nota tambahan bab 6 tamadun dan isu-isu semasa
Post on 05-Dec-2015
68 views
Embed Size (px)
DESCRIPTION
SEJARAHTRANSCRIPT
1
BAB 6
MASA DEPAN DUNIA BERBILANG TAMADUN: DIALOG TAMADUN
DAN ISU-ISU SEMASA
Oleh
Mohd Hazim Shah Abdul Murad
Osman Bakar
Azizan Baharuddin
6.0 Pengenalan
6.1 Dunia Berbilang Tamadun: Apa Dunia Barat Boleh Belajar Daripada Tamadun Islam dan
Tamadun Asia
6.2 Dunia Berbilang Tamadun: Cabaran Globalisasi
6.2.1 Dampak Budaya Kebendaan Barat
6.2.2 Dominasi Politik
6.2.3 Dominasi Ekonomi
6.2.4 Dominasi Media
6.2.5 Dominasi Budaya
6.2.6 Teori Pertembungan Tamadun Huntington
6.2.7 Dampak Peristiwa 11 September
6.3 Dialog Peradaban Sebagai Mekanisme Menyahut Cabaran
6.4 Pemupukan Nilai-Nilai Sepunya Menerusi Dialog Tamadun
6.5 Isu-Isu Yang Perlu Ditangani Dalam Dialog Tamadun
6.6 Dialog Tamadun
2
6.6.1 Dimensi Dalaman
6.6.2 Dimensi Luaran
6.7 Kesimpulan
Rujukan
3
6.0 Pengenalan
Pendedahan kepada pelbagai tamadun sewajarnya telah memberikan pengalaman yang
istimewa kepada kita semua. Sebagai ahli masyarakat yang telah sekian lama hidup dalam
suasana kepelbagaian tamadun secara turun-temurun, pendedahan ilmiah sebegini sangat perlu
demi meyakinkan kita bahawa kehidupan antara tamadun ini perlu terus diperkukuhkan.
Pendedahan ilmiah sebegini sepatutnya telah memperkaya pemikiran, sikap dan tingkah laku kita
dalam melihat kewujudan tamadun kita sendiri di tengah-tengah pelbagai tamadun lain.
Keinsafan dan kesedaran bahawa kita perlu hidup dalam kepelbagaian tamadun akan menjadikan
kita lebih bersedia untuk menghadapi realiti atau hakikat ini dengan lebih realistik dan penuh
perasaan muhibbah.
Pendedahan ilmiah yang dialami setakat ini juga seharusnya memungkinkan kita untuk
membuat penilaian yang tepat mengenai sifat dan tabiat tamadun-tamadun ini. Penilaian yang
tepat bermaksud kita harus boleh meneruskan perasaan muhibah antara tamadun sekalipun kita
masing-masing mengakui wujud perbezaan ketara antara tamadun-tamadun ini. Dengan
mengakui perbezaan antara tamadun tidak bermakna kita tidak boleh berdialog atau berbincang
mengenai perkara-perkara yang boleh disepakati bersama. Tamadun dan peradaban seperti yang
diterangkan oleh pelbagai tamadun yang telah kita pelajari banyak menyentuh persamaan dari
segi adab dan kehidupan beradab, manusia dan kehidupan kemanusiaan. Begitu juga halnya
dengan soal alam tabii dan keperluan untuk hidup berharmoni dengan alam tabii.
Perkara-perkara sebegini, walaupun kelihatan kecil dan sedikit tetapi sangat luas dan
besar potensinya untuk diperkembang ke arah kesefahaman sejagat melalui usaha-usaha dialog
antara tamadun. Permuafakatan dan persepakatan dalam hal-hal akhlak kemanusiaan dan alam
tabii ini pun sudah cukup penting bagi menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih
bermakna pada abad yang mendatang. Sesungguhnya kesemua tamadun yang telah dikaji
mengajar kita pelbagai pengajaran yang amat penting bagi umat manusia dewasa ini yang
kebanyakannya telah hilang pertimbangan terhadap soal akhlak, moral dan kemanusiaan di
samping hilang juga kesedaran tentang keperluan memelihara alam tabii dari bencana yang
ditimpakan oleh perbuatan kerakusan manusia itu sendiri.
4
Sesungguhnya manusia moden seperti kita ini telah banyak melupai hikmah daripada
khazanah peninggalan tamadun kita sendiri sehinggakan kehidupan yang kita jalani menjadi
begitu keliru dan hilang arah tujuannya. Oleh sebab itu, usaha-usaha mengembalikan hikmah
dari khazanah tamadun ini perlulah dipergiatkan oleh generasi hari ini demi menjamin
kesinambungan hidup masyarakat manusia di muka bumi ini. Perkara inilah sebenarnya nilai-
nilai yang tidak ternilai yang boleh kita peroleh dari pengkajian dan pendedahan mengenai
tamadun-tamadun milik masyarakat kita sendiri. Penilaian terbaik yang boleh dibuat oleh kita
ialah dengan merasai bahawa kita sendiri adalah sebahagian dari mata rantai tamadun-tamadun
tersebut yang perlu kekal dalam rantaian yang telah sedia terbina itu. Penilaian yang kita lakukan
mestilah akhirnya akan membawa kita ke satu tahap kehidupan yang lebih beradab dan
bertamadun, sesuai dengan semangat dan sikap yang telah dilahirkan oleh tamadun-tamadun
yang telah kita pelajari.
6.1 Dunia Berbilang Tamadun: Apa Dunia Barat Boleh Belajar Daripada Tamadun
Islam dan Tamadun Asia
Bab-bab sebelum ini telah menegaskan hakikat bahawa dunia kita adalah sebenarnya
dunia berbilang tamadun. Penganut pelbagai agama ingin melihat dunia global ini terus wujud
sebagai dunia berbilang budaya dan tamadun. Setelah kita menilai tamadun-tamadun yang dikaji
serta memahami nilai-nilai terpenting yang perlu kita ambil dan hayati, maka kini perlu pula kita
melihat perhubungan antara tamadun-tamadun sebelah sini dengan tamadun Barat yang dominan
hari ini. Tamadun-tamadun sebelah sini sebenarnya telah wujud bersama untuk satu jangka masa
yang lama dan kadangkala agak tidak wajar untuk kita membicarakan keperluan mereka untuk
berinteraksi. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa sebelum ini seperti tidak wujud
interaksi antara tamadun Islam misalnya dengan tamadun Cina dan tamadun India dan begitu
juga sebaliknya. Bukti-bukti sejarah telah banyak menjelaskan interaksi antara tamadun-tamadun
ini memang telah sedia wujud dari dahulu kala lagi. Malah yang lebih penting ialah bukti
kehidupan yang masih hidup, subur dan segar antara masyarakat dan tamadun yang pelbagai
inilah yang lebih penting. Masyarakat negara kita yang berbilang tamadun ini telah pun hidup
sejak dahulu lagi sehingga ke hari ini dengan penuh interaksi dan perasaan muhibah.
5
Justeru kita boleh menyatakan bahawa interaksi antara pelbagai tamadun yang kita lalui
ini ialah suatu yang nyata dan benar-benar hidup. Oleh sebab itu, hakikat ini perlulah difahami
dengan baik supaya kita tahu di mana kita berada dan apakah sebenarnya yang perlu kita
lakukan. Dialog peradaban ini atau interaksi antara tamadun ini, jika ia diilhamkan ataupun
dipelopori oleh tamadun Barat maka orientasi dan hala tujunya sudah pasti berbeza dengan kita.
Tamadun Barat sebenarnya sangat miskin dalam soal pengalaman hidup antara tamadun. Dalam
sepanjang sejarah tamadun Barat mereka sangat kurang berpeluang untuk hidup bersama dengan
tamadun lain seperti yang dialami oleh tamadun-tamadun sebelah sini. Justeru itu jika mereka
berbicara mengenai dialog peradaban sifatnya sangatlah teoritikal dan konjektural. Hakikat ini
disebabkan mereka sendiri tidak pernah merasai secara realiti dan praktikal pengalaman hidup
dalam pelbagai tamadun.
Hakikat sebegini sebenarnya merupakan satu kekuatan yang tidak wajar kita perkecilkan
kerana ia tidak dimiliki oleh tamadun Barat. Menyedari perkara tersebut, orientasi dan hala tuju
dialog peradaban kita tidaklah sewajarnya bersifat teori dan telahan apatah lagi bersifat polemik
seperti yang lazimnya wujud dalam tradisi dialog di Barat. Kita mestilah mengungkapkan
aspirasi dialog tamadun kita dengan lebih yakin bila berhadapan dengan tamadun Barat kerana
kita lebih arif tentang soal ini. Kita memiliki pengalaman beratus tahun hidup bersama (co-exist)
dengan tamadun-tamadun lain yang tidak pernah dialami oleh tamadun Barat. Justeru tidak wajar
bagi tamadun Barat untuk mengajar kita bagaimana mahu berdialog atau bertoleransi sesama
kita. Merekalah yang sebenarnya yang perlu diajar oleh tamadun sebelah sini tentang cara-cara
berdialog antara tamadun. Kita bukan sahaja perlu menunjukkan kepada mereka cara
bertoleransi, malah yang lebih penting ialah cara bermuhibah atau berkasih-sayang sesama
manusia dari kalangan tamadun yang pelbagai ini. Sikap seperti inilah sebenarnya yang perlu
kita kemukakan terhadap tamadun Barat. Peranan ini juga merupakan sumbangan paling besar
yang boleh diberikan oleh tamadun sebelah sini kepada tamadun Barat khususnya dan tamadun
manusia umumnya di tengah-tengah kemelut kehidupan yang tidak putus-putus hari ini. Interaksi
sebenar antara tamadun dapat dilihat dari perspektif ini.
6
6.2 Dunia Berbilang Tamadun: Cabaran Globalisasi
6.2.1 Dampak Budaya Kebendaan Barat
Sama ada disedari atau tidak realiti yang paling penting pada masa kini yang mencabar
tamadun Islam dan tamadun Asia ialah globalisasi kebudayaan kebendaan yang dicipta dan
didominasi oleh dunia Barat moden. Tanpa menyedari kesan dan dampak dunia Barat moden ke
atas kita dengan sepenuhnya, kita tidak akan dapat merancang masa depan kita dengan sebaik-
baiknya. Kesan dan dampak dunia Barat moden ke atas masyarakat Islam dan Asia sangat
mendalam sehingga hampir menghilangkan sama sekali ciri-ciri jati diri (identiti) bagi seseorang
Islam atau seseorang Asia pada peringkat individu dan jati diri tamadun Islam dan jati diri
tamadun-tamadun Asia pada peringkat kolektif. Keseluruhan dunia pada hari ini kelihatan
seolah-olah sebuah dunia Barat yang besar yang bersifat hegemonik, yang tidak langsung
memperlihatkan identiti selain daripada identiti tamadun Barat.
Pengaruh dunia Barat ke atas seluruh bangsa manusia berpunca daripada sejarah
penjajahan yang panjang. Penjajahan Barat mempunyai kesan yang meluas dan mendalam ke