Download - KECAKNAAN ZURINAH HASSAN TERHADAP NARATIF …
1
KECAKNAAN ZURINAH HASSAN TERHADAP NARATIF SOSIAL DALAM
KUMPULAN PUISI CERITA DALAM CERITA BERDASARKAN KERANGKA
SPEKTRUM KOGNITIF
ARBAIE SUJUD
Abstrak
Sasterawan Negara (SN) Zurinah Hassan nama besar dalam dunia perpuisian,
yang sering mengangkat persoalan masyarakat antara menu yang disajikan
kepada khalayak. Suara rasa dan kepekaan beliau meneliti rona kehidupan
yang pelbagai corak khususnya kelompok marhain menjadikan sajak-sajak
beliau sangat dekat dengan masyarakat. Kecaknaan beliau menyelongkar
setiap tawa ria yang berbaur tangisan pilu, kehebatan kota yang tersaji kedaifan
penghuninya, kemakmuran negara yang hanya milik mereka yang bertuah
menjadikan puisinya adalah manifestasi pengamatannya terhadap alam dan
kehidupan. Pengalaman yang dilalui, mendewasakan daya kreativiti dan
menyuburkan naluri rasa. Dari kisah anak yang mendambakan kasih sayang,
pendatang tanpa izin yang berselimut derita serta wajah manusia yang masih
leka disajikan dalam landskap Kumpulan Puisi Cerita dalam Cerita (2014).
Kertas kerja ini, akan mengupas kecaknaan SN Zurinah Hassan yang
mengangkat naratif sosial dalam puisi-puisi terpilih berdasarkan Kerangka
Spektrum Kognitif (KSK:2019). Bagi maksud ini, Kerangka Spektrum Kognitif
(KSK:2019) yang berpaksikan 5P yang merangkumi pengenalpastian,
pewajaran, pengorganisasian, pencerakinan (penganalisisan) dan perumusan.
2
Pengaplikasian 5P berasaskan KSK sebagai suatu alternatif yang dapat
dimanfaatkan untuk meneliti sajak-sajak dalam kumpulan puisi Zurinah Hassan
yang mengangkat persoalan sosial sebagai wacana kreativitinya untuk dikaji.
Kata kunci : Naratif sosial, Spektrum, Kognitif, Kreativiti, Cakna
3
Pengenalan
Pengarang menerusi bakat dan kreativiti yang dimiliki berusaha menimbulkan
kelainan dalam mengetengahkan idea untuk dikongsi dengan masyarakat.
Persoalan yang dekat dengan jiwa masyarakat sering kali dipilih untuk
disebatikan dengan alam pemikiran dan kreativiti mereka. Hal ini kerana
sesuatu karya kreatif imaginatif tidak dihasilkan dalam kekosongan (in vacuo)
bahkan kewujudan sesuatu karya sastera dikaitkan dengan kehidupan
masyarakat yang melatarinya (Arba’ie Sujud:2016). Bagi maksud ini, Zurinah
Hassan (ZH) menerusi Kumpulan Puisi Cerita dalam Cerita (2014) menampilkan
‘permainan minda’ dengan khalayaknya yang diolah dengan cermat menerusi
bahasa kreatifnya. Persoalan masyarakat diangkat sebagai menu sajian untuk
hidangan khalayak berfikir dan mencerna minda daripada pelbagai sisi dan
dimensi. Bagi maksud ini, Kerangka Spektrum Kognitif (2019) (KSK) digunakan
bagi meneliti kecaknaan ZH tentang naratif sosial dalam sajak-sajak terpilih.
Perihal Kerangka Spektrum Kognitif
Kerangka Spektrum Kognitif (KSK) bertitik tolak daripada pandangan Thomas
Aquino (1960) dan Dharmawijaya (2001) berhubung binaan sesebuah karya
(Arba’ie Sujud : 2019). Berdasarkan orentasi daripada pandangan Thomas
Aquino (1960) ini, dapat dirumuskan bahawa sesebuah karya sastera adalah
sebuah binaan yang saling melengkapi untuk mewujudkan keindahan sama ada
bersifat luaran mahupun dalaman. Hal ini turut dikaitan dengan pandangan
Dharmawijaya (2001) yang menyifatkan bahawa karya sastera sebagai pohon
yang tumbuh subur dengan akar yang menunjangi realiti dengan ranting dan
dedaun adalah catatan peristiwa yang memberi erti. Segalanya tergarap dengan
4
sifat insani dan kehalusan nurani menerusi sentuhan kreativiti berbahasa.
Walau bagaimanapun sesuatu karya yang dihasilkan terungkap maklumat,
tersaji mesej yang mampu menjentik daya fikir untuk menyingkap ceritera selain
menyentuh nilai rasa.
Berdasarkan pandangan tersebut, Kerangka Spektrum Kognitif (KSK)
diwujudkan dengan berasaskan aspek 5P iaitu pengenalpastian, pewajaran,
pengorganisasian, pencerakinan dan perumusan. Berasaskan aspek 5P, para
peneliti atau pengkaji sastera memilki alternatif untuk memperhalusi sesebuah
karya sastera secara lebih rinci. Pengaplikasian KSK dalam mencanai dan
melihat sesebuah karya sastera dari sisi yang berbeza akan memperkaya
interpretasi sesebuah karya itu.
Hal ini selaras dengan pandangan Arbak Othman (2010) bahawa
kedalaman makna sesebuah karya itu bukan terletak kepada apa yang ada
pada pemikiran penulisnya tetapi keupayaan para peneliti dan penfasir sastera
melakukan penfsiran dan interpretasi telah membentuk medan makna yang
sangat luas. Ruang inilah yang menjadikan sesebuah karya sastera itu kaya
dan kekayaan yang dimiliki ini menjadikan sastera bersifat unik dan tersendiri.
Jelaslah bahawa sastera bukan illustrasi tanpa rupa, atau gerakan tanpa
bayang, tetapi sastera adalah perilaku dan kehidupan yang sarat dengan cerita
dan peristiwanya, tercantum di dalamnya pelbagai nilai keinsanan dan
kemanusiaan. Sesebuah karya sastera adalah rakaman sosial masyarakat yang
membawakan pemikiran atau rangsangan minda berasaskan keinginan
pengarangnya (Arba’ie Sujud:2020).
5
Aspek 5P iaitu pengenalpastian, pewajaran, pengorganisasian,
pencerakinan dan perumusan yang membentuk Kerangka Spektrum Kognitif
dikaitkan dengan fungsi sastera yang memberikan kebijaksanaan dan
penggunaan akal untuk melakukan penafsiran. Oleh hal yang demikian, dalam
sesebuah karya sastera akan memunculkan pelbagai fungsi yang dapat dikesan
antaranya, sebagai hiburan, kritikan, nasihat atau pengajaran yang dibentuk
secara bersepadu. Karya sastera adalah sajian yang menjadi sumber
rangsangan kepada khalayak menerima maklumat untuk dicanai oleh minda
menerusi saringan 5P bagi membentuk kesejajaran antara diksi dan makna
yang ditafsirkan. Penafsiran makna lebih jelas dan dapat diterima sebagai suatu
kesatuan mesej sekiranya maklumat daripada saringan 5P saling meyokong
antara satu dengan lain.
Analisis Naratif Sosial berdasarkan Kerangka Spektrum Kognitif
Dalam sajak, pengenalpastian dikaitan dengan ’apa’ yang ingin
diketengahkan oleh ZH menerusi sajak-sajaknya. Pengenalpastian ini, dapat
dikesan melalui judul sajak yang boleh membantu menyaring isi. adalah kunci
utama yang merangsang dan membuka ruang minda khalayak. Beliau telah
berhasil mempertimbangkan secara cermat hidangan kreatif yang disajikan.
Persoalan sosial yang dibawakan oleh ZH bukanlah sesuatu yang bersifat luar
biasa, namun persoalan yang biasa juga masih berupaya untuk menimbulkan
gerak rangsangan berfikir. Hasil penelitian terhadap 15 buah sajak dalam
kumpulan puisi yang dikaji, dirumuskan seperti Jadual 1 di bawah.
TAJUK SAJAK PENGENALPASTIAN IDEA
6
Cerita Rumah Kami (hlm.3) Rumah sebagai keperluan asas
Generasi Tanpa Nostalgia
(hlm 5)
Generasi moden
Penagis Upahan (hlm.13) Kemiskinan
Gadget (hlm.14) ICT
Pada Malam Perlawanan itu
(hlm.15)
Kehidupan rakyat / rakyat masih
belum sedar
Pelakon Terbaik Kami
(hlm.18)
Kepura-puraan
Hari Pertama Berkuasa
(hlm.32)
Permainan politik
Bertegur Sapa (hlm.36) Nilai & Budaya berbeza zaman
Gempur PATI (hlm.40) Kemanusiaan
Si Penjual CD (hlm.46) Krisis kehidupan
Peribahasa untuk YB
(hlm.54)
Peringatan kepada pemimpin
Bunga Kolam (hlm.65) Kesilapan manusia
Kasih Ibu (hlm.73) Kasih ibu
Di Kedai Haiwan (hlm.75) Erti kemerdekaan
Semut (hlm.95) Muliakan kita sebagai manusia?
Jadual 1 : Pengenalpastian berdasarkan KSK
Persoalan ’apa’ yang membawa kepada ruang pengenalpastian dapat
dikesan sama ada melalui judul ataupun isu-isu yang dibangkitkan bagi
mendorong maksud sajak tersebut. Misalnya dalam sajak “Cerita Rumah Kami”,
7
ZH mengetengahkan persoalan rumah sebagai keperluan asas yang perlu
dipenuhi bagi melengkapkan lingkaran kepuasan hidup manusia. Sejak dahulu
lagi, pemilikan rumah banyak bergantung kepada keupayaan seseorang dalam
mendapatkan rumah. Pada peringkat awal, rumah yang dihasilkan berdasarkan
keupayaan dan kemampuan sendiri. Hal ini dapat dikesan melalui contoh
petikan sajak tersebut
Mengikut buku sejarah
moyang kepada moyangku
duduk di atas pokok.
Moyangku yang lebih tahu
Turun membuat pondok.
Memacak kayu
mengikat pelepah kering
menjadi bumbung dan dinding.
…
Namun, masa yang beredar dan bersilih ganti menjadikan keupayaan
memilki rumah juga berubah. Dari keupayaan membina sendiri, beralih kepada
penyediaan rumah yang tersedia oleh pihak pemaju namun tuntutannya sukar
untuk dipenuhi. Masalah harga rumah yang melambung tinggi meskipun
desakan dan pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa untuk
membolehkan harga rumah mampu dimiliki. Namun ia bukan sesuatu yang
mudah dicapai. Kecenderungan pemaju yang lebih mengutamakan keuntungan
daripada kebajikan rakyat banyak menyebabkan lebih banyak rumah-rumah
mewah dibina berbanding dengan rumah mampu milik untuk rakyat marhain.
8
Justeru menerusi Kumpulan Puisi Cerita dalam Cerita, ZH berusaha
mengangkat dan mengetengahkan tema yang relevan dengan masyarakat dan
tanah air. Isu-isu semasa yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat
terutama golongan marhain yang menimbulkan pelbagai pengisahan hidup
manusia telah dikenal pasti untuk dijadikan landskap kreativitinya. Antaranya isu
berkaitan dengan sistem sosial, nilai hidup, keperibadian pemimpinan serta
kenaifan nilai kemanusiaan. Ia dipadu sama dengan nilai keinsanan oleh ZH
menerusi olahan bahasa bagi menyajikan menu kreatifnya.
Jelaslah bahawa isu sosial yang menjadi naratif dalam sajak-sajanya
masih terus relevan untuk diangkat dan diperkatakan. Keinganan penyair
memaparkan tema sedemikian telah sekian lama terbungkam dalam kotak
pemikiran. Hal ini kerana tema sedemikian berupaya menghamparkan pelbagai
persoalan kehidupan yang mampu merangsang minda khalayak pembacanya
seperti dalam Jadual 2.
Judul Sajak Pewajaran /(Kenapa)
1 Cerita Rumah Kami (hlm.3) Isu pemilikan rumah
2 Generasi Tanpa Nostalgia
(hlm.5)
Kesibukan keluarga
3 Penagis Upahan (hlm.13) Jurang kehidupan
4 Gadget (hlm.14) Dunia tanpa sempadan
5 Pada Malam Perlawanan itu
(hlm.15)
Rakyat masih hidup lalai
6 Pelakon Terbaik Kami
(hlm.18)
Gelagat manusia / cari
peluang
9
7 Hari Pertama Berkuasa
(hlm.32)
Permainan dunia politik
8 Bertegur Sapa (hlm.36) Zaman berubah/ nilai
kekeluargaan semakin
menipis
9 Gempur PATI (hlm.40) Kesensaraan hidup
10 Si Penjual CD (hlm.46) Kesukaran dan kesempitan
hidup
11 Peribahasa untuk YB
(hlm.54)
Tanggungjawab sebagai
pemimpin
12 Bunga Kolam (hlm.65) Alam adalah guru
13 Kasih Ibu (hlm.73) Kasih ibu tiada sempadannya
14 Di Kedai Haiwan (hlm.75) Nikmat kebebasan
15 Semut (hlm.95) Lidak tidak bertulang
Jadual 2 : Pewajaran berdasarkan KSK
Walaupun demikian, isu yang diketengahkan dapat merangsangan minda
pembaca secara maksimum sekiranya aspek pewajaran yang berkaitan dengan
’kenapa’ isu tersebut dipilih diberikan pertimbangan khusus. Dalam hal ini,
pengarang menggunakan sumber dan maklumat sebenar bagi menggerakan
naratif sosial berasaskan matlamat yang ingin diketengahkan. Misalnya dalam
sajak “Generasi Tanpa Nostalgia”, mengetengahkan persoalan sosial berkaitan
institusi kekeluargaan yang pincang akibat kesibukan ibu bapa disebabkan
tuntutan kehidupan masa kini.
10
Dalam situasi ini, tanggungjawab mengurus anak-anak yang sewajarnya
dilunasi oleh ibu bapa beralih tangan kepada pembantu rumah. Jika punya
pembantu rumah yang hatinya ikhlas menerima tanggungjawab dan
melaksanakan amanah menguruskan anak majikan dengan baik, suatu
keberuntungan. Namun, jika harapan tersebut berlaku sebaliknya, anak
umpama kain putih yang boleh dicorakkan dengan pelbagai rupa akan
berhadapan dengan situasi ngeri yang sukar untuk dilupakan sebagaimana
digambarkan dalam petikan sajak di bawah.
...
Tidak perlu kuingat
suara bibik yang mengherdik
menghalau aku dan adik-adik ke bilik
berjam-jam tidak berani keluar
sedihnya bila adik menggeletar,
“kakak... adik lapar.”
Meneliti kepada sajak-sajak yang diteliti didapati, dikesan usaha ZH dalam
mengetengahkan persoalan berasaskan fenomena sosial yang berlaku dalam
masyarakatnya, tetapi disampaikan dalam bentuk yang mudah untuk difahami.
Sajak-sajak berbentuk prosaik iaitu penceritaan yang dimunculkan telah
memberikan gambaran penceritaan yang ada permulaan, perkembangan dan
pengakhiran. Pola sedemikian dikesan dalam sajak yang diteliti di samping
penggunaan bahasa yang mudah difahami. Hal ini meletakkan sajak beliau
memberikan tumpuan pada persoalan yang disajikan dengan medium bahasa
yang digunakan selari dengan keinginan yang disampaikan.
11
Persoalan yang melatari kehidupan terutama berkaitan dengan jurang
hidup kelompok kaya dengan miskin diwajarkan menerusi sajak “Penangis
Upahan” . Manakala persoalan berkaitan dengan kesan kewujudaan dunia tanpa
sempadan dalam kehidupan dipaparkan dalam sajak “Gagjet”. Sementara isu
pendatang tanpa izin (PATI) bukanlah isu baharu dan kesempitan hidup mereka
dalam mencari rezeki di negara lain walaupun tanda keizinan dan berisiko perlu
diteruskan demi kelangsungan hidup. Kegetiran dan kepayahan hidup ini mereka
dipaparkan dalam sajak ”Gempur PATI”.
…
Mencari beras segenggam
sering termamah kaca
dari pecahan impian Asia
ombak pun bergulung menerpa
meremukkan bahasa cinta
…
Persoalan yang diketengahkan ZH bersifat biasa namun akan menjadi
barah sekiranya tidak dibendung atau diwacanakan menerusi penakrifan kognitif
dan pertimbangan rasional. Bagi beliau, hal-hal sedemikian tidak wajar terlepas
begitu sahaja yang menuntut kreativitinya. Setiap manusia sentiasa
mendambakan keharmonian dan kesejahteraan hidup yang berpaksikan nilai-nilai
keinsanan dan keluhuran pekerti. Lantaran itu, kewajaran persoalan yang
dibangkitkan dalam sajak-sajaknya masih relevan dalam konteks berkreatif.
Dalam konteks ini, ZH tidak menghasilkan sajak-sajaknya atas dorongan untuk
berkarya semata-mata tetapi turut dipengaruhi oleh keupayaan menggunakan
akal atau minda dalam melakukan penafsiran terhadap sesuatu rangsangan.
Justeru, segala persoalan tentang kehidupan yang diketengahkan dalam karya
12
boleh diterima kerana sastera adalah rakaman kehidupan yang menyajikan
pelbagai pengalaman hidup yang nyata mahupun pengetahuan bersifat abstrak.
Melalui aspek pengorganisasian pula yang menjadi asas kepada KSK,
tumpuan adalah kepada ’bagaimana’ persoalan yang dikemukakan oleh ZH
berupaya disampaikan kepada khalayak. Dalam hal ini, kesan pelbagai olahan
dilakukan oleh ZH menerusi olahan pelbagai teknik, pemilihan diksi yang dapat
mengungkapkan daya penceritaan yang menarik perhatian. Pemilihan kata
yang yang biasa namum mampu memberikan kesan kedalaman kepada jiwa
menjadikan sajaknya adalah paparan kanvas puitik yang menyajikan
pengisahan masyarakat yang terhimpit dan tersepit dalam kacah kehidupan
yang berduri. Kata dan diksi yang digunakan telah berupaya mewujudkan
sindirian dan kiasan yang mendalam yang menjentik mata hati dan mata fikir
sekiranya direnungi secara mendalam. Demikianlah yang dapat dikesan dalam
petikan sajak “Si Penjual CD”,
Si gemuk kembali sibuk
kali ini membanyakkan ceramah politik
petah penceramah seni mencerca
kuasa retorik penuh gaya
mencaci dalam berlawak
penonton gelak terbahak-bahak
semakin terdedah aib lawan,
semakin laris jualan.
Berdasarkan petikan sajak tersebut, ZH bijak menyusun kata yang biasa
untuk membentuk makna yang luar biasa melalui pemilihan diksi yang sesuai
bagi menerbitkan makna yang jelas. Unsur anafora, iaitu perulangan kata di
awal baris yang dikesan dalam petikan sajak tersebut memperlihatkan
13
gambaran penegasan beliau tentang sikap manusia yang sentiasa mengambil
kesempatan dengan peluang yang ada. Persoalan moraliti yang perlu menjaga
aib manusia daripada dijaja, tiada dalam kamus mereka. Bagi mereka ’keaiban
manusia adalah rezeki’ dan lubuk emas yang tidak wajar untuk dibiarkan.
Pemilihan kata yang berhasil mencorakkan situasi sindiran telah
menjadikan beliau peka terhadap kehidupan masyarakat sama ada dilihat
menerusi pemerhatian langsung mahupun pengalaman hasil pembacaannya.
Beliau adalah pemerhati kehidupan yang sentiasa meneliti sesuatu yang
berlaku dalam masyarakatnya. Segalanya dijayakan dalam sajaknya untuk
direnung tafsir dan membuka ruang untuk difikirkan bagi mencari jalan
keluarnya. Dalam hal ini, sesuatu yang biasa masih berupaya untuk menjadi
luar biasa bergantung keupayaan kreativiti pengarangnya (Arba’ie Sujud:2020).
Seseorang pengarang akan berusaha mencari kelainan untuk menimbulkan
kesan yang merangsang minda khalayaknya. Kelainan tersebut terhasil melalui
teknik pengolahan dan penceritaan yang dibawakan atau keupayaannya
menggarap idea yang berlaku dalam kehidupan realiti ke dalam bentuk kreatif.
Pada tahap ini, ZH dapat menimbulkan suatu kelainan dalam mengolah
sajak-sajak dalam Kumpulan Puisi Cerita dalam Cerita menggunakan latar
’wacana mesyuarat’ sebagai medium untuk menggagaskan ideanya. Jurang
kehidupan antara golongan miskin dan golongan kaya dalam sajak “Penangis
Upahan”, masyarakat yang dimomokkan dengan sesuatu yang melalaikan
sehingga mereka tidak sedar masalah yang membelenggu kehidupan mereka
pula dipaparkan dalam sajak “Pada Malam Perlawanan Itu”. Persoalan
14
kemiskinan terus menjadi latar penceritaan ZH. Hal ini dikesan dalam sajaknya
“Dosa Peragut” seperti digambarkan dalam petikan berikut.
…
”Ya dalam dompetku hanya RM lima puluh
tapi itu aku tidak hairan
pendapatanku memang tidak pernah lumayan
mangsaku selamanya orang-orang miskin
yang berjalan dengan wang sedikit
bukan si kaya yang berjalan dengan kad kredit
jauh dari lorong-lorong sempit.
…
Jelaslah kepayaan hidup, kemiskinan yang membelenggu eko-sistem
kehidupan sosial masyarakat marhain sangat dekat dengan diri ZH. Keupayaan
kreativiti yang dimiliki penyair yang memulakan dengan senario sebagai
pencetus ‘apa’ dan digerakkan dengan membawa dimensi ‘mengapa’,
seterusnya, akan diolah dengan ‘bagaimana’. Hal ini akan menjadikan perkara
yang dibawakan bersifat selari dan menimbulkan kesan kognitif khalayak.
Paduan antara idea, persoalan dan harapan disatujadikan bagi mewujudkan
nikmat kelangsungan hidup yang didambakan semua. Segalanya persoalan
yang diangkat ini disampaikan secara teradun dan cermat. Sifat hemah dalam
menyusun atur bahasa telah mewujudkan sindiran dan kritikan tajam bagi
mereka yang terkesan dan memahaminya.
Seterusnya, aspek pencerakinan yang diketengahkan dalam KSK dirujuk
pula sebagai keupayaan pengarang dalam memadukan setiap isu atau
persoalan dalam satu medan wacana yang selari. Hal ini menjadikan perkara
yang ditengahkan adalah sesuatu yang dapat diterima secara logik serta
mengarah kepada jalan penyelesaian. Indikator yang dikaitkan dalam aspek ini
15
berpaksikan sebab dan akibat yang dapat memunculkan rangsangan kognitif.
Menerusi rangsangan kognitif, wujudnya pengaktifan minda yang di peroleh
daripada pelbagai sumber dan maklumat. Hal ini dapat membantu khalayak
untuk melakukan penfsiran terhadap mesej yang disampaikan dalam sesebuah
karya kreatif. Dalam konteks ini, ZH telah melakukan pencerakinan berkaitan isu
sosial yang membelenggu masyarakat terutama dalam situasi yang mencabar.
Pelbagai cabaran dan likuan hidup yang saling berkaitan dihadapi
terutama golongan bawahan yang terhimpit dan tersepit dalam percaturan
mereka yang berkuasa. Sifat tamak, perebutan kuasa dan gaya hidup golongan
kaya yang tidak mengambil cakna tentang golongan miskin dipaparkan secara
nyata dan wajar dicari jalan penyelesaian. Namun penyelesaiannya tidak
mungkin dapat diselesaikan secara sendirian tetapi perlu dilaksanakan secara
kolektif, berhemah dan mengikut saluran yang betul. Hal ini dipaparkan dengan
secara bersahaja tetapi penuh sinis dan bermakna sebagaimana dikesan dalam
petikan sajak “Peribahasa Untuk YB”.
…
Tuan Yang Berhormat
jernih di hulu jernih di hilir
baik di awal sampai ke akhir
jangan berjanji tetapi mungkir
bagai tebu tumbuh di bibir
Petikan sajak di atas, memperingatkan YB atau wakil rakyat yang dipilih oleh
rakyat perlu menggalas amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya.
Sentiasa berpegang teguh pada janji dan tidak hanya sekadar mampu berjanji
tetapi tidak dapat melaksanakan sehingga hal ini telah sebati dengan orang
politik. Cakap-cakap ’jangan seperti orang politik, pandai cakap sahaja perlu
16
dikikiskan kerana boleh menghilangkan keyakinan rakyat. Perkara ini bukan
dilakukan oleh semua tetapi oleh sebahagian kecil sedangkan di luar masih
ramai wakil rakyat yang terus berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira siapa dan
aliran mereka. Justeru, frasa /jangan berjanji tetapi mungkir/ yang diperkukuh
dengan frasa seterusnya /bagai tebu tumbuh di bibir/ merupakan suatu
peringatan supaya amalan berjanji yang tidak mampu dikotakan mesti dihindari.
Para pemimpin yang diberikan amanah perlu bersifat realistik dan sentiasa
mendekati rakyat atau orang bawahannya bagi memastikan perkhidmatan yang
diberikan adalah yang terbaik dan ikhlas.
ZH juga turut menggunakan analogi haiwan sebagai rangsangan berfikir
khalayaknya. Dalam sajak “Semut” misalnya, beliau secara halus
membandingkan tentang semut haiwan unit yang memiliki sifat perpaduan dan
setikawan yang sangat kukuh dan sentiasa berkongsi sesuatu yang mereka
miliki bersama-sama.
Sedikit manisan tertumpah dilantai
seekor semut pun sampai
beberapa detik lagi
bertambah ramai menghampiri
lama kelamaan
beratus-ratus berderetan
berduyun berbarisan.
Aku melihat dan merasa hairan
tanpa suara dan tanpa kata
semut memanggil kawan-kawan
bila tercium makanan
memang telah kupelajari
haiwan juga berkomunikasi
17
Komunikasi antara semut sebagaimana digambarkan dalam sajak di atas
menunjukkan bahawa mereka sentiasa berada dalam kebersamaan untuk
menikmati sesuatu rezeki yang dikurniai. Secara ironinya, ZH cuba
membandingkan dengan sikap manusia yang merupakan mahluk yang hebat.
Allah mengurniakan akal kepada manusia untuk berfikir sesuatu yang baik
mahupun sebaliknya. Sewajarnya, mereka menggunakan rangsangan positif
untuk melakukan sesuatu yang baik namun ada kalanya perilaku manusia tidak
sebagaimana digambarkan dalam kehidupan semut.
Sukar untuk menemukan kelompok manusia yang bersifat seperti
kehidupan semut, saling menyantuni antara satu dengan lain. Semut tidak akan
berebut dengan makanan melainkan bersama-sama mengusahakan makanan
untuk dirasai bersama-sama. Tidak ada istilah tamak atau mementingkan diri
sendiri bagi kehidupan semut jika diperhatikan gelagat semut ketika
mengerumuni makanan. Manusia walaupun dianugerahi akal fikiran yang waras
namun ada ketikanya kewarasan pemikiran mereka ditutupi oleh nafsu,
perasaan dan keinginan yang tidak berpenghujung. Sifat tamat, iri hati dan
perasaan persaingan yang ada kalanya kurang memperlihatkan sifat keinsanan
menyebabkan manusia lupa akan tanggungjawab sosial serta amalan mulia
yang sewajarnya lebih diperlihatkan berbanding dengan kehidupan semut.
Sementara dalam sajak “Di Kedai Haiwan”, ZH menggunakan watak
kucing cantik yang dianggap istimewa sebagai penggerak penceritaan dalam
sajaknya. Keistemewaan pada kuncing selain fizikalnya yang cantik, juga
disifatkan kucing bijak kerana sejak kecil kehidupannya di dalam sangkar. Hal
ini seperti petikan berikut.
18
Aku pun turut leka
dan si penjual berkata,
Belilah ia,ia kucing istimewa.
Ia sudah pintar
kerana sejak kecil diajar
untuk diam di sangkar
dan ini bahan istimewa makanannya
untuk jadi lebih cantik
dan kenyang lama.
Penggunaan watak kucing juga turut dikesan dalam sajak “Kasih Ibu” yang
diperlihatkan ibu kucing yang kematian anak. Kehilangan anak sesuatu yang
sangat memilukan. Nilai kasih sayang walaupun sebagai haiwan tetap utuh dan
digambarkan secara jelas oleh ZH dalam sajak tersebut.
Aspek seterusnya dalam KSK ialah perumusan. Dalam hal ini,
perumusan merupakan rangkuman dalam sesebuah karya yang boleh dikesan
melalui harapan, rumusan dan kesimpulan mahupun saranan. Pada sisi yang
lain, perumusan juga dikaitkan dengan ’rangka dan strategi’ penyair untuk
menimbulkan kesan keseluruhan karya kepada khalayak. Sesebuah karya akan
berhasil meninggalkan kesan sekiranya pengarang dapat memenuhi sesuatu
yang diingini oleh pembacanya sama ada melalui penceritaan mahupun teknik
penyampaian. Berdasarkan sajak yang diteliti didapati bahawa Zurinah telah
mengetengahkan aspek perumusan dengan menghasilkan satu resolusi. Aspek
perumusan yang dihasilkan dalam bentuk harapan dikesan dalam sajak
“Peribahasa Untuk YB” seperti dalam petikan di bawah.
…
Naik YB naik disanjung
jangan kaduk yang naik junjung
hina besi kerana karat
19
hina pemimpin menipu rakyat.
Sementara itu aspek perumusan yang diperlihatkan mengenai renungan dan
kesimpulan dikesan dalam sajak “Dosa Peragut”
Menatap wajahnya
Dinding perasaan yang dikeraskan oleh kemiskinan
Runtuh juga diterjah kenagan
Pagi tadi mahkamah tergamam
Bila seorang peragut yang bengis
Tiba-tiba menangis.
Sajak bertajuk “Di Kedai Haiwan” seperti dalam petikan di bawah turut
memperlihatkan perumusan dilakukan secara cermat agar matlamat dan mesej
yang disampaikan dapat diterima secara jelas.
…
anakku
si comel itu menjadi sumber kewangan
dengan suapan dan pujian
berapa pun mahal harganya
mahallah lagi kemerdekaan kita.
Aspek perumusan turut dikesan melalui saranan penting dikesan dalam
sajak ”Bunga di Kolam” yang perlu dilaksanakan secara terancang serta
bersepadu.
…
Arus tak selalu tenteram
sungai tak selalu jernih
mari belajar dari bunga-bunga di kolam
untuk mengapung dan bersih.
20
Menerusi sajak tersebut, manusia diajak untuk belajar dengan alam dan
kehidupan di persekitaran. Manusia perlu belajar dengan alam kerana alam
adalah guru yang paling setia. Mengajarkan manusia tentang kehidupan melalui
flora dan fauna, yang kaya dengan rahsia, menyimpan seribu makna untuk
menjadikan hidup lebih bermakna (Asiah Abdul Rahman,2013: 168). Sementara
dalam sajak “Penangis Upahan” pula ZH merumuskan sajaknya dengan
pesanan dan peringatan kepada manusia menghargai kehidupan, bersyukur
dengan nikmat kebahagiaan dan tabah ketika menghadapi ujian. Hal ini
diingatkan oleh ZH menerusi sajak tersebut.
…
Tidak seperti orang-orang kaya
yang setiap hari ketawa
tidak mahu lagi menangis
walaupun sedang berhadapan
dengan kesedihan.
Kehidupan sifatnya sementara dan manusia juga sifatnya tidak sempurna
baik mereka yang kaya mahupun yang miskin. Kekayaan yang dimiliki, bukan
untuk mereka menongkat langit atau mendabik dada berasa bangga dengan
sesuatu yang dimiliki. Namun, ada jiwa lara yang sedang meratap hiba tetapi
masih mampu untuk hidup lebih bahagia daripada mereka.
Meneliti sajak dalam Kumpulan Puisi Cerita dalam Cerita, ZH telah
merakamkan naratif kehidupan manusia yang sarat dengan peristiwa dan cerita.
Di sebalik cerita yang kita ketahui ada cerita lain yang mungkin diketahui atau
tidak diketahui (Zurinah:2014). Perjalanan dan pengalaman hidup manusia yang
dinukilkan dalam sajak beliau dapat menimbulkan rangsangan kognitif untuk
khalayak berfikir menerusi mesej yang diketengahkan mahupun diksi yang
21
digunakan sebagaimana dalam sajak “Pelakon Terbaik Kami”, “Hari Pertama
Berkuasa”, “Bertegur Sapa”. Penerapan KSP yang berasaskan 5P sebagai
suatu alternatif bagi menyelongkar makna dan cerita untuk dihayati dan
dimanfaatkan bersama-sama. Cerita bukan sekadar cerita, namun di sebalik
cerita ada peristiwa suka dan duka yang tersimpul menjadi rahsia.
22
Penutup
Kecaknaan ZH terhadap persoalan manusia dan kemanusiaan yang sarat
dengan kenangan telah dirakamkan dalam kumpulan puisi yang diteliti. Beliau
telah menghamparkan naratif sosial masyarakat untuk dihayati menerusi medan
kognitif khalayaknya. Segala isu yang ditimbulkan beliau diolah dalam bentuk
cerita secara berpola sehingga dikesan jalur penceritaan yang bervariasi.
Berpandukan ’apa’, ’mengapa’ dan ’bagaimana’, akan membantu khalayak
memahami dan memperoleh maklumat dan mesej yang ingin diketengahkan
oleh penulis.
Naratif sosial yang dilakarkan dalam kanvas kreatif oleh ZH yang
dirungkaikan menerusi KSK memperlihatkan bahawa sajak adalah pancaran
kreativiti insan seni yang berupaya mengarap cerita dan peristiwa secara
cermat dan berhemah. Sajak bukan permainan kata tetapi di dalamnya
mengungkapkan unsur akaliah yang merangsang daya fikir khalayak untuk
mengoptimumkan minda mereka. Aspek kognitif yang diperoleh menerusi
rangsangan daripada sajak tersebut telah mewujudkan suatu medan cerita yang
menyimpan seribu makna. Makna sebenar sesebuah sajak milik penciptanya
dan peneliti berusaha menghampiri makna sebenar proses interpretasi
pemaknaan berdasarkan penanda bahasa yang disajikan dalam sajak.
23
Bibliografi
Arbak Othman. 2003. Semiotik dalam Penelitian Puisi. Seri Kembangan: Citra
Kurnia Enterprise.
Arbak Othman. 2010. Kritikan Puisi dari Prespektif Semiotik, Kajang :
Nusabuku.
Arba’ie Sujud. (2016). “Matapelajaran Kesusasteraan Melayu di Sekolah:
Kerelevanan dalam Kerangka Pendidikan Kebangsaan di Malaysia” dlm
Kesusasteraan dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan
Buku Malaysia (ITBM).
Arba’ie Sujud. 2019. Stilistika. Kuala Lumpur: Sarjana Press Sdn. Bhd.
Asiah Abdul Rahman.2013. ”Tranformasi Makna Ayat Perintah dalam Novel
S.Othman Kelantan”. Tesis Doktor Falsafah. Serdang: Universiti Putra
Malaysia.
Dharmawijaya .1988. Berkenalan Dengan Puisi. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar
Bakti.
Effendi, S. 2002. Bimbingan Apresiasi Puisi. Ende-Flores: Nusa Indah.
24
Enkvist, Nils Erik. 1973. Linguisties and Style. Amsterdam: North-Holland
Publishing.
Eliot, T.S. 1972. Essay on Poetry and Criticism. London: Methuen Press.
Gross, Harvey. 1965. Sound and Form in Modern Poetry. Ann Arbor: The
University of Michigan Press.
Gurney, Edmund. 1980. The Power of Sound. London: MIT Press.
Herman J. Waluyo.1987. Teori dan Apresiasi Puisi. Jakarta: Penerbit Erlangga.
Jakob Sumardjo. 1981. Memahami Kesusasteraan. Bandung: Penerbit Alumni.
Zurinah Hassan. 2014. Kumpulan Puisi Cerita dalam Cerita. Kuala Lumpur:
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).
25
Lampiran 1
KERANGKA SPEKTRUM KOGNITIF
Sajak Pengenalpastian
(Apa)
Pewajaran
(Kenapa)
Pengorganisasian
(Bagaimana)
Pencerakinan
(Pemaduan isi
secara logik)
Perumusan
(Resolusi/sarana)
1 Cerita
Rumah
Kami
(hlm.3)
Tempat tinggal –
Keperluan asas
Isu pemilikan
rumah
Usaha penyair
melakukan teknik
Situasi
semasa/senario
Doa dan
pengharapan
2 Generasi
Tanpa
Nostalgia
(hlm.5)
Generasi moden Kesibukan
keluarga
Perkembangan
cerita
Fenomena
semasa
Kesan Kehilangan
3 Penagis
Upahan
(hlm.13)
Kemiskinan Jurang
kehidupan
Diksi &
perbandingan
Sebab dan
akibat
Ketegasan/
kesimpulan
4 Gadget
(hlm.14)
ICT Dunia tanpa
sempadan
Diksi / penceritaan Sebab & akibat Kesan / kritikan
5 Pada
Malam
Perlawanan
itu (hlm.15)
Kehidupan rakyat
/ rakyat masih
belum sedar
Rakyat masih
lalai
Diksi /
perbandingan
Rasional &
logik
Kritikan / sindiran/
peringatan
6 Pelakon
Terbaik
Kepura-puraan Gelagat
manusia /
Sindiran /
perlambangan
Realiti Kritikan /
perakuan
26
Kami
(hlm.18)
Mencari
peluang
7 Hari
Pertama
Berkuasa
(hlm.32)
Permainan politik Permainan
dunia politik
Sindiran / kiasan Hakikat &
kebenaran
Cakap mudah
laksana sukar
8 Bertegur
Sapa
(hlm.36)
Nilai & Budaya
berbeza zaman
Zaman
berubah/ nilai
kekeluargaan -
ve
Kiasan dan kritikan Fenomena hari
ini
Nilai kebendaan
jadi ukuran
9 Gempur
PATI
(hlm.40)
Kemanusiaan Kesensaraan
hidup
Kritikan Kehidupan
PATI
Hidup perlu
diteruskan
10 Si Penjual
CD (hlm
46)
Krisis kehidupan Kesukaran /
kesempitan
hidup
Kritikan Proses
menghalalkan
cara
Tanda
tanya/kesimpulan
**11 Peribahasa
untuk YB
(hlm 54)
Peringatan kpd
pemimpin
Tanggungjawab
sebagai
pemimpin
Kritikan / sindiran Watak2
pemimpin
Sindiran
12 Bunga
Kolam (hlm
65)
Kesilapan
manusia
Manusia tidak
mahu belajar
dengan alam
Peringatan dan
pesanan
Alam adalah
guru yang
terbaik
Renungan /
kesimpulan
13 Kasih Ibu
(hlm 73)
Kasih ibu Kasih ibu tiada
sempadannya
Pesan dan
peringatan
Pengorbanan
ibu
Rumusan tentang
kasih ibu
14 Di Kedai Erti kemerdekaan Nikmat Kiasan dan kritikan Hakikat Rumusan diri
27
Haiwan
(hlm.75)
kebebasan kebebasan dlm
kehidupan
15 Semut (hlm
95)
Muliakan kita? Lidak tidak
bertulang
Kritikan dan kiasan Manusia VS
Binatang
Bagaimana
menjadi manusia
cerdik?