-
PERSEPSI GURU PELATIH MATEMATIK UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN
IDRIS TERHADAP PENGGUNAAN BAHAN BANTU MENGAJAR
BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Sistem pendidikan merupakan wadah utama untuk membentuk identiti anak bangsa, menjadi
alat terpenting untuk menjayakan pembangunan negara, berfungsi sebagai wahana yang kukuh
untuk mencapai perpaduan serta kesejahteraan bangsa dan negara. (Tajul Ariffin dan NorAini,
1992). Pendidikan adalah proses dan aktiviti yang bertujuan untuk menghasilkan perubahan yang
dikehendaki di dalam diri seseorang (Atan Long, 1978). Ia juga adalah satu proses menukarkan
pola tingkah laku manusia. Tingkah laku ini bermaksud tingkah laku dalam pengertian yang luas
termasuk pemikiran, perasaan dan perbuatan nyata. Menurut Ralph (1949), objektif pendidikan
bermakna perubahan tingkah laku yang dicari atau yang dikehendaki berlaku oleh sesebuah
institusi pendidikan ke atas pelajar-pelajarnya.
Dalam era teknologi masa kini, proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja
tertumpu kepada penggunaan buku teks, kaedah pengajaran guru melalui penggunaan kapur tulis
dan papan hitam sahaja, malah lebih daripada itu termasuklah penggunaan teknologi yang
menyediakan pembelajaran secara interaktif bagi memupuk minat pelajar.
-
Oleh yang demikian, melalui teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran dari guru
sahaja belum dapat menjamin berlakunya proses pembelajaran yang berkesan tanpa melalui
bahan bantu mengajar. Dalam matapelajaran matematik, bahan bantu mengajar memainkan
peranan penting ke arah memahamkan konsep di dalam proses pengajaran selain daripada
bertujuan untuk menarik minat pelajar.
1.2 Latar Belakang Kajian
Kementerian Pelajaran Malaysia mengubal Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) yang menekankan penggunaan pelbagai teknik
pengajaran serta mengutamakan penggunaan alat bantu mengajar untuk menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran tersebut berkesan. Pihak Kementerian Pelajaran telah menyediakan
pelbagai alat bantu mengajar yang berteraskan teknologi di sekolah-sekolah di negara untuk
memudahkan guru-guru terutamanya guru pelatih menggunakan kemudahan teknologi tersebut
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Abu Zahari (1987), guru pelatih kurang
berketerampilan dengan tugasnya. Ramai di kalangan mereka yang kurang mahir dan kreatif
untuk menggunakan kaedah pengajaran yang efektif bagi menyampaikan isi pengajaran tersebut.
Melalui penggunaan alat bantu mengajar yang pelbagai, pembelajaran secara interaktif akan
menarik minat, perhatian para pelajar, dan menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam. Oleh
itu, adalah menjadi tugas guru untuk menggunakan alat bantu mengajar untuk memberikan
pemahaman yang jelas kepada pelajar tentang apa yang diajari. Ford (1982), menyatakan bahawa
pengalaman secara terus yang dialami oleh seseorang membolehkan perkataan dan simbol
-
memberi makna kepadanya. Sesuatu bahan dengan sendirinya tidak dapat menghasilkan
sebarang perubahan terhadap pembelajaran, tetapi guru yang mahir menggunakan bahan itu
boleh memberikan kesan yang berkekalan. Beliau juga menyatakan bahawa guru yang mahir
menggunakan bahan pengajaran bukan sahaja seorang pelukis yang dapat mereka bahan
pengajaran tetapi juga adalah pelukis yang boleh memahami perbezaan individu. Pelajar juga
dapat memahami sesuatu konsep itu dengan jelas dan tepat kerana mereka dapat melihat secara
terus terutamanya yang melibatkan pekara yang abstrak. Rasional alat bantu mengajar digunakan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah untuk memperjelaskan lagi penyampaian
maklumat agar tidak terlalu bersifat verbalistik, mengatasi keterbatasan ruang, mengatasi sifat
pasif pelajar dan memberi rangsangan, mempersamakan pengalaman dan membangkitkan
persepsi di kalangan pelajar.
Menurut Abdul Raof Dalip (1991), sebagai langkah pertama, guru-guru terutamanya guru pelatih
seharusnya telah dilatih supaya menjadi seorang guru bertauliah dan berwibawa. Latihan
mengajar merupakan satu aspek penting dalam program pendidikan perguruan. Sewaktu
menjalani latihan mengajar, guru pelatih mengajar dengan menggunakan segala teori dan prinsip
pendidikan dalam situasi pengajaran dan pembelajaran sebenar di bilik darjah. Guru sepatutnya
menyampaikan pengajaran sebaik mungkin dengan membuat persediaan awal dari segi
perancangan kaedah penyampai, pengajaran dan penggunaan alat bantu mengajar yang
mencukupi (Noor Din, 1999).
1.3 Penyataan Masalah
-
Sepatutnya pengajaran menjadi lebih baik dan menarik dengan persediaan awal dari segi
perancangan kaedah penyampaian pengajaran dan penggunaan bahan bantu mengajar yang
cukup. Ini secara tidak langsung boleh membantu pemahaman pelajar. Peralatan yang dihasilkan
berasaskan teknologi moden dapat digunakan secara praktik dalam pengajaran dan pembelajaran
guru.
Oleh itu, bidang teknologi juga memainkan peranan penting yang menjadi tapak asas
yang kukuh dalam bidang pendidikan masa kini. Perkembangan teknologi mencipta peralatan
pengajaran memberi kesan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang
dilakukan oleh guru dan juga bagi mempercepatkan proses pembelajaran di kalangan pelajar
Guru pelatih (matematik) telah didedahkan pelbagai kaedah mengajar yang memusatkan pelajar,
sumber-sumber pengajaran pembelajaran dan juga bagaimana menggunakan bahan bantu
mengajar dengan berkesan. Seseorang guru pelatih juga harus mahir mengenal pasti, membuat
keputusan untuk memilih bahan bantu mengajar yang paling berkesan dan mengoptimumkan
sumber untuk mencapai objektif pengajaran yang dirancang. Kualiti sesuatu pelajaran yang
memusatkan pelajar amat bergantung kepada keberkesanan guru memilih dan menggunakan
bahan bantu mengajar yang sesuai. Sesebuah sekolah yang mempunyai pusat sumber atau
perpustakaan yang dilengkapi bahan bantu mengajar tidak dapat membantu pelajar dalam
pembelajarannya jika gurunya tidak mahir menggunakan bahan itu dengan berkesan.
1.4 Objektif Kajian
I. Mengenal pasti jenis bahan bantu mengajar yang digunakan oleh guru-guru pelatih
dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran matematik semasa latihan mengajar.
-
II. Mengetahui tahap kemahiran penggunaan bahan bantu mengajar di kalangan guru pelatih
dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran matematik.
III. Mengetahui masalah yang dihadapi oleh guru pelatih dalam penggunaan bahan bantu
mengajar.
1.5 Persoalan Kajian
I. Apakah persepsi guru pelatih terhadap penggunaan bahan bantu mengajar dalam
pengajaran dan pembelajaran matematik?
II. Apakah tahap kemahiran guru-guru pelatih dalam menggunakan bahan bantu mengajar
dalam pengajaran dan pembelajaran matematik?
III. Apakah masalah yang dihadapi oleh guru pelatih dalam menggunakan bahan bantu
mengajar?
1.6 Kepentingan Kajian
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM) menekankan pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajaran. Dalam konteks
pelajaran matematik KBSR khasnya, penggunaan Bahan Bantu Mengajar memainkan peranan
penting dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru merancang aktiviti yang
menggunakan Bahan Bantu Mengajar untuk menyampaikan konsep matematik dengan lebih
berkesan. Hasil daripada kajian ini diharapkan dapat memberikan kesedaran kepada guru-guru
matematik khususnya dan pihak-pihak lain agar memberikan perhatian dan mengambil tindakan
sewajarnya terhadap kepentingan Bahan Bahan Mengajar dalam pengajaran matematik.
-
Menurut Omar Hamalik (1982,m.s.79 ) menjelaskan bahawa kemajuan teknologi moden
sekaligus mengajak kita mengubah sikap dan menyedari akan pentingnya Bahan Bantu Mengajar
sebagai memenuhi tuntutan kurikulum dan peningkatan kemampuan pelajar.
Hasil dapatan daripada kajian ini diharapkan dapat membantu pengkaji memperbaiki
kelemahan diri sendiri berhubung dengan penggunaan Bahan Bantu Mengajar untuk
dimanfaatkan kepada pelajar yang dibimbing. Selain itu, kepentingan kajian ini juga untuk
meningkatkan kesedaran dan pengetahuan guru-guru matematik tentang pentingnya penggunaan
Bahan Bahan Mengajar dalam proses pengajarandan pembelajaran. Selain itu membentuk guru
supaya lebih kritis dan kreatif dalam pembinaan dan pemulihan Bahan Bahan Mengajar yang
sesuai dengan minat pelajar yang dibimbing. Akhir sekali, kajian ini diharapkan agar dapat
memberi gambaran yang jelas tentang penggunaan Bahan Bantu Mengajar kepada pihak sekolah,
Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan PendidikanNegara dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Justeru itu satu perancangan yang lebih teliti dapat dirangka seperti menganjurkan kursus
yang bersistematik kepada para guru untuk menyalurkan pengetahuann tentang penggunaan
Bahan Bantu Mengajar di kalangan guru-guru matematik khasnya.
1.7 Batasan Kajian
Lokasi kajian adalah sebuah universiti iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong
Malim di Perak. Pemilihan universiti ini adalah bersesuaian dengan penyelidikan kerana
pengkaji masih bertugas di universiti tersebut. Dari segi sampel kajian pula, ia terdiri daripada
pelajar-pelajar tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik (AT14) dan Ijazah Sarjana
Muda Sains Matematik dengan Pendidikan.di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong
Malim, Perak. Pemilihan sampel hanya dibataskan kepada pelajar-pelajar ini kerana mereka telah
-
menjalani sesi latihan mengajar pada semester pertama sesi 2014/2015 sebagai guru pelatih yang
mengajar subjek matematik atau matematik tambahan.
Kajian ini berbentuk kaedah deskriptif yang menggunakan soal selidik dan akan dijalankan ke
atas guru-guru pelatih UPSI yang mengajar mata pelajaran matematik atau matematik tambahan
semasa latihan mengajar. Menurut Mohd Majid (1994), kaedah deskriptif adalah sesuai
digunakan dalam penyelidikan yang bermatlamatkan untuk menerangkan sesuatu masalah atau
fenomena. Tujuan kajian ini adalah mengetahui tahap penggunaan alat bantu mengajar di
kalangan guru pelatih yang mengajar mata pelajaran matematik atau matematik tambahan.
-
BAB 2
ULASAN KEPUSATAKAAN
Dalam bab ini,akan dibincangkan tentang kajian yang telah dijalankan oleh pengkaji sebelum ini.
Banyak kajian dan penulisan mengenai hubungan di antara penggunaan Bahan Bantu Mengajar
dengan minat pelajar. Minat yang mendalam dalam mata pelajaran matematik memainkan
peranan yang penting terhadap pencapaian dalam bidang matematik Juga kajian-kajian mengenai
ciri-ciri dan jenis-jenis Bahan Bantu Mengajar yang digunakan sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran.
2.1 Kajian Tempatan
Di Malaysia, terdapat beberapa orang penyelidik yang telah mengkaji tentang penggunaan bahan
bantu mengajar (BBM) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penyelidik telah
menggunakan kajian-kajian ini sebagai rujukan dan panduan bagi menjalankan kajian ini agar
kajian ini menjadi lebih baik lagi.
Wan Monalyza (1990) telah menjalankan kajian mengenai tanggapan pelajar-pelajar
Tingkakatan 2 di Sekolah Menengah Yahya Petra terhadao penggunaan BBM dalam mata
pelajaran Sains. Dapatan kajian beliau menunjukkan bahawa majoriti pelajar lebih cenderung
terhadap penggunaan BBM yang pelbagai, tulisan dan gambar rajah yang teratur serta mudah
dibaca dan bersesuaian dengan topik yang diajar. Maklum balas yang diberikan oleh responden
mengatakan bahawa BBM dapat meningkatkan daya ingatan dan kefahaman mereka. Penyelidik
telah membuat kesimpulan bahawa BBM memainkan peranan yang amat penting untuk
merangsang keinginan pelajar tersebut dengan lebih mendalam.
-
Sabdani Batang (1999) telah melakukan satu kajian yang bertajuk Persepsi Pelajar
Terhadap Keberkesanaan Penggunaan BBM Dalam Mata Pelajaran Fizik Tingkatan 4. Kajian
ini telah dijalankan di Sekolah Menengah Taun Gusi dan Arshad di Kota Belud, Sabah. Dapatan
kajian mendapati bahawa pelajar mempunyai persepsi yang baik terhadap BBM yang guru
gunakan. Beliau telah mengkelaskan dapatan kajian ini kepada beberapa aspek iaitu dari segi
kemahiran, kognitif, tingkah laku,dan pemilihan BBM. Dari segi kemahiran, hasil dapatan
menunjukkan BBM dapat memberi idea kepada pelajar supaya menjadi lebih kreatif dan
memudahkan pelajar membayangkan isi pengajaran yang diajar oleh guru semasa ujian. Dari
segi kognitif, hasil dapatan menunjukkan BBM dapat membantu pelajar-pelajar menggambarkan
konsep pembelajaran dengan lebih jelas. Pelajar juga dapat mengingati isi pelajaran guru dengan
lebih mudah. Para pelajar juga mengatakan bahawa BBM dapat memberikan kefahaman tentang
konsep-konsep asas yang penting dengan lebih mudah. Dari segi tingkah laku pula, BBM dapat
menggalakkan pelajar untuk belajar, proses pengajaran menjadi lebih lancer, sempurna dan
pelajar juga merasakan penggunaan BBM adalah sesuai dan berkesan. Dari segi minat,
penggunaan BBM yang pelbagai cara pengajarannya akan dapat menarik minat pelajar untuk
belajar. Hasil dapatan kajian ini juga menunjukkan penggunaan BBM merupakan satu cara yang
unggul dalam menarik minat pelajar terhadap pengajaran guru. Dari segi pemilihan BBM, pelajar
lebih cenderung meminati penggunaan bahan-bahan 3D, sistem video/TV dan bahan-bahan
bercetak.
Chan (1993) dalam kajian beliau The Effectiveness Of Individualised Learning In
Computer Study Package in Secondary School Matrics telah dapat membuktikan kepentingan
-
penggunaan BBM di dalam pembelajaran dan pengajaran. Skop kajian itu melibatkan 70 orang
pelajar tingkatan 4 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai pencapaian cemerlang
(Destiction Group) dari kumpulan Individualised Learning With Computer (ILCOM),
memperolehi skor yang lebih tinggi dalam ujian pasca berbanding dengan pelajar yang
mempunyai pencapaian yang cemerlang dari kumpulan kawalan. Namun demikian, perbezaan
skor tidaklah signifikan. Manakala pelajar yang mempunyai pencapaian tidak cemerlang (Non-
destinction Group) dari kumpulan ILCOM memperolehi skor yang lebih tinggi dan signifikan
dalam ujian pos berbanding pelajar yang mempunyai pencapaian cemerlang berbanding
kumpulan kawalan. Dalam kajian ini, Chan merumuskan bahawa jika pelajar yang mempunyai
pencapaian tidak cemerlang diberi masa serta panduan, mereka berupaya mencapai keputusan
yang lebih baik dalam bidang matematik terutama dalam topik matrik. Pelajar juga boleh
mempelajari matrik dengan menggunakan komputer tanpa bantuan guru.
Murally (1998) dalam kajiannya bertajuk Kesan Penggunaan BBM Terhadap
Pencapaian Murid Tingkatan 4 Dalam Matapelajaran Fizik di dua buah sekolah di daerah Hulu
Langat mendapati pencapaian murid adalah lebih baik apabila menggunakan BBM berbanding
dengan cara biasa. Dari segi minat, pelajar mempunyai minat yang tinggi terhadap mata
pelajaran FIzik setelah diajar dengan menggunakan BBM.
Hasil dapatan kajian oleh Khairiah (2004) dalam kajiannya yang bertajuk Penggunaan
Bahan Bantu Mengajar Semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran Matematik mendapati
bahawa penggunaan BBM dianggap sebagai pelengkap di dalam proses pengajaran dan
-
pembelajaran matematik. Pengajaran dan pembelajaran dianggap tidak sempurna jika BBM tidak
digunakan di dalam kelas.
Mohd. Noor (1996) telah menjalankan kajian mengenai penggunaan bahan bantu
mengajar oleh guru-guru untuk pengajaran matematik bagi kelas-kelas pemulihan. Dalam
kajiannya, beliau mendapati 90% daripada guru yang dikaji berminat terhadap pengajaran
matematik berbantukan BBM. Daripada jumlah ini, 70% guru menggunakan BBM dalam
permulaan pengajaran iaitu set induksi. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan BBM
dalam proses pengajaran dan pembelajaran memang berkesan.
2.2 Kajian Luar Negara
Selain daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh penyelidik tempatan, terdapat banyak kajian
yang telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dari luar negara tentang penggunaan bahan
bantu mengajar atau teknologi pendidikan dalam meninjau dan melihat sejauh manakah
keberkesanan seorang guru itu menggunakan BBM dalam pengajarannya seterusnya membantu
dalam pembelajaran pelajar. Berikut merupakan ringkasan beberapa kajian luar negara untuk
dijadikan sebagai tinjauan literatur dalam kajian ini.
Ahli-ahli psikologi dan para pendidik bersetuju bahawa pembelajaran yang menggunakan
deria adalah asas kepada semua jenis pembelajaran. Pada peringkat awal pembelajaran, tingkah
laku kanak-kanak bergantung kepada kebolehan memerhati dan membuat interpretasi berkenaan
alam persekitarannya. Kanak-kanak menganggap apa-apa yang ada disekeliling itu adalah dunia
sebenarnya. Van Eugen (1953, dalam Lim Chap Sam, 2003, m.s.3) menegaskan, Respon
-
kepada dunia objek-objek konkrit adalah asas kepada timbulnya struktur idea abstrak. Respon
dilakukan, diaturkan semula dan diintegrasikan supaya ia menjadi lebih berguna, dan lebih
berkuasa daripada respon asal.
Kajian-kajian yang dijalankan oleh Baroody (1987, dalam Lim Chap Sam, 2003, m.s.4)
ke atas kanak-kanak menunjukkan, bagi menggalakkan pembelajaran yang bermakna kepada
pelajar, pengajaran matematik perlu dimulakan dengan pengalaman-pengalaman belajar yang
melibatkan objek sebenar. Didapati pengalaman dan aktiviti belajar menggunakan BBm dapat
membantu kanak-kanak menguasai konsep matematik dengan lebih mantap. Salah konsep atau
misconception dalam matematik yang kukuh. Oleh itu, penggunaan BBM bukan sahaja
memperkukuhkan penguasaan pelajar berkaitan konsep asas, tetapi ia juga memberikan suasana
pembelajaran yang seronok dan bermakna kepada pelajar. Secara tidak langsung, penggunaan
BBM dapat membina dorongan instrinsik pelajar yang sangat diperlukan dalam proses membina
ilmu. (Lim Chap Sam, 2003, m.s.4)
Barry (1986) juga telah menjalankan kajian dan mendapati bahawa penggunaan
television, video dan radio dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap tajuk pelajaran
yang dikaji. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa media tersebut bukanlah
pengganti kepada guru secara keseluruhannya tetapi ia hanya alat untuk memudahkan murid
memahami sesuatu tajuk yang diajar.
William (1996) telah menjalankan kajian mengenai pengajaran menggunakan BBM dan
pengajaran menggunakan ringkasan daripada buku teks sains. Dalam kajian tersebut beliau
-
mendapati bahawa pelajar yang didedahkan dengan kaedah pengajaran berbantukan media lebih
mudah memahami sesuatu pembelajaran serta mereka mempunyai daya ingatan yang lebih lama
berbanding dengan pelajar yang menggunakan buku teks semata-mata.
Justifikasi berkenaan kepentingan BBM matematik seperti bahan manipulatif dibuat oleh
tokoh-tokoh psikologi pembelajaran seperti Zoltan Dienes dan Jerome Bruner seawal tahun 60-
an lagi. Pada peringkat awal perkembangan kognitif, kanak-kanak perlu beberapa mod
persembahan yang berbeza bagi membolehkan mereka membuat takrif ke atas persembahan
melalui deria mereka. Misalnya melalui pengalaman enaktif dan manipulatif, diikuti dengan
pengalaman ikonik atau perlambangan dan seterusnya pengenalan kepada simbol-simbol yang
semakin abstrak (Bruner, 1960, dalam Lim Chap Sam, 2003, m.s. 3). Enaktif merujuk kepada
bahan-bahan konkrit sebenar yang dapat dipegang, dialih ataupun disusun secara fizikal oleh
pelajar. Ikonik pula merujuk kepada perlambangan bagi mewakili bahan sebenar seperti yang
dinyatakan oleh Noor Shah Saad (2002, m.s.8) mengikut perkembangan kognitif yang
dinyatakan oleh Jerome Burner.
-
BAB 3
METADOLOGI
Bab ini memberikan gambaran yang jelas tentang proses penyelidikan. Bab ini juga
membincangkan kaedah yang dijalankan dalam mendapatkan maklumat kajian ini. Aspek-aspek
penting diterangkan di dalam metodologi ini adalah termasuk reka bentuk kajian, partisipan
kajian, instrument kajian, prosedur kajian dan juga analisis data. Kaedah kajian adalah
menggunakan kaedah temu bual dan borang soal selidik.
3.1 Reka Bentuk Kajian
Kajian ini adalah kajian yang berbentuk deskriptif dan data akan dianalisis secara kualitatif.
Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk tinjauan di mana pengetahuan dan
persepsi guru-guru pelatih terhadap penggunaan bahan bantu mengajar dalam pembelajaran
matematik dapat dilihat. Kaedah ini digunakan kerana ia sesuai, mudah, menjimatkan masa dan
memerlukan kos yang rendah. Responden juga berada berdekatan dengan penyelidik.
Kaedah ini digunakan kerana ia boleh melibatkan responden yang ramai, luas dan
menyeluruh. Terdapat tiga alasan mengapa soal selidik digunakan dalam kajian ini. Pertama,
kaedah ini boleh melibatkan responden atau sampel yang ramai. Kedua, membolehkan
penyelidik membuat kajian, hubungan dan perbandingan dengan hasil fakta dan maklumat yang
boleh di cross-tabulate dalam pelbagai kaedah saintifik bagi mempelbagaikan dapatan sesuatu
kajian. Menurut Ahmad Muhid (2005), menyatakan kaedah ini membenarkan responden
memberi respons atau maklum balas tanpa mengira masa dan kebarangkalian memperoleh
-
jawapan yang tepat dan kebolehpercayaannya bertambah. Selain daripada itu, data yang
diperolehi juga mudah untuk dianalisis dan ditafsir.
Saru kajian rintis yang melibatkan 15 orang responden telah dijalankan bagi menentukan
kesahan kajian ini.
3.2 Populasi dan Sampel
Populasi kajian ini terdiri daripada semua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik
(AT14) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Pendidikan (AT48) yang telah
mengajar subjek matematik atau matematik tambahan semasa menjalani sesi latihan mengajar
pada semester 1 sesi 2014/2015.
Daripada populasi tersebut, seramai 40 orang pelajar dipilih sebagai sampel kajian.
Penyelidik telah memilih 20 orang pelajar lelaki dan 20 orang pelajar wanita secara rawak untuk
menjadi sampel kajian ini. Responden-responden ini juga dianggap dapat mewakili keseluruhan
populasi pelajar AT14 dan AT48 yang telah menjalani latihan mengajar..
3.3 Instrumen Kajian
Instrumen kajian yang digunakan oleh penyelidik dalam kajian ini adalah satu set soal selidik
yang diambil dan diubahsuai daripada Tahap Penggunaan Bahan Bantu Mengajar (Zainudin
Hassan, 2007) agar bersesuaian dengan objektif kajian yang telah ditetapkan oleh penyelidik.
Soal selidik ini mengandungi 30 item yang menjawab persoalan-persoalan kajian berikut :
I. Apakah persepsi guru pelatih terhadap penggunaan bahan bantu mengajar dalam
pengajaran dan pembelajaran matematik?
-
II. Apakah tahap kemahiran guru-guru pelatih dalam menggunakan bahan bantu mengajar
dalam pengajaran dan pembelajaran matematik?
III. Apakah masalah yang dihadapi oleh guru pelatih dalam menggunakan bahan bantu
mengajar?
Soal selidik ini mengandungi satu bahagian sahaja. Soal selidik ini mengandungi 30 item
berbentuk format Likert dan menggunakan skala Interval dan responden membuat pilihan
jawapan sendiri apabila menjawab item-item ini. Skala Likert yang digunakan mempunyai 5
pilihan jawapan bagi setiap item. Setiap pilihan tersebut mempunyai markah tertentu. Markah
yang diberi adalah berdasarkan kepada jenis item seperti yang dinyatakan dalam Jadual 3.1.
Jadual 3.1
Skala Likert yang Digunakan Untuk Mengira Skor Responden Bagi Item Negatif
Tanda Maksud Markah
SS Sangat Setuju 5
S Setuju 4
M Memuaskan 3
TS Tidak Setuju 2
STS Sangat Tidak Setuju 1
Borang soal selidik Persepsi Guru Pelatih Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris
Terhadap Penggunaan Bahan Bantu Mengajar ini mengandungi 30 soalan yang disediakan bagi
mendapat respon guru pelatih untuk mengenal pasti persepsi guru pelatih terhadap BBM, tahap
kemahiran guru pelatih terhadap penggunaan BBM dan masalah-masalah yang dihadapi oleh
guru pelatih semasa menggunakan BBM. Pecahan soalan di dalam borang soal selidik
dinyatakan dengan terperinci dalam Jadual 3.2
-
Jadual 3.2
Bil Kategori Nombor Item
1 Persepsi guru pelatih terhadap penggunaan BBM
5,11,12,13,14,15,16,17,18,19,20
dan 23
2
Tahap kemahiran guru pelatih terhadap penggunaan
BBM
2,3,4,6,7,8,9,21 dan 28
3
Masalah yang dihadapi oleh guru pelatih dalam
menggunakan BBM
1,10,22,24,25,26,27,29 dan 30
3.4 Prosedur Kajian
Untuk menjalankan kajian ini, penyelidik telah membuat pembacaan tentang apa yang hendak
dikaji agar mudah dan melancarkan lagi proses penyelidik ini. Antara prosedur dalam
menjalankan kajian ini adalah seperti berikut :-
I. Penyelidik telah memilih satu tajuk yang sesuai dan mendapatkan kelulusan daripada
penyelia tesis.
II. Setelah tajuk diluluskan, penyelidik mendapat format penyediaan penulisan kajian
daripada penyelia tesis.
III. Mendapat bimbingan tentang bagaimana menyediakan proposal kajian dengan betul.
IV. Menyediakan soalan untuk kertas soal selidik yang akan diberikan kepada responden
untuk dijawab.
V. Mengedarkan kertas soal selidik kepada responden kajian.
-
VI. Tatacara Penganalisisan data iaitu data diperolehi dengan menggunakan borang soal
selidik dan temubual. Kemudian maklumat yang diterima akan dianalisis dengan
menggunakan Statistical Package of Social Sciences (SPSS) untuk mendapatkan
kekerapan, peratusan, min dan sisihan piawai.
VII. Membuat rumusan, cadangan dan saranan berkaitan kajian yang telah dijalankan.
3.5 Analisis Data
Bagi menganalisis data yang diperolehi melalui borang soal selidik, penganalisaan data atau skor
mentah ini akan dibuat menggunakan komputer melalui program Statistical Package for the
Social Sciences (SPSS) dan Microsoft Excell. Statistik yang digunakan ialah statistik deskriptif
yang melibatkan pengukuran frekuensi dan peratusan, kekerapan, sisihan piawai dan skor min.
Latar belakang responden dianalisis dengan menggunakan kekerapan dan peratusan responden
pula dianalisis dengan menggunakan frekuensi, kekerapan peratusan dan skor min.
Penilaian akan dilakukan mengikut keseluruhan nilai min yang diperolehi bagi tiga
bahagian yang berkaitan persepsi, tahap kemahiran dan masalah yang dihadapi oleh guru pelatih
dalam menggunakan BBM. Daripada analisis data yang akan diperolehi, diharap agar bakal-
bakal guru mempunyai persepsi yang positif dan memberangsangkan dalam penggunaan bahan
bantu mengajar di dalam pembelajaran dan pengajaran matematik.+
-
RUJUKAN
Abdul Raof Dalip, (1991). Isu-isu Latihan Mengajar Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Abu Zahari Abu Bakar, (1987). Memahami Psikologi Pembelajaran. Petaling Jaya: Longman.
Ahmad Muhid, (2005). Penggunaan Internet Sebagai Sumber Pengajaran di Kalangan Guru-guru
SMK dan SMA di Daerah Sabak Bernam : Latihan Ilmiah, Universiti Pendidikan Sultan
Idris.
Atan Long, (1978). Psikologi Pendidikan, Kuala Lumpur: DBP.
Barry Tomalin, (1986). A Study On The Effect Of The Usage Of Electronic Media In Classroom
Teaching : University Of California.
Chan Chong Tik, (1993). The Effectiveness Of Individual Learning With Computer Study In
Learning Of Some Secondary School Matrics : Masters of Education Thesis, Universiti
Malaya.
Ford Le Roy, (1982). Administering Educational Media: Instructional Technology and Library
Service, New York: Mc Graw Hill Company
Lim Chap Sam, Fatimah Salleh & Munirah Ghazali, (2003). Alat Bantu Mengajar Matematik :
Bentong, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Mohd Noor, (1996). Penggunaan ABM Oleh Guru Untuk Pengajaran Matematik Bagi Kelas
Pemulihan : Latihan Ilmiah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Murally, (1998). Kesan Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Terhadap Pencapaian Murid
Tingkatan 4 Dalam Matapelajaran Fizik : Latihan Ilmiah, Universiti Malaya.
Noor Din Maulud, (1999). Faktor Mempengaruhi Pencapaian Sains PMR. UTM, Tesis Sarjana
Muda.
Noor Shah Saad, (2002). Teori & Perkaedahan Pendidikan Matematik : Petaling Jaya, Prentice
Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Omar Hamalik, (1982). Media Pendidikan Bandung: Penerbit Alumni.
-
Ralph W Tyler, (1949). Basic Principle of Curriculum. London: Longman.
Sabdani Batang, (1999). Persepsi Pelajar Terhadap Keberkesanan Penggunaan Bahan Bantu
Mengajar Dalam Pelajaran Fizik TIngkatan 4, Satu Tinjauan di Sekolah Menengah Taun
Gusi Dan Arshad di Kota Belud, Sabah: Latihan Ilmiah, Universiti Kebangsaan Malaysia
Siti Khairiah, (2004). Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Semasa Proses Pengajaran Dan
Pembelajaran Matematik : Latihan Ilmiah, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Tajul Ariffin Nordin dan Nor Aini Din, (1992). Pendidikan dan Wawasan 2020. Kuala Lumpur:
Arena Ilmu.
Wan Monalyza, (1990). Persepsi Pelajar Terhadap ABM Yang Diunakan Dalam Pengajaran
Matapelajaran Sains Paduan: Latihan Ilmiah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
William Bove, (1996). A Study On The Difference Between Teaching With Teaching Aids And
Teaching With Textbooks : International Journal of Educational Management.