

Page 16: ABSTRAK stdG

bapanya tidak suka makan ubat. Sikap ini adalah lumrah bagi masyarakat Melayu di

kampung. Mereka lebih suka memilih perubatan kampung seperti air penawar dan

jampi serapah atau doa. Dalam konteks cerita ini, Besah pernah meminta Lebai At

untuk membuat air penawar ketika Tukya pengsan. Menurut Sperber dan Wilson (1986)

pertanyaan sebegini digolongkan kepada interogatif retorik, iaitu soalan yang

dikemukakan sebagai sindiran bukan dengan tujuan meminta jawapan kerana

jawapannya telah pun diketahui lebih awal (Nor Hashimah, 1992 : 885).

Menurut Nor Hashimah (1991 : 474), orang Melayu bijak menyampaikan mesej

dengan gaya yang paling sopan dengan berselindung di sebalik tutur kata yang

semanis mungkin, biarpun apa yang disampaikan itu tidak mungkin begitu

menyenangkan. Jadi, pertanyaan Fikri ini, jelas menunjukkan bahawa terdapat mesej

yang tersirat di sebalik pertanyaan tersebut seperti yang dinyatakan di atas.

Pelbagai penginterpretasian boleh dibuat berdasarkan pertanyaan penutur dalam

konteks perbualan tersebut. Begitu juga dengan urutan jawapan yang diberi.

Hakikatnya, Tukya sedar bahawa pertanyaan Fikri lebih merupakan sindiran atau

ejekan. Oleh itu, jawapan yang diberi lebih merupakan penjelasan terhadap keadaan

dirinya daripada menjawab pertanyaan yang diujarkan oleh anaknya. Ujaran Dah lega

pun. sekadar ingin memberitahu Fikri bahawa beliau tidak memerlukan ubat lagi kerana

bias sengatan lebah yang dialami telah sembuh. Di samping itu, ujaran ini juga

membawa maksud bahawa Tukya tidak makan ubat yang diberi oleh doktor.

Ayat Tanya Terbuka

Ayat tanya terbuka ialah ayat tanya yang jawapannya tidak terhad kepada

perkataan ya atau tidak/bukan tetapi sebaliknya bergantung pada maksud yang

terkandung dalam ayat tersebut.

Menurut Amah (1993 : 394), pertanyaan terbuka mendapat ciri ‘terbuka’nya

daripada jawapan yang diperlukan. Jawapan kepada pertanyaan terbuka tidak terbatas

Page 17: ABSTRAK stdG

kepada satu-satu jenis yang tertentu. Pertanyaan terbuka boleh dibahagikan kepada

dua jenis; yang satu menggunakan ganti nama tanya dan satu lagi menggunakan

adverba tanya. Dengan demikian, yang pertama itu menghendaki jawapan nama, dan

yang kedua menghendaki jawapan adverba.

Berikut adalah petikan perbualan yang mengandungi ayat tanya terbuka yang

akan dianalisis dari sudut bentuk nahuan, makna struktur dan konteks ujaran penutur

dan pendengar.

Perbualan 5

“Bila nak datang pula, Farid, Min?”Tukya tersentak. Pertanyaan dari Besah di sisinya itu bagi Tukya amat dibencinya walaupun dia mengharap Lamin akan datang lagi.“Selagi Atuk tak mau ke Kuala Lumpur, kami tak mau datang,” kata Farid seperti satu gertakan.

(Seorang Tua di Kaki Gunung : 99)

Dalam perbualan 5, fokus analisis adalah urutan tanya jawab dalam perbualan

yang bermula dengan pertanyaan Besah, Bila nak datang pula, Farid, Min? untuk

mengenal pasti aspek nahuannya, makna struktur dan makna konteks urutan tanya

jawab tersebut. Analisis seterusnya adalah jawapan Farid iaitu Selagi Atuk tak mau ke

Kuala Lumpur, kami tak mau datang.

Menurut Arbak (1989 : 110) ayat tanya terbuka ialah ayat tanya yang memakai

kata tanya di awal ayat, kata tanya itu adalah seperti apa, siapa, bila, mana, mengapa,

berapa, bagaimana dan sebagainya. Dalam ujaran pertanyaan Bila nak datang pula,

Farid, Min? kata tanya yang diletakkan di awal ayat digunakan ialah bila.

Di samping itu, ayat tanya terbuka ini memerlukan jawapan terbuka atau penuh

yang tidak terhad kepada perkataan tertentu (ya atau tidak). Dalam perbualan 5, ujaran

jawapan oleh pendengar, iaitu Selagi Atuk tak mau ke Kuala Lumpur, kami tak mau

Page 18: ABSTRAK stdG

datang. juga memaparkan bahawa jawapan tersebut adalah terbuka dan tidak terhad

kepada perkataan tertentu.

Dari segi pengucapannya pula, Arbak (1989 : 110) juga menyatakan bahawa

ayat tanya jenis ini tidak memerlukan intonasi tanya yang meninggi di akhir ayat. Dalam

ujaran Bila nak datang pula, Farid, Min? walaupun terdapat tanda soal (?) yang

menggambarkan pola intonasi akhir yang menaik ( →#), pengucapannya tidak

diucapkan menggunakan nada yang tinggi.

Berdasarkan paparan analisis bentuk ayat di atas, jelaslah bahawa ujaran

pertanyaan ini boleh digolongkan sebagai ayat tanya terbuka seperti yang didefinisikan

oleh penahu.

Dari segi makna strukturnya, ujaran pertanyaan tersebut memerlukan jawapan

yang merujuk keterangan waktu. Ujaran tersebut membawa maksud bahawa penutur

ingin mengetahui bila Farid dan Lamin akan pulang ke kampung lagi. Ini

memandangkan ketika itu Farid dan Lamin akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Manakala makna struktur yang boleh diinterpretasikan berdasarkan jawapan

pendengar ialah, Farid dan Lamin tidak akan pulang ke kampung selagi Tukya tidak

mahu menerima pelawaan mereka untuk tinggal di Kuala Lumpur.

Berdasarkan makna konteks, urutan tanya jawab dalam perbualan 5 ini boleh

diinterpretasikan kepada pelbagai maksud. Ujaran ini boleh membawa maksud

pengharapan agar Farid dan Lamin akan pulang ke kampung secepat mungkin.

Maksud ini disampaikan dalam bentuk pertanyaan yang menggambarkan betapa

mendalamnya harapan tersebut. Mungkin juga pertanyaan ini bertujuan untuk

melahirkan perasaan sedih kerana Besah terpaksa berpisah sebelum puas bermesra

dengan cucu-cucunya. Oleh itu, Besah amat berharap agar perpisahan tersebut tidak

berlaku. Pertanyaan ini juga bertujuan untuk memberitahu Fikri bahawa ibu dan ayahna

amat berharap agar mereka sering menjenguk Besah dan Tukya di kampung.

Page 19: ABSTRAK stdG

Di samping itu, ujaran ini boleh dikategorikan sebagai interogatif spekulasi

seperti yang dicadangkan oleh Sperber dan Wilson (1986). Soalan ini lebih berupa

spekulatif kerana tiada seorang pun yang mendengar mampu untuk menjawab soalan

tersebut dengan tepat (Nor Hashimah, 1992 : 885). Soalan ini sukar dijawab sama ada

oleh penutur ataupun pendengar. Hanya orang tertentu sahaja yang tahu akan

jawapannya. Dalam konteks ujaran ini, hanya Fikri yang tahu bila mereka akan pulang

ke kampung. Namun begitu, maksud tarikh yang tepat sukar untuk dinyatakan.

Berdasarkan jawapan pendengar, pelbagai interpretasi makna konteks boleh

dihuraikan. Jawapan pendengar ini menunjukkan bahawa pendengar cuba mempelawa

penutur ke Kuala Lumpur dengan cara gertakan. Ini kerana pendengar sedar bahawa

penutur amat berharap agar mereka sering pulang ke kampung. Dengan gertakan

tersebut, diharap penutur akan setuju untuk mengikut mereka ke Kuala Lumpur. Namun

begitu, jawapan ini tidak mendapat reaksi apa-apa. Mungkin penutur menganggap

jawapan itu sekadar omong kosong kerana Farid tidak mempunyai kuasa untuk

membuat keputusan. Mungkin juga penutur sudah menjangkakan jawapan tersebut.

Jawapan tersebut juga menggambarkan bahawa pendengar sebenarnya tidak pasti

untuk memberi jawapan yang tepat berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh

penutur. Jadi berdasarkan makna konteks ini, terdapat pelbagai maksud yang

mendukung ujaran tersebut.

Page 20: ABSTRAK stdG

Kesimpulan

Urutan tanya jawab yang terdapat dalam perbualan antara watak novel Seorang

Tua di Kaki Gunung yang dapat dikelompokkan kepada 4 kumpulan utama. Selain itu,

ianya dapat dikelompokkan kepada beberapa subkelompok yang lebih terperinci seperti

huraian yang telah dijelaskan. Berdasarkan penganalisisan kajian ini dari aspek makna

mengikut konteks dan situasi ianya diujarkan, telah diperoleh beberapa penemuan baru

dalam aspek makna dan fungsi tanya jawab dalam bahasa Melayu. Selain berfungsi

untuk mendapatkan maklumat, ayat tanya dalam novel ini mempunyai maksud tertentu

seperti untuk mendapatkan kepastian, sapaan, spekulasi, dan pernyataan untuk

melahirkan perasaan seperti tercabar, kesal, sedih, kecewa, mengharap, hairan, curiga,

dan sebagainya. Keadaan ini sesuai dengan budaya masyarakat Melayu, apabila ingin

menyampaikan sesuatu pernyataan, biasanya tidak dinyatakan secara berterus-terang

tetapi sering menggunakan ayat-ayat yang mempunyai maksud tersirat di sebaliknya.

Kajian ini membuktikan bahawa urutan tanya jawab yang digunakan antara watak

dalam novel Seorang Tua di Kaki Gunung ini telah menyelitkan unsur-unsur budaya

Melayu dalam menyatakan sesuatu. Oleh itu, bagi setiap pertanyaan yang ingin

diutarakan, penutur biasanya tidak menyatakan secara terus-terang. Walau

bagaimanapun, terdapat bentuk pertanyaan yang dinyatakan secara terus-terang dan

meminta pendengar untuk memberikan maklumat.

Sebagai rumusan, kajian ini menunjukkan bahawa analisis wacana merupakan

satu pendekatan yang boleh dipraktikkan dalam konteks linguistik Melau secara relatif.

Pendekatan analisis wacana sesuai digunakan untuk mengkaji bahasa melampaui

peringkat ayatan. Urutan ayat dalam bentuk lisan mahupun tulisan lazimnya dijadikan

asas kajian analisis wacana.

Di samping mengkaji struktur urutan ayat dalam wacana (sesuatu teks atau jenis

teks tertentu), peranan sesuatu unsur bahasa dalam sesuatu struktur serta

hubungannya antara satu ayat dengan ayat-ayat lain tetap diperihalkan. Pendekatan

analisis wacana dapat dikembangkan dengan memperbanyak kajian penggunaan

Page 21: ABSTRAK stdG

bahasa dalam bentuk teks tertulis dan data lisan (termasuk pelbagai bentuk

percakapan).

Keistimewaan analisis wacana adalah kerana pendekatan ini mementingkan

konteks penggunaan dan latar sosial pengguna bagi memerikan tatabahasa sesuatu

bahasa. Sebagai satuan bahasa yang lengkap, pendekatan ini mengkaji unsur bahasa

melebihi batas ayat dan ini merupakan kelainan daripada pendekatan atau teori yang

digunakan selama ini. Perkembangan ini wajar diterima dan diterapkan bagai

memerikan tatabahasa bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, satu hakikat yang perlu diambil kira ialah setiap

pendekatan atau teori tatabahasa bahasa Melayu yang digunakan oleh para penahu

bahasa Melayu, berperanan sebagai penyumbang kepada kepustakaan ilmu bahasa

Melayu. Para penahu bahasa Melayu berhak memilih pendekatan atau teori tatabahasa

yang diminati. Kepelbagaian itu merupakan satu keistimewaan yang tersendiri dalam

usaha memperkaya kepustakaan ilmu bahasa Melayu.