contoh report tanah gambut

Upload: amyamirulali

Post on 06-Jan-2016

40 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

contoh report tanah gambut

TRANSCRIPT

BAB I

34

BAB I

PENGENALAN

1.1 Pengenalan

Tanah gambut meliputi 13% atau 16,500 km2 daripada kawasan di Sarawak dan merupakan kawasan tanah gambut yang paling luas di Malaysia. 90% daripada kawasan tersebut mempunyai ketebalan tanah gambut melebihi 1m (Huat dan Bahia, 1997). Kawasan tersebut ditunjukkan dalam Rajah 1.1. Kebanyakan daripada tanah gambut ini ditemui di kawasan tanah rendah di persisiran pantai Sarawak. Tanah gambut juga terdapat di kawasan-kawasan lembah di pedalaman di mana sistem salirannya tidak begitu baik. Sealiran dengan pembangunan yang sangat pesat, kawasan-kawasan ini mula diterokai dan dibangunkan. Oleh itu para jurutera harus berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk berhadapan dengan pelbagai masalah dan mencari penyelesaian untuk mengatasi masalah-masalah di kawasan tersebut. Mendapan seringkali menjadi suatu masalah yang sukar diatasi malah sudah menjadi suatu fenomena yang biasa dilihat di jalan raya yang dibina di kawasan tanah gambut. Pelbagai pendekatan sedang dan telah diambil dan para jurutera telah mengambil pelbagai langkah yang sepatutnya untuk mempastikan sesuatu projek itu dapat dilaksanakan dalam kos yang seminimum mungkin.

Rajah 1.1 : Peta Taburan Kawasan Tanah Gambut di Sarawak (Geological Survey Malaysia, Sarawak)

Kes-kes seperti mendapan menjadi suatu masalah yang tidak boleh dielakkan lebih-lebih lagi jika sesuatu lokasi atau seksyen dalam lokasi pembinaan tersebut mengalami mendapan yang sangat serius. Ada projek yang mengalami mendapan disebabkan kajian tapak dijalankan dengan tidak terperinci. Ini disebabkan pelbagai faktor yang mana antaranya adalah pihak yang menjalankan penyiasatan tersebut mungkin mengabaikan lokasi tersebut ataupun hanya membuat andaian dengan merujuk kepada lokasi terdekat. 1.2Kenyataan Masalah

Sehingga kini, belum ada penyelesaian atau kaedah yang khusus yang ditemui untuk mengatasi masalah mendapan di kawasan tanah gambut. Ini menyebabkan kerajaan terpaksa memperuntukkan kos yang banyak untuk melaksanakan projek-projek pembinaan jalan raya di kawasan berkenaan. Perhatian yang khusus diperlukan dari awal peringkat pembinaan sehingga kepada jalan tersebut siap dan diserahkan kepada kerajaan selaku pemilik yang akan mengambil alih tugas menyelenggara jalan tersebut apabila tempoh penyelenggaraan oleh pihak kontraktor tamat.

Sifat tanah gambut yang lembut, gembur dan terdiri daripada kandungan bahan organik yang tinggi serta bersifat daya riceh yang sangat rendah menyukarkan proses pemadatan dijalankan. Sebaik-baiknya, kawasan seperti ini dielakkan untuk tujuan pembinaan. Dari segi pertanian pula, kawasan tersebut sesuai untuk beberapa jenis tanaman seperti nenas, kelapa dan limau seperti mana kegiatan pertanian yang sekarang ini sedang giat diusahakan oleh para penduduk tempatan di sekitar daerah Sebangan dan Sebuyau. Justeru itu, kerajaan begitu prihatin dan berusaha untuk menghubungkan kawasan tersebut dengan menyediakan infrastruktur yang sebaik mungkin seperti pembinaan jalan raya supaya hasil pertanian dapat dibawa keluar dan dipasarkan di bandar.

Satu projek yang sedang giat dilaksanakan di daerah kecil Sebangan/Sebuyau sekarang ialah Jalan Kelait/Entangor (PWDKS/HO/B074/2002) sepanjang 10 km yang melalui kawasan tanah gambut dengan ketebalan lapisan tanah gambut mencapai sehingga empat ke enam meter dengan kos pembinaan sebanyak RM11 juta. Pelan lokasi projek berkenaan ditunjukkan dalam Rajah 1.2.

Rajah 1.2 : Pelan Lokasi Projek Jalan Kelait/Entangor Fasa 1

Berbanding pembinaan jalan di tanah laterit, contohnya pembinaan menaiktaraf jalan Kuching/Serian (PWD/HO/B099/2001) sepanjang 60 km daripada dua lorong kepada empat lorong dengan kos sebanyak RM160 juta, adalah didapati bahawa kos pembinaan jalan di kawasan tanah gambut lebih tinggi kerana beberapa faktor seperti:

(i) bahan pembinaan dari luar seperti pasir terpaksa dibawa ke kawasan pembinaan untuk menggantikan bahan yang tidak sesuai;

(ii) kos penghantaran bahan dan peralatan jentera yang tinggi kerana satu-satunya jalan yang ada adalah melalui laut;

(iii) teknologi pembinaan seperti penggunaan bahan geotekstil;

(iv) pemasangan alat-alat untuk memantau kadar mendapan yang sukar dijangka; dan

(v) kejadian banjir disebabkan sistem perparitan tersumbat.

1.3Matlamat dan Objektif Kajian

Matlamat kajian adalah untuk mengenalpasti kadar mendapan yang berlaku ke atas bahan tambak di atas tanah gambut yang mempunyai ketebalan yang berbeza-beza sehingga mencapai tiga meter. Kontraktor menggunakan pasir sungai sebagai bahan tambak dalam pembinaan sebagai menggantikan tanah gambut yang dikorek dan dialihkan dari tapak pembinaan. Beban surcaj iaitu pasir sungai dikenakan sebagai beban untuk mendapatkan peratus pengukuhan yang secukupnya terhadap tapak binaan. Ianya juga bertujuan supaya mendapan selepas pembinaan (post construction settlement) dapat dikurangkan. Objektif kajian adalah:

(i)mengenalpasti keadaan tanah di tapak;

(ii)mendapatkan nilai mendapan yang berlaku semasa surcaj dikenakan; dan

(iii)mendapatkan hubungan di antara nilai mendapan dan ketebalan tanah gambut.

1.4Skop Kajian

Skop kajian ini hanya akan merangkumi jalan utama sepanjang 1.725 km yang mana merupakan sebahagian pakej pertama dalam projek berkenaan. Seksyen ini pada asalnya merupakan benteng (bund) yang dibina oleh Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengawal kemasukan air dari laut ke kawasan sekitar. Bahan tambak yang akan digunakan untuk pembinaan jalan tersebut ialah pasir sungai. Jalan utama ini sangat penting kerana ia akan menghubungkan jalan utama dalam pembinaan jalan pakej dua yang mana akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Banyak kenderaan pembinaan akan menggunakan jalan tersebut semasa projek pembinaan pakej dua dilaksanakan.

Ini akan menyumbang kepada faktor seperti mendapan dan seterusnya kerosakan kepada jalan utama berkenaan. Memandangkan ketebalan tanah gambut di kawasan pembinaan berbeza-beza, beban surcaj akan dikenakan dalam pembinaan jalan tersebut. Ini bertujuan supaya tapak mencapai pengukuhan yang secukupnya sehingga mencapai tahap masa rehat (rest period). Untuk kajian ini, surcaj akan dikenakan selama enam bulan ke atas jalan utama supaya tapak mencapai peratus pengukuhan yang memadai. Ini juga dijangka akan mengurangkan mendapan ke atas jalan yang sudah siap dibina.

1.5Kepentingan Kajian

Jalan yang dibina di kawasan tanah gambut memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Oleh itu selaku pemilik, kerajaan telah menetapkan tempoh penyelenggaraan selama dua puluh empat bulan kepada pihak kontraktor selepas projek tersebut disahkan siap sepenuhnya untuk memperbaiki apa-apa kecacatan yang timbul sebelum projek tersebut diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan. Sebagai langkah mengurangkan kos penyelenggaran, kerajaan juga menetapkan dalam spesifikasi kerja dan dokumen kontrak bahawa kontraktor harus mematuhi spesifikasi kerja yang betul supaya kerajaan tidak akan menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi di masa akan datang akibat kualiti kerja yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Untuk itu, peringkat awal pembinaan sangat penting dan memerlukan penyeliaan yang ketat terutama sekali pemantauan terhadap kesan mendapan yang timbul yang pastinya akan melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi. Dari segi kos pembinaan, kerajaan boleh menjimatkan kos dengan menggunakan kaedah pembinaan dan bahan yang sesuai untuk membangunkan kawasan yang melibatkan kawasan bertanah gambut.

Dengan perlaksanaan pembinaan jalan dibawah pakej dua dalam masa terdekat ini, adalah dipercayai bahawa banyak aktiviti akan menggunakan laluan ini. Jentera-jentera berat akan menggunakan jalan ini untuk mengangkut bahan-bahan binaan. Oleh itu, jalan ini akan mudah terdedah kepada kerosakan.

Dari segi sumbangan, adalah diharapkan melalui kajian ini kerja-kerja penyelenggaraan akan dapat dirancang dengan mengenalpasti perkara-perkara berikut:-

(i) seksyen jalan yang mengalami mendapan yang kritikal atau yang memerlukan perhatian dari semasa ke semasa;

(ii) kaedah baikpulih yang sesuai;

(iii) kos yang diperlukan; dan

(iv) tempoh untuk melaksanakan kerja-kerja baikpulih.

Jalan Utama (1.725 Km)

Jalan Sekunder

(7.835 Km)