Download - Malnutrisi PK
Malnutrisi : Pengertian Dan Kandungannya
Pengenalan
Malnutrisi adalah salah satu masalah kesihatan yang penting yang kini
telah dikenal pasti oleh Kerajaan Malaysia. Masalah ini adalah menjadi
factor penyumbang kepada masalah-masalah lain seperti nutrisi,
parasitisme, tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak dan juga
aspek sosio-budaya yang berkaitan dengan kesihatan. Malnutrisi
menjadi masalah yang penting terutamanya negara-negara mundur
yang ekonomi dan pendidikan lemah di dunia seperti Somalia, Senegal
dan Uganda di benua Afrika serta Bangladesh, Selatan India dan
Pakistan di benua Asia. Di Malaysia ia merupakan masalah yang
sederhana yang terkawal, hasil daripada keadaan ekonomi yang stabil
dan pendidikan yang berkesan. Cuma malnutrisi ini masih terdapat di
kawasan-kawasan pedalaman Malaysia kerana masalah lokasi dan
perhubungan antara satu tempat dengan tempat lain yang lebih maju.
Di kawasan terpencil ini perkhidmatan penjagaan kesihatan moden
adalah rendah atau tidak kedapatan. Mengikut fakta, 2/3 kanak-kanak
tidak sihat di dunia adalah di Asia manakala ¼ adalah daripada benua
Afrika.
Menurut kajian terdapat banyak penyakit yang berpunca daripada
malnutrisi. Terdapat persetujuan mengatakan bahawa malnutrisi
merupakan punca utama kepada kematian kanak-kanak di negara
mundur dan sedang membangun termasuk Malaysia. Kajian
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga antaranya mengatakan :
“Seluruh dunia, disebabkan kekurangan langkah kesihatan walaupun
langkah yang paling mudah, ramai orang mati disebabkan oleh
penyakit yang boleh dicegah dan diubati, yang biasanya dapat
dikaitkan dengan malnutrisi, ataupun hidup dengan kecacatan anggota
dan mental.”
Definisi Malnutrisi
Malnutrisi adalah satu keadaan yang terhasil atau terjadi apabila
badan manusia memperolehi atau menerima kandungan yang tidak
seimbang untuk vitamin, mineral dan nutrien yang lain, dimana
kandungan tersebut diperlukan untuk mengekalkan kesihatan tisu
badan dan fungsi organ tubuh.
Dalam ertikata lain, malnutrisi ( nutrisi yang tidak teratur ) adalah
keadaan patologi yang terhasil daripada kekurangan relatif atau
mutlak atau kelebihan satu atau lebih nutrien.
Kategori dan Jenis Malnutrisi
Malnutrisi boleh di kategori kepada 2 iaitu :
1. Malnutrisi primer – keadaan dietari yang tidak teratur.
2. Malnutrisi sekunder – ketidaknormalan nutrisi akibat proses
penyakit di dalam badan manusia.
Dua kategori utama malnutrisi ini dapat dibahagi lagi kepada empat
jenis keadaan patologi seperti yang berikut :
i. Nutrisi berkurangan
Keadaan akibat daripada pengambilan nutrien yang tidak mencukupi.
Lazimnya ia ádalah kesan penggunaan terlalu sedikit nutrien yang
penting atau menggunakan atau proses perkumuhan yang terlalu
pantas daripada proses menggantikannya. Kanak-kanak, remaja,
wanita mengandung dan perempuan yang menyusui bayi sangat
memerlukan nutrien tambahan. Kehilangan banyak nutrien boleh juga
disebabkan oleh diarrhea, kadar perpeluhan melampau, kehilangan
banyak darah dan buah pinggang kurang berfungsi. Sementara itu
pengambilan nutrien yang sepatutnya akan terhalang akibat daripada
penyakit tua, proses diet yang melampau, alahan makanan,
kecederaan yang tertentu atau penggunaan bahan makanan yang sia-
sia.
ii. Nutrisi berlebihan
Hasil daripada pengambilan makanan yang berlebihan. Dietari yang
tidak seimbang ini juga akibat pengambilan makanan berlebihan yang
salah dari segi kandungan nutriennya, senaman yang tidak mencukupi
dan pengambilan terlalu banyak vitamin atau suplemen diet yang
salah. Risiko ini turut bertambah sekiranya memiliki berat badan
berlebihan 20 %, pengambilan lemak dan garam berlebihan serta
pengambilan dos berlebihan untuk ; niacin untuk merendahkan tahap
kolestrol yang tinggi, vitamin B6 untuk melegakan sindrom pre-
menstrual, vitamin A untuk menghilangkan masalah kulit dan zat besi
atau bahan mineral lain yang tidak mendapat preskripsi doktor.
Pengambilan nutrien yang tidak teratur boleh mempengaruhi sistem
tubuh badan serta deria bau, rasa dan melihat. Ia juga dapat
melahirkan perasaan cemas, perubahan perasaan hati dan simptom
psikiatri.
iii. Kekurangan spesifik
Keadaan berlaku akibat kekurangan relatif atau mutlak sesuatu nutrien
yang penting seperti contohnya asid amino dan vitamin A.
iv. Ketidakseimbangan
Keadaan terhasil akibat daripada pengambilan nutrien yang diperlukan
tidak seimbang bukan disebabkan kekurangan sesuatu nutrien.
Faktor-faktor Penyebab Malnutrisi
Terdapat faktor tidak langsung dan faktor penyebab cara langsung
yang menyebabkab berlakunya malnutrisi. Di antara faktor-faktor
penyebab yang utama adalah :
a) Keadaan sosio-ekonomi yang mundur – Kemiskinan dan
Pengetahuan yang Rendah
Menurut satu kajian : “….bagi sesuatu kumpulan yang dikaji, tahap
kemiskinan didapati berkadar songsang dengan tahap pengambilan
protein sumber haiwan…..”. Ini jelas menunjukkan bahawa
kemiskinan adalah salah satu punca utama manutrisi dan berkait
rapat dengan tahap pengetahuan yang rendah. Pendapatan yang
rendah menyebabkan mereka tidak berkeupayaan membeli
makanan yang mempunyai diet yang seimbang. Ini akan
menyebabkan diet berkurangan dan tidak sempurna.
b) Amalan Pemakanan dan Penyakit
Tabiat pemakanan semakin berkurangan apabila usia semakin
meningkat. Orang tua yang hilang tabiat pemakanannya akan
semakin diancam oleh malnutrisi. Penyakit yang sering menyerang
orang tua seperti Alzheimer akan menyebabkan mereka lupa untuk
makan makanan yang seimbang.
Risiko malnutrisi juga semakin meningkat bagi orang yang
mengidap sesetengah penyakit bahaya contohnya buah pinggang,
hati, kanser, AIDS dan gastrik. Penghidap penyakit ini akan
terhalang untuk memakan sesuatu jenis diet dan kelemahan sistem
badan mereka untuk menyerap makanan yang telah dicernakan.
Orang yang bergantung hidup dengan dadah dan alkohol juga
mempunyai risiko tinggi terhadap malnutrisi. Golongan ini
mempunyai diet tertentu yang perlu diamalkan dalam satu tempoh
jangkamasa yang ditetapkan. Diet ini akan mengurangkan
keseimbangan makanan yang diambil, dan selalunya golongan ini
mempunyai kegagalan dalam sistem pencernaannya akibat kesan
pengambilan dadah dan alcohol terutama yang melibatkan organ
hati, pankreas dan buah pinggang.
Alahan terhadap sesejenis makanan akan menyukarkan seseorang
itu memperolehi makanan yang boleh mereka cernakan. Golongan
ini memerlukan kalori tambahan yang diambil untuk mengekalkan
berat yang diambil dan seterusnya mengekalkan berat badan
mereka sendiri.
Sifat terlampau ingin kurus menyebabkan pemakanan yang tidak
teratur bagi golongan anoreksia dan bulimia yang terlampau
menghadkan pengambilan makanan mereka, sehingga tidak sihat
akibat kekurangan nutrien yang penting untuk badan mereka.
Adat resam sesuatu masyarakat juga mempengaruhi amalan
makanan sesuatu golongan. Contohnya amalan masyarakat Melayu,
wanita di dalam pantang di halang memakan buah-buahan dan
sayur-sayuran yang mempunyai nutrien yang tinggi. Sedangkan
pada masa ini ibu yang sedang menyusui bayi memerlukan
kandungan nutrien yang tinggi. Ini menyebabkan mereka mudah
terdedah kepada penyakit seperti anemia.
c) Parasitisme dan Infeksi Penyakit
Masih terdapat penyakit berjangkit dan penyakit berparasit yang
kronik berlaku di sesetengah tempat yang boleh menjurus kepada
malnutrisi. Penyakit berjangkit yang lazim seperti tuberkulosis,
malaria dan semua jenis disentri contohnya cirit birit, sementera
penyakit berparasit adalah seperti askaris, trikuris, cacing usus dan
kutu kepala.
Penyakit- penyakit ini akan menyebabkan masalah-masalah
berikut :
Kehilangan nutrien yang tinggi
Keperluan fisiologi yang lebih tinggi terhadap nutrien dengan
beban yang lebih, akibat daripada penyakit
Malfungsi sistem penyerapan yang menghasilkan malserapan
Simptom Malnutrisi
Di antara simptom-simptom kemungkinan malnutrisi adalah
kehilangan berat badan tanpa disedari sebanyak 10 pound atau lebih.
Orang yang tidak subur kebiasaannya berbadan kurus dan kepala agak
besar dengan keadaan kulit mereka pucat, tebal, kering dan mudah
nampak lebam. Gatal-gatal kulit dan perubahan pigmentasi selalu
biasa berlaku kepada mereka.
Rambut adalah nipis, kerinting kasar dan mudah tercabut dari kulit
kepala. Selalu berasa sakit pada bahagian sendi dan tulang mereka
lembut dan mudah patah. Bahagian gusi selalu mengalami
pendarahan dan lidah yang membengkak, berkedut serta retak-retak.
Berlaku gangguan pada penglihatan termasuklah rabun malam dan
sangat sensitif pada cahaya serta kilauan.
Simptom-simptom malnutrisi yang lain adalah :
Diarrhea
Kebingungan
Berkeadaan bimbang
Kehilangan tindakan refleks dan koordinasi otot semakin
berkurangan
Otot tersentak
Amenorrhea
Bibir dan mulut yang pecah dan retak
Kanak-kanak yang menghidapi malnutrisi kebiasaannya pendek umur,
kurus, tidak dan mempunyai daya tahan badan yang sangat lemah.
Diagnosis Malnutrisi
Kehadiran malnutrisi pada seseorang dapat dikesan daripada
penampilan keseluruhan diri seseorang, tingkah laku, agihan lemak
pada badan dan fungsi organ tubuh badan.
Pesakit akan di temu bual dan direkodkan data tentang bahan yang
dimakan pada waktu-waktu spesisifik mereka. X-ray boleh dijalankan
bagi mengesan isipadu tulang, gangguan pada organ perut dan
kerosakan pada bahagian hati serta jantung.
Ujian darah dan air kencing juga dapat dilakukan bagi mengukur
peringkat kandungan vitamin, mineral dan bahan kumuh pesakit.
Status nutrisi pada seseorang juga dapat di anggarkan secara :
Membandingkan berat pesakit dengan carta Standard
Mengira indeks jisim badan (BMI) berdasarkan formula yang
membahagikan tinggi terhadap berat
Mengukur ketebalan kadar lipatan kulit (‘skinfold’) atau lilitan
pada lengan atas
Jenis-jenis Penyakit Akibat Malnutrisi
Di antara penyakit-penyakit utama berpunca daripada malnutrisi
adalah seperti berikut :
i. Kwashiorkor
Penyakit berpunca daripada kekurangan zat protein atau di kenali juga
sebagai penyakit “red boy”. Seseorang yang kekurangan protein asid–
asid amino. Penyakit ini biasanya dijangkiti oleh kanak–kanak yang
tidak lagi menyusu dengan ibunya ketika berusia 5 tahun dan
selalunya akan makan makanan yang mengandungi sama ada bijirin,
ubi kentang atau yang berkanji.
Simptom umum Kwashiorkhor :
Penampilan seolah-olah seperti anak gemuk (gemuk air)
Penurunan kesedaran (lebih sering dari anak yang berpenyakit
marasmus)
Tubuh menjadi lemah dan urat saraf
Otot-otot mengecil, anak berbaring terus-menerus
Anak sering menolak segala jenis makanan
Rambut berwarna kusam dan mudah dicabut
Gangguan kulit berwarna kemerahan dan merebak serta
berubah menjadi hitam dan terkelupas
Pembesaran hati disebabkan kemasukan lemak.
Rawatan biasanya ialah memberi kanak–kanak makanan yang
mengandungi asid–asid amino. Susu tepung tanpa lemak juga boleh
diberikan bagi meningkatkan zat protein.
ii. Marasmus
Marasmus adalah sejenis penyakit yang terjadi disebabkan oleh
kekurangan kalori dan protein (Protein Clorie Malnutrition Diseases). Ia
biasanya berlaku pada kanak–kanak yang berumur 1 tahun di negara
yang miskin dan sedang membangun.
Simptomnya adalah seperti :
Wajah seperti orang tua
Sering terdapat penurunan kesedaran
Kulit kering, dingin dan kendur
Otot-otot mengecil sehingga tulang-tulang kelihatan jelas
Sering disertai diare atau konstipasi
Tekanan darah, frekuensi jantung dan frekuensi pernafasan
berkurangan
Berat badan merosot
Sering cirit birit
Pemakanan yang diambil perlulah dapat menampung kalori dari
jumlah protein yang diambil mencukupi dan mengandungi kandungan
biologi yang baik serta kandungan mineral dan vitamin. Pengawalan
penyakit ini boleh dilakukan dari awal iaitu dengan meminum susu
kering tanpa lemak.
iii. Xeroftalmia
Merupakan penyakit mata yang disebabkan oleh kekurangan vitamin
A. keadaan ini menyebabkan mata seseorang itu mengalami sensitif
pada cahaya. Akibat dari pada penyakit ini, kelopak mata akan
menjadi bengkak akibat daripada tiada rembesan air mata dan
seterusnya melekat pada nanah. Selain itu juga, bakteria akan
memasuki mata dan tumbuh pada kornea. Jika keadaan ini berterusan
pesakit itu boleh menjadi buta.
iv. Rabun Malam
Penyakit ini adalah kegagalan penglihatan untuk menyesuaikan secara
pantas dari keadaan yang terang kepada keadaan gelap di dalam bilik
pada masa yang lama. Pesakit yang mengalami penyakit ini
disebabkan kekurangan vitamin A.
Pesakit hendaklah memperbanyakkan makan makanan yang
mempunyai vitamin A yang boleh di dapati dari :
Susu
Mentega keju
Kuning telur
Hati
Ikan berlemak
Sayur sayuran
Buah buahan
v. Beri –Beri
Penyakit yang disebabkan oleh kekurangan vitamin B1 tiamina. Ia
adalah satu penyakit suku bangsa yang bergantung kepada makanan
beras kisar sahaja sehingga memberi satu wabak penyakit.
Tanda – tanda penyakit ini :
Kecederaan saraf
Kaki dan jari–jari kaki menjadi kebas dan terasa sengal – sengal.
Pergelangan kaki kaku
Badan menjadi lemah
Susah berjalan
Kemungkinan kaki boleh menjadi lumpuh
Hilang nafsu makan
Cepat letih
Pencernaan makanan tak sempurna
Terdapat dua jenis penyakit beri–beri iaitu :
a) Beri–beri basah
Penyakit orang dewasa, badan pesakit menjadi bengkak yang bermula
dari kaki. Ini disebabkan oleh kelemahan jantung untuk mengepam
darah ke paru–paru. Oleh itu tisu–tisu pada tangan akan penuh dengan
cecair tisu dan akan membengkak serta boleh menyebabkan
kematian.
b) Beri–beri kering
Juga terjadi pada orang dewasa, badan tidak menunjukkan bengkak
tetapi otot–otot menjadi lisut dan boleh lumpuh. Penyakit ini adalah
dari sistem saraf terutamanya bahagian yang mengawal otot–otot
tangan dan kaki. Lama-kelamaan bahagian ini akan menjadi lemah dan
tidak bermaya. Pesakit perlulah makan makanan yang banyak tiamina
seperti beras yang belum dikisar, kacang pis dan bijirin tulen.
vi. Penyakit tulang
Penyakit ini disebabkan oleh kekurangan vitamin D yang
menyebabkan tumbesaran tulang yang terencat berlaku pada kanak–
kanak. Vitamin ini amat penting dalam metabolisme kalsium dan
fosfurus yang membolehkan garam tak organik kalsium fosfat
dienapkan di dalam tulang–tulang. Kekurangan vitamin ini
menyebabkan kemerosotan enapan kalsium dalam tulang dan
mengakibatkan tulang menjadi rapuh serta mempercepatkan
pembongkokkan dan pembantutan.
vii. Beguk
Penyakit yang disebabkan oleh kekurangan iodin. Kelenjar tiroid
membengkak dan menyebabkan kemerosotan metabolisme asas
seterusnya menjejaskan fizikal dan mental pesakit. Penyakit ini sering
berlaku pada negara yang tiada sumber makanan diri laut, ini keranan
ikan air laut mempunyai banyak iodin.
iix. Anemia
Penyakit yang disebabkan oleh kekurangan zat besi. Jika berlaku
penurunan kepekatan hemoglobin, ini menunjukkan tanda–tanda
berlakunya Anemia. Tanda–tandanya adalah keletihan, hati membesar,
susah bernafas dan kulit yang pucat. Punca kekurangan zat besi
adalah dari segi amalan pemakanan, kehilangan darah yang
berlebihan dan penyerapan zat besi yang lambat.
Langkah-langkah Rawatan Secara Am
Kebiasaannya status nutrisi bermula dengan penilaian terhadap nutrisi
tersebut. Proses ini membolehkan ‘clinical nutrionist’ atau pakar
pemakanan menentukan kehadiran malnutrisi, menilai kesan terhadap
kekacauan nutrisi dan memformulasikan satu diet yang menyimpan
nutrisi yang mencukupi.
Pesakit yang tidak boleh atau tidak mahu makan atau sesiapa yang
tidak dapat menyerap nutrient yang dimakan, akan disuap secara
intravenous atau melalui kapilari tiub yang disumbat ke dalam
‘gastrointestinal (GI) tract’.
Sistem menyuap menggunakan tiub biasanya digunakan kepada
pesakit yang menderita terbakar badan atau penghidap penyakit yang
melibatkan usus. Prosedurnya ialah memasukkan tiub kecil melalui
hidung sepanjang kerongkong sehingga sampai ke dalam perut atau
usus kecil. Sekiranya pesakit memerlukan cara tiub dalam jangkamasa
yang lama, tiub akan dimasukkan terus ke dalam perut atau usus kecil
melalui potongan/hirisan pada bahagian abdomen.
Pemakanan secara tiub tidak selalu boleh membekalkan nutrien yang
mencukupi kepada pesakit yang :
Serius ketidaksuburannya
Memerlukan pembedahan
Menjalani kemoterapi atau rawan radiologi
Terbakar yang serius
Cirit birit dan muntah yang berterusan
Bagi sistem pemakanan melalui saluran darah boleh membekalkan
hamper kesemua nutrien yang diperlukan oleh pesakkit.
Langkah-langkah Pencegahan Awal
Memberi susu badan kepada bayi untuk selama sekurang-kurangnya
enam bulan pertama adalah langkah terbaik mencegah malnutrisi
pada peringkat awal bayi. Pada peringkat umur melebihi dua tahun
adalah digalakkan mengikut tabiat yang berikut :
Memakan banyak buah-buahan, bijirin dan sayuran
Makan makanan yang berkandungan lemak dan kolestrol yang
rendah serta mengandungi kandungan garam, gula dan sodium
yang berpatutan
Melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian selama lebih kurang
30 minit beberapa kali dalam seminggu
Mencapai atau mengekalkan berat badan yang ideal
Elakkan penggunaan alkohol yang berlebihan
Setiap pesakit yang dimasukkan ke hospital perlulah di periksa dan di
saring bagi mengesan kehadiran penyakit serta keadaan yang boleh
menjuruskan kepada malnutrisi tenaga protein. Pesakit yang
mempunyai risiko tinggi terhadap malnutrisi perlulah diberi penilaian
yang lebih selama mereka dirawat di hospital atau di rumah.
Kesimpulan
Malnutrisi sepatutnya boleh dicegah dari peringkat awal lagi sekiranya
masyarakat sedar dan tahu kesan-kesan yang boleh disebabkannya.
Pendidikan nutrisi merupakan langkah yang penting bagi
melengkapkan pendidikan kesihatan. Pendidikan ini akan menjadi
mustahak kepada sistem penjagaan kesihatan yang menekankan
langkah-langkah mencegah dan promosi . Dalam erti kata yang lain,
pendidikan nutrisi adalah berkesan bagi memerangi kejahilan tentang
keperluan nutrisi dan ancaman-ancaman yang berkaitan dengannya.
Kita perlu mengadakan aktiviti-aktiviti nutrisi yang cekap seperti
pemeliharaan halaman rumah, kebersihan diri, pengimunan dan lain-
lain program piawaian nutrisi yang penting dalam mengurangkan serta
menghapuskan masalah malnutrisi dalam masyarakat kita.
Bahan Rujukan
Grigsby, Donna G., MD. "Malnutrition." eMedicine December 18,
2003. http://www.emedicine.com/ped/topic1360.htm.
Noura Syifa & Suharni Supaat (2005). Keseimbangan Makanan.
Kuala Lumpur. Goodmark Enterprise.
Phuah Kooi Ean (1984). Pemakanan. Kuala Lumpur. Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Tan Loong Hoe (1990). Malnutrisi, Sumber Kesihatan Dan
Pendidikan Di Semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan
Bahasa dan Pustaka.
World Health Organization (WHO) Nutrition web site.
http://www.who.int/nut/index.htm.
Isi Kandungan
1. Pengenalan
2. Definisi Malnutrisi
3. Kategori Dan Jenis
4. Faktor-faktor Penyebab Malnutrisi
5. Simptom-simptom Malnutrisi
6. Diagnosis Malnutrisi
7. Jenis-jenis Penyakit Akibat Malnutrisi
8. Langkah-langkah Rawatan Secara Am
9. Langkah-langkah Pencegahan Awal
10. Kesimpulan
11. Bahan Rujukan