Download - Assignment Perkembangan Kanak-Kanak.docx
PENGHARGAAN
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T berkat limpah dan Kurnia-Nya dan kepada-Nya jualah
kami memohon taufik dan hidayah dalam menempuh liku-liku kehidupan. Selawat dan salam
keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Salam penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puan Sharizan Binti Abdul Hamid
di atas segala tunjuk ajar, bimbingan, teguran dan nasihat yang berterusan sehingga tugasan
projek ini berjaya disiapkan.
Tidak lupa juga, kalungan terima kasih dihulurkan buat para pensyarah, tutor dan tenaga
pengajar di Jabatan Ilmu Pendidikan di atas segala ilmu dan maklumat yang dicurahkan kepada
saya.
Ucapan terima kasih kepada ibu dan bapa yang saya kasihi, adik saya serta keluarga
yang tersayang. Segala pengorbanan dan juga sokongan yang diberikan tidak akan dapat
dilupakan. Akhir sekali, kepada rakan-rakan sekumpulan saya dan seperjuangan sekuliah di
atas segala kerjasama,dorongan dan bantuan yang diberikan juga tidak lupa buat para pelajar
IPG Kampus Bahasa Melayu yang memberi bantuan dan kepada semua insan yang mendoakan
kejayaan dan kebahagiaan saya.
Sekian Wassalam
MOHD NUR SALAM BIN SAIPIN
IPG KAMPUS BAHASA MELAYU
1
PENGENALAN
Setiap individu akan mengalami pertumbuhan dan perkembangan daripada aspek fizikal,
sosial, kognitif, dan emosi semenjak lahir sehinggalah memasuki alam dewasa dan tua.
Perkembangan fizikal manusia selalunya ditentukan oleh faktor baka dan persekitaran. Setiap
individu juga mengalami pertumbuhan dan perkembangan yang melibatkan perubahan dari segi
rupa bentuk, kebolehan mental dan sahsiah.
Pertumbuhan bermaksud aspek perubahan pada tubuh badan seseorang yang dapat
diukur secara kuantitatif. Rahil(2008) memfokuskan perubahan kuantitatif adalah perubahan
yang boleh kita perhatikan, mudah diukur dan dapat diramalkan. Tinggi dan berat badan
seseorang adalah contoh bagi perubahan kuantitatif. Perubahan berat dan tinggi seseorang
boleh diukur seterusnya dapat diramal dengan ketepatan yang tinggi melalui beberapa siri
pemerhatian dan pengukuran yang sistematik dan terancang. Woodfolk dan Margetts (2007)
pula menyifatkan pertumbuhan sebagai perubahan dalam saiz dan lematangan. Namun dari
segi saiz fizikal, ini bermaksud pertambahan dalam saiz bahagian-bahagian bahan ketinggian
dan juga bilangan saraf-saraf ke otak.
Perkembangan pula bermaksud perubahan tubuh badan yang bersifat kualitatif. Suppiah
et.al. (2008) menjelaskan perubahan kualitatif adalah perubahan yang berlaku secara
mendadak,agak sukar untuk diukur dan diramalkan tidak seperti pertumbuhan yang boleh diukur
dan diramalkan. Contohnya adalah seperti penggunaan kata-kata atau bahasa, penguasaan
perbendaharaan kata yang bertambah dari semasa ke semasa akibat faktor yang
mempengaruhi perkembangan manusia iaitu kematangan , latihan dan pembelajaran.
Proses pertumbuhan dan perkembangan berlaku dalam situasi yang saling berkait dan
meliputi perubahan dari segi fizikal, kognitif, emosi, dan sosial. Perkembagan fizikal merujuk
kepada tumbesaran saiz badan dan organ-organ fungsi sistem fizikal dan koordinasi kemahiran
motor yang halus dan kompleks. Seseorang individu dari keadaan bayi hingga saiz dewasa
sebelum mengecut kembali apabila badan mula melalui proses penuaan.
Secara kesimpulannya, pembentukan manusia adalah hasil daripada satu sel
persenyawaan benih ibu bapa yang akan membesar menjadi janin dalam kandungan ibu selama
sembilan bulan sebelum dilahirkan. Seterusnya, bayi itu akan berubah secara beransur-ansur
menjadi seorang kanak-kanak yang membesar menjadi dewasa. Inilah yang dipanggil proses
pertumbuhan dan perkembangan.
2
Tugasan a
Mohd Nur Salam Bin Saipin merupakan anak sulung
kepada pasangan Limah Binti Usop dan Saipin Bin
Abdul Rashid. Dilahirkan pada 28 November 1994 di
Klinik Anjung Teduh, Desa Kencana, Lahad Datu,
Sabah dan beliau dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau dijaga dan dibesarkan oleh ibu bapanya dengan
baik bagai menatang minyak yang penuh. Semasa
masih bayi, beliau menunjukkan perkembangan
kognitif dan fizikal yang sangat baik. Pada usia 5 tahun
beliau dimasukkan ke tadika Lok Yuk, Menggatal,
Sabah, untuk menerima pendidikan awal disitu. Pada waktu itu, kebanyakkan kanak-kanak yang
bersekolah disitu adalah daripada kaum cina. Setiap pagi, mereka akan menyanyikan lagu
dalam Bahasa Cina, oleh sebab itu, pada waktu itu saya (Mohd Nur Salam) boleh membaca dan
bercakap dalam Bahasa Cina, namun kurang fasih. Di samping itu juga, ada subjek Bahasa
Cina yang perlu dipelajari oleh setiap pelajar di Tadika tersebut. Selain itu, kelas muzik juga
adalah dalam Bahasa Cina. Namun begitu, bahasa pertuturan di rumah saya adalah Bahasa
Melayu. Makanya saya lebih banyak menggunakan Bahasa Melayu berbanding Bahasa Cina
dirumah, menyebabkan saya lebih fasih berbahasa Melayu. Oleh itu, perkembangan kognitif
terutamanya dalam pertuturan dan bahasa, amatlah dipengaruhi oleh persekitaran. Hal ini
disokong oleh Teori Behaviorisme, kerana menurut teori ini, kanak-kanak mempelajari bahasa
melalui peniruan. Kanak-kanak mendengar sebutan orang dewasa dan cuba meniru apa yang
didengar. Peniruan menjadi semakin menepati bahasa orang dewasa dan lama lama kanak-
kanak berjaya bercakap seperti orang dewasa. Teori ini menitikberatkan peranan persekitaran
dalam pemerolehan bahasa. Kanak-kanak dianggap penerima pasif terhadap pengaruh-
pengaruh luaran sebagai contoh daripada ibu bapa, adik-beradik dan juga rakan sekolah.
Bahasa merupakan satu tingkah laku yang dipelajari, seperti tingkah laku-tingkah laku lain.
Melalui teori ini, kanak-kanak dilahirkan tanpa bahasa. Semasa berkembang mereka mula
meniru atau memodelkan bunyi-bunyi yang diperdengarkan daripada orang lain disekitar
mereka. Respons yang lebih menepati contoh sebutan bahasa orang dewasa akan diberi
peneguhan dan ini menggalakkan kanak-kanak melatih sebutan seterusnya. Akhirnya mereka
berjaya mencapai perkataan orang dewasa.
3
Pertumbuhan dan perkembangan fizikal diri
Perkembangan fizikal individu adalah ditentukan oleh faktor perwarisan ataupun baka
dan juga persekitaran. Perkembangan ini berlaku secara sistematik. Selain daripada perubahan
berat badan dan tinggi, aspek perkembangan fizikal yang turut dikaji ialah perkembangan motor.
Perkembangan fizikal kanak-kanak merangkumi pelbagai aspek, seperti, perubahan saiz kepala
dan badan, kandungan badan, pertumbuhan gigi, dan rangka tulang, kemahiran pergerakan
motor kasar dan halus, serta pengawalan tangan dominan iaitu kanan ataupun kiri. Semasa
proses pembesaran, kanak-kanak akan mengalami perubahan dalam ketinggian serta dapat
melakukan kegiatan fizikal yang lebih kompleks. Oleh yang demikian, perkembangan fizikal
kanak-kanak merupakan satu aspek yang menekankan asas pertumbuhan dan pembesaran
kanak-kanak.
Terdapat banyak pendapat tokoh dan ahli sejarah mengenai definisi perkembangan
fizikal, termasuklah Gallahue (1993) yang menyatakan bahawa perkembangan fizikal terbahagi
kepada tiga bahagian iaitu keseimbangan (kebolehan kanak-kanak mengekalkan kedudukan
badan mereka relatif kepada tindakan graviti), aspek pergerakan (berkaitan dengan tingkah laku
kanak-kanak) dan aspek manipulasi (kemahiran kanak-kanak berhubung dengan objek
persekitarannya).
Berbeza pula dengan Schmidt dan Wrisberg (2000), kemahiran fizikal kanak-kanak
dijelaskan terbahagi kepada 2 aspek, iaitu tertutup dan terbuka. Kemahiran fizikal tertutup
dimaksudkan sebagai perjalanan aktiviti dalam persekitaran yang terkawal serta tidak berubah
manakala kemahiran fizikal terbuka pula bermaksud persekitaran dan situasi kanak-kanak untuk
menjalankan aktiviti fizikal secara berubah. Dalam perkembangan ini juga, terdapat 4 prinsip
asas perkembangan fizikal antaranya ialah perkembangan kanak-kanak bermula daripada
kepala beransur ke kaki. Prinsip kedua pula menyatakan bahawa arah perkembangan berlaku
daripada tengah badan dan berterusan ke luar. Prinsip ketiga pula, menyatakan bahawa
kebolhan bayi bertambah jelas dan spesifik, manakala prinsip keempat menyatakan aspek yang
berbeza berkembang pada tahap yang berbeza.
4
Peringkat perkembangan fizikal kanak-kanak terbahagi kepada 2 kategori, iaitu peringkat
awal kanak-kanak dalam lingkungan usia 2-6 tahun dan peringkat kanak-kanak 6-12 tahun. Bagi
peringkat awal kanak-kanak, kadar pertumbuhan fizikal mereka adalah perlahan berbanding
dengan pertumbuhan pada tahun pertama kanak-kanak. Oleh sebab itu, pada ketika itu, badan
saya agak kecil dan rendah, namun begitu apabila dibandingkan dengan kawan-kawan saya
yang sebaya saya, ketinggian mereka adalah lebih kurang sama dengan saya. Hal ini kerana
perkembangan fizikal kanak-kanak pada peringkat ini adalah perlahan.
Pada dua tahun pertama, pertumbuhan dan perkembangan bayi berlaku pada kadar
yang pantas. Berat badan bertambah lebih kurang 10 kilogram dan ketinggian bayi bertambah
sebanyak 40 sentimeter. Saiz dan kompleksiti otak turut bertambah. Sel-sel neuron dalam otak
berkembang namun organisasinya memerlukan pengalaman selepas lahir. Gigi susu pada gusi
bawah mula kelihatan apabila bayi berumur antara enam hingga lapan bulan. Pertumbuhan gigi
ini dipengaruhi oleh kesihatan bayi, baka, khasiat yang diterimanya sebelum dan selepas
kelahiran. Sekuen pertumbuhan gigi penting dan pada dasarnya, pertumbuhan gigi pada gusi
bawah dahulu kemudian diikuti dengan pertumbuhan gigi pada gusi atas.
Pada usia 9 hingga 12 bulan, bayi mulai berdiri dengan sendiri tanpa bantuan alatan dan
orang dewasa. Menurut ibu saya, saya sudah mulai berlari pada peringkat ini, dan saya juga
sudah memahami arahan mudah seperti ‘jangan main mancis’.
Rajah 1 menunjukkan saya sedang bermain dengan pita pelekat
5
Perkembangan awal kanak-kanak biasanya bermula dari dua hingga enam tahun. Pada
peringkat ini, pertumbuhan fizikal adalah perlahan jika dibandingkan dengan pertumbuhan pada
tahun pertama kanak-kanak tersebut. Ketinggian kanak-kanak pada peringkat ini adalah dua kali
ganda ketinggiannya semasa lahir dan berat badannya mungkin empat kali ganda. Otot-otot
kasar sudah mula berkembang tetapi otot-otot halus masih belum berkembang dengan
sempurna. Kajian menunjukkan kadar perkembangan kanak-kanak perempuan pada peringkat
ini adalah lebih cepat berbanding kanak-kanak lelaki.
Perubahan dalam keadaan kebolehan psikomotor ini adalah mengikut urutan aturan
misalnya seorang kanak-kanak boleh berlari terlebih dahulu sebelum dia boleh belajar bermain
menggunakan kasut roda. Selalunya kadar perubahan dan kebolehan psikomotor dipengaruhi
oleh genetik. Misalnya jika kebolehan berjalan berlaku awal untuk kedua-dua ibu bapa maka
anaknya juga akan dapat berjalan pada peringkat awal. Ibu dan ayah saya sudah mulai berjalan
seawal usia 8 bulan, maka dengan sebab itulah saya juga boleh mulai berjalan pada usia 8
bulan.
Kemahiran motor kasar saya berkembang dengan baik adalah kerana faktor baka yang
memperngaruhi. Namun begitu faktor persekitaran juga tidak boleh dinafikan kepentingannya.
Contohnya, semasa kecil, saya dan sepupu-sepupu saya yang sebaya, sudah boleh berjalan
pada usia 8 bulan. Hal ini kerana sepupu saya yang lebih tua daripada kami kebanyakannya
sudah mulai berlari. Oleh itu, dengan persekitaran tersebut dan sifat ingin tahu dan sifat ingin
mencuba kanak-kanak yang tinggi, kami mulai meniru perbuatan tersebut dan menyebabkan
kami dapat menguasai kemahiran berjalan dengan lebih awal lagi.
Kemahiran motor kasar adalah kawalan pada tingkah laku yang memerlukan gerakan
banyak otot dan membolehkan kanak-kanak bergerak balas dengan persekitarannya.
Contohnya adalah seperti berjalan, berdiri, merangkak dan sebagainya. Perkembangan
kemahiran motor banyak bergantung kepada perkembangan otak, keseimbangan badan dan
peningkatan koordinasi mata dan tangan kanak-kanak. Kanak-kanak yang mengalami masalah
penglihatan atau pendengaran akan mengalami masalah menyeimbangkan badan mereka.
Faktor perkembangan kanak-kanak ialah latihan, peniruan, genetik perkembangan otak dan
juga budaya keluarga. Ketika berusia hampir 4 tahun, aktiviti fizikal kanak-kanak ini menjadi
lebih mencabar. Kanak-kanak ini boleh melakukan aktiviti luar biasa seperti gimnastik. Mereka
juga mampu untuk naik dan turun tangga menggunakan kaki secara berselang-seli.
6
Kemahiran motor halus menggunakan otot-otot kecil seperti jari dan tangan. Contohnya
adalah seperti memicit, menggunting, menggentel, dan memegang benda. Walaupun kanak-
kanak dapat menggunakan jari tangan mereka, tetapi ia memakan masa yang agak lama untuk
menjadi lebih mahir. Kemahiran menggunakan jari ini dipengaruhi oleh faktor biologi di mana
kanak-kanak yang mengalami masalah otak sering kali tidak dapat menggunakan jari mereka.
Kanak-kanak seperti ini lebih cenderung menggunakan tangan mereka. Kemahiran motor halus
mengalami peningkatan selari dengan meningkatnya umur kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak
yang mulai masuk ke alam persekolahan akan menjadikan otot mata dan tangan mencapai
koordinasi yang lebih baik.
Kemahiran motor halus kanak-kanak pada usia dua hingga enam tahun akan
berkembang dengan pesat. Pada usia dua hingga tida tahun, kanak-kanak banyak melatih
kebolehan menyimpan dan mengendalikan sesuatu. Pada usia ini, ibu saya mengatakan
bahawa saya sering menyorokkan sudu dan garpu, serta barang-barang yang kecil. Pada ketika
ini juga, ibu saya sering membelikan permainan cantuman ‘puzzle’, walaupun ada ketika itu
saya masih tidak mampu meletakkannya dengan tepat.
Pada usia empat hingga enam tahun, pengendalian motor halus kanak-kanak semakin
meningkat, menjadi lebih tepat dan cekap. Pada usia lima tahun saya sudah boleh
mengkoordinasikan aktiviti yang melibatkan penglihatan dan tangan. Saya sudah boleh
menyeimbangkan kawalan tangan, lengan dan badan dengan pergerakan mata. Sebagai
contohnya, ibu saya sering membelikan buku mewarna untuk melatih kemahiran motor halus
saya. Pada usia ini juga saya sudah boleh menggunakan sudu dengan baik ketika makan, dan
melukis bentuk-bentuk seperti segi tiga, segi empat dan bulat. Tulisan tangan saya juga menjadi
lebih baik daripada sebelumnya. Pada usia enam tahun saya sudah boleh mengikat tali kasut
dan membutang baju.
7
Pada peringkat umur 7 hingga 12 tahun, kadar pertumbuhan dan perkembangan adalah
stabil dan tidak begitu mendadak dan pesat jika dibandingkan dengan peringkat-peringkat
sebelum ini, dan meningkat secara beransur-ansur. Pertumbuhan dan perkembangan pada
peringkat ini juga lebih bercorak penambahbaikan kemahiran psikomotor sedia ada. Pada
peringkat ini juga pertumbuhan gigi kekal bermula dan gigi susu akan diganti.
Badan saya menjadi lebih kurus dan tinggi berbanding ketika pada peringkat awal kanak-
kanak. Namun begitu, ketinggian saya adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan rakan-
rakan sebaya saya. Hal ini demikian kerana, ibu dan ayah saya juga tidak begitu tinggi, faktor
baka memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Pada usia 8 tahun hingga 10 tahun
ketinggian kanak-kanak perempuan akan bertambah dan mencapai kemuncaknya pada usia 12
tahun. Ketinggian kanak-kanak lelaki pula mula bertambah pada usia 10 tahun hingga 12 tahun
dan mencapai kemuncaknya pada usia 15 tahun.
Kanak-kanak perempuan biasanya akan lebih berat berbanding dengan kanak-kanak
lelaki pada usia ini. Pada umur 11 tahun apabila kanak-kanak menghampiri akil baligh, kanak-
kanak kelihatan lebih kuat, cepat dan mempunyai keupayaan yang cukup untuk fokus kepada
aktiviti atau tugas yang diberi kepada mereka.
Kanak-kanak perempuan akan mencapai akil baligh seawal usia 10 tahun, manakala
kanak-kanak lelaki akan mencapai akil baligh pada usia 11 tahun. Namun begitu ada juga
kanak-kanak yang cepat proses akil baligh dan ada juga yang lewat. Perkara ini adalah normal
kerana perkembangan dan pertumbuhan setiap individu itu adalah berbeza. Pasa masa ini
perubahan perkembangan fizikal akan berlaku dangan sangat cepat.
Pada pendapat saya bagi perkembangan fizikal bagi diri saya, faktor baka adalah lebih
dominan jika dibandingkan dengan faktor persekitaran, hal ini kerana genetik memainkan
peranan yang sangat penting dalam menentukan ciri-ciri fizikal seseorang kanak-kanak.
Sebagai contoh saya mewarisi, warna rambut, warna mata, ketinggian dan paras rupa ibu dan
bapa saya.
8
Perkembangan kognitif diri
Perkembangan ialah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kualitatif tetapi
dapat dilihat menerusi sifat baharu yang berlainan daripada sifat yang awal. Santrock (2008)
mentafsirkan perkembangan sebagai perubahan dalam corak biologi, kognitif dan sosioemosi
individu yang bermula daripada peringkat percambahan sehingga ke akhir hayat.
Perkembangan terbahagi kepada pelbagai aspek, iaitu fizikal, bahasa, kognitif, sosioemosi, dan
kendiri.
Menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel (2008), kemahiran kognnitif merupakan
kebolehan individu untuk berfikir, memberi pendapat, memahami dan mengingati perkara-
perkara yang berlaku di persekitaran masng-masing. Ia melibatkan aktiviti mental seperti
ingatan, mengkategori, merancang, menaakul, menyelesaikan masalah, mencipta, berimaginasi,
dan lain-lain. Kemahiran kognitif ini penting untuk kelangsungan hidup seseorang individu.
Sehubungan dengan itu, perkembangan kognitif tidak dapat dipisahkan daripada kemahiran
berfikir.
Kanak-kanak pada usia 2 hingga 7 tahun, kanak-kanak akan mula menggunakan minda
untuk membentuk skema-skema baharu dalam otak dan pemikiran mereka. Kanak-kanak pada
peringkat ini telah menggambarkan dan merancang pergerakan ataupun aktiviti mereka dengan
menggunakan minda untuk membentuk skema. Perubahan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak
dalam peringkat ini adalah mereka dapat mewakili sesuatu dengan simbol mental, iaitu bahasa,
isyarat, gambar dan sebagainya. Pada ketika ini ibu saya mengatakan bahawa, saya suka
menceritakan pengalaman atau peristiwa yang berlaku di tadika.
Selain itu, pada usia ini tahap pemikiran kanak-kanak adalah bersifat intuitif, iaitu
pemahaman mereka tentang objek bergantung kepada ciri-ciri yang bersifat nyata. Mereka tidak
mampu lagi untuk berfikir secara logik dan rasional. Pada peringkat ini juga kanak-kanak akan
menunjukkan sifat egosentrik memandangkan mereka melihat dan memahami persekitaran
melalui perspektif mereka sendiri. Kanak-kanak menyangka bahawa semua orang mempunyai
minat, perspektif, perasaan, dan reaksi yang sama dengan mereka. Sebagai contohnya, pada
usia ini, saya suka melihat kartun Doraemon, Shin Chan, Power Rangers, dan sebagainya.
Saya beranggapan bahawa ibu bapa saya juga suka dengan siri kartun tersebut.
9
Pada usia 7-12 tahun, kanak-kanak sudah boleh berfikir secara logik walaupun masih
terikat dengan situasi konkrit. Pada peringkat ini juga, kanak-kanak sudah boleh menguasai
konsep pengekalan. Prinsip asas konsep ini adalah prinsip identiti, prinsip ganti rugi dan prinsip
keterbalikan. Prinsip identiti adalah mereka sudah tahu jika tiada penambahan atau
pengurangan bilangan objek. Prinsip ganti rugi pula adalah mereka tahu dari satu segi akan
ditukar oleh perubahan dalam satu aspek lain, manakala, prinsip keterbalikan pula adalah
mereka boleh mengulangi proses yang berlaku kepada keadaan asal. Sebagai contoh, jika air
didalam cawan yang lebar, dituang ke dalam gelas yang lebih tirus dan tinggi, mereka sudah
tahu bahawa kuantiti air adalah tetap sama.
Selain itu kanak-kanak pada peringkat ini juga dapat mengkategorikan objek mengikut
kumpulan masing-masing. Contohnya, mereka mengelaskan objek mengikut warna, saiz dan
sebagainya. Mereka juga boleh melakukan proses menyusun secara bersiri, iaitu susunan
secara menaik dan menurun seperti membuat sususan logik iaitu A sebelum B, C, sebelum D
dan E adalah selepas D.
Berdasarkan teori perkembangan kognitif Jerome Bruner, pembelajaran memerlukan
persekitaran yang tertentu kerana ia mempengaruhi mod berfikir, aksi, imej, dan perkataan. Mod
berfikir berkembang secara berterusan dalam kehidupan. Bahasa pula membentuk, dan
mengembangkan pembelajaran. Bentuk pergaulan sosial dan pengalaman mempengaruhi
perkembangan kognitif. Selain itu, pendekatan biologi berupaya menyelenggarakan proses
berfikir. Pendekatan dan cara menerima maklumat akan mempengaruhi pengurusan perubahan
maklumat ketika berlaku peningkatan umur. Sehubungan denga itu, J.Bruner menyatakan
bahawa struktur intelek terbahagi kepada tiga mod utama, iaitu mod enaktif, mod ikonik dan
mod simbolik.
Mod enaktif adalah berfikir berdasarkan aksi fizikal, kanak-kanak akan belajar melalui
melakukan aktiviti, dan bukan melalui penggunaan bahasa atau pemikiran dalaman. Hal ini
dapat dibuktikan ketika saya mula-mula cuba untuk makan dengan menggunakan sudu.
10
Perkembangan Bahasa
Perkembangan bahasa bagi seorang kanak-kanak adalah sangat penting, kerana
bahasa merupakan pemangkin perkembangan kanak-kanak tersebut. Ketika berinteraksi
dengan orang dewasa dan rakan sebaya, mereka membina kefahaman dan idea-idea tentang
perkara yang berlaku di persekitaran mereka. Perkembangan bahasa kanak-kanak bermula
sejak bayi lagi. Akan tetapi, pada peringkat bayi, kanak-kanak tidak dapat berkomunikasi
dengan jelas. Namun begitu, perbuatan menangis merupakan isyarat bahasa untuk
menunjukkan bahawa bayi itu sedang lapar, lampin basah, ataupun tidak lena tidur.
Pada peringkat 2-4 tahun, kanak-kanak sudah boleh menyebut gabungan tiga perkataan
ketika bertutur. Pada ketika ini saya sudah mulai bercakap dan menggunakan teknik tertentu
untuk mengucapkan perkataan yang agak sukar seperti ‘mamam’ untuk makan, dan ‘chuchu’
untuk susu. Kanak-kanak pada peringkat ini juga akan mengurangkan penggunaan perkataan
yang kurang difahami. Kanak-kanak juga akan berusaha bercerita tentang apa sahajayang
dialaminya kepada orang dewasa khususnya ibu bapa. Pada masa inilah mereka belajar
bercakap dan orang dewasa khususnya orang dewasa harus mengawasi anak mereka agar
mereka menggunakan perkataan yang betul dan baik.
Pada peringkat 4 hingga 6 tahun kanak-kanak sudah mampu untuk menghasilkan
gabungan 4 hingga 5 perkataan dalam ayat yang dituturkan. Mereka juga sudah boleh
mengulang dan mengubah seni kata lagu yang mudah serta dapat menyebut perkataan dengan
baik. Pada usia ini perkembangan bahasa kanak-kanak berlaku dengan pantas. Hal ini
disebabkan oleh, kanak-kanak pada peringkat ini sudah tahu menggunakan bahasa pada
keadaan dan situasi tertentu. Mereka banyak bercakap, suka mengajukan soalan, dan bermain
dengan ayat. Cara mereka menjawab persoalan yang diajukan juga meleret dan menunjukkan
kebijaksanaan kerana mampu memberi komen pada seseorang.
Sehubungan dengan itu, ketika kanak-kanak mencapai usia 5 tahun, penerimaan bahasa
adalah lebih berkesan. Kanak-kanak akan menggunakan bahasa dengan lebih kritis dan khusus
tetapi agak kurang yakin pada diri sendiri. Oleh itu, ibu bapa harus menggalakkan pergaulan
anak mereka dengan masyarakat luar seperti bermain bersama rakan sebaya mereka di taman
permainan dan sebagainya.
11
Pada peringkat ini juga, kanak-kanak sudah dapat menyebut umur mereka dengan betul
dan telah mulai belajar membaca. Kanak-kanak pada peringkat ini juga boleh menjadi pelajar
yang cemerlang di tadika ataupun prasekolah jika mempunyai kesemua sembilan ciri iaitu
penglihatan yang baik, pendengaran yang baik, kecerdasan yang normal, sahsiah yang matang,
aktif dan cergas, faham dan pandai menggunakan perbendeharaan kata, berminat dan
berkebolehan untuk belajar dan mendengar cerita, memberi penuh tumpuan terhadap sesuatu
kerja dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
Menurut Teori Behaviorisme, kanak-kanak mempelajari bahasa melalui peniruan. Kanak-
kanak akan mendengar sebutan orang dewasa dan rakan-rakan kemudian akan cuba untuk
meniru sebutan tersebut. Hal ini terbukti apabila saya cuba untuk meniru cara untuk menyebut
‘makan’ dan ‘minum’ dengan betul daripada ibu saya ketika masih kecil lagi.
Teori Behaviorisme ini mendapat sokongan ramai pihak kerana melalui pemerhatian,
pemerolehan bahasa dalam kanak-kanak memang melibatkan proses peniruan dan peneguhan.
Ramai pakar bahasa berpendapat bahawa peniruan merupakan satu komponen yang kritikal
dalam pembelajaran bahasa.
Manakala Teori Pragmatik-Interaksionalisme pula memberikan penekanan kepada
pemerhatian yang meneliti bahawa seseorang individu menggunakan bahasa untuk
berkomunikasi. Pada usia kanak-kanak lagi, saya sering berkomunikasi dengan rakan-rakan
sebaya saya. Peranan persekitaran sangat memberi impak yang besar terhadap cara, loghat,
dan perbendaharaan kata yang saya gunakan ketika itu.
Perkembangan bahasa kanak-kanak terhadap pengajaran dan pembelajaran
memberikan implikasi yang sangat penting dari segi perkembangan kognitif dan sosioemosi.
Sehubungan dengan itu, dari segi perkembangan kognitif, bahasa menjadi perantara terpenting
dalam perkembangan kognitif sebagai medium penyampaian ilmu. Berdasarkan penggunaan
bahasa, kanak-kanak dapat menginterpretasikan sesuatu. Pembinaan ilmmu dan penguasaan
kemahiran adalah melalui interaksi sosial dan aktiviti sosiobudaya. Kanak-kanak dapat
memperoleh ilmu secara penaakulan dengan adanya bahasa. Kanak-kanak juga dapat
membuat keputusan dan penilaian dalam memikirkan sesuatu penyelesaian.
12
Perkembangan Sosioemosi
Pada masa dahulu, ramai pengkaji perkembangan kanak-kanak tidak menganggap
pentingnya perkembangan sosioemosi. Mereka hanya menumpukan kepada perkembangan
kognitif dan perkembangan fizikal semata-mata, iaitu perkembangan yang boleh diukur secara
kuantitatif. Namun kini, perkembangan sosioemosi kanak-kanak merupakan salah satu cabang
pengkajian perkembangan kanak-kanak yang dianggap sama pentingnya dengan aspek
perkembangan yang lain.
Secara mudah, emosi boleh didefinisikan sebagai perasaan yang timbul apabila
seseorang itu, berada dalam situasi interaksi dengan orang lain. Emosi mempunyai ciri tingkah
laku hasil tindak balas seseorang terhadap situasi samada menyeronokkan ataupun tidak.
Secara khususnya emosi boleh dinyatakan sebagai gembira, sedih, takut, marah dan
sebagainya. Emosi ditunjukkan oleh manusia apabila berlaku sesuatu kepada dirinya.
Contohnya ketika saya masih bayi, saya akan menangis apabila ditinggalkan sendirian ataupun
ketika lapar. Sedih ketika lapar dan sedih ketika ditinggalkan adalah sangat berbeza emosinya.
Oleh itu emosi tercetus, daripada perasaan yang timbul akibat tindak balas dengan pengalaman
yang diperoleh samada secara tiba-tiba ataupun pengalaman lampau. Emosi dipengaruhi oleh
pengalaman dan asas biologi.
Menurut Santock (2004) faktor biologi hanyalah sebahagian daripada aspek yang
mempengaruhi perkembangan sosioemosi seseorang. Faktor budaya ataupun persekitaranlah
yang membentuk kepelbagaian emosi manusia. Kesimpulannya faktor biologi menjadikan
manusia makhluk yang beremosi tetapi persekitaran dan budaya serta perhubungan dengan
orang lain mewujudkan kepelbagaian pengalaman emosi(Saarni,1999,2000) Jika berdasarkan
faktor biologi, saya mewarisi sifat ibu bapa saya yang sangat tenang dan penyabar.
Persekitaran sekolah yang positif juga banyak membantu dalam perkembangan sosioemosi
dalam diri saya. Ia banyak mempengaruhi saya dalam mencapai matlamat hidup sebagai
seorang manusia yang berwawasan ingin membantu dan menyumbang kembali kepada
masyarakat sekeliling.
Kesimpulannya dalam, perkembangan kognitif, bahasa, dan sosioemosi, faktor
persekitaran lebih dominan dalam membentuk diri saya.
13
Tugasan b
“Pengajaran” atau “Pedagogi bermaksud bagaimana seseorang guru menyampaikan
pelajaran atau ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya. Ia merupakan satu proses
persediaan untuk mengajar, melakukan pengajaran, menilai kembali apa yang telah diajar serta
melakukan tindakan susulan bagi menyempurnakan proses pengajaran itu. Pengajaran juga
adalah rancangan guru yang sistematik untuk membimbing pelajar menjalankan aktiviti
pembelajaran.
Pengajaran juga boleh didefinisikan sebagai rancangan guru untuk membimbinf pelajar
menjalankan aktiviti pembelajaran Santrock J.W dalam bukunya yang berjudul Educational
Psychology: A Tool for Effective Teaching, menyatakan bahawa pengajaran berkesan
bergantung kepada dua faktor utama iaitu, pengetahuan profesional guru dan komitmen guru
yang berupaya merancang pengajaran tersusun dengan cemerlang.
Pembelajaran ialah proses perubahan struktur mental yang membina keupayaan
tingkah laku yang berbeza. Dari sudut kognitif, pembelajaran boleh berlaku tanpa perubahan
tingkah laku yang segera. Perubahan struktur mental yang berlaku melibatkan perubahan
skema, kepercayaan, jangkaan dan matlamat. Proses pembelajaran yang berlaku secara
berterusan akan membawa perubahan tingkah laku. Contohnya, seseorang murid akan mula
menguasai kemahiran membaca setelah proses pembelajaran berlaku secara berulang-ulang
dan berterusan. Penguasaan dan pemahaman terhadap sesuatu fakta akan mudah dikuasai
apabila proses pembelajaran dibantu dengan pelbagai bahan bantu mengajar sebagai bahan
rangsangan seperti gambarajah, jadual, carta, gambar dan lain-lain alat bantu yang
memudahkan murid-murid menghubungkaitkan maklumat.
Salhah Abdullah (2006) dalam bukunya Guru Sebagai Fasillitator menegaskan bahawa
”guru sebagai fasilitator berperanan sebagai perancang, pengurus dan pelaksana perlu
berpandukan prinsip pengurusan yang sistematik. Prinsip perancangan perlu tepat diikuti
dengan prinsip penyampaian yang sesuai dan disusuli dengan prinsip tindakan yang tepat.
14
Tahap perkembangan kanak-kanak adalah berbeza dari pelbagai sudut, seperti
fizikal,kognitif, afektif, psikologi dan sosial walaupun masing-masing melalui peringkat
pertumbuhan yang sama. Pertumbuhan dan perkembangan seseorang kanak-kanak juga
dipengaruhi oleh ibu bapa dan guru. Ibu bapa dan guru seharusnya bekerjasama dalam
merancang sesuatu perkara atau intervensi yang boleh membantu pencapaian pertumbuhan
dan perkembangan kanak-kanak ke tahap yang optimum dan terbaik. Malah ibu bapa dan guru
juga perlu menyediakan keperluan yang baik bagi membantu kanak-kanak dalam pertumbuhan
dan perkembangan mereka.
Semua keperluan dan kepentingan terhadap kanak-kanak adalah saling berkaitan.
Penyediaan terhadap keperluan dalam mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhhan
seorang kanak-kanak perlu dititikberatkan dari aspek keselamatan dan kualiti agar perkara
tersebut memberi kepentingan kepada kanak-kanak tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru
boleh menyediakan bahan bantu mengajar yang sesuai bagi membantu mempertingkatkan
pertumbuhan dan pekembangan kognitif kanak-kanak tersebut. Hal ini demikian kerana,
pengurusan pengajaran dan pembelajaran bermula dengan perancangan dan penyediaan
bahan bantu mengajar yang sesuai.
Penggunaan alat bantu mengajar yang sesuai dan berkesan sangat penting untuk
membantu guru menerangkan konsep abstrak dan konkrit yang sukar kepada murid-murid.
Contoh-contoh bahan bantu mengajar seperti bahan maujud, gambar, pengursan grafik, peta
minda, gambarajah, radio, komputer, video, kad imbasan, gambarajah, akhbar, majalah, audio
visual, model, prototaip atau bahan-bahan sejarah. Ciri-ciri bahan pengajaran efektif pula
berbentuk maujud, praktikal, selamat digunakan dan guru dapat menggunakan bahan tersebut
untuk menerangkan konsep abstrak yang sukar difahami dengan berkesan.
Seorang guru yang kreatif akan menyesuaikan bahan bantu mengajar dengan isi
pelajaran agar murid mudah menguasai konsep abstrak yang kompleks. Ini diakui oleh Mayer
& Gallini, (1990); “ Guru perlu menerangkan dengan jelas dan memberi contoh-contoh yang
berkaitan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran “. Manakala Slavin (1994)
menyarankan “guru perlu menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan
menyeronokkan pelajar dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan alat bantu mengajar
(ABM).
15
Keunikan dan kepelbagaian yang wujud dalam kalangan manusia menyebabkan
wujudnya individu yang berbeza antara satu sama lain. Ciri-ciri seorang lelaki tidak sama
dengan ciri-ciri seorang wanita baik dari segi saiz, bentuk badan, suara, perwatakan, dan
tingkah laku. Kanak-kanak yang menerima kasih sayang dan harmonis dalam institusi
kekeluargaan akan lebih tenang, beradab dan gembira dalam melalui kehidupan berbanding
kanak-kanak yang hidup dalam institusi kekeluargaan yang kucar kacir. Papalia (2001),
menjelaskan bahawa manusia berbeza daripada segi jantina, berat, bentuk badan, kesihatan,
tahap tenaga, personaliti, dan emosi. Faktor persekitaran pula, seperti gaya hidup keluarga,
sosioekonomi keluarga, persekitaran sekolah dan rumah serta komuniti konteks pengajaran dan
pembelajaran. Beliau mengatakan kepelbagaian murid terdapat dalam tahap prestasi, kadar
belajar, gaya kognitif, etnik, budaya, kelas, sosial, bahasa, jantina, bakat, dan minat.
Berdasarkan definisi diatas dapat kita rumuskan bahawa, perbezaan individu adalah
kepelbagaian dan perbezaan perwatakan yang boleh diperhatikan dalam kalangan ahli-ahli satu
kumpulan. Perbezaan individu ini dapat dilihat berdasarkan ciri-ciri tertentu, iaitu temperamen,
tahap tenaga, pola persahabatan, hubungan ibu bapa dengan anak-anak, dan sifat-sifat
manusia yang mempunyai potensi untuk memajukan keupayaan atau membataskan keupayaan
seseorang untuk melakukan sesuatu.
Oleh sebab itu, seseorang guru perlu, mengenalpasti perbezaan yang terdapat pada
pelajar-pelajarnya dan menggunakan pengetahuan ini untuk merancang dan menguruskan sesi
pembelajaran dan pengajaran di kelas. Seseorang guru yang bersedia dengan maklumat
dairpada pelbagai sumber bukan sahaja memberi penerangan yang jelas dan mutakhir kepada
muridnya, tetapi juga mampu membuat perkaitan antara idea-idea, mencadangkan pemikiran
baru dan mencabar pelajar untuk berfikir pada araas tinggi. Sumber- sumber pembelajaran yang
boleh digunakan seperti buku teks, buku rujukan, internet, maklumat akhbar, majalah,
rancangan radio dan televisyen, jurnal , prospektus, phamplets and brochures, laporan
penyelidikan, statistik rasmi, Akta, Arahan Perbendaharaan termasuk sumber hasil temubual
dan soal selidik. Sumber yang tepat, sesuai, dan mencukupi mampu mencabar minda pelajar
seterusnya menarik minat mereka untuk memahami isi pelajaran dengan lebih berkesan.
Semasa merancang pengajaran, saya mendapatkan seberapa banyak input daripada pelbagai
sumber sebelum memulakan setiap sesi pengajaran . Guru juga boleh menggunakan
perbezaan individu ini untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti toleransi, dan hormat-
menghormati sesama kita, agar murid dapat menjadi insan yang lebih positif di masa akan
16
datang. Selain itu, murid juga perlu difahamkan tentang perbezaan individu inilah yang
menjadikan manusia makhluk yang sangat unik.
Guru boleh menangani masalah perbezaan individu dengan menitikberatkan atau
memberi pertimbangan kepada aspek-aspek tertentu semasa merancang atau melaksanakan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Antara aspek-aspek tersebut ialah, yang pertama aspek
memahami perbezaan murid. Guru harus memahami perbezaan murid dari segenap aspek yang
ada pada mereka. Pemahaman seperti ini penting kepada guru agar dapat memberikan layanan
yang sewajarnya kepada murid-murid. Hal ini dapat mengelakkan guru menjadi seorang yang
bersikap pilih kasih.
Yang kedua, ialah aspek memahami tingkah laku murid. Guru perlu memahami tingkah
laku muridnya agar persefahaman dan perhubungan yang baik dapat dicapai. Guru akan
bersifat lebih bertimbang rasa dan simpati dengan murid setelah memahami tingkah laku
merekan, kebolehan serta minat murid yang berbeza. Tuntasnya, guru dapat merancang aktiviti
yang dapat membentuk tingkah laku yang diingini denan memberi bimbingan yang sewajarnya.
Yang ketiga, adalah, menyediakan aktiviti alternatif. Adakalanya guru beranggapan
bahawa aktiviti pengajaran dan pembelajara yang dirancang itu amat sesuai dan bertepatan
dengan objektif yang hendak dicapainya. Namun semasa melaksanakannya, guru mendapati
kaedah atau teknik yang digunakan kurang sesuai dengan sesetengah mridnya. Keadaan ini
menyebabkan guru menjadi serba-salah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan tetapi jika guru
tersebut telah merancang aktiviti alternatif selain daipada apa yang terdapat dlaam rancangan
pengajaran, guru boleh melakukan pengubah suaian serta merta mana-maan yang perlu.
Pemilihan strategi pengajaran yang tepat juga mampu membuatkan penyampaian
maklumat dan pelaksanaan pengajaran menjadi lebih berkesan terutama aktiviti yang
melibatkan interaksi aktif murid yang terdiri daripada pelbagai budaya dan latar belakang.
Semasa guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu
memastikan bahawa, beliau melaksanakan pengajaran seperti yang dirancang dalam
rancangan pengajaran harian. Seseorang guru juga perlu menerapkan nilai-nilai kepelbagaian
budaya dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlu memastikan dan
menyediakann suasana bilik darjah yang kondusif dari segi psikososial dan fizikal untuk murid-
murid yang mempunyai latar belakang yang berbeza.
17
Seterusnya proses penilaian dan pengukuran perlu dilaksanakan oleh guru untuk
mengetahui keberkesanan pengajaran. Penilaian prestasi merupakan satu proses meliputi
aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi, aktiviti, hasil dan impak pengajaran dan
pembelajaran bagi membuat analisis untuk memastikan pelajar telah menguasai kemahiran
yang disampaikan oleh guru. Guru juga dapat merancang aktivti selanjutnya dengan CARA
yang lebih berkesan dan mengambil tindakan susulan .
Menurut D. Stufflebeam dalam bukunya “ Educational Evaluation and Decision Making”,
beliau telah mentakrifkan penilaian sebagai satu proses menentukan, mendapatkan serta
memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan yang selanjutnya. Gay
(1985) pula berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses sistematik mengumpul dan
menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah
tercapai.
Keberkesanan sesuatu proses pengajaran tidak dapat dipastikan tanpa proses penilaian
oleh guru semasa dan selepas pengajaran berlaku. Penilaian dilaksanakan berperanan untuk,
mengesan perkembangan penguasaan murid dan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan
murid dalam pembelajaran untuk merancang aktiviti pengayaan dan pemulihan. Selain itu, ia
juga bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan pengajaran guru supaya membolehkan guru
memperbaiki pengajaran selanjutnya, dan mengambil tindakan susulan untuk mengatasi
kelemahan & meningkatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya meningkatkan
keberkesanan pengajaran.
Keputusan peperiksaan penilaian formatif pula yang dilaksanakan selepas tamat
sesuatu tajuk dan penilaian sumatif yang dilaksanakan secara holistik pada hujung semester
dapat menilai pencapaian pelajar. Penilaian prestasi pelajar juga membolehkan guru menilai
semula strategi pengajaran dan membuat penambahbaikan. Penilaian menyeluruh pelajar dapat
dilakukan melalui data-data pengukuran kuantitatif dan kuanlitatif .
Pengukuran merupakan satu proses sistematik untuk mendapatkan maklumat secara
kuantitatif untuk menentukan pencapaian murid. Tujuan utama pengukuran adalah untuk
membuat pengelasan bagi pencapaian akademik murid dalam pembelajaran dan membuat
penambahbaikan kepada kaedah pengajaran guru. Alat pengukuran dalam proses pengajaran
dan pembelajaran adalah seperti data kuantitatif hasil daripada ujian bulanan, kuiz,
peperiksaan, temubual murid/rakan sekerja, soal selidik, senarai semak, rekod anekdot, skala
kadar, sosiogram, data pemerhatian dan kajian tindakan. Alat pengukuran yang tepat dalam
18
proses penilaian mampu memberi maklumat berharga kepada guru untuk mengukur
pembelajaran pelajar dan menilai keberkesanan pengajaran guru . Apabila guru memberikan
ujian kepada pelajarnya, guru sebenarnya bukan sahaja sedang mengukur pencapaian
pelajarnya tetapi juga mengukur keberkesanan strategi pengajarannya sendiri.
Penambahbaikan perlu dilakukan oleh guru setelah melaksanakan penilaian dan
pengukuran. Pendekatan Pengajaran Masteri contohnya amat menekankan bahawa guru perlu
memastikan murid telah dapat menguasai sesuatu kemahiran sebelum kemahiran yang baru
disampaikan. Penambahbaikan berbentuk pemulihan, pengayaan dan penilaian semula
kesemua elemen-elemen yang terlibat semasa merancang dan semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berlaku perlu diambilkira oleh seorang guru yang proaktif dan berkesan
Setelah guru selesai menyempurnakan proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu
memperuntukkan masa membuat refleksi terhadap pelaksanaan pengajarannya. Langkah ini
adalah penting untuk mengkaji keberkesanan pengajaran guru dalam aspek pemilihan strategi
pengajaran, penggunaan bahan bantu mengajar, maklumat dan sumber pengajaran, tahap
pencapaian murid dan keberkesanan komunikasi guru-murid.
19
Refleksi
Pertama sekali, bersyukur kepada hadrat ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapat
saya siapkan dan selesaikan kerja kursus ini. Tidak lupa juga kepada Puan Sharizan Binti Abdul
Hamid kerana telah memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menyiapkan kerja kursus ini., begitu
juga dengan rakan-rakan saya yang sudi untuk bertukar tukar pendapat dan idea. Saya telah
diberikan kerja kursus untuk disiapkan iaitu kerja kursus bagi Perkembangan Kanak-Kanak.
Sepanjang melakukan kerja kursus ini, banyak pengalaman dan dugaan yang saya
hadapi untuk menyelesaikan tugasan ini. Namun, berkat dorongan dari pelbagai pihak, dan
semangat yang teguh saya dapat mengharungi segala cabaran dan masalah yang dihadapi.
Saya secara peribadinya telah menimba pelbagai pengalaman, kemahiran dan pengetahuan
yang lebih mendalam mengenai tajuk yang difokuskan iaitu Perkembangan Kanak-Kanak.
Melalui tugasan ini saya dapat mengetahui pelbagai informasi dan maklumat baharu
tentang faktor-faktor yang mempengaruhi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak..
Perkembangan merupakan suatu proses semulajadi terhadap diri manusia. Perkembangan ini
dipengaruhi oleh dua faktor yang menjadikan setiap manusia mempunyai perwatakan dan
personaliti yang berbeza. Dua faktor tersebut adalah faktor baka dan persekitaran.
Akhir sekali, harapan kami adalah agar segala tugasan yang saya hasilkan ini dapat
membuka minda dan hati kami serta menambahkan ilmu pengetahuan kami tentang subjek
Perkembangan Kanak-Kanak ini. Selain itu kami juga mengharapkan agar dengan tugasan yang
kami lakukan ini, kami dapat memupuk diri kami menjadi modal insan kelas pertama di samping
melatih diri kami untuk menjadi bakal pendidik yang bertanggungjawab serta lengkap dari segi
jasmani, emosi, rohani, intelek, dan juga sosial agar kami dapat mendidik anak bangsa kita
menjadi modal insan yang cemerlang. Seterusnya kami berharap, agar tugasan ini dapat
memberi manfaat kepada diri kami sendiri serta kepada pembaca agar sama-sama dapat
menjadi pendidik yang berpengetahuan luas dalam menyampaikan maklumat bukan sahaja
dalam proses pembelajaran di kelas malahan kepada masyarakat setempat khususnya.
20
Senarai Kandungan
Penghargaan..............................................................................................................................................1
Pengenalan................................................................................................................................................2
Tugasan a...................................................................................................................................................3
Pertumbuhan dan perkembangan fizikal diri..........................................................................................4
Perkembangan kognitif diri.......................................................................................................................9
Perkembangan Bahasa..........................................................................................................................11
Perkembangan Sosioemosi...................................................................................................................13
Tugasan b.................................................................................................................................................14
Refleksi.....................................................................................................................................................20
21
Rujukan
Ahmad, M. S. (2006). Psikologi Kanak-Kanak. Selangor: PTS Pendidikan.
Dr. Faridah Nazir, N. M. (2014). Perkembangan Kanak-Kanak. Selangor: PENERBITAN MULTIMEDIA SDN. BHD.
Hill, S. (2011). 101 Senarai Penting Menguruskan Tingkah Laku Dalam Perkembangan Awal Kanak-Kanak. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
Mohamed, J. K. (2005). Pendidikan Khas Untuk Kanak-KanakIstimewa. Pahang: PTS Profesional.
S, A. (2004). The Whole Child Development. The Whole Child Development.
Tassoni, P. (2011). 101 Senarai Penting Untuk Perkembangan Awal Kanak-Kanak. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
22