komsas.doc

24
ISI KANDUNGAN 1.0 Pengenalan............................................... 1 1.1 Latarbelakang........................................ 1 1.2 Skop dan Objektif Kertas Tugasan.....................1 2.0 Bahagian A: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Komsas di Sekolah............................................... 2 2.1 Komsas dalam Kurikulum Bahasa Melayu KBSM............2 2.2 Keupayaan Komsas dalam Meningkatkan Kemahiran Berbahasa dalam Kalangan Pelajar.....................3 2.3 Keberkesanan Pelaksanaan P & P Komsas dalam Meningkatkan Kemahiran Berbahasa dalam Kalangan Pelajar.............................................. 5 3.0 Bahagian B: Budaya Membaca dan Kemahiran Membaca dalam Kalangan Rakyat Malaysia.................................8 3.1 Budaya Membaca di Malaysia...........................8 3.2 Langkah-Langkah Meningkatkan Kemahiran Membaca dalam Kalangan Pelajar.....................................9 4.0 Penutup................................................. 12 5.0 Rujukan................................................. 13

Upload: axnoobxis

Post on 20-Nov-2015

7 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

ISI KANDUNGAN11.0Pengenalan

11.1Latarbelakang

11.2Skop dan Objektif Kertas Tugasan

22.0Bahagian A: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Komsas di Sekolah

22.1Komsas dalam Kurikulum Bahasa Melayu KBSM

32.2Keupayaan Komsas dalam Meningkatkan Kemahiran Berbahasa dalam Kalangan Pelajar

52.3Keberkesanan Pelaksanaan P & P Komsas dalam Meningkatkan Kemahiran Berbahasa dalam Kalangan Pelajar

83.0Bahagian B: Budaya Membaca dan Kemahiran Membaca dalam Kalangan Rakyat Malaysia

83.1Budaya Membaca di Malaysia

93.2Langkah-Langkah Meningkatkan Kemahiran Membaca dalam Kalangan Pelajar

124.0Penutup

135.0Rujukan

1.0 Pengenalan1.1 Latarbelakang

Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada mata pelajaran wajib dalam kurikulum sekolah rendah dan sekolah menengah, bertujuan untuk melahirkan para pelajar yang berketerampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sesuai dengan semangat Rukun Malaysia dan Falsafah Pendidikan Negara (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003). Objektif pengajaran Bahasa Melayu adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbagai situasi komunikasi (Seman, 2005).

Oleh yang demikian, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan pelbagai strategi baru untuk menentukan matlamat pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu tercapai. Antara lainnya adalah pengenalan dan pelaksanaan komponen Kesusasteraan Melayu atau ringkasnya Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu itu sendiri. Tujuan utamanya adalah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa khususnya kemahiran membaca memandangkan membaca buku adalah jambatan ilmu.

1.2 Skop dan Objektif Kertas Tugasan

Kertas tugasan ini membincangkan dua perkara yang amat berkait iaitu penggunaan Komsas dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu untuk melihat keberkesanan penggunaannya dalam meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar. Perkara kedua yang dibincangkan adalah budaya membaca yang masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia dan cadangan langkah-langkah untuk meningkatkan kemahiran dan minat membaca bahan bacaan pada aras kognitif lebih tinggi dalam kalangan pelajar. 2.0 Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Komsas di Sekolah2.1 Komsas dalam Kurikulum Bahasa Melayu KBSMMenurut Nik Hassan Basri (2007), Komsas (dengan huruf kecil) dan KOMSAS (dengan huruf besar) merupakan dua perkara yang berlainan khususnya dari segi pendekatan, matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran. KOMSAS merupakan Kesusasteraan Melayu, salah satu mata pelajaran dalam KBSM manakala Komsas pula adalah komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan komponen pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam bidang estetik di mana Komsas diharap dapat memupuk minat membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan sastera (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003).

Komsas telah diperkenal dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah pada tahun 2000. Guru-guru bahasa perlu mengajar semua genre sastera termasuk prosa tradisional, puisi moden, novel, cerpen dan drama dari Tingkatan 1 ke Tingkatan 5 di mana tujuannya adalah untuk mendedahkan pelajar-pelajar kepada pengetahuan asas sastera dan cara penghayaran karya sastera (Chew, 2006).

Komponen sastera dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah juga bertujuan memupuk minat membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan sastera yang sesuai seperti cerpen, novel dan puisi yang kaya dengan unsur-unsur alam, kemasyarakatan, kebudayaan dan kemanusiaan (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2003).

2.2 Keupayaan Komsas dalam Meningkatkan Kemahiran Berbahasa dalam Kalangan Pelajar

Rasional mengapa Komsas menjadi sebahagian daripada kurikulum Bahasa Melayu adalah kerana bahan sastera penuh dengan segala persoalan hidup manusia dan pergolakan masyarakat, diolah dan diwarnai dengan unsur-unsur estetik yang diharap dapat menyuburkan minat membaca di kalangan pelajar. Minat membaca inilah yang diharap dapat membawa pelajar-pelajar kepada satu budaya yang unggul iaitu budaya membaca dan budaya ilmu (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1999).

Keberkesanan penggunaan Komsas dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dengan tujuan mempertingkatkan kemahiran berbahasa sepatutnya tidak dipertikaikan kerana bahan sastera dalam Komsas disediakan dalam pelbagai genre dan disesuaikan dengan cita rasa dan keupayaan kognitif pelajar. Bahan-bahan sastera ini dipilh atas dasar keupayaannya menjana kemahiran berfikir, keterampilan kreatif, keterampilan keperibadian membentuk sahsiah diri dan keterampilan bermasyarakat dalam komunikasi (Maridah, 2005).Menurut Maridah (2005), sasaran utama Komsas adalah para pelajar di mana karya-karya sastera dalam Komsas dapat memancarkan nilai-nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan kewarganegaraan serta unsur-unsur keindahan yang boleh memperkukuhkan keterampilan berbahasa dalam kalangan pelajar.

Komsas mengandungi banyak unsur bahasa yang boleh mengembangkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar. Ini kerana komponen sastera menyumbang kepada perkembangan holisitik seseorang individu (Kamarudin, 1988). Contohnya, sajak menggunakan kosa kata yang kaya seperti penggunaan perkataan badai menggantikan ombak, penggunaan pelbagai perumpamaan dan bidalan kata yang boleh merangsang minda pelajar untuk memahami prosa kata dalam karya sastera berkenaan.

Menurut Maley (1989), bahan sastera menjadi sumber dalam pembelajaran bahasa kerana ia bersifat versatile atau mudah lentur dan dengan itu sesuai digunakan untuk meningkatkan kemahiran berbahasa yang tertentu.

Sifat Komsas yang fleksibel boleh digunakan dengan pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran seperti perbincangan, perbahasan, main peranan, teknik kerusi panas, dan sebagainya. Komsas bertindak sebagai bahan perbincangan untuk menggalakkan pelajar-pelajar menggunakan kemahiran berbahasa seperti membaca, menulis, bercakap dan mendengar dalam pelbagai teknik dan kaedah pembelajaran. Komsas juga berkisar tentang isu-isu semasa yang berkaitan dengan konteks kehidupan masyatakat dan diri para pelajar. Ini dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengaitkan isu dalam karya sastera dengan kehidupan mereka sendiri. Contohnya, novel Limpahan Darah di Sungai Semur merupakan cabaran kehidupan seorang yang bercita-cita menjadi seorang askar yang mana boleh dikaitkan dengan diri pelajar sendiri yang mengalami pelbagai rintangan hidup mencapai cita-cita mereka sendiri. Menurut Huzaina (2006), sastera dapat melatih pelajar secara bijak dan wajar dengan menyemai sensitiviti dan ketepatan respons. Ini kerana sastera boleh mengembangkan keupayaan respons seseorang individu terhadap penggunaan bahasa sama ada dalam bentuk pertuturan atau penulisan. Misalannya, sajak tentang dilema hidup masyarakat seperti Hati Terkenang Mulut Menyebut menceritakan nasib malang seorang pengemis. Cerita dalam sajak ini mencuit emosi pelajar boleh membawa mereka kepada perbincangan yang kritis mengenai kehidupan manusia dalam keadaan sebenar.

Hakikatnya, Komsas berkemampuan meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar. Namun, terdapat banyak perkara yang dikatakan menghalang keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P & P) Komsas dalam meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar. 2.3 Keberkesanan Pelaksanaan P & P Komsas dalam Meningkatkan Kemahiran Berbahasa dalam Kalangan PelajarThahir (2005) berpendapat bahawa keberkesanan penggunaan Komsas dalam meningkatkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar amat bergantung kepada keterampilan dan kompetensi guru bahasa yang menyampaikan pelajaran tersebut. Menurut Mat Asuar (2008), guru berperanan sebagai sumber rujukan di mana dia perlu menguasai isi pelajaran yang hendak diajar (kompetensi kandungan) dan berkemampuan mempelbagaikan pendekatan pengajaran yang diguna ketika mengajar (kompetensi pedagogi). Laporan Pelaksanaan Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu 2001 menyatakan ramai pelajar berasa bosan, kurang tumpuan dan tidak berminat dengan penggunaan Komsas dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Mat Asuar (2008) menyatakan bahawa kebosanan ini menyebabkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar tidak dapat dipertingkatkan. Kebosanan para pelajar ini dikatakan berpunca daripada pengajaran guru yang stereotaip sehingga menyebabkan pembelajaran menjadi kaku, kering, hambar dan kurang memberangsangkan. Kajian oleh Nik Hassan Basri (2007) mendapati bahawa guru mengajar Komsas dalam subjek Bahasa Melayu sama seperti mereka mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu tulen.

Menurut Borhan (1991), kebanyakan guru yang mengajar Komsas kurang mahir dan berpengalaman kerana mereka tidak mendapat latihan khusus berhubung dengan proses pengajaran-pembelajaran sastera. Ini menyebabkan mereka tidak peka akan pengertian, peristilahan dan perhubungan antara pedagogi, pendekatan, kaedah, teknik dan strategi pengajaran kesusasteraan Komsas dan KOMSAS. Sebenarnya, guru-guru bahasa telahpun diberikan banyak peluang mengikuti bengkel, kursus dan seminar tentang komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ramli (1987) menyatakan bahawa kebanyakan proses pengajaran dan pembelajaran sastera dilakukan secara ad hoc dan mengikut budi bicara guru yang lebih berorientasikan peperiksaan dan paper chase semata-mata. Osman (1995) pula menyatakan bahawa ramai guru sukar merancang dan melaksanakan pengajaran dengan berkesan kerana kurang jelas tentang konsep sastera dalam pengajaran bahasa. Zahirah dan Kamaruzaman (2001) juga menjelaskan bahawa kebanyakan guru kurang mahir dengan istilah sastera dan serba salah dalam menilai sudut sastera untuk Komsas dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Oleh yang demikian, guru-guru ini lebih banyak memberi tumpuan kepada pengajaran tema, plot, watak dan latar dan tidak menggunakan Komsas untuk tujuan meningkatkan kemahiran berbahasa (Mohd Kassim, 1995).

Kesesuaian teknik pengajaran dan pembelajaran juga dikaitkan dengan kebosanan pelajar terhadap Komsas. Menurut Maridah (2005), guru-guru lebih gemar menggunakan pendekatan eklektik yang berpusatkan guru. Guru-guru suka memberi fakta dan pengetahuan mengenai tema, plot, watak dan sebagainya berkaitan bahan sastera dan kurang memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk mengetahui ayau menemuinya sendiri. Ini secara tidak langsung menyebabkan pelajar-pelajar tidak ada banyak peluang mengguna dan mengembangkan kemahiran berbahasa mereka.

Untuk memastikan keberkesanan penggunaan Komsas, guru patut menggunakan teknik atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian.Kamarudin (2003) menjelaskan teknik adalah strategi yang digunakan di peringkat pelaksanaan dan merupakan taktik untuk menyampaikan bahan-bahan pengajaran kepada pelajar di dalam bilik darjah secara berkesan. Teknik bersoal jawab misalnya membantu pelajar mengenali aspek-aspek bahasa dalam bahan sastera seperti jenis prosa dan ciri-ciri prosa, tema dan persoalan, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, bentuk, nada, sudut pandangan, nilai kemanusiaan dan pengajaran. Teknik main peranan pula memberi peluang kepada pelajar supaya lebih berani menyatakan pendapat dan membentuk kesedaran hubungan antara peranan yang dimainkan dengan masalah kehidupan masyarakat yang sebenar (Lee, 2005).

Fakta-fakta yang dinyatakan di atas menunjukkan bahawa Komsas sebenarnya amat berpotensi menyuburkan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar tetapi kebijaksanaan, keterampilan dan kompetensi guru bahasa amat penting dalam menggunakan komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu digunakan sebaik-baiknya untuk menggalakkan kemahiran berbahasa.3.0 Budaya Membaca dan Kemahiran Membaca dalam Kalangan Rakyat Malaysia3.1 Budaya Membaca di MalaysiaKenyataan Jamayah Zakaria (2008) yang menyatakan, Berdasarkan kajian menunjukkan bahawa kadar membaca dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah. Mereka lebih berminat untuk membaca bacaan ringan yang tidak memerlukan rangsangan kognitif, adalah suatu realiti memandangkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia masih di tahap yang rendah. Menurut Safiah (1979), minat membaca yang rendah ini disebabkan pelbagai faktor. Pembacaan bahan sastera seperti sajak dan novel misalnya memerlukan cabaran intelektual yang berlainan. Menurut Lee (2005), pembacaan bukan sekadar menikmati apa yang tersurat tetapi pelu mendalami apa yang tersirat melalui penaakulan dan gerak hati pembaca. Kajian Pendidikan Seisirumah Kebangsaan 1999 di Amerika Syarikat mendapati 50% daripada populasi yang berumur 25 tahun ke atas hanya membaca surat khabar sekali seminggu, membaca satu atau dua buah majalah secara tetap dan membaca sebuah buku dalam masa enam bulan (Eikenberry, 2005). Di negara China pula, kajian oleh China Publishing Science Research Institute mendapati pada tahun 1999, buku merupakan media keempat selepas suratkhabar dan majalah yang dibaca oleh rakyat China untuk mengisi masa terluang mereka. Liu (2000) menyatakan purata masa membaca menurun kerana lebih banyak masa diperuntukkan bagi menonton TV dan bermain permainan video atau komputer.

Kajian minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia berumur antara 16 dan 50 tahun oleh Atan Long et al. (1984) menunjukkan Malaysia belum membudayakan amalan membaca. Sebanyak 59% daripada responden menyatakan mereka tidak membaca kerana tidak ada masa. Kajian ini mendapati rakyat Malaysia kurang membaca bukan disebabkan mereka kurang kemahiran membaca tetapi disebabkan masalah sikap dan budaya yang tidak mengamalkan tabiat membaca. Keadaan ini dikenali sebagai aliteracy (McDuffee, 2004) di mana ia merupakan satu keadaan di mana seseorang itu berkeupayaan membaca tetapi tidak peduli atau bosan untuk membaca sama ada untuk tujuan akademik atau pengkayaan ilmu.

Masalah kurang membaca ini juga dilihat dalam golongan pelajar universiti. Sasterawan Negara, Datuk Dr. A. Samad Said menyatakan kesedihan beliau melihat golongan pelajar di IPTA tidak gemar membaca dan jika membaca pun, lebih menggemari bahan bacaan yang sia-sia dan berunsurkan seks serta tidak membantu mengukuhkan insaniah mereka (Berita Harian, 2009).

Oleh itu, perlu ada langkah-langkah yang dapat meningkatkan minat membaca dan menyuburkan budaya membaca dalam kalangan pelajar di sekolah. Di bawah ini, dicadangkan beberapa langkah meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar. 3.2 Langkah-Langkah Meningkatkan Kemahiran Membaca dalam Kalangan PelajarKemahiran membaca dalam kalangan pelajar dapat dipupuk dalam konteks persekitaran sekolah. Terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada kemahiran membaca dalam kalangan pelajar. Pertama, kebolehdapatan pelbagai sumber bacaan. Pihak sekolah perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang berbagai tahap kognitifnya, bermula dari bahan bacaan ringan seperti komik, majalah dan suratkhabar kepada bahan bacaan serius seperti novel, buku rujukan akademik, jurnal, majalah teknikal dan sebagainya. Terdapat beberapa langkah untuk meningkatkan kebolehdapatan dan akses pelajar-pelajar kepada sumber bacaan seperti:1. Memastikan Pusat Sumber, iaitu pusat rujukan utama bagi sekolah dilengkapi dengan pelbagai bahan bacaan termasuk e-buku atau buku elektronik. Pusat Sumber pula perlulah meletakkan bahan-bahan bacaan yang menarik dan pelbagai aras penggunaan kognitif di tempat-tempat strategik seperti Rak Panas, meja tamu dan sebagainya.

2. Meletakkan ruang membaca iaitu kerusi dan rak buku/majalah di tempat-tempat tertentu di sekolah seperti di kantin, sudut khas dalam bilik darjah, ruang ramu dalam bilik guru, dan sebagainya.

3. Pusat Sumber mengadakan pelbagai kempen dan aktiviti membaca buku dari masa ke semasa untuk menggalakkan penggunaan bahan bacaan dalam pusat ini.

Perkara kedua yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah untuk membudayakan amalan membaca adalah mewajibkan aktiviti membaca sebagai salah satu amalan kebiasaan di sekolah. Beberapa cara boleh dilakukan untuk meningkatkan aktiviti membaca seperti berikut:

1. Pihak sekolah memastikan pelajar-pelajar terlibat dalam Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) dan guru-guru pula mengambil serius memastikan matlamat NILAM dicapai.

2. Amalan membaca petikan teks dari pelbagai genre setiap perhimpunan sekolah bagi merangsang pembacaan serius dan aras kognitif tinggi.

3. Amalan membaca 5 minit setiap sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, Pendidikan Moral, Bahasa Inggeris dan sebagainya. Pelajar bergilir-gilir membaca setiap hari untuk membudayakan amalan membaca.

Perkara ketiga dalam membudayakan amalan membaca adalah penggunaan pendekatan pembelajaran Behavioris, iaitu penggunaan ganjaran. Pihak sekolah boleh menjalankan pelbagai program membaca dan memberikan hadiah atau ganjaran kepada para pelajar yang mengambil bahagian. Misalnya, sekolah boleh menganjurkan pertandingan membaca, pertandingan pembaca terbanyak (program NILAM), pertandingan Sudut Membaca dalam Bilik Darjah (kelengkapan membaca dan kadar penggunaan Sudut Membaca dalam bilik darjah) dan sebagainya. Pertandingan dan pemberian ganjaran seperti ini dapat menggalakkan pelajar-pelajar untuk membaca bukan sahaja bahan bacaan ringan tetapi bahan bacaan yang lebih serius.

Amalan membaca tidak sepatutnya bertumpu kepada sekolah sahaja. Pihak keluarga dan masyarakat juga harus dilibatkan dalam aktiviti penggalakan membaca di sekolah. Pihak PIBG boleh dilibatkan dalam membekalkan bahan-bahan bacaan, dan sama-sama menganjurkan pertandingan dan kempen membaca. Pihak sekolah juga boleh bekerjasama dengan agensi-agensi dalam masyarakat dengan mengadakan program membaca bersama masyarakat misalnya, pelajar membaca untuk orang-orang tua di rumah kebajikan orang tua dan sebagainya.

Di rumah juga, ibu bapa memainkan peranan memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar. Wallace (1992) menjelaskan membaca bukan sahaja satu proses kognitif tetapi merupakan satu proses sosial juga di mana suasana di rumah, sekolah dan masyarakat boleh mempengaruhi bagaimana pelajar membaca. Prasarana di rumah seperti kebolehdapatan buku bacaan juga menjadi satu faktor penting dalam memupuk tabiat membaca.

Hakikatnya, terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan di peringkat sekolah, di rumah dan dalam masyarakat untuk membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar.

4.0 PenutupKemahiran berbahasa khususnya kemahiran membaca adalah penting untuk pembelajaran di sekolah tetapi lebih penting lagi, kemahiran berbahasa ini adalah pra-syarat untuk berjaya pada tahap pengajian tinggi dan untuk melaksanakan fungsi kehidupan dalam masyarakat. Di institusi pengajian tinggi, pelajar perlu mempunyai sikap autonomi di mana mereka berkeupayaan membaca teks dan seterusnya mensintesiskan teks berkenaan untuk tujuan tertentu. Begitu juga dalam alam pekerjaan, pelajar kelak akan berhadap dengan pelbagai bahan maklumat yang perlu dibaca dan difahami. Kejayaan pelajar di masa akan datang bergantung kepada kemampuannya menguasai kemahiran berbahasa semasa di peringkat sekolah.Oleh yang demikian, pihak sekolah perlu memainkan peranan secara terarah untuk memastikan guru-guru menggunakan Komsas dengan sebaiknya untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan suasana persekitaran sekolah pula berupaya mewujudkan budaya membaca dalam kalangan warga sekolah. Pendidik di sekolah menggunakan pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran supaya dapat menggalakkan amalan membaca dan seterusnya meningkatkan kemahiran berbahasa. Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan memantapkan pembacaan dengan menyediakan pelbagai teks dan genre di rumah agar pelajar-pelajar dibiasakan dengan amalan membaca.

Kesimpulannya, kemahiran berbahasa adalah sangat penting dan sumber bahan sastera daripada Komsas sebenarnya sudahpun disediakan untuk menggalakkan amalan membaca di samping menyediakan persekitaran sekolah yang menyuburkan budaya membaca.

5.0 Rujukan

Atan Long, Ghazali Othman, Mohd, Yunos Mohd. Nor, Zainal Abidin Ahmad, Mohd Noor Abdullah & Yoong Suan. (1984). A survey on the reading habits and interests of Malaysian people. Kuala Lumpur: DBP.

Berita Harian (2009). Masalah Membaca di Universiti, Berita Harian, 10 September 2009

Borhan Md. Zin. (2000). Kesusasteraan melayu sebagai komponen Bahasa Melayu: Menangani kekeliruan teknik pengajaran. Dewan Sastera, 19-21.Chew Fong Peng (2006). Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia dan Permasalahannya, Masalah Pendidikan, Universiti MalayaEikenberry, K. (2005). Ten ways to strengthen your reading habit. Ezine Articles. Dimuat turun pada Februari 22, 2010 daripada http://ezinearticles.comHuzaina, Abdul Halim (2006). Students preferences in learning literature component of the Malaysian Secondary School English Language Syllabus, Jurnal Pendidikan, Ubiversiti Malaya, 141

Kamarudin, H. H. (1988). Kaedah pengajaran kesusasteraan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.Liu Zhiming. (2000). Reading is on the rise in China. 100-day Dialogue. Dimuat turun pada Februari 22, 2010 daripada http://www.honco.net/100day

Mahzan Arshad,(2004)Kajian terhadap Minat Membaca di Kalangan Pendidik.Jurnal Pendidikan, 24 . pp.49-60. Masalah Pendidikan 2006, Universiti Malaya 143Mahzan Arshad (2007). Memperkasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Malaysia di Sekolah, Masalah Pendidikan, Jilid 30(1).

Maley, A. (1989). Down from the pedestal: Literature as resource. In Carter, R., Walker, R. and Brumfit, C. J. (eds.). Literature and the learner: Methodological approaches. Basingstoke, London: Modern English Publications, 1024.

Maridah, A. (2005). Kesesuaian Novel Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu, Tesis Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Putra Malaysia. Tidak diterbitkan.Mat Asuar Awang (2008). Kesan Pendekatan Penghayatan Terhadap Pembelajaran Puisi, Tesis Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Malaya

McDuffee, L. (2004).Motivating middle school students to read - Aliteracy. [Atas Talian]http://www.mapn.org/library

Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir,(2007).Kewajaran Pengajaran Komsas Dalam Bahasa Melayu. Jurnal Peradaban Melayu, 5Osman Alaudin. (1995). Pelaksanaan kurikulum Bahasa Melayu di sekolah-sekolah kini: Tatabahasa dan kesusasteraan (unsur sastera). Kertas kerja Konvesyen Pendidikan Bahasa Melayu Ke-VI. Kuala Lumpur : Institut Bahasa

Pusat Perkembangan Kurikulum (2003). Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia

Ramli Isin (1987). Masalah-masalah mutakhir tentang pendidikan Sastera Melayu di Sekolah-sekolah Menengah di Malaysia dari Serantau Nusantara. Dalam Sastera Melayu dan tradisi kosmopolitan. Kuala Lumpur: DBP.Safiah, Osman (1990). Membaca: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn Bhd

Seman Salleh (2005). Perlaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu: Kajian Kes di Sebuah Sekolah Rendah di Daerah Jerantut Pahang Darul Makmur, Prosiding Seminar Penyelidikan Pendidikan IPBA

Thahir, Nuruddin (2005). Kefahaman Guru tentang Konsep Komponen Kesusasteraan Melayu dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu, Jurnal IPBA, Jilid 3, Bil. 3.

Wallace, C. (1992). Reading, Oxford: OUPZahirah Aziz & Kamaruzaman Abdullah. (2001). Pengajaran KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah menengah. Kertas seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Bahasa Melayu Malaysia, 11 13 Jun 2001

-------------------------------------------------------------------

Mukasurat 5 daripada 14