kertas kerja bahasa arab

14
34 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA ARAB TINGGI DARI PERSPEKTIF GURU SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN (SABK) Ali bin Muda [email protected] SMA Dato’ Haji Tan Ahmad, Jelebu, N. Sembilan. Abstrak: Salah satu faktor kelemahan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar aliran agama khususnya di Sekolah-sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) ialah Sukatan Pelajaran Bahasa Arab (SPBA) yang terlalu tinggi berbanding keupayaan mereka dalam penguasaan asas-asas bahasa Arab seperti penguasaan dalam tulisan Jawi dan kemahiran membaca al-Quran. Penggunaan SPBA tunggal untuk semua pelajar aliran agama di semua jenis sekolah menengah sedangkan mereka mempunyai aras kebolehan yang amat berbeza adalah adalah satu langkah yang kurang bijak. Ini secara jelas tidak selari dengan teori Kecerdasan Pelbagai. Para pelajar ditempatkan di sekolah-sekolah yang telah dikategorikan berdasarkan pencapaian pelajar dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa dan dipaksa mempelajari bahasa Arab berdasarkan SPBA yang sama di seluruh negara. Hal ini menyebabkan pelajar yang lemah tidak berupaya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Teknik Pembelajaran Masteri tidak dapat diaplikasikan guru kerana hambatan ujian dan peperiksaan selaras. Penyedia SPBA berdasarkan analisis keperluan pelajar di sekolah agama adalah satu langkah yang bijak untuk mengatasi masalah ini. Kekurangan guru bahasa Arab yang terlatih dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab sebagai bahasa kedua juga menjadi faktor kegagalan pelajar menguasai SPBA. Menganggap semua guru agama boleh mengajar bahasa Arab adalah satu anggapan yang jauh dari kebenaran. Buku teks yang dibekalkan ke sekolah-sekolah tidak melalui ujian kebolehbacaan (readability test) agar sesuai dengan tahap bahasa Arab pelajar di sekolah menengah. Akibatnya, pelajar tidak mendapat banyak manfaat daripada buku teks. Di samping itu, pelajar kurang memanfaatkan kamus yang mereka miliki. Ini disebabkan kamus yang ada di pasaran kebanyakannya tidak memenuhi keperluan pelajar dari segi konteks makna perkataan dan ayat. Katakunci: Sukatan Pelajaran Bahasa Arab, guru terlatih, buku teks, kamus Arab Abstract: One of the weaknesses factors in comprehending Arabic language among religious school students especially in the Government Aided Religious School (SABK) caused by the Arabic language syllabus applied in the school is very high when compared to their ability in Arabic basics such as Jawi writing and al-Quran reading skills. Applying the only one syllabus on the different students in Arabic language skills is a wrong step. It is not parallel with Multiple Intelligences theory. The students have been enrolled to the categorized schools based on their performances in the Assessment Test for Primary Schools (UPSR) and Persidangan Kebangsaan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab 2012 (PKEBAR’12) disunting oleh: Mohd Shukari Hamzah, Khazri Osman, Moktar Hussain, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Salamiah Ab. Ghani, Hakim Zainal, & Zainuddin Ismail • © Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi ISBN 978-967- 5478-49-9 http://www.ukm.my/uba/sebar2012/prosiding.htm

Upload: moktar-hussain

Post on 27-Mar-2016

387 views

Category:

Documents


12 download

DESCRIPTION

Dibentang di Seminar Bahasa Arab

TRANSCRIPT

Page 1: Kertas Kerja Bahasa Arab

34

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA ARAB TINGGI

DARI PERSPEKTIF GURU SEKOLAH AGAMA

BANTUAN KERAJAAN (SABK)

Ali bin Muda

[email protected]

SMA Dato’ Haji Tan Ahmad,

Jelebu, N. Sembilan.

Abstrak: Salah satu faktor kelemahan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar aliran

agama khususnya di Sekolah-sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) ialah Sukatan

Pelajaran Bahasa Arab (SPBA) yang terlalu tinggi berbanding keupayaan mereka dalam

penguasaan asas-asas bahasa Arab seperti penguasaan dalam tulisan Jawi dan kemahiran

membaca al-Quran. Penggunaan SPBA tunggal untuk semua pelajar aliran agama di semua

jenis sekolah menengah sedangkan mereka mempunyai aras kebolehan yang amat berbeza

adalah adalah satu langkah yang kurang bijak. Ini secara jelas tidak selari dengan teori

Kecerdasan Pelbagai. Para pelajar ditempatkan di sekolah-sekolah yang telah dikategorikan

berdasarkan pencapaian pelajar dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan

peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terpaksa dan dipaksa mempelajari bahasa

Arab berdasarkan SPBA yang sama di seluruh negara. Hal ini menyebabkan pelajar yang

lemah tidak berupaya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Teknik Pembelajaran Masteri tidak dapat diaplikasikan guru kerana hambatan ujian dan

peperiksaan selaras. Penyedia SPBA berdasarkan analisis keperluan pelajar di sekolah agama

adalah satu langkah yang bijak untuk mengatasi masalah ini. Kekurangan guru bahasa Arab

yang terlatih dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab sebagai bahasa kedua juga

menjadi faktor kegagalan pelajar menguasai SPBA. Menganggap semua guru agama boleh

mengajar bahasa Arab adalah satu anggapan yang jauh dari kebenaran. Buku teks yang

dibekalkan ke sekolah-sekolah tidak melalui ujian kebolehbacaan (readability test) agar

sesuai dengan tahap bahasa Arab pelajar di sekolah menengah. Akibatnya, pelajar tidak

mendapat banyak manfaat daripada buku teks. Di samping itu, pelajar kurang memanfaatkan

kamus yang mereka miliki. Ini disebabkan kamus yang ada di pasaran kebanyakannya tidak

memenuhi keperluan pelajar dari segi konteks makna perkataan dan ayat.

Katakunci: Sukatan Pelajaran Bahasa Arab, guru terlatih, buku teks, kamus Arab

Abstract: One of the weaknesses factors in comprehending Arabic language among religious

school students especially in the Government Aided Religious School (SABK) caused by the

Arabic language syllabus applied in the school is very high when compared to their ability in

Arabic basics such as Jawi writing and al-Quran reading skills. Applying the only one

syllabus on the different students in Arabic language skills is a wrong step. It is not parallel

with Multiple Intelligences theory. The students have been enrolled to the categorized

schools based on their performances in the Assessment Test for Primary Schools (UPSR) and

Persidangan Kebangsaan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab 2012 (PKEBAR’12) • disunting oleh: Mohd Shukari Hamzah, Khazri Osman, Moktar Hussain, Suhaila Zailani @ Hj. Ahmad, Salamiah Ab. Ghani, Hakim Zainal, & Zainuddin Ismail • © Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi • ISBN 978-967-5478-49-9 • http://www.ukm.my/uba/sebar2012/prosiding.htm

Page 2: Kertas Kerja Bahasa Arab

35

Secondary Schools Assessment (PMR) examination. But they are enforced to undergo the

single one syllabus nationwide. Therefore, the weak students are not able to catch up the

teaching and learning process and its outcomes. Sadly, the teachers cannot apply the Mastery

Learning technique because they have to finish the syllabus before the uniform tests and

examinations. Providing syllabus based on need analysis is a smart step to coup with the

problem. The small number of expert and trained teachers in teaching and learning Arabic

language is also contribute to the shortness in students‟ Arabic capability. Assuming that all

of the religious teachers can teach Arabic language is a wrong assumption. Besides, the

Arabic text books provided to the schools are not undergoing the readability test so that be

useful to the level of the secondary school students. Hence, they cannot take much benefit

from it. The students also get less interest of the available Arabic dictionaries. The lack of

contextual Arabic dictionary in the market contributes to the problem.

Keywords: Arabic language syllabus, trained teachers, text book, Arabic dictionary

PENDAHULUAN

Isu-isu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab dan Bahasa Arab Tinggi (P&P BA

& BAT) adalah amat rencam dan pelbagai ragam. Dalam semua aspek, didapati masih

banyak masalah yang dihadapi walaupun terdapat usaha-usaha yang boleh dibanggakan untuk

mengatasi masalah-masalah ini. Menurut Mat Taib Pa (2006), penguasaan bahasa Arab di

kalangan pelajar Melayu amat lemah. Kelemahan mereka pula lebih ketara berbanding

dengan pelajar-pelajar dahulu, walaupun dalam keadaan buku teks yang lebih baik,

kurikulum yang lebih mantap dan guru yang lebih berkelayakan. Kelemahan ini juga

dirasakan semakin hari semakin meningkat.1

Dalam penulisan ini, isu P&P Bahasa Tinggi (BAT) di Sekolah Agama Bantuan

Kerajaan (SABK) menjadi fokus perbincangan. Tidak dinafikan sebahagian besar isu yang

akan dibincangkan adalah juga isu yang sentiasa diperkatakan oleh guru-guru di semua jenis

sekolah menengah yang mempunyai mata pelajaran BAT, namun penulis cuba

mengetengahkan isu-isu yang menjadi permasalahan sebenar P&P BAT di SABK.

BAHASA ARAB TINGGI

Mata pelajaran yang disebut sebagai Bahasa Arab Tinggi ialah satu mata pelajaran yang

diambil murid aliran agama yang telah mengambil mata pelajaran Bahasa Arab di peringkat

peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Ia diajar kepada murid-murid Tingkatan 4

dan Tingkatan 5. Sehingga tahun 2009, ia dikenali sebagai Bahasa Arab Tinggi (BAT)

1 Dasar-dasar Umum Pengajaran Bahasa Arab di Malaysia dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab

di Malaysia, m.s. 1

Page 3: Kertas Kerja Bahasa Arab

36

dengan kod peperiksaan di Lembaga Peperiksaan 2361/1 (Kertas 1) dan 2361/2 (Kertas 2).

Mulai tahun 2010, mata pelajaran ini dikenali sebagai „Bahasa Arab‟ semula.

Objektif umum P&P Bahasa Arab di peringkat sekolah menengah ialah

“membolehkan pelajar menguasai empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur,

membaca dan menulis serta mampu mempraktiskannya mengikut tema dan situasi tertentu. Ia

juga bertujuan membekalkan pelajar dengan perbendaharaan kata, kaedah nahu dan sarf dan

hafazan-hafazan terpilih, di samping membina kemampuan pelajar menggunakan bahasa

secara betul dan membina keperibadian pelajar dengan nilai-nilai akhlak mulia”.2

Manakala objektif khusus P&P Bahasa Arab sekolah menengah pula adalah seperti berikut:

i- Mendengar dan memahami siaran-siaran (Arab) serta memperkatakannya

ii- Bercakap dengan fasih dalam situasi tertentu

iii- Membaca dan memahami bahan-bahan (bacaan Arab)

iv- Menulis dan memahami kandungan penulisan dan pelbagai jenis dan tujuan

v- Menguasai kemahiran menulis kaligrafi Arab seperti Khat Naskh, Ruq‟ah dan Thuluth

dengan kaedah yang betul.

vi- Menghafaz dan memperdengarkan hafazan-hafazan dan wazan-wazan sarf yang asas

vii- Menguasai asas kaedah nahu Arab serta mampu menggunakannya secara fungsian

viii- Menguasai sekurang-kurangnya 1,500 perbendaharaan kata Arab serta

menggunakannya dengan betul.3

SEKOLAH AGAMA BANTUAN KERAJAAN (SABK)

SABK adalah sekolah menengah agama yang dahulunya ditadbir urus oleh kerajaan-kerajaan

negeri di bawah Jabatan Agama Islam masing-masing. Kewujudan masalah-masalah

infrastruktur, sumber manusia dan latihan yang berterusan di sekolah-sekolah tersebut

membawa kepada cadangan pengambilalihan oleh kerajaan pusat. Melalui perjanjian

persefahaman (MoU) di antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan kerajaan-

kerajaan negeri yang ditandatangani pada 20084, sehingga 2010 terdapat sebanyak 139 buah

SABK di seluruh negara. Bilangan ini jauh lebih besar berbanding Sekolah Menengah

Kebangsaan Agama (SMKA) yang berjumlah 55 buah semuanya.5

2 al-Manhaj al-Mutakamil li al-Madaris al-Thanawiyyah, al-Manhaj al-Dirasi li al-Lughah al-‘Arabiyyah, m.s 3

3 Ibid.

4 Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) Di Antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kerajaan-Kerajaan

Negeri Berkaitan Pengambilalihan Sekolah Menengah Agama Negeri 2008 5 Kertas Makluman Laporan Pencapaian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dan Sekolah Agama

Bantuan Kerajaan (SABK) Dalam Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010

Page 4: Kertas Kerja Bahasa Arab

37

Daripada 139 buah SABK ini, terdapat SABK yang setaraf dengan Sekolah

Berasrama Penuh Agama (KISAS, SMAP Labu dan SMAP Kajang) / Sekolah Berasrama

Penuh Integrasi (SBPI) / Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA). SABK yang

dikatakan setaraf itu ialah seperti Sekolah Menengah Imtiaz dan SMA (Atas) Sultan Zainal

Abidin (Terengganu), Sekolah Agama Menengah Bestari (Selangor), SMA Maahad al-

Mashoor Al-Islami (P. Pinang) dan lain-lain lagi. Penarafan ini berdasarkan syarat

pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), fasih membaca

Al-Quran dan mahir tulisan Jawi untuk pengambilan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah

tersebut. SABK kategori ini penulis labelkan sebagai SABK Kelas 1.

Di samping SABK Kelas 1, terdapat SABK yang mensyaratkan pencapaian minimum

3A UPSR, boleh membaca Al-Quran dan menulis Jawi. SABK ini penulis labelkan sebagai

SABK Kelas 2. Manakala terdapat juga di sana sejumlah besar SABK yang tidak

mengenakan syarat minimum UPSR, bacaan al-Quran dan tulisan Jawi, bahkan terpaksa

menerima kehadiran pelajar Tingkatan 1 yang berminat untuk memasuki sekolah menengah

agama. Malahan kecenderungan untuk memasuki sekolah menengah agama kadang-kadang

bukan datang daripada diri pelajar itu, sebaliknya pilihan ibu bapa yang beranggapan sekolah

menengah agama mampu membentuk akhlak dan peribadi yang mulia anak-anak mereka di

zaman cabaran dunia tanpa sempadan ini. SABK yang penulis labelkan sebagai SABK Kelas

3 ini tidak membuat pemilihan dalam pengambilan pelajar Tingkatan 1 kerana jika pemilihan

dan tapisan dibuat, sudah tentu SABK kategori ini akan mengalami masalah kekurangan

murid. Di samping itu, ruang untuk masyarakat mendapatkan pendidikan agama untuk anak-

anak mereka akan menjadi sempit disebabkan pencapaian keputusan UPSR yang tidak

memberansangkan. SABK kategori ini menerima kemasukan pelajar yang tidak tahu

membaca dan menulis Jawi, buta al-Quran, bahkan ada di antaranya yang tidak fasih

membaca dan menulis rumi. Antara ketiga-tiga kategori SABK ini, penulis akan

memfokuskan isu-isu dan permasalahan P&P BAT di SABK Kelas 3.

ISU PERTAMA: Sukatan Pelajaran (SP) BAT yang sama digunakan untuk murid yang

mempunyai latar belakang kelayakan yang amat berbeza.

Tidak dinafikan Malaysia mengamalkan dasar kurikulum berpusat, iaitu satu kurikulum yang

tunggal digunakan di semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan di seluruh negara. Hal ini

termasuklah SP BAT. Persoalan yang seharusnya difikirkan oleh pihak-pihak berwajib

Page 5: Kertas Kerja Bahasa Arab

38

khususnya Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia (BPK

KPM), adakah wajar kita menyatukan pembelajaran BA dan BAT di antara murid di SABK

Kelas 3 dan murid di SBP Agama, SBPI dan SMKA? Kita sendiri yang mengasingkan

mereka di sekolah menengah berdasarkan pencapaian mereka dalam UPSR, kebolehan

mereka dalam membaca dan menulis Jawi serta al-Quran, tiba-tiba kita satukan mereka

dengan satu SP yang sama untuk mata pelajaran yang memerlukan asas-asas Jawi dan al-

Quran yang mantap seperti bahasa Arab ini. Murid terpilih kita tempatkan di SBP dan SMKA

yang mempunyai segala kemudahan dan sumber tenaga pengajar yang mencukupi dan

terlatih, manakala murid lemah dan rata-rata miskin kita tempatkan di SABK Kelas 3 dengan

segala kekurangan infrastruktur dan tenaga pengajar yang tidak mencukupi dan tidak terlatih.

Dengan perbezaan status sekolah yang amat jauh ini, kita mewajibkan mereka belajar dan

bersaing dengan SP, penilaian dan peperiksaan yang sama dan seragam. Adakah ini suatu

kewajaran dan keadilan untuk murid-murid ini? Sedangkan SP Bahasa Arab yang

dikeluarkan KPM sendiri menyatakan:

Sepatutnya kita mengasingkan SP bahasa Arab untuk para pelajar di Malaysia. Satu

SP untuk kelompok pelajar di SBP Agama, SBPI, SMKA dan SABK Kelas 1 yang terpilih

dan mempunyai potensi untuk menyambung pengajian di universiti negara Timur Tengah

atau universiti tempatan dalam pengkhususan bahasa Arab. Mereka ini diunjurkan untuk

menjadi pelapis dan penambah nilai kepada guru bahasa Arab dan guru agama yang masih

kekurangan kuantiti dan kepakaran sekarang.

Satu SP bahasa Arab lagi ialah untuk pelajar di SABK Kelas 2 dan SABK Kelas 3

yang memasuki sekolah agama kerana minat mereka atau keluarga mereka kepada

pendidikan agama. Ketika di peringkat menengah rendah, mereka boleh diajar bahasa Arab

dengan SP yang sama dengan kelompok pertama di atas sehingga menduduki peperiksaan

PMR. Apabila mereka tidak menguasai SP bahasa Arab sehingga peperiksaan PMR, maka

apabila mereka naik ke Tingkatan 4 di sekolah yang sama dan tidak berpindah ke sekolah

6 al-Manhaj al-Mutakamil li al-Madaris al-Thanawiyyah, al-Manhaj al-Dirasi li al-Lughah al-‘Arabiyyah, m.s2

Page 6: Kertas Kerja Bahasa Arab

39

menengah harian, mereka diajar menggunakan SP bahasa Arab khusus untuk mereka

mengikut keperluan sebenar mereka. Sebagai contoh, mereka boleh diajar bahasa Arab

khusus untuk memahami ibadat solat, wirid dan doa seharian. Mereka diharapkan menjadi

seorang muslim yang faham agama mereka, berakhlak mulia dan mampu memimpin

komuniti mereka seperti menjadi imam dan bilal.

Pelajar-pelajar SABK Kelas 3 yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah

Rendah (PMR) dan memperolehi keputusan yang baik, mereka akan diberi pilihan untuk

berpindah ke SBP atau SMKA. Selalunya mereka akan berpindah ke sekolah yang lebih baik.

Sekali lagi murid di SABK Kelas 3 ini disaring untuk naik ke Tingkatan 4. Kebanyakan

mereka yang tinggal di SABK Kelas 3 ini memperolehi keputusan gagal “E” atau lulus “D”

dalam mata pelajaran BA PMR. Namun dengan segala kelemahan itu, sekali lagi mereka

dipaksa mengambil mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi yang sememangnya tinggi dan hanya

sesuai untuk murid-murid yang memperolehi sekurang-kurangnya „B‟ dalam PMR. Inilah

yang dilakukan pengurusan SBPI di mana murid yang gagal mencapai „A‟ atau „B‟ dalam

subjek Bahasa Arab PMR akan ditawarkan ke Tingkatan 4 aliran Sains Tulen atau Sains

Teknikal dengan menggugurkan subjek BAT. Malangnya murid-murid di SABK Kelas 3

yang gagal „E‟ subjek BA PMR pun dipaksa dan terpaksa mengambil subjek BAT dalam

Tingkatan 4.

Analoginya seolah-olah murid yang gagal dalam Matematik Moden PMR dipaksa

mengambil Matematik Tambahan semasa di Tingkatan 4. Inilah perkara yang amat tidak

masuk akal telah berlaku sekian lama kepada subjek BAT di SABK Kelas 3 khususnya.

Justeru, apakah yang ingin kita suarakan? Apakah murid di SABK Kelas 3 yang gagal subjek

BA PMR tidak boleh mempelajari bahasa Arab di Tingkatan 4 dan seterusnya? Jawabnya

tidak. Mereka boleh mempelajari bahasa Arab tetapi bukan bahasa Arab dengan SP BAT

yang dipelajari rakan-rakan mereka di SBP Agama, SBPI dan SMKA. Mereka wajib diberi

pilihan untuk mempelajari bahasa Arab mengikut keperluan mereka sebagai seorang muslim.

Mereka perlu mempelajari bahasa Arab yang mereka gunakan di dalam solat, wirid dan doa

mereka sehari-hari. Di sinilah letaknya kepentingan membuat analisis keperluan (need

analysis) sebelum sesuatu kurikulum itu dilaksanakan ke atas golongan sasar. Pelajar yang

tidak mahir menulis Jawi dan membaca al-Quran tidak mungkin mampu menguasai

Page 7: Kertas Kerja Bahasa Arab

40

kandungan SP BAT. Pelajar ini mungkin mempunyai kecerdasan dan potensi yang lain. Dan

dari sinilah juga idea P&P Bahasa Arab untuk tujuan khas perlu diberi perhatian.7

Berdasarkan petunjuk pencapaian BA mereka dalam PMR, tiada keperluan untuk

mereka membuang masa mempelajari sesuatu subjek yang sudah diketahui mereka akan

gagal atau lulus di tahap minimum sahaja di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Apalah ertinya belajar bahasa Arab selama lima tahun dan berakhir dengan kegagalan yang

telah boleh dijangkakan berdasarkan tahap penguasaan tulisan Jawi, bacaan al-Quran dan

kegagalan mereka menguasai asas-asas bahasa Arab di peringkat PMR.

Sebagai contoh, peratus kelulusan calon PMR 2009 (42 orang) untuk subjek Bahasa

Arab di SMA Dato‟ Haji Tan Ahmad, Jelebu, N. Sembilan ialah 28.6%. 39 orang daripada

calon-calon ini telah menduduki peperiksaan SPM 2011 di sekolah yang sama dengan peratus

kelulusan 56.4%. Daripada 56.4% yang lulus ini, 41.0% mendapat kelulusan tahap minimum

„D‟ (7 orang) dan „E‟ (9 orang), manakala 43.6% (17 calon) daripada jumlah calon

keseluruhan mendapat keputusan gagal „G‟. Bila dijumlahkan calon yang mendapat „D‟, „E‟

dan „G‟ (33 calon) maka peratus yang boleh dikira tidak menguasai SP BAT ialah 84.6%. Ini

jelas menunjukkan keupayaan calon menguasai subjek BAT tidak jauh berbeza dengan

penguasaan mereka di peringkat BA PMR.

Jadual 1: Analisa Pencapaian BA PMR 2009 – 2011 SMA Dato‟ Haji Tan Ahmad

TA

HU

N

BIL

CA

LO

N

A B C D E LULUS

BIL

% BIL

% BIL

% BIL

% BIL

% BIL

%

2011

41 2 4.9 0 0.0 9 22.0 13 31.7 17 41.5 24 58.5

2010

27 1 3.7 0 0.0 3 11.1 5 18.5 18 66.7 9 33.3

2009

42 0 0.0 2 4.8 2 4.8 8 19.0 30 71.4 12 28.6

7 Ta’lim al-Lughah al-‘Arabiyah li Aghradh Khassah: al-Nazarah al-Awwaliyyah dalam Pengajaran Dan

Pembelajaran Bahasa Arab Di Malaysia, m.s. 151. Berkaitan model Pengajaran Bahasa Arab Untuk Tujuan

Khas, sebuah buku bertajuk al-‘Arabiyyah li al-‘Ibadah telah dihasilkan oleh sekumpulan guru bahasa Arab di

Pusat Bahasa UIAM.

Page 8: Kertas Kerja Bahasa Arab

41

Jadual 2: Analisa Pencapaian BAT SPM 2009 – 2011 SMA Dato‟ Haji Tan Ahmad

TA

HU

N

BIL

CA

LO

N

A B C D E G LULUS

BIL

% BIL

% BIL

% BIL

% BIL

% BIL

% BIL %

2011

39 1 2.6 1 2.6 4 10.3 7 17.9 9 23.1 17 43.6 22 56.4

2010

30 0 0.0 3 10.0 7 23.3 1 3.3 9 3.0 10 33.3 20 66.7

2009

28 0 0.0 0 0.0 0 0.0 8 28.6 12 42.9 8 28.6 20 71.4

Penulis tidaklah mengatakan kelompok pelajar SABK Kelas 3 yang tidak mahir

tulisan Jawi, bacaan Al-Quran dan asas-asas bahasa Arab tidak layak diajar bahasa Arab.

Tetapi penulis berpendapat golongan pelajar ini sebenarnya mempunyai kecerdasan yang lain

daripada kecerdasan Verbal-Linguistik yang berkebolehan menggunakan kata-kata secara

berkesan dalam lisan dan penulisan serta bercakap tentang bahasa itu sendiri. Jika diberi

peluang, mereka boleh menyerlahkan potensi dalam sekurang-kurangnya salah satu bidang

kecerdasan daripada lapan bidang kecerdasan menurut pakar Teori Kecerdasan Pelbagai

(Multiple Intelligences).8

Kelompok pelajar ini boleh diajar bahasa Arab dan boleh menguasainya jika guru-

guru berpeluang mengaplikasikan strategi Pembelajaran Masteri kepada mereka. Dalam

strategi Pembelajaran Masteri, guru perlu menyedari bahawa murid mempunyai kebolehan

dan keperluan yang berbeza. Justeru itu, murid memerlukan pendekatan P&P yang sesuai dan

berkesan. Dengan prinsip bahawa murid normal boleh mempelajari apa yang diajarkan oleh

guru, maka murid dan guru itu memerlukan masa yang mencukupi untuk menguasai sesuatu

hasil pembelajaran yang ditentukan. 9

Namun, guru-guru amat terikat dengan penilaian dan peperiksaan selaras dan seragam

dalam bentuk Ujian Pertama (Mac), Peperiksaan Pertengahan Tahun (Mei), Ujian Kedua

(Julai), Percubaan PMR (Ogos), Ujian Ketiga (September), PMR dan peperiksaan Akhir

8 Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran, m.s. 9

9 Pembelajaran Masteri, m.s. 3

Page 9: Kertas Kerja Bahasa Arab

42

Tahun (Oktober) serta peperiksaan SPM (November). Hambatan ujian dan peperiksaan,

peratusan pelajar yang mendapat „A‟ dan peratusan lulus menyebabkan guru dan pelajar tidak

mempunyai masa yang cukup untuk menguasai sesuatu topik.

ISU KEDUA: Kekurangan guru bahasa Arab yang cekap dan terlatih

P&P bahasa Arab untuk para pelajar Malaysia memerlukan guru yang cekap dan terlatih

dalam pedagogi P&P bahasa untuk bukan penutur. Di antara mengajar bahasa ibunda dan

bahasa kedua atau bahasa asing ada perbezaan yang besar. Untuk mengajar bahasa kedua

kepada bukan penutur memerlukan kemahiran tentang kaedah, teknik, pendekatan dan

strategi yang khusus dan berbeza dengan mengajar ilmu agama.10

Ramai yang berpandangan

bahawa apabila seseorang itu bergelar ustaz atau ustazah dan berkelulusan bidang agama,

maka dia boleh mengajar bahasa Arab. Inilah satu kesilapan yang besar. Kerap berlaku guru

yang dilatih di bawah opsyen Pendidikan Islam dihantar mengajar di sekolah yang

memerlukan guru opsyen Bahasa Arab. Sebaliknya guru yang dilatih di bawah opsyen

Bahasa Arab dihantar mengajar di sekolah yang tidak menawarkan subjek Bahasa Arab, lalu

dia mengajar subjek Pendidikan Islam. Hal ini berlaku kerana anggapan ustaz dan ustazah

boleh mengajar Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.

Memang tidak dapat dinafikan guru opsyen Pendidikan Islam juga dilatih secara

minor untuk mengajar Bahasa Arab, tetapi latihan secara minor tidak mencukupi untuk

membimbing pelajar untuk menguasai SP BA apatah lagi BAT. Janganlah terperanjat

sekiranya guru yang sudah belasan tahun mengajar BA masih tidak mampu bercakap dalam

bahasa Arab di perhimpunan pagi di sekolah. Malahan masih ramai guru yang telah lama

ditugaskan mengajar BA tidak mampu membina ayat dalam bahasa Arab dengan betul seperti

tidak dapat membezakan penggunaan Alif Laam al-Ta’rif untuk al-Idhafah dan al-Na’tu/al-

Shifah, tidak mengetahui secara pasti bilakah huruf Ya al-Nisbah perlu diletakkan pada al-

Shifah. Ini belum dikira kemahiran menceduk uslub atau gaya bahasa Arab untuk

dipersembahkan kepada pelajar.

Jika kita serius untuk meninggikan martabat bahasa Arab di negara ini, keadaan ini

tidak boleh dibiarkan. Latihan dan kursus kemahiran berkaitan P&P bahasa Arab untuk guru-

guru hendaklah diadakan secara berterusan. Sudah tentu ia tidak mencukupi hanya dengan

10

Fan Tadris al-Lughah al-‘Arabiyyah li ghayr al-‘Arab, m.s. 254

Page 10: Kertas Kerja Bahasa Arab

43

latihan semasa ijazah pertama dan kursus perguruan lepasan ijazah sahaja. Pihak berwajib

seperti Bahagian Pendidikan Guru KPM dan jabatan-jabatan pelajaran negeri (JPN) mesti

berperanan melatih guru secara berterusan.

Guru-guru bahasa Arab dan pendidikan Islam sendiri hendaklah sentiasa proaktif

untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang P&P bahasa Arab apabila ditugaskan

mengajar bahasa Arab. Amanah yang dipikul dengan bayaran gaji daripada harta rakyat

hendaklah ditunaikan sebaik mungkin. Mereka hendaklah merasa bangga dan bersyukur

diberi peluang menajamkan ilmu yang telah dipelajari di pusat-pusat pengajian tinggi (input)

dengan memahirkan diri dalam aspek penyampaian dan perkongsian dengan anak didik

(output) pula. Tidak wajar sama sekali guru-guru agama yang tidak dilatih dengan opsyen

major bahasa Arab merasa terbeban dengan tugas mengajar bahasa Arab.

Salah satu cara yang berkesan untuk para guru meningkatkan kemahiran dalam

bidang P&P bahasa Arab ialah dengan menambah bahan bacaan dalam bidang tersebut.

Guru-guru bahasa Arab hendaklah mempunyai akses dan menguasai kaedah-kaedah

pengajaran bahasa kedua seperti Kaedah Terus / Langsung / Tentera (Direct Methode /

Toriqah al-Mubasyarah), Induktif (Inductive Methode / al-Toriqah al-Istiqraiyyah), Deduktif

(Deductive Methode / al-Toriqah al-Qiyasiyyah) dan kaedah-kaedah P&P bahasa kedua yang

pelbagai lagi.

Menurut Rohaty (2007), guru yang dikatakan berkesan menguasai subjek-subjek yang

akan diajarnya. Menguasai subjek bererti menguasai konsep-konsep, teori-teori, prinsip-

prinsip, fakta-fakta dan skema-skema dalam disiplin yang diajar.11

Guru-guru bahasa Arab juga hendaklah menguasai strategi pembelajaran yang sesuai dengan

kehendak pendidikan masa kini dan masa depan. Strategi pembelajaran Konstruktivisme,

Pembelajaran Masteri, aplikasi teori Kecerdasan Pelbagai, Pembelajaran Berasaskan Masa

Depan dan sebagainya lagi hendaklah berada dalam pengetahuan, pemahaman dan

kebolehgunaan guru-guru bahasa Arab.

Selain daripada itu, pakar-pakar bahasa Arab di pusat-pusat pengajian tinggi

sepatutnya membuka ruang dan peluang akses untuk guru-guru bahasa Arab di sekolah

terhadap bahan-bahan prosiding seminar, kolokium, tesis dan disertasi yang khusus berkaitan

P&P bahasa Arab sebagai bahasa kedua. Bahan-bahan bacaan yang amat berharga itu tidak

seharusnya dijadikan mutiara yang tersimpan di kutub khanah universiti dan Jabatan

Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) di KPM sahaja. Salinan pendua

11

Profesion Perguruan, m.s. 206

Page 11: Kertas Kerja Bahasa Arab

44

kepada bahan-bahan bernilai ini sepatutnya dipanjangkan kepada Bahagian Pendidikan Islam

(BPI) KPM dan JPN untuk diperbanyakkan ke sekolah-sekolah yang menawarkan

pembelajaran bahasa Arab.

ISU KETIGA: Tahap buku teks yang amat tinggi berbanding kemampuan murid.

Jika ditanyakan soalan kepada guru-guru yang mengajar subjek BA di mana-mana sekolah

sekalipun, sudah pasti mereka akan menjawab buku teks yang disediakan terlalu tinggi dan

tidak sesuai dengan aras kemampuan pelajar. Buku teks sepatutnya menjadi bahan bantu

belajar di mana pelajar boleh membuat rujukan dengan pantas. Malangnya, buku teks yang

ada umpama beban yang dipikul pelajar ke sana ke mari tanpa mendapat faedah daripadanya,

tidak ubah seperti keldai yang membawa sebeban lembaran ilmu yang tidak difahaminya.

Pelajar hanya dapat manfaaat daripada buku teks apabila ia dibaca bersama guru. Jadi tidak

hairanlah apabila guru hanya menterjemahkan segala kandungan dalam buku teks dan pelajar

„menggantungkan‟ makna di bawah setiap perkataan Arab di dalam buku teks tersebut.

Keperluan para pelajar belum dipenuhi dengan hanya mewujudkan buku teks yang

menawan bila dipandang. Kajian tentang kebolehbacaan (readability) sesebuah buku teks

hendaklah dilaksanakan sebelum diedarkan ke sekolah. 12

Dalam satu laporan oleh School

Renaissance Institute (2000) menyatakan usaha memadankan tahap kebolehbacaan sesebuah

buku agar sesuai dengan tahap kebolehan membaca pelajar boleh membantu ke arah kejayaan

seseorang pelajar serta mampu memupuk motivasi mereka. Laporan itu juga menyatakan

usaha mengukur kebolehbacaan sesebuah buku teks merupakan langkah pertama yang perlu

diambil bagi memastikan buku teks yang digunakan sesuai dengan tahap kebolehan pelajar.13

Pasukan panel kawalan mutu mungkin telah melakukan yang terbaik untuk memastikan

ketepatan standard yang dikehendaki oleh Bahagian Buku Teks (BBT) KPM (walaupun

kesalahan fakta, ejaan dan nahu masih wujud dengan banyaknya di dalam sesetengah buku

teks bahasa Arab di sekolah), tetapi bagaimanakah BBT boleh memastikan para pelajar boleh

memanfaatkan semaksimum mungkin buku-buku teks yang diterbitkan dengan kos jutaan

ringgit.

12

Fan Tadris al-Lughah al-‘Arabiyyah li ghayr al-‘Arab, m.s. 268

13 Mengukur Kebolehbacaan Bahan-bahan Bacaan Bahasa Arab dalam Pendidikan Islam & Bahasa Arab

Pemangkin Peradaban Ummah (Prosiding Seminar), m.s. 108-109

Page 12: Kertas Kerja Bahasa Arab

45

Salahkah jika kita melakukan anjakan paradigma dengan mengeluarkan buku teks

bahasa Arab yang membolehkan para pelajar membaca dan memahami sendiri apa yang

dibaca? Salahkah jika BBT menerbitkan buku teks yang menerangkan kaedah-kaedah nahu

Arab dalam bahasa Melayu dengan contoh-contoh perbandingan yang ada dalam bahasa

ibunda mereka itu? Sebagai contoh, bab al-Fi’l al-Mabni li al-Ma’lum wa al-Mabni li al-

Majhul boleh dibandingkan dengan operasi imbuhan awalan „me-„ dan „di-‟ dalam bahasa

Melayu. Perkataan Arab akala (huruf pertama dan akhir berbaris di atas - fathah) membawa

maksud „telah memakan‟ akan berubah menjadi maksud „telah dimakan‟ apabila baris huruf

pertama ditukar ke baris depan (dhammah) dan huruf sebelum akhir dibaris bawah (kasrah);

ukila. Cara ini lebih mudah difahami pelajar berbanding cara yang digunakan buku teks sedia

ada yang menerangkan kaedah nahu Arab sepenuhnya dalam bahasa Arab dalam semua buku

teks Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Apalah salah kiranya al-Fi’l al-Mabni li al-Majhul itu

digandingkan juga dengan Past Participle dalam nahu bahasa Inggeris di mana semua pelajar

telah mempelajari bahasa Inggeris selama sekurang-kurangnya enam tahun di sekolah rendah.

Amalan dalam buku teks bahasa Arab selama ini seolah-olah ingin memberitahu bahawa

menerangkan kaedah nahu bahasa Arab dengan bahasa yang telah difahami pelajar adalah

satu kesalahan, dosa besar dan menyalahi undang-undang. Juga seolah-olah buku teks bahasa

Arab yang memasukkan perkataan selain Arab untuk memudahkan pelajar memahami adalah

buku yang tiada „class‟.

Dalam kajian di sebuah sekolah SMKA terhadap faktor-faktor pembelajaran yang

mempengaruhi pencapaian pelajar dalam BAK, Ainon (2004) mendapati faktor buku teks

tidak menunjukkan hubungan yang signifikan dengan pembelajaran pelajar. Sebaliknya

pencapaian pelajar banyak dihubungkaitkan dengan kecenderungan mereka merujuk kepada

guru. Lebih membimbangkan, menurut Misnan (1999) dan Wan Roslan (2004), faktor

kejayaan pelajar dalam peperiksaan banyak disumbangkan oleh pembelajaran berorientasikan

peperiksaan di mana mereka lebih bergantung kepada buku rujukan menjawab soalan

peperiksaan serta hafalan, bukan buku teks.14

Jika pelajar terpilih di SMKA masih tidak dapat

memanfaatkan buku teks untuk meningkatkan pencapaian mereka, cubalah anda bayangkan

14

Mengukur Kebolehbacaan Bahan-bahan Bacaan Bahasa Arab dalam Pendidikan Islam & Bahasa Arab

Pemangkin Peradaban Ummah (Prosiding Seminar), m.s. 112

Page 13: Kertas Kerja Bahasa Arab

46

apakah yang akan dapat diperolehi daripada buku teks yang sama oleh pelajar di SABK Kelas

3?.

ISU KEEMPAT: Kekurangan kamus yang benar-benar membantu pelajar menguasai

bahasa Arab

Pelbagai kamus dwi-bahasa, bahkan tri-bahasa di pasaran. Dari segi kuantiti memang telah

banyak. Tetapi dari segi kualiti dan kebolehgunaan dengan berkesan bagi para pelajar

peringkat sekolah, belum ada kamus yang dimaksudkan di pasaran Malaysia. Kamus yang

ada boleh dimanfaatkan oleh pelajar yang telah menguasai asas-asas nahu dan sarf Arab.

Tetapi bagi pelajar yang baru berjinak dengan bahasa Arab, deretan kamus yang ada belum

cukup membantu dalam pembelajaran akses kendiri. Apabila dilihat objektif SP Bahasa Arab

KPM, agak sukar pelajar hendak mencapainya dengan kamus yang sedia ada.

Menurut Rosni (2006), proses pembelajaran dengan menggunakan pelbagai kamus

bahasa dapat membantu pelajar menguasai kosa kata dengan baik. Pelajar perlu diajar

mencatat dan menghafal perkataan yang ditemuinya. Pelajar tidak akan dapat mengetahui

makna perkataan baru yang ditemuinya melainkan dengan cara merujuk kamus. Guru

berperanan dalam membimbing pelajar menggunakan kamus dan menterjemahkan makna

mengikut kehendak ayat. Kamus hendaklah dipelbagaikan dan tidak hanya memadai dengan

sesebuah kamus sahaja bagi menambah pelbagai pengetahuan tentang makna perkataan yang

dicari. Tanpa kamus pelajar akan menghadapi kesulitan dalam penguasaan kosa kata. Begitu

juga pelajar hendaklah membawa kamus persendirian ke dalam kelas. Guru pula hendaklah

meminta pelajar mencari makna sendiri bagi membantu mereka dalam memahami bahan

bacaan.15

KESIMPULAN

Pengajaran dan pembelajaran BAT di sekolah-sekolah SABK Kelas 3 hendaklah dilihat

semula dari segi keperluan pelajar terhadap kandungan SP BAT itu sendiri. Keperluan ini

pula hendaklah diukur dengan kelayakan para pelajar tersebut berdasarkan pencapaian

mereka dalam UPSR dan PMR. Keperluan sebenar pelajar sekolah menengah agama di

Malaysia terhadap pencapaian dan penguasaan keempat-empat kemahiran bahasa Arab

15

Pembelajaran Bahasa Arab Sebagai Bahasa Kedua Melalui Pendekatan Kosa Kata Dan Bina Ayat dalam

Pendidikan Islam & Bahasa Arab Pemangkin Peradaban Ummah (Prosiding Seminar), m.s. 274

Page 14: Kertas Kerja Bahasa Arab

47

seperti yang termaktub dalam objektif SP Bahasa Arab juga memerlukan kajian lebih

mendalam. Walaupun menguasai bahasa Arab itu bermaksud menguasai keempat-empat

kemahiran bahasa, adakah semua rakyat Malaysia perlu bercakap Arab? Ini amat penting

agar kita tidak menjulang retorik yang muluk-muluk dalam objektif P&P bahasa Arab,

sedangkan kita sendiri mengetahui dan menyedari bahawa objektif itu tidak mungkin tercapai

dengan infrastruktur, sumber manusia dan persediaan yang kita lakukan.

Pihak-pihak yang berwajib perlu berganding bahu untuk menggariskan semula hala

tuju pendidikan bahasa Arab di Malaysia. Guru-guru bahasa Arab di sekolah, pakar-pakar

P&P bahasa kedua khususnya bahasa Arab di universiti dan bahagian-bahagian yang

berkenaan di Kementerian Pelajaran Malaysia perlu sentiasa duduk semeja mencari

penyelesaian kepada permasalahan P&P bahasa Arab secara umumnya dan P&P BAT di

SABK Kelas 3 khususnya.

RUJUKAN

Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM). (2006). al-Manhaj al-Mutakamil li al-Madaris

al-Thanawiyyah – al-Manhaj al-Dirasi li al-Lugah al-‘Arabiyyah. Kuala Lumpur:

Kementerian Pelajaran Malaysia

Kamarulzaman Abdul Ghani, Hasan Basri Awang Mat Dahan & Nik Mohd Rahimi Nik

Yusoff. (2006). Mengukur Kebolehbacaan Bahan-bahan Bacaan Arab –Satu

Keperluan Dalam Konteks Pendidikan. Prosiding Seminar Pendidikan Islam & Bahasa

Arab Pemangkin Peradaban Ummah. Bangi: Fakulti Pendidikan UKM

Mohd Rosdi Ismail & Mat Taib Pa. (2006). Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab di

Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya

Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff, Kamarulzaman Abdul Ghani & Mowaffaq Abdullah Al-

Qusyeri. (2008). Fan Tadris al-Lughah al-‘Arabiyyah lighayr al-‘Arab. Kuala Lumpur.

Percetakan Watan Sdn. Bhd.

Norzaini Azman & Mohamed Sani Ibrahim. (2007). Profesion Perguruan. Bangi: Fakulti

Pendidikan UKM

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai Dalam

Pengajaran Dan Pembelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Pembelajaran Masteri. Kuala Lumpur:

Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosni Samah. (2006). Pembelajaran Bahasa Arab Sebagai Bahasa Kedua Melalui

Pendekatan Kosa Kata Dan Bina Ayat. Prosiding Seminar Pendidikan Islam & Bahasa

Arab Pemangkin Peradaban Ummah. Bangi: Fakulti Pendidikan UKM