(ubah sikap) membina roh dalam usaha merubah diri

Upload: kamarul-azami-bin-mohd-zaini

Post on 07-Apr-2018

224 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 8/4/2019 (Ubah Sikap) Membina Roh Dalam Usaha Merubah Diri

    1/2

    1

    MEMBINA ROH DALAM USAHA MERUBAH DIRI

    Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini(http://kamarulazami.blogspot.com)

    Sejarah telah pun membuktikan kesan roh dalam pembinaan diri manusia. Lihat saja apa

    yang telah berlaku kepada pemuka-pemuka Arab Quraisy yang sangat ego, ganas dan kasar, dengan

    datangnya Islam, mereka sujud ke bumi menyembah Allah s.w.t. walaupun sebelumnya mereka

    enggan langsung untuk tunduk walaupun untuk mengambil cemeti hak milik mereka sendiri.

    Transformasi hebat ini telah berjaya membina satu bangsa yang dulunya dikenali sebagai belalang

    pada pasir kerana kehinaan dan kelemahannya kepada sebuah empayar pemerintahan yang

    menguasai dua pertiga dunia.

    Inilah perubahan tanpa kesan sampingan (side-effect), bersepadu (integrated) dan

    menyeluruh (global). Ia telah melahirkan ramai pemimpin yang berwibawa yang menjalankan

    amanah dengan segala keupayaannya serta takutkan Allah s.w.t. Lihat saja contohnya Saiyidina

    Umar Al-Khattab, apabila ditanya kepadanya mengapa engkau kurang tidur pada malam hari. Jawab

    Saiyidina Umar, Aku khuatir urusanku dengan Allah s.w.t. tidak selesai. Kemudian ditanya pula

    mengapa kurang tidurmu pada siang hari? Beliau menjawab, Aku khuatir urusanku dengan manusia

    tidak selesai. Inilah dia transformasi yang telah Rasulullah s.a.w. bawakan kepada ummat manusia,

    berbakti kepada Allah s.w.t. dan berkhidmat kepada seluruh manusia.

    Inilah perubahan yang bersepadu antara Allah s.w.t. dan makhluknya, antara ibadah dan

    kerja, antara ganjaran material dan pahala, antara dunia dan akhirat. Ia adalah sesuatu yang berlaku

    secara adil dan tidak ada cacat-celanya. Pokok pangkalnya adalah keyakinan dan kepercayaan

    manusia terhadap janji-janji Allah s.w.t. Manusia sejak dari asalnya telah mengakui bahawasanya

    Allah s.w.t. itu Tuhan yang Esa, kemudian diperingatkan pula dengan kedatangan Nabi s.a.w. Itu juga

    yang sering kita ungkapkan di dalam bacaan doa iftitah kita.

    Pembinaan generasi Al-Quran yang unik dibawah bimbingan Rasulullah s.a.w. telah berjaya

    membina empayar di dunia dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. di akhirat. Ia jelas menunjukkan,

    manusia tidak hanya dibina dengan kemajuan material sahaja bahkan mereka adalah generasi yang

    cemerlang selepas mereka kembali ke alam akhirat. Begitu juga Islam tidak mengajar manusia hanya

    untuk beribadah semata-mata, tetapi datang bersamanya tuntutan untuk berkhidmat demi negara

    dan masyarakat.

    http://kamarulazami.blogspot.com/http://kamarulazami.blogspot.com/http://kamarulazami.blogspot.com/http://kamarulazami.blogspot.com/
  • 8/4/2019 (Ubah Sikap) Membina Roh Dalam Usaha Merubah Diri

    2/2

    2

    Perubahan diri adalah tuntutan untuk kita berusaha mencari keperkasaan dalam diri.

    Memperkasakan diri bererti mengembalikan manusia kepada sifat asalnya atau fitrah. Sebagaimana

    disebutkan di atas tadi, fitrah manusia ini akan kembali kepada apa yang telah Allah s.w.t sediakan

    untuknya. Apabila lahir ke dunia, manusia diberikan keupayaan untuk melakukan banyak perkara

    dengan nikmat pemberian dari Yang Maha Esa. Namun, malangnya, fitrah manusia ini memerlukan

    wahyu untuk menterjemahkan cara hidup yang sebenar. Ia memerlukan contoh dari As-Sunnah

    untuk menjadikan ianya berkesan.

    Malangnya hari ini, manusia hanya menumpukan pembinaan dan pemerkesaan dari sudut

    material semata-mata yang nampak dek mata kepala mereka sahaja. Roh sifatnya maknawi. Ia tidak

    dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi dapat dirasa oleh mata hati. Itupun mata hati yang diberikan

    keizinan oleh Allah s.w.t. untuk melihatnya. Ramai yang berkata, mereka itu belum dapat hidayah.

    Hakikatnya, setiap hari manusia diberikan petunjuk, cuma tanda hidayah itu sampai adalah apabila

    mereka membuktikannya dengan perbuatan mengikuti petunjuk yang diberikan. Berapa ramai

    perokok yang mengetahui kesan buruk rokok, penzina yang tahu akan dosa berzina, peminum arak

    yang tahu tentang golongan yang mendapat kebencian Allah dengan araknya? Petunjuk itu sampai

    ke telinga mereka tetapi adakah mereka berubah?

    Inilah kesannya apabila roh tidak dibina dengan bersungguh-sungguh. Maka, marilahbersama kita fikirkan bahawasanya untuk melakukan perubahan diri, ia bukanlah semata-mata

    membina material sahaja, tetapi yang lebih utama adalah membina roh kekuatan dalaman yang

    merupakan tunjang kepada kehidupan manusia di dunia dan apabila di akhirat kelak, kita akan

    ditanya tentang dunia kita. Setiap nafas yang dihirup, setiap kali mata kita berkelip, setiap kali

    tangan kita bergerak dan setiap kali kaki kita melangkah. Semuanya akan disoal. Roh adalah

    kehidupan bagi jasad, jika roh yang menghidupkan jasad itu lemah, maka pastinya kehidupan

    manusia itu lemah. Binalah roh kita dalam menjalankan usaha-usaha untuk merubah diri kita.