jurnal kajian tindakan

Upload: ajinonan

Post on 03-Nov-2015

15 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

utk umum

TRANSCRIPT

PENGGUNAAN PETA BULATAN i-THINK UNTUK MENINGKATKAN KEFAHAMAN MURID TAHUN 4 DALAM TAJUK SISTEM SURIA DI SEKOLAH KEBANGSAAN FELCA BUKIT KEPONG MUAR, JOHOR.

NORHAYAZIN BIN ONAN

ABSTRAKTujuan utama kajian ini adalah untuk meningkatkan kefahaman murid Tahun 4 dalam konsep Sistem Suria dengan menggunakan Peta Bulatan i-THINK. Kajian ini melibatkan seramai 30 orang responden yang terdiri daripada 17 orang murid lelaki dan 13 orang murid perempuan dari Tahun 4 Sarjana di Sekolah Kebangsaan Felcra Bukit Kepong Muar, Johor. Semua responden adalah berbangsa Melayu. Tindakan kajian dijalankan dengan menggunakan Peta Bulatan i-THINK semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan Peta Bulatan i-THINK digunakan sebagai alat bantu mengajar semasa aktiviti kumpulan yang dijalankan oleh murid-murid. Data kajian diikutip dengan menggunakan dua instrumen, iaitu ujian dan borang soal selidik bagi tujuan triangulasi. Borang soal selidik dilakukan selepas perlaksanaan kajian dijalankan Data dikumpul, direkod dan dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif iaitu min dan peratus. Seterusnya data tersebut diterjemahkan dalam bentuk jadual, graf dan carta pai untuk setiap responden. Hasil analisis data menunjukkan perubahan positif dicapai. Purata peratus keseluruhan meningkat daripada 65% kepada 76.5% bagi ujian sebelum dan selepas tindakan. Selain itu bilangan responden yang memperolehi gred A turut menunjukkan peningkatan dari 7 orang responden kepada 16 orang responden. Hasil daripada soal selidik juga menunjukkan bahawa 76.7% responden bersetuju bahawa penggunaan Peta Bulatan i-THINK dapat membantu mereka dalam menjawab soalan yang berkaitan dengan Sistem Suria. Ini menunjukkan bahawa penggunaan Peta Bulatan i-THINK adalah berkesan dalam meningkatkan kefahaman murid dalam konsep Sistem Suria.

1.0 PENDAHULUAN. Hasil daripada pengalaman mengajar topik Sistem Suria bagi Tahun 4, didapati beberapa masalah telah dikenalpasti. Antaranya adalah murid mempunyai masalah mengingat dan memahami konsep. Selain itu murid ragu-ragu dan tidak dapat menjawab soalan lisan yang ditanya dengan betul dan peratus yang dapat menjawab soalan pengukuhan dalam tajuk Sistem Suria sangat rendah.

Persoalan utama yang bermain di minda penyelidik adalah adakah strategi pengajaran yang menyebabkan murid tidak dapat mengingati fakta dan ilmu yang diterima di dalam kelas ? Justeru itu penyelidik telah menjalankan sesi temubual secara tidak formal bersama sepuluh orang murid yang dipilih secara rawak bagi mengetahui punca sebenar kepada permasalahan yang penyelidik hadapi ini. Hasilnya amat mengejutkan kerana enam daripada sepuluh murid yang penyelidik temubual itu memberikan jawapan yang sama iaitu tidak dapat mengingati fakta-fakta yang diberikan dan memahami konsep serta perbezaan yang terdapat dalam ahli-ahli Sistem Suria dan seterusnya menyebabkan mereka tidak dapat menjelaskan perbezaan yang terdapat pada ahli-ahli Sistem Suria.

Penyelidik berpendapat, jika tiada sebarang penambahbaikkan dilakukan, penyelidik yakin bahawa murid-murid penyelidik bakal berdepan dengan masalah dalam menguasai topik yang berkaitan dengan Sistem Suria dan seterusnya menganggu penguasaan mereka dalam menjawab soalan bahagian A semasa peperiksaan UPSR nanti. Keadaan ini membolehkan murid-murid penyelidik gagal dalam peperiksaan. Sebagai seorang guru, adakah penyelidik mahu murid-murid penyelidik gagal dalam peperiksaan? Ini membuatkan penyelidik berfikir, sebagai seorang guru, penyelidik harus merancang pelajaran supaya dapat mengekalkan ingatan murid dan memberikan kefahaman terhadap apa yang telah dipelajarinya. Namun bagaimanakah ini dapat ditingkatkan ? Apakah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dapat mengukuhkan lagi pemprosesan maklumat yang diterima murid semasa proses pembelajaran?

2.0 FOKUS KAJIANMenerusi tinjauan, penyelidik dapati murid bermasalah dalam memahami dan mengingati konsep dan fakta-fakta yang terkandung di dalam topik Sistem Suria. Masalah ini dapat penyelidik perhatikan setelah mengkaji beberapa isu dan keprihatinan terhadap penambahbaikan dalam proses pengajaran yang dilakukan.

Selepas penyelidik menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran bagi topik Sistem Suria kepada kelas 4 Sarjana, didapati murid kelas tersebut berjaya menerima dan mengingati segala maklumat yang telah disampaikan oleh guru. Justeru itu, hasil pembelajaran pada hari tersebut berjaya dicapai. Akan tetapi, apabila soalan lisan ditanya berkaitan dengan fakta dan konsep yang terdapat pada setiap planet didapati hampir 70% murid tidak dapat menjawab dan memberikan jawapan yang salah terhadap pertanyaan yang diajukan. Penyelidik merasakan teknik dan strategi pengajaran yang digunakan mungkin kurang sesuai dan bertepatan dengan tahap kognitif murid menjadi faktor penyumbang kepada masalah tersebut.

Berdasarkan kepada hasil keputusan latihan yang diberikan kepada murid setelah selesai mempelajari topik Sistem Suria, dapat diperhatikan ramai murid dari kelas tahun 4 Sarjana tidak dapat memperolehi secara keseluruhan jawapan yang betul bagi latihan yang diberikan. Daripada 30 orang murid, 8 orang murid dapat menjawab dengan betul semua latihan yang diberikan, 6 orang murid dapat menjawab 6 daripada 10 soalan latihan yang diberikan dan 16 orang murid berada ditahap lemah dimana mereka hanya dapat menjawab dengan betul kurang daripada 5 soalan yang ditanya. Soalan latihan adalah untuk mencungkil tahap kefahaman dan daya ingatan mereka terhadap apa yang telah dipelajari. Selepas menyemak latihan murid, penyelidik mendapati bahawa terdapat murid yang masih keliru dengan fakta-fakta penting yang berkaitan dengan planet dan ahli-ahli dalam Sistem Suria.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

Secara umumnya kajian ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang keberkesanan penggunaan Peta Bulatan i-THINK dalam sesuatu topik pelajaran sains . Objektif khusus kajian adalah Untuk meningkatkan kefahaman, murid Tahun 4 dalam tajuk Sistem Suria dengan menggunakan Peta Bulatan i-THINK. Seterusnya persoalan kajian yang cuba dijawab adalah Adakah Peta Bulatan i-THINK dapat meningkatkan kefahaman murid 4 Sarjana tentang Sistem Suria?

4.0 KUMPULAN SASARAN

Kumpulan sasaran adalah terdiri daripada murid tahun 4 kerana topik yang hendak dikaji adalah di bawah sukatan rancangan pelajaran tahun 4. Sampel kajian yang penyelidik gunakan adalah seramai 30 orang murid dari sebuah kelas 4 Sarjana SK Felcra Bukit Kepong Muar Johor. Rasional kepada pemilihan kelas 4 Sarjana ini ialah penyelidik merupakan guru yang mengajar mereka matapelajaran Sains dan ini akan memudahkan penyelidik mengaplikasikan segala teknik dan strategi semasa proses pengajaran dan pembelajaran oleh guru. Murid-murid ini yang terdiri daripada 13 murid perempuan dan seramai 17 orang murid lelaki.

5.0 TINDAKAN

5.1 PRLAKSANAAN INTERVENSI Aktiviti 1: Memperkenalkan peta pemikiran i-THINK Peta Bulatan. Langkah 1:Guru memberikan penerangan tentang peta bulatan i-THINK. Bagaimana bentuk dan cara menggunakannya. Tujuan guru memperkenalkan peta bulatan ini adalah bagi membolehkan murid-murid membuatnya dalam aktiviti kumpulan nanti. Langkah 2.Guru membimbing murid-murid untuk membuat Peta Bulatan mengikut kumpulan masing-masing. Beberapa tajuk yang mudah diberikan. Antara tajuk yang digunakan untuk mempraktikan Peta Bulatan yang dipelajari adalah:1. Keluarga Saya.2. Benda Hidup3. Sekolah saya.4. Makanan Seimbang.Guru meminta beberapa wakil kumpulan untuk membentangkan Peta Bulatan yang telah dihasil di hadapan kelas.

Aktiviti 2: Mengajar tajuk Sistem Suria menggunakan Peta Bulatan. Langkah 1. Guru mengajar murid seperti biasa bagi tajuk Sistem Suria. Guru menerangkan tentang fakta dan konsep yang terdapat dalam topik Sistem Suria.

Langkah 2. Guru membahagikan murid mengikut kumpulan dan meminta murid membuatkan peta bulatan i-THINK bagi tajuk Sistem Suria yang telah dipelajari. Langkah 3. Peta Bulatan yang telah siap ditampalkan di hadapan kelas. Setiap wakil kumpulan diminta untuk membuat perbentangan. Perbandingan maklumat yang ditulis di dalam peta bulatan bagi setiap kumpulan diperhatikan.

Langkah 4 Untuk memastikan setiap murid dapat memahami fakta dan konsep di samping mengingati apa yang telah dipelajari, guru akan memberikan latihan soalan objektif secara individu kepada setiap murid pada sesi pengajaran dan pembelajaran berikutnya.

5.2 CARA MENGUMPULKAN DATA

Dua instrumen kajian telah digunakan oleh penyelidik dalam kajian ini iaitu soal selidik dan kertas ujian. Penyelidik telah menggunakan set ujian sebelum tindakan dan set ujian selepas tindakan . Ujian sebelum dan selepas tindakan adalah sama. Tujuan penggunaan soalan yang sama adalah untuk membolehkan penyelidik membuat perbandingan antara keputusan ujian sebelum tindakan dijalankan dan selepas tindakan dijalankan. Melalui perbandingan ini, penyelidik boleh menilai sama ada tindakan yang dijalankan adakah berkesan ataupun tidak. Walaubagaimana pun susunan nombor soalan ditukar bagi mengelakkan murid mengingat soalan dan jawapan.

Soal selidik merupakan langkah kedua dalam mengumpul data dan borangnya diedarkan selepas ujian dilaksanakan. Ianya bertujuan untuk mengenalpasti penerimaan penggunaan Peta Bulatan i-THINK dan keberkesanan penggunaannya dalam proses pengajaran tajuk Sistem Suria. Soal selidik meminta murid memberikan skala pada setiap soalan yang ditanya. Terdapat 5 item yang ditanyakan dalam soal selidik ini. Menerusi soal selidik penyelidik dapat mengetahui keberkesanan penggunaan Peta Bulatan i-THINK dalam proses pengajaran dan tanggapan murid-murid terhadap penggunaan Peta Bulatan i-THINK.

5.3 CARA MENGANALISIS DATA

Penyelidik menggunakan kaedah analisis kuantitatif untuk menganalisis data Ujian Sebelum Tindakan dan Ujian Selepas Tindakan. Kaedah analisis kuantitatif menggunakan pengiraan perbezaan markah antara Ujian Sebelum Tindakan dan Ujian Selepas Tindakan. Selain itu min peratus pencapaian dalam ujian sebelum tindakan dan peratus pencapaian dalam ujian selepas tindakan diperbandingkan.

Bagi instrument soal selidik, kekerapan dalam kotak soalan dihitung dalam bentuk peratusan (%). Peratusan dikira dengan mengambil kekerapan dan dibahagikan dengan jumlah bilangan responden dan nilainya didarab dengan 100. Prosedur pengiraan yang sama digunakan untuk mengira kotak-kotak item yang lain. Untuk menentukan min bagi setiap item, jumlah skor bagi satu-satu item perlu dibahagikan dengan kekerapan

6.0 ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA

Hasil analisis yang diperolehi menerusi ujian adalah purata peratusan markah ujian sebelum tindakan adalah 65% dan purata peratusan markah ujian selepas tindakan adalah 76.5%. Peningkatan sebanyak 11.5% diperolehi hasil perbezaan kedua-dua ujian yang telah dijalankan. Selain perbandingan purata peratusan markah, perbandingan gred yang diperolehi dari kedua-dua ujian yang telah dijalankan responden juga menunjukkan peningkatan. Gred A Ujian Sebelum Tindakan Tindakan adalah sebanyak 7 (23.3%) manakala Ujian Selepas Tindakan adalah 16 (53.3%). Bagi gred C pula penurun telah berlaku dimana Ujian Sebelum Tindakan adalah 8 dan (26.7%), Ujian selepas Tindakan adalah 3 (10%). Ini menunjukkan satu peningkatan yang telah diperolehi oleh semua responden setelah kajian dijalankan.

Merujuk kepada analisis soal selidik yang dijalankan soalan 1, seramai 22 orang responden menjawab mereka setuju, 5 tidak setuju dan 3 tidak pasti. Data ini membuktikan responden bersetuju untuk lebih faham tentang apa yang mereka pelajari berkaitan Sistem Suria menggunakan Peta Bulatan i-THINK dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menerusi soalan ke 2, seramai 25 orang responden bersetuju untuk menyatakan bahawa penggunaan Peta Bulatan i-THINK membantu mereka mengingat apa yang dipelajari untuk jangka masa yang lama bagi tajuk Sistem Suria. Hanya 2 orang responden yang tidak bersetuju dan 3 orang responden tidak pasti tentangnya. Menerusi Soalan yang ke 3, seramai 27 orang responden memberikan jawapan bahawa mereka bersetuju melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kumpulan yang dijalankan. Hanya 2 orang responden tidak bersetuju dan seorang tidak pasti. Data ini menunjukkan bahawa murid-murid memang amat mengemari proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan komunikasi 2 hala dan aktiviti kumpulan.

Merujuk kepada soalan yang ke 4, seramai 23 orang responden bersetuju menyatakan bahawa penggunaan Peta Bulatan i-THINK dapat membantu mereka dalam menjawab soalan yang berkaitan Sistem dengan Suria lebih baik. Hanya 5 orang yang tidak bersetuju dan 2 orang responden kurang pasti. Bagi Soalan yang ke 5, seramai 26 orang responden bersetuju dengan penyataan yang menyatakan bahawa penguasaan mereka dalam tajuk Sistem Suria semakin bertambah dengan penggunaan Peta Bulatan i-THINK dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya 2 orang tidak bersetuju dan 2 orang tidak pasti dengan jawapan mereka.

Secara keseluruhannya, daripada jawapan responden yang diperolehi menunjukkan bahawa mereka menerima penggunaan Peta Bulatan i-THINK dalam proses pengajaran dan tanggapan dan penggunaan Peta Bulatan i-THINK memberikan kesan yang baik dalam meningkatkan lagi penguasaan dan kefahaman mereka dalam tajuk Sistem Suria. 7.0 DAPATAN KAJIAN.

Dalam kajian tindakan ini, persoalan yang menjadi fokus utama penyelidik adalah murid tidak dapat menguasai konsep Sistem Suria. Oleh itu objektif yang ingin dicapai adalah untuk meningkatkan kefahaman murid Tahun 4 dalam topik Sistem Suria dengan menggunakan Peta Bulatan i-THINK.Secara keseluruhannya, boleh dikatakan bahawa objektif kajian ini telah tercapai. Keadaan ini dapat dibuktikan menerusi data yang diperolehi melalui instrumen utama yang telah dijalankan iaitu Ujian Sebelum Tindakan dan Ujian Selepas Tindakan. Peningkatan sebanyak +11.5 % purata peratus keseluruhan meyakinkan penyelidik. Selain itu bilangan responden yang mendapat gred A juga menunjukkan peningkatan yang signifikan di mana 7 (23.3%) orang yang mendapat gred A semasa Ujian Sebelum Tindakan telah meningkat kepada 16 (53.3%) orang responden semasa Ujian Selepas Tindakan. Bagi gred C pula, Ujian Sebelum Tindakan, bilangan responden yang mendapat gred C adalah seramai 8 (26.7%) orang responden telah menurun menjadi 3 (10%) orang responden.

Perubahan gred yang berlaku kepada responden yang mendapat gred B kepada gred A , gred C kepada gred B di dalam Ujian Selepas Tindakan juga menunjukkan bahawa penggunaan Peta Bulatan i-THINK ini memberikan kesan yang positif di mana rata-rata responden menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Seramai 14 orang responden menunjukkan peningkatan bagi julat 5% hingga 10%. Seramai 10 orang responden menunjukkan peningkatan bagi julat 11% hinggga 15% dan bagi julat 16% hingga 20% adalah seramai 6 orang responden.

Menerusi instrumen yang kedua iaitu soal selidik, penyelidik dapati responden telah dapat menerima penggunaan Peta Bulatan i-THINK dalam tajuk Sistem Suria disamping ianya membantu dalam meningkatkan kefahaman mereka dalam tajuk yang telah dipelajari. Situasi ini dapat dibuktikan melalui item yang ditanya kepada semua responden. Menerusi soalan pertama yang ditanya seramai 73.3% responden bersetuju bahawa mereka lebih faham berkaitan Sistem Suria dengan menggunakan Peta Bulatan i-THINK. Bagi soalan yang kedua sebanyak 83.3% responden bersetuju penggunaan Peta Bulatan i-THINK dapat membantu mereka mengingat dengan lebih lama bagi tajuk Sistem Suria.

Seterusnya bagi soalan yang ketiga sebanyak 90% responden melibatkan diri secara aktif dalam menghasilkan Peta Bulatan i-THINK. Untuk soalan penggunaan Peta Bulatan i-THINK dapat membantu dalam menjawab soalan yang berkaitan Sistem Suria dengan lebih baik sebanyak 76.7% responden telah bersetuju. Bagi soalan yang kelima sebanyak 86.7% responden telah bersetuju bahawa penguasaan mereka semakin bertambah dalam tajuk Sistem Suria apabila menggunakan Peta Bulatan i-THINK dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

8.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA.

Penggunaan Peta Bulatan i-THINK dapat meningkatkan prestasi murid dalam memahami konsep sains dalam tajuk Sistem Suria dan membantu murid untuk belajar secara berkumpulan dan berdikari disamping meningkatkan motivasi diri murid. Melalui aktiviti pembinaan Peta Bulatan dapat membantu murid berkomunikasi dengan baik dan melibatkan diri secara aktif dalam sumbang saran.

Walaubagaimana pun terdapat kekurangan apabila kajian tindakan ini dilaksanakan dan perlu adanya penambahbaikan untuk mengukuhkan lagi dapatan kajian ini. Antaranya pengenalan dan pengetahuan yang agak kurang berkaitan dengan penggunaan Peta Pemikiran. Disebabkan Peta Pemikiran i-THINK ini merupakan sesuatu benda yang baru, jadi murid mahupun guru agak kurang jelas dan faham bagaimana cara untuk menggunakannya. Adalah lebih baik sekiranya murid dan guru diberikan pendedahan yang lebih jitu bagaimana penggunaan Peta Pemikiran i-THINK ini. Pihak sekolah mahupun pihak yang berkenaan bolehlah mewar-warkan penggunakan Peta Pemikiran ini sebagai alat bantu mengajar guru di sekolah. Selain itu Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) berkaitan Peta Peminikiran ini boleh dibuat untuk semua guru di sekolah. Sekiranya semua guru telah mahir menggunakannya jadi amat mudah untuk memberikan tunjuk ajar kepada anak murid mereka.

Selain daripada itu, penggunaan Peta Bulatan i-THINK ini bukan hanya sesuai digunakan untuk matapelajaran sains atau hanya untuk sesuatu topik sahaja, tetapi ianya amat bersesuai untuk digunakan bagi semua matapelajaran yang diajar di sekolah. Guru perlu bijak untuk mengguna dan menyesuaikannya. Adalah digalakkan sekiranya kajian ini diteruskan untuk matapelajaran lain atau untuk topik-topik lain.

9.0 KESIMPULAN DAN REFLEKSI.

Hasil daripada dapatan data yang telah dianalisis, dapat dirumuskan bahawa penggunaan Peta Bulatan i-THINK telah membantu murid menguasai tajuk Sistem Suria disamping menambahkan minat dan penglibatan mereka dalam aktiviti kumpulan. Murid-murid merasa seronok dan teruja apabila mereka diberikan ruang untuk membuat sendiri Peta Bulatan mengikut kumpulan masing-masing. Penglibatan yang ditunjukkan oleh murid-murid juga menunjukkan strategi yang digunakan telah berjaya.

Dapat disimpulkan kajian tindakan adalah satu cara yang efektif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi terutama dalam proses pengajaran. Pada asasnya, setiap kajian merupakan akar kepada kajian tindakan seterusnya. Selain itu kajian yang dijalankan merupakan jalan terbaik untuk setiap guru memperbaiki amalan pengajaran yang dilaksanakan di sekolah. Sebagai seorang guru kita perlu bijak menangani masalah pembelajaran yang dihadapi oleh anak didik kita dan perlu cuba menangani masalah tersebut dengan sebaik mungkin. Ini kerana setiap anak didik kita mempunyai tahap penguasaan yang berbeza dan cara mereka menerima ilmu yang disampaikan oleh guru juga berbeza. Dengan itu guru tidak boleh hanya menggunakan satu pendekatan atau strategi dalam menyampaikan ilmu kepada anak didik mereka.

Secara kesimpulannya proses pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap pemahaman murid merupakan isu yang sangat penting. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada semua anak muridnya tanpa mengira mereka itu dari golongan yang mempunyai tahap kognitif yang tinggi atau lemah. Menerusi kajian tindakan yang telah dijalankan, diharapkan penggunaan Peta Bulatan i-THINK yang telah dilaksanakan dapat membantu murid dalam meningkatkan kefahaman mereka dalam konsep sains.

Lampiran CSoalan UjianNama:.Kelas :

1. Antara yang berikut, manakah yang bukan planet?I BumiII BulanIII KometIV MeteorA. I dan IIC. I, II dan IVB. II, III dan IVD. I, II, III dan IV

2. Salah satu planet dalam Sistem Suria mempunyai ciri-ciri yang berikut.

Planet yang terkecil dalam Sistem suria.Planet yang paling jauh dari MatahariPlanet yang paling sejuk dalam Sistem Suria

Apakah planet itu?A. MarikhC. BumiB. PlutoD. Uranus

3. Antara penyataan yang berikut, manakah tidak benar tentang Sistem Suria?A. Sistem Suria terdiri daripada planet-planet sahaja.B. Matahari adalah pusat Sistem Suria.C. Semua planet dalam Sistem Suria bergerak mengelilingi matahari.D. Semua planet dalam Sistem Suria menerima cahaya dan haba daripada Matahari.

Borang Soal SelidikLampiran DNama:........................................Umur:....................... Jantina:.........................................Arahan:Tandakan ( ) pada kotak yang disediakan samada anda setuju atau tidak setuju dengan penyataan yang diberikan.Petunjuk 1 - Tidak Pasti2.- Tidak Setuju3- SetujuITEM1 23Kekerapan, Jumlah Skor & Min

1. Saya merasa lebih faham apa itu Sistem Suria dengan menggunakan Peta Bulatan i-THINK semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

2. Penggunaan Peta Bulatan i-THINK dapat membantu saya mengingat lebih lama dalam tajuk Sistem Suria.

3. Saya melibatkan diri secara aktif dalam menghasilkan Peta Bulatan i-THINK sewaktu guru mengajar di kelas.

4. Penggunaan Peta Bulatan i-THINK dapat membantu saya menjawab soalan berkaitan Sistem Suria dengan lebih baik.

5. Penguasaan saya dalam Tajuk Sistem Suria bertambah dengan penggunaan Peta Bulatan i-THINK

Jumlah