hsm 216 - soalan 2 (perlis)

17
1.0 PENGENALAN Negeri Perlis yang merupakan salah satu negeri Melayu utara telah dipilih untuk dikaji dalam tugasan ini. Kerajaan Perlis pada awalnya merupakan sebahagian daripada Kerajaan Kedah. Pemisahan Perlis daripada Kedah telah bermula pada tahun 1770 apabila Sultan Muhammad Jiwa memberikan tiga buah daerah iaitu Kubang Pasu, Setul dan Perlis kepada Tunku Dhiauddin sebagai ‘ubat penenang’ agar tidak berlaku perebutan atau rampasan takhta dalam pentadbiran Kedah. 1 Secara rasminya, Tunku Dhiauddin menjadi pembesar Perlis yang pertama. Perkara ini merupakan satu tempoh peralihan kepada kerajaan Kedah di mana bermulalah pengasingan kuasa pentadbiran Perlis secara tidak langsung daripada kerajaan Kedah. Namun begitu, hal ini pada peringkat awalnya tidak menjejaskan kedudukan Kedah sebagai kuasa pusat pemerintahan bagi daerah Perlis kerana pembesarnya merupakan anak Sultan Kedah. Kemunculan Perlis sebagai sebuah kerajaan yang sendiri bermula daripada usaha untuk mengeluarkan Perlis daripada pemerintahan Kedah apabila Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II 1 Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) Monograph No.32, hlm 40-41.

Upload: najihah-tarmizi

Post on 14-Sep-2015

240 views

Category:

Documents


8 download

DESCRIPTION

sejarah

TRANSCRIPT

1.0 PENGENALAN

Negeri Perlis yang merupakan salah satu negeri Melayu utara telah dipilih untuk dikaji dalam tugasan ini. Kerajaan Perlis pada awalnya merupakan sebahagian daripada Kerajaan Kedah. Pemisahan Perlis daripada Kedah telah bermula pada tahun 1770 apabila Sultan Muhammad Jiwa memberikan tiga buah daerah iaitu Kubang Pasu, Setul dan Perlis kepada Tunku Dhiauddin sebagai ubat penenang agar tidak berlaku perebutan atau rampasan takhta dalam pentadbiran Kedah.[footnoteRef:1] Secara rasminya, Tunku Dhiauddin menjadi pembesar Perlis yang pertama. Perkara ini merupakan satu tempoh peralihan kepada kerajaan Kedah di mana bermulalah pengasingan kuasa pentadbiran Perlis secara tidak langsung daripada kerajaan Kedah. Namun begitu, hal ini pada peringkat awalnya tidak menjejaskan kedudukan Kedah sebagai kuasa pusat pemerintahan bagi daerah Perlis kerana pembesarnya merupakan anak Sultan Kedah. [1: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) Monograph No.32, hlm 40-41.]

Kemunculan Perlis sebagai sebuah kerajaan yang sendiri bermula daripada usaha untuk mengeluarkan Perlis daripada pemerintahan Kedah apabila Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah II mengurniakan Perlis kepada Syed Hussein Jamalullail sebagai membalas jasa Syed Hussein yang membantu Kedah menyerang balik serangan Siam-Ligor ke atas Kedah bersama-sama Tunku Anum dan Tunku Bisnu.[footnoteRef:2] Penaklukan Siam di Kedah pada 1821 hingga 1841 telah mengecilkan wilayah Kedah dengan tujuan melemahkan kekuatan Kedah. Kewujudan Perlis sebagai sebuah negeri selepas tempoh tersebut akhirnya benar-benar terjadi. Negeri lain yang wujud ketika itu juga ialah Setul dan Kubang Pasu. Namun negeri-negeri ini tidak bertahan sebagai sebuah kerajaan sendiri seperti Perlis kerana tidak berjaya menghadapi tekanan daripada Siam mahupun Kedah. Tunku Bisnu yang menjadi pemerintah Setul ketika tempoh penaklukan Siam, terpaksa melepaskan takhta selepas negeri tersebut diambil alih secarang langsung oleh Siam pada awal kurun ke-20. Negeri Kubang Pasu dibawah Tengku Anum pula terpaksa diserahkan semula kepada Kedah setelah Tengku Anum meninggal dunia.[footnoteRef:3] [2: Buyong Adil, (1981), Sejarah Perlis, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 2-3.] [3: Mohd Isa Othman, (2002), Sejarah Malaysia (1880-1963), Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., hlm 7.]

Siam telah banyak memberikan tekanan kepada Kedah yang secara tidak langsung tekanan ini mempengaruhi pemerintahan Perlis semasa Perlis masih lagi berada di bawah Kedah. Selepas Perlis menjadi sebuah kerajaan baru yang terpisah daripada Kedah pada tahun 1841, pemerintah Perlis seperti sedar bahawa mereka pasti akan menerima tekanan secara langsung daripada Kerajaan Siam. Begitu juga dengan kerajaan Kedah yang tidak mugkin akan berdiam diri dan ingin merampas kembali penguasaan negeri Perlis berada dibawah kerajaan Kedah seperti sebelum ini.Oleh hal yang demikian, kaedah yang terbaik bagi mengelakkan tekanan langsung daripada Siam dan menjaga kedaulatan negeri Perlis yang baru sahaja berkerajaan sendiri perlu dilakukan oleh pemerintah-pemerintah Perlis. Perlis telah melakukan beberapa kaedah atau langkah bijak bagi menyelesaikan hal ini teutamanya dalam menjaga hati Maharaja Siam melalui hubungan baik dengan kerajaan Siam yang secara tidak langsungnya turut berjaya menyekat hasrat Kedah untuk menguasai semula Perlis. Pelbagai kaedah lain juga digunakan oleh Perlis bagi memastikan mereka tidak akan menerima tekanan daripada kerajaan Siam dan juga mengelakkan Kedah daripada mencampuri urusan pentadbiran negeri Perlis yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan kemnbali Perlis sebagai wilayah di bawah Kedah. Hal ini merupakan perkara yang dibincangkan dalam tugasan ini.

2.0 ISIKaedah yang digunakan oleh Perlis dalam menghadapi dan menangani tekanan daripada Siam ialah dengan membayar ufti dalam bentuk bunga emas dan perak. Perlis dikatakan tidak pernah ketinggalan dalam menghantar bunga emas dan perak kepada Siam. Langkah ini sangat penting bagi negeri Perlis untuk menampakkan Perlis sebagai sebuah negeri naungan Siam yang unggul. Melalui kaedah ini juga, Perlis dapat mengelakkan serangan daripada Siam atas dasar tiada alasan bagi Siam untuk menyerang Perlis sebagaimana yang pernah dilakuakan oleh Siam ke atas Kedah pada 1821.[footnoteRef:4] [4: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 95.]

Perlis telah menghantar tidak kurang daripada 20 buah bunga emas dan perak pada setiap tiga tahun bermula dari tahun 1841 hingga 1909. Bayaran ufti bunga emas dan perak ini menjadi satu kepentingan atau agenda utama bagi kerajaan Perlis. Salah satu pendapatan wang untuk membiayai bunga emas dan perak ini ialah dikutip daripada rakyat lelaki dewasa.[footnoteRef:5] Pembayaran bunga emas dan perak ini sebenarnya telah menyebabkan ekonomi Perlis turut terjejas. Perlis pernah hampir muflis menjelang awal abad ke-20. Seorang pelawat asing iaitu W.W. Skeat yang melawat negeri Perlis ketika dalam satu ekspedisi pada tahun 1900, telah menyatakan bahawa jumlah hasil tahunan negeri Perlis adalah dalam $27,000 yang mana ianya tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaan kerajaan.[footnoteRef:6] Beliau turut juga menyatakan bentuk pembayaran bunga emas yang dibuat oleh Perlis kepada Siam. [footnoteRef:7] [5: Mohd Isa Othman, (2002), Sejarah Malaysia (1880-1963), hlm. 30.] [6: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 98.] [7: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 96.]

Berlaku persaingan antara Perlis dan Kedah dalam penghantaran bunga emas dan perak kepada Siam. Kedua-dua negeri ini berlumba-lumba mengambil hati Siam. Kedah menganggap kedudukan Perlis lebih rendah memandangkan jumlah penghantaran bunga emas dan perak bagi Perlis lebih kecil berbanding Kedah. Siam sebenarnya tidak menetapkan sebarang jumlah penghantaran bunga emas kerana jumlah tersebut bergantung kepada kemampuan sesebuah negeri naungan Siam tersebut.Kaedah seterusnya yang digunakan oleh Perlis untuk menangani dan menghadapi tekanan daripada Siam ialah dengan menunjukkan ketaatan kepada kerajaan Siam. Hal ini penting bagi mendapatkan kepercayaan yang kuat daripada Maharaja Siam. Bukan itu sahaja, kaedah ini juga perlu bagi mengelakkan sebarang syak wasangka yang negatif dalam pemikiran pemerintah Siam terhadap pemerintah Perlis. Hal ini bagi memastikan tiada tekanan yang diberikan oleh Siam terhadap Perlis dan pastinya ingin menjaga hubungan yang baik dengan Siam untuk kepentingan kedudukan Perlis agar tidak diganggu gugat oleh kerajaan Kedah.Contoh yang paling ketara yang dilakukan oleh pemerintah Perlis untuk menunjukkan ketaatsetiaan terhadap Siam adalah dengan meminum air taat dalam upacara-upacara perayaan di Siam. Amalan meminum air taat dihadapan Maharaja Siam merupakan cara simbolik bagi raja-raja Melayu untuk melafazkan ketaatan kepada penaung iaitu Maharaja Siam. Raja Syed Hussein misalnya telah pergi ke Bangkok untuk mengahadiri upacara pembakaran mayat mendiang Rama III dan juga pertabalan Rama IV atau Maharaja Mongkut sebagai pengganti Rama III pada tahun 1851. Raja Syed Hussein sekali lagi menghadirkan diri dalam upacara pembakaran mayat dan pertabalan Maharaja Siam pada 1868. Kali ini ialah upacara pembakaran mayat mendiang Maharaja Mongkut dan pertabalan Maharaja Chulalongkorn atau Rama V. [footnoteRef:8] [8: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 94-95.]

Kehadiran Syed Hussein dalam upacara-upacara ini menunjukkan satu taat setia yang dilakukan oleh Raja Perlis untuk menjaga hubungan baik dengan Siam. Malah, dalam upacara keagamaan ini, ada diantaranya yang bertentangan dengan ajaran Islam termasuklah meminum air taat kepada Maharaja Siam. Pastinya Syed Hussein tidak senang hati dengan upacara seperti ini, namun, perasaan itu terpaksa diketepikan untuk kepentingan Perlis.Ketaatsetiaan terhadap Maharaja Siam penting apabila Raja Syed Hussein ingin memohon menjadi pembantu Raja Long Krok atau Paduka Seri Maharaja Lela. Dalam hal ini, Siam telah mengenakan tekanan tidak langsung kepada Perlis iaitu Rama III merombak pemerintahan Kedah. Hal ini semestinya memberikan kesan kepada daerah Perlis yang ketika itu dalam cubaan ingin menjadi sebuah kerajaan yang bebas sepenuhnya daripada kerajaan Kedah. Rama III telah menghantar Chaophraya Yomraj dan Phraya Siphipat untuk melakukan rombakan pemerintahan Kedah dan mereka mencadangkan untuk melantik pembesar-pembesar Melayu sendiri yang memegang jawatan sebagai pembantu Raja Long Krok. Pada ketika ini, seseorang pembesar Melayu yang ingin menjadi pemerintah Perlis perlu dilantik oleh Maharaja Siam itu sendiri. Syarat yang dikenakan untuk menjadi pembantu Raja Long Krok ialah pembesar itu mesti mempunyai pertalian dengan bekas Sultan. Namun, apa yang lebih penting sekali ialah pembesar Melayu itu mesti setia kepada Maharaja Siam. Ini merupakan peluang yang baik kepada Syed Hussein. Tidak lama selepas itu mejadi Raja Perlis yang rasmi apabila empat bulan kemudian Raja Long Krok meninggal dunia.[footnoteRef:9] [9: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 90.]

Hubungan yang baik dengan pemerintahan Siam terutamanya apabila mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Maharaja Siam penting bagi Perlis untuk menghadapi tekanan daripada Siam mahupun daripada Kedah. Hal ini sangat jelas ditunjukkan ketika Raja Syed Sofi berani memerintahkan pegawai-pegawainya untuk memulaukan Syed Mansor yang telah dihantar oleh Sultan Kedah, iaitu Sultan Abdul Hamid. Chulalongkorn pada 7 April 1897 telah melantik Sultan Abdul Hamid sebagai Pesuruhjaya Penguatkuasaan Monthon Saiburi yang dengan tujuan mengetatkan kawalan pusat ke atas negeri naungan-naungannya termasuklah daerah Perlis. Melalui konsep Monthon ini, beberapa daerah disatukan ke dalam Monthon yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi atau Khaluang Thesabhipan yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri.[footnoteRef:10] Berbalik kepada tujuan Syed Mansor dihantar ke Perlis, tujuannya adalah untuk membantu melancarkan pemerintahan Raja Perlis. Namun begitu, kehadiran beliau tidak disambut baik oleh anggota pemerintahan Perlis. Tiada teguran daripada pemerintah Siam tentang apa yang dilakukan oleh Raja Syed Sofi kerana baginda mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga Maharaja Siam di mana baginda pernah menjadi anak angkat Maharaja Siam ketika menuntut di Bangkok.[footnoteRef:11] Membina sebuah hubungan yang baik ini juga boleh dikatakan sebagai satu kaedah yang diguna pakai oleh pemerintah Perlis bagi menghadapi tekanan yang diterima oleh mereka. [10: Muhammad Isa Othman, (1990), Politik Tradisional Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 59-60.] [11: Muhammad Isa Othman, (1990), Politik Tradisional Kedah 1681-1942, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm 62.]

Selain itu, kaedah yang turut digunakan oleh pemerintah Perlis dalam menghadapi tekanan daripada Siam ialah melalui pemberontakan dan pakatan sulit. Pemberontakan dan pakatan sulit dilakuakan secara bersama dengan golongan kerabat Diraja Kedah. Syed Hussein ingin melepaskan diri daripada kuasa penaung Siam terutama sekali wakil Maharaja iaitu Raja Ligor yang sebenarnya banyak memberi tekanan kepada Perlis dan juga Kedah.[footnoteRef:12] Tahun 1821, askar-askar Siam-Ligor yang diketuai oleh Phya Sina Nuncit iaitu anak Raja Ligor, telah menyerang beberapa daerah di Kedah termasuklah Perlis atau Kayang.[footnoteRef:13] Syed Hussein mengambil tindakan untuk melakukan serangan balas terhadap askar-askar Siam-Ligor. Namun begitu, serangan yang dilakukan ini bukanlah bersifat terang-terangan, sebaliknya, Syed Hussein melibatkan golongan istana Kedah. Syed Hussein sendiri telah pergi ke Kedah untuk berjumpa dengan Tunku Anum, orang penting dalam keluarga Diraja Kedah seperti yang dicadangkan oleh Datuk Awang. Di Kedah, Syed Hussein bersama-sama Tunku Anum juga telah melakukan satu pakatan secara sulit dengan Orang Melayu Kedah yang diadakan di sebuah gua di Bukit Keplu.[footnoteRef:14] Hasil daripada pakatan tersebut, mereka telah merancang satu strategi untuk menentang pemerintahan Siam terutamanya Raja Ligor disamping ingin menggulingkan pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin sebagai Sultan Kedah. Ada ahli sejarawan yang menganggap bahawa peristiwa yang dilakukan oleh Syed Hussein dan Tunku Anum ini sebagai satu pemberontakan terhadap Kedah. [12: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 69.] [13: Buyong Adil, (1981), Sejarah Perlis, hlm 11.] [14: Buyong Adil, (1981), Sejarah Perlis, hlm 13.]

Pakatan Tunku Anum telah pergi ke istana Ligor dan juga istana Bangkok. Namun begitu, Syed Hussein tidak terlibat langsung menyertai rombongan bersama-sama Tunku Anum ke Ligor dan juga istana Bangkok. Malah, bapa mertua Syed Hussein, iaitu Muhammad Arsyad telah melindungi Syed Hussein dengan memberitahu alasan Syed Hussein tidak dapat menyertai rombongan tersebut atas dasar kurang sihat.[footnoteRef:15] Sebenarnya, disebalik pakatan yang telah dibuat dengan Tunku Anum, Syed Hussein cuba untuk menipu Tunku Anum dan juga ahli pakatannya yang lain dalam melakukan serangan balas terhadap Siam. Syed Hussein tidak mahu menampakkan bahawa dirinya terlibat sama dalam serangan balas ini untuk menjaga namanya dan juga Perlis agar tidak terjejas di mata pemerintah Siam. Tindakan bijak Syed Hussein ini penting bagi mengukuhkan kedudukannya di Perlis dan dalam pada masa yang sama Syed Hussein ingin Sultan Ahmad Tajuddin disingkirkan daripada pemerintahan Kedah. [15: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 72.]

Seterusnya, kaedah yang bijak telah diambil oleh pemerintah Perlis dalam menghadapi tekanan daripada Siam iaitu menggunakan kaedah mengambil peluang keemasan atau kesempatan dalam masalah yang berlaku. Rama III telah meletakkan seorang Gabenor yang berpangkat Chiom iaitu seorang pembesar yang berbangsa Siam di Perlis pada akhir tempoh perang Siam-Ligor dengan Kedah. [footnoteRef:16] Perlantikan Chiom sebagai pembesar negeri Perlis pastinya menyukarkan usaha Syed Hussein untuk merajakan dirinya di Perlis sekali gus ini menjadikan satu tekanan kepada Perlis kerana terpaksa dipimpin oleh seseorang yang bukan berbangsa tempatan. Namun, Syed Hussein telah mengambil kesempatan daripada masalah ini dengan menyelit masuk ke dalam celah-celah kuasa Chiom sebagai pembesar daerah. Melalui kedudukannya yang istimewa ini, Syed Hussein telah mendapat sokongan yang padu daripada pelbagai pihak seperti Dato Panglima Johan Lela Perkasa, golongan pembesar dan juga rakyat Perlis.[footnoteRef:17] Akhirnya Syed Hussein berjaya juga merajakan dirinya bermula daripada mendapatkan sokongan pelbagai pihak. [16: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 76.] [17: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 76-77.]

Contoh lain yang dapat dilihat juga ialah ketika peristiwa Kedah mengalami masalah kesempitan kewangan yang sangat serius sehingga menyebabkan Kedah terpaksa meminjam daripada Siam pada Jun 1905 yang berjumlah sebanyak $ 2.6 juta. Perkara ini terjadi ketika Raja Syed Alwi baru sahaja menaiki takhta pemerintahan kerajaan Perlis. Raja Syed Alwi melihat ini kesempatan untuk keluar daripada Monthon Saibori lebih-lebih lagi apabila Sultan Abdul Hamid dilihat tidak cekap dalam pengurusan akaun Perlis yang telah menyebabkan Perlis mendapat masalah kewangan. Ketika pemerintahan Syed Hussein lagi, usaha untuk keluar daripada Monthon Saibori telah dilakukan dengan sekurang-kurangnya melantik seorang pegawai lain yang mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada kuasa Pesuruhjaya Monthon. Pada Oktober 1905, ketika dibawah pemerintahan Raja Syed Alwi, Perlis yang turut mengalami masalah kewangan telah meminjam sebanyak $230,000 daripada Chulalongkorn. Raja Syed Alwi sedar, jika hutang belum dilangsaikan, maka kerajaan Perlis akan menerima seorang Penasihat Kewangan Inggeris yang pastinya mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada Pesuruhjaya Monthon. Ini merupakan peluang Perlis untuk keluar daripada penguasan Monthon Saiburi Jelas berdasarkan contoh diatas, menunjukkan pemerintah Perlis menggunakan kaedah mengambil kesempatan atas masalah yang dihadapi. Tekanan yang diterima oleh pemerintah Perlis telah dijadikan sebagai modal untuk mengukuhkan keadaan Perlis dan membebaskan diri mereka sepenuhnya daripada kerajaan Kedah. Kaedah yang lain yang turut dilakukan oleh pemerintah Perlis ialah meminta bantuan daripada kerajaan Siam. Perkara ini penting bagi menunjukkan bahawa Perlis memerlukan Siam dan memperlihatkan kebergantungan Perlis terhadap Siam. Hal ini dapat dilihat ketika Perlis sudahpun menjadi sebuah negeri yang berasingan daripada Kedah. Kerajaan Perlis ketika dibawah pimpinan Raja Syed Alwi Jamalullail mengalami masalah kekurangan kewangan pada peringkat awal pemerintahannya. Raja Syed Alwi dengan persetujuan orang Besar Perlis telah meminjam wang daripada kerajaan Siam. Kesan daripada langkah yang dilakukan oleh Raja Syed Alwi ini, telah menyebabkan Siam menghantar pegawai Inggeris, A.J Duke sebagai Penasihat Kewangan Perlis.[footnoteRef:18] Perkara ini yang dimahukan oleh Raja Syed Alwi yang dalam pada masa yang sama ingin menunjukkan kebergantungan kerajaan Perlis terhadap Siam agar Siam tidak memberikan tekanan yang lebih kuat kepada kerajaan Perlis. Walaubagaimanapun, terdapat masalah yang dihadapi oleh Perlis selepas itu, sehingga Siam terpaksa menangguhkan pengutipan bunga emas dan perak oleh Perlis selama lima tahun bermula daripada 8 Februari 1907 hingga 14 Februari 1912. Malah pinjaman yang seterusnya turut dilakukan oleh Perlis.[footnoteRef:19] [18: Buyong Adil, (1981), Sejarah Perlis, hlm 34.] [19: Julie Tang Su Chin, (2002), Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957, hlm 115-118.]

Berdasarkan kaedah yang terakhir ini iaitu kaedah meminta bantuan daripada Siam atas dasar masalah kewangan, Perlis menerima tekanan. Namun tekanan ini terpaksa ditelan oleh Perlis dan meminta bantuan Siam nsebagai kuasa naungan mereka untuk menyelesaikan masalah di Perlis. Dalam pada masa yang sama juga, Perlis sebenarnya ingin mengambil hati Siam dalam usaha untuk mengelakkan tekanan yang berterusan daripada Siam sekiranya Perlis tidak rapat dengan Siam.Wujudnya konsep kebergantungan terhadap kerajaan Siam dalam kaedah ini.3.0 PENUTUPSecara keseluruhannya, tekanan yang diterima oleh Perlis bukanlah daripada Siam semata-mata. Dapat dilihat berdasarkan contoh dan juga hujahan yang telah diberikan, Perlis ada menerima tekanan daripada Kedah dan juga tekanan tidak langsung Siam terhadap Kedah ketika Perlis masih lagi berada di bawah kekuasaan Kedah. Perang Siam-Ligor dilihat sebagai permulaan pembesar Perlis membina sebuah kerajaan Perlis yang bukan lagi berada di bawah Kedah. Pemerintahan kerajaan Perlis yang rasmi bermula selepas tamatnya Perang Siam-Ligor dan secara rasminya juga kerajaan baru Perlis tebentuk 1841 dengan Raja pertamanya iaitu Raja Syed Hussein menaiki takhta.Banyak tekanan dan juga dugaan dihadapi oleh Perlis sebagai negara yang baru terpisah daripada Kedah. Tekanan yang diterima daripada Siam mahupun Kedah telah memberikan impak yang besar tehadap seluruh negeri Perlis secara amnya. Pergelutan dan juga masalah yang timbul ini dapat ditangani oleh Perlis menggunakan pelbagai kaedah atau cara. Secara keseluruhannya, Perlis berjaya menghadapi tekanan-tekanan yang diberikan oleh Siam mahupun tekanan daripada kuasa lain seperti Kedah sehinggakan Perlis berjaya membentuk sebuah kerajaan baru sendiri yang terpisah daripada Kedah. Namun begitu, Perlis masih tidak dapat mengelakkan tekanan-tekanan yang sentiasa diberikan oleh Siam dan seterusnya pula kuasa asing seperti British selepas sahaja negeri Perlis terbentuk. Kini negeri Perlis utuh berdiri sebagai sebuah negeri yang berdaulat dibawah pemerintahan keluarga Jamalullail.

4.0 RUJUKAN

Buyong Adil. (1981). Sejarah Perlis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Julie Tang Su Chin. (2002). Sejarah Kerajaan Perlis 1841-1957. Kuala Lumpur: Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS) Monograph No.32.

Mohd. Isa Othman. (2002). Sejarah Malaysia (1800-1963). Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distrubuters Sdn. Bhd.

Muhammad Isa Othman. (1990). Politik Tradisional Kedah 1681-1942. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.