status anak dalam perkahwinan sindiket … - haliza... · status anak dalam perkahwinan sindiket...

11
Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1431 STATUS ANAK DALAM PERKAHWINAN SINDIKET MENURUT PERSPEKTIF SYARAK DAN AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH- WILAYAH) PERSEKUTUAN 1984 Nabilah Yusof, Haliza A.Shukor, Intan Nadia Ghulam Khan, Hasnizam Hashim Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nikah sindiket merupakan pernikahan yang tidak mengikut saluran perundangan semasa. Walaupun terma nikah sindiket tidak digunakan oleh ulama fiqh mahupun perundangan semasa, namun ia termasuk dalam kategori kesalahan berhubung akad nikah. Menurut statistik yang dilaporkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, terdapat 309 pertuduhan yang dibuat bagi kesalahan berhubung akad nikah (Seksyen 40 Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984) bagi tahun 2010 (Januari-Jun) 1 . Pertuduhan yang dibuat turut melibatkan kes-kes yang berkaitan dengan pernikahan sindiket. Pelbagai kesan negatif timbul akibat daripada nikah sindiket dan antara pihak yang menerima kesannya secara langsung ialah anak. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan untuk mengenalpasti kesan nikah sindiket ke atas kesahtarafan anak menurut syarak dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang selepas ini akan dirujuk sebagai AUKI 1984. Katakunci: Nikah Sindiket, Kesan, Kesahtarafan Anak Pendahuluan Anak adalah merupakan aset negara yang sangat penting kerana pada merekalah segala harapan dan cita-cita negara disandarkan selaku pemimpin di masa akan datang. Anak juga adalah merupakan golongan yang perlu diberikan perlindungan daripada sebarang bahaya yang mungkin wujud. Menyedari akan hakikat ini, maka pertimbangan utama yang perlu diambil oleh kerajaan di dalam segala tindakan yang menyentuh hal ehwal kanak-kanak ialah dari segi memelihara kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan. Ini boleh dilihat dengan wujudnya pelbagai undang-undang dan akta di negara ini yang berkaitan dengan kanak-kanak, antaranya ialah Akta Kanak-Kanak 2001 (Jal Zabdi bin Mohd Yusoff & Zulazhar bin Tahir, 2005). Anak adalah anggota sesebuah keluarga. Keluarga pula dibentuk daripada sebuah perkahwinan. Perkahwinan yang sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang di Malaysia perlu memenuhi kehendak hukum syarak dan juga undang-undang yang telah ditetapkan. Walaupun Islam tidak pernah mensyaratkan agar sesebuah perkahwinan itu mesti direkodkan dan didaftarkan sama ada secara rasmi atau tidak, namun undang-undang keluarga Islam negeri- negeri di Malaysia telah memperuntukkan beberapa sekatan dalam pelaksanaan perkahwinan bagi menjamin tidak berlakunya penyelewengan dalam perkara ini. Antaranya ialah 1 Statistik berkaitan pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 40 AUKI 1984. Sumber diperolehi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Upload: leminh

Post on 05-Mar-2018

236 views

Category:

Documents


8 download

TRANSCRIPT

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1431

STATUS ANAK DALAM PERKAHWINAN SINDIKET MENURUT PERSPEKTIF SYARAK DAN AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-

WILAYAH) PERSEKUTUAN 1984

Nabilah Yusof, Haliza A.Shukor, Intan Nadia Ghulam Khan, Hasnizam Hashim Fakulti Syariah dan Undang-undang

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nikah sindiket merupakan pernikahan yang tidak mengikut saluran perundangan semasa. Walaupun terma nikah sindiket tidak digunakan oleh ulama fiqh mahupun perundangan semasa, namun ia termasuk dalam kategori kesalahan berhubung akad nikah. Menurut statistik yang dilaporkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, terdapat 309 pertuduhan yang dibuat bagi kesalahan berhubung akad nikah (Seksyen 40 Akta Undang-undang keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984) bagi tahun 2010 (Januari-Jun)1. Pertuduhan yang dibuat turut melibatkan kes-kes yang berkaitan dengan pernikahan sindiket. Pelbagai kesan negatif timbul akibat daripada nikah sindiket dan antara pihak yang menerima kesannya secara langsung ialah anak. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan untuk mengenalpasti kesan nikah sindiket ke atas kesahtarafan anak menurut syarak dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang selepas ini akan dirujuk sebagai AUKI 1984. Katakunci: Nikah Sindiket, Kesan, Kesahtarafan Anak Pendahuluan

Anak adalah merupakan aset negara yang sangat penting kerana pada merekalah segala harapan dan cita-cita negara disandarkan selaku pemimpin di masa akan datang. Anak juga adalah merupakan golongan yang perlu diberikan perlindungan daripada sebarang bahaya yang mungkin wujud. Menyedari akan hakikat ini, maka pertimbangan utama yang perlu diambil oleh kerajaan di dalam segala tindakan yang menyentuh hal ehwal kanak-kanak ialah dari segi memelihara kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berkenaan. Ini boleh dilihat dengan wujudnya pelbagai undang-undang dan akta di negara ini yang berkaitan dengan kanak-kanak, antaranya ialah Akta Kanak-Kanak 2001 (Jal Zabdi bin Mohd Yusoff & Zulazhar bin Tahir, 2005).

Anak adalah anggota sesebuah keluarga. Keluarga pula dibentuk daripada sebuah perkahwinan. Perkahwinan yang sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang di Malaysia perlu memenuhi kehendak hukum syarak dan juga undang-undang yang telah ditetapkan. Walaupun Islam tidak pernah mensyaratkan agar sesebuah perkahwinan itu mesti direkodkan dan didaftarkan sama ada secara rasmi atau tidak, namun undang-undang keluarga Islam negeri-negeri di Malaysia telah memperuntukkan beberapa sekatan dalam pelaksanaan perkahwinan bagi menjamin tidak berlakunya penyelewengan dalam perkara ini. Antaranya ialah

1 Statistik berkaitan pertuduhan yang dibuat di bawah Seksyen 40 AUKI 1984. Sumber diperolehi daripada

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1432

permohonan kebenaran berkahwin, penetapan umur minimum, penentuan status perkahwinan, perkahwinan di hadapan pendaftar perkahwinan bertauliah, penentuan tempat perkahwinan, permohonan berpoligami dan juga pendaftaran perkahwinan (Noraini Mohd Hashim, 2007).

Pernikahan yang tidak didaftarkan akan mengundang pelbagai permasalahan kepada pasangan yang terlibat. Bukan sahaja terhadap diri mereka, bahkan kepada zuriat keturunan mereka juga. Justeru, kertas kerja ini akan mengenalpasti kesan nikah sindiket ke atas kesahtarafan anak menurut syarak dan AUKI 1984. Kesahtarafan Anak Kesahtarafan anak adalah merupakan sesuatu yang sangat penting di dalam Islam dan juga sistem perundangan di Malaysia. Ini kerana kerana anak tak sah taraf atau lebih dikenali sebagai anak luar nikah akan ternafi hak-hak mereka dari segi syarak dan perundangan. Dari segi tanggapan masyarakat pula, terutamanya masyarakat Melayu, anak tak sah taraf sering dilabelkan sebagai penanggung dosa kedua ibu bapa dan memiliki status yang paling rendah di dalam masyarakat membuatkan golongan ini akhirnya sering terpinggir, dicemuh, dan menghadapi tekanan dalam hidup mereka.

Menurut YAA Dato’ Mohamad bin Haji Abdullah, Ketua Hakin Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, perhubungan antara anak tak sah taraf dengan ibunya adalah sama dengan anak sah taraf yang lain. Begitu juga hubungan dengan anak-anak sebelah ibunya yang sah taraf, sama seperti hubungan kekeluargaan yang lain tetapi perhubungan ini tidak boleh diperluaskan kepada keluarga sebelah bapa yang tidak sah kerana keluarga bapa bukan termasuk ahli keluarganya.

Syarat Pensabitan Nasab Anak Menurut Syarak dan AUKI 1984 Penentuan nasab anak ditentukan melalui status perkahwinan pasangan. Sekiranya anak yang dikandung itu hasil daripada perkahwinan yang sah, maka nasab anak adalah kepada bapanya. Asas penentuan ini adalah diambil daripada sebuah hadis Nabi S.A.W yang bermaksud: “Anak yang lahir dari hubungan suami isteri yang sah dinasabkan kepada bapa, dan dia tidak berhak terhadap anak yang lahir dari hubungan zina.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Namun demikian, sekiranya berlaku syubhah maka penentuan nasab anak perlu ditentukan dengan teliti dan syarak telah menetapkannya melalui beberapa kaedah: 1- Penyaksian (syahadah) Penyaksian dalam penentuan nasab anak hendaklah disaksikan oleh dua orang lelaki yang memenuhi syarat saksi pernikahan (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Justeru, penyaksian

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1433

perempuan tidak diiktiraf oleh syarak sebagai saksi yang mempunyai otoriti dalam mengesahkan status anak sahtaraf. 2- Pengakuan (iqrar) Menurut mazhab al-syafi`I, pengakuan seorang bapa ke atas anaknya adalah dianggap sah oleh syarak sebagai kaedah dalam mensabitkan nasab anak (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Namun demikian, pengakuan tersebut perlu menepati beberapa peraturan berikut: i- Umur yang munasabah antara seorang bapa dan anak. ii- Tiada penafian oleh masyarakat umum tentang pengakuan tersebut

iii- Persetujuan orang yang didakwa (mengiyakan ikrar) atas pengakuan pendakwa.

3- Perakuan masyarakat (istifadah) Penyaksian dan perakuan masyarakat juga merupakan kaedah ketiga dalam menentukan nasab seseorang. Ianya diperaku oleh syarak melalui amalan Baginda S.A.W dan para sahabat R.A. Baginda dan para sahabat berpada dengan penerimaan kaum keluarga dan masyarakat (dengan kuantiti yang ramai) terhadap suatu pensabitan nasab (Mustofa al-Khin et. al., 2005). Ini adalah kerana masyarakat atau kaum keluarga yang menyaksikan suatu perkahwinan, mereka berkelayakan untuk memperakukan nasab anak hasil daripada perkahwinan yang mereka telah saksikan. Selain itu, seksyen 114 AUKI 1984 juga meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang itu mengaku bahawa seseorang yang lain ialah anaknya yang sah iaitu:

a. Tiada orang lain disifatkan sebagai bapa kepada anak itu; b. Perbezaan umur antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan

pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak; c. Jika anak itu telah akil baligh,di mana dia boleh membuat keputusan anak itu telah

mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak; d. Lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada

masa pembenihan; e. Pengakuterimaan itu bukannya semata-mata mengakui anak itu sebagai anaknya tetapi

mengaku anak itu sebagai anak sahtarafnya; f. Lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak; g. Pengakuterimaan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi kesahtarafan; h. Pengakuterimaan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak

kandungnya. Perbezaan Anak Sahtaraf dan Anak Tak Sahtaraf Menurut Undang-undang dan Syarak Anak sahtaraf ialah anak yang lahir hasil daripada perkahwinan yang sah di sisi hukum syarak. Dalam kes Hj Ghazali lwn Asmah (1981)1 JH 81, Mahkamah memutuskan bahawa anak yang dilahirkan selepas perkahwinan yang sah adalah sah tarafnya. Begitu juga dalam kes Wan Azmi

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1434

lwn Nik Salwani (1990) 9 JH 192 yang diputuskan oleh Mahkamah bahawa anak yang dilahirkan selepas lapan bulan perkahwinan adalah sah tarafnya. Menurut undang-undang Malaysia, anak yang lahir hasil dari persetubuhan haram lebih dikenali sebagai anak tidak sah taraf atau anak luar nikah dan anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologi kanak-kanak itu menurut hukum syarak kerana ia lahir bukan daripada perkahwinan yang sah. Ia juga tidak mempunyai hak perwalian dan hak untuk mendapatkan harta pusaka (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989). Menurut AUKI 1984, ‘anak tak sah taraf’ bermaksud anak yang dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan yang syubhah. Perkataan syubhah membawa erti keraguan atau kesamaran yang menimbulkan was-was terhadap sesuatu perkara dan tidak dapat dipastikan halal atau haramnya perkara tersebut (Dr. Zaleha Kamaruddin & Raihanah Abdullah, 2002). Para fuqaha’ semua mazhab berpendapat bahawa seorang anak yang pembenihannya dan kehamilan berlaku sebelum pernikahan kedua ibu bapanya adalah anak hasil perzinaan dan anak tersebut adalah merupakan anak tak sah taraf. Walau bagaimanapun, anak yang lahir setelah enam bulan atau lebih dari tarikh pernikahan akan dikira sebagai anak yang sah (Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor, 1989). Di Malaysia, masih belum ada sebarang peruntukan dalam undang-undang keluarga Islam yang seragam mewajibkan kepastian bapa kandung bagi seorang anak yang tak sahtaraf. Malahan dalam Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah juga tidak menetapkan kewajipan memastikan bapa kandung seorang anak yang dilahirkan luar nikah. Justeru, hukuman bagi kesalahan itu terkena kepada wanita sahaja, kerana qarinah lebih mudah diperolehi daripada wanita. Kecuali jika terdapat keterangan berlakunya persetubuhan haram maka pasangan lelakinya boleh dihukum. Nikah Sindiket dan Persetubuhan Syubhah Terma nikah sindiket bukanlah merupakan terma perundangan kerana ia tidak disebut dalam mana-mana peruntukan di bawah AUKI 1984. Terdapat beberapa jenis pernikahan yang dikategorikan sebagai nikah sindiket iaitu: i) Kahwin lari ii) Pernikahan yang dikendalikan oleh orang yang tidak bertauliah (sama ada jurunikah

yang tidak mempunyai tauliah atau tauliah telah tamat tempoh atau didalangi oleh kumpulan sindiket)

iii) Pernikahan yang dibuat untuk tujuan menipu pasangan (melalui perantaraan seseorang atau melalui syarikat )

YAA Dato’ Mohamad bin Haji Abdullah menyatakan bahawa nikah sindiket adalah pernikahan yang tidak mengikut peraturan atau bersalahan dengan undang-undang. Kenyataan ini disokong

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1435

oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) iaitu Tuan Haji Zainul Abidin bin Mat Nor yang menyimpulkan bahawa nikah sindiket ialah nikah yang tidak mengikut saluran yang diiktiraf oleh perundangan Malaysia. Beberapa kes pernikahan sindiket telah dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Februari 2010 antaranya yang melibatkan seorang warga emas yang merupakan seorang jurunikah bertauliah yang telah berjaya menikahkan lebih 50 pasangan beragama Islam namun melalui pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat unsur keraguan. Begitu juga dengan kes yang dilaporkan oleh Harian Metro bertarikh 15 Januari 2012 berlaku di Kuala Lumpur yang melibatkan sindiket jurunikah palsu untuk urusan perkahwinan dan ianya diketahui oleh wanita tersebut setelah mendapati suaminya mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain. Dalam kes Roziana Ramli lwn Muhamad Fazly bin Kamarunzaman ( No kes: 14200-010-0387-2007 Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan), ia melibatkan permohonan perintah daftar nikah secara sindiket difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur. Mengikut fakta kes, plaintiff bernikah dengan defendan pada 5 Ogos 2006 menggunakan wali hakim dan diakad nikahkan oleh jurunikah dari Thailand. Plaintif adalah seorang anak dara dan defendan telah beristeri. Mahkamah memutuskan bahawa pernikahan tersebut adalah tidak sah menurut hukum syarak kerana wali hakim bagi pernikahan ini hakikatnya tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wali hakim. Berbeza dengan nikah sindiket yang tidak mempunyai peruntukan tersendiri di dalam AUKI 1984, persetubuhan syubhah dinyatakan dengan jelas di dalam AUKI 1984 seksyen 2 iaitu: Persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam. STATUS PERNIKAHAN SINDIKET Disebabkan ketiadaan peruntukan spesifik di dalam AUKI 1984 berhubung dengan pernikahan sindiket, maka status pernikahan sindiket mengundang pelbagai andaian tentang kesahihannya sama ada dari hukum syarak dan juga perundangan. Ini kerana status pernikahan sindiket ini bergantung pada bagaimana pernikahan tersebut dilaksanakan, samada rukun nikah telah dipenuhi atau tidak.

Menurut Hukum Syarak

Menurut hukum syarak status akad nikah terbahagi kepada dua bahagian, pertama akad sahih, kedua, akad fasid atau batil. Akad yang sahih adalah akad yang cukup rukun dan syarat sah nikah, nikah batil adalah nikah yang tidak sempurna pada rukun nikah manakala nikah yang fasid adalah nikah yang tidak sempurna pada syarat sah nikah. Bagi ulama Hanafi, mereka berpendapat bahawa akad nikah yang fasid masih mempunyai sedikit sebanyak implikasi

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1436

undang-undang, sama seperti yang terdapat pada nikah yang sahih iaitu anak yang lahir tetap mendapat nasab bapanya (Dr. Wahbah al-Zuhaili, 2001).

Namun demikian, menurut mazhab Syafi`iyyah, tiada perbezaan antara fasid dan batil. Hukum nikah ini adalah haram (Dr. Wahbah al-Zuhaili, 2001 ). Melalui nikah fasid dan batil, suami atau isteri tidak mempunyai hak seperti hak yang wajib diperolehi melalui nikah yang sah iaitu hak mahar, nafkah, musoharah, `iddah dan pensabitan nasab.

Nikah fasid atau batil berlaku disebabkan oleh syarat sah nikah yang tidak sempurna. Syarat-syarat tersebut adalah meliputi syarat sah setiap rukun nikah iaitu syarat sah suami, isteri, wali, saksi dan sighah (ijab dan qabul).

Kesan akad nikah yang fasid dan batil adalah; pasangan suami isteri itu wajib dipisahkan, suami tidak wajib membayar mahar sekiranya tafriq (pemisahan) itu dibuat sebelum berlaku dukhul (jimak), tidak sabit haram kerana musoharah (perkahwinan), tidak wajib membayar nafkah, dan tidak saling mewarisi di antara suami dan isteri. Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan (2000) sekiranya berlaku dukhul, terdapat beberapa kesan ke atas nikah tersebut.

1) Wajib tafriq (dipisahkan)

Apabila suatu perkahwinan diputuskan sebagai tidak sah di sisi syarak, pasangan tersebut tidak dianggap sebagai suami isteri. Lelaki dan wanita tersebut perlu dipisahkan, sekiranya tidak dipisahkan maka wajib ke atas kadi untuk memisahkan kedua-dua mereka. Menurut mazhab Hanabilah, tidak boleh diteruskan pernikahan yang tidak sah sehingga ditalaq atau difasakh pernikahan mereka oleh kadi. Manakala menurut mazhab Syafiiyyah, tidak perlu fasakh dan talaq kerana nikah itu tidak terakad seperti nikah dalam keadaan `iddah.

2) Wajib mahar selepas dukhul (jimak)

Apabila berlaku dukhul (jimak) pada akad fasid, diwajibkan mahar sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidatina Aishah R.A

مبا استحل من فرجها ، فإن اشتجروا ، املهر أميا امرأة نكحت بغري إذن وليها ، فنكاحها باطل ، فنكاحها باطل ، فنكاحها باطل ، فإن دخل هبا ، فلها فالسلطان ويل من ال ويل له.

Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang bernikah tanpa izin walinya maka nikah tersebut dianggap batil, batil, batil. Sekiranya berlaku dukhul, maka bagi lelaki itu mahar dengan apa yang di halalkan daripada kemaluan wanita...”.

Menurut pandangan Hanabilah dan Imam Zufar, adalah wajib untuk wanita tersebut menerima mahar misil. Manakala Imam Hanafi, pengikutnya Abu Yusuf dan Muhammad berpandangan bahawa maharnya adalah kurang daripada mahar misil dan mahar musamma. Pendapat yang rajih pula adalah wanita yang berakad dengan nikah fasid kemudian setelah didukhul (jimak) berhak mendapatkan mahar misil yang sempurna sama ada disebut atau tidak ketika akad nikah fasid itu berlangsung kerana hak wanita tersebut mendapatkan mahar adalah disebabkan dukhul (jimak) bukan kerana akad.

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1437

3) Haram musoharah

Haram musoharah tidak sabit ke atas akad nikah yang fasid sebelum berlaku dukhul. Manakala sabit haram musoharah melalui nikah fasid setelah berlaku dukhul.

4) Tidak wajib memberi nafkah

Tidak diwajibkan untuk membayar nafkah sekiranya nikah itu fasid.

5) Sabit nasab

Sabit nasab pada nikah fasid setelah dukhul (jimak)

6) Wajib `iddah

Apabila berlaku tafriq (pemisahan) selepas dukhul pada nikah fasid, diwajibkan `iddah ke atas wanita sebagaimana yang dijelaskan oleh mazhab Hanafiah dan mazhab Hanabilah.

7) Tidak saling mewarisi pada nikah fasid

Tidak boleh saling mewarisi antara suami dan isteri dalam semua keadaan (sebelum atau selepas dukhul, hidup atau mati). Ini adalah kerana, hak memperoleh mirath itu adalah disebabkan oleh nikah yang sah bukan daripada nikah yang fasid.

Justeru, hanya nikah yang sah serta diiktiraf oleh syarak berhak menerima hak-hak yang telah ditetapkan oleh syarak. Oleh itu, nikah sindiket sekiranya tidak disahkan statusnya oleh syarak akan menyebabkan implikasi yang sama seperti nikah fasid iaitu pasangan tersebut tidak berhak menuntut bahagian harta pusaka dan nafkah.

Menurut Perundangan Islam Semasa di Malaysia

Malaysia, sebagai sebuah negara persekutuan melaksanakan pembahagian kuasa eksekutif, perundangan dan beban kewangan di antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyebut dengan jelas bahawa kuasa perundangan bagi badan perundangan negeri-negeri diperuntukkan di Jadual Kesembilan Senarai Negeri (Senarai II) dan antara kuasa perundangan badan perundangan negeri adalah perkara yang berkaitan dengan hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam dan sebagainya. Justeru, negeri-negeri dan wilayah persekutuan di Malaysia mempunyai enakmen undang-undang keluarga Islam tersendiri. Di dalam kertas kerja ini, undang-undang keluarga Islam yang dirujuk adalah AUKI 1984. Nikah sindiket mendatangkan pelbagai implikasi perundangan ke atas perkahwinan. Ini disebabkan oleh masalah yang bakal timbul sekiranya perkahwinan itu ingin didaftarkan. Keperluan untuk mendaftar sesebuah perkahwinan telah termaktub di dalam Seksyen 25 AUKI 1984 yang mengkehendaki setiap pemastautin Wilayah Persekutuan mendaftarkan perkahwinan

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1438

yang telah dijalankan.Walaubagaimanapun, menurut Seksyen 34 AUKI 1984, pendaftaran perkahwinan semata-mata tidak akan menentusahkan sesebuah perkahwinan. Pernikahan yang dibuat menggunakan sindiket boleh mendatangkan pelbagai implikasi ke atas status perkahwinan seperti berikut: i) Nikah sah di sisi Hukum Syarak tetapi tidak diiktiraf oleh undang-undang Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, terma nikah sindiket meliputi perkara yang melibatkan upacara pernikahan yang dijalankan dengan tidak mengikut prosedur undang-undang, sebagai contoh jurunikah yang menikahkan, wali, saksi dan sebagainya. Namun begitu, terdapat beberapa kes yang melibatkan nikah sindiket yang sah menurut hukum syarak tetapi tidak sah dari sudut perundangan. Sebagai contoh, sekiranya pasangan dinikahkan oleh ahli keluarga sendiri dan perkahwinan itu memenuhi semua syarat sah nikah, namun dari sudut perundangan, ianya bersalahan dengan kehendak perundangan kerana pernikahan tersebut dilakukan oleh jurunikah tidak bertauliah. Seksyen 12 (1) AUKI 1984 memperuntukkan bahawa sesuatu perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan sekiranya perkahwinan tersebut bersalahan dengan Akta. Walau bagaimanapun, sekiranya perkahwinan tersebut sah menurut hukum syarak, ianya masih boleh didaftarkan di bawah AUKI 1984 dengan cara mendapatkan perintah daripada mahkamah. Jelas di sini walaupun sesuatu perkahwinan itu gagal untuk mematuhi peruntukan yang terkandung dalam AUKI 1984, namun ia masih boleh didaftarkan dengan cara mendapatkan perintah daripada mahkamah sekiranya perkahwinan tersebut telah memenuhi kehendak hukum syarak. ii) Nikah tidak sah di sisi hukum syarak dan tidak diiktiraf oleh undang-undang Menurut Seksyen 11 AUKI 1984, sesebuah perkahwinan adalah tidak sah melainkan semua syarat menurut hukum syarak telah dipenuhi untuk menjadikannya sah. Oleh itu, sekiranya nikah sindiket yang dijalankan telah tidak memenuhi keperluan hukum syarak, maka peruntukan Seksyen 11 AUKI 1984 secara jelas dan terang menyatakan bahawa perkahwinan tersebut juga dianggap tidak sah di sisi perundangan. Merujuk pada kes yang dilaporkan dalam Berita harian, 5 November 2010, yang melibatkan pernikahan seorang wanita bernama Nadia dan pasangannya Najmalden yang berwarganegara Australia, Mahkamah telah memutuskan bahawa pernikahan mereka tidak sah atas dua sebab utama. Pertama, pernikahan tersebut tidak mengikut hukum syarak kerana saksi yang terbabit dalam pernikahan tersebut tidak memahami lafaz akad nikah yang dibuat dalam Bahasa Arab oleh Najmalden. Kedua, pernikahan tersebut menggunakan wali tahkim yang tidak berkelayakan untuk menikahkan orang lain. Ini disebabkan wali terbabit mengaku yang beliau tidak pernah menikahkan orang selain daripada pasangan tersebut.

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1439

IMPLIKASI NIKAH SINDIKET KE ATAS KESAHTARAFAN ANAK

Melalui perbincangan di atas, terdapat perkaitan di antara nikah sindiket dan kesahtarafan anak. Ini berikutan semasa pendaftaran kelahiran anak, beberapa dokumen seperti sijil nikah ibu dan bapa anak tersebut perlu dikemukakan di Jabatan Pendaftaran Negara. Masalah akan timbul sekiranya, sijil nikah tidak dapat dikemukakan kerana perkahwinan tidak didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam sama ada telah mendapat perintah mahkamah mengenai kesahan sesesuatu pernikahan itu atau belum atau sijil nikah itu didapati palsu. Mengikut pihak Jabatan Pendaftaran Negara, bagi tujuan pendaftaran kelahiran anak tersebut, ibu dan bapa anak tersebut perlu membuat pengakuan dihadapan Pendaftar di bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 bahawa anak tersebut anak mereka. Anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada ‘bapa’ anak tersebut.

Impak nikah sindiket adalah sangat besar kerana ia melibatkan kesahihan sesebuah pernikahan dan jika pernikahan itu tidak sah maka ia akan melahirkan anak tidak sah taraf. Selain itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar melalui akhbar Kosmo tentang senario pasangan bernikah menggunakan sindiketmenyatakan bahawa pasangan tersebut mungkin terdedah kepada bahaya dosa melahirkan anak tidak sah taraf kerana ia melibatkan hubungan seks luar nikah.

Melalui perbincangan di atas, jelas ia menunjukkan bahawa kesahtarafan anak bergantung pada kesahan sesuatu perkahwinan. Sekiranya anak tersebut lahir dari perkahwinan sindiket yang tidak memenuhi rukun dari segi syarak dan bukan persetubuhan syubhah, maka anak tersebut akan menjadi anak tak sah taraf. Menurut Seksyen 113 AUKI 1984: Jika seseorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu Dalam konteks pernikahan yang dilakukan secara sindiket, sekiranya pernikahan tersebut dapat dibuktikan serta diakui oleh mahkamah syariah bahawa ianya telah dilaksanakan dengan memenuhi segala tuntutan syarak, maka nasab anak tersebut adalah daripada bapanya yang sah. Sekiranya tidak, anak tersebut akan dikategorikan sebagai anak tak sah taraf dan tidak boleh dibinkan kepada lelaki zina sebaliknya hendaklah dibinkan atau dibintikan kepada Abdullah. Seseorang anak tak sah taraf juga tidak boleh dibinkan kepada ibunya kerana boleh menimbulkan kesan psikologi kepada anak tersebut.

Selain daripada itu, pergaulan anak tak sah taraf dengan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan ibunya hukumnya adalah sama dengan lelaki asing yang tiada kaitan dengannya kecuali jika lelaki tersebut menjadi suami ibunya maka hubungannya adalah seperti ayah tiri.

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1440

Rumusan dan Cadangan Walau atas apa alasan sekalipun sesuatu perkahwinan itu dijalankan, ia hendaklah dilakukan berlandaskan syarak dan mengikut prosedur perundangan semasa. Ini disebabkan kesahtarafan anak bergantung pada status perkahwinan ibu bapa anak tersebut. Sekiranya perkahwinan tersebut tidak sah, maka kesahtarafan anak yang lahir hasil dari perkahwinan tersebut juga diragui dan boleh menjadi tidak sah. Penalti berhubung dengan kesalahan yang berhubung akad nikah sepatutnya disemak semula selaras dengan implikasi yang bakal timbul sekiranya ia dibiarkan berlaku. Buat masa ini, penalti tidak lebih RM1000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya akan dikenakan bagi pihak yang terlibat dengan kesalahan yang berhubung dengan akad nikah (Seksyen 40 AUKI 1984). Hukuman penjara tidak akan dilihat sebagai sesuatu yang serius dan menggerunkan sekiranya tiada penguatkuasaan dibuat terhadap peruntukan sedia ada. Adalah diharapkan agar undang-undang sedia ada disemak semula dan diperketatkan demi memartabatkan undang-undang Islam dan menjaga kepentingan serta kebajikan umat Islam khasnya. Pihak bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam juga perlu menggiatkan usaha dalam memberi kesedaran terhadap masyarakat tentang kepentingan pendaftaran perkahwinan samada perkahwinan kali pertama, poligami mahupun perkahwinan yang seterusnya kerana ianya menjamin hak pasangan terutamanya hak anak untuk mendapat nasab yang sempurna. BIBLIOGRAFI Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Arkib Berita Harian, 5 November 2010. Azizah Mohd Dr. Abdul Karim Zaidan. 2000. Kitab Al-Mufassal fi Ahkam Al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fi al-Syariah Al-Islamiah. Jilid 7. Beirut: Muassasah al-Risalah. Dr. Siti Zulaikha Mohd. Nor. 1989. Perlindungan Kanak-Kanak di dalam Islam: Perlaksanaanya Menurut Undang-Undang di Malaysia. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. Dr. Wahbah al-Zuhaili. 2001. al-Fiqh al-Manhaji. (terj.) Ahmad Shahbari Salamon et.al. Jilid VII. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Dr. Wahbah al-Zuhaili. 2001. Fiqh dan Perundangan Islam. (terj.) Jilid VII. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd. Jilid 4. Dr. Zaleha Kamaruddin, & Raihanah Abdullah. 2002. Kamus Istilah Undang-Undang Keluarga Islam. Kuala Lumpur. Zebra Editions Sdn. Bhd. Jal Zabdi bin Mohd Yusoff & Zulazhar bin Tahir. 2005. ‘Akta Kanak-Kanak 2000: Penguatkuasaan Semula Tugas dan Tanggungjawab Ibu Bapa atau Penjaga’. Jurnal Undang-Undang (JMCL). Vol.32.

Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013. 4-5 June 2013, Penang, MALAYSIA. e-ISBN 978-967-11768-1-8. Organized by WorldConferences.net 1441

Noraini Mohd Hashim. 2007. ‘Prosedur dan Pendaftaran Perkahwinan’. Undang-Undang Keluarga Islam. Selangpr: Dawama Sdn. Bhd. Temu bual bersama dengan Tuan Haji Zainul Abidin bin Mat Nor, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 10 Ogos 2010 (Selasa), jam 12:45 tengahari, di JAWI. Temu bual bersama Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, YAA Dato’ Mohamad bin Haji Abdullah pada 10 Ogos 2010 (Selasa), jam 3:00 petang, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Temu bual bersama Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, YAA Dato’ Mohamad bin Haji Abdullah pada 10 Ogos 2010 (Selasa), jam 3:00 petang, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Temubual Melalui Telefon dengan Puan Nik Zakiah Nik Omar, Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat, Jabatan Pendaftaran Negara pada 29 Disember 2010, jam 12.15 petang