konsep al-taysir dalam perbelanjaan perkahwinan

20
1 KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN SEBAGAI MEKANISME PENYELESAIAN TREND BELANJA KAHWIN MASA KINI Syh Noorul Madihah Binti Syed Husin Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu, [email protected] Prof. Madya Dr. Raihanah Binti Azahari Dr. Asmak Binti Ab. Rahman Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, [email protected], [email protected] Tengku Fatimah Muliana Binti Tengku Muda Siti Khatijah Binti Ismail Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu, [email protected], [email protected] ABSTRAK Al-taysir merupakan satu konsep yang dianjurkan dalam Islam bagi memudahkan umatnya mengamalkan perintah Allah S.W.T. Ia bukan sahaja dianjurkan dalam ibadat, malah turut dijadikan asas dalam urusan perbelanjaan perkahwinan. Masyarakat hari ini semakin didedahkan dengan isu perbelanjaan perkahwinan yang tinggi. Ia bukan sahaja melibatkan elemen-elemen perbelanjaan wajib dan sunat, malah pelbagai bentuk perbelanjaan yang tiada asas dalam syarak terpaksa dibelanjakan. Fenomena ini telah memberi pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat. Pasangan yang akan berkahwin terpaksa menanggung bebanan perbelanjaan di luar kemampuan. Ia juga boleh menyumbang kepada perkahwinan di lewat usia dan sekali gus menafikan konsep targhib al-zawaj yang dianjurkan oleh Islam. Justeru, melalui analisis dokumen terhadap teks-teks fiqh berkaitan perbelanjaan perkahwinan, kertas kerja ini akan mengupas konsep al-taysir dalam perbelanjaan perkahwinan sebagai salah satu mekanisme untuk menyelesai trend belanja kahwin masa kini. Dapatan kajian menunjukkan konsep al-taysir sememangnya telah wujud dalam anjuran perbelanjaan perkahwinan menurut Islam. Dapatan ini diharapkan dapat memberi garis panduan kepada pasangan yang akan mendirikan rumah tangga agar dapat berbelanja dalam urusan perkahwinan seperti yang telah dikehendaki syarak. Kata Kunci: Perbelanjaan Perkahwinan, Konsep al-Taysir, Elemen Perbelanjaan Perkahwinan

Upload: phungphuc

Post on 31-Dec-2016

249 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

1

KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN SEBAGAI

MEKANISME PENYELESAIAN TREND BELANJA KAHWIN MASA KINI

Syh Noorul Madihah Binti Syed Husin

Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam,

Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu,

[email protected]

Prof. Madya Dr. Raihanah Binti Azahari

Dr. Asmak Binti Ab. Rahman

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur,

[email protected], [email protected]

Tengku Fatimah Muliana Binti Tengku Muda

Siti Khatijah Binti Ismail

Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam,

Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Terengganu,

[email protected], [email protected]

ABSTRAK

Al-taysir merupakan satu konsep yang dianjurkan dalam Islam bagi memudahkan

umatnya mengamalkan perintah Allah S.W.T. Ia bukan sahaja dianjurkan dalam

ibadat, malah turut dijadikan asas dalam urusan perbelanjaan perkahwinan.

Masyarakat hari ini semakin didedahkan dengan isu perbelanjaan perkahwinan

yang tinggi. Ia bukan sahaja melibatkan elemen-elemen perbelanjaan wajib dan

sunat, malah pelbagai bentuk perbelanjaan yang tiada asas dalam syarak terpaksa

dibelanjakan. Fenomena ini telah memberi pelbagai implikasi negatif kepada

masyarakat. Pasangan yang akan berkahwin terpaksa menanggung bebanan

perbelanjaan di luar kemampuan. Ia juga boleh menyumbang kepada perkahwinan

di lewat usia dan sekali gus menafikan konsep targhib al-zawaj yang dianjurkan oleh

Islam. Justeru, melalui analisis dokumen terhadap teks-teks fiqh berkaitan

perbelanjaan perkahwinan, kertas kerja ini akan mengupas konsep al-taysir dalam

perbelanjaan perkahwinan sebagai salah satu mekanisme untuk menyelesai trend

belanja kahwin masa kini. Dapatan kajian menunjukkan konsep al-taysir

sememangnya telah wujud dalam anjuran perbelanjaan perkahwinan menurut Islam.

Dapatan ini diharapkan dapat memberi garis panduan kepada pasangan yang akan

mendirikan rumah tangga agar dapat berbelanja dalam urusan perkahwinan seperti

yang telah dikehendaki syarak.

Kata Kunci: Perbelanjaan Perkahwinan, Konsep al-Taysir, Elemen Perbelanjaan

Perkahwinan

Page 2: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

2

PENDAHULUAN

Perkahwinan sememangnya merupakan satu amalan yang mulia dalam Islam. Justeru, tidak

hairanlah apabila Rasulullah S.A.W telah menyeru para pemuda untuk berkahwin sekiranya telah

mempunyai kemampuan. Galakan ini perlu disambut oleh umat Islam, dan bukan

memandangnya sebagai satu perkara yang sukar. Islam tidak pernah membebankan umatnya

dengan pelbagai bentuk perbelanjaan bagi mendirikan sesebuah rumah tangga, bahkan telah

mempermudahkannya.

Namun realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat masa kini, perkahwinan semakin dilihat

sebagai satu perkara yang membebankan. Ini adalah rentetan dari trend belanja kahwin yang

semakin tinggi sehingga menyebabkan berlakunya pelbagai kesan negatif kepada pasangan yang

ingin berkahwin. Situasi ini akan menjadi bertambah serius sekiranya masyarakat tidak

didedahkan dengan asas dan pendirian Islam dalam isu tersebut. Justeru itu, kertas kerja ini akan

cuba mengupas konsep al-taysir dalam perbelanjaan perkahwinan Islam bagi membendung isu

ini berlarutan.

PENGENALAN UMUM TENTANG AL-TAYSIR

Dalam bahasa Arab, al-taysir merupakan kata terbitan dari kata perbuatan [ر – يسر yang [ ي يس

memberi maksud mudah atau senang. Ia juga biasa disebut dalam bahasa Arab sebagai al-layn,

al-tashil, al-tasahhul dan al-tassamuh. Al-taysir digunakan dalam al-Quran untuk perkara

kebaikan dan keburukan. Dalam surah al-Lail, Allah S.W.T berfirman dalam ayat yang ke-7

[ ] yang bermaksud “maka

sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga)”.

Dalam ayat ke-10 pula Allah S.W.T berfirman [

] yang bermaksud “maka sesungguhnya Kami akan

memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan”. Al-taysir dalam ayat

ke-7 digunakan untuk kebaikan dan pada ayat ke-10 adalah untuk keburukan (Ibn Manzur t.t, 5:

295).

Dalam Islam, al-taysir merujuk kepada berpegang kepada hukum hakam agama sepertimana

yang dikehendaki oleh Allah S.W.T, dan beramal dengannya melalui konsep mempermudahkan

Page 3: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

3

sebagaimana yang ditunjukkan oleh manhaj nabawi (Kamil 2000, 47). Dalam membincangkan

konsep ini, Ibn ‘Ashur telah menerangkannya dengan menggunakan terma al-samahah yang

lebih kepada maksud toleransi. Ia merujuk kepada memudahkan sesuatu perkara yang dianggap

sukar atau susah untuk dilaksanakan oleh manusia (Ibn ‘Ashur 2001, 269).

Menurut Imam al-Shatibi, pentaklifan yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada setiap mukallaf

bukan bertujuan untuk menyusah dan membebankan mereka (Al-Shatibi 1997, 2: 210). Bahkan,

syariat Islam sentiasa menghindarkan mukallaf dari sesuatu bebanan yang berat bagi

mengelakkan kebosanan dan rasa benci terhadap pentaklifan. Ia juga bertujuan untuk

mengelakkan daripada mengganggu tugas-tugas kehidupan yang lain (Al-Shatibi 1997, 2: 233).

ANJURAN AL-TAYSIR MELALUI AL-QURAN DAN AL-SUNNAH

Al-taysir merupakan sebuah manhaj al-Quran dan al-Nabawi. Rasulullah S.A.W telah mendidik

para sahabat agar menggunakan prinsip ini sama ada secara peribadi mahu pun dalam bentuk

kelompok (Al-Qaradhawi 2006, 151). Hukum-hukum yang didatangkan oleh Allah S.W.T

banyak terbina atas asas al-taysir.Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menganjurkan

konsep ini dalam menjalankan kehidupan seharian, sama ada dalam konteks ibadat, muamalat

dan sebagainya. Antara firman Allah S.W.T berkaitan perkara ini adalah:

Terjemahannya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki

kamu menanggung kesukaran… ”

(Al-Baqarah 2: 185)

Secara khususnya ayat ini telah membincangkan hukum kelonggaran dalam puasa. Namun ayat

ini secara umumnya menunjukkan Allah S.W.T tidak ingin menyusahkan hamba-Nya dalam

melaksanakan syariat Islam, malah ingin memberi kemudahan, kebaikan dan manfaat. Konsep

memudahkan merupakan satu asas dalam agama, dan ayat ini telah dijadikan dasar utama dalam

penetapan kaedah “al-musyaqqah tajlib al-taysir” (Muhammad Rashid Ridha 1947, 2: 164).

Dalam ayat yang lain, Allah S.W.T sekali lagi menerangkan kehendak-Nya:

Terjemahannya: “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu,

kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah”

(Al-Nisa’ 4: 28)

Page 4: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

4

Ayat ini secara jelas menunjukkan kehendak Allah S.W.T untuk memudahkan hamba-Nya dalam

melaksanakan syariat Islam dan meninggalkan segala larangan-Nya, bersesuaian dengan

kedudukan manusia sebagai makhluk yang lemah (Ibn Kathir 1998, 1: 541). Seterusnya, Allah

S.W.T berfirman lagi:

Terjemahannya: “Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah

payah dalam perkara agama… ”

(Al-Hajj 22: 78)

Dalam ayat di atas, Allah S.W.T telah menyatakan segala apa yang ditaklifkan kepada manusia

adalah sesuatu yang berada di bawah batasan kemampuan mereka. Dia sesekali tidak akan

mewajibkan hamba-Nya dengan sesuatu yang berat dan tidak mampu dilakukan oleh mereka,

melainkan akan disediakan jalan keluar (Ibn Kathir 1998, 3: 262). Perkara ini bertepatan dengan

syarat sah taklif yang memestikan perbuatan yang ditaklif adalah berada dalam batasan

kemampuan mukallaf (Zaydan 2009, 60).

Selain al-Quran, Rasulullah S.A.W turut memaparkan beberapa buah hadis yang mementingkan

konsep al-taysir dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai mukallaf. Baginda pernah

bersabda dalam beberapa buah hadis, antaranya:

"ر س يني الد ن"إTerjemahannya: “Sesungguhnya agama ini adalah mudah.”

(Riwayat Bukhari no. 39)

روا"" رو اولت عس يس Terjemahannya: “Permudahkanlah urusan kamu dan janganlah menyukarkannya.”

(Riwayat Bukhari no. 6125)

Kedua-dua hadis di atas dengan nyata menunjukkan Islam merupakan sebuah agama yang ingin

mempermudahkan urusan umatnya. Menurut Imam Ibn Hajr al-Asqalani, Islam merupakan

sebuah agama yang mempunyai konsep kesenangan dan kemudahan, berbeza dengan agama-

agama sebelum kedatangan Islam. Sebagai contoh dalam Islam, taubat boleh diterima dengan

menjauhi dosa yang telah dilakukan, berazam untuk tidak melakukannya lagi dan menyesal atas

perbuatan tersebut. Adapun taubat sebelum kedatangan Islam adalah dengan cara yang

Page 5: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

5

melampau, apabila mereka yang bersalah mesti membunuh diri bagi tujuan menebus dosa (Al-

Asqalani 2001, 1: 140).

Dalam menjalankan urusan seharian, Rasulullah S.A.W lebih gemar untuk melakukan perkara

yang lebih mudah dan senang untuk diuruskan. Saidatina Aisyah R.A pernah meriwayatkan:

ب هللالو سري اخ"م "اث مإن كيال امهرسي أأخذلإقط ني رم أي Terjemahannya: “Rasulullah tidak memilih ketika menentukan antara dua perkara, melainkan

baginda mengambil perkara yang lebih mudah, selagi mana ia tidak termasuk dalam dosa.”

(Riwayat Bukhari no. 6126)

Pemilihan antara dua perkara yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah perkara berkaitan

dengan urusan dunia. Ini kerana perbuatan Rasulullah S.A.W berkaitan agama, tidak akan ada

padanya dosa (Al-Asqalani 2001, 6: 804). Ini bermakna, dalam melakukan urusan dunia,

Rasulullah S.A.W tidak akan menyusah dan membebankan dirinya untuk melakukan sesuatu

perkara, selagi mana ada perkara lain yang lebih mudah untuk dilaksanakannya.

TREND BELANJA KAHWIN DALAM KALANGAN MASYARAKAT MASA KINI

Sambutan perkahwinan dalam kalangan masyarakat masa kini telah merubah corak perbelanjaan

bagi pembinaan sesebuah perkahwinan. Kewujudan kepelbagaian adat resam perkahwinan yang

telah lama diamalkan oleh masyarakat Melayu (Halimah Abdul Rahman 2010, 4) seperti majlis

merisik, pemberian wang hantaran kepada keluarga pengantin perempuan dan pertukaran hadiah

hantaran dalam majlis pertunangan serta perkahwinan (Iman Ahmad, 2010, 10-11), telah

menyumbang kepada peningkatan belanja kahwin masa kini. Pada kebiasaannya, rata-rata

sambutan perkahwinan di Malaysia kini boleh mencecah ribuan ringgit yang melibatkan pelbagai

pemberian tidak wajib seperti belanja hangus, wang hantaran dan pemberian (Zainunnisaa Abdul

rahman 2007, 16). Nilai wang hantaran yang diletakkan oleh keluarga pihak perempuan dilihat

semakin meningkat pada masa kini. Menurut seorang pensyarah jabatan Sosiologi dan

Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Fatimah Daud, budaya

menetapkan wang hantaran tinggi ini telah berlarutan dari tahun 1990-an, dan keadaan itu

semakin membimbangkan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini (Kosmo, 2013). Hasil

sebuah kajian tentang kadar wang hantaran dalam kalangan masyarakat di utara semenanjung

telah menemukan majoriti responden menyatakan kadar yang paling munasabah bagi wang

Page 6: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

6

hantaran adalah di antara RM5000 hingga RM8000 (Raihanah Azahari et.al 2009, 123). Ini

menunjukkan rata-rata masyarakat kini telah melihat wang hantaran perlu diletakkan dengan

nilaian yang tinggi. Selain wang hantaran, kos untuk menyediakan hadiah hantaran turut

termasuk dalam senarai perbelanjaan perkahwinan semasa. Ini kerana pada kebiasaannya, dulang

hantaran bukan hanya dua atau tiga, malah ia terdiri daripada lima sehingga tiga belas dulang

(Syed Mahadzir 2009, 17.).

Di samping pelbagai adat resam, norma perkahwinan yang dilihat sentiasa berkembang dalam

masyarakat dari masa ke semasa telah merubah gaya hidup dan cita rasa masyarakat dalam

urusan sambutan majlis perkahwinan. Dalam memenuhi cita rasa ini, masyarakat telah didedah

dengan pelbagai kemudahan untuk menjayakan sambutan perkahwinan termasuklah penawaran

pakej-pakej perkahwinan oleh perunding-perunding perkahwinan. Sambutan perkahwinan secara

pakej semakin menjadi budaya masyarakat tempatan. Kekangan masa, tenaga dan kepakaran

yang dihadapi oleh pasangan dan pihak keluarga telah mendorong masyarakat khususnya bagi

kumpulan kelas menengah lebih mudah untuk menyerahkan urusan sambutan majlis

perkahwinan kepada pihak profesional. (Fatimah Abdullah 2009, 106). Kesannya mereka

terpaksa menanggung bebanan belanja kahwin yang lebih tinggi.

Fenomena belanja kahwin yang semakin tinggi boleh memberi pelbagai implikasi negatif kepada

masyarakat, khususnya kepada pasangan yang mendirikan rumah tangga. Antara isu yang

semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini ialah isu bebanan hutang yang perlu

ditanggung oleh pasangan yang baharu berkahwin, kerana secara purata majlis perkahwinan

masyarakat Melayu Islam kini boleh mencecah puluhan ribu ringgit (Fatimah Abdullah 2009,

106). Adalah satu perkara sukar bagi muda-mudi sekarang untuk menyediakan wang sejumlah

itu dalam masa yang singkat. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan

Pengurusan Kredit (AKPK) Koid Swee Lian, antara punca utama mereka yang terperangkap di

dalam belenggu hutang adalah melibatkan pinjaman bagi menguruskan perbelanjaan

perkahwinan. Faktor kos untuk persiapan perkahwinan, wang hantaran dan hadiah hantaran yang

tinggi telah menyebabkan bakal pengantin terpaksa berhutang melalui pinjaman-pinjaman

peribadi dan lain-lain bentuk pinjaman. (Laman Sesawang Agensi Kaunseling dan Pengurusan

Kredit, 2012). Terbaru akhbar Kosmo turut melaporkan beberapa pengakuan oleh pasangan yang

Page 7: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

7

baharu berkahwin terpaksa membuat pinjaman bank sehingga menjangkau puluhan ribu ringgit

(Kosmo, 2013).

Belanja kahwin yang tinggi juga sebenarnya akan semakin menyukarkan urusan perkahwinan

kepada kaum muda. Penetapan kadar wang hantaran yang tinggi menyebabkan pasangan lelaki

terpaksa berfikir beberapa kali sebelum memberi persetujuan untuk berkahwin dan mengambil

masa yang lama bagi menyimpan wang sebelum boleh mendirikan rumah tangga (Haslina

Hassan et al., 1995, 63). Sebuah kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita,

Keluarga dan Masyarakat pada 2010 telah mendapati faktor utama kaum lelaki tidak berkahwin

adalah kerana masalah kewangan, diikuti dengan faktor tiada calon sesuai (Kosmo, 2013).

Alasan kewangan sememangnya perlu diambil kira dalam soal perkahwinan kerana perkahwinan

akan memberi pelbagai implikasi terhadap tanggungjawab dari sudut kewangan, terutamanya

bagi kaum lelaki. Namun sekiranya faktor kewangan itu berpunca dari masalah belanja kahwin

yang tinggi seperti mana trend sekarang, ia tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk

menangguhkan perkahwinan. Keadaan seperti ini telah menyebabkan kaum belia semakin

merasa khuatir untuk berkahwin pada usia muda (Fatimah Abdullah 2009, 106), sedangkan

Rasulullah S.A.W amat menganjurkan perkara tersebut (Al-Asqalani 2001, 9: 12). Keadaan ini

juga seterusnya boleh memberi impak negatif kepada usia pertama perkahwinan. Merujuk

kepada hasil Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia oleh Lembaga Penduduk dan

Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2004, umur min perkahwinan pertama

rakyat Melayu semenanjung Malaysia bagi golongan lelaki adalah 28.8, manakala bagi

perempuan pula adalah 24.1 tahun (Laman Sesawang Kementerian Pembangunan Wanita,

Keluarga dan Masyarakat, 2013). Bagi kaum lelaki, statistik ini adalah satu peningkatan jika

dibandingkan dengan umur min perkahwinan pertama pada tahun 2000, di mana umur minnya

adalah 27.9 (Laman Sesawang Jabatan Perangkaan Malaysia, 2013). Peningkatan ini mungkin

ada kaitannya dengan masalah bebanan belanja kahwin yang tinggi.

Selain itu, fenomena ini secara tidak langsung akan membawa kepada isu-isu sosial yang lain

seperti masalah pergaulan bebas antara pasangan ajnabi yang akhirnya boleh membawa kepada

perzinaan. Muda-mudi kini lebih gemar untuk berpasangan secara haram dan meminggirkan

perkahwinan memandangkan kos belanja kahwin yang tinggi. Masalah ini seterusnya boleh

Page 8: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

8

berlarutan sehingga berlakunya perkahwinan secara tidak sah atau pun tidak diiktiraf oleh pihak

berkuasa agama tempatan. Nilai mas kahwin dan kos perkahwinan yang tinggi boleh menjadi

faktor sampingan berlakunya perkahwinan di luar sempadan (Amani Ali Mutawalli 2010, 119).

Pasangan lelaki terutamanya akan sanggup bernikah di Thailand apabila tidak mampu lagi untuk

memenuhi kehendak keluarga perempuan yang menetapkan kadar mas kahwin yang terlalu

tinggi (Zurita Mohd Yusoff 2008, 55).

ELEMEN PERBELANJAAN PERKAHWINAN DALAM ISLAM

Bersesuaian dengan kedudukan perkahwinan sebagai akadz yang akan menghasilkan pelbagai

bentuk hak dan tanggungjawab berbentuk material (Muhammad Uqlah 2000, 2: 17), ia sudah

pasti akan melibatkan sebuah perbelanjaan yang tertentu. Berikut dikemukakan elemen

perbelanjaan perkahwinan yang ada di dalam Islam:

1. Mas Kahwin

Mas kahwin merupakan suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan

sebab perkahwinan atau persetubuhan (Al-Malbari 2008, 487), berasaskan kepada nas al-Quran

dan hadis. Firman Allah S.W.T:

Maksudnya: “Dan berikanlah wanita yang kamu kahwini itu suatu pemberian (mas kahwin)”.

(Al-Nisa’4: 4)

Rasulullah S.A.W juga pernah bertegas tentang kewajipan suami membayar mas kahwin di

dalam sabda baginda kepada seorang lelaki:

حديد" خاتمامن ولو "ال تمس Maksudnya: ”Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang yang

diperbuat daripada besi”

(Riwayat Bukhari no. 5149)

Dalam Islam, mas kahwin mestilah terdiri daripada sesuatu yang mempunyai nilai, suci dan boleh

diambil manfaat pada pandangan syarak. Ia hendaklah merupakan sesuatu yang dimiliki secara

halal oleh suami dan perlu disebut secara jelas dan spesifik, bagi mengelakkan berlaku sebarang

penipuan padanya (Al-Jaziri 1999, 4: 80-86). Mas kahwin tidak semestinya terdiri daripada

bentuk harta, bahkan ia boleh diberi dalam bentuk manfaat kepada sesuatu barang seperti manfaat

Page 9: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

9

menduduki sebuah rumah atau pun manfaat bercucuk tanam di atas sebidang tanah (Muhammad

Uqlah 2000, 2: 234). Ada pun sekiranya manfaat itu bukan dari sesuatu barangan, seperti manfaat

mengajar cara menjahit atau bacaan al-Quran, ulama’ Syafi’e dan Hanbali, mengharuskannya

(Al-Mawardi 1999, 9: 403, Ibn Qudamah 1997, 10: 101-103). Manakala bagi ulama’ mazhab

Maliki, sebahagian daripada mereka ada yang mengharuskannya dan ada yang tidak

mengharuskannya (Ibn Rushd 1982, 2: 21, Al-Jaziri 1999, 4: 189). Ulama’ Hanafi daripada

kalangan mutaqaddimin turut tidak mengharuskan pembayaran mas kahwin dengan manfaat yang

bukan dari barangan seperti pengajaran al-Quran atau hukum-hukum berkaitan agama (Al-Kasani

1987, 2: 277).

Dari aspek kadar pula, Islam tidak menetapkan kadar yang tertentu padanya, kerana setiap

individu adalah berbeza dari segi taraf hidup dan kemampuan. Justeru itu, Islam telah memberi

kebebasan kepada umatnya untuk menetapkan sendiri kadar tersebut berdasarkan kemampuan

setiap individu (Al-Sabuni t.t, 1: 322). Ulama' fiqh telah bersepakat menyatakan bahawa tiadanya

had maksimum pada mas kahwin. Namun mereka berbeza pandangan dalam menentukan kadar

minimumnya. Menurut mazhab Hanafi, batasan minimumnya adalah sebanyak sepuluh dirham

(Al-Kasani 1987, 2: 275), manakala mazhab Maliki menetapkannya sebanyak ¼ dinar (Ahmad

Dardir t.t: 3/206). Bagi mazhab Syafe’i dan Hanbali pula, mereka tidak menentukan kadar yang

khusus terhadap batasan minimum (Khotib Syarbini 1994, 4: 367, Bahuti 1997, 4: 116).

2) Walimah al-Urs

Al-walimah adalah merujuk kepada hidangan sempena perkahwinan (Ibn Qudamah 1997, 10:

191). Jumhur ulama’ menyatakan ia sebagai satu tuntutan sunat (Al-Dirdir t.t, 3: 296, Al-Khatib

Al-Sharbini 1994, 4: 404, Ibn Qudamah 1997, 10: 191) berdasarkan kepada perbuatan Rasulullah

S.A.W yang pernah melakukan walimah al-‘urs sempena perkahwinan baginda dengan isteri-

isteri baginda. Safiyyah binti Shaibah pernah meriwayatkan:

شعي (( دي نمن نسائهب )ص(علىب ع ض ))أو لالنبTerjemahannya: “ Nabi pernah mengadakan walimah untuk beberapa orang isterinya dengan dua

cupak barli.”

(Riwayat Bukhari no. 5172)

Page 10: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

10

Rasulullah S.A.W turut menganjurkan kepada sahabat baginda ‘Abd al-Rahman bin ‘Awf supaya

mengadakan walimah al-‘urs setelah dengan sabda baginda:

بشاة(( ولو ))أو ل Terjemahannya: “Lakukanlah walimah walau pun dengan menyembelih seekor kambing.”

(Riwayat Bukhari no. 5167)

Tuntutan mengadakan walimah al-urs pada hakikatnya adalah kepada pihak suami (Zaydan

1994, 6: 151, Atiyyah Saqr 2003, 1: 392), berdasarkan kepada perintah Rasulullah S.A.W kepada

‘Abd al-Rahman bin ‘Awf dan sirah perkahwinan baginda sendiri yang telah mengadakan

walimah al-urs sempena perkahwinan baginda dengan Zainab bint Jahsy (Al-Asqalani 2001, 9:

184, Al-Nawawi t.t, 9: 212) dan Safiyyah Binti Huyaiyy (Al-Nawawi t.t, 9: 207). Ia boleh

dilakukan dengan memberi makan kepada tetamu dengan sesuatu kadar yang menyenangkan

pihak penganjur (Zaydan 1994, 6: 152). Islam tidak menetapkan kadar tertentu untuk melakukan

walimah al-urs (Al-Asqalani 2001, 9: 189), bahkan boleh dilakukan dengan apa bentuk sajian

sekali pun (Al-Husayni t.t, 2: 499), mengikut adat tempatan walau pun bukan dari sajian daging

(Al-Albani 1409H, 151).

3) Elemen sampingan

Di samping dua elemen yang telah dikemukakan di atas, terdapat beberapa elemen sampingan

yang diperlukan bagi pembinaan sesebuah perkahwinan. Namun ia hanyalah dikira pelengkap

dan bukan merupakan elemen asas dalam Islam, kerana tuntutannya bukan melalui nas-nas

khusus. Elemen-elemen yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

i- Pemberian hadiah sesama pasangan

Amalan memberi hadiah sesama pasangan adalah sebuah adat masyarakat Islam kini. Walau pun

adat ini tiada asas yang khusus dalam Islam, namun pemberian hadiah sesama muslim adalah

satu perkara yang telah dianjurkan oleh syarak. Menurut sebahagian ulama’, pemberian hadiah

adalah satu perkara sunat (Ibn Qudamah 1997, 2: 512) kerana ia dapat membantu kesempitan

orang lain dan mengurangkan perasaan kedekut dalam diri seseorang (Al-Rahibani 2009, 4: 379).

Rasulullah S.A.W pernah bersabda: )) ت هادواتابوا((

Page 11: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

11

Terjemahannya: “Saling beri hadiahlah sesama kamu, nescaya kamu akan saling menyayangi”.

(Riwayat Tibrani)

Hadis ini secara umumnya telah menggalakkan umat Islam untuk saling memberi hadiah antara

satu sama lain agar kasih sayang terjalin sesama mereka. Ini menggambarkan amalan pemberian

hadiah sesama pasangan ketika perkahwinan adalah sesuatu yang tidak menyalahi syarak,

bahkan ia merupakan satu cara untuk menambat kasih sayang antara pasangan.

ii- Penyediaan persiapan majlis perkahwinan

Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk bergembira sempena perkahwinan mereka

(Muhammad Uqlah 2000, 1: 403). Pasangan dibenarkan untuk membuat pelbagai persiapan bagi

majlis perkahwinan agar kegembiraan dapat dirasai. Persiapan-persiapan ini mungkin

memerlukan perbelanjaan tertentu. Antara persiapan untuk menzahirkan kegembiraan adalah

dengan mengadakan nyanyian yang tidak mengandungi unsur maksiat (Muhammad Uqlah 2000,

1: 407, ‘Atiyyah Saqr 2003, 1: 489), di samping pukulan rebana atau alunan muzik yang

dibenarkan oleh syarak (Al-Albani 1409H, 179). Saidatina Aishah pernah meriwayatkan bahawa

dia pernah menyerahkan seorang wanita kepada suaminya yang baharu dinikahi dari golongan

kaum Ansar. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:

كانمعكم ل و،فان و؟""ياعائشة!ما الله ب هم األن صاري ع جTerjemahannya: “Wahai Aisyah, apakah tidak ada hiburan, sesungguhnya orang-orang Ansar

senang akan hiburan?”

(Riwayat Bukhari no. 5162)

Selain persiapan dari sudut nyanyian, Islam juga menganjurkan kepada pasangan perempuan

untuk berhias kepada suaminya sempena perkahwinan. Saidatina Aishah ketika kali pertama

ingin diserahkan kepada Rasulullah S.A.W, telah dihias oleh sekumpulan wanita (Al-Nawawi t,t,

9: 192). Beliau juga pernah meminjam sebentuk kalung dari Asma’ untuk tujuan perhiasan

sempena hari perkahwinannya (Al-Asqalani 2001, 9: 179). Perbuatan ini merupakan sebuah adab

seorang isteri untuk bertemu kali pertama dengan suaminya (Muhammad Uqlah 2000 1: 405)

dan dapat menambat kasih sayang sesama mereka (Al-Istanabuli 2001, 103).

Page 12: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

12

iii- Pemberian hadiah kepada tetamu

Amalan memberi hadiah kepada tetamu seperti manisan dan sebagainya adalah tidak salah dan ia

merupakan salah satu cara untuk menzahirkan kegembiraan. Namun, ia perlu dilakukan dalam

batas kemampuan setiap individu (Zaydan 1994, 6: 154). Rasulullah S.A.W diriwayatkan pernah

membahagi-bahagikan buah kurma kepada sahabat-sahabat baginda dengan setiap seorang

mendapat tujuh biji (Al-Asqalani 2001, 9: 651). Amalan seperti ini adalah satu amalan yang

dibolehkan dan tidak makruh sebagaimana amalan al-nuthar (Ibn Qudamah 1997, 10: 210). Ini

kerana al-nuthar adalah amalan menabur makanan seperti buah badam, kismis dan manisan atau

duit kepada tetamu dalam majlis walimah al-urus (Zaydan 1994, 6:153). Ia memaksa tetamu

memungut bagi mendapatkannya. Imam Syafi’e berpandangan amalan al-nuthar sebaiknya

adalah ditinggalkan kerana mengambil barangan yang ditabur itu menyerupai memungut

barangan rampasan. Manakala bagi ulama’ Hanbali, sebahagiannya menyatakan ia sebagai satu

perbuatan makruh, dan satu riwayat mengharuskannya (Ibn Qudamah 1997, 10: 208).

KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

Islam amat menganjurkan konsep al-taysir dalam urusan perkahwinan (Mahmud Hasan 1980,

41) dan tidak pernah menyukarkan bagi sesiapa yang ingin mendirikan rumah tangga. Ia adalah

sebagai satu langkah untuk memastikan muda-mudi yang telah berkeinginan untuk mendirikan

rumah tangga dapat memelihara maruah mereka dan memenuhi anjuran Rasulullah S.A.W untuk

berkahwin di usia muda (Al-Mutawalli 2010, 183). Justeru itu, berikut adalah berapa anjuran

telah diketengahkan oleh Islam dalam menguruskan perbelanjaan perkahwinan:

1) Berbelanja secara sederhana, bukan secara al-mughalah

Islam menganjurkan konsep bersederhana dalam menguruskan perbelanjaan, termasuklah dalam

urusan perkahwinan. Ukuran sederhana adalah terletak antara perbelanjaan yang boros dan

bakhil (Surtahman Kastin Hassan & Sanep Ahmad 2010, 77). Konsep ini banyak dibincangkan

dalam urusan penetapan kadar mas kahwin. Menurut Imam al-Syafi’i, bersederhana dalam

urusan menetapkan kadar mas kahwin adalah lebih baik daripada al-mughalah atau

meninggikannya (Al-Nawawi t.t, 18: 8). Imam al-Ghazali turut menyatakan adalah sunat bagi

seseorang untuk tidak menetapkan kadar mas kahwin secara al-mughalah (Al-Ghazali 1997, 5:

216), walau pun sebahagian ulama’ berpandangan hukum meninggikan mas kahwin adalah harus

Page 13: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

13

(Al-Yasin 1992, 72). Perkara ini berasaskan kepada beberapa buah hadis yang menganjurkan

penetapan kadar mas kahwin secara sederhana. Antaranya adalah sebagaimana sabda Rasulullah

S.A.W yang bermaksud:

“Sebaik-baik wanita adalah yang rendah kadar mas kahwinnya”

(Riwayat Abu Daud no. 2117)

Hadis ini jelas menunjukkan penentuan mas kahwin dengan kadar yang rendah dan sederhana

adalah sesuatu amalan yang digalakkan dalam Islam. Intipati hadis ini juga merupakan kaedah

asas dalam menentukan corak berbelanja dalam urusan perkahwinan (Muhammad Nabil Kazim

2006, 146).

2) Berbelanja mengikut tahap kemampuan

Perbelanjaan mengikut tahap kemampuan individu adalah satu tuntutan dalam Islam. Ini

bertepatan dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak membebani kamu melainkan pada apa yang kamu mampu…”

(Al-Baqarah 2: 286)

Jika dilihat kepada elemen perbelanjaan perkahwinan yang utama dalam Islam iaitu elemen mas

kahwin dan walimah al-urus,kedua-duanya tidak menetapkan kadar yang tertentu sebagaimana

dalam beberapa ibadat harta yang lain, seperti ibadat zakat dan diyat. Pihak pasangan bebas

untuk menentukan kadarnya selagi mana ia diterima oleh syarak. Kebebasan untuk menetapkan

kadar ini adalah bagi memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin untuk menetapkannya

berdasarkan kepada tahap kemampuan masing-masing. Anjuran berbelanja mengikut tahap

kemampuan dapat dilihat dari kisah Rasulullah S.A.W yang telah menentukan bacaan al-Quran

sebagai mas kahwin bagi seorang lelaki yang ingin dinikahkan oleh baginda dengan seorang

perempuan yang pernah disebut sebagai “al-wahibah”. Dalam kisah tersebut, pada peringkat

awal Rasulullah S.A.W telah menanyakan lelaki itu apakah harta yang dimilikinya yang sesuai

dijadikan mas kahwin. Setelah lelaki tersebut menyatakan tidak mempunyai apa-apa, baginda

memerintahkannya untuk mencari apa-apa yang sesuai bagi dijadikan mas kahwin walau pun

hanya dengan sebentuk cincin besi. Lelaki itu turut mengakui tidak mempunyai sebarang harta.

Kemudian, Rasulullah S.A.W telah menanyakan adakah dia menghafal sebarang ayat al-Quran.

Setelah membaca beberapa potong ayat al-Quran, baginda telah menikahkan lelaki tersebut

dengan apa yang dibaca olehnya (Al-Asqalani 2001, 9: 148). Langkah Rasulullah S.A.W

Page 14: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

14

menanyakan lelaki tersebut dari satu peringkat ke satu peringkat adalah bertujuan untuk

mengetahui apakah bentuk harta yang dimiliki oleh lelaki itu. Setelah baginda mengetahui tahap

kemampuannya yang tidak memiliki apa-apa ketika itu, baginda terus menikahkan lelaki tersebut

dengan mas kahwin yang bukan berbentuk harta, iaitu manfaat dari bacaan al-Quran.

Rasulullah S.A.W bukan sahaja mengajar umatnya berbelanja mengikut tahap kemampuan,

malah baginda tidak menyukai orang yang tidak berkemampuan membebankan dirinya sendiri

dengan sesuatu perbelanjaan yang tinggi. Baginda pernah menegur seorang lelaki yang

berkahwin dengan mas kahwin sebanyak empat awaq, iaitu menyamai 160 dirham dengan

sabdanya yang bermaksud:

“Dengan 4 awaq? Seolah-olah engkau sedang mengukir perak pada permukaan gunung ini.

Kami tidak mempunyai sesuatu untuk diberikan kepada kamu, tetapi mudah-mudahan kami

dapat mengutus rombongan bersamamu untuk memberi bantuan.”

(Riwayat Muslim no. 1424)

Berdasarkan hadis ini, Imam al-Nawawi menyatakan adalah makruh bagi seseorang lelaki

membayar mas kahwin kepada isterinya dengan kadar yang melebihi tahap kemampuan diirinya

(Al-Nawawi t,t, 9: 197).

Konsep berbelanja mengikut kemampuan turut boleh dilihat dalam kategori pembayaran mas

kahwin dalam Islam. Mas kahwin boleh dibayar secara mu‘ajjal (segera) dan mu’ajjal

(bertangguh). Walau pun ulama’ fiqh mempunyai pandangan berbeza dalam menentukan syarat

bagi pembayaran secara bertangguh (Al-Jaziri 1999, 4: 126), namun secara umumnya mereka

membenarkan pembayaran melalui cara tersebut. Keadaan ini memberi ruang kepada individu

yang tidak berkemampuan untuk menangguhkan pembayaran mas kahwin pada hari akad nikah.

Pembayaran tersebut mungkin boleh dilakukan secara beransur, atau bertangguh secara

keseluhurannya. Bagi mazhab Syafi’i, pembayaran bertangguh sama ada secara keseluruhannya

atau sebahagiannya adalah satu perkara yang diharuskan (Al-Nawawi t.t, 18: 9).

Selain dalam urusan pembayaran mas kahwin, perbelanjaan secara mengikut tahap kemampuan

juga dapat dilihat dalam elemen perbelanjaan walimah al-urus. Mereka yang ingin melakukan

walimah disunatkan agar menyediakan makanan mengikut tahap kemampuan masing-masing

(Al-Asqalani 2001, 9: 189). Rasulullah S.A.W sendiri melakukan walimah al-urus mengikut

Page 15: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

15

tahap kemampuan baginda (Al-Sibbagh 2004, 23). Baginda pernah menyajikan hays ketika

mengadakan walimah untuk Saidatina Safiyyah bint Huyaiy (Al-Asqalani 2001, 7: 680) yang

diadakan dalam perjalanan pulang dari perang Khaibar. Hays ialah sejenis makanan yang diadun

dari buah kurma, keju dan minyak sapi (Al-Asqalani 2001, 9: 653). Ia merupakan sejenis

makanan yang agak ringan dari sudut perbelanjaan untuk menyediakannya, berbanding dengan

hidangan dari daging. Hidangan yang disediakan oleh Rasulullah S.A.W dalam kisah ini adalah

bersesuaian dengan kesukaran baginda yang masih berada dalam keadaan musafir (Al-Sibbagh

2004, 23).

3) Galakan bekerjasama

Sirah perkahwinan Rasulullah S.A.W dengan isteri-isteri baginda telah memaparkan beberapa

kisah yang menunjukkan berlakunya konsep tolong menolong dan kerjasama oleh sahabat dan

mereka yang berada di sekeliling baginda ketika baginda mengadakan walimah al-urs. Antara

kisah yang telah diriwayatkan adalah ketika perkahwinan baginda dengan Zainab Binti Jahsh dan

Safiyyah Binti Huyaiyy. Anas bin Malik telah meriwayatkan setelah Rasulullah S.A.W

mengahwini Saidatina Zainab bint Jahsh:

Ibuku Ummu Sulaim telah membuat hays dan dia telah meletakkannya di dalam sebuah bekas.

Lalu dia berkata: “Wahai Anas, bawalah makanan ini kepada Rasulullah S.A.W dan katakanlah

kepada baginda, ibu saya telah mengirimkan kepadamu dan dia menyampaikan salam kepadamu.

Ummu Sulaim berkata, ini adalah untuk kamu wahai Rasulullah sedikit makanan dari kami”.

Kemudian aku pergi bertemu Rasulullah S.A.W dan berkata: “Ibuku menyampaikan salam

kepadamu, dan dia berkata, ini adalah untuk kamu wahai Rasulullah sedikit makanan dari kami”.

Sabda Rasulullah S.A.W: “letakkanlah ia”, kemudian baginda bersabda lagi: “pergilah dan

undanglah untukku si fulan dan si fulan, dan setiap orang yang kamu jumpa”.

(Riwayat Muslim no.1428)

Kisah ini telah memaparkan bagaimana Ummu Sulaim telah membantu Rasulullah S.A.W ketika

baginda ingin mengadakan walimah sempena perkahwinan baginda dengan saidatina zainab. Ini

menunjukkan kerjasama dalam mengadakan walimah al-urus adalah satu anjuran khusus dalam

Islam. Imam al-Nawawi dalam mengulas hadis ini menyatakan adalah sunat bagi sahabat handai

kepada pasangan untuk menghulurkan sebarang bentuk makanan dan hidangan bagi tujuan

mengadakan walimah al-urus (Al-Nawawi t.t, 9: 213). Bantuan yang dihulurkan oleh kaum

keluarga, jiran dan sahabat handai yang mempunyai kemampuan dari segi harta ini adalah

melambangkan tanda kasih sayang dan berkongsi kegembiraan dengan pasangan yang berkahwin

(Nasih Ulwan 1983, 105). Manakala dalam kisah perkahwinan baginda dengan Saidatina

Page 16: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

16

Safiyyah binti Huyaiy pula yang diriwayatkan berlaku setelah peperangan Khaibar, Anas turut

meriwayatkan:

“Ketika dalam perjalanan pulang, Ummu Sulaim mempersiapkan Safiyyah untuk

perkahwinannya dengan nabi, kemudian beliau diserahkan kepada nabi malam itu. Maka di pagi

hari esoknya, nabi telah menjadi seorang mempelai, lalu bersabda: “Sesiapa yang mempunyai

sedikit makanan, hendaklah dibawa. Lalu ditebarkan sebuah tikar dari kulit. Ada yang membawa

keju, ada yang membawa kurma dan ada yang membawa minyak sapi. Kesemuanya diadun dan

itulah jamuan Rasulullah S.A.W.”

(Riwayat Muslim no. 1365)

4) Menghindari Unsur Pembaziran

Pembaziran merupakan satu sifat yang amat tidak dianjurkan dalam Islam. Allah S.W.T telah

menjelaskan kedudukannya dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan…”

(Surah Al-Isra’ 17: 26-27)

Berdasarkan ayat di atas, Islam melarang untuk membelanjakan harta ke arah pembaziran.

Pembaziran dalam Islam merupakan salah satu bentuk penggunaan harta secara haram (M.

Sholahuddin 2007, 135).

Dalam isu perbelanjaan perkahwinan, pasangan yang ingin mengadakan majlis perkahwinan

amat tidak digalakkan untuk melakukan pemborosan dan pembaziran, seperti mengadakan majlis

tersebut di hotel-hotel terkemuka dengan sebuah perbelanjaan yang terlalu besar di samping

wujudnya unsur-unsur negatif pada pandangan syarak seperti konsert, pergaulan bebas dan

sebagainya (Muhammad Uqlah 2000, 1: 407).

PENUTUP

Konsep al-taysir merupakan satu konsep yang telah dianjurkan oleh Islam dalam mengatur

perbelanjaan perkahwinan. Walau pun dalam Islam, elemen perbelanjaan perkahwinan lebih

tertumpu kepada pembayaran mas kahwin dan walimah al-urus, namun penerapan al-taysir

dalam dua elemen tersebut perlu dijadikan asas kepada corak perbelanjaan perkahwinan masa

kini. Perbelanjaan yang melibatkan adat adalah tidak salah sekiranya masyarakat menjadikan

konsep tersebut sebagai panduan dan pengukur dalam mengatur perbelanjaan tersebut. Aplikasi

Page 17: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

17

konsep ini dalam pengurusan perbelanjaan perkahwinan sudah pasti dapat membendung trend

belanja kahwin yang dilihat semakin tinggi dan menimbulkan pelbagai isu kepada masyarakat.

Melalui amalan berbelanja secara sederhana, mengikut kemampuan, bekerjasama dan

mengelakkan pembaziran, masyarakat diharapkan dapat mampu mengurus perbelanjaan

perkahwinan mereka mengikut kehendak Islam, dan terhindar dari masalah berhutang, kahwin

lewat dan sebagainya.

Page 18: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

18

RUJUKAN

‘Atiyyah Saqr, 2003, Mausu’ah al-Usrah Taht Ri’ayah al-Islam : Marahil Takwin al-Usrah, Jld.

1, Qaherah: Maktabah Wahbah.

Al-Albani, Muhammad Nasir al-Din, 1409H, Adab al-Zifaf fi al-Sunnah al-Mutahharah,

Amman: al-Maktabah al-Islamiyyah.

Al-Asqalani, Ahmad Ibn Ali Ibn Hajr, 2001, Fath al-Bari bi al-Sharh Sahih al-Bukhari, Jld. 1, 6

& 9, Qaherah: Maktabah Misr.

Al-Dirdir, Abu al-Barakat Ahmad Ibn Muhammad Ibn Ahmad, t.t, al-Sharh al-Saghir ‘ala Aqrab

al-Masalik ila Madzhab al-Imam Malik, T.Tpt: Matba‘ah ‘Isa al-Babi al-Halabi wa

Shurakahu.

Al-Ghazali, Muhammad Ibn Muhammad, 1997, al-Wasit fo al-Mazhab, Qaherah: Dar al-Salam.

Al-Kasani, ‘Ala’ al-Din Abi Bakr Ibn Mas’ud, 1987, Kitab Bada’i‘ al-Sana’i‘ fi Tartib al-

Shara’i‘, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Al-Husayni, Taqy al-Din Abi Bakr Ibn Muhammad, t.t., Kifayah al-Akhyar fi Hill Ghayah al-

Ikhtisor, Jld. 2, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Al-Istanabuli, Mahmud Mahdi, 2001, Tuhfat al-Arus aw al-Zawaj al-Islami al-Sa’id, Riyadh:

Maktabah al-Ma’arif.

Al-Jaziri, Abd al-Rahman, 1999, Kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah, Jld. 4, Qaherah: Dar

al-Manar.

Al-Khatib al-Sharbini, Shams al-Din Muhammad Ibn Muhammad, 1997, Mughni al-Muhtaj ila

Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, jld. 4, Beirut: Dar al-Ma’rifah.

Al-Malbariy, Zain al-Din Ibn Abd al-Aziz 2008, Fath al-Mu’iin, Terjemah oleh MKA Kreatif

Enterprise, Johor: Perniagaan Jahabersa.

Al-Mawardi, Abu al-Hasan ‘Ali Ibn Muhammad Ibn Habib, 1999, al-Hawi al-Kabir fi Fiqh

Madzhab al-Imam al-Shafi’i, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Al-Mutawalli, Amani Ali, 2010, al-Dawabit al-Qanuniyyah wa al-Shari’ah wa al-Mushkilat al-

Ilmiyyah li al-Anwa’al-Hadithah li al-zawajwa al-Talaq, Qaherah; Dar al-Kutub al-Hadith.

Al-Nawawi , Abu Zakariyya Muhy al-Din Ibn Sharf, t.t., Al-Majmu‘ Sharh Muhadzdzab,

Makkah Mukarramah: Maktabat al-Irshad.

_________________________________________, t.t, Sahih Muslim bi Sharh al-Nawawi, Jld.

9, T.Tmpt: Maktabah al-Safa.

Al-Qaradhawi, Yusuf, 2006, Dirasah fi Fiqh Maqasid al-Syari’ah bayna al-Maqasid al-

Kulliyyah wa al-Nusus al-Juz’iyyah,Qaherah: Dar al-Syuruq.

Al-Rahibani, Mustafa al-Suyuti, 2009, Matalib Uli al-Nuha fi Sharh Ghayat al-Muntaha, Jld. 4,

Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Al-Sabuni, Muhammad Ali, t.th, Tafsir Ayat al-Ahkam min al-Quran, Jld. 1, Beirut: Dar al-

Kutub al-Ilmiyyah.

Al-Sibbagh, Rafif Abd al-Aziz, 2004, Hafl al-Zifaf fi al-Fiqh al-Islamiy Dawabituh wa

Ahkamuh, Tesis Peringkat Sarjana, Universiti Damsyiq, Syiria.

Al-Shatibi, Abu Ishak Ibrahim Ibn Musa Ibn Muhammad, 1997, Al-Muwafaqat, Jld. 2, Jeddah:

Dar Ibn Affan.

Al-Yasin, Jasim Ibn Muhammad, 1992, Min Qadhaya al-Zawaj: al-Mahr – al-Khitbah – Zinah

al-Sya’r, Qaherah: Dar al-Wafa’.

Fatimah Abdullah, 2009, “Dari Halaman Rumah ke Dewan Merak Kayangan”, dalam Jurnal

Alam dan Tamadun Melayu, Jilid 27 (1), June - Dicember 2009, Kuala Lumpur: Universiti

Kebangsaan Malaysia.

Page 19: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

19

Halimah Abdul Rahman, 2010, Pegangan Adat Turun Temurun, Kuala Lumpur: Penerbit Sinar

Cemerlang.

Haslina Hassan dan Ann Wan Seng, 1995, Wanita dan Perkahwinan, Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Ibn ‘Ashur, Muhammad Tahir, 2001, Maqasid al-Shari‘ah al-Islamiyyah, Amman: Dar al-

Nafa’Islam.

Ibn Kathir, Abu al-Fida’ al-Hafiz, 1998, Tafsir al-Qur’an al-Azim, Jld. 1& 3, Beirut: Dar al-Fikr.

Ibn Manzur, Muhammad Ibn Mukrim, t.t, Lisan al-Arab, Jld. 5, Beirut: Dar al-Sadir.

Ibn Qudamah, 1997, al-Mughni, Riyad: Dar ‘Alam al-Kutub.

Ibn Rushd, Muhammad Ibn Ahmad al-Qurtubi, 1982, Bidayat al-Mujtahid wa Nihayat al-

Muqtasid, Beirut: Dar al-Ma‘rifah.

Iman Ahmad, 2010, Adat Budaya, Kuala Lumpur: Goodmark Enterprise.

Kamil, Umar, 2000, al-Rukhsah al-Shar’iyyah fi al-Usul wa al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Jeddah:

al-Maktabah al-Makkiyyah.

Kosmo, 10 Ogos 2013.

Kosmo, 11 Ogos 2013.

Laman Jabatan Perangkaan Malaysia, dicapai pada 13 Mac 2013,

http://www.statistics.gov.my/portal/download_Labour/files?BPTMS/PST-Siri6.pdf.

Laman Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dicapai pada 13 Mac

2013, http://www.kpwkm.gov.my/documents/10156/95f9e1b3-24bb-4cce-af4b-da

9bf8317f2e.

Laman Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, artikel “Pengantin Dibelenggu Hutang”,

dicapai pada 10 Mac 2013, http://www.akpk.org.my/happenings/news/press-release/id/486/

M. Sholahuddin, 2007, Asas-asas Ekonomi Islam, Jakarta: PT Raja Grafindo Persada.

Mahmud Hasan, 1980, Ahkam al-Usrah fi al-Islam,Beirut: Dar al-Nahdhah al-’Arabiyyah.

Muhammad Nabil Kazim, 2006, Kayfa Tukhattit Masyru’ Zawaj Najih, Qaherah: Dar al-Salam.

Muhammad Rashid Ridha 1947, Tafsir al-Qur’an al-Hakim, Jld. 2, Qaherah: Dar al-Manar.

Muhammad ‘Uqlah, 2000, Nizam al-Usrah fi al-Islam, Jld. 1 & 2, Amman: Maktabah al-Risalah

al-Hadithah.

Nasih Ulwan, Abdullah, 1983, Adab al-Khitbah wa al-Zifaf wa Huquq al-Zawjain, Qaherah: Dar

al-Salam.

Raihanah Azahari, Khairun Najmi Saripudin dan Raihana Abd Wahab, 2009, “Hubungan di

antara Faktor Demografi dengan Penentuan Kadar Hantaran: Kajian di Perlis, Kedah,

Pulau-Pinang dan Perak”, dalam Jurnal Fiqh, Jilid 6 2009, Kuala Lumpur: Universiti

Malaya.

Syed Mahadzir, 2009, Adat Resam dan Makanan Masyarakat Melayu, Kuala Lumpur: E1

Publication Sdn. Bhd.

Surtahman Kastin Hassan & Sanep Ahmad, 2010, Ekonomi Islam Dasar dan Amalan, Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainunnisaa Abdul Rahman, 2007, “Mahar in Malaysia: The Law Revisited” dalam Shariah

Law Reports, October-December 2007, Kuala Lumpur: Malayan Law Journal Sdn. Bhd.

Zurita Mohd Yusoff , 2008, “Amalan Pemberian Mas Kahwin di Malaysia” dalam Jurnal Islam

dan Masyarakat Kontemporari, Jil 1 Julai 2008, Kuala Terengganu: Universiti Darul Iman

Malaysia.

Zaydan, Abd al-Karim, 1994, al-Mufassal fi Ahkam al-mar’ah wa al-bayt al-Muslim, Jld. 6,

Beirut: Muassasah al-Risalah.

Page 20: KONSEP AL-TAYSIR DALAM PERBELANJAAN PERKAHWINAN

20

____________________, 2009, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh,Beirut: Muassasah al-Risalah.