Download - kaedah Fiqh
aedah Fiqh : Segala Urusan Berdasarkan Niat
KAEDAH 1 : SEGALA URUSAN BERDASARKAN NIAT
1. Segala perbuatan dinilai dan bergantung kepada niat seseorang.
Amalan2 yang dilakukan mukallaf bergantung kepada apa yang diniatkannya. Ulama fiqh bersepakat
menyatakan sekiranya seseorang berniat untuk melakukan kebajikan dan tidak dapat ditunaikannya
disebabkan sesuatu masyaqqah atau keadaan tertentu ia tetap diberi pahala. Niat juga amat penting
untuk menentukan halal dan haram.
Peristiwa Rukanah menceraikan isteri dengan lafaz al-Battata bermaksud : putus. Hadis Riwayat Yazid
bin Rukanah :
`Sesungguhnya beliau telah menceraikan isterinya dengan lafaz al-Battata, iaitu putus. Dia pergi
menemui Rasulullah saw dan bertanyakan masalah tersebut dengan berkata : Aku tidak inginkan
begitu, katanya lagi : Aku maksudkan satu talak sahaja. Rasulullah saw bertanya : Demi Allah! Engkau
maksudkan satu? Rukanah menjawab : Demi Allah! Aku maksudkan hanya satu. Beliau berkata :
Baginda mengembalikan isterinya’
2. Hukum Furuq yang terbentuk daripada kaedah :
a. Seseorang mencuri alat muzik yang melalaikan tujuan merosakkannya, ia tidak dikenakan hukuman
hudud, namun jika ia mencuri dengan tujuan menjualnya, ia dihukum.
b. Seseorang yang melakukan sesuatu yang diharus terhadap dirinya dengan niat atau meyakini ia
adalah haram, dikira haram. Contohnya, menyetubuhi isterinya dengan meyakini isterinya itu adalah
wanita lain, ia dikira berzina.
c. Seseorang lelaki menyetubuhi wanita lain dengan sangkaan dan meyakini wanita tersebut adalah
isterinya, ia tidak dikenakan hukuman hudud sebagaimana orang yang berzina berdasarkan niat dan
maksudnya itu.
d. Seseorang yang memerah anggur dengan niat membuat cuka, harus hukumnya. Jika ia berniat
membuat arak, haram hukumnya.
e. Seseorang yang meminum air mutlak dengan berniat minum arak, haram hukumnya.
3. Sumber asal kaedah :
a. Al-Bayyinah : 5 `Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan
mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid’
b. Ali Imran : 145 `Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari
balasan dunia itu, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan bahagiannya dari
balasan akhirat itu.
c. Hadis Umar al-Khattab : `Sesungguhnya setiap pekerjaan itu diambilkira berdasarkan niat, dan
sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang
ingin diperolehinya, atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, hijrahnya itu berdasarkan apa yang
ia hijrahkannya’
d. Hadis Abu Hurairah : `Manusia akan dibangkitkan berdasarkan niatnya’
e. Hadis Abu Musa al-Asy`ari : Niat seseorang muslim lebih baik dari amalannya’
f. Hadis Uqbah bin Husayn : `Sesungguhnya Allah memasukkan 3 orang ke dalam syurga kerana
satu anak panah’
g. Hadis Maimunah : `Sesiapa dari kalangan orang Islam yang berhutang (ia berniat untuk
membayarkannya) Allah mengetahui yang ia berhasrat untuk melunaskannya, melainkan Allah akan
lunaskan di dunia’.
4. Bidang Kaedah
a. Ibadat
Berwuduk, mandi wajib dan sunat, khuf, tayammum, solat, puasa, iktikaf, haji, umrah dll.
b. Akad dan Kontrak
Hukum berkaitan akad dan keluarga seperti pinjaman, jaminan, pindahan hutang, pelupusan hutang,
pembatalan jualbeli, perwakilan, ikrar, rujuk, talak dll.
c. Qisas
Membezakan antara perbuatan pembunuhan sengaja, separuh sengaja dan tidak sengaja.
d. Segala amalan Taqarrub
Niat mendekatkan diri kepada Allah i.e. menyebarkan ilmu, mengajar, fatwa, menulis, menghukum,
menegakkan kebenaran, berkaitan dengan kehakiman dan tugasnya.
e. Segala amalan harus bertujuan ibadat i.e. makan, minum, bekerja dan mencari nafkah, berkahwin
serta hubungan keluarga juga menjaga diri daripada zina dan maksiat.
5. Kaedah Pecahan
a. `Melakukan apa yang tidak dimaksudkan, bererti berpaling daripada yang dimaksudkan’
b. `Niat berkaitan dengan sumpah dapat mengkhususkan lafaz umum, namun tidak mengumumkan
lafaz khusus’
c. `Sesuatu lafaz berdasarkan niat orang yang mengucapkannya’
d. `Sumpah berdasarkan niat orang yang bersumpah’
e. `Amalan fardhu terlaksana dengan niat sunat’
f. `Apa yang dipegang dalam akad itu ialah maksud dan makna, bukan lafaz dan bentuk perkataan’
g. `Segala akad yang mana maksudnya tidak membawa faedah tersebut’
6. Fungsi disyariatkan niat
a. Membezakan ibadat dengan adat
• Menahan diri dari makan kerana puasa atau menguruskan badan
• Menyembelih binatang untuk makan atau ibadat korban
b. Membezakan ibadat dengan ibadat lain
• Ibadat fardhu atau sunat
• Memberikan wang sebagai sedekah atau zakat
7. Kategori Penyekutuan Niat
a. Menyekutukan Ibadat dengan Bukan Ibadat
menyembelih binatang dengan niat kerana Allah dan lainnya, batal penyembelihannya itu dan
binatang sembelihan tidak halal dimakan
b. Menyekutukan Ibadat Fardu dengan Sunat
i. mendapat kedua-duanya
• sembahyang fardhu serta niat untuk mengajar orang lain
• niat mengerjakan haji dan menggabungkan umrah sunat atau wajib
ii. mendapat yang fardu
• niat mengerjakan haji wajib dan haji sunat, dapat haji wajib
iii. mendapat yang sunat
• menghulurkan wang dengan niat berzakat dan sedeka biasa, dapat sedekah sunat
iv. terbatal kesemuanya
• mendirikan sembahyang fardu dengan niat sembahyang fardu dan sunat, terbatal keduanya
b. Menyekutukan Ibadat Fardu dengan Fardu
Hukum asal terbatal keduanya. Imam al-Subky berkata ia tidak mendapat ganjaran pahala kecuali
dalam ibadat haji dan umrah sahaja
c. Menyekutukan Ibadat Sunat dengan Sunat
Mendirikan sembahyang sunat duha dan qada’ atau ganti sunat sebelum subuh. Tidak dapat keduanya
kerana penyekutuan.
d. Menyekutukan Niat dengan selain Ibadat
`Engkau adalah haram untukku, dengan berniat talak dan zihar’
i. boleh memilih antara kedua, mana yang dipilih itulah yang tercapai
ii. talak berdasarkan kekuatannya yang lebih berbanding zihar
iii. zihar kerana asalnya perkahwinan tetap berlaku
8. Syarat Niat
a. Islam
b. Mumaiyiz
c. Berakal atau waras
9. Menafikan Niat
a. Membatalkan iman
• berniat memutuskan iman, dikira murtad.
b. Memutuskan daripada ibadat
• Niat berhenti sembahyang ketika sedang sembahyang, batal sembahyang
10. Kedudukan Niat dalam ibadat – sama ada berada pada status rukun atau syarat
a. majoriti ulama mazhab al-syafie : rukun daripada ibadat
• alasan : ia berada atau terletak dalam ibadat. Sedangkan syarat itu hendaklah berada atau
seharusnya ada sebelum menunaikan ibadat, serta wajib ada syarat tersebut selagi perkara itu
berlangsung
b. Ibn al-Sabbagh dan Qadi Abu al-Tayyib : niat adalah syarat, bukan rukun
• Alasan : jika tidak dikatakan syarat sudah tentu perlu kepada niat yang lain pula dan tidak memadai
satu niat tersebut sahaja, iaitu perlu kepada niat yang dikatakan rukun tersebut.
Logged
Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
Penal Utama Baitul Muslim
hasin
Posts: 838
o
Re: Kaedah Fiqh« Jawab #5 on: 03 August, 2010, 08:15:29 AM »
5-Adat itu boleh menjadi hukum
Apa hukumnya menamakan anak dengan nama John, Isaac dan Joseph?
Adat di Malaysia, nama-nama ini ialah bukan nama orang islam. Jadi hukumnya haram.
Adat di negara lain berbeza. Nama-nama ini digunakan untuk orang islam. Maka hukumnya harus.
John ialah Yahya. Isaac ialah Ishak. Joseph adalah Yusuf.
Logged
Ummi Munaliza
Posts: 13260
Anniversary Ke 27
o
Re: Kaedah Fiqh« Jawab #6 on: 03 August, 2010, 08:24:17 AM »
Kaedah Fiqh : Keyakinan Tidak Dihilangkan Dengan Keraguan
KAEDAH 2 : KEYAKINAN TIDAK DIHILANGKAN DENGAN KERAGUAN
1. Sesuatu perkara yang telah diyakini berlaku, sebarang keraguan yang datang kemudian
untuk meragui keyakinan itu tidak diambil kira.
Perkara asal dan yang yakin itu tidak boleh ditinggalkan hukumnya disebabkan oleh sebarang syak
atau keraguan. Apa yang telah tetap dan teguh itu tidak terangkat atau berganjak dengan sebab
kedatangan syak kepadanya.
`Tanggungjawab apabila dibina atas keyakinan ia tidak terlepas kecuali dengan yakin’
2. Kaedah Lain
a. `Apa yang ditetapkan dengan yakin tidak diangkat melainkan dengan yakin’
b. `Yang yakin tidak dihilangkan dengan syak dan tidak boleh dihilangkan melainkan dengan yakin’
c. `Tidak ditinggalkan yang yakin asal wajibnya dengan perkara baru yang diramal atau diandai’
d. `Yang syak tidak dipalingkan kepadanya atau tidak diambil kira dan yang yakin diamalkan
terhadapnya’
e. `Syak tidak menghimpit yang yakin’
3. Perbezaan Yakin, Syak, Zann dan Waham
a. Yakin
• Al-Jawhari : suatu ilmu dan lenyapnya syak
• Ibn Mansur : Ilmu dan membuang syak serta hakikat sesuatu perkara
• Abu al-Baqa’ : Pegangan yang kukuh mantap dan tetap serta menepati kenyataan
• Raghib al-Asfahani : Tetapnya atau diamnya sesuatu kefahaman berserta tetap hukum. Yakin
merupakan sifat yang lebih tinggi daripada makrifah, buktinya dikatakan ilmu al-yaqin dan tidak
dikatakan makrifa al-yaqin
• Sesuatu yang pasti berdasarkan kajian dan bukti iaitu sesuatu yang menjadi tetap melalui
penglihatan atau dengan adanya dalil.
b. Ghalabah al-Zann
• Al-Allamah : penjelasan dan ibarat tentang ketenangan zan
• Setengah ulama : berada pada tingkat yang sama dengan yakin
• harus diasaskan hukum fiqh berdasarkan ghalabah zan ketika tidak ada yaqin dan selagi ia
berasaskan penelitian dan bukti.
c. Zann
• Al-Hamawiy : seseorang yang berada dan berhenti di antara dua yang mana ia dapat mengukuhkan
atau dapat ditarjihkan salah satu antara keduanya
• Berat sangka atau sangkaan yang lebih hampir kepada kebenaran, namun tidak mencapai tahap
keyakinan dan ghalabah al-zan.
• harus dibina hukum dan diterima.
d. Syak
• Keraguan yang sama kuat atau sama banyak terhadap sesuatu perkara i.e. keraguan tidak dapat
ditarjihkan mana satu yang lebih kuat
• tidak diterima dalam hukum fiqh.
e. Waham
• Keraguan yang dialami oleh seseorang yang mana antara keduanya lebih mirip atau cenderung
kepada yang lemah atau tidak kukuh
• Suatu bayangan atau lintasan pada hati atau diri seseorang yang dikira sebagai sangkaan meleset
atau salah
• Tidak diterima dalam hukum fiqh
4. Jenis syak
a. keraguan yang lahir daripada atau sumber haram
b. keraguan yang terbentuk daripada asal atau dasar yang harus
c. keraguan yang tidak dapat dipastikan asal atau sumbernya, sama ada haram atau harus
5. Sumber asal kaedah
a. `Apabila seseorang kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, kemudian timbul keraguan dengan
sebabnya : Apakah telah keluar sesuatu daripadanya atau tidak? Janganlah sesekali ia keluar daripada
masjid sehingga ia mendengar suara atau mencium bau’
b. `Apabila seseorang kamu ragu2 ketika sembahyangnya, ia tidak ingat berapa rakaatkah yang telah
dilakukannya : 3 atau 4? Hendaklah ia ketepikan keraguan tersebut dengan keyakinan dan berpegang
dengan apa yang meyakinkan’
6. Kaedah Pecahan
a. `Asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya’
• Wanita yang ditalak rajie, membuat pengakuan bahawa ia masih dalam keadaan suci dan iddah
belum habis. Dibenarkan akuannya serta berhak mendapat nafkah daripada suaminya. Kerana asalnya
kekal iddah hinggalah yakin iddah telah tamat..
• Pasangan suami isteri yang telah hidup bersama bertelingkah. Di mana isteri membuat pengakuan
suaminya tidak menunaikan tanggungjawab nafkah dan pakaian kepadanya. Pengakuan isteri itu yang
diterima. Alasannya kerana asalnya nafkah tersebut adalah tanggungjawab suami dan ia belum
diberikan.
b. `Apa yang ada semenjak dahulu, dibiarkan atas kedahuluannya’
• Seseorang mempunyai hak atau diberikan kebenaran menggunakan jalan di hadapan rumah orang
lain semenjak dahulu kala, pemilik tanah tersebut tidak berhak menegahnya walaupun ia tidak
mengetahui sejarah asal mulanya.
• Seseorang yang dibenarkan mengairi sawahnya dengan menggunakan terusan yang ada dalam
tanah orang lain yang telah berlaku semenjak sekian lama. Tuan tanah tidak berhak menegah
pengairan walaupun ia tidak mengetahui asal mulanya.
c. `Asalnya seseorang bebas daripada tanggungjawab’
• Penjenayah yang melukakan seseorang mengatakan : `Itulah 1 kesan luka yang saya cederakan
awak’. Namun mangsa mengatakan : `Awak cederakan saya pada 2 tempat’. Pengakuan yg diterima
ialah kata2 penjenayah kerana asalnya ia bebas drp tanggungjawab.
d. `Asalnya apa yang menjadi tumpuan iqrar ialah sesungguhnya saya beramal dengan keyakinan,
menolak keraguan serta tidak mengambil yang berdasarkan kebiasaan atau dikuasai oleh dugaan’
• Seorang hakim telah membuat ikrar atau pengakuan tentang sesuatu. Sekiranya ikrar dalam
keadaan memberi keputusan atau kehakiman ikrarnya diterima. Jika dalam keadaan orang biasa atau
bercerita tentang perkara lalu, ia tidak diterima sebagai keputusan.
e. `Asal segala sesuatu itu tiada’
• Seseorang telah mendakwa bahawa barang yang dibelinya ada kerosakan, sedangkan penjual
menafikannya. Diterima pengakuan penjual, kerana asalnya kecacatan pada barang dijual tiada.
f. `Apa yang ditetapkan berdasarkan masa atau semasa dihukum dengan kekalnya begitu, selagi tiada
dalil menyalahinya’
• Seseorang yang menghilangkan diri tanpa dapat dikesan sama ada hidup atau mati. Harta
pemilikannya tidak dapat diwarisi sesuka hati. Kerana ia dikira masih hidup sebagaimana ia keluar dari
rumah dahulu, sehinggalah ada bukti yang menunjukkan kematiannya.
g. `Asal setiap yang berlaku diambil kira masa paling hampir’
• Seseorang lelaki memukul perut wanita mengandung, kemudiannya wanita tersebut melahirkan
anak dalam keadaan hidup dan sihat dalam jangkamasa tertentu. Tidak berapa lama kemudian, bayi
itu meninggal dunia. Lelaki yang memukul perut wanita tersebut tidak dikenakan tanggungjawab,
kerana kemungkinan bayi itu mati sebab lain.
h. `Asal sesuatu adalah harus, hinggalah ada dalil menunjukkan pengharamannya’
• Suatu ketika Rasulullah saw melihat para sahabat di Madinah bersusah payah memanjat pokok
kurma untuk mengahwinkan bunga kurma supaya buahnya lebih bermutu. Lantaran, Baginda
menyarankan supaya mereka tidak perlu bersusah payah begitu. Namun ternyata jika bunga tamar
tidak dikahwinkan menyebabkan buahnya kurang baik mutunya. Selepas peristiwa itu, Baginda
menyerahkan urusan yang berkaitan keduniaan kepada umatnya.
HR Anas bin Malik : `Kamu lebih mengetahui dalam hal yang berkaitan dengan urusan keduniaanmu’
i. `Hukum asal dalam masalah seks adalah haram’
• Jika dinyatakan kepada seseorang lelaki bahawa di sebuah kampong tertentu terdapat seorang
wanita yang haram dikahwininya, namun ia tidak mempastikan mana satu wanita yang dimaksudkan.
Ia tidak mengahwini semua wanita yang tinggal di kampong itu sehingga ia dapat mempastikan mana
satu wanita yang haram dikahwininya.
j. `Hukum asal pada sesuatu ucapan itu dikira maknanya yang hakiki’
• Seseorang bersumpah tidak akan makan lembu yang dibeli. Ia dikira melanggar sumpahnya jika ia
memakan daging lembu tersebut. Namun jika meminum susunya tidak mengapa kerana daging
merupakan makna hakiki dan susunya merupakan makna majazi.
k. `Apabila sesuatu lafaz sukar diertikan secara hakiki, dipindahkan kepada pengertian majazi’
• Seseorang lelaki bersumpah tidak akan makan pokok durian. Menurut pengertian hakiki dia tidak
akan makan batang dan dahannya. Namun pengertian hakiki tersebut sukar serta tidak dapat
dilaksanakan. Waktu itu, berpindah perlaksanaannya kepada pengertian majazi, iaitu tidak akan
makan buah durian.
l. `Sesiapa yang syak adakah ia telah melakukan sesuatu atau belum, dianggap ia belum
melakukannya’
• Jika seseorang syak adakah ia meninggalkan salah satu rukun sewaktu sembahyang atau ibadat
wajib lain. Hukumnya ia mestilah mengulangi apa yang disyaki atau dirasakan belum melakukannya.
m. `Sesiapa yakin melakukan sesuatu amalan, namun ragu2 tentang sedikit atau banyaknya, dikira yg
sedikit. Kerana ia lebih meyakinkan’
• Seseorang suami syak sama ada ia telah menceraikan isterinya dengan talak satu atau lebih. Ia
hendaklah mengira yang paling sedikit
7. Kategori Hukum Asal dan Zahir
(A) `Berlaku pertentangan antara asal dengan zahir’
a. Asal lebih kukuh secara pasti
b. Zahir lebih kukuh secara pasti
c. Asal lebih kukuh menurut pendapat yang lebih tepat
d. Zahirnya lebih kukuh daripada asal
(B) `Berlaku pertentangan di antara 2 asal’
a. seseorang yang meragui sedikit atau banyaknya darah kutu yang terkena pada pakaian
sembahyangnya. Imam al-Haramain, ada 2 kemungkinan : asalnya terhindar dari najis dan asalnya
juga najis dan darah seperti itu dimaafkan.
(C) `Berlaku pertentangan di antara 2 zahir’
a. seseorang wanita mengikrarkan berlaku perkahwinan dan ikrar tersebut dibenarkan oleh orang
yang diikrarkan
• qaul jadid Imam Syafie : ikrar wanita diterima. Kerana zahirnya ia menunjukkan kebenaran antara
pembuat ikrar dan orang yang diikrarkan saling membenarkan atau mengakui
• qaul qadim Imam Syafie : andainya pembuat pengakuan dan orang yang diakui menetap dalam satu
daerah, hendaklah dibawa saksi. Kerana zahirnya ia bertentangan dengan zahir yang lain iaitu 2 orang
yang tinggal dalam satu daerah sememangnya telah mengetahui keadaan diri masing2 serta mudah
bagi keduanya membawa saksi,
Logged
Ummi Munaliza
Posts: 13260
Anniversary Ke 27
o
Re: Kaedah Fiqh« Jawab #7 on: 03 August, 2010, 08:46:11 AM »
Kaedah Fiqh : Kesukaran Diiringi Kemudahan
KAEDAH 3 : KESUKARAN DIIRINGI KEMUDAHAN
1. Huraian Kaedah
a. Subhi Mahmassani : Kesukaran boleh menjadi sebab diberikan kemudahan dan wasilah kepada
keringanan, dan lazimnya diberi kelonggaran pada ketika berhadapan dengan keadaan yang
menyulitkan.
b. Apabila terdapat sesuatu kesulitan dalam melaksanakan perintah Allah, perintah itu diringankan,
tidak seperti asalnya.
c. Terbentuk hukum rukhsah atau keringanan dalam syariat Islam.
d. Ini agar syariat Islam dapat dilaksanakan oleh mukallaf bila dan di mana sahaja dengan memberi
kelonggaran dan keringanan di saat dan ketika seseorang terjebak dengan kesempitan dan kesukaran.
e. Hadis Anas : `Apabila Rasulullah SAW bermusafir pada jarak 3 batu atau farsakh, Baginda
bersembahyang 2 rakaat’
2. Sumber Asal Kaedah
a. `Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung
kesukaran’ (Baqarah : 185)
b. `Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan’ (Al-Maidah : 6)
c. `...dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara
agama’ (Al-Hajj : 78)
d. Hadis Anas bin Malik : `Permudahkanlah dan janganlah menyukarkan’
e. Hadis Abu Hurairah : `Sesungguhnya agama (Islam) ini mudah’
3. Peringkat Masyaqqah
a. Masyaqqah yang sangat berat
Masyaqqah yang ditakuti mengancam nyawa, anggota badan atau manfaatnya. Masyaqqah ini wajib
diberi keringanan dan kelonggaran kepada manusia kerana memelihara nyawa dan anggota badan
bagi membangunkan kepentingan dunia dan akhirat lebih utama daripada mendedahkannya kepada
kerosakan atau kemudaratan disebabkan ibadat. Contoh, tidak ada jalan lain mengerjakan haji
melainkan melalui jalan laut sahaja, sedangkan kebiasaannya tidak selamat untuk sampai ke Mekah,
maka dalam keadaan ini tidak wajib haji
b. Masyaqqah yang sangat ringan
Misalnya, sedikit kesakitan di jari tangan atau kaki, sedikit pening atau berasak-asakan (dalam haji
atau jihad fizikal). Maka sakit2 kecil seperti ini tidak akan mempengaruhi hukum dan tidak perlu
diambil kisah kerana menghasilkan kepentingan2 ibadat itu lebih aula dari menolak masyaqqah
seperti ini yang kebiasaannya orang tidak ambil peduli. Apatah lagi kepentingan ibadat dan
kemuliaannya hendaklah diutamakan, di samping kecilnya masyaqqah ini.
c. Masyaqqah yang sederhana
Jika masyaqqah ini hampir kepada masyaqqah yang pertama, maka mesti diberikan keringanan.
Manakala jika ia hampir kepada masyaqqah yang kedua, tidaklah diberi keringanan. Kesemua ini
bergantung kepada zan atau perhitungan seseorang mukallaf itu.
4. Rukhsah dalam Ibadat
a. Rukhsah yang disyariatkan dalam Islam merupakan suatu bukti yang jelas bahawa Islam berpegang
kepada samahah (berbaik hati) dan yusr (mudah) dalam menuntut perlaksanaan hukum Syarak.
b. Rukhsah dalam Bahasa Arab bermaksud `memudah dan menyenangkan’. Menurut Ulama Fiqh
diertikan sebagai `hukum2 yang disyariatkan oleh Allah berdasarkan kepada keuzuran-keuzuran
manusia demi menjaga kepentingan dan hajat mereka, di samping kekal sebab yang mewajibkan
hukum asal’
5. Pembahagian Rukhsah
Ulama Syafi’iyyah membahagikan Rukhsah kepada 5 bahagian :
a. Rukhsah Wajibah (diwajibkan) seperti memakan bangkai bagi mereka yang terdesak, berbuka puasa
bagi yang takut mudarat (binasa) kerana kebuluran atau kehausan walaupun ia bermukim dan sihat
badan. Mengamalkan Rukhsah ini wajib kerana uzur iaitu memelihara nyawa.
`Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan’ (Baqarah :195)
b. Rukhsah Mandubah (disunatkan) seperti qasar solat bagi seorang yang bermusafir 2 marhalah atau
lebih.
HR Umar al Khattab, sabda Rasulullah saw : `Ini (solat qasar) suatu sedekah yang Allah sedekahkan
kepada kamu. Maka terimalah sedekah-Nya itu’.
Keharusan berbuka puasa bagi mereka yang masyaqqah ke atasnya berpuasa dalam perjalanan atau
ketika sakit, melewatkan solat zohor ke waktu tidak panas membakar dan keharusan memandang
wanita ketika hendak meminangnya.
c. Rukhsah Mubahah (diharuskan) seperti aqad salam, bay’ al-araya, al-ijarah dan beberapa akad
muamalat yang seumpamanya. Semuanya rukhsah tanpa khilaf, kerana salam dan ijarah adalah 2
jenis akad ke atas sesuatu yang majhul (tidak wujud). Bay’ al-araya ialah menjual rutab (buah kurma
mengkal) dengan tamar (kurma yang masak). Keharusan muamalat ini kerana ia diperlukan.
d. Khilaf al-Aula (menyalahi keutamaan), seperti seorang bermusafir berbuka puasa yang tiada
kemudaratan kalau ia meneruskan puasanya
`Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah)’ (Baqarah : 184)
e. Rukhsah yang makruh dilakukan, seperti solat qasar dalam suatu perjalanan yang kurang dari 2
marhalah
6. Sebab-Sebab Rukhsah
a. Musafir yang diharuskan.
• qasar sembahyang
• menyapu khuf lebih dari sehari semalam
• berbuka puasa
• sembahyang jamak
b. Sakit.
• Tayammum ketika sukar menggunakan air atau menggunakan air boleh memudaratkan
• Solat fardhu sambil duduk atau berbaring atau terlentang atau isyarat atau dengan hati berdasarkan
kemampuan
• Diharuskan doktor lelaki melihat aurat wanita dengan tujuan rawatan
• Diharuskan meninggalkan solat Jumaat
• Diharuskan meninggalkan puasa dan menggantikan apabila sembuh atau meninggalkan sepenuhnya
bagi mereka yang tua dan uzur serta membayar fidyah
• Tidak makruh minta tolong orang menjiruskan air ke atasnya ketika mandi atau membasuh anggota
wuduk
• Mewakilkan menunaikan haji dan melontar jamrah
c. Paksaan (terpaksa atau dipaksa)
• Mengancam nyawa dan harta bendanya
• Kelaparan yang mengancam nyawa diharuskan makan benda haram
• Dipaksa mensyirikkan Allah tetapi hatinya masih tetap beriman
`Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (baginya kemurkaan dan azab dari Allah),
kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman’ (An-
Nahl : 106)
d. Terlupa
• Tidak batal puasa mereka yang makan dalam keadaan terlupa
Hadis : `Sesiapa yang terlupa sedang ia berpuasa, di mana ia makan atau minum, hendaklah ia
menyempurnakan puasanya itu’
• Tidak berdosa mereka yang terlupa solat sehingga keluar waktunya
• Terlupa menunaikan zakat, haji, kaffarat
`Tidak dikira bersalah 3 golongan : Orang yang tidur sehingga ia terjaga, kanak2 sehingga ia bermimpi
dan orang gila hingga ia berakal’
e. Kejahilan
• Seseorang yang bercakap ketika sembahyang kerana ia bodoh, sembahyangnya tidak batal
• Hukum2 yang tidak diketahui melainkan oleh ulama sahaja adalah dimaafkan bagi orang awam
• Hukum2 yang umum diketahui oleh orang awam dengan mudah atau yang sepatutnya diketahui
oleh setiap orang Islam, kejahilan tidak dimaafkan, seperti riba.
f. Kesulitan serta umum al-balwa (kesukaran umum yang tidak dapat dihindarkan)
• Dimaafkan sembahyang orang yang berpenyakit sentiasa keluar air kecil atau istihadah
• Harus beristinjak dengan batu
• Segala najis yang sukar dihilangkan adalah dimaafkan seperti tahi burung merpati yang tinggal
dalam masjid
• Sembahyang dengan najis yang dimaafkan seperti nanah bisul dan penyakit cacar
• Najis yang tidak dilihat oleh penglihatan mata seperti belalang
• Menyentuh mashaf al-Quran bagi kanak2 sedang belajar dengan berhadas
• Membuang air besar atau air kecil dengan mengadap atau membelakangi kiblat dalam tandas
• Harus menyapu khuf ketika bermukim kerana sukar mencabutnya pada setiap kali berwuduk tetapi
wajib dicabut ketika mandi wajib kerana tidak kerap seperti wuduk
• Harus memakai sutera bagi lelaki kerana berpenyakit atau sebab sakit serta untuk tujuan
peperangan
• Harus bertahallul daripada haji apabila dikepung musuh
• Disyariatkan khiyar selama 3 hari
g. Kekurangan
• Kanak2 dan orang gila tidak dibebankan dengan taklif
• Kaum wanita tidak diwajibkan solat Jumaat atas dasar kekurangan sifat2 tertentu dan mereka tidak
diwajibkan berperang dan tidak dikenakan jizyah
• Wanita diberi kemudahan memakai barang kemas dan sutera
• Taklif syarak atau tanggungjawab terhadap kaum wanita lebih ringan berbanding kaum lelaki
• Bebanan dan tanggungjawab lebih ringan dikenakan terhadap hamba berbanding orang merdeka
7. Keringanan Syarak
a. Digugurkan
• Digugurkan tuntutan solat Jumaat, puasa, haji, jihad dengan sebab keuzuran
• Digugurkan kewajipan berpuasa kepada orang tua dan haji kepada orang yang lemah
• Digugurkan menyertai jihad sebab uzur
b. Dikurangkan
• Qasar (dipendekkan) solat 4 rakaat kepada 2 rakaat ketika musafir
c. Digantikan
• Digantikan wuduk dan mandi dengan tayammum
• Solat berdiri dengan duduk atau berbaring atau isyarat
• Digantikan puasa dengan membayar fidyah bagi yang tidak berdaya
d. Didahulukan
• Solat jamak taqdim
• Mendahulukan keluar zakat sebelum tiba haul
• Zakat fitrah sebelum raya
• Kaffarat sumpah sebelum melanggar sumpah
e. Diakhirkan
• Solat jamak ta’khir
• Menangguhkan puasa ramadhan kerana musafir atau sakit
• Menangguhkan solat demi menyelamatkan orang lemas atau kebakaran
f. Dimaafkan
• Solat orang beristinjak dengan batu atau seumpamanya sedangkan najis masih ada
• Minum arak kerana terlalu dahaga dan ketiadaan air
• Diharuskan makan benda najis atau makanan haram kerana terdesak
g. Diubahkan atau perubahan
• Menukar dan mengubah kedudukan serta cara mendirikan solat ketika dalam ketakutan dan
menghadapi musuh
8. Kaedah Pecahan
a. `Apabila sesuatu itu sempit, hukumnya menjadi luas’
• Imam Syafie, 3 kaedah :
- apabila seseorang wanita kehilangan walinya ketika dalam musafir, lalu ia menyerahkan wali untuk
urusan musafirnya itu kepada seseorang lelaki. Harus hukumnya.
- berkaitan dengan bekas yang diperbuat daripada tanah liat yang mana bahan bakarannya adalah
daripada benda2 najis. Apakah harus berwuduk dengan bekas itu?
- lalat yang hinggap di atas najis, lalu hinggap pada pakaian seseorang. Sekiranya ketika ia terbang
sebelum hinggap pada pakaian itu kakinya menjadi kering, ia jelas tidak menyebabkan pakaian itu
menjadi najis. Namun jika sebaliknya,beliau menyatakan kaedah itu.
• Sudah memadai dengan saksi wanita dan diterima saksi wanita dalam perkara yang lelaki tidak
mengetahuinya dan tidak melihatnya, seperti cacat pada anggota.
• Tidak perlu kepada keyakinan dan cukup dengan zann atau berat sangka sahaja dalam masalah arah
kiblat, suci tempat dan lainnya.
• Imam al-Zarkasyi menjelaskan, seseorang itu harus menggunakan bekas yang diperbuat daripada
emas dan perak untuk berwuduk, kiranya tidak ada bekas lain.
b. `Apabila sesuatu itu longgar atau luas, hukum menjadi sempit’
• Melakukan gerakan yang sedikit ketika sedang mendirikan solat diharuskan. Namun begitu, tidak
boleh melakukan gerakan yang besar dan berulang-ulang seandainya tiada desakan atau keperluan
berbuat begitu.
• Seseorang yang dalam keadaan lapang, seharusnya melakukan solat di awal-awal waktu serta
dengan menepati segala rukun dan syaratnya yang sempurna.
c. `Kemudaratan-kemudaratan itu membolehkan tegahan-tegahan’
• Harus makan benda haram dalam keadaan sangat lapar untuk menyelamat jiwa daripada mati
kebuluran.
• Doktor harus melihat aurat lelaki dan wanita untuk tujuan rawatan
• Harus melawan dan mengambil tindakan terhadap perompak, walaupun terpaksa membunuhnya
• Harus mengambil harta benda orang yang berhutang yang enggan membayar hutangnya
d. `Keadaan darurat ditentukan menurut kadarnya’
• Memakan bangkai hanyalah harus untuk menyelamatkan diri daripada kelaparan dan mati
kebuluran. Apabila bertenaga semula, batas diharuskan itu berakhir.
• Doktor diharuskan melihat aurat pesakit lelaki dan wanita untuk merawat, namun pada anggota atau
bahagian sakit sahaja, tidak lebih daripada itu.
• Kiranya wanita sakit tidak harus ia dirawat oleh doktor lelaki kiranya masih ada doktor wanita.
e. `Apa yang diharuskan kerana uzur, batal dengan sebab hilang uzur tersebut’
• Tayammum menjadi batal dengan sebab didapati ada air sebelum mendirikan solat
• Sekiranya seseorang saksi ada keuzuran syarak untuk datang dan memberi kesaksian di hadapan
hakim di mahkamah, seperti sakit. Harus ia memberi kesaksian di rumah. Namun setelah keuzuran
hilang, iaitu sembuh dari sakit, wajib ia hadir untuk memberi kesaksian di mahkamah
f. `Keperluan atau hajat diletakkan pada kedudukan darurat, sama ada umum atau khusus’
• Diharuskan melihat bakal isteri untuk tujuan perkahwinan
• Seseorang lelaki diharuskan memakai pakaian sutera disebabkan penyakit kulit dan lainnya, namun
dalam keadaan biasa diharamkan
g. `Keadaan terdesak tidak membatalkan hak orang lain’
• Sekiranya tempoh sewa atau upah menyusu bayi daripada ibu susu telah tamat, sedangkan bayi
tersebut telah dapat menyesuaikan diri dengan susunya. Selain itu, bayi tersebut masih belum dapat
makan atau menerima makanan lain. Ibu susu itu boleh dipaksa supaya terus menyusui bayi tersebut,
demi menjaga kepentingan bayi. Ibu susu hendaklah dibayar upah dengan kadar yang setimpal.
• Sekiranya tempoh sewaan tanah pertanian telah tamat, namun tanamannya masih belum dapat
dituai disebabkan belum masak. Sewaan dikira berterusan sampai ia dapat dituai, dengan kadar
tambahan sewaan sepatutnya. Hal itu kerana desakan dan tekanan penyewa untuk mengekalkan
tanamannya hingga masak dan dapat dituai tetap tidak membatalkan hakmilik tuan tanah.
h. `Hukum itu mengikut kemaslahatan yang kukuh’
• Haramnya minum arak dan berjudi
• Keizinan berjihad dan memerangi musuh. Zahirnya menyebabkan kematian dan kerosakan, namun
natijahnya adalah amat baik dan jelas. Iaitu mempertahankan diri, agama dan menyebarkan agama
Islam
i. `Hukum itu berkisar bersama illahnya atau sebabnya’
• Diharamkan arak disebabkan illahnya yang memabukkan. Apabila illahnya hilang atau tidak ada lagi,
waktu itu ia tidak diharamkan, contoh, arak bertukar menjadi cuka.
• Sesuatu itu apabila ia mengandungi racun, apabila ia merosakkan diharamkan, namun apabila tidak
merosakkan bahkan dapat dijadikan ubat, diharuskan.
• Jus anggur atau nira apabila bertukar menjadi arak hilang kesuciannya.
j. `Kedudukan perkara yang tidak diketahui itu sama dengan kedudukan apa yang tidak
ada’
• Seseorang yang menemui barang tercicir, apabila pemiliknya datang dan mendakwa, ia hendaklah
menyerahkannya. Seandainya tidak ada pemilik, ia adalah daripada harta Allah yang dikurniakan
kepada orang yang Ia kehendaki.