1
Cawangan Bahasa dan Persuratan, Bahagian Warisan Tidak Ketara
JABATAN WARISAN NEGARA
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
IRAMA DAN TEKS
SAYEMBARA DENDANGAN SYAIR 6
ZON PERINGKAT KEBANGSAAN 2019
3
1. PETIKAN TEKS SYAIR PERANG JOHOR
KARANGAN : RAJA AHMAD RAJA HAJI
Negeri Johor dengan rantaunya
Dengan seperintah laksamana sekeliannya
Suatu pun tidak halai balainya
Kepada masa kemudian harinya
Dato’ Laksamana dijadikan raja
Panglima ke Johor memerintah keraja
Jadi pengapitnya Dato Maharaja
Hulubalang berani biasa bekerja.
Abdul Jalil hamba yang lama
Dibawa mengadap Raja Ulama
Disalini baju kancu yang rama-rama
Digelar Orang Kaya Paduka Seri Rama.
Tengah malam hampir dinihari
Kelengkapan Aceh berdayung pergi
Paduka Seri Wangsa berdayung mari
Dua buah penjajab hanya yang lari.
Dato’ Laksamana wazir yang Ghani
Berdayung ia ke sana ke mari
Melihatkan hulubalang mana yang berani
Barang yang undur lalu dibedili.
Hulubalang Johor tidak berbagai
Ketika berperang ia memakai
Terdirilah di beranda seperti mempelai
Menyelampaikan pedang mengiraikan perisai.
4
2. PETIKAN TEKS SYAIR BERBUAT JASA
KARANGAN : ZA’ABA
Buatlah jasa wahai teruna,
Hidupmu biar memberi guna,
Kamu yang mati jasa tak fana,
Asalkan buahnya elok sempurna.
Banyakkan khidmat besar dan seni,
Serahkan kepada Tuhan Rabbani,
Jasa yang kekal berfaedah murni,
Umur yang kedua bagi insan.
Hidup manusia jangan percuma,
Buatlah bakti budi utama,
Selagi baiknya kekal menjelma,
Si mati hidup selama-lamanya.
Buatlah baik sedaya upaya,
Hidup berbakti memberi cahaya,
Sumbu pelita tidak sia-sia,
Terbakar diri memberi cahaya.
Jangan menilik balas dan puji,
Atau pahalanya dikaji-kaji,
Rasanya demikian tamak dan keji,
Padalah baiknya tinting dan uji.
Buatlah baik ayuhai rakan,
Ke dalam laut kamu campakkan,
Jikalau tidak dikenal ikan,
Tuhan tahu iakah bukan.
5
3. PETIKAN TEKS SYAIR BURUNG PUNGGUK
KARANGAN: HAMZAH FANSURI
Pungguk bercinta pagi dan petang,
Melihat bulan di pagar bintang,
Terselap rindu dendam pun datang,
Dari saujana pungguk menentang.
Pungguk menentang dari saujana,
Di dalam hari gundah gulana,
Jikalau di tolong Tuhan yang gana,
Makanya punggok boleh ke sana.
Diatas beraksa berapa lama,
Gilakan cahaya bulan purnama,
Jikalau bulan jatuh ke mana,
Di manakah punggok dapat bersama.
Bulan purnama cahayanya terang,
Bintang seperti intan dikarang,
Rawannya punggok bukan sembarang,
Berahikan bulan di tanah seberang.
Gemerlapan cahaya bintang kartika,
Beratus majelis bagai dijangka,
Sekaliannya bintang terbit belaka,
Pungguk melihat kalbunya duka.
Bintang dilangit berbagai rupa,
Pungguk bercinta badan terlepa,
Minta doa tiadalah lupa,
Dengan bulan hendak berjumpa.
6
4. PETIKAN TEKS SYAIR NASIHAT 1
KARANGAN : RAJA ALI HAJI
Ayuhai anakanda muda remaja,
Jika anakanda menjadi raja,
Hati yang betul hendak disahaja,
Serta rajin pada bekerja.
Kerja kebajikan janganlah malas,
Zahir dan batin janganlah culas,
Jernihkan hati hendaklah ikhlas,
Seperti air di dalam gelas.
Menuntut ilmu janganlah segan,
Ilmu yang benar jangan yang bukan,
Iaitu ilmu yang kebajikan,
Di kitab ini sudah disebutkan.
Hendaklah anakanda mengaji selalu,
Dari yang lain lebihkan dulu,
Had syarak jangan dilalu,
Tidaklah anakanda beroleh malu.
Segala perpuatan dengan berilmu,
Maka kebajikan boleh bertemu,
Jika sebarang-barang diramu,
Akhirnya anakanda jatuh tersemu.
Ilmu itu besar faedahnya,
Membezakan hak dengan batilnya,
Mengetahui rakyat benar salahnya,
Supaya dihukumkan dengan adilnya.
7
5. PETIKAN TEKS SYAIR NASIHAT 2
KARANGAN: RAJA ALI HAJI
Orang berdakwah duduk menanti,
Serta dengan bersakit hati,
Hairan takjub tidak mengerti,
Sebab bicaranya belum pasti.
Terkadang dihukumkan dengan biladah,
Bukannya syarak bukannya ‘adah,
Ambil lekas jalan yang mudah,
Supaya jangan berhati gundah.
Jika demikian apa jadinya,
Hukum tak betul dengan jalannya,
Di hadapan majlis diterimanya,
Di belakang kelak diumpatnya.
Jika yang benar kita hukumkan,
Di belakang jangan kita hiraukan,
Umpat dan puji kita biarkan,
Kepada Allah kita syaksikan.
Jika anakanda jadi menteri,
Orang berilmu anakanda hampiri,
Lawan mesyuarat lawan berperi,
Supaya pekerjaan jadi ugahari.
Hendaklah periksa adabnya wazir,
Di dalam kitab sudah terukir,
Hendaklah jauhkan pekerjaan mungkir,
Supaya jangan jadi tergelincir.
8
6. PETIKAN TEKS SYAIR NASIHAT 3
KARANGAN : RAJA ALI HAJI
Jika tergelincir pekerjaan salah,
Pekerjaan anakanda beroleh lelah,
Rakyat tentera tentu bencilah,
Barangkali datang murkanya Allah.
Jika anakanda menjadi besar,
Tutur dan kata janganlah kasar,
Jangan seperti orang yang sasar,
Banyaklah orang menaruh gusar.
Tutur yang manis anakanda tuturkan,
Perangai yang lembut anakanda lakukan,
Hati yang sabar anakanda tetapkan,
Kebaikan orang anakanda fikirkan.
Kesukaan orang anakanda cari,
Supaya hatinya tiada lari,
Masyhurlah anakanda di dalam negeri,
Sebab kelakuan bijak bistari.
Hendaklah anakanda jagakan nama,
Mendirikan hak dengan saksama,
Pekerjaan bidaah jangan diterima,
Walaupun kecil seperti hama.
Membuka rahsia jangan sekali,
Jahat adab sangat pemali,
Kepada rajanya yang ter’ali,
Supaya bernama bangsawan asli.
9
7. PETIKAN TEKS SYAIR NASIHAT 4
KARANGAN: RAJA ALI HAJI
Jika anakanda menjadi kadi,
Hendaklah ikut salaf yang madi,
Adil dan insaf di dalam ardi,
Allah dan Rasul supaya radi.
Hendaklah mesyuarat dengan ulama,
Supaya hukuman tiada cuma,
Rasyuah dan sorong jangan diterima,
Supaya tuan beroleh nama.
Kitabu’l-Faqiyyah, hadis dan tafsir,
Hendaklah telaah serta berfikir,
Jauhkan tamak, loba dan kikir,
Keraskan makruf jauhkan munkir.
Janganlah sangat duduk termasya,
Dunia nan tempat mencari jasa,
Menjatuhkan hukum habiskan periksa,
Supaya jangan mendapat seksa.
Pada berhukum dengan pemarah,
Jangan perkataan keruh dan kerah,
Khususan pula bicara darah,
Janganlah zalim barang sezarah.
Tatkala berhukum maniskan muka,
Padamkan sekali marah dan murka,
Menghamburkan kalam dengan berjangka,
Supaya orang berhati suka.