koleksi berita dan video parti pas : yb ustaz nik...

Download KOLEKSI BERITA DAN VIDEO PARTI PAS : YB USTAZ NIK …koleksiberitapartipas.blogspot.my/2014/08/yb-ustaz-nik-mohamad...Pertembungan Islam dan kekufuran bukanlah sebuah tayangan epik

If you can't read please download the document

Upload: dokhue

Post on 28-Feb-2018

304 views

Category:

Documents


22 download

TRANSCRIPT

KOLEKSI BERITA DAN VIDEO PARTI PAS : YB USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ - AJK PAS MALAYSIA

PAS CAWANGAN TAMAN SRI RAYA, CHERAS.

KOLEKSI BERITA DAN VIDEO POLITIK DARIPADA SUMBER BERITA UTAMA : 1. HARAKAHDAILY.NET 2. DETIKDAILY.NET 3. TRANUNGKITE ONLINE 4. BULETIN ON LINE 5. FB / BLOG PIMPINAN 6. DLL

BLOG MULAI :

BLOG MULAI :10 JULAI 2014 / 12 RAMADHAN 1435H HARI INI : 10 JULAI 2017 / 16 SYAWAL 1438H ULANG TAHUN KE-3.

Monday, August 11, 2014

YB USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ - AJK PAS MALAYSIA

Kekal Kelantan

http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/34-pimpinan/2548-kekal-kelantanNIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 20 August 2017

PILIHAN Raya Umum ke-14 semakin dekat. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Parti-parti politik sudah pun bersiap siaga dan kerusi-kerusi yang akan ditandingi sudah pun ditanda dan hanya menunggu masanya butang ditekan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Negeri Kelantan sebagaimana biasa adalah tumpuan. Ini kerana Kelantan adalah negeri yang paling lama diperintah oleh parti pembangkang dalam sejarah negara. Barisan Nasional yang memerintah negara semenjak kemerdekaan lagi telah berhabisan cara untuk mengambil alih negeri Kelantan daripada PAS. Tetapi PAS kekal bertahan.

Kini umur pemerintahan PAS di Kelantan telah pun menjangkau 27 tahun. Seorang diplomat barat yang menyatakan hasrat untuk membawa pelaburan di Kelantan beberapa hari lepas menyatakan jika sebuah parti pembangkang berjaya mengekalkan kerajaannya dengan begitu lama, ia memberi erti bahawa mereka memiliki sesuatu yang luar biasa sehingga rakyat terus memilih mereka walaupun dikepung begitu lama oleh pemerintahan di Putrajaya.

Siapa pun akan membenarkan pernyataan diplomat itu. PAS Kelantan memiliki kekuatan yang tidak pun tersembunyi di mata rakyat. Ia kekuatan yang tidak dimiliki oleh Umno BN, tetapi amat diperlukan oleh negara. Rakyat Kelantan mengetahuinya dengan baik lalu mereka terus memberi undi majoriti untuk PAS menerajui Kelantan.

Akhirnya Kelantan memikat hati rakyat Malaysia. Setelah beberapa lama, beberapa negeri lain jatuh ke tangan parti pembangkang. Jasa besar Kelantan waktu itu adalah sebagai pembina keyakinan di hati rakyat bahawa parti pembangkang juga mampu memerintah negeri-negeri, bahkan dengan lebih baik berbanding Umno BN. Ya, ia terbukti di 5 negeri yang sedang atau pernah diperintah oleh pembangkang sebelum ini.

Itu jasa besar Kelantan. Ia membina keyakinan rakyat Malaysia untuk berani berubah. Kemudian ia mengajar rakyat Malaysia untuk terus bersabar membina perubahan yang diimpikan. Yang pertama dan yang kedua, kedua-keduanya adalah sama penting.

Pada PRU11 tahun 2004, Kelantan hampir tewas mengejut. Tetapi separuh rakyat Kelantan terus bertahan dan berjaya memberikan majoriti tipis kepada PAS untuk terus kekal memerintah. Ia adalah jelas kesan daripada kejayaan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi mencipta faktor 'wow' bagi membina kembali Malaysia yang hampir ranap oleh kekejaman rejim Tun Mahathir. Rakyat terpukau dengan janji Perdana Menteri baru yang digelar 'Mr Clean' pada masa itu.

Kelantan bangkit kembali membina keyakinan rakyat. Dengan berkuburnya janji-janji manis Pak Lah, rakyat mula sedar bahawa PAS telah ditanggapi secara salah. PAS bergerak perlahan bukan kerana ia gagal untuk laju. PAS hakikatnya dipaksa untuk menyerah diri dengan kekalahan pada zaman Tun Mahathir. PAS dan rakyat Kelantan dijerut sehingga sukar bernafas. Kesannya nyata, Kelantan tidak selaju Kuala Lumpur.

Tetapi perlahan itulah yang menjadi keselamatan dan kesejahteraan untuk negeri Kelantan. Laju-laju Tun Mahathir bawa Malaysia, akhirnya masuk longkang. Proton masuk longkang. MAS masuk longkang. Perwaja masuk longkang. Ringgit masuk longkang. Forex masuk longkang. Semua masuk longkang. Malah, ketika Pak Lah datang untuk membantu, Pak Lah pun tersadung masuk longkang juga sambil Tun Mahathir turut sama menendang punggung Pak Lah.

Ketika krisis ekonomi 1998 melanda negara, negeri Kelantan menerima tempias paling minimum. Ekonomi domestik negeri Kelantan kukuh dan banyak membantu rakyat Kelantan untuk bertahan dan bangkit.

Walaupun Pak Lah gagal, tetapi beliau membantu rakyat, termasuk Kelantan untuk mengecapi kebebasan yang tiada pada zaman Tun Mahathir. Dengan kebebasan bermedia baru, rakyat menjadi celik dan mula melihat kelemahan ketara Umno BN yang disembunyikan sejak sekian lama melalui penindasan dan binaan jeriji ketakutan di hati rakyat. Umno BN mewariskan untuk generasi baru dengan sebuah negara Malaysia yang penuh masalah dan tragedi.

Akhirnya PAS Kelantan berjaya bangkit dan membantu kebangkitan negeri-negeri lain pada PRU ke-13. Rakyat sedar PAS harus diberi masa untuk membina Kelantan walaupun perlahan. Perlahan mengurangkan musibah hasil kegelojohan.

Pulau Pinang laju. Tapi Pulau Pinang hari ini telah menempa masalah yang tak pun pernah berlaku di Kelantan. Kelantan dalam perlahannya masih bebas rasuah di kalangan barisan pemimpin politiknya. Bukan mendakwa bersih sepenuhnya, tetapi bebas rasuah adalah tanda besar sebuah pemerintahan yang bersih.

Negeri Selangor juga laju sesuai dengan kekayaannya. Tetapi ia pernah mengalami krisis politik dalaman pembangkang yang teruk kerana berebut nak lebih laju. Semoga ia belajar dan terus selamat daripada bala yang lebih buruk.

Apa yang mesti dipelajari adalah kesabaran menanti perubahan ke arah negara yang lebih baik. Rakyat mesti belajar untuk tidak terpengaruh dengan janji-janji kosong, provokasi, fitnah dan binaan persepsi palsu yang hanya bertujuan memperolehi kuasa tanpa kekuatan untuk membawa perubahan yang diimpikan rakyat.\

PAS gagah dengan misi Islam dan syariahnya yang adil. Ia memperolehi mandat pemerintahan dengan janjinya kepada rakyat untuk pelaksanaan Islam dan PAS kekal memerintah di Kelantan di atas janji untuk terus istiqamah dengan Islam dan perlaksanaan syariahnya.

PAS kalah di negeri Terengganu dan Kedah bukan disebabkan kegagalannya mengotakan janji, tetapi disebabkan kesukarannya menghadapi tentangan dan fitnah mereka yang enggan Islam bertapak di persada pemerintahan. Jika PAS gagal di Terengganu dan Kedah, sudah pasti kes-kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa para pemimpinnya dibongkar dengan galaknya oleh Putrajaya. Tetapi PAS masuk ke kota pemerintahan dan keluar daripadanya dengan penuh selamat dan integriti.

Malah tiada siapa pun mampu menolak bahawa selepas Umno BN mengambil alih Terengganu dan Kedah, suasana politik di kedua-kedua negeri itu tambah meruncing dan sentiasa di ambang kerapuhan dan kekalahan. PAS Terengganu dan Kedah terus gagah dan bersedia untuk kembali.

Saya menekankan soal keperluan pendidikan politik yang benar dan mampan untuk rakyat. Politik rasional yang diperkenalkan oleh PAS melalui Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) adalah amat perlu dihayati oleh semua. Salah satu kerasionalan adalah kesabaran membina dan menanti perubahan.

Rakyat tentunya menanti perubahan ke arah kesejahteraan dan mengharapkannya berlaku dengan cepat. Tetapi proses perubahan bukanlah berlaku sekelip mata. Ia perlukan kesabaran membina sebagaimana ia perlukan kesabaran menanti. Yang memberi mandat harus sabar menanti dan yang memperolehi mandat harus sabar membina.

Mengapa lambat? Ya, ia samalah sebagaimana anda membina diri anda. Jika anda memaksa-maksa diri anda untuk berubah dan sempurna, anda akan cepat rebah di perjalanan. Jika anda membinanya secara perlahan, berdisiplin dan mengambil kira semua faktor, anda akan berjaya dan akan lebih kekal kejayaannya. Faktor kekuatan jiwa, kemampuan mengurus nafsu, galakan persekitaran serta halangan daripada musuh yang menunggu-nunggu kegagalan anda, itu semua perlu diambil kira dan perlukan kesabaran dan kerasionalan berfikir dan berkeputusan. Ia mengelak anda daripada larian yang berulang-ulang dari tempat yang sama. Anda akan gagal membina dan membawa diri anda ke matlamat yang anda impikan.

Begitulah membina sebuah negeri atau negara. Ia tidak mudah. Faktor kegagalan sentiasa sengit menyaingi faktor kejayaan. Jika pemimpin atau rakyat gagal memahami atau kurang rasional, maka kita akan berhadapan krisis kegagalan yang berulang-ulang.

PAS membawa mesej Islam dalam perjuangan politiknya. Mudahnya, ia sukar.

Sukarnya bukan bermula sekarang, bahkan dari zaman nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sendiri. Sunnah perjuangannya bukan bagai hero larian 100 m. Ia bukan Usain Bolt. Ia adalah larian 10 km atau lebih. Ia bukan perjalanan yang dekat. Ia juga bukan perolehan dan ganjaran yang segera.

Musuh politiknya akan berkata, PAS mempergunakan agama untuk tujuan politiknya. Ia dakwaan yang bohong. Isi dalamnya yang sebenar daripada dakwaan ini adalah kerana mereka sendiri gagal mencernakan Islam dalam diri dan perjuangan mereka.

Mereka gagal, lalu mereka marah dan dengki melihat orang lain berjaya. Jika mereka yakin, ayuh mari bersama atau berjuanglah atas nama Islam juga. Benar atau bohong antara kita, Allah akan tentukan. Agama ini milik Allah dan pejuangnya adalah pilihan daripada Allah. Bukan PAS atau sesiapa yang menentukan siapa pejuang Islam pilihannya.

Justeru Kelantan adalah sebuah perjalanan yang sentiasa sukar. Ia terpaksa mengharungi kesengitan perjuangan untuk membawa mesej Islam. Diejek, didengki, difitnah dan dipaksakan kejatuhannya walau dengan cara zalim. Sedikit kesilapan akan dijadikan seperti sebesar gunung dosanya.

Bagaimana anda boleh memahami bahawa jika tanpa kerasionalan berfikir, Kelantan akan kekal bertahan? Ya, 27 tahun, Kelantan berhadapan tentangan yang pelbagai. Tembakan di tempat yang sama dan dari arah yang bersimpang siur.

Ketika pilihan semakin terbuka dengan lemahnya Umno BN di mata dan harapan rakyat, PAS terus berusaha meyakinkan rakyat bahawa PAS dengan agenda Islamnya adalah pilihan terbaik. Ia kejayaan yang akan bertahan lama kerana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk binaan sebuah negara sejahtera sebagaimana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk sebuah binaan individu muslim yang berjaya dan unggul.

Undilah PAS. - HARAKAHDAILY 20/8/2017

Sumber HD - 20-8-2017

Hubungan amal dan rahmat Allah

http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/55-pimpinan/pimpinan/2516-hubungan-amal-dan-rahmat-allahNIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 17 August 2017

SETIAP muslim beriman bahawa yang akan menyelamatkannya di akhirat nanti ialah rahmat dan kasihan belas Allah ta'ala ke atasnya. Bukan amal soleh dan bekalan yang dibawanya ke akhirat nanti yang akan menyelamatkannya. Bahkan semuanya kembali kepada kehendak Allah, kuasa dan rahmat-Nya.

Amal soleh, walau banyak mana sekalipun, ia tetap terlalu sedikit untuk menjadi tagangan syurga dan redha-Nya nanti. Nikmat Allah ke atas kita di dunia ini tak terperi dan tak terkira banyaknya. Manakala dosa dan tak bersyukurnya kita kepada-Nya juga terlalu banyak. Amal soleh tak sepadan manakala dosa pula tak tertanggung.

Justeru kita bergantung sepenuhnya kepada Allah yang sifat rahmat-Nya mengatasi sifat marah dan bengis-Nya. Sebagaimana di dunia ini manusia hidup dengan segala kemudahan dek limpah ruah rezeki dan rahmat-Nya, begitulah, bahkan apatahlah lagi manusia di akhirat nanti di mana kehidupan di sana adalah merupakan hasil dan pembalasan ke atas apa yang telah manusia lakukan di dunia ini. Di sana tiada lagi laku usaha dan amal. Manusia sepenuhnya memerlukan limpah ruah kasihan belas, rahmat dan rezeki-Nya.

Kita berusaha dengan amal soleh di dunia. Tetapi ia terlalu jauh daripada mencukupi. Justeru kita sudah pasti akan bergantung dan menagih simpati dan rahmat-Nya nanti. Jika tidak, malanglah manusia berhadapan kecelakaan dan kegagalan di hadapan Allah nanti.

Maka apa ertinya beramal soleh? Bukankah hujungnya adalah tidak cukup juga? Bukankah elok kalau kita di dunia terus berserah pada rahmat-Nya atau terus berdoa memohon rahmat-Nya nanti tanpa perlu kalut dengan amal soleh di dunia ini?

Jawaban kepada persoalan ini haruslah difahami dengan baik. Dengan kefahaman yang baik, ia akan mengharmonikan hubungan di antara amal soleh yang lakukan oleh setiap muslim dengan kerahmatan Allah yang ditagihkannya. Dengan keharmonian itu, setiap kita akan berjalan dengan penuh yakin dan tawakkal kepada-Nya.

Sekarang mari kita bertumpu kepada dua persoalan berkaitan. Pertama, bagaimana untuk beramal soleh? Kedua, bagaimana untuk mendapat rahmat Allah?

Sebenarnya soalan kedua adalah lebih baik didahulukan agar soalan pertama menjadi lebih mudah untuk dijawab. Ini kerana seperti yang saya sebutkan di atas, rahmat Allah adalah paling utama dan segala-galanya, manakala amal soleh pula hanya hadir kemudiannya.

Ya, walaupun rahmat Allah adalah hak mutlak-Nya untuk dikurniakan kepada sesiapa pun, tetapi Allah sendirilah yang mengajar manusia bagaimana untuk menjemput keredhaan-Nya dan kesukaan-Nya terhadap para hamba-Nya. Apabila Allah redha, puas hati dan suka, maka datanglah rahmat dan kesian belas-Nya ke atas hamba-Nya.

Ini perihal hari akhirat. Ia hari pembalasan, bukan lagi hari ujian atau peperiksaan sebagaimana di dunia. Di dunia, rahmat Allah turun melata tanpa memerlukan timbal balas daripada manusia. Boleh berlaku di dunia, orang yang paling dimurkai Allah adalah orang yang paling kaya dan senang di dunia. Tetapi di akhirat nanti, mustahil orang yang paling jahat adalah orang yang paling dirahmati Allah. Rahmat Allah di akhirat nanti adalah untuk mereka yang terpilih sahaja.

Bagaimana menjemput rahmat dan kesian belas Allah di dunia dan akhirat? Di dunia, kesenangan atau kesukaran hidup tetap diiringi dan diselubungi rahmat-Nya manakala di akhirat nanti, kesukarannya ditukar menjadi kesenangan dengan rahmat-Nya itu.

Jawabannya adalah dengan amal soleh dan harapan positif (husnu al zhan) terhadap-Nya. Allah menanti-nanti daripada kita apa yang kita lakukan dan persembahkan kepada-Nya untuk menjadi bukti nyata betapa kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang-Nya itu. Tiada selain kita melakukan apa sahaja suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya di dunia ini.

Begitu juga dengan sangkaan baik dan harapan yang positif daripada jiwa raga kita bahawa Allah maha mendengar, melihat dan bersedia merahmati kita yang berjalan ke arah-Nya. Dengan amal soleh dan sifat positif ini, ia adalah jawaban bagaimana untuk menarik rahmat dan kasih sayang Allah di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

Sekarang anda telah melihat bahawa amal soleh adalah tidak dapat tidak di dunia ini. Ia bukan nilai untuk membeli syurga dengannya, bahkan ia adalah tagangan untuk menarik kesian belas Allah ke atas kita. Apabila kasih sayang Allah sudah diperolehi, maka pembalasan ke atas amal soleh yang berbeza-beza di antara manusia akan dikira dan dihitung dengan ganjaran yang melimpah ruah. Ia adalah tanda Allah sedang melimpahkan rahmat-Nya ke atas hamba-Nya yang diredhai-Nya.

Bagaimana untuk beramal soleh? Soalan ini penting agar amal soleh adalah betul-betul amal soleh yang sah dan diterima Allah, seterusnya menarik redha dan rahmat-Nya. Ya, Allah menyebut di dalam al Quran bahawa betapa banyak manusia yang tertipu dengan amal solehnya di akhirat nanti, disangkanya menjadi tetapi hakikatnya kosong dan tertolak.

Penyelamat amal soleh adalah akidah yang benar. Penyelamat amal soleh juga adalah ketepatannya dengan ajaran al rasul sallallahu alaihi wasallam. Penyelamat amal soleh yang terakhir adalah keikhlasan kepada-Nya. Semua amal soleh yang mengandungi ketiga-tiga syarat tadi itulah yang akan diterima Allah sebagai amal soleh yang benar dan berwibawa bagi menjemput kasih sayang dan rahmat-Nya.

Pokok utama adalah akidah kita mesti sejahtera dan benar. Ia bermaksud tidak mengandungi unsur syirik kepada Allah. Kepercayaan terhadap Allah dan perkara-perkara ghaib yang menjadi milik mutlaknya mestilah tepat sebagaimana ajaran al Quran dan ajaran nabi-Nya. Jika tidak, amal soleh kita berhadapan penolakan di tempat pertama.

Perhatikan mengapa Ahlus Sunnah wal Jamaah sepakat menolak untuk memasukkan mazhab Syiah sebagai sebahagian daripada kelompok besarnya? Ya, supaya setiap muslim memahami dan menyedari bahawa mazhab Syiah mengandungi banyak pegangan yang menyalahi akidah yang sejahtera dan benar yang jika dianuti, ia boleh membatalkan amal soleh kepada Allah.

Justeru Syiah dikategorikan sebagai mazhab umat Islam yang sesat yang mesti dijauhi. Walaupun mereka adalah kelompok muslim, mereka tetap mesti diperingatkan dengan bahaya anutan mereka. Justeru meminggirkan mereka daripada kelompok besar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah sebagai peringatan yang selayaknya untuk mereka selain sebagai peringatan jelas kepada seluruh muslim yang lain agar menjauhi pegangan yang salah.

Begitu juga amal soleh mestilah berdasarkan ajaran al rasul. Ia sama ada mengikuti sunnahnya atau mengikuti panduan umum yang digariskan olehnya. Amal ibadah khusus misalnya mestilah tepat sebagaimana ajarannya yang sampai kepada kita.

Ibadah tidak boleh direka cipta. Ia rigid sebagaimana panduannya. Dalam perihal muamalah sesama manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut zaman dan tempat, ia mestilah tidak bersalahan dengan panduan umum yang telah ditetapkan oleh baginda.

Ia umumnya adalah berkaitan ilmu fiqh Islami yang membicarakan soal hukum hakam perbuatan setiap muslim. Ertinya, sebagai contoh, jika seorang muslim mengambil keuntungan perniagaannya melalui riba atau tipu daya jualan, amal niaganya ditolak bahkan dermanya di jalan Allah dengan keuntungannya itu juga turut ditolak. Di akhirat nanti, harapannya berkecai di hadapan amal solehnya yang hakikatnya adalah palsu dan menjadi debu-debu yang berterbangan tanpa manfaat.

Adalah pasti bahawa amal soleh yang tidak tulus ikhlas kepada Allah adalah tertolak. Allah menuntut amal soleh yang dilakukan mestilah tanpa perkongsian dengan matlamat duniawi yang lain. Solat adalah gagal dan tertolak jika ia turut bertujuan menunjuk-nunjuk kepada manusia. Begitu juga puasa, sedekah, menuntut ilmu, berpolitik dan sebagainya. Semuanya tergadai dengan keikhlasan kepada Allah.

Justeru setiap muslim mestilah menyucikan jiwanya agar bersih dan suci dengan kehambaan kepada Allah yang esa. Ia mestilah membuang penyakit-penyakit hati yang mengaburi jalannya menuju ikhlas kepada-Nya.

Kesimpulannya, amal soleh adalah usaha setiap kita untuk mencapai redha dan kasih sayang-Nya. Ia tidak mampu membeli syurga-Nya secara langsung. Syurga adalah anugerah untuk para hamba-Nya yang berjaya membuktikan kesungguhan yang benar di dunia bagi menarik kasih sayang dan rahmat-Nya dengan amal soleh yang banyak dan bernilai suci.

Marilah kita beristiqamah di atas jalan agama. Istiqamah balasannya adalah kasih sayang berterusan daripada-Nya. Tiada ketakutan dan tiada kesedihan lagi. - HARAKAHDAILY 17/8/2017

Sumber HD - 17-8-2017

Mujahadah adalah wajib

http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/34-pimpinan/2387-mujahadah-adalah-wajibNIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 05 August 2017

SEORANG muslim wajib beradab dan bersopan santun sesama manusia, apatah lagi di hadapan Allah dan rasul-Nya sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda diutuskan untuk menyempurnakan adab dan akhlak. Akhlak dan adab sudah pun terbina sejak sekian lama dalam kehidupan manusia. Tinggal lagi adalah penyempurnaannya oleh baginda.

Maka Islam menyanjung tinggi kesempurnaan akhlak. Siapa pun yang mencapai kesempurnaan akhlak pada dirinya melalui usaha dan mujahadah berterusan, maka dia telah memperolehi kejayaan hidup tertinggi dan pastinya akan beroleh ganjaran terbesar di sisi Allah nanti. Ia termaktub kukuh di dalam ayat-ayat al Quran dan sunnah nabawiyah.

Sebahagian kita adalah sebaliknya. Semakin tua semakin tidak berakhlak. Seolah-olah akhlak itu hanya pilihan. Perkara sunat sahaja, bukan kewajiban. Akhlak hanyalah untuk diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Di universiti, semua bebas dengan pilihan masing-masing.

Justeru dengan kefahaman yang salah itu, ramai menjadi samseng dan sombong di hadapan agama sendiri. Bercakap perihal ugama seolah-olah mereka ada lesen untuk mengulas apa sahaja mengikut kehendak dan kefahaman mereka. Apabila lagi bila berhadapan sesama manusia. Mereka hilang adab terhadap terhadap para ulamak dan guru, orang tua dan ketua kaum serta rakan dan taulan.

Walaupun seseorang itu adalah muslim, Allah menolak untuk terus menggelarkannya sebagai seorang yang beriman. Allah menuntut Nabi Muhammad SAW membuat teguran terbuka terhadap arab badwi yang baru memeluk Islam dan berkata, "Kami telah beriman." Hakikatnya mereka hanya muslim dan belum layak menggelar diri sebagai mukmin. "Katakanlah kepada mereka, kamu belum pun beriman. Tetapi ucaplah, kami telah menjadi muslim, manakala iman itu belum lagi masuk (mengukuh) di dalam hati kamu." - (al-Hujurat:14)

Allah menuntut muslim bergerak dengan ilmu dan amal untuk menuju iman. Anda jahil, anda sukar menjadi mukmin. Anda enggan beramal soleh, anda sukar menjadi mukmin. Anda hanyalah seorang muslim. Jika anda mendakwa lebih, Allah menolak anda ke tepi. Anda belum berhak bercakap lebih mengenai Allah dan ugama-Nya. Jangan berlagak sombong di hadapan Allah, rasul-Nya dan ugama-Nya.

Adabnya, anda mesti menuntut ilmu Islam dan anda mesti menambahkan amal soleh dan ketaatan dalam kehidupan. Kedua-duanya akan mengukuhkan iman di dada. Menuntut ilmu dan beramal soleh adalah satu mujahadah. Orang yang menyombong, tidak beradab dan tidak berakhlak di hadapan para guru dan ulamak akan gagal memperolehi ilmu yang bermanfaat dan akan keras jiwanya untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Ia akan kekal sebagai muslim yang belum pun beriman.

Seorang muslim yang enggan berusaha menangga ke tangga iman akan berdepan musibah nifak dan menipu diri sendiri. Syaitan dan segala musuh Allah akan menyerbu ke arahnya untuk memesongkannya daripada ajaran Islam. Tanpa ilmu dan amal, ia hilang kesedaran terhadap tipu daya musuh. Akhirnya dia dihiasi dengan perasaan dan anggapan bahawa dia telah baik Islamnya. Dia merasakan dia setaraf orang-orang yang beriman. Islam dan imannya telah sempurna. Hakikatnya, dia tertipu dan sedang menipu dirinya sendiri. Dia sentiasa di ambang menjadi seorang munafik yang dimurkai Allah.

Bahkan, sebagaimana anda mesti beradab untuk memperolehi ilmu, anda juga perlu beradab dengan ilmu sebaik memperolehinya. Ilmu hakikatnya akan menjadikan kita semakin tunduk dan beradab. Apabila anda menjadi angkuh dengan ilmu dan menggunakannya untuk menunjuk-nunjuk kealiman dan berjidal untuk menonjol diri, anda hakikatnya dibuang daripada dunia sebenar manusia yang dikurniai ilmu dan iman.

Ilmu dan iman membawa kepada taqwa dan syukur. Apabila sebaliknya berlaku, ia adalah kesilapan anda. Anda tidak ikhlas. Ikhlas adalah hubungan dua hala antara anda dan Allah. Di luar anda dilihat sebagai alim yang hebat. Tetapi di dalam dan di laluan sunyi itu, hubungan anda dan Allah adalah rosak dan hancur. Anda tidak ikhlas kepada Allah, lalu Allah menghancurkan hubungan antara-Nya dan anda. Takutilah.

Ia adalah tuntutan terhadap orang yang telah pun beriman. Walaupun telah beriman dan yakin kepada Allah dan ugama-Nya, musuh tetap menyerbu ke arahnya menipu dan memperdaya. Jika ia enggan lagi bermujahadah, ia akan mundur ke belakang lagi dan jatuh ke lembah nifaq dan fasiq. Ia adalah orang-orang yang beriman menuju taqwa.

Berapa banyakkah yang anda ingat ayat seperti ini di dalam al Quran, "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah."? Banyak bukan? Apa maksudnya? Ya, ia adalah seruan Allah kepada orang-orang beriman yang dicintai-Nya agar terus maju menuju Allah tanpa henti. "Maka bertaqwalah kepada Allah seupaya kamu.." Ya, ia adalah seruan kepada mujahadah yang berterusan tanpa henti.

Menuju taqwa dan ikhlas memerlukan adab yang lebih tinggi. Semakin hati khusyuk menghadap Allah di tikar sejadah atau di sejadah kehidupan, semakin akhlak dan adab mewarnai kehidupan dan semakinlah anda berimpian untuk memakainya sebagai hiasan diri. Adab dan akhlak adalah pakaian orang-orang yang bertaqwa, bersyukur dan ikhlas kepada Allah.

Tiada syak lagi bahawa Islam adalah benar ketika ia mewajibkan akhlak dan adab yang mulia ke atas penganutnya. Muslim tanpa adab dan akhlak adalah seperti pokok tanpa daun, bunga dan buah. Ia kosong tanpa manfaat. Ya, manfaatnya adalah batangnya sahaja. Ia perlu ditebang dan dibuang daripada kebun hijau yang menuntut keuntungan dan kejayaan.

Justeru Islam bukanlah dakwaan. Jika mendakwa, ia adalah wajah kepalsuan. Islam adalah mujahadah. Mujahadah dan usaha bersungguh-sungguh itulah yang akan mengurniakan anda dengan gelaran-gelaran yang benar. Ia adalah kurniaan Allah kepada para hamba-Nya yang menuruti arahan dan pengajaran daripada-Nya. Ia adalah satu kelebihan yang nyata untuk para hamba-Nya.

Hari ini kita berhadapan dunia Islam yang penuh penyakit dan kecacatan. Kejahilan melata dan kesombongan dan dakwaan kosong merata-rata.

Apabila anda melihat para ulamak diperlekeh dan ditinggalkan, ia adalah tanda perlecehan terhadap adab dan akhlak. Para ulamak suatu masa dituduh gila, mengarut, melampau dan jahat. Tetapi pada masa yang lain, para ulamak ditukar pula gelaran sebagai orang-orang yang berlagak suci dan memandang kotor kepada semua manusia. Semuanya adalah tanda zahir hilangnya akhlak dan adab yang mulia.

Ia lahir daripada muslim yang enggan belajar dan beramal. Jika dia berilmu, dia enggan memperkayakan dirinya dengan sifat ikhlas dan taqwa. Dia dibelit sifat-sifat buruk di dalam diri akibat keengganannya bermujahadah membina dirinya sendiri dengan mengikuti arahan-arahan dan pengajaran-pengajaran yang benar daripada Allah.

PAS menganjurkan para ahli agar terus belajar dan bermujahadah membina diri dengan kefahaman yang benar terhadap Islam dan mengamalkannya di dalam kehidupan. PAS menuntut ahli dan penyokongnya agar ikhlas berjuang di atas landasan agama yang benar.

Adapun serangan-serangan terhadap PAS dengan gelaran-gelaran yang buruk, maka PAS yakin ia hanyalah sebahagian cabaran yang mesti dilalui. Penawarnya adalah kesabaran dan dakwah yang berterusan ke arah membina umat yang bertaqwa. Semoga Allah memberkati umat Islam seluruhnya menuju kejayaan dunia dan akhirat.

Sumber HD - 5-8-2017

Di mana PAS dalam amal soleh?

http://www.harakahdaily.net/index.php/arkib/2313-di-mana-pas-dalam-amal-solehNIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 29 July 2017

ISLAM adalah agama daripada Allah yang menciptakan sekelian alam. Ia diturunkan sebagai satu anutan yang suci dan benar untuk umat manusia. Dengannya, manusia dan seluruh alam raya bersatu hati menyembah Allah tuhan yang satu. Maka terbinalah sebuah kedamaian dan kesejahteraan hidup yang berada di puncaknya.

Kesejahteraan yang hakiki bermaksud mencapai maksud sebenar kehidupan sebagaimana yang dimahukan oleh Allah yang menciptakan manusia. Apabila manusia berjaya melaksanakan matlamat dan kewajiban sebenar hidupnya, maka dia akan mencapai redha dan kepuasan daripada Allah. Allah akan sentiasa merahmatinya dengan kasih sayang tertinggi daripada-Nya samada di dunia mahu pun di akhirat nanti.

Matlamat hidup adalah menyembah Allah dengan menjadi seorang khalifah-Nya di bumi dengan misi menjadi individu soleh yang sempurna, seterusnya menyumbang ke arah menegakkan agama Allah di muka bumi dengan kekuasaan dan perlaksanaan hukum dan arahan-Nya di dalam kehidupan manusia.

Di akhirat nanti, di mana kehidupannya adalah kekal abadi dengan kehendak-Nya, manusia yang telah berjaya mencapai redha-Nya di dunia akan dibalas dengan anugerah terbesar iaitu syurga-Nya yang penuh dengan kemuncak nikmat. Di situlah kehidupan hakiki bermula. Dunia hanyalah bersifat sementara dan ujian semata-mata.

Bagaimana menjadi muslim yang berjaya? Secara ringkas, mari kita memahami dengan baik perjalanan yang disusun cantik melalui pengajaran Rasulullah yang mengajarkan kita tentang agama Islam ini dan bagaimana kita beramal dengannya. Ia adalah perjalanan menangga dari awal dan bawah sehinggalah hujung dan puncaknya.

Menganuti agama Islam adalah tangga pertama menuju puncak. Bermula dengan ucapan kalimah syahadah memperakui keesaan Allah dan kerasulan nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam, seseorang itu dianggap telah berada di landasan yang betul untuk terus bergerak maju menuju Allah sehinggalah akhir hayatnya.

Kalimah syahadah memisahkan manusia kepada dua kumpulan besar. Satu adalah muslim yang mengucapkan kalimah syahadah itu tanda beriman kepada Allah sebagai tuhan yang mesti disembah.

Satu lagi adalah kumpulan kafir. Kafir bermaksud menolak untuk beriman kepada Allah, bahkan menyembah tuhan-tuhan palsu selain Allah atau menyembah nafsunya sendiri seperti halnya golongan atheis yang menolak kewujudan tuhan sepenuhnya. Mereka juga dinamakan golongan musyrikin iaitu yang mensyirikkan Allah atau menyamatarafkan Allah dengan makhluk-Nya sendiri. Ia adalah kesalahan jenayah paling jahat yang dilakukan oleh manusia yang tidak pernah dilakukan oleh makhluk Allah yang lain selain iblis laknatullah.

Anda perhatikan bahawa kalimah syahadah telah menyatukan manusia menjadi satu walaupun berbeza pada bangsa, bahasa, warna kulit, geografi, zaman dan sebagainya. Walau berbeza, mereka adalah muslim yang satu.

Anda perhatikan juga bahawa kekufuran juga menyatukan manusia. Walaupun mereka berbeza ugama, hakikatnya mereka adalah satu iaitu musyrik. Justeru manusia walau beribu perbezaannya, hakikatnya hanyalah dua, iaitu samada muslim atau kafir.

Dari tangga pertama iaitu menjadi seorang muslim, agama menggerakkan kita agar lebih serius dan benar di dalam beragama. Ia mengajak kita kepada hakikat bahawa Allah maha mengetahui hakikat diri kita samada benar-benar menyembah Allah atau sekadar ucapan lidah yang menyimpang daripada isi sebenar di hati. Islam mengajak agar pengukuhan iman dilakukan.

Peringkat kedua ini adalah peringkat pemisahan muslim sejati daripada muslim yang bohong atau rapuh. Muslim yang bohong adalah penyakit yang mesti diubati. Lidahnya lancar berkata, "saya telah beriman." Tetapi hatinya masih teragak-agak, was-was dan keliru. Hatinya kadang-kadang masih menerima kesyirikan dan enggan membebaskan diri daripada kesyirikan.

Allah menolak untuk menyamakan muslim yang benar dan sejati dengan muslim yang bohong dan palsu. Justeru seorang muslim mestilah menangga menjadi seorang mukmin iaitu iman yang benar di dalam hatinya sebagaimana itulah pengucapan lidahnya.

Jika sebaliknya, maka penyakit nifak atau talam dua muka akan tumbuh dan melandanya. Semakin lama jika tidak diubati maka penyakit itu menjadi sebati dalam dirinya sehinggakan dia semakin membenci agamanya sendiri dan mula menyokong kekufuran. Hujungnya, dia akan dimurkai Allah sebagaimana Allah memurkai golongan kafir. Di akhirat nanti mereka akan menerima azab yang sama pedih dan teruk.

Apabila seorang muslim telah menangga menjadi mukmin, maka proses seterusnya adalah memastikan kelangsungan, ketepatan dan ketetapan lidah dan hati di atas ibadah kepada Allah. Ia adalah proses memastikan zahir dan batin seorang mukmin menjadi sama. Tiada beza antara zahir dan batinnya selain bersatu beribadah kepada Allah dengan penuh ikhlas dan sah.

Ia adalah tangga ihsan. Ihsan adalah melakukan ibadah zahir seperti solat beriringan dengan ibadah hatinya. Zahirnya menghadap kaabah tetapi hatinya melihat Allah, bukan kaabah di hadapannya. Ia adalah darjat ihsan, taqwa, syukur dan maqam hati yang luhur dan suci.

Bagi setiap individu muslim, inilah maqam tertinggi yang harus dikejar dan dicapainya. Ia adalah kemanisan dan ketenangan hakiki di dunia sebelum kemanisan dan ketenangan lebih hakiki di akhirat nanti.

Sebagaimana dinyatakan di awal tadi, seorang muslim di dunia membawa dua misi utama matlamat hidupnya iaitu membina diri menjadi insan sempurna dan kedua, menjadi penyumbang utama ke arah kekuasaan agama Allah di muka bumi bagi perlaksanaan segala hukum dan arahan tuhannya.

Justeru pada saat seorang muslim membina dirinya ke arah kesempurnaan dengan bermujahadah menuju darjat ihsan dan takwa, dia mestilah sentiasa sedar dan faham bahawa tugasannya akan terbantut jika dia gagal membina kekuatan untuk ugamanya di dunia ini. Apa erti diri yang kuat jika ugama yang dianutinya dibiarkan lemah tanpa penjunjungnya? Bukankah jelas, Allah telah menjemput para hamba-Nya agar menjadi pembantu dan pejuang ugama-Nya?

Pada kefahaman yang jelas ini, seorang muslim sedar bahawa dia mestilah menangga lagi ke atas dengan mengambil peranan lebih besar iaitu menjadi penyebar agama Islam di dalam keluarga dan masyarakatnya agar mereka menerima Islam untuk diri dan kehidupan mereka secara bersama.

Dakwah adalah darjat tinggi yang ke seterusnya selepas mujahadah membina diri. Para rasul dijulang tinggi oleh Allah kerana kejayaan mereka membawa misi dakwah selain jiwa mereka yang sempurna dengan keimanan yang tinggi.

Muslim atau mukmin atau muhsin yang gagal memasuki medan dakwah pada hakikatnya telah membantutkan usahanya sendiri untuk berlumba-lumba menuju Allah. Dunia dakwah dipenuhi dengan janji pengukuhan jiwa yang lebih tenang dan ganjaran pahala yang berganda-ganda.

Di darjat dan tingkatan ini, seorang pendakwah mestilah belajar dan menyempurnakan dirinya dengan ilmu, sifat dan kriteria tertentu yang akan membolehkannya maju dan berjaya di medan dakwah. Ia adalah sukar, tetapi setiap kesukaran mestilah dihadapi jika ingin mencapai kemudahan dan kejayaan.

Dengan dakwah, Islam tersebar ke serata dunia. Maka terbentuklah masyarakat muslim yang ramai. Daripada menyempurnakan kewajiban diri, setiap muslim akan menyedari bahawa ia juga mestilah melaksanakan kewajibannya di dalam masyarakat dan kehidupan. Dia dan saudara-saudara semuslimnya yang lain mestilah menyumbang kepada masyarakatnya.

Tiada sumbangan yang lebih benar selain melaksanakan arahan ugamanya yang sentiasa memandu manusia kepada keharmonian dan kebahgiaan hidup. Islam menerima dan menganjurkan al-makruf iaitu perkara-perkara baik di dalam masyarakat selain menolak dan menegah daripada yang munkar iaitu perkara-perkara buruk yang ditolak oleh masyarakat yang sihat.

Ketika setiap muslim bergerak untuk menyumbang kepada masyarakat, ia sebenarnya tidak akan mampu dilaksanakan dengan baik kecuali dengan kesepakatan dan kesatuan. Kebaikan yang besar tidak akan mampu ditarik kecuali dengan kesepaduan hati. Begitu juga, keburukan yang besar tidak akan mampu ditolak kecuali melalui kesepakatan yang besar juga.

Justeru daripada dunia dakwah yang penuh kemuliaan dan ketinggian, Allah menganjurkan amal yang lebih memuncak iaitu usaha menyatupadukan umat Islam agar menjadi satu kekuatan ke arah menggerakkan dan menjayakan misi Islam di dalam menyusun kehidupan manusia yang lebih harmoni dan bahagia sama ada di dunia sahaja atau kedua-duanya sekali iaitu dunia dan akhirat, khas bagi mereka yang mahukan kedua-duanya.

Walau bagaimanapun, dunia dakwah bukanlah semudah yang disangka. Di peringkat inilah bermulanya tribulasi dan penentangan yang semakin nyata terhadap Islam. Dunia kekufuran mula bersatu menolak dan menentang. Mereka berusaha memadamkan cahaya Allah dengan segala kekuatan walaupun secara zalim dan melewati erti dan batas kemanusiaan.

Di sini dakwah tersekat. Ada daripada kalangan pendakwah berhenti dan tidak bersedia mara melepasi halangan yang semakin dahsyat. Sebahagian besar tidak bersedia menempuh kesukaran.

Justeru anda dapati Islam berada di persimpangan untuk maju mencapai matlamat besarnya memperolehi kekuasaan di muka bumi. Ia memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi daripada para penganutnya.

Di sinilah Allah menawarkan tingkatan tertinggi amal Islami iaitu medan jihad menegakkan agama-Nya. Jihad bererti bersungguh-sungguh dan berkorban segala milik dan kepunyaan untuk ugama Allah. Tubuh, masa, tenaga, harta dan nyawa sedia dikorbankan pada saat agama memerlukannya. Siapakah yang bersedia mencapai darjat ini?

Allah menjanjikan ganjaran tertinggi buat para pejuang yang berjuang untuk ugama-Nya. Ia adalah tugas agung para rasul di dalam menghancurkan kekuatan musuh Allah yang berusaha menghancurkan ugama dan para hamba-Nya yang beriman. Di medan inilah Firaun, Abu Jahal dan kuncu-kuncunya dihancurkan.

Jihad menuntut kesatuan yang nyata. Jihad sama sekali tidak akan berjaya tanpa kesatuan jentera dan hati para pejuangnya. Ia akan menjadi perjuangan yang sentiasa gagal jika syarat-syarat jihad tidak dilaksanakan. Jihad menuntut ketelitian dan disiplin amal yang cukup tinggi.

Apabila anda memahami ini dengan baik, marilah dan sukacitalah saya mencadangkan agar anda melihat parti PAS, peranan dan kedudukannya di dalam medan amal Islami. Tajuk tulisan ini adalah untuk mengajak anda mengenali PAS dengan lebih baik dan comel.

PAS berkongsi dengan semua umat Islam menganjurkan umat ke arah kehidupan beragama yang benar. Ia menganjurkan pembinaan individu dan pembersihan jiwa melalui pengajian dan taklim di seluruh ceruk negara. Para asatizah dan murabbi PAS jumlahnya beribu-ribu dan berperanan di mana-mana demi pembinaan umat yang solehin.

PAS adalah parti dakwah. Peranan PAS di dalam dunia dakwah dengan kepelbagaian seni dan tuntutannya yang sentiasa diperbaharui dan diterokai adalah nyata. PAS berusaha memahiri seni dakwah agar mampu menarik seramai mungkin manusia kepada Islam. Malah dengan kekuatan jenteranya yang ramai dan gigih, PAS adalah fenomena di dalam dunia dakwah tanah air.

Jika anda secara insaf dan adil melihat PAS berjihad mempertahankan agama Islam daripada dicerobohi musuh-musuh Islam, seteruskan bertungkus-lumus menyeru dan menyatukan umat di atas tali Islam, maka anda pasti akan menilai PAS dengan penuh insaf dan adil juga bahawa PAS telah berperanan besar di dalam menggerakkan umat agar bergabung melaksanakan kemuncak amal Islami iaitu al jihad fi sabilillah demi menegakkan agamanya.

Ia adalah medan yang penuh kebisingan, keperitan, kesengitan dan kesakitan. Ia adalah medan penentangan dan pertembungan musuh Allah dengan para pejuangnya yang kental dan berani.

Jika anda bertanya, mengapa PAS sentiasa saja sengit dan bising? Jawabannya adalah kerana itulah tabiat medan dakwah dan jihad yang benar. Lihatlah bumi al-Aqsa, ia kekal bising dan sengit sehinggalah Allah nantinya mewariskan bumi-Nya itu kepada para hamba-Nya yang berjihad dengan penuh ketakwaan.

Adakah anda masih berfikir bahawa Islam adalah agama senyuman tanpa taring? Jika begitu, itu bukanlah Islam yang difahami dan dianuti PAS.

Sumber HD - 29-7-2017

Bagaimana negara adil boleh runtuh?

http://www.harakahdaily.net/index.php/rss-hd/34-pimpinan/2147-bagaimana-negara-adil-boleh-runtuhNIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 17 July 2017

SEBAGAIMANA negara yang zalim akan berakhir dengan keruntuhan, begitulah juga ia boleh berlaku ke atas negara yang adil. Tetapi ia berlaku dengan faktor yang berbeza.

Jika negara yang zalim, keruntuhannya adalah disebabkan oleh kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah di dalam negara mereka, bagi negara yang adil pula, keruntuhannya boleh berlaku jika rakyat tidak lagi mensyukuri nikmat Allah tersebut.

Negara yang adil adalah nikmat kehidupan. Kesejahteraan hidup rakyat adalah melalui pakatan bersama antara pemerintah dan rakyat. Penguasa akan sentiasa bertanggungjawab terhadap Allah dan amanah yang ditaklifkan, menjaga kepentingan dan maslahat rakyat, lalu rakyat memperteguhkannya melalui sokongan mereka.

Tetapi ada kalanya rakyat mula membelakangi pemerintah dan mula mendengar hasutan daripada kalangan mereka sendiri yang menyebarkan pembohongan dan fitnah ke atas pemerintah. Mereka berjaya menyebarkan ketidakpuasan melalui fitnah dan pembohongan sehingga tidak lagi mensyukuri nikmat keharmonian hidup sedia ada.

Maka terjadilah pemberontakan terhadap pemerintah. Negara yang baik akhirnya runtuh dan berganti dengan negara baru yang terbina di atas kezaliman yang dicipta. Negara ini akan sentiasa di ambang bahaya akibat asas binaannya yang rapuh. Pemerintahnya akan terus menjadikan fitnah sebagai senjatanya mempertahankan kesalahan mereka. Akhirnya ketidakamanan menggantikan keamanan sedia ada.

Rakyat yang membuka telinga terhadap fitnah dan memakan rezeki yang haram ( ) adalah satu kemalangan untuk negara. Ia lambang nikmat Allah yang tidak disyukuri. Ia berulang-ulang di dalam sejarah manusia sebagaimana kisah al-Quran mengenai Bani Israel yang tidak mensyukuri nikmat Allah ke atas mereka.

Justeru rakyat sayugialah sentiasa menjunjung kebenaran dan mempertahankannya, sensitif terhadap api fitnah dan bersegera memadamkannya, sentiasa mendengar peringatan daripada al-Quran dan para ulamak serta menasihati dan mendukung pemerintah yang adil.

Kenalilah pemerintah dengan mengenali dan membezakan kebenaran daripada kebatilan. Tiada mungkin kebenaran yang dicampur baur dengan fitnah akan mencetuskan kesejahteraan dan keadilan dalam kehidupan.

"Dan janganlah kamu campur-baurkan kebenaran dengan kebatilan dan kamu menyembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya." - al ayat

Sumber HD - 17-7-2017

Zaid pilih untuk jawab tulisan saya - Nik Abduh

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/1981-zaid-pilih-untuk-jawab-tulisan-saya-nik-abduhHARAKAHDAILY 01 July 2017

"PANDAI Dato Zaid Ibrahim memanas barankan saya. Siap ugut-ugut pulak di hujungnya," ujar AJK PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Nik Abduh menerusi tulisan di laman facebook semalam, dalam banyak-banyak tulisan mengkritik Zaid, telah memilih untuk menjawab tulisan beliau berkait isu kritikannya terhadap juruterbang AirAsia.

Berikut tulisan Nik Abduh.

Dato Zaid Ibrahim, dalam banyak-banyak tulisan mengkritik beliau, telah memilih untuk menjawab tulisan saya berkait isu kritikannya terhadap juruterbang AirAsia.

Saya berbesar hati bila ada orang besar-besar membaca tulisan saya. Biasanya saya menulis dengan niat dan harapan untuk dibaca oleh orang biasa-biasa saja macam saya juga. Bila ada orang besar-besar baca, saya jadi teruja. Macam kes MB Selangor baca tulisan saya hari itu.

Dato Zaid Ibrahim marah benar. Saya dinobatnya sebagai sombong dan perasan alim. Perangai lama orang PAS, katanya. Tak pelik katanya, Nik Abduh pun tak faham 1MDB. Jadi bukan taraf Nik Abduh nak ulas tulisan Dato Zaid Ibrahim.

Saya apa lagi, naik anginlah. Menyeringai macam harimau dan singa nak menerkam dan balas balik. Pandai Dato Zaid Ibrahim memanas barankan saya. Siap ugut-ugut pulak di hujungnya.

Tapi tengah panas baran tu, saya terbelek pula WhatsApp anak lelaki saya di Afrika Selatan di dalam grup famili yang hantar gambar-gambar singa, cheetah, harimau dan zirafah yang duduk relaks-relaks je di safari mini yang dilawatinya sempena cuti raya Idil Fitri. Tetiba pula hati saya jadi sejuk. Pandai pulak binatang-binatang ganas ni menyejukkan hati saya.

Saya fikir, kadang-kadang haiwan ni lebih berguna untuk diikuti sunnah hidup mereka berbanding manusia yang sengal dan liat daripada mendengar nasihat dan peringatan agama.

Daripada memilih untuk menjawab, saya tukar untuk tidak menjawab. Lagi pun, setelah saya buat sedikit jelajah di internet, hampir semua netizen faham tulisan Dato Zaid Ibrahim sebagaimana saya faham, kritik sebagaimana saya kritik dan marah sebagaimana saya marah. Kawan saya yang kerja kat AirAsia hubungi saya dan beritahu bahawa rakan-rakan sekerjanya yang otak liberal pun marahkan Dato Zaid Ibrahim.

Ia mencukupi sebagai jawaban.

Tanpa Dato Zaid Ibrahim seorang untuk mengambil manfaat daripada tulisan pendek saya itu, saya kongsikannya untuk rakyat Malaysia dan saya sendiri. Semoga bermanfaat.

Sumber HD - 1-7-2017

AirAsia, doa dan Zaid Ibrahim

http://www.harakahdaily.net/index.php/arkib/1955-airasia-doa-dan-zaid-ibrahimHARAKAHDAILY 27 June 2017

SAYA cuba mengagak bila agaknya Datuk Zaid Ibrahim berdoa kepada tuhannya? Bila saatnya?

Demikian pertanyaan dilontarkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi laman facebook, malam tadi ekoran catatan Zaid di twitter berhubung insiden membabitkan pesawat AirAsia Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur pada pagi kelmarin.

Berikut tulisan Nik Abduh.

Saya cuba mengagak bila agaknya Dato Zaid Ibrahim berdoa kepada tuhannya? Bila saatnya?

Di dalam al Quran di banyak tempat, Allah menggambarkan saat kegetiran terumbang-ambing dibadai gelora besar di tengah lautan (apatah lagi kalau di langit tinggi seperti kes penerbangan AirAsia semalam), seluruh penumpang kapal yang tak pernah ingat Allah pun akan mengangkat tangan berdoa memohon pertolongan dan pembabasan daripada kecelakaan.

Ia adalah fitrah manusiawi yang tersembul keluar dari dalam diri manusia hatta mereka yang hidup penuh alpa daripada mengingati Allah sekalipun. Saat bersabung nyawa disapa takdir alam milik-Nya adalah saatnya Allah tunjukkan kepada manusia hakikat kehidupan. Mereka perlukan Allah. Allah-lah empunya langit bumi dan segala kejadiannya.

Saya doakan saatnya nanti, fitrah Dato Zaid Ibrahim akan tersembul keluar. Biar Allah tunjukkan dengan hikmat-Nya bahawa untuk menagih harapan hidup dan umur lebih panjang, dia akan dipaksa fitrahnya untuk turut berdoa kepada tuhannya.

Setakat ini, jawaban yang saya dapat ialah mengapa ada juga Melayu muslim yang begitu marah dan bencikan PAS. Ya, kerana PAS mengajar ahlinya untuk sentiasa BERDOA semoga PAS berjaya mara ke Putrajaya nantinya.

Orang berpuasa di bulan Ramadhan akan merindui doa. Orang tak puasa memang sah akan menolak doa. Saya tak jumpa lagi kes orang puasa tolak doa. Mungkin ini kes pertama?

Sumber HD-27-6-2017

Nik Abduh yakin bukan Islam akan sokong PAS akhirnya

Posted on Sunday, June 18 @ 15:14:32 MYT Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu

http://tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=35486

ALOR SETAR: PAS mengakui menghadapi cabaran dalam usaha mendapatkan sokongan bukan Islam terutamanya kaum Cina selepas parti itu menamatkan kerjasama politik dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, bagaimanapun ia hanya bersifat sementara kerana menyifatkannya umpama tembok untuk memisahkan golongan bukan Islam dengan PAS sudah pecah dan tidak boleh dibina mana-mana parti lagi.

Cuma yang ada hanya nyalaan api yang dibuat oleh DAP untuk sekat sokongan bukan Islam terhadap PAS, tetapi ia mudah dipadamkan dengan airkami sendiri (dalam) Pemuda PAS mempunyai hubungan baik dengan bukan Islam.

Walaupun parti berpecah (PAS dengan DAP) tetapi hubungan peribadi tidak pernah pecahini menandakan ada (pihak) yang kata PAS akan mengambil masa 1,000 tahun untuk mendapat sokongan Cina, tidak (tepat) sama sekali, kita akan ambil masa lebih cepat untuk mendapatkan sokongan itu.

Cumanya kita akuilah sokongan itu (daripada bukan Islam) untuk PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) kita tidak akan dapat sebagaimana dalam PRU-13 lepas, katanya pada sidang media selepas sesi dialog ucapan dasar presiden di Kompleks PAS Kedah dekat sini, semalam.

Namun, Nik Mohamad Abduh tetap yakin dengan kekuatan PAS untuk menghadapi PRU14 nanti berikutan mendapat sokongan padu daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dianggotai kalangan bukan Islam serta Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Kita sudah ada Gagasan Sejahtera menerusi kerjasama politik bersama Ikatan. Dalam Ikatan pun ada pelbagai kaum terdiri kaum Cina dan India, lagi pula PCM (Parti Cinta Malaysia) di Pulau Pinang ada menyatakan hasrat untuk menyertai Gagasan Sejahtera, tetapi masih sedang dalam proses perbincangan, katanya.

Sumber TKO - 18-6-2017

Murtad dan liberalisme dalam negara

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/rss-hd/34-pimpinan/1851-murtad-dan-liberalisme-dalam-negaraNIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 17 June 2017

BEBERAPA hari lepas, pinggir Kota London dikejutkan dengan kebakaran besar sebuah apartment lebih 20 tingkat yang menempatkan lebih150 unit kediaman. Ia berlaku pada awal pagi ketika kebanyakan penghuni sedang tidur.

Keesokannya, heboh berita mengenai wira sebenar yang telah berjaya menyelamatkan nyawa ramai penghuni yang sempat keluar menyelamatkan diri. Mereka adalah umat Islam yang belum tidur atau bangun lebih awal untuk bersahur bagi menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadhan al mubarak.

Anak-anak muda muslim dikatakan berlari ke sana sini mengetuk pintu dan melakukan segala yang termampu bagi memastikan semua penghuni apartment tersebut tersedar dan lari menyelamatkan diri. Tindakan cepat mereka telah mendapat pujian ramai terutama non muslim, bahkan mereka turut memuji kehadiran satu bulan yang hebat iaitu bulan Ramadhan.

Ini contoh kehidupan muslim di bumi minoriti. Cabaran mereka amat besar, tetapi banyak kisah yang sampai kepada kita menunjukkan bagaimana mereka menghadapi kesukaran itu dengan menonjolkan akhlak yang baik dalam kehidupan. Akhirnya, di sebalik suara lantang membenci Islam dan penganutnya dilaungkan oleh kumpulan anti Islam, ramai masyarakat awam non muslim menolak seruan itu bahkan menganggap umat Islam minoriti adalah kelompok yang harus diteladani sifat dan akhlak mereka.

Agama Islam sedang pesat berkembang di barat. Bagaimana ia berkembang adalah bagaimana orang barat menjalani kehidupan mereka sendiri. Mereka adalah masyarakat sivil yang mencintai penerokaan kehidupan melalui ilmu dan pengetahuan. Islam berkembang di barat hasil pencarian mereka terhadap hakikat sebenar kehidupan. Mereka menggali ilmu semua ugama, sering bertanya, meneliti dan menyaksikan kegigihan umat Islam menonjolkan kebenaran agama Islam melalui kehidupan yang terpuji.

Malah, di serata dunia, Islam bergerak penuh harmoni memasuki lubuk hati manusia dengan cahaya ilmu dan kebenaran. Manusia, di sebalik dunia hari ini yang serba memukau dengan kemajuan dan kesenangan hidup, sudah mulai bosan dan ditimpa kemurungan dengan jiwa yang kosong. Islam datang mengisi kekosongan dan kekeliruan itu.

Di dunia barat, gereja tidak lagi mampu menghadapi tekanan sains dan pengetahuan yang menuntut pembuktian melalui fakta dan logika yang benar. Begitu juga ugama-ugama lain. Hanya Islam yang mampu menggalas tugas ini dengan cahaya hujahnya yang benar.

Tetapi dunia kekufuran enggan mengaku kalah. Mereka terus memerangi Islam dan berusaha menyekatnya daripada terus berkembang luas. Pertembungan Islam dan kekufuran bukanlah sebuah tayangan epik lampau yang hanya dikenang-kenang sebagai lambang kebuasan tamadun lampau. Bahkan ia berterusan hingga akhir nanti saat Allah mengambil kembali sepenuhnya dunia ini daripada kekuasaan manusia. Dunia ini hakikatnya adalah kisah pertembungan semulajadi antara Islam dan kekufuran atau antara tentera kebenaran dan kebatilan.

Dunia Islam diperangi oleh kuasa-kuasa besar kufur. Dengan sifat dan kedudukan dunia Islam hari ini yang begitu lemah akibat kepimpinan dan terajunya yang korup dan zalim, musuh Islam berusaha menggambarkan dunia Islam dengan wajah kejahilan, kemunduran, kejumudan, keganasan, perpecahan dan peperangan. Akhirnya Islam akan dilihat sebagai satu agama yang mesti dijauhi dan ditinggalkan.

Pada bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini, negara Arab Saudi dan sekutu Arabnya bertindak memutuskan hubungan dengan negara Qatar yang menjirani mereka. Qatar dituduh melindungi pengganas. Bahkan lebih mengejutkan, mereka menuduh Syeikh Yusuf al Qaradawi seorang ulamak terkenal Islam sebagai pengganas yang dilindungi Qatar.

Begitulah mudahnya Arab masuk ke dalam perangkap musuh. Mereka rela menjual kesatuan umat dengan harga yang murah demi menjaga kepentingan politik peribadi dan negara masing-masing. Mereka memakan fitnah musuh dan sanggup mendengar dari musuh demi mendapat perlindungan daripada dunia barat yang memusuhi agama mereka sendiri.

Amat malang bagi al Haramain al Syarifain yang memiliki penjaganya yang amat lemah politiknya. Al Haramain memerlukan kekuatan politik tertinggi untuk terus menjulang kaabah sebagai menara kebenaran yang memancar dan tempat tuju sujud manusia kepada al rabb al jalil.

Negara kita Malaysia turut dilanda serangan oleh musuh Islam sejagat. Dengan pemerintah negara yang alpa dan lemah, musuh menyusup masuk dengan agenda murtad dan fahaman kebebasan hidup tanpa syariat ugama. Mereka menyusup masuk pada siang hari dengan agenda perosakan di sebalik undang-undang negara yang melarang pengembangan agama selain Islam. Mengapa? Kerana kealpaan dan kesombongan untuk mengaku salah.

Evangelis Kristian sudah berjaya menyusup masuk sehingga mampu mengenderai sebuah parti politik besar tanah air bagi melaksanakan agenda besar Kristianisasi mereka. Beberapa pemimpin mereka sudah tanpa rasa takut mempromosikan ugama Kristian melalui dakwah politik mereka.

Sudah ada pemimpin Melayu Islam mengeluarkan kenyataan yang memandang ringan terhadap agenda Kristianisasi. Inilah lambang kejayaan fahaman Liberal yang sudah lama menyusup masuk dalam kealpaan umat dan pemerintah.

Sudah ada kumpulan paderi Melayu yang begitu gigih menjalankan dakyah Kristian dengan bantuan badan Kristian antara bangsa dan mereka begitu bangga berjaya memurtadkan orang-orang Melayu Islam.

Kumpulan LGBT kini telah lebih berani bersuara. Mereka dengan berani mempromosi zina dan seks sejenis yang hina. Mereka disokong kumpulan-kumpulan liberal Melayu yang tidak pernah diambil tindakan oleh kerajaan.

Umat Islam mestilah sedar. Mereka perlu bangkit daripada tidur yang panjang. Jangan biarkan pemerintah yang lemah turut sama melemahkan mereka daripada bangkit membetulkan keadaan. Bahkan masyarakat Islam mestilah berperanan menekan kerajaan agar bertindak berdasarkan undang-undang negara selain bertindak secara sivil menggerakkan jentera masyarakat membantu masyarakat yang lemah daripada terus menjadi mangsa agenda musuh Islam.

Malang sekali, wujud suara mereka yang mendakwa melakukan reformasi dan tajdid dalam negara yang memandang enteng terhadap gerakan Kristianisasi dalam negara. Mereka mendakwa yakin tidak akan terpengaruh dengan Kristian. Islam adalah cahaya yang jelas. Jadi usah ambil serius dengan peringatan-peringatan yang diberi. Begitulah dakwaan mereka.

Inilah kealpaan. Inilah kesombongan orang-orang yang 'kuat iman' bagi membantu golongan yang lemah iman akibat kejahilan dan kefaqiran.

Ironinya, mereka mendakwa diri mereka sebagai pejuang rakyat marhain yang kelaparan. Mereka menentang pemerintah yang zalim dan menuduh pejuang Islam yang tidak bersama mereka sebagai alpa dan tidak peduli masalah rakyat. Bagi mereka perut rakyat adalah akidah rakyat. Apabila perut dijaga, terjagalah ugama rakyat.

Hakikatnya mereka lupa, dalam kecuaian dan keasyikan orang kaya dan berilmu itulah, musuh Islam memecah masuk ke dalam kelompok umat Islam yang lemah, lalu memikat mereka dengan makanan dan jaminan penjagaan.

Di dunia barat dan negara bukan Islam, Islam berkembang di kalangan golongan berpengaruh dengan ilmu dan perbahasan. Manakala di kalangan masyarakat biasa, Islam berkembang dengan akhlak yang mulia dan sumbangan sivil oleh komuniti Islam minoriti. Ia adalah dakwah dalam uslub dan caranya yang benar dan diterima oleh masyarakat yang bertamadun.

Adapun di negara Islam termasuk di negara kita, Kristianisasi berkembang di kalangan masyarakat Islam yang miskin melalui umpan makanan dan penjagaan. Manakala di kalangan golongan berpengaruh, mereka mengembangkan agenda mereka dengan menyebarkan faham liberal yang melalaikan umat Islam daripada melihat kepada bahaya Kristianisasi yang melanda umat Islam termiskin dan lemah.

Akhirnya kerana sesuap nasi, orang-orang Islam yang lemah ilmu dan dirundung kemiskinan sanggup menjual agama yang paling bernilai di sisi mereka dengan serendah-rendah nilai. Golongan berpengaruh daripada kalangan umat Islam pula terus alpa dan lalai daripada tanggung jawab menjaga saudara-saudara mereka yang lemah.

Murtad dan liberalisme adalah dua agenda berkembar barat yang memusuhi Islam yang dibawa masuk dalam kealpaan umat. Kristianisasi tetus bergerak dan berkembang manakala liberalisme yang sedang meracuni elit Melayu pula menjadi pelindung yang membentengi dakyat Kristianisasi tersebut.

Kita adalah setiap kita. Seorang muslim yang terputus akidahnya dari jiwa adalah kesakitan yang dirasai oleh semua. Jikalah ini perasaan kita sesama kita, insya Allah, itulah jawaban di manakah kekuatan umat ini.

Sumber HD - 17-6-2017

Bina negara oleh musuh agama?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 06 Februari 2017.

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/headline/44173-bina-negara-oleh-musuh-agama

Sesebuah negara atau tamadun manusia ada kisah mula dan akhirnya. Ada sebab ia berkembang maju dan ada sebabnya ia jatuh dan runtuh. Semuanya disimpan di dalam lipatan sejarah sebagai pelajaran dan pengajaran buat manusia yang datang selepasnya.

Di dalam al Quran Allah menceritakan kehancuran kerajaan-kerajaan besar seperti kaum 'Aad, Thamud, Ashabu Madyan dan kerajaan Firaun di Mesir. Ketika kerajaan-kerajaan tersebut runtuh, mereka hidup penuh kekuatan dan kemewahan. Ertinya, mereka hancur bukan kerana kemiskinan dan kemelaratan hidup. Tetapi kerana sebab lain yang mungkin di luar kajian dan kesepakatan manusia hari ini. Mereka dihancurkan kerana mereka memusuhi Allah dan rasul-Nya.

Kita sering berbahas panjang tentang kemiskinan dan teruknya kedudukan ekonomi sesebuah negara. Kita sering jadikannya sebagai kayu ukur kebangunan dan kemakmuran sesebuah negara. Apabila negara dihimpit oleh kemurungan ekonomi akibat salah laku pemerintah atau sebab-sebab lain, maka kita secara mudah menganggap negara sedang di ambang kehancuran.

Apabila ada yang mengingatkan tentang ugama dan murka Allah sebagai sebab utama kehancuran sesebuah negara, ramai yang berpaling dan menolaknya, malah menganggap ia sebagai mengarut dan mengada-ngada. Bagi mereka, redha Allah adalah pada kemakmuran ekonomi manakala murka Allah adalah pada kesempitan ekonomi.

Negara kita sekarang sememangnya sakit kehidupan rakyatnya. Kenaikan harga barang dan sempitnya pintu rezeki rakyat begitu menghimpit kehidupan. Sudah pasti pihak kerajaan dan parti pemerintah menjadi punca utama keadaan ini. Polisi dan tindakan kerajaan yang lemah dan salah telah meletakkan negara dalam keadaan tidak stabil dan sering terlucut daripada kawalan dan pemanduan yang betul.

Sekarang kita harus bertanya, adakah kerosakan negara kita yang mungkin akan semakin teruk adalah disebabkan oleh kemelaratan hidup atau oleh kejahatan pemerintah? Sudah pasti jawabannya adalah kerana pemerintah. Kemelaratan hidup adalah kesan yang dirasai oleh rakyat teramai. Tindakan pemerintah yang zalimlah yang telah memudaratkan negara.

Wujudkah kemurkaan Allah di sini? Jawabannya ya. Allah memurkai pemerintah yang gagal menunaikan amanah pemerintahan dan kekuasaan yang dikurniakanNya. Unsur rasuah, pembaziran, salah guna kuasa, pilih kasih, penganiayaan, pengabaian terhadap fakir miskin dan sebagainya adalah punca-punca pengabaian terhadap perintah Allah yang menarik kemurkaanNya.

Kesalahan-kesalahan berulang sejak lama oleh pemerintah ini jika tidak dihalang sudah pasti akan terus menarik kemurkaan Allah. Kemurkaan Allah pasti akan berakhir dengan hukuman yang lebih berat. Ia bukan sekadar kemelaratan ekonomi, bahkan kemelaratan kemanusiaan itu sendiri. Manusia akan meninggalkan ugama dan hidup seperti binatang yang merajakan nafsu dan kehilangan manusiawi dan ugama. Saat itu tiada erti lagi kehidupan yang didamba.

Kerana itulah para ulamak yang benar dan ikhlas sering mengingatkan pihak pemerintah agar bertaqwa dan berlaku adil kepada rakyat. Suara dan seruan kepada Allah sentiasa diulang-ulang agar peringatan besar ini tidak hilang dan lenyap di tengah-tengah kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan.

Anda telah menemukan jawaban bahawa kesempitan ekonomi dan kehidupan negara hari ini adalah berpunca daripada pengabaian terhadap perintah Allah agar negara ini ditadbir dengan prinsip taqwa dan keadilan sesama manusia. Justeru anda melihat Islam dan para pejuangnya begitu konsisten memberi peringatan kepada rakyat dan pemerintah agar mengislahkan negara menuju jalan yang lebih mendekati redha Allah.

Saya ajukan kepada anda satu soalan penting. Bagaimana reaksi anda terhadap penyelesaian isu-isu negara tanpa mengambil kira soal kemurkaan Allah? Di negara kita, ada golongan yang melihat bahawa kemiskinan adalah punca keruntuhan negara yang disebabkan oleh pemerintah yang gagal mentadbir dengan betul. Kekuatan ekonomi menjadi kayu ukur kejayaan sesebuah negara. Bagi mereka, unsur redha dan murka Allah hanyalah sekadar mainan bibir bagi menarik hati rakyat yang beragama untuk menyokong mereka menjatuhkan pihak pemerintah.

Bagi mereka, sebagai contoh, walaupun riba adalah aktiviti ekonomi dan kewangan yang dimurkai Allah, selama mana ia mendatangkan kerancakan kepada ekonomi negara, maka ia harus diterima dan dikembangkan. Begitu juga, jika aktiviti judi dan pelacuran diurus secara baik dan profesional, lalu membantu ekonomi negara, maka ia haruskan dibenarkan.

Golongan ini akan segera menolak ajakan-ajakan kepada syariah Islam dan hukum-hukum agama yang disifatkan menyekat kebebasan dan hak-hak manusia untuk bebas membuat keputusan sendiri untuk diri sendiri dan masyarakat tanpa ikatan agama. Bagi mereka, agama mestilah dihalang mencampuri urusan negara. Agama bukanlah panduan yang praktikal dan sesuai untuk memajukan sebuah negara moden hari ini.

Apa reaksi anda? Tanpa menanti jawaban, saya ingin tegaskan bahawa inilah kemelut yang melanda negara kita hari ini. Kita sebenarnya bukan hanya berhadapan dengan krisis kemelaratan ekonomi dan kesempitan hidup rakyat sahaja. Bahkan krisis yang turut melanda ialah bagaimana melihat kepada penyelesaian sebenar isu-isu negara. Adakah dengan hanya menukar kerajaan lama, maka ia mencukupi untuk masa depan negara yang lebih baik?

PAS mengingatkan rakyat bahawa kehancuran negara adalah kerana negara itu menjemput kemurkaan Allah. Apabila kemurkaanNya memuncak dengan kehendakNya, Allah pasti menghancurkan negara tersebut dengan seburuk-buruk kehancuran. Ia bukan lagi dengan menghancurkan ekonominya, bahkan ia membawa kepada fitnah terhadap agama dan iman. Rakyat akan sanggup mencari sesuap nasi dan keselesaan hidup walaupun terpaksa menggadai agama mereka sendiri. Adakah lagi kehancuran manusia yang lebih buruk daripada itu?

Justeru PAS menyeru rakyat agar menolak sebarang penyelesaian yang menolak pesanan-pesanan agama. PAS menolak mereka yang bermusuh dengan Allah, Rasul dan agamaNya. Ia hanya ajakan meninggalkan kemurkaanNya menuju kemurkaanNya yang baru. Ia kerja sia-sia yang membazirkan masa dan usaha menuju kehidupan yang diredhai Allah.

Jika anda bertanya, mengapa PAS menolak DAP dan mereka yang bersamanya, maka jawabannya adalah selaras dengan apa yang dijelaskan di atas. DAP menolak penyelesaian agama untuk negara. Bukan hanya untuk negara, DAP berani menolak dan menentang kehendak umat Islam untuk berubat dan mencari penyelesaian dengan agama Islam mereka sendiri. Ia adalah permusuhan yang nyata terhadap Allah dan agamaNya. Justeru PAS mengingatkan rakyat Malaysia agar menolak penyelesaian cara DAP.

Islam adalah agama yang sempurna. Kecacatan umat adalah kerana jauhnya mereka daripada panduan agamanya yang sempurna. Adalah satu yang amat jelas mengapa umat Islam harus kembali kepada agamanya sendiri. Justeru adalah suatu yang amat nyata bahawa berjuang menegakkan agamaNya adalah satu kemuliaan yang tertinggi. - HARAKAHDAILY 6/2/2017

Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Sumber HD - 6-2-2017

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Kewajiban terhadap diri sendiri

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 24 Januari 2017.

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/44010-kewajiban-terhadap-diri-sendiri

HUJUNG nanti, setiap diri akan kembali kepada Allah sendiri-sendiri. Itulah penyudah kita di dunia ini. Ramai mana kita berkumpul dan berjanji setia untuk bersama di dunia ini, kita tetap bersendirian menuju kubur.

Bukan pelik. Dulu, semasa kita datang ke dunia, setiap diri kita memang datang sendiri-sendiri. Di dalam setiap rahim ibu, kita berseorangan di situ berbulan-bulan. Kemudian kita tercampak ke dunia ini berseorangan. Maka tidaklah pelik, kita akan kembali kepada-Nya seorang-seorang sebagaimana kita datang ke sini pun dulu seorang-seorang.

Justeru bukan payah untuk kita memahami bahawa pada hari perhitungan di padang mahsyar nanti, masing-masing kita akan berseorangan di hadapan Allah. Kita berdiri berseorangan nanti dan di hadapan kita adalah Allah, tuhan yang mencipta, mencampakkan kita di dunia dan kemudiannya mengheret kita kembali kepada-Nya setiba ajal kita nanti.

Di mana ayah dan ibu? Di mana anak dan isteri? Di mana saudara mara dan sahabat handai? Ya, masing-masing sama seperti kita jua. Masing-masing akan bersendirian dan dipaksa menghadap Allah sendiri-sendiri. Semuanya dengan urusan masing-masing di hadapan Allah yang mencipta, mencampak ke dunia dan kemudiannya mengembalikan semua kepada-Nya setiba ajal mereka. Masing-masing terlalu sibuk untuk berpaling kiri dan kanan untuk bertanya khabar mengenai urusan orang lain.

Sebagaimana masing-masing kita di dunia mengusung rezeki masing-masing dan dengan untung nasib masing-masing, begitulah kesudahannya kita di akhirat nanti. Di sana nanti, bahagian kita adalah apa yang kita masing-masing bawa sendiri. Rezeki kita di akhirat nanti adalah amal pahala yang kita pikul dari dunia yang kita bertanam tuai di sana sepanjang umur hidup kita.

Begitulah ajaran Islam. Ia ilmu yang terang benderang. Kita masing-masing akan dipertanggungjawabkan mengenai diri masing-masing. Orang lain pula dengan diri masing-masing juga.

Ajaran awal ini meneguhkan dan mengukuhkan kewajiban dan tanggung jawab seorang muslim untuk membina diri sendiri dengan sebaik-baiknya. Tiada untung langsung membina orang lain dengan mengorbankan diri sendiri tanpa terbina. Bahkan walau diri digelar negarawan atau pahlawan bangsa kerana berjaya membina negara dan bangsa, itu semua hanyalah kosong dan sia-sia jika diri sendiri gagal dibina dengan jayanya.

Bukankah kita juga wajib menjaga anak dan isteri? Atau secara umumnya, bukankah kita juga bertanggung jawab dan berkewajiban menjaga kehidupan di sekeliling kita? Bukankah janji dan amaran membiarkan anak isteri hanyut dalam maksiat adalah dosa dan neraka? Jawabannya ya dan benar. Tetapi semua itu adalah dalam kerangka tanggung jawab dan kewajiban diri masing-masing. Setiap diri ada tanggungan masing-masing. Antaranya, selain menjaga diri, adalah juga menjaga kiri kanan yang mengelilingi hidupnya.

Dengan erti, kewajiban diri bukanlah sekadar menjaga diri. Bahkan Allah mengenakan kewajiban diri dengan turut memerintahkan agar menjaga diri-diri yang lain mengikut kekuasaan dan keluasan 'territory' yang ditentukan Allah untuknya.

Keluasan wilayah seorang anak tidaklah seluas wilayah kekuasaan ibu dan bapa. Begitu juga keluasan wilayah rentahan ibu bapa tidak pula seluas wilayah rentahan para penguasa dan pemerintah sebuah negara. Ia adalah tanggung jawab diri yang berbeza-beza. Kita tak sama walaupun serupa.

Dengan erti juga, kita telah berjaya melaksanakan kewajiban diri jika kita telah sempurna solat lima waktu tetapi anak isteri kita adalah sebaliknya walaupun kita sudah pun menyuruhnya. Sebaliknya kita bukanlah dikira berjaya membina diri sendiri jika anak isteri kita solat lima waktu tetapi kita sendiri tidak.

Halaman rumah bersih tetapi rumah sendiri kotor. Itu bukanlah pemilik rumah yang berjaya melunaskan tanggung jawabnya. Pun sama juga, jika pula rumahnya bersih sedangkan halamannya kotor, si pemilik rumah tetap dikira gagal menunaikan tanggung jawabnya walaupun berbeza tahapnya.

Begitulah kewajiban anjuran ugama Islam. Ia memfokuskan kewajiban terhadap tanggung jawab terhadap diri sendiri. Jika ia menyeru menjaga orang lain, maka ia adalah dalam kerangka menjaga diri sendiri dan untuk kepentingan diri sendiri. Ia tidak boleh sama sekali membiarkan diri sendiri rosak demi menjaga orang lain.

Di akhirat nanti tiada siapa pun akan bersedia menukar dirinya dengan anak atau isterinya ke neraka demi kebahagiaan anak isteri mereka di syurga. Tidak sama sekali. Malah, Allah menyebut di dalam al Quran bahawa di padang mahsyar nanti, masing-masing yang berpeluang ke syurga akan melarikan diri daripada saudaranya, ibu bapanya dan anak isterinya, bimbang jika mereka menuntut daripadanya sesuatu yang akan menjejaskan peluangnya ke syurga.

Memahami asas utama pengajaran Islam inilah, setiap muslim wajib membina dirinya sendiri sebelum membina orang lain. Dia mesti melihat dirinya dahulu sebelum melihat orang lain. Dia mesti membaiki dirinya dahulu sebelum membaiki orang lain.

Jika keadaan ini berlaku, maka akan berlakulah pembinaan secara cepat dan serentak. Akan wujud kerjasama secara semulajadi untuk saling membina dan menjayakan. Unsur-unsur baik akan wujud tanpa gangguan dari unsur-unsur buruk yang telah berkurangan dalam masyarakat.

Perhatikan dalam sebuah masyarakat, bagaimana keburukan dan kerosakan melanda dengan cepat dan tanpa sekatan? Ya, kerana batu bata binaan masyarakat atau individu masyarakat yang lemah. Di setiap rumah, wujud individu yang tidak berilmu, tidak solat, tidak menjaga aurat, bergaul bebas dan tidak memcegah daripada kemaksiatan. Bagaimanakah individu-individu atau rumah-rumah yang sebegini mampu untuk membina sebuah masyarakat dan negara Islam?

Adalah amat penting untuk kita faham bahawa hakikat pembinaan masyarakat atau negara Islam mestilah bermula daripada binaan individu-individu yang soleh yang sentiasa berusaha membina diri masing-masing dengan menunaikan tanggung jawab masing-masing yang dibebankan oleh Allah ke atas mereka.

Kepincangan di peringkat awal inilah sebenarnya menjadi punca utama kelewatan kita melihat kejayaan atas apa yang kita impikan untuk masyarakat dan negara kita. Samada pemimpin atau rakyat, perlulah ada kesedaran yang tinggi untuk memulakan perjuangan dengan perjuangan membina diri masing-masing.

'Mujahadatun nafs' atau perjuangan mendidik nafsu dengan menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan membuang sifat-sifat yang keji daripadanya adalah pengajaran Islam yang paling jitu dan benar. Siapa pun yang meninggalkannya, maka dia telah gagal di langkahannya yang pertama. Jika dia pemimpin, maka dialah punca utama kegagalan perjuangan ini. - HARAKAHDAILY 24/1/2017

Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Sumber HD - 24-1-2017

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PAS 2017

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 08 Januari 2017.

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/43841-pas-2017

Pada hujung 2014, bah besar melanda negeri Kelantan. Sangat besar sehingga tidak mungkin rakyat Kelantan melupainya. Beberapa bulan kemudian, pada pertengahan 2015, bah besar melanda PAS pula. Ia juga besar dan sangat sukar buat ahli PAS melupainya.

Bah besar adalah musibah. Setiap musibah pasti dibilang-bilang sebab dan akibatnya yang buruk-buruk. Tetapi nantinya akan terlihat hikmat dan kebaikan daripadanya. Ia kejadian dan takdir Allah yang selalu saja tersembunyi hikmat dan kebaikannya ditutup keburukan dan kecelakaan di mata kita manusia.

Justeru setiap musibah, selepas keburukannya mereda, ia akan menjadi nafas baru dan kebangkitan semula buat mangsanya. Ia hanya perlu kuat dan yakin. Jika tidak, musibah akan kekal menjadi musibah yang memanjangkan tempoh sedih, salah menyalah dan putus asa.

Kerajaan Kelantan dan rakyatnya telah berusaha bangkit daripada sengsara bah besar tersebut. Impak positif dicari-cari bagi meringankan tanggungan berat rasa terkejut, takut dan sedih. Bantuan semua pihak begitu banyak membantu pemulihan samada material dan kerohanian. Sudah pasti pemulihan terbaik adalah kepasrahan dan keyakinan yang tinggi terhadap kuasa Allah yang maha agong dan betapa dekatnya takdir Allah ke atas manusia.

PAS juga telah melalui proses yang sama. Kejutan perpecahan dan pergelutan amat dahsyat dirasakan. Ia seperti proses salin semula kulit yang amat jarang berlaku dalam parti. Kali terakhir adalah pada awal 80-an semasa konsep kepimpinan ulamak mula dibentuk. Ramai yang keluar parti kerana tidak setuju dan kecewa.

Tetapi PAS masa itu bangkit dengan cepat. Dalam beberapa tahun kemudiannya, ia memacu laju dengan kepimpinan baru yang lebih muda, bersemangat dan mahukan tajdid dan reformasi di dalam parti dan perjuangannya. Kejayaan mengambil alih negeri Kelantan pada tahun 1990 menjadi bukti besarnya impak positif daripada musibah perpecahan dalaman PAS pada awal 80-an itu.

Apa yang berlaku ke atas PAS lebih 30 tahun lepas itu, itulah yang sedang berlaku ke atas PAS hari ini. Bah besar atau musibah pergelutan dalaman yang memuncak pada 2015 itu sudah pun mereda sakan. Walaupun masih dirasai kesannya yang buruk, tetapi impak positif yang merupakan hikmah tersembunyi daripada setiap musibah ciptaan Allah mula tumbuh, berputik dan hampir membuahkan hasil yang baik.

Gema bahawa ahli PAS akan keluar beramai-ramai berakhir dengan pendedahan jumlah ahli PAN yang sedikit dan gagal menepati sasaran awal mereka. Sebaliknya PAS terus menerima pendaftaran ahli baru yang berkali ganda lebih ramai berbanding rekod bilangan ahlinya yang dikesan keluar parti dan masuk PAN. Lebih meyakinkan, pendaftaran ahli baru menyaksikan lebih 70 peratus adalah daripada kalangan anak muda.

Begitu juga, paling menggegarkan adalah keluarnya singa-singa besar PAS daripada PAS. Bermula bekas Timbalan Presiden, naib-naib, AJK PAS Pusat dan nama-nama besar di semua peringkat, PAS diandai akan pecah besar dan berdepan kecelakaan yang boleh meranapkan segala kekuatan yang telah lama terbina. Bagi sesetengah yang sukakan perpecahan ini, mereka menganggap bahawa ia adalah satu hukuman dan balasan yang setimpal ke atas kepimpinan baru PAS dan ahlinya yang menolak kepimpinan lama yang keluar parti kemudiannya.

Tetapi yang pergi telah pun pergi. Ia tidak pula menghalang yang datang untuk terus datang. Kini yang pergi telah dilupai. Nama mereka tidak lagi disebut kecuali sebagai lawan politik yang dipalang oleh perbezaan pandangan yang nyata. Mereka tidak lagi dilihat mewakili pandangan asal PAS, bahkan sebagai bekas penyusup dan penyeludup pandangan dan idea luar yang nyata bertentangan dengan dasar dan prinsip parti.

Kepimpinan baru PAS menyerlahkan tokoh-tokoh baru yang bukan baru di dalam PAS. Mereka telah lama bekerja di dalam dan untuk PAS. Jika ditanya di mana mereka hari itu? Kita hanya perlu menjawab, mereka berada di tempat mana pengganti mereka hari ini yang tidak juga dilihat. Ada kepimpinan yang perlu dilihat seterang-terangnya. Ada kepimpinan dan tempat yang tiada pun keperluan untuk dilihat secara terang-terang. Sampai masanya mereka akan dilihat atau diperlihatkan.

Di dalam PAS, pentarbiyahan mengajar ahlinya agar bekerja dan terus bekerja tanpa perlu mengejar apa-apa untuk dilihat oleh manusia dan dinobat dengan kemasyhuran. Ia kekuatan tersembunyi yang dimiliki PAS semenjak lama. PAS sentiasa elegan dengan elemen kejutannya untuk negara.

Kepimpinan baru PAS adalah memenuhi tuntutan semasa. Selain barisan profesional, aktivis dan ulamaknya yang kompeten, kini lahir para ilmuan dan ahli akademik yang menyumbang secara langsung untuk PAS. Tenaga yang pernah menyumbang di universiti dan institusi ilmiah daripada yang berjawatan profesor, doktor falsafah dan pakar kini seiring sederap melangkah di medan siyasah yang lebih mencabar yang memerlukan penguasaan dari segenap segi dan segmen kegiatan dan aktiviti masyarakat yang pelbagai dan rencam.

Kekuatan dan energi inilah yang memungkinkan PAS secara berani memperkenalkan satu pendekatan dan strategi baru yang lebih berdaya saing memacu perjuangan PAS yang bertunjangkan dasar dan prinsip Islam yang nyata. Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) dilancarkan oleh PAS bersama beberapa komponen sokongan lain yang bertujuan memahamkan dan menarik rakyat Malaysia untuk turut mendukung hala tuju perjuangan PAS ke arah membina negara Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.

Beberapa ciri dan kriteria utama di dalam BPMS seperti politik berprinsip, dakwah, berfakta, aman, berpenyelesaian Islam dan beberapa lagi, walaupun bukanlah suatu yang asing di dalam politik PAS, tetapi melalui BPMS, ia diperkasakan dan dijadikan satu budaya yang diharap mampu menjadi senjata utama di dalam membawa budaya politik negara yang lebih baik.

Kerana politik berprinsip dan berfaktalah, PAS mengambil pendirian menolak bekerjasama politik dengan DAP dan PAN. Kerana prinsip dakwah dan amanlah PAS meredakan ketegangan dengan Umno BN. Kerana politik berfakta yang menolak persepsi palsu dan berpenyelesaian Islamlah PAS memilih untuk menyokong dan membangkang sesuatu isu dan projek yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Budaya politik sejahtera juga menjemput PAS untuk terus meningkatkan jalinan hubungan dengan semua institusi rakyat yang dibentuk melalui jabatan-jabatan kerajaan dan NGO-NGO yang menyumbang kepada kebangunan dan kemajuan negara. PAS yakin semua pihak harus dan mesti diberi hak dan peluang untuk memberi dan menyumbang.

Mungkin bagi sesetengah ahli dan penyokong PAS, ia kelihatan mengelirukan. Tetapi melalui proses pembudayaan yang mungkin memakan masa yang tidak pendek, lama-kelamaan kekeliruan itu akan berganti kejelasan dan keyakinan terhadap pendekatan baru PAS tersebut.

Mendepani cabaran 2017 yang dilihat oleh kebanyakan pengamat politik sebagai tahun diadakan PRU14, PAS begitu yakin bahawa PAS adalah pilihan terbaik untuk rakyat dan negara. Segala kekusutan yang melanda negara mestilah diatasi dengan penyelesaian yang kukuh dan lestari. Ia adalah penyelesaian Islam yang jelas, mudah, adil dan menaungi kebenaran.

Seluruh jentera kerja PAS mestilah bergerak seiring memastikan kejayaan parti PAS. Lupakan musibah lepas yang melanda. Ia lumrah perjuangan yang harus ditempuhi dengan kesabaran, keyakinan, azam dan tawakkal. Semoga Allah mengurniakan istiqamah hingga akhir nanti.

Sumber HD - 8-1-2017

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Apa erti kembali kepada hukum syariah?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 20 November 2016.

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/43273-apa-erti-kembali-kepada-hukum-syariah

Usaha PAS untuk mengusulkan pindaan Akta 355 yang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan negara telah menarik minat banyak pihak dan menghangatkan dunia ilmiah dan juga politik.

Walaupun pada zahirnya ia dilihat kurang baik akibat serangan-serangan keras terhadap Islam dan perundangannya, tetapi sebenarnya itulah hakikat ugama Islam. Islam adalah ugama yang mesti diluncurkan ke medan perbahasan dan persaingan. Di situlah Islam menyerlahkan kebenaran dan kekuatannya sebagai satu-satunya ugama yang diredhai Allah untuk hambaNya di muka bumi.

Kerana itu anda akan melihat seorang muslim yang sebenar bukahlah seorang yang pasif dan mundur dalam hidupnya. Dia akan hidup dengan akalnya yang sentiasa berfikir mencari hakikat dan kebenaran. Anggota tubuhnya pula akan sentiasa dicergaskan untuk melakukan kebaikan dan kebajikan di dalam masyarakat dan kebal mendepani kejahatan dan keburukan yang mesti dipadamkan olehnya.

Sepanjang perbahasan mengenai kewajiban umat Islam menyokong pindaan akta 355 ini, beberapa persoalan penting ditimbulkan dan sememangnya memerlukan jawaban yang menjernihkan kekusutan dan mencerahkan kekaburan.

Saya sertakan di sini beberapa soalan dan jawaban yang ringkas. Semoga bermanfaat.

1) Apa keperluan hidup bersyariat?

Jawaban: Di antara matlamat besar Allah mewajibkan syariatnya ke atas kita adalah agar ia dapat mengikat seseorang hamba dengan tali-tali ugama yang akan memeliharanya daripada tersadung dan tersasar daripada jalanNya yang lurus.

Asal ugama adalah akidah, kepercayaan dan amalan hati. Tetapi hubungannya dengan anggota tubuh zahir mestilah selari dan saling menguatkan. Perbezaan akan mendorong kepada nifak dan kefasikan. Sudah pasti ia merosakkan hati dan kepercayaan di dalam diri seterusnya merosakkan ugama.

Disyariatkan kewajiban solat 5 kali sehari adalah agar ia bertindak sebagai tali paling kukuh yang mengikat muslim dengan Islam. Muslim yang tidak solat disifatkan oleh Rasulullah sebagai seorang yang meruntuhkan ugamaNya.

Begitulah, semakin seseorang muslim itu melaksanakan kewajiban ibadah-ibadah lain seperti puasa, zakat, haji, membaca al Quran, zikir dan menuntut ilmu ugama, maka semakin mengukuhlah iman dengan tali-tali yang mengikatnya agar istiqamah dan tidak tergelincir di perjalanan dunia yang sukar ini.

Apabila anda memahami ini, maka begitulah halnya dengan perundangan ugama yang disyariatkan oleh Allah di dalam kehidupan. Bermula daripada undang-undang kekeluargaan sehinggalah undang-undang jihad dan hubungan diplomatik antarabangsa, semakin umat Islam melaksanakannya, maka semakin kukuhnya umat Islam dengan ugama Islam, bertambahlah istiqamahnya dan semakin sukarlah musuh ugama untuk menarik mereka kepada keruntuhan dan kehancuran hidup tanpa ugama Islam yang benar.

Cuba anda bayangkan Malaysia tanpa Mahkamah Syariah dan hanya berpada dengan mahkamah sivil sekular. Sudah pasti urusan rumah tangga muslim yang bermula daripada akad nikah yang sah akan kacau bilau dan semakin menjauhkan keluarga muslim itu daripada tanggung jawab kekeluargaan Islam yang sebenar.

Cuba bayangkan pula Mahkamah Syariah wujud, tetapi hanya untuk skop nikah dan cerai serta tanpa undang-undang jenayah ugama seperti zina, arak dan judi. Tidakkah mudah untuk kita gambarkan bagaimana sukarnya membendung anasir-anasir buruk tersebut merosakkan kehidupan muslim?

Oleh kerana kewujudan mahkamah syariah dan undang-undangnya masih lagi tidak menepati hukuman syariah yang sebenar, maka sudah pasti mengusahakan penambaikan yang selari dengan hukuman syariah adalah amat wajar dan perlu agar hukuman itu terus menjadi tali-tali yang mengukuhkan kehidupan umat Islam di atas jalan yang benar.

2) Tidakkah usaha meminda undang-undang jenayah ugama ini adalah satu langkah terburu-buru, tidak menepati fiqh awlawiyat (keutamaan) dan maqasid syariah (matlamat pensyariatan) yang menyarankan agar diperkasakan dahulu persekitaran Islami yang lebih kondusif seperti memperjuangkan keadilan, menentang rasuah dan meluaskan program kebajikan rakyat?

Jawaban: Beberapa perkara perlu difahami dengan baik.

Pertama, maqasid syariah, fiqh awlawiyat dan segala cabang ilmu ugama yang lahir adalah terhasil daripada pemerhatian terhadap syariah Islam yang telah diwajibkan oleh Allah di dalam al Quran dan Sunnah Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam yang mengandungi matlamat dan hikmat yang nyata ke arah kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. Maka sebarang penggunaan ilmu-ilmu tersebut mestilah tidak bertentangan dan tidak membawa kepada terbantutnya usaha melaksanakan hukum dan syariah yang telah diputuskan oleh ugama.

Kedua, perlaksanaan fiqh awlawiyat dan maqasid syariat hendaklah dalam kerangka besar perlaksanaan Islam yang menyeluruh. Adalah sukar untuk dipadankan perlaksanaannya jika pemerintah adalah bermazhab sekular dan masih terumbang-ambing di dalam memahami tuntutan ugama. Justeru adalah penting di dalam negara kita misalnya untuk melihat kepada hikmat dakwah yang lebih luas agar perlaksanaan syariah Islam adalah usaha yang selari di antara mengikat umat dengan ugama dan mendorong pemerintah agar melihat ugama sebagai penyelesaian yang terbaik untuk negara.

Ketiga, negara kita adalah sebuah negara umat Islam yang bercampur baur di antara kesolehan dan kefasikan yang dibenarkan oleh undang-undang. Negara yang soleh sudah pasti akan berusaha merancakkan usaha kebaikan (makruf) dan mencegah sebarang kejahatan (munkar). Maka konsep taghyir (perubahan), tajdid (pembaharuan) dan islah (pembaikan) hendak menjadi tunggak dalam hikmah dakwah yang bertujuan mengukuhkan kesolehan dan mengurangkan kerosakan dan kejahatan di dalam negara.

Keempat, oleh kerana kebaikan dan kerosakan di dalam negara wujud di dalam semua sektor, maka gerakan islah dan pembaharuan tersebut mestilah bersifat menyeluruh dan saling membantu.

Gerakan menyebarkan ilmu dan mengukuhkan akidah mestilah digerakkan tanpa mengabaikan, bahkan mestilah bersekali dengan gerakan islah dan tajdid di dalam sektor-sektor lain seperti politik, sosial, kebajikan, kesihatan, undang-undang dan sebagainya.

Sudah pasti, di dalam sebuah negara yang fasik sifatnya (bercampur-baur antara baik dan buruk), hasil usaha dakwah adalah berbeza-beza. Justeru di ruang mana perlaksanaan Islam dibuka dan dibenarkan, maka ia hendaklah diisi, dikembangkan dan dijadikan pemangkin kepada pembukaan Islam di dalam semua sektor kehidupan yang lain.

Kelima, Kelantan adalah satu-satunya negeri dalam negara yang berakidah dengan kewajiban melaksanakan Islam secara menyeluruh dan berusaha melaksanakannya dalam skop kuasa yang dibenarkan. Dalam tempoh 26 tahun pemerintahan parti PAS, sudah terpancar kebenaran perlaksanaan Islam oleh PAS. Kritikan terhadap PAS Kelantan hanyalah bersifat kecacatan yang perlu ditambah baik, bukan pada keengganan untuk melaksanakan makruf dan membiarkan kemungkaran berleluasa tanpa sekatan.

Kemiskinan bukanlah penghalang kepada perlaksanaan syariah sebagaimana difahami sesetengah pihak. Islam adalah ugama yang benar dan cemerlang pada masa kaya dan miskin, senang dan susah dan juga semasa dalam aman dan jihad.

Walaupun Kelantan bukan sebuah negeri yang kaya, tetapi tempoh 26 tahun telah membuktikan usaha-usaha Islami melalui perlaksanaan dasar-dasar negeri yang berpandukan syariah telah menobatkan Kelantan dengan kejayaan yang belum diperolehi oleh negeri-negeri lain.

Kelantan kekal dengan rekod pemerintahan tanpa rasuah, pentadbiran yang cemerlang, sistem pendidikan sekolahnya yang menghasilkan kecemerlangan akademik dan akhlak, sentuhan-sentuhan kebajikan yang melebar di kalangan rakyat yang susah selain keharmonian kaum yang cukup mendamaikan.

Justeru Kelantan adalah sebaik-baik negeri untuk berada di depan di dalam perlaksanaan sistem Islam yang lebih menyeluruh termasuklah di dalam memperkasakan mahkamah syariah yang bertujuan sama dengan tujuan pensyariatan syariah Islam oleh Allah Rabbul Jalil.

Apabila anda memahami fiqh ugama dan hikmahnya yang lebih luas, maka beralasankan fiqh awlawiyat dan maqasid syariat untuk menidakkan kebenaran dan kewajaran pindaan akta 355 adalah satu hujah yang lemah dan tersasar sama sekali.

*Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Sumber HD - 20-11-2016

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dedak dan sejadah

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 17 November 2016.

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/43242-dedak-dan-sejadah

Orang yang seronok dan ketawa bila Tun Mahathir kata PAS makan dedak Umno, orang itulah yang senak perut dan berang bila saya minta Tun Mahathir kembali ke tikar sejadah. Mereka memilih berjuang menentang kezaliman dengan membina kebatilan baru.

Tun Mahathir kini terkurung di dalam gunung-ganang kezaliman yang dilakukannya dulu. Dia berusaha untuk keluar daripada bebanan lampaunya itu dengan cuba menutup laluan rata di celah lerengan yang dibina PAS sejak sekian lama. Adakah itu caranya? Memaksa laluannya yang kabur dan hilang?

Saya menasihati anak muda agar tidak keliru. Kembalilah kepada Islam. Ia paling bernilai di dalam diri anugerah Allah. Tikar sejadah adalah pintu kepada keluasan hidup dan kejayaan yang kekal.

Saya doakan anak muda dengan pekerjaan yang halal dan kekayaan yang diberkati. Dengannya, semoga semua dapat selalu ke kota Mekah bersujud, bertaubat dan mengukuh azam memacu perjuangan membina Malaysia yang diredhai Allah. - HARAKAHDAILY 17/11/2016

Sumber HD -17-11-2016

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

PAS dan kafir mengkafir

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | 12 No