Download - BML 3022 Bahasa & Linguistik Melayu
BML 3022BAHASA DAN LINGUISTIK
APAKAH LINGUISTIK DAN KEFAHAMAN ANDA TENTANG LINGUISTIK
NITO ANAK TONY
D20112055167
AT 05J : PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
SEMESTER 2
SESI 2012/2013
KUMPULAN : UPSI 03
PENSYARAH
DR. IDRIS BIN MOHD RADZI
FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI
PENGHARGAAN
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya,
tugasan ini dapat disiapkan tepat pada masanya. Dalam menyiapkan tugasan ini saya mendapat
sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak yang bersungguh-sungguh dalam membantu saya
supaya dapat menyiapkan tugasan ini dengan jayanya..
Saya ingin menyampaikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Dr. Idris bin
Mohd Radzi kerana membantu saya dalam memberikan maklumat dan penjelasan yang
sejelasnya untuk membuat tugasan ini.
Tidak ketinggalan juga penghargaan untuk rakan-rakan guru yang turut sama membantu
dari segi memberi tunjuk ajar dan idea dalam usaha untuk memahami dan menyiapkan tugasan
yang diberikan mengikut had masa yang ditetapkan.
Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara
langsung ataupun tidak langsung sepanjang usaha saya menyiapkan tugasan ini.
Sekian, terima kasih.
Kandungan
Bil. Perkara Muka surat
1. Pengenalan 1
*Sejarah Perkembangan Ilmu Linguistik
*Definisi Linguistik
*Definisi Bahasa
2. Dapatan 2
*Linguistik Sebagai Suatu Sains
*Bidang-bidang Ilmu Linguistik
*Bahasa Dan Linguistik
*Linguistik Teoritis
*Linguistik Gunaan
*Fungsi Ilmu Linguistik
*Hubungan Linguistik
Dengan Pengajaran
3. Kesimpulan 12
Pengenalan
Sejarah perkembangan ilmu linguistik
Mengikut sejarah manusia yang berminat kepada bahasa dan pengkajiannya secara teratur dan
agak sistematis, manusia yang diketahui sebagai golongan yang pertama bergiat dalam bidang
pengkajian bahasa ini adalah orang-orang Yunani ( Dr. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd.
Dain,1979:25). Pengetahuan mengenai aktiviti mereka ini telah didorong oleh bukti-bukti dalam
bentuk catatan-catatan untuk dikaji semasa zaman ilmu linguistik ini bermula di Eropah.
Pengkajian berkaitan bahasa ini walaupun telah berlaku jauh lebih awal dari itu iaitu seawal 800
tahun sebelum masihi yang berlaku di India namun titik permulaan kajian tetap bermula dari
zaman Yunani. Ini disebabkan kajian mengenai kegiatan orang-orang India khusunya yang
didasarkan kepada hasil kajian Panini telah diketahui hanya dalam abad ke-17.
Definisi linguistik
Linguistik merupakan suatu sains yang mengkaji bahasa mengandungi teori-teori dan
teknik-teknik menganalisa bahasa yang dipelajari oleh ahli-ahli bahasa untuk menganalisa
sesuatu bahasa itu. Teknik dan teori menganalisa bahasa ini dirumuskan oleh ahli-ahli bahasa
dari pemerhatian mereka terhadap bahasa. Menurut kepercayaan dengan menggunakan teori dan
teknik dalam linguistik, seseorang ahli bahasa dapat menghuraikan serta menganalisa sesuatu
bahasa secara objektif tanpa dipengaruhi oleh sebarang prasangka atau sentimen ( Dr. Raja
Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain,1979:25 ). Seorang ahli bahasa menjadi seorang pemerhati yang
berkebolehan menghurai dan menganalisa sesuatu bahasa secara objektif dan tidak hanya sebagai
seorang peserta sahaja. Beliau mungkin tidak boleh menuturkan bahasa yang dikajinya namun
berkemampuan menganalisa bahagian-bahagian bahasa seperti kelainan bentuk pertuturan,
bentuk deskriptifnya termasuklah perkembangan sejarah yang dilalui oleh perkataan-perkataan
dan seterusnya. Pengkajian yang dilaksanakan tetap bersifat objektif dan empirikal sepanjang
masa walaupun aspek yang dikaji itu mungkin berbeza.
Definisi bahasa
Ahli-ahli bahasa telah terlebih dahulu berusaha memberikan pengertian kepada apa yang
1
dikatakan ‘bahasa’ itu untuk memastikan linguistik menjadi suatu ilmu yang bersifat objektif.
Perkara ini penting kerana bahasa itu sendiri merupakan bahan langsung yang menjadi tumpuan
pengkajian terutamanya dalam usaha menunjukkan fungsinya sebagai hanya alat yang digunakan
oleh manusia untuk berhubung sesama mereka. Menurut ahli bahasa, Edward Sapir yang amat
berminat memberikan tumpuan terhadap maksud ‘bahasa’ itu sendiri di dalam bukunya An
Introduction to the study of speech menyatakan bahasa adalah ‘suatu sistem lambang-lambang
pertuturan yang digunakan oleh manusia secara arbitrari untuk menyampaikan fikiran dan
perasaan’. Pendapat beliau ini benar tetapi penekanan yang diberikan berpusat kepada fungsi
dan perasaan itu adalah suatu tinjauan yang dilakukan dari sudut pemikiran yang berunsur psio-
psikologi pada keseluruhannya. Mengikut linguistik huraian, satu pengertian yang sederhana
merangkumi segala maksud yang terkandung dalam ‘bahasa’ sebagai alat perhubungan manusia
yang konkrit seperti diberikan oleh Bloch & Trager di dalam buku mereka Outline to linguistic
analysis iaitu a language is a system of arbitrary vocal symbols by means of which a social
group cooperates bermaksud bahasa adalah suatu sistem lambang-lambang pertuturan yang
arbtrari digunakan oleh anggota-anggota sesebuah masyarakat untuk berhubung.
Dapatan
Linguistik sebagai suatu sains
Ilmu linguistik merupakan suatu bidang pengkajian sains tentang bahasa bagi memenuhi
syarat-syarat yang diperlukan dalam pengkajian sains-sains yang lain seperti mengandungi bahan
tertentu untuk dikaji, sikap dan disiplin serta penggunaan kaedah-kaedah tertentu. Sebagai suatu
ilmu sains, linguistik perlu mempunyai sesuatu yang dikajinya seperti juga bidang-bidang sains
yang lain dan bahan untuk ilmu linguistik ialah bahasa sama ada bahasa yang hidup iaitu bahasa
yang masih dituturkan orang dalam perhubungan dewasa ini ataupun bahasa-bahasa yang sudah
mati iaitu bahasa-bahasa seperti bahasa Yunani, bahasa Anglo-saxon (Bahasa Inggeris tua),
bahasa Sanskrit dan lain-lain yang tidak lagi digunakan di dalam perhubungan namun diketahui
melalui bahasa bertulisnya sahaja. Ahli-ahli bahasa sebagai pengkaji bahasa-bahasa di dunia
mesti mempunyai sikap yang sama bahawa bahasa yang dikaji mestilah bahasa pertuturan dan
bukan bahasa tulisan. Penekanan kajian tidak terhad kepada bahasa-bahasa yang dituturkan oleh
2
anggota-anggota masyarakat yang sudah tinggi tamadunnya sahaja tetapi termasuklah bahasa-
bahasa orang primitif seperti yang di Afrika, Papua, Amerika Latin dan lain-lain perlu dikaji
untuk membina rumpun-rumpun bahasa bagi mengetahui asal-usul bahasa dan sebagainya.
Ilmu linguistik juga menggunakan kaedah-kaedah yang bersifat empirikal sebagai suatu
disiplin seperti penggunaan istilah-istilah teknikal tertentu yang sesuai dengan bidang kajiannya
berpusat kepada penghuraian bahasa. Istilah-istilah ini boleh menerangkan struktur, sistem dan
pola-pola bahasa sebaik mungkin. Penggunaan istilah-istilah ini penting sebab secara langsung
mampu merujuk kepada benda, peristiwa, objek, sifat, konsep dan sebagainya yang diperlukan
dalam selok-belok analisa bahasa. Linguistik memerlukan penggunaan istilah-istilah teknikal
dalam penghuraian bahasa supaya ia wujud sebagai ‘subjek’ yang dikaji dengan semua sifatnya
yang saintifik.
Pada umumnya, kajian bahasa juga berpandukan kepada beberapa syarat saintifik iaitu
penggunaan eksperimen yang terkawal, berpegang kepada unsur-unsur keobjektifan dan
pendedahan hipotesis kepada umum untuk diselidik dan disahkan kesahihannya oleh orang yang
lain. Ringkasnya, linguistik merupakan suatu bidang kajian yang saintifik sebab kajiannya
bersifat empirikal, tepat dan objektif. Berpandukan kepada syarat-syarat di atas, linguistik
sebagai suatu ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik mestilah dari mula hingga akhir
mengalami empat peringkat abstraksi iaitu pemerhatian, klasifikasi, formulasi hipotesis dan
penubuhan tanggapan yang bersifat teoritis.
Terlebih dahulu sebelum ahli bahasa itu memulakan kajiannya, beliau hendaklah
melakukan pemerhatian yang teliti terhadap sesuatu bahasa sama ada dari segi sifat deskriptifnya
ataupun aspek sejarah yang mungkin dilaluinya. Akhirnya, apa yang diperolehi berupa
pengumpulan data-data kemudiannya diperingkatkan menurut fakta yang konkrit merupakan
ciri-ciri bahasa yang diperhatikan itu dan dijalankan secara objektif. Sarjana-sarjana abad ke-19
menganggap bahawa keobjektifan ini membenarkan suatu disiplin bertaraf suatu sains tetapi
setakat mengumpul dan mengkatalog data-data belum cukup dianggap sebagai kerja yang
bertaraf suatu sains. Ilmu sains bahasa juga seperti ilmu sains fizik atau kimia bermula dari
pemerhatian data yang sudah dikatalogkan itu, membina suatu tanggapan umum atau generalisasi
3
yang bertaraf hipotesis dari pemerhatian dan dikatalogkan item-item dalam data tersebut. Suatu
disiplin sebagai suatu sains mesti sampai kepada peringkat formulasi hipotesis iaitu sesudah
dibuat pemerhatian dan klasifikasi data-data yang relevan seperti unsur morfofonemik.
Hipotesis tidak boleh dibiarkan tanpa dibuktikan kesahihannya, jadi mestilah terlebih
dahulu fakta-fakta terkumpul dari data-data bahasa berbentuk hipotesis itu diuji. Suatu disiplin di
peringkat ini ialah memahami masalah-masalah asas yang terlibat di dalam kajiannya seterusnya
mengemukakan beberapa soalan terhadap masalah tersebut. Suatu hipotesis hanya dapat diterima
kesahihannya sebagai sah seandainya ujian-ujian yang dilakukan itu seboleh-bolehnya menjawab
segala bentuk persoalan dan masalah dalam semua kemungkinan yang lebih luas daripada hanya
bidang yang diselidiki tersebut. Selepas hipotesis itu diuji kebenarannya atau mencakupi seluruh
ciri-ciri bahasa yang berkaitan barulah hipotesis itu diterima sebagai suatu teori bermakna
bahawa semua persoalan yang menjadi masalah itu terjawab dengan memuaskan dan lojik.
Kaedah suatu teori itu tercapai adalah tidak penting walaupun ia tercapai secara penemuan tidak
sengaja. Perkara penting dalam penciptaan teori ialah ujian yang teliti terhadap hipotesis ke atas
data-data. Bagi membolehkan sesuatu teori itu diterima maka ia mestilah exhausif, konsisten dan
ekonomis.
Suatu teori bahasa dikatakan exhausif apabila ia dapat menerangkan segala fakta-fakta.
Teori yang konsisten ialah suatu yang tidak menunjukkan gejala percanggahan atau
pertelingkahan. Teori yang ekonomis ialah teori yang senang dan tidak begitu kompleks.
Seandainya suatu teori tidak memenuhi ketiga-tiga kriteria di atas maka ia haruslah ditolak atau
diperbaiki. Peranan ahli bahasa dalam mencipta teori ialah menjawab kaedah bahasa atau
bahagian-bahagian daripada bahasa itu berfungsi. Atas dasar inilah maka linguistik sebagai suatu
‘kajian bahasa yang saintifik’ terjawab dengan jelasnya.
Bidang-bidang ilmu linguistik
Ilmu linguistik mengandungi bidang kajian bahasa yang luas, dibuat dari pelbagai sudut
dan berdasarkan aspek-aspek tertentu maka ia boleh berdiri sebagai salah satu daripada disiplin-
disiplin seperti linguistik umum, linguistik huraian atau deskriptif, linguistik perbandingan atau
komparatif dan linguistik sejarah atau historis. Jenis linguistik umum adalah bidang yang
4
mengkaji aspek-aspek teori ilmu linguistik secara umum. Perkara-perkara yang dikenalpasti
dalam bidang ini adalah pembinaan konsep-konsep yang merangkumi persoalan mendefinisikan
aspek-aspek dan daerah kajiannya secara umum, persoalan menentukan sifat-sifat umum yang
ada pada semua bahasa secara universal, persoalan menentukan cara dan kaedah tertentu yang
boleh digunakan dalam penghuraian bahasa secara deskriptif dan sebagainya.
Linguistik huraian adalah bidang yang menghuraikan bahasa menurut cara-cara
saintifik meliputi usaha-usaha menentukan kaedah dan teknik yang boleh diaplikasikan bagi
menghuraikan sesuatu bahasa yang tertentu sahaja. Ia lebih berbentuk bidang disiplin yang
mempraktikkan teori-teori dan teknik-teknik tertentu linguistik umum apabila seseorang ahli
bahasa itu berdepan dengan tugas menghuraikan aspek-aspek tertentu atau semua aspek bahasa
tertentu yang dihuraikannya itu. Aspek yang dihuraikan oleh ahli bahasa adalah sistem bahasa
atau keseluruhan yang menyatakan cara bahasa itu berfungsi seperti aspek-aspek fonetik,
fonemik, morfologi dan sintaksis sesuatu bahasa itu.
Linguistik perbandingan merupakan bidang kajian yang membuat perbandingan antara
bahasa-bahasa sekeluarga bertujuan untuk melihat ciri-ciri perubahan dan persamaan di antara
bahasa sekeluarga iaitu bahasa-bahasa turunan daripada satu bahasa induk yang mungkin sudah
tidak wujud lagi. Perbandingan yang dibuat di antara beberapa aspek tertentu sahaja atau seluruh
aspek bahasa-bahasa yang dibandingkan itu. Ia memperlihatkan hubungan yang erat dengan
linguistik huraian kerana huraian yang lengkap diperlukan terlebih dahulu mengenai aspek-aspek
tertentu bahasa-bahasa yang dibandingkan itu sebelum tugas membandingkan itu dijalankan.
Sekiranya seorang ahli bahasa membuat tugas perbandingan itu maka penghuraian di antara
bahasa-bahasa yang dibandingkan itu perlu diperoleh secara deskriptif sebelum tugas
membandingkan di antara bahasa-bahasa yang berkontras itu dibuat.
Linguistik sejarah atau historis pula merupakan cabang ilmu linguistik yang berusaha
untuk menunjukkan perkembangan bahasa dari segi sejarah yang dilaluinya melalui masa. Selain
itu, bidang ini juga mengkaji perubahan-perubahan bahasa, asal-usul atau etimologi sesuatu
bahasa, faedah mengetahui perkembangan dan proses-proses yang telah dilaluinya daripada
masa-masa lampau sehingga pada masa sekarang ini.
5
Bahasa dan linguistik
Kajian tentang bahasa merupakan suatu sains dengan bahasa itu sebagai bahannya dan
kajian ini dikenali dengan istilah linguistik. Keseluruhan aktiviti berbahasa adalah semata-mata
suatu fenomena iaitu dari segi kebolehan manusia berhubung. Fenomena itu sendiri terdapat
pelbagai jenisnya tetapi fenomena yang dibincangkan adalah tentang simbol yang mengandungi
konsep pengucapan dan makna iaitu bahagian pengkajian yang disebut tatabahasa. Tatabahasa
terdiri daripada dua bidang kajian iaitu morfologi dan sintaksis. Morfologi merupakan kajian
tentang simbol-simbol yang mudah dan hubungan beberapa simbol binaannya. Sintaksis
mengendalikan percantuman simbol-simbol itu sendiri untuk menghasilkan simbol yang lebih
luas mengandungi bentuk-bentuk pengucapan dan makna sebagai satu kesatuan keseluruhan.
Simbol itu sendiri merupakan kesatuan atau unit yang mengandungi dua bahagian yang
bertentangan, setiap satu bahagian itu dapat dikaji secara berasingan dan bebas. Bidang linguistik
yang mengkaji masalah ini disebut fonologi dan semantik. Fonologi merupakan kajian tentang
sifat-sifat pengucapan dan semantik mengkaji selok-belok bidang maknanya.
Linguistik Teoritis
Linguistik menjadi satu bidang ilmu teoritis dapat menyatakan atau menghuraikan
kebiasaan-kebiasaan deskriptif melalui kaedah induksi yang biasanya digunakan sebagai
kemingkinan bagi meneroka fakta-fakta suatu bahasa pada suatu waktu yang tertentu. Langkah-
langkah yang boleh digunakan apabila sumbangan kepada teori itu dikembangkan berbentuk:
i. pernyataan gejala yang teliti untuk menjelaskan lagi situasi teori yang terhad dan langkah
ini adalah fakultatif.
ii. pengumpulan data daripada suatu bahasa dikemukakan.
iii. cara mengendalikan data dengan menyatakan kaedah mengetahui fakta-fakta dalam data
disertakan pertimbangan yang alternatif untuk memudahkan kefahaman.
iv. implikasi teoritis penghuraian yang telah dipilih.
6
v. pembinaan hipotesis atau perkara yang dikatakan oleh Bloomfield sebagai ‘kemingkinan
membuat ramalan atau tafsiran’ tentang kebenaran keterangan yang diperoleh daripada
penghuraian lalu linguistik itu diberikan sifatnya sebagai saintifik.
vi. pengesahan impilkasi teoritis itu melalui keterangan-keterangan formal sebagai suatu
sumbangan pula kepada teori iaitu langkah ini adalah bersifat fakultatif.
Jika langkah pertama itu difikirkan sebagai bersifat prasangka maka bolehlah langkah ini
diketepikan daripada pertimbangan. Situasi yang serupa dapat juga dibuat bagi langkah keempat
jika keterangan yang formal itu dirasakan terlalu menekankan kebenaran fakta yang melulu di
kalangan para pembaca. Langkah yang ketiga dapat digunakan kesederhanaannya dari segi
keperluan yang mesti ada kerana jika tidak penghuraian akan menjadi tidak deskriptif.
Semantik merupakan bidang yang mengkaji selok-belok makna kerana makna adalah ciri
semua sistem lambang-lambang mengandungi bidang gunaan yang lebih luas daripada hanya
terhadap bahasa sahaja. Ramai ahli bahasa pada hari ini memberikan keutamaan kepada suatu
penghuraian makna yang formal mengikut keperihalan dan ini memanglah lebih berguna kepada
seorang guru yang mengajar. Secara intuitif, bidang makna boleh digunakan sebagai suatu
rujukan pada sesetengah tempat dalam sesuatu penyelidikan namun penghuraiannya perlulah
dilakukan berdasarkan kepada bentuk. Seluruh penyelidikan sebaik-baiknya patuh kepada
konsep “form underlies meaning”.
Bidang ethnolinguistik menumpukan kepada pengkajian yang melihat perhubungan di
antara bahasa dengan penyelidikan primitif. Bidang ini kadang kala merujuk kepada pertalian
bahasa dengan kumpulan etnik iaitu menghuraikan pada tahap yang praktis dengan
menggunakan kesan-kesan imigrasi di mana bahasa tetap ada di sisi hubungan ras. Bidang ini
jika diperluaskan kepada gejala-gejala masyarakat yang dibendung di bawah suatu kebudayaan
dan peranan bahasa itu dalam hubungannya dengan sistem nilai masyarakat serta kebudayaan
sesuatu masyarakat bahasa itu selalu dikenali sebagai disiplin yang dinamakan “linguistik
anthropologi”.
Stylistik adalah satu lagi bidang disiplin yang merujuk kepada kajian tentang ciri-ciri
7
linguistik yang berbeza berlaku di kalangan kelompok-kelompok sosial yang dibezakan seperti
bidang pekerjaan dan perbezaan taraf di dalam sesuatu masyarakat itu. Pada kebiasaannya,
stylistik merujuk kepada kajian mengenai bahasa literari sesuatu komuniti dengan menggunakan
kaedah-kaedah linguistik. Kaedah-kaedah ini telah banyak digunakan untuk menghuraikan
tingkahlaku bentuk-bentuk bahasa tulisan yang digunakan atau yang dicipta oleh pengarang-
pengarang dalam karya-karya deskriptif mahupun karya-karya kesusasteraan. Stylistik berusaha
mencari penyelesaian untuk menghuraikan perhubungan di antara bentuk pengucapan dengan
makna yang dibawa dalam karya kesusasteraan, gaya bahasa banyak digunakan dan ke atas jenis
bahasa sastera.
Psikolinguistik merupakan satu disiplin yang melihat perhubungan di antara linguistik
dengan psikologi, dapat dikatakan sebagai sebahagian daripada bidang Linguistik Gunaan tetapi
kerana bidang ini khusus memperlihatkan pertalian di antara penguasaan bahasa yang ditinjau
dari sudut psikologi yang mempengaruhi proses penguasaan sesuatu bahasa pertama itu maka
psikolinguistik telah berupaya berdiri sebagai satu disiplin yang tersendiri iaitu berlainan
daripada disiplin yang lain. Perhubungan di antara linguistik dengan psikologi ini telah banyak
mendapat perhatian sebagai kesan daripada penekanan Chomsky di dalam Language and Mind
bahawa sumbangan yang paling penting dapat diberikan oleh linguistik ialah dengan mengkaji
fikiran manusia supaya linguistik secara teratur dan kemas boleh dilihat atau dianggap sebagai
satu cabang psikologi kognitif. Seseorang tidak dapat menyangkal akan adanya perkaitan yang
menyeluruh di antara psikologi dan linguistik sebagai gejala yang saling bertindak walaupun
pandangan ini tidak memperoleh pegangan kebanyakan ahli bahasa. Perkaitan ini sangat ketara
dalam persoalan kaedah bahasa boleh mengatur struktur fikiran, persoalan cara tanggapan
terhadap mudah dan kusutnya bahasa itu dapat dinyatakan oleh asas psikologi yang tertentu,
persoalan kaedah itu boleh mempengaruhi atau dipengaruhi oleh kuasa ingatan dan tanggapan.
Di samping itu, juga persoalan cara bahasa dapat memainkan peranan yang tidak kurang
pentingnya dalam memahami pertumbuhan manusia dan sebagainya.
Sosiolinguistik merupakan bidang yang mengkaji perhubungan di antara bahasa dan
gejalanya dengan masyarakat. Salah satu perkara yang dihadapi oleh ahli-ahli bahasa di dunia
hari ini ialah masalah bahasa dalam negara-negara yang membangun. Masalah ini secara
8
langsung melibatkan pembinaan dan perancangan bahasa. Keperluan-keperluan negara dalam
bidang sains teknologi dan ekonomi memerlukan usaha yang berterusan untuk mengemaskan
lagi kemampuan bahasa itu menemui keperluan zaman khususnya zaman moden. Penentuan dan
pemilihan bahasa tertentu untuk dijadikan bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan untuk
mencapai tujuan dan matlamat perpaduan negara yang dikehendaki itu. Persoalan inilah menjadi
antara tugas ahli bahasa yang tergolong ke dalam kumpulan disiplin “Sosiologi bahasa” atau
“sosiolinguistik” itu.
Linguistik Gunaan
Linguistik gunaan adalah bidang yang berkaitan sekumpulan beberapa disiplin yang
berhubungan. Pada mulanya, istilah ini digunakan di dalam ilmu linguistik umum bagi merujuk
kepada bidang linguistik yang berhubungan dengan pengajaran bahasa. Beberapa disiplin
tertentu turut terlibat dalam bidang pengajaran bahasa sendiri. Psikolinguistik merupakan
bahagian yang meneroka perkaitan di antara bahasa dengan fikiran dan tanggapan di dalam
minda si penutur bahasa yang dipelajari dan hal-hal tentang selok-belok penguasaan bahasa di
kalangan para pelajar. Pada kebiasaannya, psikolinguistik mengendalikan persoalan tentang
psikologi bahasa iaitu persoalan yang dianggap luar biasa berbanding dengan persoalan yang
lumrah dalam gejala bahasa dan tingkahlakunya yang bersifat deskriptif itu.
Fungsi ilmu linguistik
Salah satu daripada fungsi ilmu linguistik ialah faedah yang diperolehi oleh seseorang
guru yang mengajar dengan mempelajari ilmu linguistik itu. Walaupun kadang kala ilmu
linguistik sebagai satu sains tidak mempunyai banyak sumbangan dalam pengajaran bahasa
seperti difikirkan orang namun sumbangan linguistik yang paling bererti ialah untuk menambah
pengetahuan seseorang yang cuba memahami sifat-sifat bahasa. Pada kelazimannya, seseorang
yang telah mempelajari linguistik adalah berkebolehan menjangkau kepada masalah-masalah
bahasa dan sensitif kepada sebarang kesukaran pembelajaran bahasa. Biasanya, seseorang yang
mengkaji linguistik akan terdorong untuk menguasai isi bahasanya iaitu tatabahasanya dengan
baik.
9
Aspek yang penting dalam pengajaran bahasa ialah pengenalan aspek-aspek bahasa itu
menurut cara-cara ianya digunakan dengan betul dari segi tatabahasanya. Hanya guru yang
mempelajari ilmu linguistik itu sahaja yang mampu menggunakan kesempatan dan kelebihannya
ini dalam pengajaran bahasa. Justeru itu, ilmu tatabahasanya pada peringkat penghuraian akan
lebih dirasakan dapat membimbing dan mengatur pengajarannya dan pembelajaran murid-
muridnya kepada keutamaan untuk menguasai tatabahasa yang diajar dan yang dipelajari oleh
murid-muridnya itu dengan baik dan berkesan. Seseorang guru itu akan menyumbangkan
pengetahuannya tentang tatabahasa bahasa yang diajarkan itu dengan baik iaitu melalui teknik-
teknik dan kaedah yang sesuai menurut teori linguistik yang diketahuinya. Nilai ilmu linguistik
setidak-tidaknya dapat menjadikan dia seorang guru bahasa yang lebih baik.
Menurut William Mackey, linguistik gunaan tidak semestinya merangkumi linguistik
sekalipun linguistik itu adalah suatu sains. Pengenalan linguistik gunaan sebagai suatu disiplin
adalah suatu usaha bagi mencari kegunaan secara praktis yang boleh diberikan oleh “linguistik
moden yang saintifik” itu. Tanggapan bahawa linguistik terdapat dalam beberapa perkara
berbentuk “sains gunaan” juga meliputi aktiviti yang agak menyimpang daripada perhitungan
seperti penciptaan alphabet oleh pengembang-pengembang agama dan aktiviti penterjemahan
elektronik.
Hubungan linguistik dengan pengajaran
Kita harus menerima hakikat bahawa seorang ahli bahasa tetap merupakan orang yang
berkebolahan untuk menuliskan tatabahasanya, selok-belok bunyi bahasanya ataupun menulis
kamus walaupun penghuraian linguistik tentang bahasa yang sama tidak serupa. Kebolehan ini
dalam beberapa segi menjadikan ahli bahasa itu berkelayakan membina dasar-dasar pengajaran
bahasa dan seterusnya berkebolehan menghuraikan bentuk-bentuk dan peraturan sesuatu bahasa
itu setidak-tidaknya dapat mengajarkannya dengan baik, sekurang-kurangnya jika dibandingkan
dengan orang yang tidak mempunyai kebolehan ini.
Ilmu linguistik walaupun dari segi sifatnya amat mengetahui tentang bahasa dalam
beberapa kebenaran dapat bersifat membantu kepada pengajaran yang lebih baik dan berkesan di
samping faktor-faktor lain yang bersama menjayakan sesuatu pengajaran bahasa. Tugas seorang
10
guru bahasa yang perlu mengetahui bahasa asing, tahu cara mengajarkannya dan faham selok-
belok tingkahlakunya. Aspek yang ketiga itulah yang telah mendorong kepada keperluan ilmu
linguistik itu sebagai berguna bagi seseorang guru berdasarkan hubungan ini.
Terhasilnya huraian-huraian secara objektif tentang sistem bunyi, struktur perkataan dan
struktur ayat satu-satu bahasa itu daripada ahli-ahli linguistik bermakna wujudnya tatabahasa
huraian satu-satu bahasa itu. Ahli-ahli bahasa telah melaksanakan tugas ini dengan menghasilkan
suatu huraian yang lengkap lagi objektif tentang sistem yang terdapat pada pertuturan. Akhirnya,
selesailah sudah tugas ahli linguistik (Dr. Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain,1979/80:26).
Para pelajar beruntung jika guru mereka itu mempunyai pengetahuan dan kebolehan
menghuraikan dengan baik bahasa yang mereka pelajari itu. Sekurang-kurangnya guru itu
dengan sendirinya akan mempunyai kemampuan mengatasi masalah penguasaan struktur bahasa
dalam pelbagai aspek dan sebagainya. Kemampuan ini membolehkan guru-guru mengatur
kaedah dan teknik mengajar yang sesuai untuk menyampaikan isi bahasa itu sendiri iaitu
penggunaannya mengikut peraturan seperti yang dikehendaki oleh seluruh sistem bahasa yang
diajar itu.
Sekalipun kebolehan menganalisa suatu bahasa tidak semestinya merupakan kelayakan
untuk seseorang guru bahasa tetapi latihan-latihan tertentu dalam ilmu linguistik gunaan dapat
membantu membolehkan seseorang guru itu mengenal pasti persamaan dan perbezaan dalam
bahasa-bahasa yang diajarkannya berbanding orang yang tidak mempunyai pengetahuan dalam
ilmu linguistik. Pengetahuan ini juga membantunya memahami, menilai dan menggunakan
sesetengah daripada huraian-huraian bahasa yang diajarnya itu.
Makna ‘linguistik gunaan’ itu sudah jelas kerana pengetahuan dalam ilmu linguistik
sahaja tidak mungkin menghasilkan guru bahasa yang cemerlang malah perlu dibantu dengan
pengetahuannya mengenai psikologi. Analisa bahasa dan psikologi telah sentiasa digunakan di
dalam pengajaran bahasa. Seandainya linguistik boleh digunakan sebagai bahagian bahasa
daripada pembelajaran maka psikologi pula adalah bahagian pembelajaran bahasa itu sendiri.
Maknanya, ilmu linguistik penting dari segi isi yang harus diajarkan manakala psikologi penting
dari segi penguasaan isi yang disampaikan dengan cara tertentu di dalam sesuatu pengajaran itu.
11
Kesimpulan
Penemuan-penemuan yang telah didapati oleh Ferdinand de Saussure dalam bidang
pengkajian bahasa telah mendorong ilmu linguistik moden memberikan keutamaan yang nyata
kepada pertuturan. Prinsip yang mengutamakan bahasa pertuturan berbanding dengan bahasa
tulisan menggambarkan bahawa bahasa pertuturan itu pada hakikatnya adalah lebih dulu
kewujudannya jika dibandingkan dengan kewujudan bahasa tulisan. Kenyataan ini telah
dibuktikan oleh sejarah bahawa sebelum manusia mengenal tamadun tulisan, sebenarnya
manusia telah terlebih dahulu berbahasa bagi tujuan perhubungan. Ringkasnya adalah mustahil
bagi sesuatu kumpulan masyarakat yang telah dikatahui wujud tidak mempunyai kemampuan
berhubung dengan menggunakan bahasa. Secara logiknya, suatu kumpulan masyarakat yang buta
huruf sekalipun tetap berkebolehan menggunakan bahasa untuk memenuhi keperluan-keperluan
hidup anggotanya dan sebalikmya masyarakat yang sudah mengenal dan menggunakan sesuatu
sistem tulisan itu mustahil sekali tidak mempunyai kebolehan bertutur.
Penghuraian bahasa yang mengutamakan bahasa pertuturan itu telah membuka jalan
kepada kajian bahasa sebagai suatu sains yang deskriptif sifatnya. Pengkajian bahasa yang mula
dijalankan secara sainstifik ini adalah gejala pemisahan dengan pengkajian tradisional yang
penghuraian bahasanya telah berlandas kepada bentuk-bentuk bahasa tulisan yang konsep ‘betul-
salah’ nahunya itu ditentukan oleh penggunaan dan peraturan normatif. Linguistik sinkronis
yang telah dikemukakan oleh De Saussure itu akhirnya telah melahirkan titik-titik penyimpangan
di antara dua aliran iaitu aliran tradisional dan akiran moden dalam penghuraian bahasa. Pada
hakikatnya, aliran baru ini telah membuka jalan kepada konsep bahawa ‘bahasa’ itu merupakan
‘struktur’ dengan makna manusia berhubung dengan menggunakan struktur yang dapat didengar.
Berbeza dengan penghuraian bahasa yang dilakukan secara deskriptif ini ialah penghuraian yang
bersifat preskriptif telah mewujudkan tatabahasa preskriptif berabad-abad lamanya itu. Berbeza
dengan tatabahasa preskriptif merupakan tatabahasa huraian yang kian diusahakan sehingga hari
ini.
12
Rujukan
Abdullah Hassan (1974). The Morphology of Malay. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Arbak Othman (1983). Permulaan Ilmu Linguistik. Selangor : Penerbitan Sarjana (M) Sdn. Bhd.
Asmah Haji Omar (1968). Morfologi-Sintaksis Bahasa Melayu (Malaya) Dan Bahasa Indonesia.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Aitchison Jean (1972). General Linguistics, An Introduction. London : Teach Yourself Books
Bloch & Trager (1942). Outline to Linguistic Analysis. Baltimore : Special Publication of The
Linguistic Society of America.
Bloomfield, Leonard (1935). Language : Allen & Unwin.
Bolinger, Dwight (1968). Aspects of Language. New York : Harcourt, Brace & World Inc.
Crystal, David (1971). Linguistics. England : Penguin.
Gleson, H.A. (1961). Introduction to Description Linguistics. New York : Holt, Richard
Winston.
Halliday, MacIntosh & Strevens (1964). Linguistics Sciences and Language Teaching. London :
Longman.
Hockett, C.F. (1958). A Course in Modern Linguistics. New York : Macmilian.
J.P.B. Allen & S. Pit Corder (1973). Reading for Applied Linguistics Vol. 1. London : Oxford
University Press.
Langacker, Ronald W. (1968). Language and Its Structure. New York : Hercourt, Brace & World
Inc.
Lyon, John. (1969). Introduction to Theoretical Linguistics. London : Cambridge University
Press.
Lufti Abas (1971). Linguistik Deskriptif dan Nahu Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Raja Mukhtaruddin Raja Mohd. Dain (1979). Kaedah dan Teknik Mengajar Bahasa. Kuala
Lumpur : Pustaka Ilmu.