Download - Adat Resam Kaum Kadazandusun
Adat Resam kaum Kadazandusun
Asal usul makanan
Lazimnya, menurut kepercayaan suku kaum Kadazandusun, padi berasal daripada
isi manusia yang bernama Huminodun. Huminodun ialah seorang gadis jelita anak
kepada Kinoingan. Kinoringan ialah nama Tuhan bagi nenek moyang suka kaum
Kadazandusun.
Kinoringan telah mengorbankan anaknya Huminodun demi mengatasi masalah
kebuluran di dunia. Menurut kepercayaan suku kaum ini, segala jenis bahan
makanan yang utama berasal dari pelbagai bahagian badan Huminodun. Beras dari
isinya yang putih melepak; darahnya yang merah telah bertukar menjadi lada; halia
pula adalah jari jemari Huminodun; bawang 'tagaas' berasal dari rambut Huminodun;
giginya bertukar menjadi jagung; kepalanya pula menjadi kelapa dan sebagainya.
Oleh itu demi menghormati dan mensyukuri pengorbanan Kinoringan dan
Huminodun, nenek moyang suku kaum ini mengadakan upacara-upacara adat
seperti Momohizan dan Humabot.
Upacara Momohizan
Upacara Momohizan ini diadakan pada bulan Ogos atau bulan September
apabila padi selesai dituai. Upacara momohizan diadakan untuk memuja semangat
padi dan memberi makan kepada penjaga semangat padi supaya membantu untuk
menyuburkan padi dan melindungi padi dari sebarang penyakit atau bencana alam.
Upacara momohizan biasanya berlangsung di rumah keluarga suku kaum
Kadazandusun golongan berada. Sementara itu golongan yang kurang berada akan
meminta untuk didoakan bersama ataupun dalam bahasa Kadazandusun
'mikiompit'.
Dua minggu sebelum upacara ini diadakan tuan rumah akan meminta para
penduduk kampung untuk menolongnya menyediakan 'tapai' iaitu sejenis minuman
keras tradisi Kadazandusun. Upacara Momohizan dimulakan pada sebelah malam
iaitu setelah semua jemputan hadir. Beberapa orang Bobohizan (bomoh suku kaum
Kadazandusun) yang berpakaian serba hitam akan berkumpul dan memulakan
upacara ini dengan memanggil 'miontong pomumuon' (penjaga rumah/semangat
padi) Apabila selesai membaca mantera pemanggilan dalam kata lain apabila
semua miontong dan 'tasab' (malaikat padi) sudah dihimpunkan maka Bobohizan
akan menaburkan serbuk ragi (manasad) di atas nasi yang telah dihidangkan di atas
nyiru dan diletakkan di ruang tengah rumah.
Adalah dipercayai bahawa perbuatan manasad dilakukan bersama-sama
dengan miontong. Setelah selesai manasad, nasi yang ditabur dengan ragi itu
kemudian diisi ke dalam sukat (saging) dan diatas nasi itu diletakkan arang (popou),
kemudian mulut sukat ini akan ditutup dengan daud simpur (daingin). Kemudian
Bobohizan akan mengisi beras ke dalam nyiru yang berbentuk segitiga (hihibuh),
ketua Bobohizan akan memungut sedikit beras dari nyiru dan meletakkannya ke
atas gendang.
Sambil membaca mantera, Bobohizan akan mengetuk gendang dan
kemudiannya memakan beras itu, tujuannya ialah untuk menjemput miontong sama-
sama memakan beras tersebut. Selepas itu beberapa orang pelatih Bobohizan yang
terdiri daripada sumandak (gadis-gadis sunti) akan berkumpul dan memukul
gendang sambil menyanyi dan membaca mantera 'tumingak' dan diikuti dengan
mantera 'sumava'. Seiringan dengan itu Bobohizan akan membungkus nasi dengan
daun simpur. Nasi yang dibungkus ini kemudiannya dipungut sedikit-sedikit lalu diisi
ke dalam tempayan kecil. Tempayan ini kemudiannya diletakkan di atas batang
bambu yang tingginya kira-kira tiga kaki dan hujung bambu itu diletak untuk
tempayan itu diletakkan. Batang bambu ini diikat pada tiang rumah dengan
menggunakan tali kyang diperbuat daripada kelapa (hisad).
Setelah itu Bobohizan akan menjemput 'miontong' untuk minum tapai
(moginum) bersama-sama. Setelah itu bobohizan akan bersedia untuk menjemput
dewata dari kayangan untuk turut serta makan minum dan memohon kepada
mereka untuk menjaga dan melindungi padi serta keluarga suku kaum
Kadazandusun.
Pelatih Bobohizan akan membaca mentara'mingau' dan diikuti dengan
mentera 'kumodong sakazan' ini ialah untuk memanggil semangat kenderaan yang
menurut mereka berbentuk perahu dan akan belayar terapung-rapung di udara. Para
Bobohizan akan menutup muka mereka dengan kain sambil membaca mantera
'modsuut/soikung' iaitu memanggil roh-roh kayangan. Para Bobohizan ini akan
menentukan arah tujuan masing-masing, biasanya dua orang Bobohizan akan
belayar ke kayangan (minsavat).
Acara 'modsuut' ini diiringi dengan paluan gong tanpa henti dan Bobohizan
pula membaca mantera dan mengoncang-goncangkan alat bunyian mereka yang
diperbuat serpihan-serpihan besi disangkutkan pada serpihan tulang rusuk manusia
yang dipercayai diturunkan oleh nenek moyang mereka yang merupakan pahlawan
peperangan (misasangod). Alat bunyian ini dipanggil 'sindayang'.
Antara bahan makanan yang dihidang di tengah rumah sebagai jamuan
'mintong' ialah nasi, tapai, jeruk ikan (nosom) yang digaul dengan halia dan padi
(santadang paai). 'Modsuut' memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang dari
jam 1.00 tengah malam hingga jam 5.00 subuh. Apabila roh Bobohizan itu sudah
turun ke bumi dengan roh-roh kayangan, maka Bobohizan akan berehat sebentar,
samada mereka akan tidur atau makan.
Semasa Bobohizan berehat, para jemputan akan menarikan tarian tradisional
Kadazandusun iaitu sumazau. Di sebelah pagi pula iaitu lebih kurang jam 6.00 pagi
Bobohizan akan memalu gendang sambil membaca mantera 'mihung', 'painsan',
'monduvazan dan Bobohizan akan menyanyikan mantera 'momosik' tompuvan'
(mengejutkan pari-pari yang menjaga rumah).
Seterusnya Bobohizan akan menarik sehelai bulu dari seekor ayam yang
telah disediakan sebagai korban. Korban biasanya ialah seekor ayam dengan
seekor babi. Jantina korban mestilah bertentangan misalannya ayam jantan dengan
babi betina dan sebaliknya. Sehelai bulu ayam tadi akan diikat pada hisad dan ianya
akan dikuis pada tuan rumah dan para tetamu.
Ini ialah untuk melindungi mereka daripada serangan penyakit agar mereka
akan sentiasa sihat dalam mengerjakan sawah padi masing-masing. Setelah itu
tetamu akan dijamu dengan makanan yang telah disediakan seperti nasi, tapai,
daging ayam, daging babi dan sebagainya. Setelah Bobohizan menjamu selera,
mereka akan turun ke bawah rumah dan membawa korban itu bersama-sama
mereka. Bobohizan akan membaca mantera sambil memegang ayam korban dan
sumazau.
Selepas membaca mantera, ayam akan disembelih dengan menusuk kepala
ayam itu dengan benda tajam, kadangkala Bobohizan akan menggunakan klip
rambut yang besar(titimbok). Setelah ayam itu mati, bulunya akan dibakar sehingga
terhidu baunya. Ertinya ayam itu kini telahpun dikorbankan kepada miontong.
Seterusnya Bobohizan akan memanggil 'miontong' untuk minum tapai iaitu dengan
menuangkan sedikit tapai ke tanah.
Setelah itu Bobohizan akan memotong, rumput dengqn parang dan membaca
mantera 'manau' untuk meminta dewata pulang ke kayangan. Kemudiannya korban-
korban itu akan dibawa naik semula ke rumah. Semasa para Bobohizan naik ke
rumah, salah seorang tuan rumah akan merenjiskan air kepada Bobohizan sebagai
membersihkan Bobohizan yang telah turun ke tanah. Bobohizan pula akan
menyanyikan mantera 'sumamboi'.
Bobohizan akan berehat seketika, kemudian acara 'magampah' akan
diadakan dimana tetamu dan ahli keluarga tuan rumah terutamanya kanak-kanak
akan duduk berkumpulan pada suatu tempat (lazimnya ditengah ruang tamu) lalu
ditutup dengan kain yang besar sambil Bobohizan menari-nari mengelilingi mereka
dengan membaca mantera dan memukul dua bilah parang (tandus atau ilang) di
atas kain yang menutuoi kumpulan itu untuk menghalau penyakit.
Bobohizan yang lainnya juga akan menari-nari mengelilingi kumpulan ini
dengan menguis kain penutup dengan batang Lengkuas (tumbu) dan ohok (bunga).
Apabila mantera selesai dibaca, Bobohizan akan mengangkat kain penutup dan
mereka yang ditutup oleh kain itu akan bertempiaran lari kononya untuk
meninggalkan penyakit ditempat mereka berekumpul tadi.
Setelah itu Bobohizan dan para tetamu akan para tetamu akan sumazau.
Selepas jamuan tengah hari, Bobohizan akan membaca mantera 'papasazau
miontong' ini ialah untuk menjemput roh-roh penjaga rumah/padi berpesta menari
sumazau bersama-sama. Sambil sumazau, Bobohizan akan memotong batang
bambu (binabat) yang telah disediakan, kemudian disangkut pada dinding rumah.
Hisad juga akan dihiris-hiris oleh Bobohizan. Hisad yang jatuh ke lantai
akandipungut dan ditabur diatas padi yang dipersembahkan sebagai korban kepada
'miontong'. Selepas itu Bobohizan akan berehat dan pada waktu inilah korban-
korban seperti daging babi dan ayam dibersihkan dan dibahagi-bahagikan. Bahagian
usus korban ini akan dibawa oleh Bobohizan ke sungai untuk dibersihkan. Upacara
ini dinamakan 'humanau', ini juga bertujuan untuk memberi makan kepada
miontong .
Setelah itu kesemua Bobohizan akan mandi, membersihkan diri mereka.
Semasa perjalanan kembali ke rumah tempat momohizan itu diadakan, Bobohizan
dilarang untuk menoleh ke belakang atau tersadung kaki semasa berjalan. Upacara
momohizan ini diadakan selama dua malam dan setengah hari. Malam keduanya
Bobohizan akan membaca mantera 'modsuut' lagi tapi dengan roh penjaga
rumah/padi saja.
Di sebelah pagi hari kedua, bahan korban akan dibahagi-bahagikan kepada
para Bobohizan sebagai sogit dan selepas itu mereka akan dijamu dengan makanan
dan minuman tapai, ketika inilah para tetamu dan Bobohizan akan berbalas pantun
(kizat) atau syair (hius) dan acara ini sememangnya merupakan acara untuk
berhibur yang di selangi dengan gelak ketawa dan usik mengusik. Setelah selesai
makan, Bobohizan akan pulang ke rumah masing-masing dengan berbekalkan sogit
(huus).
Humabot
Upacara Humabot ialah adat suku kaum Kadazandusun yang diamalkan oleh nenek
moyang suku kaum ini apabila mendirikan rumah baru. Sebuah keluarga suku kaum
ini yang akan mendirikan rumah akan meminta Bobohizan untuk menjampi tanah
tapak rumah itu didirikan.
Bobohizan memasukkan benda-benda seperti garam, butang baju dan kayu sapad
ke liang tanah tempat tiang dipacakkan. Selepas itu Bobohizan akan merenjis air
disekitar kawasan tapak rumah sambil membaca mantera, ini bertujuan untuk
menghalau roh-roh jahat yang berkeliaran di tapak rumah tersebut yang dipercayai
akan mendatangkan malapetaka ataupun dalam bahasa kadazandusun 'kopizo'
Tiang akan dipacakkan jika tuan rumah termimpi baik, tetapi jika sebaliknya, maka
tapak tiang akan dialihkan sedikit dari tapak asal.
Apabila rumah sudah didirikan, Bobohizan akan dipanggil lagi dan kali ini upacara
'momodu' atau memandikan rumah akan dijalankan. Bobohizan akan membaca
mantera sambil kaum lelaki akan menyalakan apai pada bambu yang hujungnya
dibungkus dengan getah (sikalap) dan membawa obor ini mengililingi rangka-rangka
atap rumah sambil bertempik sorak atau 'memangkis'. Ini bertujuan untuk
menghalau roh-roh jahat pembawa malapetaka.
Upacara ini biasanya disambut dengan keramaian dan para jemputan akan
dihidangkan dengan jamuan. Tuan rumah juga akan memjemput ketua keluarga
yang mempunyai ramai anak yang semua masih 'hidup', ke rumahnya dan meminta
ketua keluarga itu baring sebentar pada alas tidur tuan rumah. Ini dipercayai
bertujuan untuk menjemput rezeki yang berpanjangan kepada keluarga tuan rumah
itu.
Sebulan selepas tuan rumah tinggal di rumah itu maka upacara 'momohontog sisit'
iaitu upacara menghormati tiang rumah akan diadakan ianya merupakan acara
keramaian seperti magagung, sumazau dan makan besar. Setahun selepas tuan
rumah tinggal di rumah baru itu, upacara magavau akan diadakan untuk memuja
semangat rumah.
Seminggu selepas magavau diadakan upacara Humabot pula menyusul, upacara ini
juga adalah upacara menghormati rumah dan ianya disambut dengan meriah sekali.
Tapai akan disediakan untuk menjamu jemputan yang datang.
Dalam upacara itu Bobohizan akan menjampi nasi untuk membuat tapai kemudian
meletakkanya diatas daun simpur. Air perahan nasi tapai itu akan diminum dan
nasinya pula dilontarkan ke dalam ketawai besar (bekas menyimpan padi), ini
adalah untuk memberi makan kepada semangat padi 'bambazon' makan. Kaum
lelaki juga akan melontarkan nasi tapai pada daun simpur itu ke dalam ketawai
sambil bertempik sorak (memangkis) .
Acara ini berterusan sehingga kesemua nas tapai yang diletakkan atas daun simpur
itu habis. Upacara Humabot diadakan setiap selang satu tahun selepas ia diadakan
dan lima tahun selepas rumah itu dihumi. Upacara ini juga merupakan upacara
keramaian iaitu makan besar dimana seekor kerbau akan ditumbangkan sebagai
sogit (korban).
Nenek moyang suku kaum ini mempercayai bahawa sekiranya upacara-upacara
menghormati rumah baru ini tidak dilakukan maka malapetaka pasti akan menimpa
keluarga yang tinggal dirumah baru itu, penyakit akan berleluasa, perkara-perkara
ganjil dan mengerikan akan terjadi dirumah itu seperti beratus-ratus ekor tabuan
(potizukon) akan mengelilingi rumah atau biawak akan tiba-tiba muncul dirumah
baru itu.
Tarian Sumazau
Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di
Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum
Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian Sumazau
yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan
menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan
mengubati penyakit. Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan
lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadapan dan mereka
menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan
diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar,
gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa
menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan.Pesta Kaamatan (Menuai)
disambut oleh Kadazandusun sebagai meraikan tuaian baik dan disambut oleh
semua kaum lain Sabah.