penda hulu an

49
1.0 PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan Guru merupakan individu yang terlibat dalam menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada murid. Individu ini merupakan golongan profesional yang mendapat pengiktirafan serta mempunyai kelayakan untuk mengelolakan sesi pengajaran formal di dalam bilik darjah di sekolah dengan mengikut kurikulum serta mematuhi garis panduan yang telah di tetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Seorang guru yang baik akan sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya bagi menjadikan dirinya kompetitif dalam menongkah arus permodenan untuk memberikan yang terbaik dalam setiap sesi pengajaran. Hasilnya proses pembelajaran murid dapat dioptimumkan dan seterusnya murid dapat mendalami ilmu pengetahuan dan seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian untuk menjadi insan yang berguna pada masa hadapan. Salah satu mata pelajaran yang sangat diberikan perhatian dan juga merupakan mata pelajaran teras ialah

Upload: alexander-ngu

Post on 04-Sep-2015

235 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

Ar

TRANSCRIPT

1.0 PENDAHULUAN

1.1 Pengenalan

Guru merupakan individu yang terlibat dalam menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada murid. Individu ini merupakan golongan profesional yang mendapat pengiktirafan serta mempunyai kelayakan untuk mengelolakan sesi pengajaran formal di dalam bilik darjah di sekolah dengan mengikut kurikulum serta mematuhi garis panduan yang telah di tetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Seorang guru yang baik akan sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya bagi menjadikan dirinya kompetitif dalam menongkah arus permodenan untuk memberikan yang terbaik dalam setiap sesi pengajaran. Hasilnya proses pembelajaran murid dapat dioptimumkan dan seterusnya murid dapat mendalami ilmu pengetahuan dan seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian untuk menjadi insan yang berguna pada masa hadapan.

Salah satu mata pelajaran yang sangat diberikan perhatian dan juga merupakan mata pelajaran teras ialah mata pelajaran Sains. Guru sains sering berhadapan masalah untuk mengendalikan suatu sesi pengajaran dan pembelajaran sains yang berkesan, menarik minat murid terhadap isi pelajaran serta mendorong peningkatan pencapaian murid itu sendiri. Permasalahan yang wujud ini berkemungkinan berpunca dari faktor kepakaran dan kemahiran mengajar guru yang tidak begitu memuaskan ataupun sikap negatif yang wujud dalam diri guru itu sendiri. Malah, penerimaan murid terhadap mata pelajaran Sains ini juga tidak begitu memuaskan. Mereka bersikap pesimistik yang mana mereka memandang mata pelajaran Sains sebagai mata pelajaran yang susah dan membosankan serta digeruni oleh murid.

Penggunaan pelbagai teknik dan pendekatan sering menjadi pilihan guru untuk dipraktikkan dalam setiap sesi pengajaran bagi memupuk kembali minat dan perasaan ingin tahu pelajar. Justeru, mereka memilih dari pelbagai jenis teknik dan pendekatan seperti pendekatan induktif, pendekatan deduktif, konstruktivis, inkuiri penemuan, kaedah tunjuk cara, kaedah didik hibur dan bermacam-macam lagi. Kebanyakan daripada guru-guru ini lebih suka memilih untuk menggunakan pendekatan inkuiri penemuan dan pendekatan konstruktivisme. Hal ini berlaku demikian kerana murid diberi peluang untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam proses pembelajaran serta memberi pengalaman belajar yang menyeronokkan kepada murid itu sendiri.

Kaedah pengintegrasian komik dalam pengajaran atau penggunaan bahan komik dalam pengajaran sudah tidak asing lagi di negara-negara lain. Bahkan negara maju seperti Jepun juga sudahpun melaksanakannya kaedah ini tidak lama dahulu. Justeru, kita seharusnya mengorak langkah untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang pendidikan.

1.2Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran.

Program praktikum merupakan satu program yang dikelolakan dan diikuti oleh semua pelajar guru sebagai salah satu keperluan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Program ini bermatlamat untuk memberikan pengalaman langsung suasana kerja serta situasi-situasi yang dihadapi oleh seorang guru apabila berada di sekolah. Melalui pengalaman dan ilmu yang diperoleh semasa mengikuti program praktikum ini, pelajar guru telah menerima pendedahan yang sepatutnya dan ianya menjadi halaman pertama dalam coretan pengalaman mereka untuk menjadi seorang guru yang berjaya suatu hari nanti.

Berdasarkan pemerhatian yang telah di lakukan ketika mengikuti program praktikum bagi fasa-fasa yang sebelumnya, didapati bahawa murid begitu cepat merasa bosan serta tidak bersemangat dan bermotivasi untuk mengikuti sesuatu sesi pengajaran. Kebanyakan tingkah laku ini ditunjukkan oleh murid semasa mengikuti mata pelajaran Sains. Tingkahlaku ini berlaku semasa guru menerangkan sesuatu konsep. Mereka lebih terdorong untuk berbual atau mula membuat kerja lain. Jika pun mereka cuba memberikan perhatian kepada sesi pengajaran dan pembelajaran, ianya setelah ditegur oleh guru, namun riak wajah mereka tetap menunjukkan perasaan tidak berminat.

Sikap negatif murid ini didorong oleh persepsi negatif tentang mata pelajaran Sains. Kebanyakan murid memberikan pendapat bahawa mata pelajaran Sains membosankan ataupun sukar bagi mereka untuk mendapatkan markah yang tinggi. Ini sedikit sebanyak telah menyebabkan minat murid terhadap mata pelajaran Sains itu sendiri semakin luntur.

Malahan, tidak semua guru mempunyai bakat untuk menerapkan unsur kecindan yang dilihat dapat menarik minat murid untuk memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap isi pengajaran yang disampaikan oleh guru. Ini menyebabkan guru cenderung untuk menjadi seorang yang garang dan autokratik di dalam kelas. Tidak dinafikan bahawa langkah ini dapat membantu guru mengawal disiplin dan tingkah laku murid sekolah rendah di dalam kelas. Namun, sikap autokratik guru ini juga akan menyebabkan penglibatan murid secara sukarela akan berkurang atau terhapus. Sebaliknya, murid akan cenderung untuk memendam perasaan tidak puas hati dan lama-kelamaan ianya akan bertukar menjadi benci dan kurang berminat. Hasilnya, proses pembelajaran di dalam kelas menjadi tidak konstruktif untuk murid-murid.

Justeru, pengintegrasian komik dianggap relevan dan sesuai untuk memperbaiki permasalahan ini. Elemen menarik dan keseronokan yang terdapat pada komik boleh digunakan untuk menarik minat dan perhatian murid-murid ini. Sejurus timbulnya minat dalam diri murid terhadap komik yang diperkenalkan oleh guru ini, dengan sendirinya mereka akan mendalami pengisian konsep atau fakta yang terdapat di dalam komik dan seterusnya membantu meningkatkan pencapaian mereka.

1.3Refleksi Nilai Pendidikan

Motivasi yang wujud dalam diri seseorang dengan sendirinya akan mendorongnya untuk melakukan sesuatu tanpa paksaan malah menikmati setiap detik semasa melakukannya. Sejurus itu, motivasi yang terbina ini akan membawa kepada terbinanya keyakinan diri yang tinggi yang mana kedua-dua aspek ini dilihat saling berkaitan.

Melihat dari sudut aspek pendidikan, murid yang mempunyai motivasi yang tinggi akan terdorong untuk menjadi lebih aktif serta fokus dalam pelajaran mereka dan seterusnya menunjukkan usaha serta kesungguhan dalam pembelajaran. Antara sikap-sikap yang sering ditunjukkan ialah rajin bertanya, penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta kompetitif dalam setiap penilaian yang dikelolakan oleh guru.

Justeru, bagi menyokong kepada proses pembinaan keyakinan dan motivasi ini, ianya boleh dimulakan melalui pencetusan minat murid terhadap mata pelajaran Sains itu sendiri. Hal ini kerana minat yang mendalam akan menerbitkan motivasi dan keyakinan dalam diri murid secara sendiri. Maka, elemen minat inilah yang perlu dititikberatkan serta diberikan perhatian yang sepatutnya oleh guru.

Era globalisasi ini melihat betapa murid semakin kedepan jika dibandingkan dengan murid sebaya dengan mereka pada zaman dahulu. Mereka lebih cenderung terhadap komik atau buku yang mempunyai ilustrasi yang menarik dan menghiburkan. Justeru tidak dinafikan bahawa penggunaan penyampaian secara kuliah ataupun penggunaan nota kaki yang mengandungi nota dilihat agak kurang relevan. Justeru, guru perlu mengambil inisiatif untuk maju kehadapan dan bersedia dengan bahan pembelajaran yang menarik bagi memastikan proses pembelajaran yang dikelolakan digemari oleh murid serta mampu memberi impak yang maksimum kepada murid-murid.

Komik merupakan satu wacana penyampaian idea, konsep mahupun ilmu kepada kelompok sasaran. Hal ini dilihat melalui perkembangan industri kreatif yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Golongan di setiap peringkat umur iaitu kanak-kanak, remaja mahupun dewasa menggemari komik sebagai penggisian pada waktu lapang. Justeru, idea untuk mengintegrasikan komik sebagai bahan pengajaran dilihat bersesuaian serta memenuhi kehendak serta keperluan murid pada masa kini.

Proses pengintegrasian komik sebagai bahan pengajaran oleh guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dilakukan dengan menggunakan komik untuk mencetuskan idea kepada murid dengan menggunakan latar tempat dan watak yang dikenali serta biasa buat murid-murid. Murid akan lebih mudah untuk membina konsep serta proses mengukuhkan idea akan menjadi lebih konstruktif kerana persoalan atau petanyaan yang dikemukakan oleh murid berkenaan komik akan diambil tindakan secara terus oleh guru. Sebarang miskonsepsi yang wujud dalam kalangan murid berkenaan topik akan meransangnya untuk bertanya soalan kepada guru jika isi komik berlawanan dengan kerangka minda mereka.

2.0 FOKUS KAJIAN

2.1Isu Kajian

Dalam proses pembelajaran sains sekolah rendah didapati bahawa guru menghadapi masalah dalam mengekalkan minat dan tumpuan murid terhadap isi pelajaran yang cuba disampaikan. Ditambah lagi dengan sesi pengajaran oleh guru yang hanya melibatkan penggunaan perkataan sahaja serta pengisian aktiviti yang menumpukan kepada murid menulis dan membaca sahaja. Alaf 21 merupakan zaman murid dilihat lebih kreatif dan inovatif sama ada dalam kehidupan mahupun pembelajaran. Justeru elemen visual dalam sesi pengajaran tidak seharusnya dipandang remeh. Penggunaan komik ini dilihat sebagai salah satu pendekatan yang boleh digunakan oleh guru di dalam pengelolaan sesi pengajaran.

Komik merupakan satu bentuk bahan grafik yang memaparkan grafik yang menarik dan dalam bentuk cerita dalam kotak yang bersiri. Bagi meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran Sains, murid mestilah didorong dengan perasaan minat serta motivasi yang tinggi untuk mendalami ilmu sains. Justeru, penggunaan komik ini dilihat dapat mencapai tujuan berkenaan.

Kelebihan yang terdapat pada komik ini ialah pengisiannya yang mengandungi kartun berserta dialog perkataan yang mana begitu dekat dengan murid. Malah, unsur lawak serta perwatakan watak di dalam komik itu sendiri juga dapat membantu dalam menarik minat murid terhadap mata pelajaran Sains. Selain itu, ciri komik itu sendiri yang informatif juga membantu murid mendapatkan ilmu pengetahuan daripada komik berkenaan dan membentuk pemahaman. Ini bermakna komik itu boleh diakses sendiri oleh murid tanpa perlu diterangkan pengisiannya oleh guru.Dalam kajian yang cuba dijalankan ini, fokus telah diberikan kepada penggunaan komik tersebut sebagai bahan peransang untuk sesuatu sesi pengajaran. Ianya dikendalikan semasa fasa pencetusan idea atau penstrukturan semula idea berdasarkan Model Lima Fasa Needham. Pendekatan elemen komik dalam pengajaran tidak hanya terhad kepada tajuk tertentu sahaja. Sebaliknya, pengisian komik perlulah disesuaikan dengan topik yang ingin diajar. Rasional penggunaan komik ini ialah ia berfungsi sebagai pencetus pemikiran murid melalui bahan ransangan visual yang digunakan oleh guru. Komik yang digunakan ini disediakan guru dalam bentuk lembaran satu mukasurat mahupun dua mukasurat yang mempunyai jalan cerita yang berkaitan.

Penekanan turut diberikan pada ciri-ciri komik yang cuba dihasilkan supaya bersesuaian dengan tahap umur murid serta dapat menarik minat dan kecenderungan mereka. Ini bagi mewujudkan keadaan santai dan murid dapat memahami isi komik dengan mudah serta menikmati tempoh masa bacaan komik tersebut. Selain itu, komik tersebut tidak menekankan unsur bahasa secara menyeluruh. Ini adalah untuk mengelakkan murid merasa bosan atau tidak berminat untuk membaca dialog yang terdapat pada komik yang mengandungi isi pelajaran.

Melalui kajian yang akan dijalankan ini, ia diharapkan dapat menyumbangkan nilai yang sangat besar kepada guru-guru sains. Hal ini demikian kerana isu pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains sering dikaitkan dengan minat dan kecenderungan murid untuk belajar. Justeru melalui pengintegrasian komik dalam pengajaran ini diharap dapat membantu menarik minat murid terhadap mata pelajaran Sains dan seterusnya pencapaian murid didalam kelas juga turut meningkat. Hasilnya, kualiti pengajaran yang cuba disampaikan oleh guru juga turut meningkat ke tahap yang lebih baik dan pencapaian murid dapat diletakkan pada tahap yang optimum .

2.2Tinjauan literatur berkaitan dengan isu kajian

Menurut Kamus Pelajar (2008), pencapaian boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang dicapai atau sesuatu yang telah berjaya dilaksanakan dengan usaha dan ketekunan. Merujuk kepada konteks pembelajaran murid, pencapaian ialah hasil yang diperoleh oleh murid selepas mengikuti sesuatu sesi pembelajaran dengan menunjukkan sejauh mana murid tahu dan faham mengenai isi pelajaran yang telah diajar oleh guru.

Minat pula didefinisikan didalam Kamus Dewan (2007), sebagai kecenderungan atau keinginan terhadap sesuatu. Justeru, minat merupakan elemen yang perlu dikekalkan oleh guru dalam diri murid bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif dan konstruktif yang mana murid bersungguh-sungguh untuk belajar.

Bahan yang digunakan dalam pengajaran oleh guru dikenali sebagai bahan bantu mengajar. Bahan bantu mengajar ini boleh digunakan dalam pelbagai bentuk seperti buku cerita, carta, poster, rakaman suara, video dan slaid. Menurut Mat Nor Hussin dan Ab. Rahman Ab. Rashid (1988), dalam bukunya Alat bantu mengajar dalam pengajaran bahasa menyatakan peralatan tersebut dapat menyokong penyampaian pembelajaran secara berkesan. Penggunaan bahan bantu mengajar yang baik akan menyokong kepada pembelajaran murid yang lebih baik. Hasilnya, murid akan lebih mudah untuk memahami isi pelajaran dan seterusnya memperoleh pencapaian yang tinggi dalam pelajaran.

Penggunaan bahan visual atau grafik sering menjadi pilihan guru sebagai bahan bantu mengajar. Hal ini kerana murid dilihat memberi respon yang sangat baik apabila pembelajaran mereka dibantu dengan bahan grafik seperti gambar, kad visual dan gambar rajah. Menurut Braden dan Hortin (seperti yang dinyatakan dalam Abu Talib Putih, 2005), penggunaan visual ataupun grafik ini bukan sahaja dapat merangsang deria penglihatan individu malah dapat membantu pelajar untuk membina skema dalam fikiran iaitu kerangka kognitif untuk memahami topik yang dipelajari dengan lebih baik. Justeru, penggunaan bahan visual atau grafik ini seharusnya dipraktikkan dalam pengajaran kerana ia dilihat dapat membantu murid dalam memahami sesuatu isi pelajaran. Hasilnya, pencapaian murid akan bertambah baik melalui pemahaman lebih baik yang terhasil.

Nor Azleenda Abdul Hadi (2012) turut berpendapat bahawa bahan bantu mengajar merupakan bahan sokongan yang dapat membantu keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran selain pembelajaran secara konvensional, iaitu dengan menggunakan buku teks sepenuhnya. Guru memainkan peranan yang penting dalam memilih dan menentukan bahan bantu mengajar yang berkesan mengikut tahap kecerdasan murid yang diajarnya. Keberkesanan dan ketepatan bahan bantu mengajar mampu mempengaruhi minat murid untuk memberikan tumpuan terhadap sesuatu topik pembelajaran.Justeru, dicadangkan supaya pengintegrasian komik dalam pengajaran dilakukan bagi meningkatkatkan kualiti pengajaran. Ianya adalah kerana komik dilihat sebagai medium yang tepat dan berkesan untuk menarik minat murid terhadap pengisian pengajaran pelajaran oleh guru. Bersesuaian dengan tajuk Kemandirian Spesis yang berkaitan dengan hidupan dan alam sekeliling murid akan menambahkan lagi minat murid terhadap komik yang digunakan oleh guru. Malah tumpuan lebih baik diberikan apabila penggunaan bahan bantu mengajar yang berkesan diaplikasikan dalam pengajaran bagi meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains bagi tajuk Kemandirian Spesis

Komik boleh dikatakan merupakan satu medium yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Masyarakat kita sudah lama didedahkan dengan pelbagai bentuk dan versi komik semenjak dari tahun 90-an lagi. Komik seperti Ujang, Kawan, Apo dan bermacam lagi. Setiap dari komik tersebut mempunyai peminatnya yang tersendiri dan ada yang masih kekal membacanya sehingga sekarang. Justeru, kita seharusnya melihat komik ini dari perspektif pendidikan sebagai bahan visual yang diminati oleh ramai individu yang berfungsi untuk menyampaikan idea pelukis komik itu sendiri. Justeru, kita wajar mengaplikasikan fungsi komik ini dalam pengajaran yang bukan sahaja dapat berfungsi untuk menyampaikan isi pelajaran malah dapat menarik minat pembaca komik iaitu murid kita sendiri.

Komik sangat berkait rapat dengan seorang kartunis ataupun pelukis. Menurut kartunis Umbut & Junuh (2006), konsep kartun dan komik terbahagi kepada dua iaitu positif dan negatif. Konsep positif yang terdapat pada komik ialah menghibur sambil mengajar dan menyebarkan ilmu pengetahuan atau idea. Konsep ini lebih banyak mengajar dan memberi kesedaran kepada pembaca kerana mengandungi unsur moral dalam penceritaannya. Manakala komik yang mempunyai konsep negatif pula adalah komik yang menanamkan sifat buruk dan bersifat menghasut perkara yang tidak baik kepada pembacanya.

Justeru, dengan merujuk kepada konsep positif dapatlah kita membuat satu penyataan awal bahawa unsur komik itu sendiri sebenarnya positif dan konstruktif dan dikawal sepenuhnya oleh pelukis komik itu sendiri. Maka, ini membolehkan guru mengunakan komik itu untuk menyampaikan isi pelajaran tanpa mendatangkan kesan buruk kepada murid sebagai kelompok sasaran.

Rentetan daripada itu, seharusnya komik perlu diberikan perhatian dan dilihat sebagai kaedah baru untuk menyampaikan ilmu oleh guru. Hal ini kerana komik dilihat dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan informatif, malah dapat menerapkan unsur jenaka bagi mengurangkan rasa bosan murid. Hasilnya, murid akan berminat untuk mengikuti sesi pengajaran yang dikelolakan dan seterusnya dapat membantu meningkatkan pencapaiannya.

Hasil daripada tinjauan yang telah saya lakukan terhadap beberapa kajian yang telah dijalankan oleh beberapa orang penkaji seperti Leong Fern Nee dan Amir Hamzah Sharaai (2012), mendapati bahawa murid memberi respon yang baik terhadap strip komik yang digunakan untuk mengajar tajuk Kitaran air kepada murid tahun 5. Melalui kajian ini, beliau mendapati bahawa strip komik bukan sahaja membantunya untuk menarik minat terhadap topik yang diajar malah selepas sesi pengajaran tersebut dijalankan murid menunjukkan peningkatan dari segi pencapaian secara keseluruhan.

Rasyiqah Ilmi Abd Rahman (2010) dalam artikelnya turut menyokong penggunaan komik sebagai bahan pembelajaran. Beliau berpendapat bahawa pendekatan interaktif seperti penggunaan komik sebagai bahan pembelajaran sudah pasti mampu mengubah minda masyarakat kerana ia dilihat lebih terbuka, menghiburkan dan bebas berbanding mentelaah nota ataupun buku tebal di dalam kelas. Hal ini kerana komik dilihat lebih mengasah minda, meningkatkan kreativiti individu dan menyampaikan maklumat. Mengikut konteks pendidikan pula maklumat yang dimaksudkan ini ialah isi pelajaran yang cuba disampaikan oleh guru. Hasilnya, murid akan lebih berminat untuk mengikuti sesi pengajaran dan seterusnya berjaya memperoleh pencapaian yang lebih baik.

Kajian yang dicadangkan turut mengetengahkan penggunaan komik sebagai bahan pembelajaran dengan mengintegrasikannya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Bahkan, matlamat kajian ini juga betujuan untuk melihat kesan pengintegrasian komik dalam pengajaran terhadap minat dan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains bagi topik yang dipilih. Justeru, kita dapat melihat pengintegrasian komik ini dapat membantu dalam meningkatkan minat dan pencapaian dalam mata pelajaran Sains.

Begitu juga Levi (2008) yang menyatakan bahawa kaedah komik boleh digunakan guru untuk diperkenalkan dalam bilik darjah dengan mengambil pendekatan untuk memfokuskan komik kepada isi pelajaran melalui tiga cara iaitu penggunaan kaedah analitikal untuk menilai dan menganalisis bahan komik itu sendiri, pendekatan sains sosial dan akhir sekali dengan meletakkan komik sebagai dokumen budaya yang diamalkan dalam pembelajaran Sains.

Merujuk kepada kajian yang dicadangkan, pelaksanaan kajian ini akan dijalankan dengan menggunakan kaedah analitikal. Murid akan diberikan komik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan dan kemudiannya diminta oleh guru untuk menganalisis isi komik bagi mendapatkan maklumat dan isi pelajaran bagi tajuk Kemandirian Spesis. Malah, komik yang dihasilkan juga dapat dijadikan dokumen budaya dalam pembelajaran sains dan seterusnya mendorong minat murid.

Tatalovic (2009), telah menghuraikan tentang penggunaan komik dalam pengajaran di dalam artikelnya. Beliau telah membuat perbandingan tentang kebaikan dan keburukan yang wujud melalui penggunaan komik sebagai medium pengajaran. Beliau berpendapat bahawa komik dilihat sangat berguna untuk menyampaikan idea atau konsep sains melalui grafik yang digunakan semasa mengajar. Namun, masih belum ada kajian yang menyeluruh yang berjaya membuktikan bahawa komik boleh digunakan secara komprehensif sebagai bahan pembelajaran untuk menggantikan buku teks.

Selain itu, Tatalovic (2010) turut menyatakan terdapat banyak bukti yang menunjukkan komik dan kartun boleh digunakan untuk mengajar mata pelajaran Sains. Kanak-kanak dilihat begitu menyukai komik disebabkan oleh grafik dan visual yang digunakan sangat menarik perhatian dan ditambah pula dengan pengisian yang meransang minda murid sama ada secara humor ataupun akademik. Ini yang menjadikan komik sebagai medium yang sesuai untuk menyampaikan konsep sains dengan lebih menarik.

Justeru, komik yang digunakan dalam kajian ini dihasilkan dengan merujuk panduan yang diberikan oleh beliau. Penekanan kepada visual dan grafik yang digunakan di dalam komik dengan menyelitkan elemen humor dan maklumat tambahan akan menjadi keutamaan dalam proses penghasilan komik yang akan digunakan dalam kajian ini. Hasilnya, komik ini akan berfungsi dengan baik sebagai item kajian yang berperanan untuk membantu menarik minat murid dan seterusnya membantu meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains.

Malah, beliau turut menyarankan supaya guru menggunakan komik ini sebagai set induksi atau di pemulaan sesi pembelajaran. Ia adalah untuk mengenal pasti pengetahuan sedia ada murid di samping mengenalpasti miskonsepsi yang mungkin wujud dalam kalangan murid. Malah, penggunaan komik juga berperanan untuk memotivasikan murid untuk bertanya soalan dan seterusnya akan membantu membentuk kefahaman murid terhadap topik dan konsep sains dalam membentuk kerangka kognitif.

Beliau juga menyatakan bahawa pelaksanaan tindakan pengintegrasian komik ini wajar dilakukan pada fasa set induksi dan fasa pencetusan idea. Ini bagi menilai keberkesanan komik sebagai peransang minda murid untuk pembelajaran konsep sains bagi tajuk Kemandirian Spesis. Malah, ia juga adalah bagi membuktikan kesesuaian bahan komik itu sendiri sebagai bahan pembelajaran yang sesuai untuk menarik minat murid terhadap pengajaran guru disamping membantu meningkatkan kefahaman murid.

Kaedah komik ini sebenarnya menekankan kepada kelebihan penggunaan bahan berbentuk grafik atau visual dalam pengajaran. Kaedah ini sebenarnya menyumbang kepada kesan yang sangat efektif terhadap pembelajaran, minat dan penglibatan murid sepanjang tempoh sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan. Ianya dibuktikan melalui kajian yang telah dijalankan oleh Lu (2012)

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, beliau memperoleh keputusan melalui pemerhatian yang menunjukkan bahawa berlakunya perubahan yang jelas dalam kalangan murid selepas mengikuti sesi pembelajaran berbantukan bahan visual. Sikap dan tingkah laku murid didapati berubah menjadi lebih aktif berbanding kelas yang sebelumnya tanpa menggunakan bahan visual.

Malah, menerusi soal selidik yang dijalankan, beliau mendapati bahawa maklum balas semua murid terhadap penggunaan bahan visual dalam pembelajaran adalah sangat positif. Mereka menyatakan bahawa mereka berminat untuk belajar berpandukan bahan-bahan visual yang disediakan oleh guru. Bahan visual yang disediakan adalah seperti gambar, video dan sebagainya. Selain itu, pencapaian mereka dalam topik tertentu juga didapati meningkat.

Justeru, kajian mengenai tindakan pemilhan komik sebagi bahan pembelajaran dan seterusnya mengintegrasinya dalam pengajaran ini dilihat sebagi satu peluang bagi mengenal pasti kaedah yang boleh digunakan oleh guru sains pada masa kini bagi membantu menambah baik pengelolaan sesi pengajaran sedia ada dan seterusnya menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut lebih kontruktif dan diminati oleh murid-murid.

Oleh itu, berdasarkan sumber literatur yang diperolehi ini, dapat dibuat kesimpulan bahawa penggunaan komik sebagai bahan bantu mengajar yang sesuai digunakan dalam pembelajaran mata pelajaran Sains. Hal demikian, penggunaan komik dalam pengajaran dilihat dapat mengukuhkan pengalaman pembelajaran murid serta mewujudkan suasana pembelajaran yang efektif. Justeru, berdasarkan pendapat-pendapat yang telah dikemukakan, dapatlah dirumuskan bahawa penggunaan kaedah komik ini dilihat relevan untuk meningkatkan pencapaian serta minat murid terhadap topik Kemandirian Spesis bagi mata pelajaran Sains Tahun 5.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN DAN SOALAN KAJIAN

3.1Objektif Kajian

Menentukan sama ada pengintegrasian komik membantu meningkatkan pencapaian murid tahun 5 dalam topik Kemandirian Spesis.

Mengenal pasti sama ada pengintegrasian komik membantu menarik minat murid tahun 5 dalam topik Kemandirian Spesis.

3.2Soalan Kajian Adakah pengintegrasian komik dalam pengajaran membantu dalam meningkatkan pencapaian murid tahun 5 bagi topik Kemandirian Spesis?

Bolehkah pengintegrasian komik dalam pengajaran membantu meningkatkan minat murid tahun 5 terhadap topik Kemandirian Spesis?

4.0 KUMPULAN SASARANKumpulan sasaran dalam kajian ini adalah murid tahun 5 di sebuah sekolah yang terletak di Seberang Perai Selatan. Seramai 26 orang murid Tahun 5 yang terdiri daripada 11 orang lelaki dan 15 orang perempuan. Pencapaian mereka bagi mata pelajaran Sains adalah di tahap sederhana berdasarkan ujian kemajuan yang telah dijalankan pada penghujung tahun 2014.

Murid yang dipilih ini merupakan daripada kelompok yang rata-ratanya mencapai gred B dan C serta terdapat sebilangan kecil yang memperoleh gred D. Daripada sejumlah 26 orang murid ini, 5 orang telah dipilih secara rawak untuk ditemu bual yang terdiri daripada 3 orang murid perempuan dan 2 orang murid lelaki.

5.0 TINDAKAN YANG DIJALANKAN

Kajian tindakan ini dijalankan dengan merujuk kepada model Kajian Kurt Lewin. Berpandukan model tersebut, langkah pelaksanaan bermula dengan perancangan, pemerhatian, tindakan dan refleksi(Rajah 1). Perangkaan gerak kerja dan proses semasa menjalankan kajian berpandukan model ini bertujuan bagi memastikan kajian dilaksanakan secara sistematik dan tersusun.

Rajah 1 Gelung Model Kurt Lewin

Kajian ini bermula dengan fasa perancangan dan langkah pertama iaitu merangka dan membina satu jadual pelaksanaan tindakan yang akan dijalankan sepanjang tempoh kajian (Lampiran A). Tempoh pelaksanaan kajian ini ialah selama 8 minggu.

Proses mengenal pasti masalah, tajuk kajian, soalan kajian dan objektif soalan kajian dilaksanakan sebagai langkah awal kajian ini. Kesemua ini seharusnya diselesaikan dalam tempoh seminggu iaitu pada minggu pertama. Kesemua langkah ini dijalankan dengan melakukan pemerhatian terhadap murid serta menganalisis pemasalahan yang timbul dalam pembelajaran mereka. Hasil daripada pemerhatian dan analisa yang digunakan sebagai panduan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid. Seterusnya, barulah tajuk, soalan dan objektif soalan kajian dapat dikenalpasti.

Pada minggu kedua, fasa perancangan diteruskan lagi dengan mengenal pasti kaedah pengumpulan data yang bersesuaian dengan dapatan yang ingin diperoleh untuk kajian ini. Beberapa rujukan telah dianalisis dengan menilai kelebihan dan kekurangan setiap kaedah pengumpulan data dan seterusnya memilih yang terbaik bagi menjamin kesahan dapatan kajian. Akhirnya, setelah melakukan penelitian pada setiap kaedah, tiga kaedah telah dipilih iaitu soal selidik, praujian dan pascaujian serta temu bual.

Pada minggu ketiga, proses mengumpul maklumat tentang tinjauan literatur mengenai tajuk yang dipilih. Pelbagai medium carian telah digunakan bagi mencapai tujuan ini iaitu dengan melakukan carian bahan bacaan di internet dan juga perpustakaan. Selain itu, satu praujian turut dijalankan terhadap murid dalam kumpulan sasaran pada minggu ketiga. Praujian ini dijalankan bertujuan untuk menilai tahap pengetahuan serta pencapaian murid tersebut. Pencapaian murid bagi praujian ini dijadikan sebagai data awal bagi menunjukkan pencapaian awal murid sebelum mengikuti sesi pengajaran berintegrasikan komik oleh guru.

Pengajaran berintegrasikan komik telah dijalankan pada minggu ke-4. Guru telah memperkenalkan komik berdasarkan topik Kemandirian Spesis kepada murid semasa fasa pencetusan idea. Sesi pengajaran berintegrasikan komik ini akan dijalankan selama dua minggu iaitu pada minggu ke-4 dan minggu ke-5. Justeru, sepanjang tempoh 2 minggu tersebut murid akan diedarkan dengan dua lembaran komik yang telah dihasilkan guru.Pelaksanan pengajaran berintegrasikan komik semasa fasa tindakan ini turut melibatkan perbincangan antara guru dan murid. Murid digalakkan untuk memberikan respon untuk terhadap komik yang telah guru perkenalkan semasa sesi pengajaran. Respon yang diberikan oleh murid mestilah dalam dua bentuk iaitu secara akademik berkenaan pengisian komik dan juga secara kreatif berkenaan komik itu sendiri. Ini adalah untuk tujuan mendapatkan maklum balas mengenai komik yang telah dihasilkan.

Murid akan diperkenalkan dahulu dengan tajuk kemandirian spesis. Murid kemudiannya akan diedarkan dengan lembaran komik yang mengisahkan durian yang kesedihan kerana gugur dari pokoknya dan berasa iri hati dengan buah meranti yang biji benihnya boleh bebas terbang diudara dan dibawa angin ke tempat lain. Kemudian datanglah Sang Kancil untuk menenangkan buah durian dan menceritakan tentang buah-buah lain yang turut tidak boleh terbang namun mempunyai cara penyebaran biji benih yang tersendiri. Selepas murid membaca komik tersebut guru akan bersoal jawab dengan murid melalui sesi sumbang saran dan seterusnya berbincang tentang contoh-contoh lain tumbuhan menyebarkan biji benih.

Selepas selesai menjalankan sesi pengajaran berintegrasikan komik ini, guru telah menjalankan satu sesi pascaujian bagi mendapatkan data keberkesanan pelaksanaan pengintegrasian komik dalam pengajaran yang telah dijalankan. Pascaujian tersebut telah dijalankan pada minggu keenam. Pada minggu yang sama juga borang soal selidik yang mengandungi sepuluh item berkaitan minat dan pencapaian murid diedarkan.

Pada minggu ketujuh pula, satu temu bual akan dijalankan bagi mengetahui perasaan murid mengenai sesi pengajaran dan pembelajaran berintegrasikan komik. Seramai lima orang murid dipilih secara rawak untuk ditemu bual. Soalan temubual tersebut terdiri daripada soalan berkenaan pencapaian dan minat murid setelah mengikuti pengajaran berintegrasikan komik tersebut.

6.0 KAEDAH PENGUMPULAN DATA DAN ANALISIS DATA

Kajian ini akan dijalankan dengan menggunakan tiga kaedah iaitu praujian dan pascaujian, soal selidik dan temu bual. Penggunaan ketiga-tiga kaedah sebagai triangulasi dapat meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan bagi menyokong dapatan kajian ini.

6.1 Pra Ujian dan Pasca Ujian

Pelaksanaan ujian ini dijalankan seminggu sebelum dan seminggu selepas pelaksanaan pengajaran menggunakan kaedah pengintegrasian komik. Lembaran Praujian (Lampiran B) dan lembaran Pascaujian (Lampiran C) akan diedarkan kepada kesemua 26 orang murid dalam kelompok sasaran. Murid-murid akan diperuntukkan masa selama 30 minit untuk setiap ujian yang dijalankan iaitu praujian dan pascaujian. Bentuk soalan bagi kedua-dua praujian dan pascaujian ialah soalan aneka pilihan yang mengandungi 10 soalan objektif.

Soalan-soalan bagi praujian dan pascaujian ini diambil dari buku Eksplorasi sains, Loo (2015). Manakala soalan yang digunakan semasa pasca ujian masih menggunakan bentuk dan pengisian yang sama namun ditukar nama tumbuhan dan susunan soalan sahaja (Jadual 2). Ini adalah bagi memastikan aras kesukaran soalan semasa praujian dan pasca ujian adalah sama.

Jadual 1 Susunan nombor soalan objektif praujian dan pasca ujian.

JENIS UJIANNOMBOR SOALAN

Praujian12345678910

Pascaujian74968310215

Kedua-dua data yang diperoleh daripada praujian dan pascaujian dianalisa dengan mengira peratus markah setiap murid dan bilangan murid bagi setiap julat markah mengikut gred A, B, C, D, E dan F (Lampiran D) dan dicatatkan dalam bentuk jadual. Nilai peratus dan nilai min bagi praujian dan pascaujian dikira dan data yang diperoleh ini akan disusun mengikut julat markah atau gred serta diterjemahkan dalam bentuk carta bar.

6.2 Soal selidik

Satu borang soal selidik yang mengandungi sepuluh item diedarkan kepada semua murid yang terlibat. Tema soal selidik berkenaan adalah mengenai minat dan pencapaian. Soal selidik ini mengandungi 10 item dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid (Lampiran E). Terdapat lima item yang merujuk kepada minat iaitu item 1 hingga item 5 manakala item 6 hingga item 10 pula merujuk kepada pencapaian murid. Skala Likert 4 mata digunakan untuk soal selidik ini (Jadual 2).SkalaPengelasan

1Sangat Tidak Setuju (STS)

2Tidak Setuju (TS)

3Setuju (S)

4Sangat Setuju (SS)

Jadual 2 Skala Likert 4 mata

Data-data yang diperoleh dianalisa secara kuantitatif iaitu dengan mengira frekuensi, peratus dan nilai min bagi setiap item yang ditanya. Seterusnya, data dari soal selidik dipersembahkan dalam bentuk jadual

6.3 Temu bual

Temu bual dijalankan untuk mendapatkan data dan respon murid mengenai minat mereka terhadap topik Kemandirian Spesis setelah mengikuti sesi pengajaran yang mengintegrasikan elemen komik. Format temu bual yang dijalankan adalah berstruktur yang mana murid akan ditemu bual dengan menggunakan skrip yang telah disediakan lebih awal. Temu bual yang dijalankan mengandungi lima soalan bagi menilai sama ada kaedah komik ini dapat menarik minat murid terhadap topik Kemandirian Spesis serta pencapaian mereka.

Bagi menjalankan sesi temu bual ini, seramai lima orang murid telah dipilih secara rawak bagi mengelakkan bias. Sesi temu bual ini dijalankan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran iaitu semasa rehat ataupun semasa waktu balik. Temu bual yang dijalankan ini juga adalah secara individu iaitu murid dipanggil seorang demi seorang untuk ditemu bual oleh guru. Ini adalah supaya wujud kesahan pada respon yang diberikan oleh murid yang mana dia tidak akan terpengaruh untuk memberikan respon yang sama dengan kawannya yang lain.

Sesi yang dijalankan ini juga direkodkan dalam bentuk rakaman audio supaya guru boleh menghasilkan trankripsi temu bual yang lebih tepat dan baik. Malah, guru juga boleh memasang kembali rakaman yang telah direkodkan semasa proses menghasilkan trankripsi bagi membolehkan semua maklumat direkodkan dengan tepat dan tiada yang tertinggal. Data yang diperoleh dari temu bual yang telah ditranskripsikan akan dianalisis secara kualitatif.Lampiran A

Jadual Pelaksanaan Kajian TindakanBilAktivitiMinggu

12345678

1.Mengenal pasti Masalah/

2.Mengenal pasti tajuk, soalan dan objektif kajian tindakan/

3.Mengenal pasti kaedah pengumpulan data

4Mengumpul maklumat melalui tinjauan literatur mengenai tajuk yang dipilih

5Menjalankan praujian

6Melaksanakan pengajaran berintegrasikan komik

7Menjalankan pascaujian

8Menjalankan soal selidik

9Mengendalikan temubual individu

10Mengumpul data kajian tindakan yang dijalankan

11Membuat analisis data kajian dan laporan kajian tindakan

Lampiran D

Gred Sekolah Rendah Tahun 1-6

Markah Gred

85-100 A

70-84 B

60-69 C

50-59 D

40-49 E

0-39 F

(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015)

Lampiran E

Borang Soal Selidik

Borang soal selidik ini dibentuk mempunyai 10 item yang berkaitan dengan pengintegrasian komik dalam pengajaran topik Kemandirian Spesis Tumbuhan yang membantu meningkatkan minat dan pencapaian murid. Semua maklum balas yang diberikan akan dirahsiakan. Sila jawab semua soalan di bawah dengan jujur

a. Sila baca soalan-soalan di bawah dan bulatkan nombor-nombor yang paling sesuai bagi menandakan tahap persetujuan anda mengikut skala nilaian yang disediakan.

Skala:

Sangat Tidak Setuju (STS)1

Tidak Setuju (TS)2

Setuju (S)3

Sangat Setuju (SS)4

NoItemSkala

1 234

1Komik yang guru gunakan sangat mudah difahami dan membantu saya belajar.1234

2Saya berasa seronok apabila guru mengajar Sains menggunakan komik1234

3Saya meminati komik yang guru gunakan semasa mengajar.1234

4Saya suka apabila guru hanya menulis nota pada papan putih semasa mengajar sains1234

5Saya mengharapkan sesi pembelajaran yang sama pada minggu hadapan1234

6Saya dapat mengingati semua cara tumbuhan mengekalkan kemandirian spesisnya apabila guru menggunakan komik semasa mengajar.1234

7Saya dapat memahami kepentingan tumbuhan mengekalkan kemandirian spesisnya dengan membaca komik yang dihasilkan oleh guru1234

8Komik yang digunakan oleh guru tidak memberi kesan terhadap pemahaman saya bagi tajuk kemandirian spesis tumbuhan.1234

9Komik yang guru sediakan menambah ilmu pengetahuan saya berkenaan kemandirian spesis tumbuhan1234

10Penggunaan komik yang diedarkan oleh guru membantu saya mengulang kaji pelajaran bagi topik Kemandirian Spesis1234

Lampiran F

Soalan temu bual

1. Apakah perasaan kamu setelah mengikuti sesi pengajaran guru menggunakan komik bagi topik Kemandirian Spesis Tumbuhan?

2. Adakah kamu lebih mudah memahami pengajaran guru apabila berbantukan komik? Mengapa?

3. Mengapakah kamu suka apabila guru menggunakan komik untuk mengajar topik Kemandirian Spesis Tumbuhan.

4. Adakah kamu yakin dapat menjawab soalan mengenai kemandirian spesis tumbuhan selepas mengikuti pembelajaran menggunakan komik? Berikan sebab.

5. Guru merancang untuk menggunakan komik lagi dalam pengajarannya yang akan datang, adakah kamu bersetuju? Mengapa

RUJUKAN

Abu Talib Puteh. (2005). Pedagogi Merentas Kurikulum: Literasi dalam Pendidikan Seni Visual, Potensi Skop dan Pendekatan Pengajaran Dalam Era Globalisasi. Pahang: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Appling, J. & Weaver, B. (2009). Using comic strips as a teaching and learning tools. Diperoleh dari http://www.clemson.edu/ccit/about/publications/facultydirections/ Fall09/comicstrips.html

Hosler, J. & Boomer, K., B. Are Comic Books an Effective Way to Engage Nonmajors in Learning and Appreciating Science?. CBE Life Sci Educ. 2011, 10(3), 309-317.Kamus Dewan Edisi Keempat. (2007). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.Kamus Pelajar Bahasa Malaysia Edisi Kedua. (2008). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2015). Julat Gred Sekolah Rendah. Diperoleh dari http://sapsnkra.moe.gov.my/new.php?ids=35Leong, F. N. & Amir Hamzah Sharaai. (2012). Penggunaan Strip Komik Bagi Meningkatkan Pencapaian Murid Dalam Topik Kitaran Air Tahun 5. (Academic Exercise). IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang.Levi, T. (2008). Anime and Manga: It's Not All Make-Believe. Diperoleh dari http://aboutjapan.japansociety.org/content.cfm/anime_and_manga_its_not_all_make-believe

Loo, S. (2015). Eksplorasi sains. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Lu, C. W. W. (2012). Kesan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Visual dalam Pengajaran Subjek Sains Tahun Tiga. ( Academic Exercise). IPG Kampus Batu Lintang, Sarawak.Mat Nor Hussin & Ab. Rahman Ab. Rashid. (1988) Alat Bantu Mengajar Dalam Pengajaran Bahasa. Selangor, Malaysia: Longman Malaysia Snd. Bhd.Nor Azleenda Abdul Hadi. (2012). Komik Bukan Sekadar Bahan Bacaan Picisan. Diperoleh dari http://pbahasa.dbp.my/wordpress/?p=417Rasyiqah Ilmi Abd Rahim. (2010). Komik Jadi Bahan Pembelajaran. Diperoleh daripada http://www.itnm.com.my/news/detail/komik_jadi_bahan_pembelajaran/Tatalovic, M. (2009). Science Comics and Cartoons. Diperoleh dari http://www.scienceinschool.org/2010/issue14/web

Tatalovic, M. (2010). Science Comics As Tools For Science Education and Communication: A Brief, Exploratory Study. Journal of Science Communication. 2009, 8(4), 34-55Umbut & Junuh, (2006), Teknik Melukis Kartun & Komik. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Yang, G. (2003). Comic in Educations. Diperoleh dari http://www.humblecomics.com/comicsedu/strengths.htmlPerancangan

Refleksi

Pemerhatian

Tindakan