kesenian berbahasa: tinjauan kempen … · sedangkan istilah ‘sains politik’ adalah sebenarnya...

22
1

Upload: dangduong

Post on 30-Jul-2018

244 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

1

2

3

4

KESENIAN BERBAHASA?: KEMPEN POLITIK PILIHANRAYA KECIL

DEWAN UNDANGAN NEGERI KAWASAN N 41 MANEK URAI

Muhammad Saiful Haq bin Hussin Ph.D

Jabatan Bahasa Melayu

Akademi Pengajian Melayu

Universiti Malaya

Pengenalan

Bahasa adalah alat yang digunakan secara tuntas untuk berkomunikasi. Lantaran itu,

didapati bahawa kaitan di antara bahasa dengan pemikiran adalah merupakan suatu

perkaitan yang bertalian secara erat. Oleh hal yang demikian maka bahasa yang

digunakan oleh seseorang penutur itu mestilah tepat dan dapat menggambarkan

pemikiran sebenar dalam benak akal Si penuturnya. Za’ba mengatakan bahawa:

“Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang

dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai

itu tidak menepati betul-betul dengan maksud yang di dalam hati,

tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan

yang dikehendakkan itu”.

(Bab Permulaan, Ceraian 4)

Dalam hal ini, pembuktian oleh pakar-pakar linguistik dan psikolinguistik dengan jelas

dapat membuktikan pertalian yang dimaksudkan itu. Namun perdebatan mengenai

sejauhmanakah apa yang ada dalam fikiran seseorang itu dapat digambarkan oleh bahasa;

adakah susunan fikiran seseorang itu juga ditentukan oleh susunan bahasanya, atau

sebaliknya (Stephen C. Levinson 1999: 13 – 45) terus menjadi persoalannya. Jadi tidak

syaklah lagi bahawa pemilihan diksi yang tepat dan padat akan dapat menepati ciri-ciri

bahasa yang indah dan berkesan bagi menyalurkan idea semasa menjalankan kempen

dalam pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri N 41 Manek Urai yang telah

berlangsung pada 14 Julai 2009 yang lalu.

5

Dari perspektif politik pula dikatakan bahawa kosa kata politik adalah merujuk kepada

bermacam-macam pengertian sehingga telah lari dan menyeleweng daripada maksud

asalnya. Sedangkan istilah ‘sains politik’ adalah sebenarnya sebagai suatu ilmu

pengetahuan manakala kosa kata ‘politik’ pula adalah sebagai suatu kemahiran. Namun

demikian kekeliruan timbul apabila pendefinisian sekiranya kosa kata politik itu akan

disinonimkan dengan parti politik yang membawa pelbagai ideologi yang berasaskan

kepada kepentingan kelompok dan puak serta kumpulan masing-masing.

Pengenalan

Kesenian berbahasa adalah merupakan kebolehan dan ketrampilan seseorang pengguna

yang diwakili oleh penutur dan pendengar sesuatu bahasa. Daripada pendefinisian yang

sebenarnya ialah merujuk kepada kebolehan seseorang individu itu menguasai kemahiran

berbahasanya dalam bentuk lisan maupun penulisan. Namun demikian malangnya

maksud yang difahami oleh kebanyakan orang adalah jauh tersasar daripada maksud

yang sebenarnya apabila maksud kesenian dalam berbahasa yang berkaitan secara

langsung dengan politik itu telah di salah artikan sebagai sesuatu yang menimbulkan

asosiasi kepada perbuatan yang tidak jujur, curang dan merosakkan.

Kalaulah ini yang dimaksudkan dengan kesenian berbahasa dalam politik sudah tentulah

makna dan pengertiannya sangat tersasar dengan maksud kesenian berbahasa dalam

ertikata yang sebenarnya. Keadaan tersebut akan memberi kesan secara langsung kepada

apa yang dimaksudkan dengan kesenian berbahasa dari aspek politik dalam ertikata yang

sebenarnya. Dalam hal ini sebenarnya ialah kesenian berbahasa lebih menjurus kepada

kebolehan dan ketrampilan untuk mempengaruhi audian kepada perkara yang

dikehendaki. Namun dalam memenuhi tuntutan tersebut kelihatan masing-masing pihak

akan bertindak tanpa memikirkan piawaian yang telah ditetapkan sama ada dari sudut

hukum hakamnya maupun dari sudut adat dan penghayatan falsafah moralnya.

Kesenian berbahasa dalam pengertian mudahnya ialah sebagai satu seni yang

menggunakan bahasa, disiplin ilmunya berkait rapat dengan asas penggunaan bahasa

6

yang berkesan dalam komunikasi sama ada lisan mahu pun bertulis. Namun pada asalnya

kesenian berbahasa adalah merujuk kepada seni pengucapan yang berkesan, yakni berkait

dengan lisan.

Kempen pula merujuk kepada kepada segala usaha seperti kegiatan dan tindakan yang

dirancangkan dan dilaksanakan dengan menggunakan penerangan berbentuk pemujukan

dan rayuan serta lain-lainnya untuk mempengaruhi pendapat umum atau mendapat

sokongan umum terhadap sesuatu atau mencapai matlamat dan lain-lain (Kamus Dewan:

623).

Pilihanraya kecil merupakan satu proses pemilihan Ahli Dewan Undangan (ADUN)

negeri untuk menjalankan pentadbiran bagi kerajaan yang memerintah disesebuah negeri

berikutan kekosongan kerusi ADUN yang dimenangi oleh seseorang calon dalam

pilihanraya umum sebelumnya. Kekosongan ini yang diakibtakan oleh sesuatu sebab

yang memerlukan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetap dan mengistiharkan bahawa

kekosongan kerusi DUN tersebut perlu diisi dan satu proses pilihanraya kecil mestilah

diadakan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Dalam kes N 41 Manek Urai pilihanraya

kecil tersebut diadakan ekoran daripada kekosongan kerusi yang diakibatkan oleh

kematian calon yang sedang menyandang jawatan ADUN di kawasan tersebut.

Objektif kajian

Kajian ini akan meninjau dan melihat :

1. Peranan bahasa dalam bidang penulisan digunakan dalam kempen pilihanraya

kecil (PRK) N 41 Manek Urai dalam kalangan parti politik yang bertanding untuk

mempengaruhi undi para pengundi agar berpihak kepada parti masing-masing

bagi meraih kemenangan dalam pilihanraya tersebut.

2. Keberkesanan aspek bahasa tulisan sebagai alat untuk mempengaruhi para

pengundi untuk membuat pilihan dalam proses pengundian, dalam PRK N 41

Manek Urai.

7

Kaedah kajian

Kajian ini dijalankan secara kajian lapangan selama 3 hari bermula pada 11 –13 Julai

2009 di kawasan pilihanraya kecil DUN N 41 Manek Urai, Kelantan. Sehubungan

dengan itu juga kajian kepustakaan dilakukan untuk merujuk buku-buku ilmiah, rencana-

rencana, esei-esei dalam jurnal, majalah dan akhbar yang berkaitan dengan tajuk yang

dibincangkan.

Oleh hal yang demikian, untuk mendapatkan pengesahan dari segi data-datanya

pengkaji telah menjalankan soal selidik dalam bentuk temuramah yang tidak berstruktur

dan perbualan-perbualan yang dijalankan itu telah dirakamkan bagi menepati kesahan

dan kebolehpercayaan dalam mengutip, memproses dan menterjemahkan data-data yang

diperoleh semasa dilapangan.

Batasan kajian

Dalam hal ini pengkaji berusaha untuk menganalisis data-data yang diperoleh untuk

memperlihatkan bagaimana disiplin ilmu dalam kesenian berbahasa bahasa Melayu

penulisan diimplimentasikan untuk meraih undi bagi kepentingan parti-parti politik yang

bertanding dalam pilihanraya kecil (PRK) N 41. Di antara peti undi yang terlibat ialah

peti undi Temalir, Sungai Peria, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Sungai Sok,

Chucuh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh yang diwakili oleh senarai pemilih yang

berdaftar sebanyak 12,293 orang. Namun demikian pemerhatian yang lebih dominan

dibuat pada bahagian peti undi Manek Urai, Sungai Sok dan Sungai Peria kerana ketiga-

tiga kawasan peti undi tersebut dilihat sebagai peti undi yang akan menentukan perbezaan

undi bagi kedua-dua parti yang bertanding untuk mencapai kemenangan.

8

Seni Berbahasa dalam Penulisan Kempen Politik

Tulisan adalah sejenis tanda atau ‘sign’, sebagaimana halnya dengan bahasa itu sendiri.

Manakala tanda ialah sesuatu yang mewakili atau ‘stand for/signify’ adalah sesuatu yang

lain pula, iaitu yang mewakili maknanya (John Lyons, 1977: 100). Dalam soal seni

berbahasa dalam bidang penulisan ke atas kempen-kempen politik ini didapati rata-rata

bahasa yang digunakan oleh parti politik yang bertanding dalam PRK N 41 pada 14 Julai

2009 yang lalu menjurus kepada usaha untuk memujuk bagi meraih undi supaya berpihak

kepada parti yang masing-masing bertanding dan meletakkan calon mereka. Dalam hal

yang sama ayat-ayat yang digunakan dalam kempen tersebut memperlihatkan

pendedahan fakta yang bertujuan utnuk mempengaruhi para pengundi.

“Undilah Barisan Nasional” digunakan sebagai ayat yang bersifat pemujukan untuk

mempengaruhi pilihan pengundi, selain daripada tulisan pada ayat tersebut menggunakan

tulisan rumi, ditulis juga tulisan jawi bertujuan untuk memperlihatkan nada yang lebih

islamik bagi mempengaruhi pengundi-pengundi, lebih-lebih lagi pengundi veteran

(Gambar 1).

Di bahagian peti undi Sungai Peria ayat dan kata-kata yang disulami dengan gambar

calon yang bertanding dan diapitkan dengan gambar Perdana Menteri Malaysia dan

gambar Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kelantan seperti, “1 MALAYSIA RAKYAT

DIDAHULUKAN DAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN” diikuti dengan ayat yang

berbunyi, “PILIH BARISAN NASIONAL” dan disulami dengan simbol ‘Dacing’ yang

dipangkah. Tujuannya untuk mempromosi calon bagi kawasan N 41 Manek Urai yang

ditandingi oleh Tuan Aziz Bin Tuan Mat yang bertanding atas tiket Barisan Nasional

(UMNO) (Gambar 2). Mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat bahawa Barisan

Nasional (UMNO) adalah pembela rakyat dan selalu mengutamakan kepentingan dan

keperluan rakyat, kenyataan ini dapat dikesan melalui frasa “...RAKYAT

DIDAHULUKAN...” dan pembelaan ini akan diteruskan oleh calon dari UMNO.

9

Pada simpang tiga Chucuh Puteri atau Sungai Sok ditemui baner yang mengandungi

empat ayat yang berbunyi: “KELANTAN AKAN PASTIKAN KERAJAAN PUSAT

BAYAR ROYALTI MINYAK SEBANYAK 1 BILLION” pada gambar Datuk Husam

Musa dan pada gambar Datuk Mustapa Mohamed pula tertera ayat yang berbunyi:

“KELANTAN TAK BERHAK DAPAT ROYALTI MINYAK” dan diikuti oleh dua baris

ayat yang berupa pertanyaan dan jawapan, iaitu: “KALAU TERENGGANU DAPAT

MENGAPA KELANTAN TAK DAPAT?” dan “SAMPAI BILA KELANTAN AKAN

DIZALIMI?” (Gambar 3). Di sini memperlihatkan bahawa PAS akan terus berjuang

untuk membela rakyat dengan menuntut royalti minyak diberikan kepada kerajaan PAS

yang mewakili rakyat Kelantan, namun UMNO diperlihatkan telah menafikan hak rakyat

Manek Urai.

Bagi tujuan meraih undi para pengundi baru pula didapati baner yang berupa kata-kata

pemujukan digunakan oleh BN (UMNO) yang berbunyi, “MANEK URAI HARAPE

ORE MUDO” yang bermaksud “MANEK URAI HARAPAN PENGUNDI BARU”

(Gambar 4). Diikuti pula dengan ayat: “MANEK URAI PENCETUS KEMAJUAN

MASA DEPAN ORE MUDO” yang bermaksud “MANEK URAI PENCETUS MASA

DEPAN PENGUNDI BARU” (Gambar 5). Mesej yang diperlihatkan oleh UMNO

menyatakan bahawa melalui UMNO pengundi muda yang diwakili golongan belia akan

dibela oleh UMNO melalui UMNO jugalah pengundi baru dapat menaruh harapan dan

meletakkan keyakinan bagi membela nasib mereka.

Bagi menjawab dakwaan yang mengatakan “...RAKYAT DIDAHULUKAN...” suatu

ayat pertanyaan telah dijadikan sebagai modal kempen bagi pihak Parti Islam Se-

Malaysia (PAS) yang berbunyi: “KELANTAN PENGELUAR MINYAK MENTAH

DAN GAS ASLI SEJAK 2004, JIKA RAKYAT DIDAHULUKAN, MANA ROYALTI

MINYAK HAK RAKYAT KELANTAN?” (Gambar 6). Mesejnya membawa pengertian

bahawa segala janji yang ditaburkan oleh UMNO adalah bohong dan janji-janji tersebut

seolah-olah tidak pernah ditepati dan segalanya adalah satu pendustaan.

10

Bagi PAS, kesenian berbahasa yang menggunakan sistem tulisan jawi dan rumi secara

bersama serta dalam bahasa Melayu dialek adalah kelihatan lebih mesra pengundi.

Terdapat ayat yang bertulis, “UNDILAH PAS, Calon Pakatan Rakyat, Napok jah

bule,,,pakoh slalu”. Sepanduk tersebut agak besar saiznya dan dihiasi dengan gambar

calon Mohd. Fauzi Abdullah dan Mursyidul Am Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik

Mat dan turut dimasukkan lambang parti yang berpangkah bertujuan untuk merayu undi

(Gambar 7). Diikuti pula dengan ayat yang berbunyi, “undilah pas, Calon Pakatan

Rakyat, PAStinya PAS tanpa sebarang gambar kecuali ayat yang bertulisan jawi dan rumi

(Gambar 8). Kemudiannya diperkemaskan lagi dengan baner yang bertulisan, “Bule

tengoh naik..Mari naik bersama bule...” (Gambar 9). Mesejnya agar rakyat jangan perlu

berfikir lagi untuk memberi undi kepada PAS dan membuat pilihan ke atas calon yang

dipilih pada hari pengundian nanti.

Pada banting yang tertera gambar pemimpin tertinggi PAS bersama dengan gambar calon

yang bertanding telah tertera ayat yang berbunyi, “TOK GURU MEMIMPIN MANEK

URAI BERKAT (tulisan rumi) MEMBANGUN BERSAMA ISLAM (tulisan jawi)

diikuti dengan Undilah Calon Kita N. 41 MANEK URAI ABE UJI” (Gambar 10). Bagi

memantapkan lagi ayat dalam kempen PAS terdapat satu lagi ayat yang berbunyi,

“...Islam Untuk Semua” (Gambar 11) yang merupakan mesej calon dari PAS yang

bertujuan untuk memancing undi. Ayat ini juga digunakan bagi mematikan hujah lawan

BN yang berbunyi, “BARISAN NASIONAL kerajaan Untuk SEMUA” (Gambar 12).

Dalam hal ini isu agama dieksploitasi oleh PAS atas nama Islam.

Pada slogan yang berbunyi “MANEK URAI ANAK EMAS KERAJAAN

PERSEKUTUAN” (Gambar 13). Frasa ANAK EMAS ditonjolkan untuk meraih undi

bagi menggambarkan bahawa segala kehendak dan kemahuan rakyat di kawasan N 41

nanti akan diberi keutamaan sekiranya kerajaan Barisan Nasional berjaya memenangi

kawasan tersebut. Diikuti dengan baner yang dimuatkan dengan gambar-gambar yang

bermesejkan pembangunan dan diikuti dengan ayat, “TERBUKTI BN berjasa kepada

RAKYAT” dan dengan ayat pertanyaan “APA PAS BUAT SELAMA 19 TAHUN DI

KELANTAN?” (Gambar 14). Pertanyaan ini agak tidak relevan dengan keadaan sebenar

11

yang wujud di Kelantan kerana keadaan sebenar membuktikan bahawa pembangunan

berjalan dengan pesat walaupun tidak serancak dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan

BN.

Terdapat juga ungkapan yang bercirikan pantun dijadikan bahan kempen oleh PAS

dengan menulis ayat-ayat seperti, “BERMULA PERMATANG PAUH HINGGA

PENANTI, DI MANEK URAI KEMENANGAN PAS MENANTI” (Gambar 15). Dalam

hal ini kelihatan PAS optimis akan memenangi PRK N 41 Manek Urai ini. Bagi UMNO

pula serangan psikologi dilakukan dengan ayat yang berbunyi, “PAS: PEMIMPIN

DIAMPU RAKYAT KENA TIPU” (Gambar 16). Mesej UMNO sekiranya PAS terus

memenangi pilihanraya tersebut rakyat akan ters tertipu. Diikuti oleh dua ungkapan yang

berbunyi:

KERANA PULUT SANTAN BINASA

KERANA MULUT BADAN BINASA

PILIH PAS RAKYAT TAK LEH GAPO

PEMIMPIN PAS JUGOK HOK KOHO LEGO...(Gambar 17)

Pada bahagian pembayangnya dipilih daripada pantun dua kerat yang sedia ada dalam

pantun Melayu. Namun pada bahagian maksudnya di tambahkan pula dengan terjemahan

bebas berbunyi:

SEKIRANYA PAS YANG MENJADI PILIHAN RAKYAT TIDAK

ADA APA YANG AKAN DIPEROLEHI MEREKA,

SEBALIKNYA PEMIMPIN PAS SAHAJA YANG MENJADI

SEMAKIN MEWAH,

Isu yang cuba diketengahkan ialah tentang kemiskinan, sekiranya PAS memenangi

pilihinraya nanti masalah kemiskinan akan menjadi berterusan. Namun pemimpin akan

terus berada dalam kesenangan sebaliknya rakyat Manek Urai yang akan menjadi mangsa

kemiskinan yang beretrusan.

12

Pantun yang seterusnya:

AYE BULU BALIK

MAKE PADI RAJO

MANEK URAI MAJU BALIK

KALU BN MENE PILIHERAYO (Gambar 18)

terjemahan bebasnya bermaksud:

AYAM BULU BALIK (sejenis ayam yang berbulu songsang)

MAKAN PADI RAJA

MANEK URAI AKAN MENDAPAT KEMAJUAN

SEKIRANYA BN MEMENANGI PILIHANRAYA

Sebaliknya jika UMNO memenangi pilihanraya N 41 nanti pembangunan akan

diteruskan melalui slogan yang diwakili frasa “ANAK EMAS” kerajaan Persekutuan

yang diwakili oleh UMNO.

Namun ungkapan-ungkapan tersebut mendapat balasan dari parti lawan PAS, seperti:

HATI TAK KAN TENANG

TANPA KEHADIRANMU

BULAN MENGAMBANG

JADI IDAMANKU (Gambar 19)

bermaksud apa sahaja yang diperkatakan namun PAS juga yang akan menjadi pilihannya.

Gimik katun turut menghiasi kempen pilihanraya N 41 ini, sindiran sinis dilakukan

melalui kata-kata “STADIUM RUNTUH” dan “BESOK UMNO PULAK RUNTUH”

(Gambar 20). Isu rasuah dalam pemberian serta agihan projek-projek pembangunan

tersebut dihalakan kepada kejadian keruntuhan stadium di Terengganu yang dikuasai oleh

13

BN (UMNO). Terdapat juga ayat dalam Bahasa Inggeris “I LOVE PAS” yang disulami

dengan katun kanak-kanak pada paparan hurufnya (Gambar 21) yang secara sinisnya

memperlihatkan bahawa kanak-kanak pun sukakan PAS, apatah lagi para pengundi.

Lakaran katun juga ditemui dalam kawasan peti undi kampung Sungai Sok, “InsyaAllah

PAS menang, PAS PAS (melalui asap motosikal)” (Gambar 22), “PAS OK, PAS OK

APE” (Gambar 23) menggambarkan mesej PAS bebas dari segala tohmahan-tohmahan

yang dilontarkan oleh UMNO, dan “INSYA ALLAH MENANG” (Gambar 24)

menggambarkan keoptimisan yang PAS akan tetap memenangi pilihanraya kali ini.

Unsur hiburan yang berkonsepkan hiburan alternatif berbanding dengan hiburan yang

melalaikan turut menjadi bahan kempen pilihanraya N 41, “KONSERT HIBURAN

ALTERNATIF (DI MANEK URAI KITO) 2009 bersama RINGGO (Vokalis Arrow) dan

MEGAT NORDIN DAN KUMPULANNYA” (Gambar 25) yang dianjurkan oleh

Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. Ini membuktikan bahawa kerajaan PAS

Kelantan bukan bersikap anti kepada hiburan, bertujuan untuk menarik minat para

pengundi khususnya pengundi muda di kawasan pilihanraya N 41 Manek Urai.

Bagi menarik dan meraih undi pengundi veteran pula, ditemui ayat “KAMI penduduk

awal di LKTN (Lembaga Kemajuan Tanah Negeri) amat berterima kasih kepada kerajaan

PAS dahulu kerana...bui tanah...buii tapak rumah...buat masjid dan sekolah di sini”

perkataan ‘tanah’, ‘masjid’, dan ‘sekolah’ telah ditonjolkan dengan warna merah yang

membawa mesej keperluan asas rakyat telah ditunaikan oleh PAS (Gambar 26).

Mesejnya sebagai tanda terima kasih dan membalas segala budi yang telah ditaburkan itu

maka sewajarnyalah undi diberikan kepada PAS.

Berbanding dengan UMNO yang dikatakan tidak memberi apa-apa faedah kepada rakyat

kawasan tersebut. Sebaliknya menganiaya rakyat dengan pelbagai perbuatan rasuah,

salah laku kuasa dan sebagainya. Dakwaan ini dapat dikesan melalui satu risalah yang

berbunyi:

APA ADA PADA UMNO?

PEMBENAAN BANGUNAN RUNTUH

14

PEMBENAAN STADIUM RUNTUH

PEMBENAAN JAMBATAN RUNTUH

GEJALA RASUAH.ROMPAK.SOSIAL.

PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA

MENAFIKAN HAK RAKYAT KELANTAN

MEMBAZIRKAN WANG RAKYAT

MENOLAK AJARAN ISLAM

PEMBUNUH NO satu DIDUNIA

JADI INGATLAH

UMNO DAH JATUH (Gambar 27)

Doktrin yang ditanam dalam benak akal pengundi ini memperlihatkan bahawa UMNO

adalah satu parti yang menghianati rakyat dengan dakwaan-dakwaan yang telah

dinyatakan itu, lantaran itu tidak ada pilihan lain selain daripada memilin PAS dalam

pilihanraya nanti

Di persimpangan masuk ke kawasan Sekolah Kebangsaan Manek Urai tertera dua baner

yang berbunyi:

DEMO NOK WAT GAPAGAT?

NOK WAT MOKSIAT KOR?

TENGOKLAH POK2 UMNO MARIAJA-

RAKYAT SURUH MAKE RASUAH

DOSATU! DOSA ADALAH TEKET KENERAKA (Gambar 28)

terjemahan bebas berbunyi:

APAKAH YANG ANDA INGINKAN LAGI?

HENDAK MENGADAKAN MAKSIAT?

LIHATLAH UMNO DATANG MENGAJAR

RAKYAT DIAJARKAN MAKAN RASUAH

15

PERBUATAN ITU BERDOSA, HAL YANG DEMIKIAN AKAN MEMBAWA

KE NERAKA.

Isu agama terus dieksploitasi oleh PAS, secara tersiratnya isu kafir mengkafir ini

berterusan digemakan dalam kempen-kempen yang berbentuk ceramah. Namun, dari satu

sudut yang lain rakyat disarankan untuk menerima pemberian dari pihak kerajaan yang

dikategorikan sebagai ‘rasuah’, tetapi sekiranya rakyat mengundi UMNO akan haram lah

hukumnya. Sebaliknya jika barangan sahaja yang diambil tetapi undi tetap diberikan

kepada PAS maka ganjaran pahalalah yang akan diterima oleh pengundi tersebut.

Diikuti dengan ayat oleh BN (UMNO):

bakpo nok gomo lagi...

bui kor ambo laa manek urai ni...

nok buat kerajae perpadue ker... (Gambar 28)

terjemahan bebasnya berbunyi:

kenapa masih nak menguasai manek urai...

lepaskanlah kawasan manek urai ni...

kalau dah bercita-cita nak wujudkan kerajaan perpaduan...

Bagi memperkuatkan lagi hujah dan pemujukan yang berorientasikan keagamaan ditemui

pula sepandok yang berbunyi: “ANDA BERADA DI ZON KEBANGKITAN ISLAM –

Ruj:At-Taubah Ayat 38 (Gambar 29). Kemudian terdapat lagi satu sepanduk yang

menyusulinya yang menyatakan firman Allah,

“36. HANYASANYA ORANG-ORANG YANG MENYAHUT

SERUAN-MU ITU IALAH MEREKA YANG MENDENGAR

(YANG MAHU MENURUT KEBENARAN) SEDANG ORANG-

ORANG YANG MATI ALLAH BANGKITKAN NEREKA SEMULA

16

(PADA HARI KIAMAT KELAK), KEMUDIAN MEREKA

DIKEMBALIKAN KEPADANYA UNTUK MENERIMA BALASAN

(SURAH AL-AN AMM)

Di atas pemidang yang sama dituliskan:

“...MENJADIKAN AL QURAN SEBAGAI PERLEMBAGAAN

NEGARA JUGA MERUPAKAN SERUAN RASULILLAH MARI

KITA SAMA2 MENYAHUT SERUAN BAGINDA DAN

MEMPERJUANGKANNYA” (Gambar 30).

Isu kempen yang berkaitan dengan keagamaan kafir mengkafir tersebut disangkal

dengan satu ayat yang berbunyi, “PAS BONEKA DAP” (Gambar 31) yang

kemudiannya disebarkan dalam bentuk ceramah-ceramah kepada para pengundi. Mesej

yang hendak disampaikan oleh pihak UMNO ialah bercakap tidak seperti yang

diperkatakan dan dalam soal ini rakyat boleh membuat penilaian secara waras untuk

menetukan pilihan undi mereka nanti.

Bagi mengeksploitasi isu ketidakadilan (kezaliman kerajaan), pecah amanah dan rasuah

secara berterusan. Poster-poster yang mengandungi kata-kata seerti berikut disebarkan.

“KERAJAAN ADIL, AMANAH, BERISH DAN BERKEBAJIKAN (tulisan rumi) dan

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM (tulisan jawi) untuk membolehkan golongan

pengundi veteran membaca dan menghayatinya (Gambar 32).

Ditemui juga satu-satunya baner yang digantung pada kepala jambatan yang kecil untuk

dalam kawasan peti undi kampung Manek Urai yang berbentuk doa ke atas allahyarham

YB. Haji Ismail Yaakob. Ayat tersebut berbunyi, “Ya Allah Cucurilah Rahmat Ke atas

Roh Allayarham YB. Haji Ismail Yaakob, Al-Fatihah, Ikhlas dari : Jemaah Penyokong

Setia TOK GURU” (Gambar 33). Mesejnya untuk memperkuatkan lagi bahawa PAS

adalah parti Islam yang tulin kerana sentiasa berdoa kehadrat Illahi dalam keadaan apa

sekali pun.

17

Keadaan ini diperkukuhkan lagi dengan pemaparan gambar Mursyidul Am PAS

digunakan sepenuhnya bagi meraih undi PRK N 41, kerana kebanyakan gambar-gambar

tersebut menghiasi poster, baner, banting dan risalah-risalah. Dalam hal ini juga terdapat

gambar tersebut yang dipaparkan dan disulami dengan ayat al-Qur’an yang bermaksud:

“Masuklah kamu ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman” dan dihiasi dengan gambar

Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang memohon doa ke hadhrat Illahi yang

memberi gambaran dan mesej bahawa PAS sedang menghadapi serangan yang tidak

berdaya dilawan, sebaliknya pertolongan Illahi adalah segala-galanya dalam

menentukan kemenangan dalam pilihanraya tersebut (Gambar 34).

Demikianlah seni berbahasa dan siratan maknanya dari aspek penulisan yang dapat

dilihat dan dikesan dalam kempen PRK N 41 Manek Urai. Bahasa sebagai medium

dalam pengungkapan pemikiran telah berjaya memperlihatkan perkaitan yang rapat dan

erat dengan pemikiran seseorang. Yang kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk

ideologi untuk saling pengaruh mempengaruhi di antara satu sama lain.

Ternyatalah, bahawa segalanya telah terjawab dalam keputusan pilihanraya kecil N 41

yang berlangsung pada 14 Julai 2009 yang lepas. Dan sekali gus ianya membuktikan

bahawa peranan bahasa dalam menyebarkan kempen untuk mendapatkan undi bagi

menentukan kemenangan kepada pihak-pihak yang bertanding dalam pilihanraya

tersebut adalah memainkan peranan yang sangat penting. Hal ini demikian kerana

melalui kesenian berbahasalah ciri-ciri pengolahan yang didominasikan oleh eksposisi

yang merupakan pendedahan dan penerangan; argumentasi yang berpaksikan kepada

unsur-unsur persuasif atau pemujukan yang berupaya mengubah dan mempengaruhi

pandangan, persepsi, kepercayaan pengundi; deskriptif dengan cara memberikan fakta

atau idea secara pendedahan, penceritaan dan penerangan sehingga fakta tersebut jelas

pada bayangan pengundi; narasi dengan cara menceritakan fakta-fakta. Kesemua ciri-

ciri ini memerlukan kebijaksanaan hujah dan fakta bagi menyakini para pengundi agar

ianya dapat dijalankan dengan berkesan dan di sinilah terletaknya ‘Kesenian Berbahasa’

dalam kempen-kempen pilihanraya, khususnya dalam kempen piliharaya kecil N 41

Manek Urai.

18

BIBLIOGRAFI

Abdul Muati @ Zamri Hj. Ahmad, 2001. Pengucapan Awam. Selangor: Institut

Pendidikan dan Pembelajaran Jarak Jauh (IDEAL), UPM.

Alias Mohamed, 2008. Politik dan Ekonomi Kelantan. Kuala Lumpur: Gateway

Publishing House Sdn. Bhd..

Alias Mohamed, 1977. Ekonomi dan Politik Melayu: Ketegangan dalam UMNO 1975-

1976. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Awang Sariyan, 2006. Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bachtiar Djamily, 1976. Kenapa PAS boleh jadi PAS. Kuala Lumpur: Cerma

Rafleswaty.

John Lyons, 1977. Semantics. America: Cambridge of University Press.

Levinson, Stephen C., 1999. “From Outer to Innerspace: Linguistic Categories and

Non-linguistic-Thinking”. Dalam Jan Nuyts and Eric Pederson (eds.), 1999: 13-

45.

Mohd. Sidin Ahmad Ishak, 1992. Ketrampilan Menulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka.

Rahman Mat, 1976. Politik Bangsa Melayu. Kuala Lumpur. Penerbitan Adabi Sdn.

Bhd..

Umar Junus, 1989. Stilistik Satu Pengantar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Yahya Ismail, 1977. Krisis Politik Kelantan. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif.

Zainal Abidin Ahmad, 2002. Ilmu Mengarang Melayu (Edisi Ejaan Rumi Baharu). Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

19

LAMPIRAN

1 2 3

4 5 6

7 8 9

10 11 12

20

13 14 15

16 17 18

19 20 21

22 23 24

21

25 26 27

28 29 30

31 32 33

34

22