usaha melestarikan warisan tempatan

6
Tajuk Karangan Kepentingan Makanan Tradisional dalam Pembangunan Negara. Malaysia terkenal dengan nama timangannya, yakni ‘syurga makanan’ di nusantara. Baik penduduk Malaysia mahupun pelancong asing yang berdarmawisata ke Malaysia semestinya akan rambang mata dengan kepelbagaian juadah khususnya makanan tradisional yang ditawarkan di negara kita. Keunikan dan keenakan makanan tradisional yang dapat kita nikmati sememangnya tiada tolok bandingannya dengan makanan-makanan yang bertaraf antarabangsa. Sebenarnya, makanan tradisional masyarakat majmuk di negara kita seperti sate, mi rebus, masalode, kuetiau goreng, roti canai, lemang, ketupat, nasi beriani dan sebagainya berdaya upaya untuk memacukan pembangunan bangsa dan negara. Pertama-tama, industri makanan tradisional dapat melahirkan modal insan yang berjati diri kebangsaan dan patriotik. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional penting dalam meneruskan adat serta warisan budaya yang diwarisi secara turun- temurun oleh nenek moyang masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks masyarakat Malaysia, makanan tradisional merupakan elemen yang penting untuk melambangkan identiti dan keunikan sesuatu budaya dan bangsa. Oleh itu, jikalau anak muda di Malaysia sedar akan keunikan

Upload: hani-subri

Post on 28-Sep-2015

288 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

m

TRANSCRIPT

Tajuk Karangan

Kepentingan Makanan Tradisional dalam Pembangunan Negara.

Malaysia terkenal dengan nama timangannya, yakni syurga makanan di nusantara. Baik

penduduk Malaysia mahupun pelancong asing yang berdarmawisata ke Malaysia

semestinya akan rambang mata dengan kepelbagaian juadah khususnya makanan tradisional yang ditawarkan di negara kita. Keunikan dan keenakan makanan tradisional

yang dapat kita nikmati sememangnya tiada tolok bandingannya dengan makanan-makanan

yang bertaraf antarabangsa. Sebenarnya, makanan tradisional masyarakat majmuk di

negara kita seperti sate, mi rebus, masalode, kuetiau goreng, roti canai, lemang, ketupat,

nasi beriani dan sebagainya berdaya upaya untuk memacukan pembangunan bangsa dan

negara.

Pertama-tama, industri makanan tradisional dapat melahirkan modal insan yang berjati diri

kebangsaan dan patriotik. Hal ini sedemikian kerana makanan tradisional penting dalam

meneruskan adat serta warisan budaya yang diwarisi secara turun-temurun oleh nenek

moyang masyarakat majmuk di Malaysia. Dalam konteks masyarakat Malaysia, makanan

tradisional merupakan elemen yang penting untuk melambangkan identiti dan keunikan

sesuatu budaya dan bangsa. Oleh itu, jikalau anak muda di Malaysia sedar akan keunikan

dan keistimewaan budaya masing-masing, maka tidak akan berlakunya kehilangan dan

kepupusan budaya serta adat tradisi masyarakat berbilang kaum dalam kalangan anak

muda yang lebih dikenali sebagai Generasi Y bak kata peribahasa Melayu biar mati anak,

jangan mati adat.

Selain itu, makanan tradisional tempatan juga membantu untuk memajukan industri

pelancongan di dalam negara kita. Makanan tradisional seperti sate, roti canai dan nasi

ayam Hainan dapat menggamit pelancong untuk datang berkunjung selain menghayati

keindahan landskap Malaysia kerana cita rasa Malaysia yang istimewa dan berlainan

daripada makanan-makanan di negara asing semestinya dapat menarik perhatian dan

membuka selera para pelancong baik pelawat asing mahupun pelancong tempatan.

Malahan, terdapat sesetengah pelancong yang melawat ke Malaysia semata-mata adalah

untuk menikmati keenakan dan keunikan makanan tradisional yang kaya dengan pelbagai

resipi dan rempah-ratus. Sudah terang lagi bersuluh, makanan tradisional berperanan

penting dalam usaha menarik pelancong untuk melawat ke negara kita selain pelancaran

Kempen Melawat Malaysia 2014 baru-baru ini.

Di samping itu, makanan tradisional juga mampu untuk menaiktarafkan kehidupan

masyarakat khususnya penduduk luar bandar. Makanan tradisional seperti keropok lekor,

budu dan kerepek pisang memainkan peranan yang amat penting dalam memajukan

industri kecil-kecilan di perkampungan desa. Sebagai contoh, pihak kerajaan telah

memperkenalkan Industri Kecil dan Sederhana(IKS) di beberapa negeri seperti Kelantan,

Perak dan Terengganu yang bertujuan untuk merancakkan hub industri pemakanan

tradisional sebagai input dan penjana ekonomi utama penduduk kampung dan sekitarnya.

Hasilnya, penduduk luar bandar tidak semata-mata menjalankan ekonomi sara diri secara

tradisional seperti menanam padi dan menangkap ikan untuk menyara hidup keluarga tetapi

juga berkeupayaan untuk mendirikan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional

secara kecil-kecilan sebelum dipasarkan atas bantuan modal dan teknologi oleh pihak

kerajaan.

Seterusnya, infrastruktur dan prasarana di kawasan pinggir bandar dapat dibangunkan atas

penubuhan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional yang kian berkembang bagai

cendawan tumbuh selepas hujan. Hal ini berlaku demikian kerana pembukaan dan

penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan awam yang

lain dapat memangkin dan menjana sumber pendapatan rakyat tempatan lebih-lebih lagi

hasilmakanan tradisional di desa perkampungan dapat dipasarkan di bandar-bandar besar

di seluruh pelosok negara melalui kecekapan sistem pengangkutan dan pemasaran.

Tambahan pula, peluang pekerjaan yang banyak dapat diwujudkan hasil daripada

pembinaan kilang-kilang pemprosesan makanan tradisional sekali gus menggalakkan

penghijrahan penduduk bak kata peribahasa Melayu di mana ada gula, di situ ada

semutnya. Kesannya, desa akan mengalami proses transformasi sehingga menjadi bandar-

bandar besar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kemudahan Internet dan

perkhidmatan monorel, LRT dan ETS.

Industri makanan tradisional turut menjada pendapatan rakyat dan negara. Hal ini

sedemikian kerana makanan tradisional diproses dan dibungkus sebelum dieksport ke luar

negara. Usaha proaktif ini dapat membawa pulangan yang lumayan sekali gus

menambahkan sumber pendapatan rakyat jelata. Makanan tradisional Malaysia seperti

dodol, kuih bahulu dan kuih kapit turut dapat dipromosikan ke seluruh pelosok dunia dan

mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat antarabangsa. Sambutan

yang hangat daripada masyarakat luar negara bukan sahaja akan memajukan industri

makanan tradisional tempatan bahkan juga berdaya saing untuk menjana pendapatan yang

lumayan kepada rakyat dan negara.

Dari perspektif yang lain pula, industri makanan tradisional juga berkemampuan untuk

memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita yang terdiri

daripada masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan. Hal ini demikian kerana

makanan tradisional suku kaum tertentu turut dapat diterima dan dinikmati bersama-sama

oleh bangsa-bangsa lain di negara kita. Sebagai contoh, makanan tradisional seperti roti

canai bukan sahaja digemari oleh suku kaum tertentu tetapi juga diminati oleh kaum-kaum

yang lain di negara kita. Mereka dapat duduk semeja untuk menikmati makanan tradisional

tersebut bertemankan secawan teh atau kopi sambil berbual-bual dalam suasana yang

muhibah. Hal yang sedemikian dapat membuka laluan kepada usaha-usaha murni kerajaan

untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat atau masyarakat berbilang kaum

dan agama di negara ini sekali gus memupuk dan mengukuhkan perpaduan sejajar dengan

slogan keramat, yakni perpaduan asas kemajuan.

Tuntasnya, industri makanan tradisional memainkan peranan yang penting dalam proses

pembangunan bangsa dan negara selain merupakan wahana yang efektif untuk

mempromosikan keistimewaan dan keunikan yang dimiliki masyarakat majmuk di negara

kita di pentas antarabangsa. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Oleh sebab itu, semua

pihak termasuklah rakyat jelata haruslah berganding bahu untuk memajukan industri

pemprosesan makanan tradisional sehingga peringkat antarabangsa. Sudah tiba masanya,

rakyat berbilang ras dan agama mengambil tahu, belajar memahami dan menghargai

keunikan dan keistimewaan makanan tradisional masyarakat Malaysia dalam proses

pembangunan bangsa dan negara sekali gus seiring sejalan dengan kerajaan untuk

merealisasikan Wawasan 2020.