30 pembelajaran aktif dalam pendidikan islam

22
1 PEMBELAJARAN AKTIF DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERKESAN PENDIDIKAN ISLAM Abdul Jamir Md Saad 1 Ab. Halim Tamuri 2 A’dawiyah Ismail 3 1 Unit pendidikan Islam, Kolej Mara Banting 2 Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia 3 Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia Abstrak : Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam yang berkesan merupan suatu isu yang diperbincangkan dan menjadi cabaran kepada guru Pendidikan Islam. Tugas guru semakin mencabar dan sebagai seorang pendidik adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu setiap pelajar untuk meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran. Jesteru bagi mewujudkan pembelajaran yang berkesan, para pendidik haruslah bijak serta kreatif dalam memilih dan merancang kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. P&P yang dilaksanakan haruslah sesuai serta dapat menarik minat pelajar untuk mengikutinya. Kaedah pengajaran yang dipilih juga haruslah mengambil kira kecenderungan, kebolehan serta kemampuan peringkat kematangan pelajar bedasarkan peringkat umur dan kemampuan berfikir. Kaedah pengajaran yang baik akan dapat membantu pelajar mengikuti pengajaran dengan baik di samping memperolehi ilmu pengetahuan, kemahiran serta memupuk minat yang mendalam dalam diri pelajar. Sehubungan dengan itu kaedah pengajaran hendaklah dipelbagaikan serta disesuaikan mengikut tajuk serta tema yang dipilih oleh pendidik. Artikel ini cuba mengupas pembelajarn aktif dalam pengajaran dan pembelajaran berkesan Pendidikan Islam. Pembelajaran aktif merupakan satu pendekatan p&p yang semakin popular dalam era ini. Justeru Guru Pendidikan Islam wajar beralih daripada pengajaran pasif ke pengajaran aktif dalam proses p&p dalam bilik darjah agar dapat mewujudkan pembelajaran yang berkesan. Kajian ini juga diharapkan dapat mencapai matlamat bagi mempelbagaikan kaedah pengajaran pendidikan serta menarik minat pelajar mengikuti kursus pendidikan Islam dengan lebih berkesan. Kata Kunci : Pendidikan Islam, Pengajaran & Pembelajaran, Pembelajaran aktif, Pembelajaran Berkesan & minat pelajar.

Upload: fazlee-zubair

Post on 01-Dec-2015

70 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

Page 1: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

1

PEMBELAJARAN AKTIF DALAM PENGAJARAN DAN

PEMBELAJARAN BERKESAN PENDIDIKAN ISLAM

Abdul Jamir Md Saad1

Ab. Halim Tamuri2

A’dawiyah Ismail 3

1 Unit pendidikan Islam, Kolej Mara Banting 2Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

3Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak :

Pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam yang berkesan merupan suatu isu yang

diperbincangkan dan menjadi cabaran kepada guru Pendidikan Islam. Tugas guru semakin

mencabar dan sebagai seorang pendidik adalah menjadi tanggungjawab untuk membantu setiap

pelajar untuk meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran. Jesteru bagi mewujudkan

pembelajaran yang berkesan, para pendidik haruslah bijak serta kreatif dalam memilih dan

merancang kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. P&P yang dilaksanakan

haruslah sesuai serta dapat menarik minat pelajar untuk mengikutinya. Kaedah pengajaran

yang dipilih juga haruslah mengambil kira kecenderungan, kebolehan serta kemampuan

peringkat kematangan pelajar bedasarkan peringkat umur dan kemampuan berfikir. Kaedah

pengajaran yang baik akan dapat membantu pelajar mengikuti pengajaran dengan baik di

samping memperolehi ilmu pengetahuan, kemahiran serta memupuk minat yang mendalam

dalam diri pelajar. Sehubungan dengan itu kaedah pengajaran hendaklah dipelbagaikan serta

disesuaikan mengikut tajuk serta tema yang dipilih oleh pendidik. Artikel ini cuba mengupas

pembelajarn aktif dalam pengajaran dan pembelajaran berkesan Pendidikan Islam.

Pembelajaran aktif merupakan satu pendekatan p&p yang semakin popular dalam era ini.

Justeru Guru Pendidikan Islam wajar beralih daripada pengajaran pasif ke pengajaran aktif

dalam proses p&p dalam bilik darjah agar dapat mewujudkan pembelajaran yang berkesan.

Kajian ini juga diharapkan dapat mencapai matlamat bagi mempelbagaikan kaedah pengajaran

pendidikan serta menarik minat pelajar mengikuti kursus pendidikan Islam dengan lebih

berkesan.

Kata Kunci : Pendidikan Islam, Pengajaran & Pembelajaran, Pembelajaran aktif,

Pembelajaran Berkesan & minat pelajar.

Page 2: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

2

Pengenalan

Pendidikan Islam merupakan mata pelajaran yang penting dalam membentuk generasi

beriman, bertaqwa, berakhlak mulia dan berketerampilan pada masa hadapan. Pendidikan Islam

perlu sebagai proses pengisian jiwa atau kerohanian bagi seseorang individu bagi melengkapkan

dirinya sebagai seorang muslim kamil. Sehubungan dengan itu pengajarannya haruslah dilihat

bukan hanya sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja, bahkan perlu kepada penghayatan dan

pengamalan terhadap apa yang dipelajari. Para pendidik haruslah bijak dan kreatif dalam

memilih serta merancang kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai serta dapat menarik

minat pelajar untuk mengikutinya. Kaedah pengajaran yang dipilih haruslah mengambil kira

kecenderungan, kebolehan serta kemampuan peringkat kematangan pelajar bedasarkan peringkat

umur dan kemampuan berfikir. Kaedah pengajaran yang baik akan dapat membantu pelajar

mengikuti pengajaran dengan baik di samping memperolehi ilmu pengetahuan, kemahiran serta

memupuk minat yang mendalam dalam diri pelajar. Guru perlu mempelbagaikan kaedah

pengajaran serta disesuaikan mengikut tajuk serta tema yang dipilih oleh guru supaya dapat

menarik perhatian para pelajar dan memberi impak yang maksima terhadap pengajaran dan

pembelajaran yang diikutinya.

Pembelajaran aktif merupakan satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang

semakin popular dalam era ini. Guru Pendidikan Islam wajar beralih daripada pengajaran pasif

ke pengajaran aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Namun demikian guru perlu

ada inovasi dan kreativiti dalam imaginasi mereka sama ada di dalam atau di luar bilik darjah

untuk melaksanakan satu set aktiviti pembelajaran aktif. Jesteru kertas ini ingin membincangkan

serta mencadangkan beberapa kaedah pengajaran aktif dalam Pendidikan Islam supaya dapat

menjadi suatu alternatif ke arah P&P yang berkesan dalam subjek Pendidikan Islam.

Isu Dalam Metodologi Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Islam

Isu yang seringkali dibangkitkan dan menjadi perbincangan dalam Pendidikan Islam ialah

berkaitan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Persoalan yang seringkali dibangkitkan

ialah ialah sejauh manakah pendekatan dan kaedah P&P Pendidikan Islam yang dilaksanakan di

sekolah dapat menarik perhatian pelajar untuk memahami, menilai sendiri dan seterusnya

menghayati serta mengamalkan ajaran Islam ? Begitu juga dengan persoalan sejauh manakah

Page 3: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

3

pendekatan dan kaedah P&P Pendidikan Islam ini membuka ruang yang luas bagi melahirkan

generasi Muslimyang kritis dan kreatif serta mampu mengaitkan kepentingan ajaran Islam

dengan bidang-bidang yang lebih luas dan realistik dalam kehidupan seharian mereka ? Apakah

benar guru-guru Pendidikan Islam masih terlalu menekan pendekatan dogmatik dan jumud

dalam pengajaran mereka yang dominan ( Ab. Halim & Nik Mohd Rahimi, 2010 ).

Banyak kajian telah dibuat terhadap kaedah atau metodologi yang digunakan oleh guru –guru

Pendidikan Islam. Hasil kajian menunjukkan masih ramai guru-guru Pendidikan Islam

menggunakan kaedah konvensional atau kaedah pasif dalam pengajaran mereka di dalam kelas.

Antaranya kajian yang dibuat oleh Hatifah ( 2000 ), mendapati kaedah kuliah / syarahan

adalah kaedah yang sering digunakan dalam proses P&P Pendidikan Islam . Hasil kajian

menunjukkan 80% responden daripada guru-guru Pendidikan Islam menyatakan mereka kerap

atau sangat kerap menggunakan kaedah tersebut. Kajian yang dijalankan oleh Ab. Halim (2000)

berkaitan dengan pengajaran akhlak di kalangan pelajar Tingkatan Empat di Selangor dan

Negeri Sembilan menunjukkan mereka menghadapi masalah dalam pengajaran yang

disampaikan oleh guru Pendidikan Islam. Hasil temubual ke atas 27 pelajar, terdapat 8 orang

pelajar menghadapai masalah berikut, Antara Fator yang dikenal pasti ialah :

a. Tidak dapat difahami apa yang dipelajari kerana penjelasan yang kurang atau kabur dari

guru ( 5 orang pelajar )

b. Mereka tidak dapat mengaitkan apa yang dipelajari untuk diamalkan dalam kehidupan

seharian mereka ( 5 orang pelajar)

c. Mereka merasa mengantuk , tidak memberi tumpuan dan bosan terhadap pengajaran

yang diberikan ( 3 orang pelajar)

d. Terdapat guru yang menunjukkan perkara yang tidak baik semasa pengajaran dijalanan (

seorang)

Perkara yang sama masih berlaku apabila kajian yang dilakukan di beberapa buah negeri di

Malaysia pada 2004 , menunjukkan bahawa kaedah syarahan atau kuliah adalah kaedah yang

paling popular digunakan oleh guru Pendidikan Islam di dalam bilik darjah ( Ab Halim et al

2002). Hasil daripada beberapa kajian yang telah dijalankan tersebut menunjukkan masih ramai

Guru Pendidikan Islam menggunakan kaedah pasif dalam pengajaran mereka di dalam bilik

Page 4: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

4

darjah. Keadaan ini berlaku adakah disebabkan Guru PI mengambil jalan mudah dalam P&P

mereka atau mereka kurang memahami kaedah pengajaan aktif dalam Pendidikan Islam.

Guru Pendidikan Islam wajar beralih daripada pengajaran pasif ke pengajaran aktif

dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar dapat menarik perhatian pelajar untuk

mengikutinya dengan lebih berkesan. Kegagalam Guru PI merancang kaedah P&P dengan baik

akan memberi impak yang negatif kepada Pendidikan Islam itu sendiri. Kualiti pendidikan yang

dicapai oleh murid-murid sekolah banyak bergantung kepada kualiti guru, kerana guru

merupakan individu yang utama dalam mengimplementasikan kurikulum.

Sejajar dengan pesatnya pembangunan negara serta perkembangan teknologi pada hari

ini, negara sering dikejutkan dengan pelbagai isu berkaitan dengan permasalahan keruntuhan

akhlak dan tingkah laku yang sungguh merungsingkan. Perkara ini sering dikaitkan dengan tugas

guru Pendidikan Islam di sekolah. Ini kerana pada kaca mata masyarakat, tugas para pengajar

agama bukan hanya sekadar mengajar untuk lulus peperiksaan, tetapi apa yang lebih utama iaitu

untuk membawa masyarakat kembali ke pangkuan agama yang sebenar serta membina benteng

yang kukuh dalam menangkis segala bentuk kebatilan.

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam.

Menurut Shabuddin Hashim dan Rohaizan Yaakub (2004), pengajaran ialah proses yang

merangkumi aktiviti-aktiviti perancangan, pelaksanaan, penilaian, dan maklum balas yang mana

melibatkan antara guru dan pelajar. Manakala Mok Soon Sang (2000), mendefinisikan

pengajaran dalam konteks masa kini sebagai proses, komunikasi, sains dan seni. Pengajaran ialah

proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran supaya pelajar

dapat mempelajari dan menguasai dengan berkesan. Rahil Mahyuddin et al. (1997) pula

menakrifkan pengajaran sebagai proses melakukan pelbagai aktiviti dengan tujuan menghasilkan

pembelajaran atau perubahan dalam tingkah laku pelajar. Sebagai contohnya, daripada individu

itu tidak pandai kepada pandai, daripada tidak tahu kepada tahu, daripada mengetahui kepada

memahami, daripada memahami kepada mengaplikasikan, daripada analisis kepada sintesis dan

seterusnya kepada penilaian.

Berdasarkan kepada definisi-definisi yang dikemukan di atas dapatlah dirumuskan

bahawa pengajaran merupakan suatu bentuk hubungan dua hala interaksi antara guru dengan

Page 5: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

5

pelajar yang melibatkan komunikasi dan interaksi yang dinamik dan mempunyai objektif

tertentu yang telah ditetapkan. Oleh sebab itu proses pengajaran yang berkesan harus

dilaksanakan secara sistematik berlandaskan prinsip, teori, kaedah, teknik dan pendekatan yang

sesuai mengikut keadaan dan tahap pelajar. Menurut Higher(1986) dalam Mok Soon Sang (

2000) selain ciri sains, pengajaran juga mengandungi ciri seni kerana ia juga melibatkan emosi,

nilai dan tingkah laku manusia. Jesteru dalam prores pengajaran berkesan guru perlu pandai

menyesuiakan diri disamping berbakat dan berseni dalam merancang pengajaran dan

menyampaikannya kepada pelajar.

Proses pengajaran akan melibatkan tiga fasa, iaitu fasa perancangan, fasa pelaksanaan

dan fasa penilaian. Menurut Rahil Mahyuddin et al. (1997) pada peringkat perancangan guru

bertindak menentukan objektif pengajaran, menetukan alat bantu mengajar, memilih

kaedah,memilih startergi dan pendekatan yang sesuai dengan tahap pelajar. Manakala pada

peringkat pelaksanaan, guru menterjemahkan segala perancangan dalam bentuk aktiviti

pengajaran berdasarkan kepada pelajar, bahan pengajaran, objektif pengajaran, masa, minat

pelajar dan kemudahan yang ada. Seterusnya penilaian pula dijalankan sama ada sebelum,

semasa atau selepas pengajaran. Tujuannya ialah untuk mengukur sejauhmana keberkesanan

pengajaran yang dijalankan di samping dapat mengenal pasti tahap pelajar supaya perancangan

pengajaran akan datang dapat dirangka dengan lebih berkesan. Oleh itu para pendidik harus peka

dalam perancangan pengajaran mereka dengan melibatkan ketiga-tiga proses ini bagi

menghasilkan pengajaran yang berkesan.

Faktor-Faktor Pemilihan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran.

Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan

atau kemahiran tertentu. Ia meliputi perkara-perkara seperti aktiviti perancangan, pengelolaan,

penyampaian, bimbingan, dan penilaian dengan tujuan menyebar ilmu pengetahuan atau

kemahiran kepada pelajar-pelajar dengan cara yang berkesan. Perkembangan pendidikan dari

masa ke semasa telah membawa banyak perubahan dalam aktiviti pengajaran di dalam kelas.

Corak pengajaran masa kini telah mengalami banyakperubahan dan bertambah majuPenggunaan

strategi dan kaedah mengajar yang sesuai dengan tahap pelajar merupakan elemen penting bagi

mewujudkan keberkesanan p&p Pendidikan Islam. Oleh itu guru perlu mempunyai latihan dan

Page 6: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

6

kemahiran yang mengcukupi bagi melaksankan perkara ini. Menurut Allen (1992) dalam Ab.

Halim dan Mohamad Kahirul Azman Ajuhary(2010) kaedah dan teknik pengajaran yang baik

boleh menyumbang kepada mutu pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Manakala,

Ahmad (1997) menjelaskan kepentingan pemilihan sesuatu teknik mestilah berasaskan sesuatu

kaedah yang berlandaskan sesuatu pendekatan. Keberkesanan sesuatu teknik yang digunakan

bergantung atas asas-asa pengkaedahan dan pendekatan yang kukuh, mantap dan boleh

dipercayai.

Al-Kailany (1986) menyenarai sedikit panduan kepada guru sebelum mengaplikasi

sesuatu kaedah pengajaran, antaranya ialah:

1. Kaedah mestilah sesuai dengan tujuan dan matlamat pelajaran

2. Kaedah mesti sejajar dengan objektif pelajaran yang hendak dicapai

3. Kaedah juga haruslah sesuai sifat semulajadi (nature) pelajaran yang diajar

4. Kaedah mesti sepadan atau setara dengan umur pelajar

5. Kaedah itu mestilah yang boleh atau mampu diaplikasi oleh guru

6. Mempunyai masa yang cukup untuk mengaplikasikan kaedah berkenaan

7. Kaedah yang dipilih mestilah sesuai dengan kemudahan yang ada

Maka jelaslah menunjukkan kepada kita bahawa kemahiran memilih kaedah pengajaran dan

pembelajaran yang sesuai merupakan suatu perkara penting dan harus dikuasai oleh setiap guru

bagi mewujudkan pembelajaran yang berkesan. Guru mestilah peka dan mengetahui kaedah yang

hendak digunakan dalam pengajarannya supaya pelajar dapat memahami apa hendak

disampaikan olehnya. Kemahiran mengajar sebenarnya juga merangkumi sejauhmana

kebijaksanaan guru mahir memilih penggunaan kaedah mengajar yang sesuai serta dapat

mewujudkan pembelajaran yang aktif dan berkesan.

Konsep dan Definisi Pembelajaran Aktif

Page 7: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

7

Pembelajaran aktif merupakan suatu kaedah pembelajaran yang melibatkan segala

bentuk, kaedah , suasana dan faktor yang dapat membuatkan pelajar berperanan secara aktif

dalam proses pembelajaran, sama ada melibatkan interaksi sesama pelajar atau interaksi dengan

guru. Menurut Mayer & Jone (1993) mendefinisikan pembelajaran aktif sebagai berlakunya

aktiviti berbincang, mendengar, menulis, membaca dan membuat refleksi yang bermakna

mengenai isi pelajaran, idea-idea dan pelbagai hal yang berkaitan dengan tajuk yang sedang

dipelajari. Dalam pembelajaran aktif, guru tidak dilihat sebagai pemberi ilmu semata-mata tetapi

guru mesti berperanan sebagai fasilitator mengawal aktiviti pembelajaran pelajar supaya semua

dapat berperanan dan mengambil bahagian dalam proses pembelajaran.

Pembelajarn aktif juga merujuk kepada aktiviti dinamik yang berlaku ke atas pelajar.

Pelajar bukan hanya berfungsi sebagai pendengar dan pencatat nota, tetapi pelajar perlu

mengambil bahagian dan turut serta dalam aktiviti pembelajaran di dalam kelas. Peranan guru

hanya mengurangkan penerangan atau kuliah dan sebaliknya menggalakkan pelajar meneroka

dan menemui sendiri bahan pembelajaran sambil bekerjasama dengan pelajar lain bagi

memahami bahan ilmiah yang diperolehi ( Lorenzen dalam Esah, 2004). Manakala Bahagian

Pembangunan Kurikulum pula telah merumuskan bahawa pembelajaran aktif adalah seperti

berikut ( Rosni Adam, 2010) ;

Murid menggunakan minda mereka untuk mengkaji idea-idea menyelesaikan masalah

dan mengaplikasi perkara yang dipelajari.

Murid berusaha ke arah pembelajaran kendiri.

Murid terlibat dalam proses membina model-model minda daripada maklumat yang

diperolehi dan sentiasa menguji kesahan model minda yang dibina.

Strategi-strategi yang dapat meningkatkan penglihatan murid dalam pelajaran,

meningkatkan interaksi sosial dan mengurangkan pertandingan antara murid.

Strategi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang memerlukan murid membaca,

berbincang, bertanggungjawab ke atas pembelajaran kendiri.

Murid terlibat dalam tugas-tugas yang memerlukan pemikiran aras tinggi seperti analisis,

sintesis dan penilaian.

Page 8: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

8

Secara rumusannya pembelajaran aktif yang berkesan memerlukan penglibatan aktif daripada

pelajar. Proses pengajaran berlaku dalam bentuk dua hala iaitu interaksi yang berkesan antara

guru dengan murid, murid dengan guru serta murid dengan murid. Jesteru untuk mewujudkan

suasana sebegina, maka peranan guru amat penting untuk merancang p&p yang berkesan

dengan mengambil kira kaedah-kaedah pembelajaran aktif. Secara lebih jelas pembelaran aktif

dapat dilihat berdasarkan rajah di bawah.

Rajah 1: Kaedah pembelajaran secara aktif dalam Pendidikan Islam

Dalam pembelajaran aktif, fungsi kurikulum bukan hanya membentuk asas yang kukuh dalam

disiplin tetapi juga mengembangkan kemahiran belajar dan self-awareness. Peranan guru pula

berubah daripada berperanan memberi kepada menjadi fasilitator. Tanggungjawab untuk

belajar pula berpindah daripada guru kepada pelajar. Proses dan tujuan penilaian bukan hanya

memberi gred tetapi termasuk memberi maklum balas untuk penambahbaikan sepanjang proses

pembelajaran. Menurut Mohamad Mohsin Mohamad Said dan Nasruddin Yunos (2008), untuk

memupuk kreativiti dalam bilik darjah interaksi guru dengan pelajar mestilah dua hala. Guru

tidak seharusnya mendominasi dan mengawal aktiviti pembelajaran tetapi pelajar juga harus

memainkan peranan yang aktif di samping memberikan maklum balas.

Page 9: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

9

Model Pembelajaran Aktif Pendidikan Islam

Pembelajaran aktif dalam Pendidikan Islam boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya guru

membuat persediaan dan perancangan yang betul dalam P&P. Model pembelajaran aktif

dapatlah dilihat seperti mana gambar rajah di bawah :

Rajah 2 : Model Pembelajaran Aktif Pendidikan Islam

( Ubah suai Model Pembelajaran Aktif Ekonomi Asas, Rosni Adom ,2010 )

Guru bertindak sebagai fasilitator atau moderator mestilah merancang menyediakan

input yang sesuai untuk aktiviti p&p dalam kelas. P&P yang berkesan akan dapat mencetuskan

perbincangan dikalangan pelanjar serta merangsang pemikiran mereka agar dapat memikir pada

aras yang lebih tinggi. Input boleh dipelbagaikan bergantung kepada tajuk atau bab yang diajar.

Kesesuain input bergantung kepada kebijaksanaan serta kreativiti guru agar input yang

disesdiakan dapat menarik minat dan perhatian pelajar.

Input akan melalui proses transformasi semasa aktiviti p&p berlaku dalam kelas. Oleh itu

guru hendaklah mengunakan pelbagai kaedah dan teknik-teknik pedagogi yang sesuai dengan

pembelajaran dan tajuk yang sedang diajar agar pelajar dapat melibatkan diri dengan aktif.

Melalui proses ini pelajar dapat melalui dengan aktif apabila ada aktiviti analisi,sintesis,

Bahan kontekstual,

Data, Kes ,

Situasi / Masalah

Gambar

Surat Khabar / Artikel

Majalah

Video

Petikan Ayat Al-Quran

& Hadis Nabi.

Analisi, sintesis, penilaian

Banding beza

Menguji dan mengesahkan

idea

Membina konsep

Menyelesaikan masaalah

Membuat keputusan

Laporan

Ciptaan

jawapan

rumusan

pandangan

resolusi

demontrasi

PROSES

TRANSFORMASI

HASIL

INPUT

Page 10: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

10

penilaian, membanding beza, menguji dan megesahkan idea, membina konsep, menyelesaikan

masaalah serta membuat keputusan dilakukan. Aktiviti-aktiviti seperti ini perlu kepada interaksi

di antara pelajar dengan guru serta pelajar dengan pelajar.

Hasil daripada proses tersebut akan diperolehi dalam bentuk folio, laporan dan kertas

kerja dalam bentuk bertulis ataupun pandangan, rumusan, idea dalam bentuk lisan. Pelajar juga

akan dapat melakukan aksi sebenar melalui demontrasi apabila proses tranformasi itu berjalan

dengan baik. Sekiranya model ini dipraktikan dengan baik maka akan terhasillah pembelajaran

aktif dalam Pendidikan Islam.

Startegi Pelaksanaan Pembelajaran Aktif Pendidikan Islam Dalam Kelas

Untuk melaksanakan pembelajaran aktif dalam Pendidikan Islam, beberapa perkara perlu

diberikan perhatian terlebih dahulu agar tercapainya objektif pembelajaran :

1. Menjelaskan Tujuan Pembelajaran Aktif Kepada Pelajar

Guru hendaklah menjelaskan kepada pelajar bahawa tujuan pembelajaran aktif adalah untuk

mengembangkan kemampuan berfikir mereka secara analitis dan kreatif disamping untuk

mengukur kemampuan menggunakan bahan-bahan pengajaran sebaik mungkin. Oleh itu perlajar

sentiasa diingatkan agar berusaha mencari bahan seluas-luasnya melalui bacaan tambahan

sama ada melalui perpustakaan atau pencarian elektronik berkaitan dengan tajuk dan isi pelajaran

yang akan dibincang dalam kelas. Keadaan ini akan membantu mereka memperolehi bahan

tambahan serta akan mampu terlibat secara aktif dalam kelas disepanjang p&p berlangsung.

2. Pelajar Dimaklumkan Lebih Awal Perkara-Perkara Atau Aktiviti Yang Akan

Dilakukan Di Dalam Kelas

Sebelum aktiviti pembelajaran berlangsung, guru hendaklah menjelaskan terlebih dahulu

terhadap pelajar tentang aktiviti atau perkara yang akan dilakukan di dalam kelas pada aktiviti

p&p yang berikutnya. Penjelasan ini akan dapat memberi ruang kepada pelajar untuk membuat

persediaan dengan mencari bahan secukupnya bagi menghadapi p&p dalam kelas dan seterusnya

dapat mengambil bahagian secara aktif dalam kelas.

Page 11: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

11

3. Merangsang Dan Menimbulkan Minat Pelajar Terhadap Mata Pelajaran

Guru hendaklah sentiasa memberi kesedaran dan menanamkan minat kepada pelajar terhadap

subjek Pendidikan Islam. Kepentingan dan keperluan untuk menguasai subjek Pendidikan islam

bukanlah sekadar utuk lulus peperiksaan semata-mata, tetapi sebagai seorang muslim untuk

menjadi insan yang sempurna perkara paling asas perlu dikuasai ialah ilmu berkaitan dengan

fardu ain iaitu yang menjadi teras dalam subjek Pendidikan Islam. Kesedaran sebeginilah yang

harus sentiasa dipupuk dalam diri pelajar agar timbul kesedaran dan minat yang tinggi dlam diri

mereka. Apabila timbul minat pelajar terhadap subjek Pendidikan Islam maka akan lahir sikap

tanggungjawab dalam diri pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh seterusnya berlakunya

pembelajaran kendiri yang menjadi teras dalam pembelajaran aktif. Guru juga perlu

membangkitkan kesedaran kepada pelajar dengan mengaitkan tentang isu-isu keruntuhan moral

serta tanggungjawab sebagai seorang muslim sepanjang masa.

4. Menggunakan Kepelbagaian Teknik Dan Kaedah Pembelajatran Aktif Dalam Kelas

Setiap cara atau teknik dalam pembelajaran aktif memerlukan keperluan dan persiapan yang

berbeza. Jesteru harus mempersiapkan dengan perancangan yang teliti agar dapat menggunkan

pelbagai teknik dan kaedah pembelajaran aktif yang sesuai dengan tajuk yang hendak diajar

agar p&p akan menjadi menarik. Guru tidak sepatutnya hanya terikat dengan satu kaedah sahaja,

bahkan untuk mewujudkan suasana pembelajaran aktif kombinasi serta gabung jalin pelbagai

kaedah hendaklah dilakukan. Oleh sebab itu, menurut Kamrul Azmi dan Ab. Halim (2007)

dalam Ab. Halim dan Mohamad Kahirul Azman Ajuhary (2010) menegaskan antara sifat-sifat

guru berkesan ialah mempunyai kemahiran mengajar, termasuk menghubungkan pengetahuan,

kemahiran dan nilai dalam pengajaranya. Seseorang guru itu perlu berpengetahuan dan

mempunyai kemahiran. Mereka mengeskan lagi kemahiran mengajar atau teaching skill

meliputi aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian dengan

tujuan menyebar ilmu pengetahuan atau kemahiran kepada pelajar-pelajar dengan berkesan, iaitu

menggunakan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik mengajar berlandaskan teori pengajaran

dan pembelajaran.

Page 12: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

12

5. Mewujudkan Suasana Pembelajaran Aktif Dalam Kelas

Suasana persekitaran sekeling merupakan antara faktor yang tidak boleh dikesampingkan sebagai

faktor penting dalam melaksanakan pembelajaran aktif. Berdasarkan kajian Dunn & Dunn

dalam Rodzli Hashim(2010) , gaya pembelajaran pelajar dipengaruhi oleh lima perkara :

Persekitaran- keadaan cahaya, suhu, bunyi alam sekeliling, dan susun atur tempat. Pelajar

memerlukan bilik darjah atau ruang yang kondusif untuk belajar.

Emosi- perlu ada motivasi pembelajaran, masa pengajaran yang sesuai(jadual waktu yang

sesuai dengan mata pelajaran) serta tempoh masa pengajaran yang sesuai.

Sosial- terdapat pelajar yang sesuai belajar secara bersendirian : tetapi ada pula pelajar

yang lebih suka belajar secara kumpulan atau perlu ada guru bersamanya.

Fizikal- Suka melihat benda yang nyata atau dapat memahami dengan baik jika melihat

benda yang nyata ; lebih tertarik kepada benda yang bergerak ; atau dapat menguasai

sesuatu fakta waupun abstrak.

Psikologi- dapat memahami secara mendalam akan sesuatu perkara ; dapat menerima

sesuatu pembelajaran secara spontan ; atau pembelajarannya lebih berkesan

menggunakan otak kiri atau otak kanan.

Oleh itu guru mesti peka terhadap perkara-perkara ini dan berusaha menyediakan iklim

pembelajaran aktif dalam sesi p&p mereka. Kegagalan mewujudkan suasana pembelanjaran

aktif dalam p&p akan memberi kesan terhadap keberkesanan pembelajaran aktif yang dijalan.

Rosni Adom(2010) mencadangkan beberapa-berapa cara untuk mencipta iklim atau suasana

pembelajaran aktif :

Pada awal pembelajaran, minta pelajar menjelaskan ringkasan bahan yang dibincangkan

pada sesi pembelajaran sebelumnya.

Berikan contoh-contoh soalan topik yang telah dipelajari dan minta pelajar

menyelesaikan secara bersama.

Guru dilarang memberi penjelasan, sebaliknya minta pelajar membuat ringkasan

mengenai bahan pelajaran lepas selama 2 minit. Kemudian minta pelajar

membincangkan dengan rakan sebelah selama 2 minit.

Page 13: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

13

Bentuk kumpulan-kumpulan kecil di dalam kelas untuk membincangkan topik yang

diberikan atau membuat latihan dan ilustrasi yang berkaitan dengan tajuk.

Minta pelajar mengemukakan soalan pada sesi pembelajaran dan tukarkannya dengan

rakan sebelah, kemudian minta mereka menjawab pada sesi pembelajaran akan datang.

Guru meminta pelajar menilai objektif pelajaran yang telah berjaya dicapai.

Kaedah P&P Untuk Pembelajaran Aktif Pendidikan Islam

Bagi melaksanakan pembelajaran aktif yang berkesan memerlukan beberapa kaedah-kaedah

tertentu. Berikut dicadangkan beberapa kaedah p&p berkesan untuk pembelajaran aktig bagi

subjek Pendidikan Islam.

1.Kaedah Projek

Proses pembelajaran yang berfokuskan tugasan amali secara sistematik/terancang dalam jangka

masa yang tertentu. Ia biasanya melibatkan kutipan serta analisis data dan persediaan satu

laporan yang betul. Guru perlu membuat perancangan sebelum memulakan kaedah projek dalam

p&p mereka. Beberapa langkah perlu dilakukan oleh guru. Antara guru perlu menyediakan

panduan untuk memilih tajuk atau guru sendiri yang menentukan tajuk, menyediakan bahan atau

cadangan rujukan bahan tambahan, membahagikan kumpulan, menentukan tarikh siap, format

laporan dan membuat penilaian.

2.Kaedah Kajian Kes

Prosedur dalam menjalani kaedah kajian kes adalah seperti berikut :

a) Pelajar dibahagikan kepada kumpulan dan melantik pengerusi dan pelapor.

b) Guru akan memberikan satu kajian kes untuk diselesaikan oleh kumpulan.

c) Kumpulan berkenaan akan mengenal pasti masalah, mengkaji latar belakang dan

mengemukakan beberapa strategi untuk menyelesaikan masalah.

d) Setiap kumpulan akan membuat laporan mengenai kajian kes berkenaan.

e) Perbincangan terbuka dilakukan di dalam kelas.

Contok tajuk yang sesuai dengan kaedah ini antaranya dalam bab Akidah iaitu perkara-perkara

yang membatalkan akidah. Guru boleh memberi kes masalah murtad dan boleh meminta pelajar

Page 14: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

14

bincang apakah faktor-faktor berlakunya gejala murtad dan bagaimanakah langkah-langkah

untuk mengatasinya.

3. Kaedah Sumbang Saran

Teknik ini dikenali sebagai kaedah percambahan fikiran.Melalui kaedah ini, guru perlu

mewujudkan sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli kumpulan menyumbangkan idea

terhadap sesuatu topik yang dibincang. Setiap pendapat dan pandangan daripada pelajar harus

dihargai dan diraikan bahkan guru hendaklah sentiasa meberi motivasi serta membuka ruang

agar semua pelajar terlibat secara aktif dalam perbincangan tersebut. Guru bertindak sebagai

moderator dan harus menerima semua pendapat yang dikemukan oleh pelajar-pelajar dan

seterusnya kesimpulan atau rumusan dibuat berdasarkan sesi sumbang saran tersebut. Pelajar

akan lebih bersemangat dan aktif apabila pendapat-pendapat mereka dihargai oleh guru. Contoh

tajuk yang sesuai dengan kaedah ini antaranya dalam bab akhlak iaitu tajuk gejala sosial yang

boleh dilakukan perbincangan secara sumbang saran. Guru boleh minta pelajar mengemukan

pendapat faktor meninkatkan gejala sosial sera memberi cadangan penyelesian terhadap

masaalah gejala sosial.

4. Kaedah Simulasi

Satu teknik yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran aktif. Melalui

teknik ini para pelajar dapat memberi gambaran atau contoh pengalaman secara spontan terhadap

tajuk yang yang diperbincangkan. Biasanya, main peranan melibatkan gambaran-gambaran

pelajar terhadap sesuatu situasi atau keadaan dan melakonkan tanpa bantuan skirp. Menurut

Rashidi dan Abdul Razak (1998) dalam Ab Halim et. al ( 2010) , kaedah simulasi merupakan

suatu situasi yang diwujudkan supaya menyerupai situasi sebenar, tetapi dalam bentuk yang

dipermudah, diringkas, atau dikecilkan supaya masalah atau isu yang berkaitan mudah

diselesaikan. Kaedah ini bertujuan meningkatkan kebolehan pelajar dalam mengaplikasikan

konsep tertentu dalam menyelesaikan masalah, menilai pendapat atau pandangan lain. Para

pelajar akan diberi peluang untuk melakukan latihan dan pengalaman yang hampir serupa

dengan suasana yang sebenar.Contoh tajuk yang sesuai menggunakan kaedah ini antaranya

Page 15: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

15

adalah tajuk dalam bab muamalat. Guru boleh minta pelajar menjalankan simulasi gadian dalam

bilik darjah. Pelajar akan didedahkan dengan perlakuan sebenar untuk membuat gadaian

berdasarkan konsep dan teori yang telah diajar oleh guru di dalam kelas.

5.Kaedah Kumpulan Koperatif Jigsaw

Menurut Rosni Adom (2010) Pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang

memerlukan murid daripada pelbagai kebolehan bekerjasama dalam dalam kumpulan kecil

untuk mencapai maatlamat yang sama. Sasaran ialah tahap pembelajaran yang maksimum bukan

sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk rakan-rakan lain. Lima unsur asas dalam

pembelajaran koperatif adalah seperti berikut :

a) Saling bergantung secara positif

b) Saling berinteraksi secara bersemuka

c) Akauntabiliti individu atas pembelajarn diri sendiri

d) Kemahiran koperatif

e) Pemprosesan kumpulan

Individu dalam kumpulan dikehendaki menunjukkan kefahaman masing-masing dan memainkan

peranan yang berbeza secar bergilir-gilir. Pengajaran sebaya memainkan peranan yang sangat

penting menurut cara Jigsaw. Dalam cara ini, pembahagian tuigas diagihkan di kalangan murid

dalam kumpulan pelbagai kebolehan. Bahan pembelajaran dipecahkan kepada topik-topik kecil.

Setiap murid diagihkan tugas untuk mempelajari satu topik kecil. Setelah menguasai topik kecil

sendiri, murid akan mengajar rakan-rakan lain dalam kumpulannya sehingga semua ahli

kumpulan menguasai semua topik kecil itu. Selepas itu satu aktiviti dijalankan untuk menguji

sama semua ahli kumpulan berjaya memahami dan menyempurnakan tugasan yang diberi.

Jigsaw merupakan cara pengajaran berpusatkan murid. Kemungkinan besar bahan baru dapat

dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada dan membantu penstrukturan semula idea. Guru

bertindak menyediakan ganjaran kepada individu dan kumpulan dalam pelaksanaan kaedah ini.

Pembelajaran koperatif menggalakkan murid berinteraksi secara aktif dan positif dalam

kumpulan. Ini membolehkan perkongsian idea dan pemeriksaan idea sendiri dalam suasana yang

tidak terancam, sesuai dengan falsafah konstruktivisme. Contoh tajuk yang boleh menggunakan

tajuk ini ialah zakat, pengiraan kadar zakat pendapatan, ternakan, perniagaan . Penyelasaian

boleh berlaku dalam kumpulan-kumpulan kecil dan setiap ahli kumpulan akan berperanan aktif.

Page 16: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

16

Guru boleh menbandingkan jawapan-jawapan yang dikemukan oleh kumpulan –kumpulan

tersebut.

6.Kaedah Demontrasi

Menurut Esah Sulaiman (2003) dalam Kamarul Azmi Jasmi dan Ab Halim (2007)

mendefinasikan kaedah demontrasi sebagai pertunjukan dan penerangan tentang cara melakukan

sesuatu. Dikenali juga sebagai tunjuk cara yang merupakan teknik p&p yang melibatkan

kemahiran guru mendemontrasikan cara atau langkah yang melakukan sesuatu aktiviti di

hadapan pelajar. Kaedah ini akan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk melihat secara

realiti disamping dapat berinteraksi secara terus terhadap bahan atau isi pengajaran yang sedang

diajar oleh guru. Pelajar juga mungkin diminta untuk melakukan demontarsi ini selepas guru

menunjukkan cara yang betul atau menerangkan konsep yang jelas. Walaubagaimanapun untuk

melaksanakan kaedah ini guru perlu membuat persediaan dan perancangan iaitu menetapkan

objektif yang hendak dicapai dan menyediakan peralatan yang hendak digunakan.

Menurut Kamarul Azmi Jasmi dan Ab Halim ( 2007) lagi ada beberapa yang harus

dilakukan dalam melaksanakan kaedah demontrasi ini . Prinsip-prinsipnya adalah seperti

berikut:

1. Sebelum demonstrasi

Guru hendaklah menentukan topik, objektifdan kandungan tunjuk cara terlebih

dahulu.

Alatan dan radas disediakan dan disusun mengikut langkah-langkah demonstrasi

yang ditentukan.

Tempat demonstrasi hendaklah disediakan untuk memastikan semua murid dapat

menyaksikan dengan jelas.

Pastikan keselamatan sebelum menggunakan alat, radas dan bahan yang mungkin

boleh mengakibatkan kemalangan.

Sebelum mula demonstrasi, guru perlu memberitahu murid tujuan demonstrasi

dan aktivitinyasupaya mereka dapat mencontohinya tanpa melakukan kesilapan.

2. Semasa demonstrasi

Page 17: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

17

Guru harus memandang kearah murid semasa memberi penerangan tentang

aktiviti demonstrasi yang dijalankan.

Sekiranya murid menunjukkan keraguan, guru hendaklah menerangkan langkah

itu sekali lagi.

Guru boleh menggunakan teknik menyoal untuk menarik perhatian murid.

Pastikan semua murid dapat melihat dengan jelas demonstrasi serta mendengar

penerangan guru dengan jelas.

Jika masa mengizinkan, guru boleh meminta seorang murid membuat demonstrasi

sekali lagi untuk memperkukuhkan pemahaman tentang cara-cara

melaksanakannya.

3. Selepas demonstrasi

Bincangkan dengan murid tentang bahagian demonstrasi yang penting. Ini akan

memastikan bahawa murid-murid telah memerhatikan lanhkah-langkah yang telah

ditunjukkan dengan betul.

Bincangkan dengan murid tujuan demonstrasi supaya mereka boleh membuat

rumusan dengan tepat.

Aktiviti pengukuhan harus dijalankan selepas demonstrasi. Ia boleh dilakukan

melalui aktiviti demonstrasi murid dengan mencontohi guru atau mencatat

langkah-langkah demonstrasi dalam buku nota.

Contoh tajuk yang boleh menggunakan kaedah ini ialah bab ibadah tajuk tayamum. Guru boleh

menunjukkan demontrasi yang betul cara untuk melakukan tayamum kemudian guru boleh

meminta pelajar melakukan pula cara untuk bertayamum dalam kumpulan masing-masing.

Kelebihan & Keperluan Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam.

Kelebihan pembelajaran aktif dalam Pendidikan Islam memang tidak dapat dinafikan

kerana ia akan dapat merangsang minat pelajar untuk melibatkan diri lebih aktif dalam aktiviti

Page 18: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

18

p&p dalam bilik darjah. P&P yang hanya berpusatkan kepada guru lebih mengutamakan

pembelajaran untuk menguasai fakta dan pengetahuan tetapi kurang merangsang pelajar

menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi serta penglibatan secara aktif. Oleh sebab

seseorang individu itu mempunyai kebolehan dan kecerdasan yang pelbagai, maka pembelajaran

aktif adalah kaedah yang paling sesuai digunakan untuk menghasilka pembelajaran yang lebih

berkesan dan meningkatkan pencapian pelajar.

Kelebihan pembelajaran aktif ialah dapat meningkatkan kemahiran dan motivasi pelajar.

Ini mengambil kira perbezaan individu dari segi kecerdasan pelbagai dan gaya pembelajaran

serta menerapkan kemahiran – kemahiran generik dan KBKK yang diperlukan untuk

menghadapi cabaran globalisasi dunia masa ini. Kelebihan pembelajaran aktif, berbanding

pembelajaran pasif dapat dijelaskan lagi melalui kon pembelajaran Edgar Dale (1969) di bawah

(Rosni Adom, 2010) :

Rajah 3 : Kon Pembelajaran Edgar Dale

Model ini menunjukkan dua kelompok model pembelajaran, iaitu pembelajaran pasif dan

pembelajaran aktif. Melalui model ini jelas menunjukkan bahawa kelompok pembelajaran aktif

lebih menarik perhatian pelajar serta kecenderungan pelajar untuk mengingati isi kandungan

pelajaran lebih tinggi sekiranya dibandingkan dengan kelompok kaedah pembelajaran pasif.

Page 19: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

19

Pelajar dalam kelompok ini melakukan aktiviti seperti mengambil bahagian dalam

perbincangan, menyampaikan tazkirah, membuat perbentangan, membuat persembahan,

melakukan simulasi dan melakukan sesuatu yang benar-benar terjadi dalam pembelajaran.

Justeru pelaksanaa cara-cara pembelajaran aktif yang baik dan berkesan sepenuhnya akan dapat

membantu meningkatkan kualiti p&p berbanding sekiranya hanya menggunakan kaedah

traditional. Pembelajarn aktif berbeza daripada cara konvensional yang hanya melakukan aktiviti

seperti mendengar, membaca, melihat gambar dan video, melihat demontrasi dan menyaksikan

sesuatu sahaja tanpa terlibat melakukan aktiviti yang merangsang minda mereka. Oleh itu guru

pendidikan Islam haruslah merangcang p&p dengan mengambilkira kaedah pembelajarn aktif,

supaya aktiviti pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan menghasilkan impak yang

maksima kepada pelajar.

Kegagalan Guru Pendidikan Islam merancang dengan baik aktiviti p&p yang hendak

dilaksanakan akan menyebabkan subjek Pendidikan Islam menjadi kurang diminati oleh para

pelajar kerana pengajaran guru dalam bilik darjah ttidak menarik serta tidak dapat merangsang

minat pelajar. Penggunaan kaedah pengajaran yang bersesuian akan dapat menjana pemikiran

pelajar yang kritis dan kreatif serta dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang dapat menarik

minat pelajar di samping menarik penumpuan pelajar untuk memahami ilmu serta menghayati

apa yang dipelajari. Menurut Ab Halim Ab Halim et al (2010) penggunaan kaedah pengajarn

yang efektif dapat memberi ruang kepada guru dalam memberi kefahaman dan mengawasi

aktiviti pelajar, bahkan juga mengambarkan tahap kebijaksanaan guru dalam mewujudkan

suasana pembelajaran yang positif dan kondusif seiring dengan hasrat sitem pendidikan pada

abad ke-21 yang lebih menumpukan kepada penggunaan TMK dan pembelajaran berpusatkan

pelajar.

Jelaslah di sini bahawa keperluan dan kelebihan pembelajaran aktif dalam pendidikan

Islam memang tidak dapat dinafikan, bahkan mampu menjadi kaedah alternatif untuk

meningkatkan keberkesanan p&p Pendidikan Islam bagi mengatasi masalah kebosanan pelajar

dalam pembelajaran, tidak faham, mengantuk dan sebagainya yang sering dijadikan alasan oleh

para pelajar untuk tidak mengambil berat terhadap pelajaran ini. Kaedah-kaedah dalam

pembelajaran aktif harus diutamakan di samping tanpa dinafikan kepentingan kaedah

konvensional bahkan patut digabung jalinkan mengikut kesesuian bagi menghasilkan p&p yang

lebih menarik dan berkesan.

Page 20: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

20

Penutup

Secara umumnya, dapat dirumuskan bahawa pembelajaran yang berkesan dalam pendidikan

Islam bergantung kepada sejauh mana kejayaan guru mengendalikan p&p dalam bilik darjah.

Manakala p&p yang berkesan juga bergantung kepada kebijaksanaan guru memilih dan

membuat perancangan yang baik sebelum p&p dilaksanakan. Kegagalan guru melaksanakan

perkara-perkara ini akan meyebabkan pengajaran subjek Pendidikan islam akan menjadi tidak

menarik dan membosankan. P&P yang menarik akan menghasilkan pengajaran yang berkesan

dan dapat meningkatkan pencapaian pelajar dari sudut pengetahuan, kemahiran serta

penghayatan pelajar ke arah yang lebih baik. Justeru beberapa kaedah pembelajaran aktif yang

dikemukan berpotensi untuk diaplikasikan dalam pengajaran Pendidikan Islam untuk

mewujudkan pembelajarn yang menarik dan berkesan. Kaedah-kaedah ini juga diharapkan dapat

menjadi alternatif bagi mengatasi masalah kebosanan dalam pembelajarn Pendidikan Islam.

Page 21: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

21

Rujukan :

Ab. Halim et al. 2010. Kaedah Pengajaran Pendidikan Islam : Konvesional dan Inovasi. Dlm.

Ab. Halim & Nik Mohd Rahimi (pnyt). Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran

Pendidikan Islam. Bangi : Penerbit UKM.

Ab. Halim dan Mohamad Kahirul Azman Ajuhary.2010. Amalan Pengajaran Guru pendidikan

Islam Berkesan Berteraskan Konsep Mu’alim. Journal of Islamic and Arabic Education,

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia volum 2(1) : 43-56.

Ab. Halim & Nik Mohamad Rahimi.2010. Isu Pengajaran dan Pembelajarn Pendidikan Islam.

Dlm. Ab. Halim & Nik Mohamad Rahimi (pnyt) Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran

Pendidikan Islam, hlm. 19- 37. Bangi : Penerbit UKM.

Ab. Halim Tamuri, Adnan Yusop, Kamisah Osman, Shahrin Awaluddin, Zamri Abdul Rahim

dan Khadijah Abdul Razak.2004. Keberkesanan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran

Pendidikan Islam Ke atas Pembangunan Diri Pelajar. Laporan akhir projek penyelidikan

Universiti Kebangsaan Malaysia.

Al-Kailany, Taisir dan Iyad, Mulhim .1986. At-Taujih al-fanny fi usul at-tarbiyah wat-tadris.

Beirut: Maktabah Lubnan.

Ahmad Mohd Salleh.1997. Pendidikan Islam : Falsafah, Pedagogi Dan Metadologi. Shah

Alam : Fajar Bakti Sdn Bhd.

Esah Sulaiman. 2004. Pengenalan Pedagogi. Johor Bharu : Penerbit Universiti Teknologi

Malaysia.

Ghafar M.D .2003. Prinsip dan Amalan Pengajaran. Kuala Lumpur: Utusan Distributors Sdn

Bhd.

Hatifah Yussof. 2000. Pendidikan Syariah Islamiah : Satu kajian tentang permasalahan dalam

pengajaran di sekolah agama dan harian (KPM) dan Sekolah Menengah Kerajaan Negeri

di Selangor. Kertas projek Sarjana Pendidikan : UKM.

Kamarul Azmi Jasmi dan Ab Halim Tamuri. 2007. Pendidikan Islam Kaedah Pengajaran &

Pembelajaran. Johor Bahru : Penerbit UTM Press.

Meyers, C.& T. Jones. 1993. Promoting Active Learning : Strategies for the College Classroom.

San Francisco. Jossey-Bass.

Mel Silberman. 2009. Pembelajaran aktif 101 Strategi untuk Mengajar Apa Jua Subjek. Kuala

Lumpur : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Mohamad Mohsin Mohamad Said dan Nasruddin Yunos. 2008. Peranan guru dalam memupuk

kreativiti pelajar. Jurnal Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bil.9 :59-

70.

Page 22: 30 Pembelajaran Aktif Dalam Pendidikan Islam

22

Mook soon sang. 2000. Psikologi pendidikan. Subang jaya : Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Rahil Mahyuddin, Habibah Elias dan Kamariah Abu Bakar. 1997. Pedagogi 2 : Pelaksanaan

Pengajaran. Selangor : Logman.

Rodzli Hashim. 2010. Memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran. Dlm. Azizul Rahman Abdul

Rahman & Mohamad Saleeh Rahamad (pnyt). Startegi Pengajaran Guru Cemerlang.

Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributrs Sdn Bhd.

Rosni Adom. 2010. Pembelajaran Aktif : Suatu Alternatif dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Subjek ekonomi Asas dalam Strategi Pengajaran Guru Cemerlang. Dlm. Azizul Rahman

Abdul Rahman & Mohamad Saleeh Rahamad (pnyt) Startegi Pengajaran Guru

Cemerlang. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributrs Sdn Bhd.

Shahabuddin Hashim,Dr.Rohizani Yaakub & Mohd.Zohir Ahmad. 2007. Pedagogi: Strategi

dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur : PTS Professional Publishing

Sdn.Bhd.

Syed Najmuddin Syed Hassan, Ab. Halim Tamuri, Isahak Othaman dan Mohd Sabri Mamat.

2009. Kajian Persepsi Pelajar Terhadap Tahap Profesionalisme Guru Pendidikan Islam

MRSM. Journal of Islamic and Arabic Education, Fakulti Pendidikan, Universiti

Kebangsaan Malaysia volum 1(2) : 31-50.

Zarina Muhammad.2007. Pelaksanaan kaedah student-centered learning (SCL) dalam pengajaran

& pembelajaran kursus Tamadun Islam, Tamadun Asia & Kenegaraan Malaysia di

Universiti Putra Malaysia. Jurnal Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bil.8 :142-166.