faktor dan mitigasi...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada...

11

Upload: others

Post on 18-Mar-2021

19 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai
Page 2: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai
Page 3: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 1

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

FAKTOR DAN MITIGASI

HAKISAN PANTAI DI TERENGGANU

NOR SUZANA BINTI YUSOF

Page 4: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 2

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Pendahuluan

Selain fenomena banjir, isu hakisan pantai (coastal erosion) merupakan bencana alam yang berlaku

setiap tahun ketika musim tengkujuh bermula. Malaysia mempunyai pantai yang panjang iaitu 8,840

kilometer (km) dengan jumlah pantai yang mengalami hakisan sepanjang 1,347.6 km. Umum

mengetahui, impak hakisan yang berlaku telah menyebabkan kerugian yang besar terhadap sektor

pelancongan, ekonomi rakyat dan infrastruktur. Hal ini kerana, banyak fasiliti yang dibina seperti rumah,

chalet, premis perniagaan, jalan raya dan sebagainya telah musnah ekoran hakisan yang berlaku.

Di negeri Terengganu, boleh dikatakan saban tahun kawasan pantai yang terhakis semakin serius.

Terengganu mempunyai jumlah panjang pantai 244 km dengan hakisan sepanjang 155.2 km iaitu 63.6

peratus. Malahan, pantai Terengganu antara pantai yang banyak mengalami hakisan yang kritikal

diikuti Pahang dan Kelantan. Di Pantai Timur khususnya negeri Terengganu, isu hakisan pantai antara

perkara yang bukan sahaja membelenggu kerajaan negeri tetapi juga penduduk di sekitar kawasan

pesisiran pantai sejak 1970-an lagi.

Pada bulan November lalu ketika musim tengkujuh, Terengganu bukan sahaja mengalami bencana

banjir tetapi juga hakisan pantai yang memberi kesan terhadap banyak aspek. Rumah mahupun kedai-

kedai makan yang dibina penduduk berhampiran pantai banyak musnah ekoran dilanda ombak yang

besar. Perkara ini tidak terkecuali boleh mengancam nyawa penduduk setempat. Terdapat 30 kawasan

pantai yang terjejas antaranya Pantai Teluk Lipat dan Teluk Gadong, Dungun; Pantai Rhu Rendang,

Pantai Rusila, Pantai Rhu Renggeh dan Pantai Rhu Dua, Marang serta Pantai Maras dan Tok Jembal,

Kuala Nerus (Kosmo,2021).

Lazimnya, fenomena hakisan yang berlaku disebabkan dua faktor utama sama ada faktor fizikal atau

semula jadi dan kegiatan manusia. Faktor semula jadi yang menyebabkan hakisan berlaku disebabkan

agen-agen fizikal yang mempengaruhi pembentukan landskap di pinggir pantai. Manakala, faktor

kegiatan manusia yang membina penempatan, pembangunan, infrastruktur dan sebagainya tanpa

kawalan boleh menyebabkan hakisan pantai turut berlaku. Secara asasnya, kejadian hakisan ini tidak

dapat dielakkan melainkan langkah-langkah pencegahan dan pengawalan semasa melaksanakan

sebarang pembangunan di kawasan yang berisiko dilakukan dengan mengambil kira impak yang akan

berlaku.

Ekoran permasalahan ini, boleh dikatakan setiap tahun sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun

kerajaan negeri sentiasa mengambil tindakan yang proaktif dalam menyelesaikan isu hakisan pantai

yang semakin meruncing ini. Antara langkah-langkah yang dilakukan termasuk pembinaan lapis

lindung batu (rock revetment), menambun pasir, benteng pemecah ombak (breakwater) dan

sebagainya dalam mencegah dan mengurangkan hakisan pantai daripada terus berlaku di seluruh

negeri. Hakikatnya, isu hakisan di Semenanjung Malaysia masih berterusan meskipun pelbagai usaha

yang membabitkan belanja berbilion ringgit sudah diambil oleh pihak berkuasa untuk menanganinya.

Penulisan ini memberi fokus terhadap risiko dan faktor semula jadi yang menyebabkan hakisan pantai

di Terengganu semakin serius. Di samping itu, jenis struktur kawalan hakisan termasuk lapis lindung

batu, Blok Labuan dan benteng pemecah ombak juga dikenal pasti dalam memastikan pencegahan

dan pengawalan bencana hakisan dapat diatasi di Terengganu. Dalam pada itu, pengurusan dan

langkah-langkah pencegahan hakisan pantai yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk jangka masa

pendek mahupun jangka masa panjang dinilai sama ada berkesesuaian ataupun memerlukan

penambahbaikan mengikut kesesuaian kawasan demi kemaslahatan rakyat.

Sekiranya masalah ini tidak diambil tindakan serius, impak yang lebih buruk akan berlaku pada masa

akan datang. Bahkan, hakisan pantai juga boleh merebak dengan meluas dan kemusnahan alam

sekitar serta jumlah kerosakan dan kerugian harta benda pasti akan bertambah setiap tahun.

Page 5: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 3

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Risiko Hakisan Pantai di Terengganu

Kejadian luruan monsun antara risiko ancaman

hakisan pantai begitu kritikal berlaku di Terengganu.

Luruan monsun terjadi dengan kehadiran hujan lebat

secara berterusan selama beberapa hari terutama di

Pantai Timur bermula bulan November hingga Mac

setiap tahun. Ia berlaku ketika mana angin sejuk dan

kering datang dari kawasan Siberia bertemu dengan

angin dari Barat Pasifik yang lembap dan panas

(Kosmo,2015).

Malah, setiap musim monsun Timur Laut di Malaysia

berlaku, secara purata terdapat empat hingga lima kali

luruan yang membawa hujan lebat berlaku. Fenomena

ini turut menyebabkan air pasang dan ombak yang

besar berlaku setinggi empat meter. Hal ini turut

menyebabkan kawasan pesisir pantai Terengganu

yang sepanjang 244 km terhakis sedikit demi sedikit

sejak sepuluh tahun lalu.

Selain itu, pantai di Terengganu juga mengalami hakisan yang kritikal apabila setiap tiga tahun

dianggarkan dua hingga dua puluh meter pantai telah tenggelam ke dalam laut. Masalah ini bukan

sahaja memusnahkan penempatan dan harta benda penduduk yang berhampiran dengan pantai tetapi

juga turut mengancam nyawa mereka. Hakisan yang teruk juga telah menyebabkan penempatan

penduduk ditelan ombak sedikit demi sedikit. Tambahan lagi, Terengganu memiliki pantai berpasir yang

agak sensitif dengan hakisan yang menyebabkan negeri ini berisiko mengalami hakisan yang teruk

setiap tahun.

Dalam pada itu, pantai Terengganu tidak mempunyai kawasan yang banyak dengan pokok bakau

berbanding di Pahang dan Johor. Perkara ini juga menyebabkan salah satu kawasan pantai di

Terengganu berisiko berlaku hakisan. Peranan pokok bakau begitu penting sebagai benteng

perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan

pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai Timur.

Faktor Hakisan Pantai Berlaku

Umum mengetahui, hakisan pantai yang berlaku di pantai Malaysia berikutan proses semula jadi yang

tidak dapat dielakkan iaitu daya semula jadi yang saling bertindak di pesisiran pantai seperti ombak,

arus, angin dan air pasang surut. Hakisan pantai yang teruk turut berlaku di negeri-negeri Pantai Timur

ekoran cuaca yang buruk dan ribut taufan di Laut China Selatan semasa musim tengkujuh setiap tahun.

Satu daripada kesan perubahan iklim adalah peningkatan paras air laut global. Sejak seabad yang lalu,

paras air laut global meningkat dan dijangka akan terus meningkat pada kadar lebih cepat sepanjang

abad ke-21. Para saintis menyatakan paras air laut dijangka meningkat sehingga 1.3 meter (m)

menjelang tahun 2100 sekiranya permukaan bumi lebih panas daripada 3.5 darjah celsius. Begitu juga

dengan kawasan pesisiran pantai Malaysia yang akan ditenggelami sehingga 0.2 m hingga 1.06 m

menjelang tahun 2100 (Lee,2015). Perkara ini tidak mustahil dengan peningkatan kadar kenaikan paras

air laut, kejadian banjir dan hakisan pantai saban tahun boleh mempengaruhi keadaan Pantai Timur

Semenanjung Malaysia dan menenggelamkan tanah-tanah yang rendah sedikit demi sedikit.

Rajah 1: Peta Monsun Timur Laut (Sumber: Kosmo)

Page 6: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 4

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi kekerapan hakisan pantai di Malaysia berlaku sama ada

kombinasi fenomena alam semula jadi mahupun kegiatan aktiviti manusia. Fenomena semula jadi

seperti pendedahan tiupan angin kencang, ombak yang tinggi dan arus lautan boleh mengakibatkan

hakisan berlaku. Ombak yang tinggi berlaku disebabkan perubahan (morfologi) pantai dan kehadiran

tiupan angin yang kuat.

Walaupun hakisan pantai berlaku akibat fenomena

alam, namun begitu aktiviti manusia yang tidak

terkawal juga turut mempengaruhi geomorfologi

pinggir pantai. Pembangunan di kawasan

persisiran pantai yang tidak mampan bukan sahaja

menjejaskan alam sekitar tetapi juga turut

mempengaruhi komuniti di kawasan tersebut.

Antara aktiviti manusia yang menyebabkan

hakisan bertambah serius adalah pembangunan

pelancongan seperti pembinaan resort, hotel,

jambatan dan sebagainya. Bahkan, kemusnahan

hutan bakau dan pengorekan pasir yang tidak

terkawal untuk pelbagai tujuan pembangunan turut

mempengaruhi morfologi pantai dan menyebabkan

hakisan berlaku dengan serius.

Merujuk kenyataan Pensyarah Pusat Pengajian

Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu Dr. Effi Helmy Ariffin, terdapat

empat faktor semula jadi yang menyebabkan hakisan pantai berlaku dengan serius di Terengganu.

Pertama, garis pantai yang sangat panjang di negeri Terengganu iaitu 244 km dan terbuka luas yang

terdedah kepada pelbagai ancaman bencana alam dari Laut China Selatan. Hal ini juga sekali gus

menyebabkan hakisan pantai turut berlaku. Kedua, peningkatan ketinggian ombak Laut China Selatan

setiap tahun yang menghempas Pantai Timur terutama Terengganu ketika musim tengkujuh telah

mengakibatkan hakisan bertambah serius. Dianggarkan 1.5 meter paras ombak yang memukul pantai

negeri tersebut pada musim tengkujuh kali ini.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pantai yang menghadap Laut

China Selatan biasanya berpasir dan memiliki laut yang terbuka dengan membawa angin kencang dan

ombak kuat berbanding di Selat Melaka yang terlindung. Di samping itu, tiupan angin yang kencang

menyebabkan ombak yang kuat sekali gus menarik pasir di pantai ke tengah laut. Tambahan pula,

pantai yang berpasir lebih senang terhakis dan tenggelam ke dasar laut.

Lain daripada itu, fenomena pusuan ombak iaitu pertembungan antara ombak dengan air pasang besar

turut berlaku. Keadaan ini telah memberi satu tenaga kinetik luar biasa yang mampu menghakis

permukaan pantai dengan lebih banyak dan pantas. Dalam pada itu, lambakan pasir yang tersumbat

di kebanyakan muara lembangan sungai utama sehingga membentuk pulau jadian sejak puluhan tahun

lalu merupakan salah satu faktor hakisan pantai terjadi.

Jenis Struktur Kawalan Hakisan

1. Lapis Lindung Batu

Pembinaan lapis lindung batu (rock revetment) merupakan langkah sementara pengawalan hakisan

pantai daripada ombak besar berlaku. Lapis lindung ialah struktur daratan dengan fungsi utama

melindungi garis pantai daripada hakisan. Struktur ini terlentur dan mempunyai perisai batuan atau

konkrit blok tuang. Lain daripada itu, ia merupakan struktur yang agak ringan dan amat sesuai dengan

Rajah 2: Hakisan Pantai di Kg Pengkalan Maras (Sumber: Berita Harian)

Page 7: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 5

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

lokasi yang bebas daripada serangan ombak besar. Stuktur ini juga dikatakan fleksibel dan terdiri

daripada batu atau blok konkrit yang saling mengunci antara satu sama lain.

Lapis lindung batu dibina di kawasan pesisir pantai sebagai langkah jangka masa pendek dalam

menangani hakisan pantai. Hal ini kerana, penggunaan lapis lindung batu seperti di Pantai Mengabang

Telipot dan Pengkalan Maras, Kuala Nerus sebelum ini adalah tidak sesuai dengan kehadiran ombak

yang besar yang menyebabkan hakisan lebih teruk turut berlaku di kawasan pantai sehingga merebak

ke kawasan lain. Dalam pada itu, pembinaan lapis lindung batu kurang diterima oleh penduduk

setempat terutama nelayan kerana kehilangan pantai rekreasi, peluang pekerjaan dan kawasan

pendaratan nelayan sekiranya struktur ini dibina sepanjang pesisir pantai.

2. Blok Labuan

Blok Labuan (Labuan Blocks) adalah struktur blok

jisim konkrit bagi mengurangkan tenaga ombak dan

membolehkan garis pantai negara dapat dilindungi.

Struktur ini antara langkah kawalan hakisan pantai

yang berkesan dalam mengatasi masalah hakisan

yang berlaku di negara ini. Tambahan pula, ombak

yang membawa endapan pasir ke pesisiran pantai

dapat menambak secara semula jadi. Hal ini kerana

peranan Labuan Blocks ini tidak menganggu proses

pengangkutan endapan.

Secara signifikannya, walaupun Blok Labuan ini

mudah, cepat dan kos yang murah berbanding

pembinaan lapis lindung batu, namun begitu ia

hanya dapat memberi perlindungan jangka masa

pendek sahaja iaitu tiga hingga lima tahun. Bahkan,

stuktur ini agak terbatas dengan bahagian atas pantai berpasir. Sehubungan itu, ia tidak cukup tahan

lasak untuk menghadapi gelombang ombak yang besar.

3. Benteng Pemecah Ombak

Pembinaan benteng pemecah ombak (breakwater)

merupakan tembok yang dibina bagi bertujuan

mengurangkan kelajuan ombak ketika menghampiri

pesisir pantai. Selain itu, ia juga dapat

mengurangkan tindakan ombak di kawasan

belakang pembinaan struktur berkenaan melalui

penyerapan tenaga ombak dan pantulan. Benteng

ini dapat mewujudkan keadaan air yang tenang

sekali gus proses pemendapan di sepanjang pesisir

pantai terdekat turut berlaku. Perkara ini dapat

mengurangkan hakisan tebing pantai selain

mengelakkan muara tertutup akibat daripada

pemendapan pasir yang berlaku.

Strategi ini dikatakan boleh bertahan lebih lama dan

dapat mengatasi masalah hakisan pantai yang

berlaku walaupun pembinaannya memerlukan kos yang tinggi. Sehubungan itu, banyak benteng

pemecah ombak dibina di kawasan yang kritikal dengan hakisan termasuk di pantai Terengganu.

Rajah 3: Pemecah ombak di Kuala Terengganu

(Sumber: JPS)

Rajah 4: Blok Labuan (Sumber: JPS)

Page 8: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 6

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Mitigasi Hakisan Pantai

Polemik masalah hakisan pantai banyak dibincangkan di dalam dan luar negara untuk mencari

penyelesaian yang jitu dengan perspektif yang beza. Menyedari kejadian hakisan pantai yang semakin

kritikal dengan melihat impak yang besar berlaku, pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa

demi memastikan isu ini dapat diatasi secara komprehensif. Boleh dikatakan pelbagai cara yang

digunakan oleh kerajaan terutama di negeri Terengganu dalam menghalang dan mengawal hakisan

daripada berlaku. Ia termasuk pembinaan pelbagai jenis struktur yang digunakan sebagai langkah

pencegahan dan pengawalan hakisan sama ada untuk jangka masa pendek mahupun jangka masa

panjang. Antara jenis struktur yang dilakukan seperti menambak pantai, menambun pasir, membina

lapis lindung batu dan benteng pemecah ombak.

Berdasarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan

Teknologi Hijau Terengganu, Kerajaan Persekutuan telah memberi peruntukan untuk projek pemulihan

hakisan pantai yang kritikal di Terengganu baru-baru ini. Antara kawasan yang akan dilaksanakan

segera ialah Pantai Teluk Lipat, Dungun; Pantai Rusila, Marang serta Pantai Tok Jembal dan Maras,

Kuala Nerus. Peruntukan ini merangkumi penambahbaikan hakisan Pantai Teluk Lipat sebanyak RM57

juta yang dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2022. Manakala, pembinaan pemecah ombak

sepanjang 6 kilometer yang menelan kos RM150 juta akan dilakukan di pantai Rusila serta di pantai

Kuala Nerus akan dilaksanakan pemulihan hakisan dengan kos RM6.17 juta yang dijangka siap pada

tahun 2021.

Antara agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan zon pantai di seluruh Malaysia ialah Jabatan

Pengairan dan Saliran (JPS). Agensi ini telah lama berperanan dalam menyediakan khidmat kepakaran

pembangunan zon pantai termasuk melaksanakan program pengawalan hakisan pantai. Antara

strategi kawalan hakisan pantai yang digunakan oleh JPS untuk jangka pendek melibatkan kerja-kerja

kejuruteraan dengan pembinaan struktur kawalan hakisan di kawasan yang kritikal. Manakala langkah

jangka panjang, JPS melaksanakan kerja-kerja perancangan guna tanah selain mewujudkan Pelan

Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Shoreline Management Plan - ISMP) dalam menangani

hakisan pantai.

Begitu juga dengan tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan dengan langkah awal pembinaan

struktur lapis lindung batu sepanjang 200 meter di Kampung Tanjung Gelam Kuala Nerus bagi

mengawal hakisan pantai pada tahun 2018. Selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan pembinaan

benteng pemecah ombak dan menambun pasir sepanjang hampir 200 meter di Pantai Pengkalan

Maras, Kuala Nerus pada tahun lepas bagi mengurangkan hakisan pantai daripada bertambah teruk.

Walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan agensi yang terlibat dalam menangani

hakisan pantai, namun begitu hakisan masih lagi berlarutan dan menelan kos yang tinggi untuk

menambah baik kerosakan yang berlaku. Hal ini kerana, kawasan pantai yang dibina tembok batu

mahupun benteng pemecah ombak akan menyebabkan hakisan tetap berlaku ketika ombak yang besar

melanda. Oleh itu, pihak berkuasa disarankan melakukan langkah-langkah mitigasi bagi meningkatkan

daya tahan sebelum zon pantai yang terlibat bakal mengalami kesan yang buruk pada masa depan.

Antaranya perbanyakan pembinaan benteng pemecah ombak bagi kawasan yang begitu kritikal

dengan ancaman hakisan pantai. Pengarah Institut Kejuruteraan Pantai dan Lepas Pantai (IKPLP)

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan penggunaan benteng pemecah ombak antara

strategi yang efektif dalam menghalang hakisan pantai berlaku.

Page 9: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 7

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

Di samping itu, kerajaan juga disarankan melakukan kajian secara mendalam dengan penglibatan

pakar-pakar dalam meminimumkan kos pembinaan benteng pemecah ombak sekali gus tidak

melakukan pembinaan benteng berulang kali di kawasan yang sama. Bahkan, peruntukan yang besar

amat diperlukan dalam melakukan kerja-kerja pembinaan struktur yang bukan sahaja mengurangkan

hakisan tetapi juga dapat mencegah hakisan yang bertambah teruk daripada berlaku dengan

menggunakan semaksimum yang mungkin kepakaran yang dimiliki negara ini.

Sementara itu, kajian secara menyeluruh juga seharusnya dilakukan dalam pembinaan pulau tiruan

atau lagun di kawasan yang kritikal dengan hakisan pantai. Perkara ini perlu melibatkan kerjasama

dengan pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan agensi kerajaan. Meskipun pembinaan pulau

tiruan membabitkan kos yang tinggi, sekurang-kurangnya tindakan itu dapat menyelamatkan kawasan

pantai yang belum terhakis daripada mengalami hakisan akibat ombak besar pada musim monsun

timur laut setiap tahun terutama di Terengganu.

Sehubungan itu, kajian berkaitan hakisan pantai di Terengganu memerlukan perbincangan dua hala

yang berterusan dalam mencari jalan penyelesaian yang bijak. Malahan, isu ini tidak boleh

mengharapkan kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri sahaja tetapi semua pihak termasuk

masyarakat sekeliling perlu memainkan peranan secara optimum.

Penutup

Isu hakisan pantai merupakan masalah yang sering menghantui negara Malaysia terutama negeri-

negeri yang berisiko mengalami hakisan yang serius. Para saintis meramalkan paras air laut akan terus

meningkat sehingga menenggelamkan kawasan-kawasan yang rendah. Hakisan pantai secara

hakikatnya berlaku disebabkan fenomena alam semula jadi terutama di pantai Terengganu yang

terdedah dengan angin monsun Laut China Selatan yang berisiko dengan pelbagai bencana.

Perubahan iklim yang berlaku pada hari ini turut menyumbang peningkatan paras air laut. Hal ini terjadi

berikutan kegiatan manusia yang tidak terkawal dalam merosakkan alam sekitar sehingga

menyebabkan hakisan pantai turut berlaku dan memusnahkan tanah-tanah persisiran pantai yang

rendah.

Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak sama ada kerajaan mahupun agensi yang

bertanggungjawab dalam pengurusan zon pantai dan mengawal hakisan daripada terus berlaku. Kos

mengawal hakisan pantai daripada terus merebak telah diperuntukkan begitu banyak oleh kerajaan.

Perkara ini sudah tentu bagi menyelesaikan masalah ini sama ada dengan pembinaan benteng

mahupun lapis lindung batu. Hakisan ini secara terus memusnahkan harta benda awam dan

menjejaskan pendapatan nelayan yang mencari rezeki.

Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, hakisan pantai tetap berlaku setiap tahun yang bukan sahaja

menggugat kemaslahatan rakyat tetapi juga merugikan duit kerajaan untuk melakukan perkara yang

sama. Sehubungan dengan itu, kajian secara teliti perlu dilakukan dalam mencari kaedah yang efisien

dan menjimatkan kos terutama dalam pembinaan tembok penahan ombak yang kekal lama di kawasan

pesisiran pantai yang mengalami hakisan teruk terutama di negeri Terengganu.

Page 10: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai

Faktor dan Mitigasi Hakisan Pantai di Terengganu| 8

Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)

SENARAI RUJUKAN

Ariffin, E. H., Mathew, M. J., Yaacob, R., Akhir, M. F., Shaari, H., Zulfakar, M. S. Z., Sedrati, M., & Awang, N. A. (2018). Beach morphodynamic classification in different monsoon seasons at Terengganu beaches, Malaysia. Journal of Sustainability Science and Management, 13(Special Issue 5), 65–74.

Ancaman Hakisan Pantai Terengganu. (21 Januari 2021). Didapatkan dari Kosmo: https://www.kosmo.com.my/2021/01/21/ancaman-hakisan-pantai-terengganu/

Cadang Bina Pulau Tiruan Atasi Hakisan Pantai. (5 Januari 2021). Didapatkan dari MyMetro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/660667/cadang-bina-pulau-tiruan-atasi-hakisan-pantai-metrotv

Jaharudin, P., Kamarul, M. D., Abu, T. J., Haslina, M., & Pravinassh, R. (2019). Impact of coastal erosion on local community: Lifestyle and identity. Disaster Advances, 12(2), 19–27.

Hakisan pantai makin meruncing di semenanjung. (14 Oktober 2019). Didapatkan dari Berita Harian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/617591/hakisan-pantai-makin-meruncing-di-semenanjung

Kumar, S. A., Patah, F. M., Annuar, S. S., Bakar, A. A., Jabar, B. H., Subaryati, B., & Idris, S. R. (14 Ogos 2013). Hakisan Pantai 3 Negeri. Didapatkan dari Berita Harian: https://www.klik.com.my/item/story/6216303/hakisan-pantai-3-negeri-serius

Lee, K. E. (2015). Kesan hakisan dan kenaikan paras air laut di Batu Pahat ( Impak kepada komuniti setempat ) Pusat Pencerapan Bumi Institut Perubahan Iklim ( IPI ) Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 UKM Bangi , Selangor Darul Ehsan Cetakkan Pertama 2015. November.

Midun, Z. bin. (1988). Proc . 11 th Annual Seminar of the Malaysian Society of Marine Sciences Coastal Erosion : Problems And Solutions Ir . Zamani Bin Midun. Solutions.

Muara, H., Pantai, D., Kemaman, K., Permasalahan, T. :, Fizikal, D., & Sosial, D. (2006). Erosion in the Estuary and Coastal Area in Kuala Kemaman, Terengganu: A Physical and Social Dimension Setback. Hakisan Muara Dan Pantai Kuala Terengganu Akademika, 69, 37–55.

Nor, K. M. (5 Januari 2015). Luruan Monsun Bawa Banjir Lagi. Retrieved from Kosmo:

www.water.gov.my

Ribut luruan dahsyat hakis teruk pantai Terengganu. (25 Disember 2019). Didapatkan dari Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/504840

Risiko Hakisan Pantai. (8 Mac 2016). Didapatkan dari Berita Harian: https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/03/131696/risiko-hakisan-pantai

Saliran, D. A. N., & Pengairan, J. (2020). Jabatan pengairan dan saliran malaysia. II(June), 1–8. di-semenanjung

Syor Tambah Benteng Pemecah Ombak. (15 Oktober 2019). Didapatkan dari Berita Harian: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/618097/syor-tambah-benteng-pemecah-ombak

Ta Wee, S., & Ariffin, R. (2011). Fakulti Pengurusan Teknologi, Perniagaan dan Keusahawanan. Persidangan Kebangsaan Geografi Dan Alam Sekitar, i, 1–20.

Terbang, L., & Abha, A. (2021). Hakisan pantai : UMT , UIAM , NAHRIM cari penyelesaian. 11–12.

Page 11: FAKTOR DAN MITIGASI...perlindungan pinggir pantai dan pengurangan kadar hakisan pantai daripada berlaku. Difahamkan pokok bakau terdapat banyak di negeri Pantai Barat berbanding Pantai