bahasa melayu menyatupadukan kaum di malaysia

24
Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum di Malaysia Bahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa, berbilang agama dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Berdasarkan konteks negara kita, bahasa Malaysia telah membuktikan kemampuannya dalam menyatukan seluruh bangsa yang ada di negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Bahasa Melayu merupakan lambang jati diri, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu juga menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahasa ini menampakkan penggunaannya dalam pelbagai perisian dan kesantunan. Selain itu, bahasa Melayu menggambarkan bangsa yang berkuasa

Upload: nurul-shamira

Post on 13-Feb-2015

317 views

Category:

Documents


15 download

DESCRIPTION

bahasa melayu

TRANSCRIPT

Page 1: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum di Malaysia

Bahasa memainkan peranan yang penting dalam

masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa,

berbilang agama dan mengamalkan cara hidup yang berlainan.

Berdasarkan konteks negara kita, bahasa Malaysia telah

membuktikan kemampuannya dalam menyatukan seluruh

bangsa yang ada di negara ini sejak negara mencapai

kemerdekaan pada tahun 1957. 

Bahasa Melayu merupakan lambang jati diri, bahasa perpaduan

dan bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu juga

menjadi bahasa yang cemerlang dalam pembinaan negara

bangsa Malaysia. Bahasa ini menampakkan penggunaannya

dalam pelbagai perisian dan kesantunan. Selain itu, bahasa

Melayu menggambarkan bangsa yang berkuasa serta wahana

politik dalam menentukan kualiti penggunaan bahasa negara

bangsanya. Oleh sebab itu, bahasa Melayu mampu menyatukan

seluruh bangsa di Malaysia. 

Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Dato Seri Najib Tun

Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia adalah amat bermakna

Page 2: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

untuk semua kaum. Perbezaan bahasa bukan lagi penghalang ke

arah usaha murni kerajaan ini kerana kita adalah satu bangsa,

satu bahasa dalam Gagasan 1 Malaysia. Isu-Isu Bahasa Melayu

Sebagai Wadah Penyatuan Bangsa Cetusan idea Perdana

Menteri Malaysia melalui Gagasan 1 Malaysia adalah ingin

membentuk satu identiti masyarakat Malaysia melalui budaya

dan aspek terpenting untuk membentuk satu budaya ialah

melalui satu bahasa dan satu suara.

  

Esei

Bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai asas

pembinaan negara. Sesungguhnya Perkara 152 Perlembagaan

Persekutuan telah mengiktiraf dan mengisytiharkan bahasa

Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara.

Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan sangat

memerlukan satu bahasa sebagai panduan. Bahasa ini pula boleh

difahami oleh setiap kaum. Oleh yang demikian, dengan

termaktubnya Perkara 152 mendapati negara mempunyai asas

yang kukuh untuk membina sebuah negara.

Page 3: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

Setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Contohnya

Negara Jepun dengan bahasa Jepunnya, Negara Jerman dengan

bahasa Jermannya dan Negara Perancis dengan bahasa

Perancisnya. Hal ini kerana bahasa mempunyai lambang. Begitu

juga bahasa Melayu mempunyai lambang jati diri iaitu sebagai

bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu. Hasrat

ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara

152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara

ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri

warganegara Malaysia. Oleh hal demikian, Bahasa Melayu

memainkan peranan sebagai lambang Negara Malysia di persada

dunia. Dengan hal demikian, bahasa Melayu berperanan sebagai

perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud

kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam

Wawasan 2020.

Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan

mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus

daripada keseluruhan warganegara di Malaysia. Kaum utama

yang lain ialah kaum Cina dan India. Bahasa Melayu telah

dipilih kerana majoriti jumlah penduduknya di negara ini.

Page 4: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

Bahasa ini wajib diketahui oleh setiap kaum kerana bahasa ini

menjadi bahasa utama dalam konteks hubungan antara kaum.

Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa

kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak

dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata

itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk

meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan anatara

penduduk yang berbilang kaum.

Bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa

pengantar ilmu pengetahuan. Perkara ini terkandung dalam

Laporan Razak pada tahun 1957 dan 1961 setelah melaksanakan

syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penyemak Rahman

Talib yang seterusnya menghasilkan Laporan Rahman Talib.

Laporan ini bertujuan untuk memungkinkan bahasa Melayu

digunakan sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa itu

diberi tempat sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan agar

dapat berkembang menjadi bahasa yang moden dan mampu

menjadi asas pembinaan negara bangsa yang maju dan

berdaulat. Demi memupuk perpaduan kaum di negara ini, maka

dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan bahawa, tujuan akhir

Page 5: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid

yang berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan

kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai

bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah ini

hendaklah dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat dan

tidak boleh dipaksa secara mendadak. Berdasarkan Laporan

Razak jelas bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan dapat

membentuk perpaduan kaum di negara ini. 

Bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya

pendemokrasian pendidikan sebagai bahasa ilmu. Buktinya,

sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam

bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosio-ekonomi

dan pengasingan etnik serta keeksklusifan bahasa penghantar

ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris. Jutaan

lepasan sekolah aliran kebangsaan telah terhasil dan merekalah

yang menjadi tonggak pembangunan negara dalam pelbagai

bidang.

Meskipun pada tahap pengajian tinggi, khususnya yang

melanjutkan pengajian di luar negara, memperoleh ilmu dalam

bahasa asing, kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah

Page 6: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

bahawa sehingga peringkat menengah atas sekurang-kurangnya,

iaitu peringkat yang memberikan ilmu dan kemahiran asas

kepada pelajar, pendidikan disampaikan dalam bahasa

kebangsaan. Tuntasnya, bahasa Malaysia telah membuktikan

keberkesanannya sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi

jambatan menghubungkan pelbagai etnik di negara ini, bahasa

peringkat tinggi di universiti dan mampu pula dikuasai oleh

pelbagai pemimpin politik sungguhpun mereka datang daripada

pelbagai kepentingan yang berteraskan kaum masing-masing.

Bahasa Melayu berperanan untuk menjadi bahasa yang

cemerlang dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Bahkan

semua bahasa di dunia ini mempunyai hak tersebut. Pengguna

bahasa yang mahu melihat bahasa kebangsaan mereka berfungsi

dengan cemerlang selaras dengan perkembangan bangsanya

mestilah berusaha menjadikan bahasanya lebih baik dan

dihormati daripada bahasa yang ‘dipinjam’ semata-mata untuk

menunjukkkan status penutur, dan bukannya untuk

menyerlahkan kegemilangan bangsa penutur itu sendiri. Oleh

hal demikian, penduduk di negara bangsa Malaysia ini perlulah

Page 7: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

dengan penuh keyakinan apabila mengunakan bahasa Melayu

untuk memartabatkan bahasa ini di persada antarabangsa. 

Bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa kebangsaan

yang mencerminkan pengunaannya dalam pelbagai perisiannya

dan kesantunanya. Tingkat ilmu dan tingkat keperisian itu dapat

diukur melalui laras bahasanya manakala nilai estetika

keluwesan bahasa ini menjadi pengukur kesantunannya. Bahasa

Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan

ciri-ciri ketimuran, seperti lemah lembut, beradab, dan berbudi

bahasa. Oleh sebab itu, bangsa Malaysia harus menggunakan

bahasa Melayu yang baku dan yang mempunyai nilai estetika

dan nilai kesantunan.

Bahasa Melayu sebgai bahasa kebangsaan berperanan

sebagai wahana politik dalam menentukan kualiti penggunaan

bahasa negara bangsanya. Bahasa yang dapat membina negara,

bangsanya seharusnya dapat juga melahirkan pengguna bahasa

yang berkualiti, berkuasa dan berketerampilan. Maka, lebih

banyak kumpulan penutur yang berkuasa dalam penggunaan

bahasa Melayu perlu dipupuk. Mereka ialah yang terdiri

Page 8: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

daripada ahli politik, ahli korporat, golongan professional,

pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pelajar

sekolah, dan alimasyarakat. Kehadiran kumpulan ini dapat

mengembangkan bahasa itu dengan terancang, meliputi pelbagai

bidang. Contohnya, jika ahli politik dan ahli profesional

mempunyai daya ungkapan yang tinggi dan bermutu melalui

bahasa Melayu, bahasa itu akan dilihat sebagai berkuasa dalam

arenanya.

Bahasa yang berkuasa menggambarkan bangsa yang

berkuasa. Ungkapan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ menunjukkan

bahawa sesuatu bahasa itu dapat maju jika bangsa itu pun maju.

Namun begitu, untuk mengetengahkan bahasa Melayu, bahasa

lain tidak perlu ditolak. Dalam eraglobalisasi, pengetahuan

tantang bahasa lain amat perlu dan tidak merugikan bangsa.

Bangsa itu akan maju dengan mempelajari ilmu pengetahuan

daripada bahasa lain, lalu disebarkan ilmu kepada bangsanya

melalui pengetahuan yang sudah dialih ke dalam bahasa Melayu

melalui usaha penerbitan bahan bacaan.

Page 9: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

Sejarah membuktikan bahawa perpaduan amatlah sukar

dicapai oleh masyarakat pelbagai bangsa dan etnik tetapi bukan

mustahil.  Laporan Razak (1956)  meletakkan asas bagi

perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan

melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, bahasa

Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum

kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang

sama bagi semua sekolah. Sebaik mencapai kemerdekaan, usaha

ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran

kebangsaan. Sehubungan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal

berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang

mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan

Kebangsaan. Perakuan Laporan Razak dikaji semula oleh

Jawatankuasa Rahman Talib pada tahun 1960. Laporan

jawatankuasa ini menjadi asas kepada penggubalan Akta

Pelajaran 1961 yang menggariskan bahasa Melayu sebagai

bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta

penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua

pelajar.

Page 10: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik

selepas merdeka ialah mencari formula untuk melahirkan satu

masyarakat Malaysia yang bersatupadu, yakni masyarakat

majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan

kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta

mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai

rakyat Malaysia. Bahasa digunakan untuk membangkitkan

kesedaran bahawa bahasa penting sebagai pembentuk kesatuan

politik yang disebut `negara' atau negara bangsa. Satu cara yang

penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara

ialah menerusi pendidikan. Berdasarkan konteks Malaysia,

hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam

membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari. Cara

paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang

kaum di Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa

kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan

persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat

diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini

mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum

di negara ini.

Page 11: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

Bahasa Melayu boleh berfungsi sebagai bahasa perpaduan

merupakan senjata paling ampuh dalam menyatukan bangsa di

Malaysia. Perpaduan atau solidariti dapat ditafsirkan sebagai

satu proses yang menyatupadukan rakyat dan seluruh

masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat

membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta

dan bangga akan tanah air. Perpaduan juga merupakan

penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan dan perihal

berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya.

Oleh itu, dapatlah diertikan bahawa bahasa Melayu sebagai

bahasa perpaduan ialah bahasa yang menjadi lambang

penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan di

dalam lingkungan satu kelompok manusia yang berfungsi

sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dalam

sesebuah negara.

Penyata Razak telah digazetkan dan diluluskan menjadi

Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan

semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama

manakala bahasa Melayu pula digunakan sebagai bahasa

pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan

Page 12: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

kebangsaan dan menjadi wahana berkesan untuk komunikasi

pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau

bahasa. Penyatuan bangsa di Malaysia sudah pastinya dapat

diwujudkan melalui pembentukan jati diri bangsa Malaysia yang

menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami.

Penyatuan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa

perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni

seperti yang tercatat dalam matlamat pendidikan kebangsaan,

iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.

           

Pemilihan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsan dan

bahasa perpaduan melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti

bagi masyarakat majmuk sehingga mampu menjadi model

perpaduan bangsa di dunia. Berdasarkan statusnya sebagai

bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa

komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi apabila rata-rata anak-

anak berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah, majikan dan

pekerja berkomunikasi di pejabat bahkan urusan jual beli di

pasar raya juga kita sering mendengar bahasa  Melayu diujarkan.

Hal ini satu perkembangan yang menakjubkan sekali gus

menunjukkan bahasa Melayu sentiasa berupaya menyesuaikan

Page 13: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada

pelbagai bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa

Melayu akan terus berkembang sebagai alat perpaduan utama.

  

Refleksi 

Kesimpulannya, Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh

Perdana Menteri adalah selangkah di hadapan kita. Perbezaan

bahasa bukan lagi penghalang ke arah usaha murni kerajaan ini

kerana kita adalah satu bangsa, satu bahasa dalam Gagasan 1

Malaysia. Tambahan pula, penggunaan bahasa Melayu sebagai

alat penyatuan bangsa haruslah dilihat dengan lebih telus

memandangkan akar penyatuan bangsa hendaklah diasaskan

pada kedudukan bangsa Melayu yang menjadi asas budaya di

Malaysia. Oleh yang demikian memartabatkan bahasa Melayu

adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang remeh

oleh mana-mana pihak. Kemajuan dari segi budaya, komunikasi

dan pendidikan membuatkan kedudukan bahasa Melayu

semakin tercabar dan terhimpit. Bagi mengeluarkan bahasa

Melayu dari kesempitan ini maka rakyat dan pemimpin memain

peranan yang penting untuk melaksanakan peraturan dan

Page 14: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

undang-undang untuk memastikan bahasa Melayu terus

berkembang sebagai bahasa perpaduan. Sejarah membuktikan

bahasa Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa

perpaduan dengan amat baik dan berkesan sehingga dapat

mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik

di negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan

adanya perpaduan inilah, maka negara akan membangun dan

maju serta Wawasan 2020 akan tercapai. Malaysia tidak akan

menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya sendiri tidak

mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada.

Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib

dipertahankan. Paling penting bahasa Melayu wajib

dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya

tanpa rasa segan dan silu.

Bibliografi

Fadzilah, b. A. (1996). Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Pahang: PTSPub & Distributor Sdn. Bhd.

Sheela, A. (1993). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 15: Bahasa Melayu Menyatupadukan Kaum Di Malaysia

Sufean, H. (2002). Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tajul Ariffin, N. (1993). Sejarah Perkembangan Negara. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Tengku, A. (1990). Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.