tamadun suatu proses kehidupan
TRANSCRIPT
‘TAMADUN SUATU PROSES KEHIDUPAN’
Mengikut Kamus Dewan, perkataan tamadun bererti kebudayaan, peradaban dan
kemajuan. Kemajuan meliputi dari sudut rohani (spiritual) dan jasmani (fizikal) sesuatu bangsa
atau masyarakat. Pengertian ini menepati makna tamadun dari kacamata Islam.
Dalam bahasa Melayu/Indonesia perkataan peradaban adalah sinonim dengan
tamadun. Beradab bererti bersopan, terhormat, hidup diatur oleh hukum, mempunyai tingkat
kebudayaan (cara hidup) yang lebih tinggi daripada orang lain (biadab). Dari segi penggunaan,
istilah tamadun lebih menyeluruh daripada istilah peradaban.
Dalam bahasa Inggeris pula perkataan yang sama pengertiannya dengan tamadun ialah
”civilization”. Perkataan ini diambil daripada bahasa Latin iaitu ”civitas” yang membawa maksud
kota atau city dalam bahasa Inggeris. Penggunaan perkatan ini mula digunakan dan terjelma
dalam buku-buku Inggeris pada kurun ke-19 Masihi.
Dalam bahasa Arab terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam membicarakan
konsep tamadun iaitu istilah ”umran”, ”hadarah”, ”madaniah” dan”tamadun”. Sejarawan Muslim
pertama menulis tentang tamadun ialah Ibn khaldun yang merupakan seorang pakar ilmu
kemasyarakatan Islam yang ulung. Perbincangannya tentang tamadun terkandung dalam
bukunya yang bertajuk “Al-Muqaddimah li Kitab al-Ibar”. Beliau menggunakan istilah “umran”
bagi menerangkan sifat-sifat tamadun. Prof Franz Rosenthal (seorang sarjana Barat)
menterjemahkan istilah “umran” sebagai perbandaran (urbanization) dan tamadun (civilization).
Jesteru itu apa yang dikatakan “umran” dalam kurun ke-14 adalah sama dengan pengertian
tamadun dalam kurun ke-20.
Dari segi bahasa istilah “umran” adalah kata terbitan dari perkataan “amara” yang
bererti sebagai kawasan tanah yang didiami, tinggal menetap, berkembang subur dan maju,
yang berlawanan dengan kawasan kering, tandus atau terbiar dan binasa. Dengan pengertian
lain “umran” menyatakan penghidupan menetap yang menjadi asas kepada semua tamadun.
Untuk menjelaskan lagi konsep Umran Ibn Khaldun telah meletakkan beberapa ciri bagi
“umran” iaitu seperti mempunyai;
* Pegangan agama yang kuat
* Sistem kenegaraan yang tersusun rapi
* Kehidupan cara bandar
* Pencapaian kaedah penulisan yang tinggi
* Kepakaran dalam bidang senilukis dan senireka.
Ibn Khaldun turut menggunakan istilah “hadharah” dengan diberi pengertian yang sama
dengan “umran” (kehidupan yang menetap). Dari segi bahasa “hadharah” bermaksud “satu
wilayah, daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan yang berlawanan dengan
perkataan “badwi” atau “badawah”.
Menurut Malik Bennabi terdapat dua pengertian yang khusus bagi istilah
“hadharah” iaitu:
i. Pengertian Objektif
Iaitu satu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan dan
undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi dalam sesebuah
masyarakat.
ii. Pengertian Yang Subjektif
Ia menggambarkan suatu peringkat perkembangan kehidupan manusia yang tinggi dan
berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas, atau digambarkan sebagai kehidupan yang
dapat atau hampir dapat ideal. Bentuk ideal kehidupan itu adalah subjektif sifatnya, bergantung
kepada masa, tempat dan nilai-nilai yang dianuti.
Sehubungan dengan itu apa yang dikehendaki oleh Malik Bennabi ialah suatu
kehidupan di mana manusia dapat mempergunakan unsur-unsur alam yang berbentuk material
dengan sebaik mungkin untuk memudahkan kelangsungan hidup di dunia ini dengan
mengambil nilai kerohanian sebagai dasar perjuangan. Beliau berpendapat sebarang bentuk
tamadun yang tidak berasaskan kerohanian tidak akan berjaya serta tidak dapat bertahan lama.
Istilah “madaniah” mempunyai perkaitan dengan tamadun atau kebudayaan bandar
(city-based culture) kerana ia diambil dari perkataan Arab “madinah” atau “city” dari bahasa
Latin. Pertalian di antara ”civitas”dan ”civilization” mempunyai banyak persamaan dengan
perkataan ”madinah” dan ”madaniah”. Wujudnya perkaitan antara tamadun dengan bandar
kerana bandar biasanya menginduki sesebuah tamadun.
Dr. Lutpi Ibrahim telah membuat rumusan terhadap penggunaan istilah di atas seperti
berikut:
* Al-Hadharah merupakan pencapaian dalam hal kerohanian seperti pemikiran dan sebagainya
yang berdasarkan akidah, syariah dan akhlak. Ini merupakan hubungan manusia demgan
manusia yang bersumberkan wahyu.
* Al-Madaniah merupakan pencapaian dari segi kebendaan seperti alat teknologi dalam
pertanian, pengeluaran, pengangkutan, seni bina dan lain-lain lagi. Ia merupakan hubungan
dengan alam sekitar yang bersifat kebendaan dan bersumberkan wahyu.
* Tamadun merangkumi kedua-dua aspek yang tersebut di atas.
Kesimpulannya, pentakrifan tamadun iaitu satu bentuk pencapaian kehidupan manusia
dalam aspek pemikiran, rohani dan jasmani. Ia meliputi kehidupan yang diatur oleh hukum dan
mempunyai tingkat kebudayaan (cara hidup) yang tinggi.
Dalam tamadun Islam, agama Islam yang mengatur setiap aspek kehidupan manusia
merangkumi akidah, syariah dan akhlak. Ia juga mengatur sistem politik, ekonomi, sosial dan
kebudayaan. Manakala dalam tamadun Barat, agama adalah sebahagian dari kebudayaan.
Oleh itu aspek lain mengalami perubahan, pengembangan dan kemerosotan.
Konsep kemajuan dalam tamadun Islam dicapai dan diperolehi dengan cara yang betul serta
mempunyai matlamat yang jelas dan dibenarkan oleh agama. Konsep kemajuan menurut kaca
mata Barat pula lebih menjuruskan kepada untuk mendapatkan keuntungan, mengeluarkan
produk-produk dalam kuantiti yang dirasakan perlu, mencanangkan ciptaan-ciptaan baru dan
seumpamanya. Ia tidak mempersoalkan kemajuan itu bagaimana dicapai, apakah bentuk
pembaharuan itu, bagaimana ia dicapai dan apakah matlamatnya.
Tamadun Islam memberi penekanan kepada akhlak, rohani, jasmani dan akliah secara
seimbang dan sepadu. Penekanannya bersifat ”komprehensif” dan ”multidemension”.
Pembangunan kebendaan atau fizikal adalah sebagai alat untuk menyempurnakan tuntutan
keagamaan dan kerohanian. Sedangkan Tamadun Barat memberi tumpuan hanya kepada
pembangunan kebendaan semata-mata dan soal-soal spritual di kesampingkan. Keadaan ini
menjadikan manusia sentiasa berlumba-lumba untuk memenuhi tuntutan dunia dan nafsu yang
tidak terbatas. Akhirnya lahir manusia yang maju dari segi material tetapi kosong jiwanya.
Dari aspek pentakrifan perkataan tamadun itu sendiri kita dapat lihat bahawa terdapat
perkaitan antara tamadun dan kehidupan. Kehidupan manusia yang melibatkan kemajuan dari
aspek agama, akhlak, ilmu pengetahuan akidah dan lain-lain lagi sememangnya dipengaruhi
oleh tamadun dan perkembangan tamadun itu sendiri.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rauh Yaacob. 1994. Lembaran Sejarah dan Tamadun Islam. (ed.). Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azam Hamzah dan Zulekha Yusoff. 1990. Tamadun Islam: Konsep Pencapaiannya. Selangor: Academe Art Printing Services Sdn. Bhd.
Azhar Hj. Mad Aros. 2000. TITAS 1. (et. al. ). Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Wan Kamariah Lemah (et.al). 1997. Sejarah dan Tamadun Islam. Shah Alam: Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd.
http://ctu551az.blogspot.my/2009/12/1-konsep-tamadun-islam.html
https://ms.wikipedia.org/wiki/Zaman_Kegemilangan_Islam
http://www.slideshare.net/keronuex/nota-lengkap-modul-titasnew
http://zahirzainudin.blogspot.my/2015/03/pengaruh-tamadun-luar-dalam-kehidupan.html
http://076115tamadun.blogspot.my/2008/04/pengenalan-tamadun-islam.html