dimana kebahagiaan

Upload: azmibhr

Post on 01-Mar-2016

224 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Nilai kehidupan

TRANSCRIPT

Dimana Kebahagiaan?Wednesday, 29. October 2008, 09:09:38Pembangunan dalam kehidupan manusia keseluruhannya telah melalui fasa demi fasa, jauh meninggalkan zaman yang serba kekurangan dan sukar.Bermula dengan berjalan kaki, manusia mula menunggang haiwan seperti lembu kuda dan sebagainya. Kita kemudiannya mula mereka cipta kenderaan, bermula dengan rakit yang mengambil manfaat secara langsung dari alam, kemudiannya manusia mula bertukang dan menghasilkan sampan, perahu, kapal hingga akhirnya teknologi pengangkutan ini jauh meninggalkan kehidupan awal manusia, kita mula bergerak merentasi ruang udara dan laut.Kalau dulu untuk perjalanan dari bandar ke bandar mengambil masa berhari hari, kini hanya beberapa jam atau mungkin minit kita sudah sampai ke destinasinya.Rumah kediaman kita juga sudah terlalu moden dan serba canggih. Daripada rupa bentuk rumah hinggalah keperkakasan dan peralatannya, segalanya sudah terlalu jauh meninggalkan masa lalu.Bukankah sepatutnya manusia hari ini lebih berbahagia dari zaman yang telah kita tinggalkan?Bukankah ketenangan dan kepuasan itu seharusnya menjadi milik kita?Tetapi kenapa pula suasana hari ini berlawanan dari hakikat ini; lahirnya pemuda-pemuda dengan jiwa yang kosong....berempit sampai mati, pil kuda, estacia, pelacuran dan penzinaan terang-terangan dan sebagainya. Institusi rumahtangga atau keluarga yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan dan lembayung kasih sayang kini bertukar menjadi penjara dan tempat penyiksaan jiwa.....tidak ada lagi kebahagiaan berkeluarga. Dimana pula masyarakatnya? Kalau dulu satu kampung penduduknya bergotong royong, bergilir-gilir bercucuk tanam; hari ini semua di kebun pak Mat esok pula di kebun pak Husin dan seterusnya. Bahkan rumahpun diusung beramai-ramai (mungkin hari ini dah tak pernah dengar) tetapi hari ini apa dah jadi? Sebuah lori tiba-tiba datang dan angkut segala isi rumah hingga kosong tetapi jirannya tak ambil kisah....bukan sengaja biarkan perompak, penyamun dan lanun terus berleluasa tetapi sudah tidak kenal mana satu tuan rumah mana satu pula jiran tetangga. Kesibukan menjadikan jarak rumah ke rumah terlalu jauh.Dimana silapnya?Kenapa kebahagiaan semakin menjauhkan diri?Kenapa kekosongan jiwa dan kasih sayang mula mewarnai liku-liku hidup kita?Kenapa kebahagiaan tidak lagi menjadi milik kita?

Bukankah manusia itu tidak hanya fizikalnya. Bukankah manusia itu memiliki jiwa untuk diisi dengan keimanan dan taqwa....keimanan yang akan menjadikan jiwa kita kuat dan kental, keimanan yang akan menjadikan jiwa kita pasrah dan sabar, keimanan yang akan membangkitkan keazaman dan ketinggian jiwa?Setiap pagi kita bangun lalu kita mandi untuk bersihkan tubuh badan kita, kitapun berdiri di depan cermin meneliti raut wajah kita dan kitapun tanpa jemu mula kemaskan diri kita agar nampak cantik atau tampan bergaya, tetapi berapa kali kita bangun pagi untuk bersihkan hati kita, bermunajat agar dibersihkan noda dosa pada hati kita? Berapa kali kita meneliti hati kita didepan cermin keimanan agar kita dapat melihat kecacatan jiwa kita dan berapa kali kita hiaskan jiwa kita dan kemaskan akhlaqnya?Kita sentiasa sibuk dengan HP kita untuk berinteraksi dengan teman dan rakan seperniagaan tetapi berapa kali kita sibuk menghubungkan hati kita dengan Allah SWT. Bahkan ibadah yang menjadi medan komunikasi hati kita dengan Allah SWT pun sudah menjadi rutin dan kehilangan ruhnya.Sekarang cuba kita lihat jauh ke dalam diri kita tidakkah kita lihat satu lembah yang kotor dan menjijikkan. Tidakkah kita melihat satu lembaga yang kurus kering tidak bermaya kerana tidak diberi makan, tubuhnya kotor kerana sering kita lupa untuk bersihkannya, tubuhnya sakit-sakit kerana tidak dirawat?Bukankah di lembah itulah tempat tumbuhnya ketenangan dan kebahagiaan, bukankah lembaga yang setengah mati itulah yang sepatutnya mengajar kita erti pasrah dan kesabaran, erti sujud dan syukur. Bukankah lembaga yang serba lemah tidak bermaya itu yang seharusnya mengajar kita erti kemuliaan dan ketinggian jiwa serta mengajar kita erti lapang dada dan kecukupan.Sekarang cuba kita tanyakan lagi pada diri kita:Kenapa kita tidak bahagia?Kenapa jiwa kita sempit dan menderita?Kenapa kita kecewa dan putus harapan?Kenapa jiwa kita kosong dan hampa?Tentunya sekarang kita sudah tahu jawapannya tetapi mengetahui jawapannya sahaja tidak akan menyelesaikan masalah dan membahagiakan jiwa kita. Kita perlu menyemai kembali benih keimanan, kita perlu suburkannya dengan cinta dan pengorbanan, kita perlu siramkannya dengan ilmu dan fikrah yang benar, kita perlu cabut rumput-rumput keraguan bersama tunas-tunas dosa yang menjalar dan berduri. Kita perlu teduhkannya dengan murobbi, bajainya dengan pesanan dan pengalaman dan kita perlu terus menjaganya tanpa lalai dan jemu sebagaimana kita tidak pernah jemu dengan akhbar yang kita baca saban hari, sebagaimana pakaian kita yang sentiasa kita sterika setiap pagi. Kita perlu terus menelitinya sebagaimana kita meneliti wajah kita dicermin yang entah berapa kali setiap hari.