54 sekolah agama islam di pahang satu kajian sejarah dan perkembangan awal

18
1 SEKOLAH AGAMA ISLAM DI PAHANG: SATU KAJIAN SEJARAH DAN PERKEMBANGAN AWAL SALITURAHIM ALIAS Sekolah Menengah Agama Al-Ittifaqiyyah, Guai, Temerloh Jabatan Agama Islam Pahang saliturahim @yahoo.com. KAMARUZAMAN YUSOFF Universiti Kebangsaan Malaysia AZIZI UMAR Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak Artikel ini bertujuan untuk membincangkan sejarah perkembangan awal sekolah agama rakyat di negeri Pahang. Kajian ini juga meneliti faktor-faktor yang membawa kepada pengambilalihan sekolah agama rakyat oleh kerajaan negeri Pahang. Sebagaimana negeri-negeri yang lain yang menerima pendidikan Islam terkemudian sedikit, selalunya sejarah awal pendidikan Islam di negeri bermula hasil daripada penghijrahan tuan-tuan guru untuk mendalami sesuatu ilmu agama. Tuan-tuan guru tersebut akan pulang kembali ke kampung asalnya dan mengasaskan penubuhan sekolah pondok atau sekolah agama. Metodologi kajian yang digunakan ialah temu bual dan dokumentasi. Hasil kajian mendapati perkembangan awal sekolah agama rakyat di Pahang dipengaruhi oleh pendidikan Islam dari negeri Kelantan dan Johor. Sejarah perkembangan sekolah agama tersebut dapat dibahagi kepada dua tahap iaitu sebelum Perang Dunia Kedua dan Selepas Perang Dunia Kedua yang dipisahkan daripada masyarakat tempatan kepada kerajaan negeri. Kajian mendapati kerajaan mengambil alih sekolah agama rakyat untuk menjadikah pengurusan dan pentadbiran agama lebih baik. Seterusnya pengambilalihan ini bertujuan untuk melengkapkan prasarana dan pembangunan fizikal sekolah untuk kemudahan pengajaran dan pembelajaran. Sehingga tahun 1972 telah terdapatnya sebanyak dua belas buah sekolah kerajaan negeri Pahang. Namun demikian masih terdapat juga sekolah yang diuruskan oleh masyarakat setempat. Kata Kunci: Sejarah Pendidikan Islam, Sekolah Agama Pahang, Sekolah Agama Negeri

Upload: msanusi

Post on 27-Oct-2015

308 views

Category:

Documents


9 download

TRANSCRIPT

Page 1: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

1

SEKOLAH AGAMA ISLAM DI PAHANG: SATU KAJIAN SEJARAH DAN

PERKEMBANGAN AWAL

SALITURAHIM ALIAS

Sekolah Menengah Agama Al-Ittifaqiyyah, Guai, Temerloh

Jabatan Agama Islam Pahang

saliturahim @yahoo.com.

KAMARUZAMAN YUSOFF

Universiti Kebangsaan Malaysia

AZIZI UMAR

Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak

Artikel ini bertujuan untuk membincangkan sejarah perkembangan awal sekolah

agama rakyat di negeri Pahang. Kajian ini juga meneliti faktor-faktor yang membawa

kepada pengambilalihan sekolah agama rakyat oleh kerajaan negeri Pahang.

Sebagaimana negeri-negeri yang lain yang menerima pendidikan Islam terkemudian

sedikit, selalunya sejarah awal pendidikan Islam di negeri bermula hasil daripada

penghijrahan tuan-tuan guru untuk mendalami sesuatu ilmu agama. Tuan-tuan guru

tersebut akan pulang kembali ke kampung asalnya dan mengasaskan penubuhan

sekolah pondok atau sekolah agama. Metodologi kajian yang digunakan ialah temu

bual dan dokumentasi. Hasil kajian mendapati perkembangan awal sekolah agama

rakyat di Pahang dipengaruhi oleh pendidikan Islam dari negeri Kelantan dan Johor.

Sejarah perkembangan sekolah agama tersebut dapat dibahagi kepada dua tahap

iaitu sebelum Perang Dunia Kedua dan Selepas Perang Dunia Kedua yang

dipisahkan daripada masyarakat tempatan kepada kerajaan negeri. Kajian mendapati

kerajaan mengambil alih sekolah agama rakyat untuk menjadikah pengurusan dan

pentadbiran agama lebih baik. Seterusnya pengambilalihan ini bertujuan untuk

melengkapkan prasarana dan pembangunan fizikal sekolah untuk kemudahan

pengajaran dan pembelajaran. Sehingga tahun 1972 telah terdapatnya sebanyak dua

belas buah sekolah kerajaan negeri Pahang. Namun demikian masih terdapat juga

sekolah yang diuruskan oleh masyarakat setempat.

Kata Kunci: Sejarah Pendidikan Islam, Sekolah Agama Pahang, Sekolah Agama

Negeri

Page 2: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

2

Pendahuluan

Di negeri Pahang, pendidikan Islam telah wujud semenjak kedatangan Islam. Pada

peringkat awal, pendidikan Islam di Pahang bermula di surau dan masjid yang

disampaikan oleh guru-guru agama. Surau dan masjid menjadi tempat terawal untuk

menyampaikan pendidikan Islam sama ada ilmu agama ataupun mengajar membaca

al-Qur‟ān. Kebanyakan ulama negeri Pahang mengikuti pembelajaran pondok seperti

di Bunut Payong, Kelantan dan juga mengikuti pendidikan madrasah seperti di

Madrasah al- Attas, Johor. Apabila kembali ke kampung halaman mereka akan

menyampaikan ilmu-ilmu yang diperolehi samada di surau-surau ataupun di masjid-

masjid.

Di samping itu, ada yang menjalankan usaha gigih menyebarkan ilmu

membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. 1

Antaranya yang membuka

pondok ialah Haji Ismail bin Akil di kampung Pasir Mas, Kuala Lipis, Haji

Ahmad, Haji Abdul Mubin bin Mohd Taib di Beserah, Kuantan Haji Junid bin

Othman, Haji Kamaluddin bin Othman di Air Itam, Pekan dan Haji Ibrahim bin

Mohd Ali di Tanjung Besar, Kuala Lipis. Selain itu, sekolah agama rakyat ditubuhkan

dalam usaha menyebarkan ilmu kepada masyarakat tempatan.

Keadaan ini dapat dibuktikan dengan perkembangan Madrasah al-Attas,

Ketapang, Pekan (1923) yang telah dimajukan oleh Haji Mohd Hassan bin Senik yang

mendapat pendidikan di Madrasah al-Attas, Johor. Begitu juga Madrasah al-Wosto,

Berhala Gantang, Temerloh (1948) yang telah dimajukan oleh Tuan Guru Haji

Hasanuddin yang mendapat pendidikan pondok di Bunut Payong, Kelantan. Ini

menunjukkan di negeri Pahang, pendidikan agama Islam yang lebih formal telah

berkembang melalui madrasah / sekolah agama. Objektif utama penubuhan sekolah

1 Abdul Kadir Kamal, Negeri Pahang Di tengah-tengah Perkembangan Agama Islam dan

Kristian dlm Monograf Pahang Dalam Sejarah VI, Lembaga Muzium Negeri Pahang, 1997, hlm. 9.

Page 3: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

3

agama adalah untuk memberi pelajaran dan didikan agama kepada anak bangsa

serta mengembangkan syiar Islam. Di peringkat awal ini madrasah di Pahang, guru-

guru akan mengajar mata pelajaran seperti Lughah Arabiyyah, Naḥ u wa Ṣ araf,

Fiqh, Tafsīr, Ḥadīth, Inshā’, Imlā’, Tauḥ īd, al-Qur‟ān, Usul Fiqh, Balāghah,

Manṭ iq, Muḥ ādathah, Qirā’ah, Farā’iḍ , Tajwid dan Akhlak.2 Manakala mata

pelajaran umum (akademik) tidak diajar disebabkan ketiadaan tenaga pengajar. Secara

umumnya perkembangan awal sekolah agama rakyat di Pahang dibahagi kepada dua

tahap iaitu sebelum Perang Dunia Kedua dan selepas Perang Dunia Kedua.

SEKOLAH AGAMA RAKYAT DI PAHANG SEBELUM PERANG DUNIA

KEDUA

Terdapat empat buah sekolah agama rakyat yang pertama di negeri Pahang

ialah Madrasah al-Attas, Pekan (1923), Madrasah al-Islah, Kuala Tekal, Temerloh

(1925), Madrasah al-Khairiah, Temerloh (1927) dan Kuliah Sultan Abu Bakar,

Pekan (1941). Kajian akan melihat melihat sepintas lalu empat buah sekolah agama

yang ditubuhkan sebelum Perang Dunia Kedua iaitu Madrasah al-Attas, Pekan dan

Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan. Sekolah agama rakyat yang mula – mula

ditubuhkan di negeri Pahang ialah Sekolah Agama al-Attas,3 Ketapang, Pekan iaitu

pada tahun 1923 oleh Habib Hassan seorang hartawan dari Johor dan usaha Haji

Omar Abdullah. Melalui persetujuan untuk menubuhkan madrasah, Haji Mohd

Hassan bin Senik dilantik menjadi guru besar di Madrasah al-Attas, Ketapang, Pekan

dan dibantu oleh dua orang guru yang merupakan lepasan Madrasah al Attas, Johor.

2 Lihat Ahmad Muda. Sekolah Agama Rakyat Negeri Pahang, dlm Islam di Malaysia,

Persatuan Sejarah Malaysia,hlm.101.

3 Ibid.,hlm.98.

Page 4: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

4

Sekolah ini dibina secara gotong-royong oleh masyarakat setempat. Madrasah ini

telah mempunyai jadual waktu, papan hitam dan murid-murid yang belajar

menggunakan buku tulis. Sistem persekolahan dan juga sukatan pelajaran sekolah ini

diambil dari Madrasah al-Attas, Johor. Keadaan ini berlaku kerana kedua-dua sekolah

ini mempunyai pertalian yang rapat.

Setelah dua tahun penubuhan Madrasah al-Attas,Ketapang, dibina pula sebuah

lagi Madrasah al Attas di Kuala Tekal4 oleh Habib Hassan. Keadaannya sama dengan

Madrasah al-Attas, Pekan dari segi pengajian dan pembelajaran. Menurut sejarahnya

Madrasah al Attas, Kuala Tekal itu pada awalnya dibina di Kuala Krau. Tetapi oleh

kerana banjir besar pada tahun 1926 ia kemudiannya dipindahkan ke Kuala Tekal dan

namanya diubah kepada Madrasah al-Islah. Sebuah lagi madrasah yang telah

ditubuhkan sebelum Perang Dunia Kedua ialah Madrasah al-Khairiah, Temerloh

diasaskan pada tahun 1927. Idea untuk membangunkan sekolah ini datangnya dari

Allahyarham Tuan Haji Sidin bin Haji Mohd Salleh bersama-sama dengan rakan-

rakannya. Objektif utama madrasah ini ditubuhkan ialah untuk memberi pelajaran dan

didikan agama kepada anak bangsa.5 Pada peringkat awal penubuhan madrasah ini

guru besarnya ialah Tuan Guru Haji Ayub bin Abdullah.

Sebuah lagi sekolah agama yang penting dalam sejarah perkembangan sekolah

agama di Pahang sebelum Perang Dunia Kedua ialah Kuliah Sultan Abu Bakar,

Pekan yang ditubuhkan pada tahun 1941. Penubuhan sekolah ini adalah ekoran

daripada Sultan Abu Bakar telah menyuarakan hasrat baginda untuk mewujudkan

sebuah pusat pengajian tinggi Islam di negeri Pahang bagi mempertingkatkan dan

4 Lihat Mahayudin Yahya, Sejarah Orang Syed di Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala

Lumpur. hlm. 75.

5 Lihat Badan Persuratan dan Penerbitan SMAKT, Majalah Sekolah Jilid 15, 1989, hlm. 13.

Page 5: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

5

memperkembangkan syiar Islam di negeri ini. Hasrat baginda ini dialu-alukan oleh

tidak sahaja pihak Majlis Anggota Islam Pahang6 tetapi juga oleh ulama-ulama dan

masyarakat Islam di negeri Pahang. Ketua Majlis Anggota Islam Pahang, Tengku

Besar Sulaiman7 telah dipertanggungjawabkan untuk membina sekolah ini dengan

menggunakan wang zakat dan Baitul Mal.

Berkat cita-cita murni dan usaha-usaha tokoh-tokoh di atas maka lahirlah asas

pendidikan Islam Tinggi dan Bahasa Arab di Pahang ini dengan terdiri dengan

rasminya Kuliah Sultan Abu Bakar,Pekan 8

Pahang pada 30 Mei 1941. Sekolah ini

telah dibuka dengan penuh istiadat yang dinamakan sebagai “ Istiadat Membuka

Kuliah Al Lughah Waddin Al Sultan Abu Bakar, Pekan oleh Sultan Abu Bakar."

Jawatan kuasa besar Majlis Anggota Islam Pahang bertangungjawab menguruskan

istiadat membuka sekolah ini terdiri daripada Yang Amat Mulia Tengku Besar

Pahang, Yang Maha Mulia Engku Indera Segara, Yang Berhormat Orang Kaya Indera

Syahbandar, Yang Mulia Syed Abdul Rahman Haji Jeh dan Al Fadhil Haji

Muhammad Daud.9

6 Tujuan utama Majlis Anggota Islam Pahang ditubuhkan ialah untuk menjalankan urusan

pengutipan zakat dan fitrah di seluruh negeri serta mentadbirkannya untuk kepentingan agama seperti

mendirikan sekolah-sekolah agama. Namun demikian pada tahun 1943 Majlis ini telah diperluaskan

lagi fungsinya dan diganti dengan nama “ Majlis Agama Islam Pahang ”.

7Pada 17 Julai 1933, Sultan Abu Bakar dengan persetujuan kerajaan di Mesyuarat Negeri

Pahang telah mengangkat Yang Amat Mulia Tengku Sulaiman yang memakai gelaran Tengku Besar

Pahang menjadi Yang Dipertua Majlis Anggota Islam Pahang (Kini dikenali sebagai Majlis Agama

Islam Pahang. Majlis ini ialah sebuah tubuh agama yang didirikan bertujuan mengumpul dan

menghimpunkan zakat dan fitrah di dalam negeri Pahang. Lihat Mohamed Mokthar Mohd Daud,

Singgahsana Negeri Pahang Darul Makmur, Percetakan Ihsan, Kuantan, 1987, hlm. 52.

8Lihat, Buku Cenderamata Jubli Emas Kulliah 1941 – 1990, Percetakan Inderapura, Kuantan,

1990, hlm. 65.

9 Lihat Bahan Arkib (Istiadat Membuka Kuliah Al-Lughah Waddin Al Sultan Abu Bakar,

Pekan)

Page 6: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

6

Matlamat penubuhan Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan adalah untuk

mewujudkan sebuah institusi pengajian agama Islam yang tertinggi di negeri Pahang

dengan bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya. Kedua untuk melahirkan ulama,

pendidik dan pemimpin yang bertakwa dan berwibawa. Ketiga menghasilkan pelajar-

pelajar yang boleh mengisi keperluan agama, bangsa, masyarakat dan negara.

Keempat untuk memberi kemudahan khususnya kepada anak negeri Pahang menimba

ilmu pengetahuan Islam. Kelima untuk menjadi teras kepada penghayatan Islam

berlandaskan al-Qur‟ān dan Sunnah Rasulullah s.a.w.10

Kelahirannya sesuai dengan keadaan dimana masyarakat Islam di seluruh

negeri ini berhajat kepada pusat penyebaran ilmu dan pendidikan Islam. Pada masa

yang sama terdapat sekolah-sekolah agama peringkat permulaan „ Ibtidai ‟ di segenap

pelusok negeri Pahang. Maka sebuah sekolah tinggi amatlah perlu sebagai pusat

pengajian tinggi bagi menampung pelajar-pelajar dari seluruh negeri Pahang.11

Ini

merupakan titik sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh masyarakat Islam negeri

Pahang dengan lahirnya sebuah pusat pengajian Islam yang ulung di negeri ini untuk

memberi peluang pelajaran dan pendidikan agama kepada anak-anak negeri.Oleh

kerana kelahiran sekolah ini hampir dengan pemerintahan Jepun, maka sekolah ini

tidak dapat berjalan dengan lancar sistem persekolahannya diubah menjadi tempat

mengajar pelajaran agama Islam kepada orang dewasa.12

Namun kelahirannya

memberikan faedah yang besar kepada perkembangan Islam di Pahang. Setelah

10 Ibid., hlm. 64.

11 Kertas Ke arah Mempertingkatkan Mutu Pendidikan Sekolah Tinggi Agama Sultan Abu

Bakar, Pekan, Jabatan Agama Islam Pahang, Februari 1990. hlm. 3.

12 Lihat Mohamed Jamli Awang Lirai, Pelajaran dan Pendidikan Islam di negeri Pahang ,

Seminar Ulama Pahang ke II 6-8 September 1980 bertempat di Maktab Rendah Sains Mara, Kuantan,

hlm. 63.

Page 7: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

7

selesainya Perang Dunia Kedua, sistem persekolahan sekolah ini kembali seperti

asalnya dan ketika ini penuntut-penuntut dari seluruh negeri Pahang mula

menumpukan perhatian kepada sekolah ini di mana sebelum ini pelajar-pelajar Pahang

menuntut ilmu agama di Johor dan Kelantan.

Pengetua pertama sekolah ini ialah Sheikh Abdul Rahim bin Ibrahim As

Samanudi, seorang ulama dari negara Mesir dan merupakan lulusan daripada

Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau dibantu oleh seorang ulama berasal dari Sumatera

iaitu Ustaz Khadri sebagai Penolong Kanan dan lain-lain tenaga pengajar. Penumpuan

diberi kepada pembelajaran agama dan bahasa Arab serta mendalaminya dan ianya

sesuai dengan matlamat penubuhan pusat pengajian ini. Selepas beberapa tahun,

pelajar-pelajar di sekolah ini telah dapat bertutur Bahasa Arab.13

Pada tahun 1950,

Haji Mohd Mokhtar bin Ahmad, ulama terkemuka dari Kelantan dilantik menjadi

pengetua. Pada masa beliau, sukatan pelajaran telah disusun semula. Pada tahun 1956,

Sahibul Fadhilah Mohd Fadhullah Suhaimi, seorang ulama dari Singapura dilantik

menjadi pengetua. Pada tahun 1962, jawatan pengetua disandang oleh Ustaz Abdul

Wahab bin Abdullah, merupakan anak tempatan berkelulusan Universiti Al Azhar,

Mesir. Pada masa beliau, penyusunan sukatan diubahsuai sejajar dengan kehendak dan

keperluan semasa.14

Melalui kewujudan sekolah agama di Pahang sebelum Perang Dunia Kedua

telah memberi peluang kepada anak-anak tempatan untuk belajar agama di negeri

sendiri. Keadaan ini berlaku kerana sebelum Perang Dunia Kedua, bilangan sekolah

13 Lihat, Buku Cenderamata Jubli Emas Kulliah 1941 – 1990, Percetakan Inderapura, Kuantan,

1990, hlm. 65.

14 Ibid., hlm.66.

Page 8: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

8

agama yang ada di Pahang adalah begitu terhad. Selain itu, lokasi sekolah ini agak

jauh antara satu sama lain sehingga bagi daerah tertentu di Pahang berlaku kesukaran

kepada masyarakat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang telah

dibuka. Namun demikian, selepas Perang Dunia Kedua, bilangan sekolah agama di

setiap daerah semakin banyak dibuka.

SEKOLAH AGAMA DI PAHANG SELEPAS PERANG DUNIA KEDUA

Selepas Perang Dunia Kedua, didapati berlakunya peningkatan bilangan seolah

agama ditubuhkan oleh masyarakat setempat. Antaranya ialah Madrasah al-Ittifaqiah,

Guai, Temerloh (1947), Madrasah al-Wosto, Berhala Gantang, Temerloh dan

Madrasah al-Ulum Addiniah, Dong, Raub (1949). Sejarah membuktikan bahawa

sekolah-sekolah agama lahir dari kecekalan rakyat. Kelahiran sekolah-sekolah agama

adalah gambaran jelas kesedaran masyarakat Islam yang dahagakan pelajaran.

Meninjau sepintas lalu sejarah penubuhan Madrasah al-Ittifaqiah, Guai,

15 Temerloh

(1947) didapati ditubuhkan melalui usaha dan kegigihan serta muafakat bersama

seluruh masyarakat kampung Guai. Madrasah ini dimajukan oleh Tuan Guru Haji

Abdul Majid bin Buyong. Terbinanya sekolah ini pada awalnya di atas tanah seluas

dua ekar yang dibeli dari sumber kewangan hasil sumbangan orang ramai. Pada

awalnya pembinaan, kerja-kerja dilakukan secara gotong royong dengan pembahagian

tugas kepada beberapa peringkat, orang kampung bekerjasama menarah kayu-kayan

hutan, memasang lantai, dinding dan atap dari daun serdang.

15Fail Maklumat Sekolah : Sekolah Menengah Agama al-Ittifaqiyyah, Guai,Temerloh.

Page 9: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

9

Begitu juga dengan sekolah agama rakyat di kampung Berhala Gantang,

Temerloh iaitu Madrasah al-Wosto diasaskan pada tahun 1948. Madrasah al-Wosto,

Berhala Gantang terletak 10 kilometer dari bandar Temerloh. Sekolah ini merupakan

sekolah agama yang dibangunkan oleh penduduk-penduduk Mukim Sanggang dengan

menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya. Objektif utama penubuhan

madrasah ini adalah untuk memberi pelajaran dan didikan agama kepada anak bangsa

serta mengembangkan syiar Islam. Para pengasas sekolah ini ialah Haji Hassanuddin

bin Mohammad sebagai guru besar, Abdullah Yaakub bin Awang Nain (ketua

kampung), Haji Zakaria bin Ibrahim (setiausaha), Khatib Dollah bin Janal (bendahari)

dan ahli jawatankuasanya terdiri daripada Ismail bin Janal, Yaakub bin Simat, Omar

bin Kia, Haji Sham bin Yusof, Mohd Noor bin Sitam, Haji Chik bin Ibrahim, Haji

Hamid bin Bakar, Taib bin Nong Tahir dan Mustafa bin Arshad. Melalui usaha yang

tidak jemu-jemu dari sumbangan serta gotong-royong masyarakat kampung Berhala

Gantang dan dibantu oleh penduduk kampung Bintang, Telok Ira dan penduduk

sekitar maka terbangunlah sebuah sekolah yang diberi nama Madrasah al-Wosto.

Pada peringkat awal penubuhan Madrasah al-Wosto, Berhala Gantang,

Temerloh dari tahun 1948 hingga tahun 1953 tenaga pengajarnya hanya seorang

sahaja iaitu Haji Hasanuddin bin Mohamad. Pada tahun 1954, madrasah ini menerima

seorang lagi guru iaitu Haji Kamal bin Khatib. Beliau mendapat pendidikan di sekolah

pondok Pasir Mas, Kuala Lipis, Pahang. Pada tahun 1956 peningkatan jumlah guru

berlaku apabila kemasukan tiga orang guru baru iaitu Zainun bt Sulaiman, Mohd Lotfi

bin Ibrahim dan Abd.Rahim bin Mat Saad. Pada tahun 1957, bilangan guru meningkat

dengan kemasukan dua orang guru lagi iaitu Alwee bin Sulaiman dan Toha bin Siwok.

Pada tahun 1958, bilangan guru meningkat dengan kemasukan lima orang guru lagi

iaitu Rodzali bin Abdullah, Nik Naimah bt Nik Jaafar, Ismail bin Abdullah, Abdul

Page 10: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

10

Jalil bin Abu Daud dan Yusof bin Tahir. Jumlah guru madrasah ini pada tahun 1958

adalah seramai sepuluh orang dan jumlah ini berterusan sehingga tahun 1960.16

Pada tahun 1961, bilangan guru meningkat kepada empat belas orang dengan

kemasukan empat orang guru iaitu Abd Wahid bin Ahmad, Yahya Zikri bin Alang,

Rokiah bt Omar dan Alias bin Chik. Pada tahun 1963, bilangan guru madrasah ini

adalah dua belas orang guru kerana dua orang guru telah meletak jawatan. Di

peringkat ini, gaji guru adalah menggunakan wang sekolah yang diperolehi yang

diperolehi melalui kutipan yuran dan wang derma. Walaupun gaji yang diterima

adalah rendah namun guru-guru berpuashati kerana tenaga dan perkhidmatan yang

diberi dianggap sebagai satu amal jariah.

Seterusnya bagi Madrasah al-Ulum Addiniah, Dong,17

Raub (1949) didapati

dibina di atas sekeping tanah di kampung Dong yang diwakafkan oleh seorang

penduduk tempatan. Kewujudan sekolah ini adalah hasil daripada keprihatinan serta

kesedaran orang kampung untuk membina tempat belajar agama melalui pakatan

orang kampung yang telah mewujudkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada Che

Mohd Yudin bin Yeop, Che Yeop Sendiri bin Hussin, Imam Labak bin Zainuddin,

Imam Ahmad bin Tapar, Che Subuh, Khatib Saruji bin Bakri dan Cikgu Md.Lia bin

Satar. Madrasah ini telah berjaya dibina melalui derma orang kampung Dong dan

kampung-kampung yang berhampiran. Antara tenaga pengajar di madrasah ini ialah

Ustaz Omar bin Haji Yahya.

16Ibid, hlm. 24.

17

Fail Maklumat Sekolah : Sekolah Menengah Agama al-Ulum Addiniah, Dong,Raub.

Page 11: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

11

Di sekitar tahun 1950-an, sekolah agama rakyat kian bertambah. Di daerah-

daerah yang tiada sekolah agama telah berlakunya penubuhan sekolah agama. Ini

memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menghantar anak-anak mereka ke

sekolah agama seperti Madrasah al-Maidah Addiniah, Padang Tengku (1955),

Madrasah Pulau Tawar,18

Jerantut (1958) dan Madrasah Chenor 19

(1959). Bagi

Madrasah al-Maidah,20

Padang Tengku, Kuala Lipis (1955), proses penubuhan

sekolah ini bermula dengan tertubuh jawatan kuasa yang terdiri daripada Datuk Setia

Muda Wan Ibrahim bin Wan Tanjung sebagai Yang Dipertua, Encik Mohd Noor bin

Sulaiman sebagai Naib Yang Dipertua, Ustaz Hussin bin Ibrahim sebagai setiausaha,

Lebai Long Khatib Ngah sebagai naib setiausaha, Haji Abd.Wahab Perang sebagai

Bendahari dan ahli jawatankuasa terdiri daripada penghulu-penghulu dan ketua

kampung. Daripada persetujuan yang dicapai dan juga dengan wang yang dapat

dikumpulkan melalui derma orang ramai maka madrasah al-Maidah, padang Tengku

telah dibina. Guru besar yang pertamanya ialah Ustaz Hussin bin Ibrahim.

Begitu juga di sekitar tahun 1960-an, bilangan sekolah agama terus

bertambah. Antaranya Sekolah Agama Tengku Ampuan Fatimah,21

Pekan (1960),

Madrasah al-Ihsan, Kuantan (1961), Madrasah Simpang Pelangai,22

Bentong (1963),

18 Madrasah ini diasaskan oleh Tuan Haji Daud bin Ibrahim. Laporan Bahagian Pendidikan,

Jabatan Agama Islam Pahang, 30 Mac 2007, hlm. 29.

19 Madrasah Chenor adalah diasaskan Ustaz Mahmud bin Mat Taib. Majalah Sekolah Al

Ikhwan, Edisi 12, 2006, hlm.19.

20 Lihat Majalah Sekolah An Nur , Edisi 17, 2003, hlm.7.

21

Sekolah Agama Ampuan Fatimah pula ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat

Resam Melayu Pahang pada 1 Februari 1960. Lihat Laporan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama

Islam Pahang, 30 Mac 2007, hlm. 7. 22

Madrasah ad Diniah al Islamiah, Pelangai, Bentong22 telah ditubuhkan pada 1 Mac 1963.

Sekolah ini didirikan hasil gotong-royong. Bahan binaan dibawa sendiri oleh penduduk kampung.

Page 12: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

12

kolah agama Maran (1965), Madrasah al-Falah, 23

Batu Talam (1966) dan Madrasah

al-Basriah,24

Kuala Tembeling (1968).

Meninjau sejarah penubuhan Madrasah al-Ihsan,25

Kuantan (1961), ahli

jawatankuasa penaja sekolah ini memainkan peranan penting membawa kepada

kejayaan penubuhan sekolah ini. Ahli jawatan kuasa penaja Madrasah al-Ihsan,

Kuantan terdiri daripada Abdul Aziz Ahmad (Yang dipertua), Sheikh Hussain bin

Sheikh Long (setiausaha) Abdul Samad Hassan (Bendahari) dan ahlijawatankuasa

terdiri daripada Sheikh Abdullah bin Abu Bakar, Haji Sulaiman, Sabeh bin Ma‟ansah,

Haji Samad, Jamahir bin Idris dan Mohd Sidek bin Abu Bakar. Tugas jawatankuasa

ini ialah untuk mencari wang, membuat pelan dan menjalankan pembinaan apabila

wang telah mencukupi. Pada bulan Januari 1961 Sekolah Agama al-Ihsan, Kuantan

yang mengandungi tiga bilik kelas dan satu bilik guru telah dibuka. Sejak dari

pembukaannya sekolah ini kian hari kian berkembang. Pentadbiran Madrasah al-Ihsan

ini pada peringkat awal diketuai oleh Haji Mutalib bin Haji Mohd Ali.

Berdasarkan kajian menunjukkan bahawa kebanyakan madrasah di Pahang

ditubuhkan atas daya usaha masyarakat setempat yang inginkan pendidikan agama

menjadi pendidikan yang diikuti oleh anak-anak mereka atas kesedaran untuk

memberi pendidikan agama. Kewujudan sekolah agama di Pahang telah memberi

peluang kepada anak-anak tempatan untuk belajar agama di negeri sendiri. Keadaan

ini dapat dikaitkan dengan sambutan yang diberi oleh ibu bapa terhadap sekolah-

sekolah agama. Kewujudan sekolah agama di kawasan sendiri memberi peluang

23 Madrasah al-Falah, Batu Talam, Raub ditubuhkan pada tahun 1966 oleh Tuan Haji Jaiis bin

Dedek. Lihat Laporan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pahang, 30 Mac 2007, hlm. 39.

24 Ditubuhkan pada 2 Februari 1968 oleh Engku Haji Basri bin Engku Muhammad Salleh.

Lihat Laporan Bahagian Pendidikan,Jabatan Agama Islam Pahang, 30 Mac 2007, hlm. 25.

25

Lihat Bahan Arkib (Fail Sekolah Arab, Kuantan)

Page 13: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

13

kepada pelajar untuk berulang dari rumah masing-masing. Sebelum ini pelajar

terpaksa meninggalkan kampung halaman untuk menuntut ilmu. Oleh yang demikian,

tidak memberi peluang yang luas untuk pelajar menuntut ilmu agama. Di samping itu,

untuk pergi menuntut ke luar negeri Pahang pastinya memerlukan sumber kewangan

dan keadaan ini menyekat keinginan segelintir pelajar untuk menuntut ilmu agama.

Oleh itu, kewujudan sekolah agama di daerah-daerah negeri Pahang memang sesuatu

yang amat dinanti-nantikan. Ini jelas menunjukkan bahawa dalam kehidupan

bermasyarakat pentingnya kewujudan institusi pendidikan.

PENGAMBILALIHAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT OLEH

KERAJAAN NEGERI PAHANG

Maka memandangkan betapa pentingnya pengurusan dan pendidikan

pelajaran Islam kepada anak negeri bagi perkembangan dan ketinggian kedudukan

agama Islam. Maka Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang yang bersidang pada

25 Mac 1963, telah bersetuju untuk mengambilalih sekolah-sekolah agama rakyat

secara berperingkat-peringkat. Pada tahun 1965 merupakan satu detik yang bersejarah

kepada sekolah agama apabila Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan menjadi sekolah yang

pertama diambilalih oleh kerajaan negeri Pahang. Proses pengambilalih sekolah

agama oleh kerajaan negeri Pahang merupakan satu yang membanggakan di dalam

proses pendidikan Islam di negeri Pahang. Pengambilalihan ini menggambarkan sikap

prihatin kerajaan negeri Pahang kepada pembangunan dan pendidikan Islam.26

26Pelajaran agama Islam merupakan faktor yang terpenting mesti disematkan dalam jiwa setiap

umat Islam kerana dengan adanya pengertian mendalam terhadap agama akan lahirlah suasana

tenteram dan aman damai dalam suatu masyarakat dan akan dapat membentuk individu masyarakat itu

dengan penuh kejujuran, taat setia dan bertanggungjawab. Dari kesedaran yang sedemikian maka

Kerajaan Negeri Pahang telah berusaha mengambilalih sekolah-sekolah agama sejak tahun 1965. Lihat

Warta Jabatan Agama Islam Pahang. 1973.

Page 14: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

14

Tindakan kerajaan negeri Pahang itu bukan sahaja kerana kesedaran

pentingnya sistem pendidikan agama, tetapi juga bertujuan untuk memberi peluang

kepada rakyat negeri Pahang memperolehi kemudahan belajar agama dengan

lebih sempurna dan teratur. Sebelum ini mereka yang berminat mendalami ilmu

agama terpaksa merantau ke sekolah agama negeri lain.27

Pengambilalihan sekolah

agama rakyat juga merupakan hasrat kerajaan Pahang untuk menjadikan pengurusan

dan pentadbiran sekolah agama menjadi profesional, untuk melengkapkan prasarana

dan pembangunan fizikal sekolah untuk kemudahan-kemudahan pembelajaran, untuk

menjadikan sekolah-sekolah agama yang diambilalih mempunyai sumber kewangan

yang tetap dan untuk memastikan kekurangan tenaga pengajar yang berkelayakan di

sekolah agama dapat diatasi. Melalui pengambilan banyak masalah yang berkaitan

dengan pendidikan Islam telah dapat diselesaikan. Usaha ini bukan sahaja melibatkan

kewangan yang besar dan perancangan yang bersungguh-sungguh tetapi lebih penting

ialah penerusannya yang sangat mencabar di mana sekaligus memberikan imej yang

baik kepada negeri Pahang dan masyarakat Islam di negeri ini.

Sejak pengambilalihan ini sekolah agama ditadbir oleh kerajaan negeri Pahang

melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).28

Sekolah-sekolah agama yang

diambilalih dan ditubuh baru oleh kerajaan negeri Pahang ini dikenali sebagai

Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang (SMAN). Sekolah agama yang

27 Lihat Ahmad Bustamin Mohd Yusuf, Sistem Pendidikan dan Kurikulum Sekolah-sekolah

Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang:Cabaran dan Tindakan Untuk Wawasan 2020. Kertas kerja

dibentang dalam Seminar Pendidikan Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Negeri Pahang, Kuantan, 13 –

15 Ogos 1993.hlm.3.

28Objektif JAIP adalah untuk melahirkan masyarakat yang menjadikan Islam sebagai cara

hidup sempurna yang mengikut dan menghayati ajaran Islam seperti yang terkandung di dalam al-

Quran dan al Sunnah Lihat Jilid II Panduan Rekod-rekod Negara Malaysia, Arkib Negara Malaysia,

1993, hlm. 127.

Page 15: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

15

mula-mula diambilalih oleh kerajaan negeri Pahang ialah Kuliah Sultan Abu Bakar,29

Pekan pada tahun 1965. Sehingga tahun 1972 terdapat sebanyak 12 buah sekolah

menengah agama kerajaan negeri Pahang(SMAN).30

SMAN terdiri daripada

Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan, SMA al-Attas, Pekan, SMA Tengku Ampuan

Fatimah, Pekan, SMA al-Ihsan, Kuantan, SMA al- Khairiah, Temerloh, SMA al-

Ulum Addiniah, Raub, SMA al-Maidah Addiniah, Padang Tengku, Kuala Lipis,

SMA Pulau Tawar, Jerantut, SMA Pelangai, Bentong, SMA Chenor, SMA Rompin

dan SMA Maran. Setelah diambilalih, melalui pentadbiran berpusat ini, dari semasa

ke semasa, SMAN meningkat dari aspek pembangunan fizikal sekolah. Secara

umumnya semua sekolah-sekolah menengah agama kerajaan negeri Pahang telah

mengalami perubahan dari segi pembangunan fizikal. Kerajaan negeri Pahang telah

mengeluarkan peruntukan kewangan untuk memastikan fizikal sekolah- sekolah

agama di tahap yang baik. Setelah sekolah agama diambilalih, SMAN lebih

sistematik dan telah berjaya menarik hati penduduk setempat untuk menghantar anak

mereka belajar di sekolah agama. Hasil daripada pendidikan di SMAN telah

melahirkan lepasan sekolah agama yang mempunyai pengetahuan agama untuk

mengharungi kehidupan.

29 Sejak tertubuhnya hingga ke tahun 1964, Kuliah Al Lughah Waddin Al Sultan Abu Bakar

Pahang telah ditadbir di bawah MAIP. Namun pada tahun 1965, pentadbirannya diserahkan kepada

kerajaan negeri Pahang, Berita Darul Makmur. Bil 3/89, hlm. 12.

30

Abdul Shukor Husin, Pendidikan Islam: Satu analisis keperluan dan strategi perlaksanaan

dalam era pembangunan, dlm Seminar Ulama Pahang Ketiga 15 -17 Ogos 1994 bertempat di Impiana

Beach Resort, Kuantan, hlm.7.

Page 16: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

16

KESIMPULAN

Berdasarkan kajian menunjukkan perkembangan awal sekolah agama di

Pahang telah memainkan peranan memberi ilmu pengetahuan agama kepada

masyarakat. Selain itu, didapati Kelantan dan Johor mempunyai pengaruh yang besar

ke atas perkembangan pendidikan Islam di Pahang. Pada tahun 1965, kerajaan negeri

mulai mengambilalih sekolah agama secara berperingkat-peringkat. Pengambilalihan

ini membawa kemajuan sekolah agama di negeri Pahang dari pelbagai sudut. Jelaslah

bahawa apabila dilihat dalam jangka masa yang panjang sejak awal penubuhannya

sekolah agama rakyat di negeri Pahang telah memainkan peranan yang begitu besar

memberi pelajaran dan didikan agama kepada anak bangsa serta mengembangkan

syiar agama. Kemudiannya sekolah agama rakyat diambilalih oleh kerajaan negeri

Pahang bagi memastikan keberkesanannya sebagai institusi pendidikan agama.

Page 17: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

17

RUJUKAN

Abdul Kadir Kamal.1997. Negeri Pahang Di tengah-tengah Perkembangan Agama

Islam dan Kristian dlm Monograf Pahang Dalam Sejarah VI, Lembaga

Muzium Negeri Pahang,

Ahmad Muda.1980.Sekolah Agama Rakyat di Pahang,Islam di Malaysia,

Kuala Lumpur.Persatuan Sejarah Malaysia.

Abdul Shukor Husin, Pendidikan Islam: Satu analisis keperluan dan strategi

perlaksanaan dalam era pembangunan,dlm Seminar Ulama Pahang Ketiga 15-

17 Ogos 1994.

Ahmad Bustamin Mohd Yusuf, Sistem Pendidikan dan Kurikulum Sekolah-sekolah

Menengah Agama Kerajaan Negeri Pahang:Cabaran dan Tindakan Untuk

Wawasan 2020. Kertas kerja Seminar Pendidikan Sekolah-sekolah Agama

Kerajaan Negeri Pahang, Kuantan, 13 – 15 Ogos 1993.

Bahan Arkib (Istiadat Membuka Kuliah Al-Lughah Waddin Al Sultan Abu Bakar,

Pekan)

Bahan Arkib (Fail Sekolah Arab, Kuantan)

Berita Darul Makmur. Bil 3/89.

Buku Cenderamata Jubli Emas Kulliah 1941 – 1990, 1990.Percetakan Inderapura,

Kuantan.

Fail Maklumat Sekolah : Sekolah Menengah Agama al-Ittifaqiyyah, Guai,Temerloh.

Fail Maklumat Sekolah : Sekolah Menengah Agama al-Ulum Addiniah, Dong,Raub.

Kertas Ke arah Mempertingkatkan Mutu Pendidikan Sekolah Tinggi Agama Sultan

Abu Bakar, Pekan, Jabatan Agama Islam Pahang. Februari 1990.

Mahayudin Yahya. Sejarah Orang Syed di Pahang, Dewan Bahasa dan Pustaka.Kuala

Lumpur.

Majalah Sekolah Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh. Jilid 15, 1989.

Majalah Sekolah An Nur , Edisi 17, 2003.

Majalah Sekolah Al Ikhwan, Edisi 12, 2006.

Mohamed Jamli Awang Lirai, Pelajaran dan Pendidikan Islam di negeri Pahang ,

Seminar Ulama Pahang ke II 6-8 September 1980 bertempat di Maktab Rendah

Sains Mara, Kuantan.

Laporan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Pahang, 30 Mac 2007.

Page 18: 54 Sekolah Agama Islam Di Pahang Satu Kajian Sejarah Dan Perkembangan Awal

18

Warta Jabatan Agama Islam Pahang. 1973.

Jilid II Panduan Rekod-rekod Negara Malaysia, Arkib Negara Malaysia, 1993.