isl 1- peristiwa 13 mei 1969
DESCRIPTION
islTRANSCRIPT
PERISTIWA 13 MEI 1969
PENGENALAN
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi berdarah yang banyak meninggalkan
kesan terhadap politik , ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Peristiwa 13 Mei
sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba atau kerana
sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-
sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Kesan pendudukan Jepun di
Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada
peristiwa 13 Mei. Selain itu kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat
sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Amalan diskriminasi oleh Inggeris
contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah
Melayu.
Dari sudut ekonomi peristiwa 13 Mei, banyak meninggalkan kesan yang negatif
terhadap masyarakat Melayu khasnya golongan bumiputera. Pengenalan ekonomi
mengikut ras umpamanya adalah bukti yang jelas kepada persoalan ini. Keadaan ini
merupakan suatu kesan yang nyata selepas penjajahan British.Dasar ekonomi baru
yang dirancangkan oleh kerajaan pada 1971 merupakan satu usaha bertujuan untuk
mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum di Malaysia.
PUNCA-PUNCA YANG MEMBAWA KEPADA PERISTIWA 13 MEI 1969
1. LAYANAN BERAT SEBELAH OLEH TENTERA JEPUN
Pada zaman pendudukan Jepun, masyarakat Tanah Melayu telah dilayan secara
berbeza-beza. Masyarakat Cina umpamanya telah dilayan dengan begitu teruk oleh
tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun
yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling
mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat
sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang-orang Melayu dan
Cina.
2. DASAR PECAH & PERINTAH PENJAJAH INGGERIS
Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah merupakan
satu tindakan yang berkesan dan telah menjadi punca wujudnya jurang antara kaum
sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum. Umpamanya orang-orang
Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-
kawasan lombong sebagai pelombong dan merekalah sebenarnya memiliki aset
yang tinggi dalam ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu
tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India kebanyakannya
pula sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Pada hakikatnya kegiatan
ekonomi orang-orang Melayu dan India adalah bercorak sara diri. Keadaaan ini
menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu
menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam
kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka
tidak seimbang.
3. LATAR BELAKANG PENDIDIKAN YANG BERBEZA
Latar belakang pendidikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang
membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei. Hal ini berlaku apabila sistem
pendidikan yang wujud di Tanah Melyu sebelum merdeka terbahagi kepada empat
aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Kempat-empat
aliran ini mempunyai kurikulum yang tersendiri. Sekolah Melayu menekankan
kemahiran menulis, membaca dan mengira sekadar keperluan peringkat rendah
sahaja. Manakala kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing
berkiblatkan negeri asal mereka, malah buku-buku teks dan guru-guru yang
mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan India. Keadaan ini telah
mengukuhkan lagi keadaan keperibadian etnik yang telah sedia wujud. Sekolah
Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina dan India yang tinggal di
bandar-bandar sahaja.
4. PERTELINGKAHAN PARTI POLITIK
Dalam pilihan raya 1964 Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP Singapura telah
turut serta dalam pilihan raya . Walaupun sudah ada persetujuan antara Tunku dan
Lee Kuan Yew sebagai pemimpin PAP yang tidak akan menyertai pilihan raya itu,
namun apabila pilihan raya itu berlangsung PAP telah meletak calonnya seramai
sembilan orang.
Bagaimanapun setelah Tunku membuat perisytiharan bahawa beliau tetap
mengekalkan keanggotaan MCA dalam perikatan, maka PAP yang gagal untuk
menyertai Perikatan telah menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO
dan orang-orang Melayu. Mereka mula membangkitkan kedudukan istimewa orang
Melayu, soal bahasa, malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu turut
dipersoalkan tanpa menghiraukan rasa tersinggung orang-orang Melayu.
Sedangkan segala-galanya telah dipersetujuinya sebelum ini. Setelah gagal dalam
pilihan raya, PAP telah menubuhkan Konvensyen Perpadauan Malaysia (KPM)
dengan disertai oleh Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak. KPM
juga telah menyebarkan cogan kata "Malaysia hak orang Malaysia" (Malaysian
Malaysia) dengan tujuan supaya hak istimewa orang Melayu atau bumiputera
dihapuskan .
5. PERASAAN TIDAK PUAS HATI TERHADAP HAK ISTIMEWA ORANG
MELAYU
PAP telah secara lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang
disebut sebagai hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan. Mereka
mendakwa hak kaum-kaum lain telah diketepikan kononnya mereka telah tersisih
daripada keadilan. Oleh sebab itu menurut Jomo dalam bukunya "Pembangunan
Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia", isu sebenar yang
mencetuskan peristiwa 13 Mei adalah perasaan tidak puas hati terhadap hak
istimewa orang Melayu.
Namun hakikat sebenarnya kedudukan taraf ekonomi orang Melayu adalah
terkebawah berbanding dengan kaum Cina.
6. BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA RASMI NEGARA
Isu bahasa juga tidak kurang pentingnya dalam menyumbangkan faktor kepada
peristiwa 13 Mei. Berikutan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957, sebuah
perlembagaan Persekutuan telah dibentuk yang antara lainnya menyatakan dengan
jelas tentang kedudukan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah sebagai
bahasa rasmi negara. Selepas sepuluh tahun merdeka kerajaan akan mengkaji
semula tentang kedudukan bahasa Inggeris dengan tujuan untuk mengugurkannya
daripada status bahasa rasmi dan hanya bahasa Melayu sahaja yang diiktiraf
sebagai bahasa rasmi. Untuk mencapai tujuan itu, pada 31 Ogos 1967 kerajaan
telah mengadakan pelbagai kegiatan bagi tujuan memperluaskan penggunaan
bahasa Melayu. Antara kempen yang dijalankan ialah Hari Bahasa Kebangsaan,
Minggu bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pelaksanaan
penggunaan Bahasa Kebangsaan telah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
dengan dipimpim oleh Syed Nasir bin Ismail.
KESIMPULAN
Peristiwa pahit 13 Mei 1969 bukan sahaja dicatat sebagai sejarah pertelingkahan
kaum yang menggariskan sempadan - sempadan yang harus diteliti dan dipelihara
oleh semua pihak, malah ia turut memaparkan rahsia-rahsia pembinaan
negarabangsa yang mencakupi bidang-bidang politik, sosial dan ekonomi serta
betapa pentingnya integrasi nasional. Andaikata petanda-petanda yang diperolehi itu
gagal dimanfaatkan sudah tentu cita-cita untuk membina Malaysia sebagai sebuah
negara maju dan makmur akan menjadi bayangan sahaja.