bab 3 -kemiskinan

Upload: mohdraiful

Post on 03-Jun-2018

226 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    1/20

    39

    BAB 3

    KEMISKINAN DAN ISU AGIHAN

    OBJEKTIF BAB

    Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh :

    1. Dapat memahami maksud dan ukuran kemiskinan.

    2. Dapat membandingkan pengukuran kemiskinan dinegara-negara lain di dunia.

    3.1 Kemiskinan dan Ketaksamaan

    SEJAK mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, negara telah mencapai kemajuan

    yang membanggakan dalam usaha mengubah struktur ekonomi dan meningkatkan

    taraf hidup rakyat yang dilaksanakan melalui beberapa siri rancangan pembangunan

    lima tahun. Pencapaian ini adalah lebih ketara lagi semasa tempoh dua puluh tahun di

    bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan adanya program-program pembangunan

    yang dilaksanakan untuk mencapai matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun

    semula masyarakat bagi menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

    Kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi bersama-sama dengan berkurangnya Kadar

    kemiskinan serta kemajuan dalam penyusunan semula masyarakat telah

    memperkukuhkan lagi asas negara untuk membangun secara berterusan dan

    memantapkan lagi perpaduan negara.

    3.1.1 Konsep kemiskinan dan agihan pendapatan

    Fenomena kemiskinan berlaku seiring dengan pertumbuhan dan pembangunan

    ekonomi yang relatifnya tinggi. Sebahagian besar Negara Sedang Membangun (NSM)mengalami pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi, namun faedah daripada

    pertumbuhan dan pembangunan tersebut sangat sedikit yang menitis ke bawah untuk

    sampai kepada golongan miskin dan termiskin. Taraf hidup golongan miskin dan

    termiskin sama ada meningkat sedikit atau kekal di takuk lama, malah merosot dalam

    keadaan sebenar. Kadar pengangguran desa dan bandar serta pengangguran tidak

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    2/20

    40

    ketara kian meningkat. Rata-rata agihan pendapatan semakin tidak setara ataupun

    tidak menunjukkan pembaikan yang jelas. Ternyata, pertumbuhan dan pembangunan

    ekonomi yang pesat tidak berupaya menghapuskan kemiskinan mutlak yang masih

    berleluasa di NSM.

    3.2 Kemiskinan Mutlak

    3.2.1 Ukuran

    Kemiskinan mutlak merupakan kemiskinan yang berasaskan konsep secukup hidup.

    Konsep ini telah diterima dengan meluas dan ianya digunakan untuk menjelaskan

    kemiskinan sebagai kekurangan pendapatan yang diperlukan untuk memenuhi

    keperluan-keperluan sara hidup yang minima. Ukuran kemiskinan mutlak yang kerap

    digunakan ialah kadar kemiskinan iaitu peratusan penduduk atau isi rumah yang

    mempunyai taraf hidup yang Iebih rendah daripada garis kemiskinan yang ditentukan.

    Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ialah satu tingkat pendapatan sesebuah isi rumahuntuk membolehkannya secara purata, menikmati makanan berzat yang mencukupi

    yang biasanya ditakrifkan mengikut kiraan kalori. Garis kemiskinan ini boleh juga

    mengambil kira jenis-jenis perbelanjaan yang lain untuk mengekal suatu taraf hidup

    yang memuaskan berdasarkan norma-norma yang sedia ada.

    Satu lagi ukuran yang biasa digunakan ialah kejadian kemiskinan, iaitu bilangan isi

    rumah miskin dalam sesebuah kawasan sama ada negeri atau daerah berbanding

    dengan jumlah isi rumah miskin keseluruhannya. Beberapa kekurangan atau

    kelemahan dalam penggunaan garis kemiskinan jelas diketahui. Ukuran tersebut tidak

    mengambil kira sejauh mana sesebuah isi rumah itu berada di bawah garis kemiskinandan oleh yang demikian tidak dapat menunjukkan kemiskinan yang keterlaluan bagi

    sebilangan isi rumah. Garis ini juga tidak mengambil kira masalah penting berhubung

    dengan agihan makanan dan kemudahan lain dalam sesebuah isi rumah.

    Memandangkan pendekatan ini berasaskan pendapatan, ianya tidak dapat

    menggambarkan kebajikan atau taraf hidup yang sebenar bagi orang perseorangan

    atau sesebuah isi rumah (Malaysia, 1986: 96).

    3.3 Kemiskinan Relatif

    Kemiskinan relatif lebih merupakan keadaan yang menerangkan kedudukan relatif satu-satu kumpulan berbanding dengan kumpulan yang lain dari segi pendapatan.

    Perbandingan ini menggambarkan perbezaan ketara dalam tahap penghidupan antara

    satu golongan daripada strata tinggi dengan golongan strata yang rendah dalam

    sesebuah masyarakat.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    3/20

    41

    Kemiskinan relatif ini merangkumi kedua-dua konsep kemiskinan mutlak dan

    pendapatan yang tidak seimbang kerana ianya mengandungi beberapa aspek daripada

    konsep tersebut. Namun begitu terdapat beberapa masalah dalam mengukur

    kemiskinan dalam bentuk relatif iaitu sesuatu kumpulan itu ditakrifkan sebagai miskinberbanding dengan kedudukan kumpulan lain dalam masyarakat. Seperti ukuran

    kemiskinan mutlak, ukuran kemiskinan relatif juga mempunyai beberapa batasan

    tertentu. Ukuran yang sering digunakan ialah pendapatan 40% terendah sebagai

    ukuran yang utama, berbanding pendapatan 20% tertinggi. Satu lagi cara mengukur

    kemiskinan relatif ialah dengan menganggarkan peratusan isi rumah atau orang

    perseorangan yang mempunyai pendapatan penengah negara. Cara ini lebih

    merupakan pengukuran pendapatan yang tidak seimbang daripada pengukuran

    kemiskinan. Satu kekurangan dalam pengukuran cara ini ialah ianya tidak dapat

    mengambil kesan terhadap paras kemiskinan sekiranya pendapatan setiap orang

    perseorangan meningkat dengan kadar yang sama (Malaysia, 1986: 98).

    3.3.1 Ciri-ciri dan Ukuran Kemiskinan

    Kemiskinan membawa makna yang berbeza bagi golongan yang berbeza. Definisi

    kemiskinan mungkin berbeza mengikut keadaan tempatan dengan mengambil kira

    pelbagai faktor budaya, sosial, dan persepsi berbeza tentang kemiskinan, penafian, dan

    pemeringkatan sosial. Kepelbagaian dimensi menjadikan kemiskinan sebagai

    fenomena yang kompleks, dinamik, khusus kepada lokasi, berkait dengan gender dan

    institusi tertentu. Pola dan bentuk kemiskinan sering berbeza mengikut lokasi, negara,

    dan kelompok sosial tertentu. Namun, beberapa dimensi kemiskinan sering ketara, iaitudari segi:

    a) kelaparan atau kekurangan bahan makanan,

    b) psikologi, termasuk ketiadaan kuasa dan suara, kebergantungan, malu, dan hina,

    c) kekurangan akses kepada infrastruktur seperti jalan, pengangkutan, air bersih dan

    elektrik,

    d) tahap pendidikan dan kesihatan yang lemah, dan

    e) mudah terancam kepada risiko dan bahaya fizikal, alam sekitar, ekonomi, dan sosial,

    serta

    d) aspek gender, golongan miskin sering terdiri daripada wanita atau berkait dengan isi

    rumah berketuakan wanita.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    4/20

    42

    Pada umumnya, kemiskinan merujuk kepada ketidaksejahteraan, ketertinggalan dan

    kemunduran sesuatu masyarakat mengikut ukuran atau norma tertentu.

    Faktor-faktor seperti pendapatan, kesihatan, kesampaian kepada perkhidmatan dan

    barangan, lokasi geografi, gender, etnik, persekitaran, dan sebagainya mempengaruhi

    kemiskinan. Berbagai-bagai istilah yang menggambarkan berbagai-bagai bentukkemiskinan, misalnya kemiskinan harta benda, kemiskinan minda, kemiskinan jiwa, dan

    kemiskinan serba-serbi. Dalam keadaan kepelbagaian faktor dan dimensi ini, persoalan

    pengukuran menjadi suatu isu dan masalah yang rumit. Dalam keadaan tersebut,

    adalah jelas bahawa suatu ukuran kemiskinan tidak mungkin dapat mencakupi dan

    memenuhi kesemua dimensi kemiskinan.

    Namun demikian, komponen ekonomi sering menjadi ukuran penting. Dari segi ini

    kemiskinan sering di ukur dengan menggunakan konsep pendapatan atau penggunaan

    isi rumah. Kemiskinan ditakrifkan sebagai kekurangan terhadap keperluan asas yang

    diperlukan untuk kelangsungan hidup kebajikan manusia .

    Dari segi ekonomi, konsep kemiskinan mutlak menentukan jumlah isi rumah yang

    tergolong sebagai miskin sebagaimana ditentukan melalui pendapatan garis kemiskinan

    (PGK). Mengikut konsep ini, kemiskinan digambarkan sebagai kekurangan pendapatan

    untuk memenuhi keperluan sara hidup yang minimum, meliputi keperluan makanan,

    pakaian, tempat kediaman, dan keperluan asas bukan makanan termasuk pendidikan,

    perubatan, pengangkutan, dan sebagainya yang diperlukan oleh isi rumah untuk

    menjalankan aktiviti seharian. Di Malaysia, golongan termiskin, ditakrifkan sebagai isi

    rumah yang berpendapatan rendah daripada separuh PGK yang juga termasuk di

    bawah konsep kemiskinan mutlak. Ketermiskinan merujuk kepada keadaan isi rumahtidak berupaya mencapai sekurang-kurangnya 1/2 PGK bagi menampung keperluan

    yang paling asas dan minimum, iaitu untuk makanan, pakaian, dan tempat tinggal.

    3.4 Pendapatan Garis Kemiskinan

    Pada umumnya pendapatan seseorang atau seisi keluarga digunakan sebagai petunjuk

    keadaan kemiskinan mutlak yang lebih dikenali sebagai pendapatan garis kemiskinan

    (PGK). PGK merupakan sempadan taraf hidup di mana dapat memisahkan golongan

    miskin dengan golongan tak miskin. Ahli ekonomi selalu meletakkan garis kemiskinan

    sebagai angka yang genap dan tetap, tetapi secara praktisnya angka itu berubah-ubahmengikut kawasan, lokasi, saiz isi rumah, komposisi perbelanjaan dan perkhidmatan

    awam. PGK sentiasa dikemaskinikan setiap tahun agar dapat menunjukkan keadaan

    kemiskinan yang sebenarnya. PGK yang digunakan di Malaysia adalah berbeza dari

    setahun ke setahun. Keadaan ini wujud adalah untuk menyesuaikan dengan nilai wang

    semasa dan keadaan inflasi.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    5/20

    43

    PGK ialah sesuatu yang dinamik. Dengan itu, PGK perlu dinilai pada setiap tahun untuk

    diselaraskan dengan kos hidup semasa Indeks Harga Pengguna. Selain itu, PGK perlu

    dibezakan antara bandar dengan luar bandar untuk mencerminkan kos hidup yang lebih

    tinggi di bandar. Oleh itu, PGK di bandar perlulah lebih tinggi. PGK yang sama bagi

    bandar dan luar bandar cenderung merendah-anggarkan kemiskinan bandar.

    Perbezaan PGK di bandar-bandar utama di wilayah lain, misalnya Kuala Lumpur, Kota

    Kinabalu, Johor Bahru, Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, dan Kuantan juga

    perlu diambil kira. Begitu juga, "bakul" barang-barang dan perkhidmatan perlu dikaji

    semula supaya dapat mencerminkan perubahan cita rasa dan penggunaan masyarakat

    semasa. Misalnya, dengan memasukkan perbelanjaan untuk keperluan komputer,

    Internet, rekreasi, tuisyen, buku tambahan dan latihan, serta keperluan perubatan yang

    berkualiti. Seperkara lagi ialah untuk mengkaji kesesuaian wajaran dalam komponen

    PGK. Misalnya, wajaran kecil ditetapkan bagi pendidikan dan kesihatan sesuai dengan

    zaman k-ekonomi serta kualiti hidup dan kesihatan yang semakin meningkat.

    3.5 Indeks Kualiti Hidup

    Sebagai pengukur kemiskinan, PGK mempunyai beberapa kelemahan. Pertama, PGK

    bukan konsep kemiskinan menyeluruh yang boleh mencerminkan kemiskinan dari

    semua dimensi. Ia juga tidak dapat menggambarkan taraf hidup isi rumah tersebut. Ia

    perlu disokong dengan petunjuk sosial atau kebajikan lain seperti indeks kualiti hidup

    fizikal (PQLI).

    Suatu petunjuk atau indeks kualiti hidup kualiti hidup yang sering dicadangkan ialah

    indeks kualiti hidup fizikal (PQLI), indeks pembangunan manusia (HDi), dan indeks

    kemiskinan manusia (HPI). PQLI merupakan indeks komposit yang menggabungkanmaklumat kesampaian dan penggunaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik,

    persekolahan, kesihatan, pengangkutan, dan perhubungan. HDI yang diketengahkan

    oleh Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) menggambarkan

    petunjuk pembangunan manusia dengan memberi tumpuan kepada kadar kematian

    bayi, kadar celik huruf, kadar jangka hayat, pendapatan isi rumah dan kesampaian

    kepada kemudahan asas. Indeks yang bernilai antara C hingga 1 ini mengukur tahap

    pembangunan manusia secara menyeluruh meliputi pembangunan modal manusia,

    pembangunan sumber manusia kesampaian kepada kemudahan asas dan penerimaan

    faedah pembangunan secara berkesan (UNDP 1990). Pada tahun 1997, UNDP

    memperkenalkan Indeks Kemiskinan Manusia (HPI) yang mengukur penafian terhadap

    beberapa elemen pembangunan manusia melalui petunjuk kesihatan (peratus

    penduduk yang meninggal dunia sebelum 40 tahun), pendidikan (peratus penduduk

    dewasa yang buta huruf), peratus penduduk ketersampaian kepada perkhidmatan

    kesihatan dan air bersih, serta para kanak-kanak bawah 5 tahun yang tidak cukup

    berat.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    6/20

    44

    Untuk cuba memuaskan banyak pihak, beberapa petunjuk lain disarankan sebagai

    penggenapan kepada PGK untuk mencerminkan fenomena kemiskinan dari pelbagai

    dimensi. Petunjuk-petunjuk ini mencerminkan keadaan serba kekurangan keperluan

    asas yang dihadapi oleh golongan miskin antaranya mencerminkan kekurangan yang

    berikut:

    Kekurangan upaya untuk memenuhi keperluan asas

    Kekurangan keselesaan tempat tinggal

    Kekurangan kawalan terhadap sumber-sumber

    Tahap kesihatan dan pemakanan kurang memuaskan

    Tahap pendidikan dan pembangunan sumber manusia yang rendah

    Kekurangan akses kepada bekalan air bersih, elektrik, dan sanitasi

    Kemudahketerancaman kepada krisis, kegawatan, jenayah, dan kekejaman.

    3.6 Kemiskinan Di Luar Bandar

    Dalam laporan Rancangan Malaysia Ketujuh (RM ke-7), kawasan bandar didefinisikan

    sebagai kawasan yang diwartakan dan kawasan tepu bina dengan jumlah penduduk 10

    000 orang atau lebih, seperti yang dilaporkan dalam Banci Penduduk dan Perumahan,

    1991. Dengan demikian, kawasan luar bandar merupakan kawasan yang tidak

    diwartakan sebagai kawasan bandar dan mempunyai bilangan penduduk kurang

    daripada 10 000 orang. Ekonomi luar bandar dibiarkan pada tahap sara diri tertinggaldalam perkembangan ekonomi moden. Sejak dari sebelum merdeka lagi masalah

    keluasan tanah, kemudahan prasarana, corak pertanian yang diamalkan dan kegiatan

    ekonomi yang dijalankan jauh ketinggalan berbanding dengan kawasan bandar.

    3.6.1 Faktor-faktor yang Menyebabkan Kemiskinan di Luar Bandar

    Faktor Sejarah

    Kegiatan Ekonomi

    Ekonomi desa berkait rapat dengan sektor pertanian yang rendah daya pengeluarannyadan mengalami banyak masalah seperti dari segi saiz tanah yang tidak

    menguntungkan, eksploitasi oleh pemonopoli, kekurangan modal dan kredit, pengaruh

    iklim dan musim, penyakit tanaman, serangga perosak, kaedah pertanian tradisional

    dan bertambahnya tanah-tanah terbiar.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    7/20

    45

    Kegagalan Institusi

    Kurang berkesannya institusi yang berhubung dengan kegiatan pengeluaran,

    pemasaran, pemprosesan dan pengangkutan. Kegagalan tersebut sebenarnya bukan

    disebabkan oleh ketidakcekapan pegawai dari institusi yang terlibat, tetapi lebih

    disebabkan oleh perlaksanaan tidak dapat mencapai seperti yang dirancang. Sebagaicontoh, galakan memasarkan sendiri hasil pertanian petani oleh FAMA , melalui konsep

    Pasar Tani, tetapi terdapat pula masalah memilih tempat yang sesuai dan jangka masa

    yang lama yang perlu diambil oleh petani untuk membuahkan hasil daripada pekerjaan

    bertani atau menangkap ikan.

    Sikap Penduduk

    Penduduk desa biasanya mempunyai sikap negatif terhadap pembaharuan dan terlalu

    bergantung pad a subsidi. Perancangan dalam Dasar Pertanian Negara (1992) dan

    Wawasan 2020 telah menitikberatkan semangat berusaha sendiri dan kurangbergantung kepada kerajaan dalam menjalankan sesuatu aktiviti.

    Peluang Pendidikan

    Peluang-peluang pendidikan dan latihan agak terhad. Pelajar luar bandar biasanya

    sukar mendapat peluang kedua untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi

    sekiranya percubaan kali pertama gagal. Hal ini disebabkan kawasan luar bandar tidak

    banyak kolej swasta yang menyediakan kemudahan tersebut.

    3.7 Langkah-Iangkah untuk Mengatasi Kemiskinan di Luar Bandar

    Projek-projek yang dapat menambah pendapatan adalah seperti yang berikut:

    Program Ekstensifikasi

    Dalam program ini jumlah kawasan pertanian ditambah melalui pembukaan kawasan-

    kawasan baru. Antara rancangan pembukaan tanah baru yang terbesar termasuklah

    Rancangan Tanah FELDA (Federal Land Development Authority), yang sehingga tahun

    1987, sebanyak 762 427 hektar kawasan telah dibuka untuk dijadikan kawasan

    perladangan dan penempatan peneroka.

    Program Intensifikasi

    Program ini meninggikan produktiviti tanah pertanian yang sedang diusahakan melalui

    penggunaan teknologi baru, bahan tanaman yang baik, baja, sistem pengairan,

    kawalan serangga serta penyakit dan sebagainya.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    8/20

    46

    Pelbagaian

    Dalam usaha ini jenis keluaran pertanian ditambah melalui pengenalan tanaman baru

    seperti kelapa sawit, koko, asparagus dan buah-buahan. Projek Pembangunan

    Bersepadu (IADP), tanam semula, penyatuan dan pemulihan tanah, memperluaskan

    penggunaan jentera dan amalan agromik dapat menaikkan produktiviti pekerjaanpertanian.

    Subsidi

    Subsidi merupakan bantuan untuk menanam semula (RISDA), racun serangga,

    tanaman litup bumi dan baja. Di samping aktiviti menaikkan pendapatan daripada

    aktiviti luar ladang dan bukan ladang.

    Membuat Dasar Baru

    Contohnya, memperkenalkan Dasar Pertanian Nasional (DPN) pada tahun 1992, iaitusatu dasar yang menyeluruh untuk memaksimumkan pendapatan daripada pertanian

    melalui penggunaan sumber-sumber secara cekap.

    Menyediakan Prasarana dan Kemudahan Asas yang Lebih Baik .

    Kemudahan prasarana seperti jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air paip penting

    untuk menjamin kehidupan penduduk luar bandar menjadi selesa. Di samping itu,

    mereka juga boleh memasarkan keluaran mereka ke kawasan luar dengan mudah.

    Dengan demikian, perbelanjaan pembangunan kerajaan persekutuan, terutamanya

    untuk pertanian dan pembangunan luar bandar terus bertambah daripada RM1298 juta

    pada tahun 1990 kepada RM1360 juta pad a tahun 1995.

    Menerap Nilai Positif

    Penduduk luar bandar juga digalakkan terlibat secara aktif dalam program

    pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) dan

    menyertai aktiviti pembangunan sumber manusia. Langkah-langkah menerap nilai

    positif seperti meningkatkan motivasi dan berdaya saing juga dijalankan.

    3.8 Pencapaian

    1 . Kadar kemiskinan di luar bandar telah berkurangan daripada 58.7% (1970) kepada

    24.7% (1984); 19.3% (1990) kepada 8.5% (1995).

    2. Antara 1970 - 1985, seluas 1283.7 ribu hektar tanah telah dibangunkan untuk

    membaiki pengagihan tanah dan pengeluaran.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    9/20

    47

    3. Pendapatan purata peserta FELDA teIah meningkat.

    4. Kapasiti penglibatan pekebun kecil dalam pengeluaran pertanian negara semakin

    meningkat.

    5. Beberapa kemajuan dan perubahan di kalangan pekebun kecil. Beberapa programdilaksanakan termasuklah Program untuk Rakyat Termiskin:

    Program PPRT

    - rumah kos rendah atau rumah pangsa - AIM (RM77.1 juta kepada 36 200 isi, rumah

    miskin)

    - ternak ayam, itik dan lembu

    - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) - latihan kemahiran dan jaminan pekerjaan

    - Bantuan pendidikan

    - Skim ASB - PPRT - pinjaman tanpa faedah RM5000

    - Penyediaan kemudahan asas - air, elektrik (sekolah, klinik berada dalam lingkungan 9

    km daripada penduduk di luar bandar)

    3.9 Kemiskinan Di Bandar

    Kawasan-kawasan di bandar ditakrifkan sebagai satu kawasan yang mempunyai

    populasi penduduk melebihi 10 000 orang dan menjadi pusat pentadbiran sesebuah

    negeri atau daerah.

    Dari segi taburan ikut kaum, kaum Cina berada pada kadar 57.9% tinggal di bandar

    berbanding dengan kaum bumiputera 25.9%. Tetapi lebih 22.9% masyarakat

    bumiputera yang tinggal di bandar adalah miskin berbanding dengan masyarakat Cina

    cuma 11.5%.

    3.9.1 Faktor-faktor yang Menyebabkan Kemiskinan di Bandar

    Kekurangan Kemudahan Asas

    Kawasan tertentu di bandar seperti di kawasan setinggan kurang kemudahanprasarana seperti air, elektrik, pusat kesihatan dan hak milik yang terjamin. Dengan

    keadaan ini kualiti hidup adalah rendah dan menyukarkan kehidupan penduduk

    tersebut.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    10/20

    48

    Penghijrahan Penduduk Desa ke Bandar

    Pertumbuhan penduduk bandar yang pesat adalah akibat daripada penghijrahan buruh

    dari desa ke bandar. Keadaan ini sesuai dengan dasar kerajaan menggalakkan

    penghijrahan penduduk desa yang bekerja sendiri ke pusat-pusat pertumbuhan baru.

    Tujuannya adalah untuk menggalakkan mereka terlibat dalam sektor ekonomi peringkatke-2 dan ke-3. Keadaan seperti ini telah menyebabkan penduduk bandar bertambah

    pada kadar 41.3% pada tahun 1985 berbanding 37.4%, pada tahun 1980.

    Pengangguran

    Pada masa kini penawaran buruh adalah melebihi permintaan buruh kerana faktor-

    faktor seperti kemelesetan ekonomi dan perkembangan penduduk dalam umur bekerja

    yang agak besar.

    Kekurangan Harta

    Kekurangan harta yang produktif dan kemudahan seperti modal, peralatan, peluang

    niaga dan sebagainya telah menyebabkan daya pengeluaran dan tingkat pendapatan

    mereka rendah.

    Pendapatan Rendah

    Perbelanjaan penduduk di bandar melebihi perbelanjaan penduduk di luar bandar. Oleh

    itu, pendapatan penduduk bandar mesti tinggi supaya pendapatan besar mereka

    setanding dengan pendapatan di luar bandar. Jika pendapatannya rendah maka

    mereka terpaksa berhutang dan menanggung bebanan bunga yang tinggi.

    Kurang Kemahiran dalam Bidang Perindustr ian dan Perdagangan

    Lebih ramai pekerja bumiputera di bandar tiada kemahiran dan pendidikan yang cukup

    berbanding dengan masyarakat Cina. Kurang kemahiran dan pendidikan bererti tingkat

    gaji lebih rendah.

    Setinggan

    Peratusan masyarakat setinggan, ialtu satu kawasan yang mempunyai populasi yang

    sesak mempunyai tingkat pendapatan yang rendah. Majoriti penduduk bumiputera

    mempunyai paras pendapatan yang rendah di bandar. Kawasan setinggan membentuk

    perkembangan kawasan bandar dan timbullah masalah kesihatan, penyakit mudah

    merebak dan akan memberikan gambaran buruk kepada pelancong yang melawat

    Malaysia.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    11/20

    49

    Bebanan yang Ditanggung

    Masyarakat bandar terpaksa bayar segala perkhidmatan yang digunakan di samping

    terpaksa menanggung beban cukai langsung dan tidak langsung, yang dalam hal ini

    cukai-cukai tersebut mungkin tidak digunakan untuk kepentingan mereka.

    Langkah-Iangkah untuk Mengatasi Kemiskinan di Bandar

    Antara langkah-langkah yang telah dan sedang dibuat untuk mengatasi masalah

    kemiskinan tersebut termasuklah:

    Penyediaan Rumah-rumah Kos Rendah

    Kerajaan membina rumah-rumah kos rendah untuk membolehkan masyarakat bandar

    memiliki rumah sendiri dan mengurangkan bilangan kawasan setinggan. Bebanan

    pembayaran adalah minimum kerana biasanya bayaran bulanan tidak melebihi RM200

    sebulan.

    Membina Gerai

    Gerai dibina untuk membantu mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan.

    Begitu juga kursus keusahawanan dijalankan oleh MARA dan bantuan untuk

    mendapatkan ruang niaga oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).

    Dasar Ekonomi Baru

    Dasar Ekonomi Baru yang pertama, iaitu membasmi kemiskinan, mengarahkan badan-

    badan seperti UDA, MARA dan Majlis Perbandaran memberikan bantuan yangdiperlukan oleh penduduk bandar yang miskin.

    Taraf Perint is dan Galakan Pelaburan

    Ia bertujuan untuk menarik para pelabur asing mendirikan kilang di Malaysia. Dalam hal

    ini akan wujud peluang pekerjaan bagi penduduk bandar di samping meninggikan taraf

    ekonomi Malaysia.

    Pelaksanaan Dasar

    Dasar-dasar seperti merancang perkembangan guna tenaga di Malaysia oleh institusiseperti MAMPU membolehkan sektor swasta dan kerajaan mewujudkan peluang-

    peluang pekerjaan baru bersesuaian dengan penawaran buruh dalam pasaran buruh

    seperti:

    Program pembangunan francais percetakan, makanan segera, pemprosesan filem,

    pengurusan model, bengkel, penyelenggaraan tugas.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    12/20

    50

    Konsep payung di bawah Guthrie Furniture dan Besta Distributors.

    Skim modal teroka Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PKNB). Seramai 280

    usahawan bumiputera telah bergiat dalam perkhidmatan telekomunikasi komponen

    automotif dan plastik petrokimia.

    Memperbaiki Taraf Perkhidmatan

    Kenaikan gaji dan memperbaiki sistem perkhidmatan sama ada dalam sekolah kerajaan

    atau sektor swasta.

    Kawalan Kenaikan Harga

    Mengamalkan kenaikan harga barangan dengan mengetatkan atau memperbaiki akta

    kawalan harga 1974 dan akta kawalan bekalan 1969.

    Meningkatkan Perkhidmatan Awam

    Memberikan lebih banyak perkhidmatan dan kemudahan awam seperti perkhidmatan

    kesihatan dan pelajaran dan sebagainya, terutama di kawasan setinggan untuk

    membaiki kualiti hidup penduduk di kawasan tersebut.

    Kawalan Kemasukan Buruh Asing

    Sekat kemasukan buruh asing terutama di sektor pembinaan dan kaji populasi

    penduduk mengikut sesuatu kawasan pembangunan.

    Wujudkan Bandar Baru

    Bandar-bandar baru seperti Bangi, Selangor; Mergong, Kedah; Jengka, Pahang dan

    sebagainya dapat mengurangkan kesesakan di bandar-bandar utama yang sedia ada.

    Di samping itu, ia dapat memajukan kawasan-kawasan penempatan dan perindustrian

    baru.

    Beri Kontrak Kerajaan kepada Usahawan Berkemampuan

    Seperti penerbangan komersial, penyelenggaraan alat-alat komunikasi pengeluaran

    kenderaan bermotor dan pembinaan lebuh raya.

    3.10 Kemiskinan Mengikut Sektor

    Terdapat hubungan yang positif an tara tahap industrialisasi dengan tingkat pendapatan

    dan seterusnya kadar kemiskinan. Didapati semakin tinggi tahap industrialisasi, maka

    semakin tinggilah pula tahap pendapatan. Maklumat menunjukkan bahawa pada tahun

    1970 kadar kemiskinan di sektor pertanian ialah 68.3% berbanding dengan sektor

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    13/20

    51

    pembuatan 23.5%. Hasil daripada pelbagai program membantu petani seperti

    pemberian tanah oleh FELDA, penyelidikan pertanian oleh MARDI, bantuan pemasaran

    oleh FAMA, program pelbagaian mendatar (aktiviti mempelbagaikan keluaran di sektor

    pertanian contohnya, getah, kelapa sawit, koko, buah-buahan dan sayur-sayuran) dan

    program pelbagaian menegak (aktiviti membuat atau memproses barang-barang

    pertanian seperti hasil kelapa sawit dijadikan minyak masak, vitamin, makanan binatang

    dan sebagainya), dan lain-lain lagi telah mengurangkan kadar kemiskinan di sektor

    pertanian. Hasilnya, kemiskinan di sektor pertanian merosot kepada 28.5% pada tahun

    1990. Walau bagaimanapun, kadar kemiskinan di sektor pembuatan juga telah

    berkurangan kepada 13.6% sahaja pada tahun 1990.

    3.11 Golongan Termiskin

    Rancangan Malaysia Ketujuh (RM ke-7) telah menitikberatkan beberapa program untuk

    mengurangkan kemiskinan di kalangan golongan termiskin (golongan termiskin atau

    fakir telah dianggarkan berasaskan separuh pendapatan garis kemiskinan). LaporanRM ke-7 menunjukkan pada tahun 1995 terdapat 93,500 (2.2%) isi rumah termasuk

    dalam kategori golongan termiskin.

    Antara langkah-langkah yang telah dan sedang dibuat untuk mengatasi masalah

    golongan termiskin termasuklah menyediakan:

    Program Pembangunan Rakyat Termiskin

    Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diperkenal pada tahun 1989

    meliputi projek untuk meningkatkan pendapatan dan menerap nilai-nilai positif seperti

    berdikari dan bekerja keras, di samping menyediakan bantuan kebajikan secara

    langsung.

    Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB)-PPRT

    Skim ASB-PPRT membolehkan setiap isi rumah termiskin menyertai Skim ASB melalui

    penerimaan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM5000 seorang. Sehingga akhir tahun

    1995, sejumlah RM75.5 juta dalam bentuk dividen dan bonus telah dibayar kepada isi

    rumah tersebut.

    Pelbagai Program Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) Organisasi Bukan Kerajaan

    (NGO) seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK)

    peringkat negeri dengan sokongan daripada syarikat swasta telah juga dibuat. AIM

    misalnya, telah mengeluarkan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM77.1 juta kepada

    kira-kira 36,200 isi rumah miskin dan termiskin bagi membolehkan mereka menceburi

    bidang ternakan ayam, itik, lembu dan kambing serta perniagaan secara kecil-kecilan.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    14/20

    52

    Lebih membanggakan apabila ia telah berjaya meningkatkan pendapatan peserta dan

    kadar pembayaran balik pinjaman hampir 100%. Program-program YBK pula ialah

    seperti memberikan latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan, bantuan pendidikan

    dan perumahan yang lebih selesa.

    Kemudahan Asas

    Kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan bekalan air yang selamat

    telah dirancang oleh kerajaan. Begitu juga golongan termiskin yang kebanyakannya

    berada di luar bandar diberi perkhidmatan pasukan pergigian dan perubatan bergerak,

    pasukan kesihatan kampung dan perkhidmatan doktor melalui udara ke kawasan

    pedalaman dan terpencil. Menurut RM ke-7 pada masa kini, 77 peratus golongan

    miskin di luar bandar berada dalam lingkungan sembilan kilometer dari klinik kerajaan.

    Kemudahan Pendidikan

    Kerajaan berusaha memastikan sekolah didirikan dalam lingkungan kurang daripada 10

    kilometer dari kawasan penempatan. Begitu juga kemudahan biasiswa, buku teks,

    makanan, tempat tinggal dan pakaian sekolah dibekalkan kepada pelajar miskin secara

    percuma.

    Ringkasan

    Kemiskinan merupakan satu masalah sejagat yang perlu dibendung. Pengagihan

    kekayaan yang tidak seimbang kerana rezeki yang diberi Allah S.W.T. tidak sama

    terhadap setiap makhluknya dan ini merupakan satu dugaan di dunia. Pemerintah

    mestilah bertanggungjawab mentadbirkan sistem kewangan dengan sempurna bagimembolehkan bantuan diberikan kepada golongan miskin tersebut. Sesungguhnya

    segala masalah seperti kemiskinan yang wujud bukanlah disebabkan oleh kurangnya

    sumber tetapi disebabkan angkara manusia sendiri, seperti pembaziran penggunaan

    sumber. Menurut al Qur'an yang bermaksud:

    "Dan berilah jiran-jiran kamu haknya, dan orang miskin, dan orang berjuang di jalan

    Allah dan janganlah anda melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang

    membazir itu saudara syaitan, dan syaitan itu amat ingkar akan Tuhannya."

    3.12 Sektor Pendidikan

    Pendidikan memainkan peranan yang sangat penting bagi menjana pertumbuhan

    ekonomi yang cergas, mempertingkat daya saing dan kualiti hidup penduduk sesebuah

    negara. Dengan menggunakan berbagai pendekatan, banyak kajian telah membuktikan

    perkara ini. Teori modal manusia dan pendekatan kadar pulangan, umpamanya telah

    membuktikan bahawa pendidikan berupaya meningkatkan produktiviti dan pendapatan

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    15/20

    53

    seseorang yang selanjutnya boleh mendorong kepada pertumbuhan ekonomi (Blaug

    1976; Psacharoupoulos 1985; Schultz 1988). Manakala model pertumbuhan ekonomi

    makro juga menyebut tentang kepentingan pendidikan dalam menyumbang kepada

    pertumbuhan ekonomi sesebuah negara (Pencavel 1991; Lau et. al. 1993). Selain itu

    pendidikan juga dikatakan mempunyai pengaruh yang besar terhadap agihan

    pendapatan. Beberapa kajian di Malaysia telah membuktikan bahawa pencapaian

    pendidikan merupakan antara faktor penting yang membezakan pendapatan antara

    kaum dan jantina (Hoerr 1973; Blau 1986; Rahmah 1987).

    Tenaga manusia perlu dilatih dan berpengetahuan bagi menyokong perlaksanaan

    pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti. Peluang mendapatkan pendidikan bagi

    semua peringkat dibuka luas sejajar dengan pendemokrasian dasar pendidikan.

    1. Program Pendidikan

    Teras program pendidikan ialah meningkatkan peluang dan memperbaiki kualitipendidikan. Selain menumpu pada pertambahan kapasiti dan peningkatan kualiti,

    penyemaian nilai-nilai murni dan sikap positif juga diterapkan dalam kegiatan

    kokurikulum.

    Pengambilan (enrolment) pelajar terus meningkat mengikut masa baik di peringkat pra-

    sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah rendah, menengah atas, sijil, diploma,

    mahupun ijazah. Dalam tempoh RMK7, pertambahannya secara keseluruhannya ialah

    15.3% (RMK8: 106). Pada tahun 2003 pula, jumlah pengambilan berjumlah 5.95 juta

    berbanding 5.59 juta pada tahun 2000 (Malaysia 2003).

    2. Program Latihan Kemahiran

    Kapasiti pengambilan di institusi kemahiran telah dipertingkatkan untuk memenuhi

    pertambahan permintaan industri terhadap tenaga manusia mahir. Menurut Kajian

    Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan, daripada 60 193 tenaga mahir yang

    dilahirkan oleh institut awam dan swasta pada tahun 2003, 65% (atau 39 271) adalah

    dalam bidang kejuruteraan (Malaysia, 2003). Kerajaan juga telah menubuhkan tujuh

    lagi pusat latihan kemahiran tinggi yang menawarkan kursus dalam bidang khas seperti

    mekatronik, teknologi kejuruteraan industri, teknologi kejuruteraan komputer, teknologi

    kejuruteraan telekomunikasi, kejuruteraan kaji sawat, dan pembangunan multimedia.

    Kapasiti di pusat-pusat kemahiran swasta juga dipertingkatkan. Antaranya ialah Japan-

    Malaysia Technical Institute (JMTI), German-Malaysia Institute (GMI), Malaysia-France

    Institute (MFI). Bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar, Pusat Latihan

    Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (ClAST) memperluas Program Latihan Pengajar

    Kebangsaan (NITP) untuk merangkumi pelajar yang mempunyai Sijil Kemahiran

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    16/20

    54

    Malaysia (SKM) Tahap 2 yang hanya memerlukan dua tahun latihan untuk

    mendapatkan Diploma Pengajar Vokasional.

    Bagi meningkatkan kemahiran tinggi dalam bidang teknologi yang lebih khusus,

    Malaysia Institute For Aviation Technology telah dinaiktarafkan dan tiga pusat baru

    ditubuhkan, iaitu ADTEC Tabuh Naning di Melaka, ADTEC Batu Pahat di Johor, danMalaysia-Spain Institute di Kulim (Malaysia, 2003).

    3. Penyertaan Sektor Swasta dalam Pendidikan dan Latihan

    Dalam tempoh RMK7, enrolmentpendidikan di peringkat rendah dan menengah telah

    mencecah ke angka 142,920 pelajar pada tahun 2000. Penglibatan swasta dalam

    pendidikan tinggi telah meningkat dengan pelaksanaan Akta Institusi Pengajian Tinggi

    Swasta 1996. Enam universiti swasta telah ditubuhkan untuk menawarkan kursus-

    kursus di peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan, perniagaan, perubatan, dan

    multimedia. Enam universiti yang terlibat ialah Universiti Multimedia, Universiti TenagaNasional, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti

    Perubatan Antarabangsa, dan Universiti Industri Selangor.

    3.12.1 Strategi Pendidikan Tinggi Dalam RMK-7

    Selaras dengan kepesatan perindustrian negara permintaan terhadap tenaga kerja

    yang berpendidikan tinggi dan mahir dijangka akan terus meningkat. Untuk itu RMK-7

    telah menggariskan beberapa strategi berikut (Malaysia 1996):

    Meningkatkan keupayaan bagi memenuhi permintaan tempatan pendidikan

    tinggi yang semakin bertambah serta membangunkan pendidikan tinggi sebagaiindustri eksport;

    Memperbaiki kualiti dan kesesuaian kursus yang ditawarkan supaya sejajar

    dengan keperluan tenaga manusia negara;

    Meningkatkan enrolmen peringkat ijazah pertama di institusi awam tempatan di

    kalangan mereka yang berumur 19-24 tahun daripada 3.5 peratus pada tahun

    1995 kepada 5.6 peratus pada tahun 2000;

    Meningkatkan kapasiti enrolmen dalam kursus sains, kejuruteraan dan kursus

    berkaitan dengan teknikal bagi menambah pengeluaran tenaga manusia yang

    berpengetahuan sains dan teknikal;

    Meningkatkan kapasiti kursus lepasan ijazah daripada 11.5 peratus daripada

    jumlah enrolmen peringkat ijazah pada tahun 1995 kepada sekurang-kurangnya

    14 peratus pada tahun 2000;

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    17/20

    55

    Meningkatkan kapasiti dan keupayaan untuk menjalankan P&P, terutamanya

    yang berkaitan dengan keperluan sektor industri dan perkhidmatan; dan

    Meningkatkan penyertaan sektor swasta bagi membantu usaha kerajaan dalam

    menambah peluang pendidikan tinggi, manakala pada masa yang sama dapat

    mengurangkan perbelanjaan awam bagi pendidikan yang semakin meningkat.

    Strategi ini jelas memperlihatkan langkah kerajaan meningkatkan kebolehcapaian

    masyarakat terhadap pendidikan tinggi. Usaha meningkatkan enrolmen IPT awam dan

    menggalakkan penyertaan swasta secara lebih aktif dalam pendidikan tinggi

    merupakan langkah agresif ke arah liberalisasi dan pendemokrasian pendidikan tinggi

    di negara ini. IPT awam digesa meningkatkan enrolmen pelajar masing-masing kepada

    20,000 menjelang tahun 2000. Manakala AIPTS 1996 diperkenalkan bagi menarik lebih

    banyak penyertaan swasta dalam menawarkan pendidikan tinggi. Melalui akta ini sektor

    swasta boleh menubuhkan institusi yang menganugerahkan ijazah dan universiti asing

    juga boleh menubuhkan kampus cawangannya di dalam negara ini. Langkah ini adalahselaras dengan hasrat kerajaan menjadikan pendidikan tinggi negara ini bertaraf dunia

    dan sebagai pusat kecemerlangan di rantau Asia.

    Untuk mencapai pendidikan yang bertaraf dunia, sekurang-kurangnya tiga pra syarat

    perlu dipenuhi. Pertama, kegiatan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti; kedua,

    peningkatan kadar enrolmen pelajar IPT, terutama pelajar asing supaya setanding

    dengan negara maju dan ketiga, kapasiti Penyelidikan & Pembangunan (P&P) yang

    meningkat dari segi kuantiti dan kualiti. Sekiranya ketiga-tiga pra-syarat ini telah dapat

    dipenuhi maka usaha membangunkan pendidikan tinggi sebagai industri eksport akan

    mudah dicapai. Persoalannya adakah sistem pendidikan tinggi negara ini telah bersediake arah ini?

    3.13 Cadangan Dan Implikasi Dasar

    Strategi pendidikan tinggi yang telah digariskan dalam RMK-7 telah mengemukakan

    beberapa langkah yang boleh dianggap berkesan untuk menghadapi masalah semasa

    pendidikan tinggi. Namun begitu berdasarkan perbincangan di atas masih terdapat

    beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus.

    Pertama, isu kualiti pendidikan tinggi. Liberalisasi dan pendemokrasian pendidikan

    tinggi ke arah memenuhi kehendak pembangunan negara tidak seharusnya menggadai

    kualiti pendidikan itu sendiri. Oleh kerana pendidikan tinggi akan dijadikan sebagai

    salah satu industri eksport negara, maka untuk meningkatkan daya saingnya, kualiti

    haruslah dipertingkat. Oleh itu badan-badan yang telah ditubuhkan seperti Majlis

    Pendidikan Tinggi Negara (MPTN), Lembaga Akreditasi Negara (LAN) serta

    Kementerian Pendidikan amnya perlulah mengawasi aspek kualiti pendidikan tinggi

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    18/20

    56

    secara lebih teliti dan berkesan. Di samping kurikulum yang ditawarkan, kekuatan dari

    segi penyelidikan dan pembangunan juga haruslah ditekankan. Dalam konteks ini

    kerjasama dan sinergi P&P Universiti - Industri mesti dipergiatkan lagi (Mohd Yusof

    Kasim 1994).

    Kedua, pembiayaan awam terhadap IPT awam (IPTA) patut ditingkatkan walaupundalam jangka panjang peratusan sumbangannya berkurangan secara perlahan-lahan.

    Isu ini penting ditangani kerana peranan sektor swasta dalam pendidikan tinggi adalah

    terhad kepada beberapa kursus profesional saja dan kurang memberi penumpuan

    kepada bidang Sains dan Teknologi.

    Ketiga, langkah yang lebih tegas perlu dilakukan bagi mengawal yuran pengajian

    khususnya di kalangan IPT swasta. Usaha-usaha perlulah ditumpukan ke arah

    menyeragamkan kadar yuran yang dikenakan. Trend semasa menunjukkan kadar

    yuran yang dikenakan oleh IPT swasta adalah berbeza-beza walaupun terhadap kursus

    yang sama.

    Keempat, pada masa akan datang besar kemungkinan yuran pengajian IPT akan

    meningkat apabila dasar pengkorporatan IPT awam dilaksanakan. Oleh itu skim

    pinjaman dan biasiswa pendidikan tinggi perlulah diperluaskan. Walaupun bam-bam ini

    telah dilancarkan Dana Pendidikan Tinggi (DPT) yang bernilai RM100 juta untuk

    membantu pelajar-pe1ajar yang tidak mampu melanjutkan pe1ajaran ke IPTA dan

    IPTS, ianya dirasakan masih belum mencukupi bagi menampung keperIuan yang terus

    meningkat. Pemberian biasiswa atau pinjaman janganlah kepada bidang-bidang

    teknikal semata-mata tetapi juga dalam bidang akademik yang lain.

    Kelima, isu bilangan pe1ajar Bumiputera di IPTS. Setakat Oktober 1997, cuma 22

    peratus daripada pelajar IPTS adalah Bumiputera dan cuma 50 daripada 415 IPTS di

    Malaysia dimiliki oleh Bumiputera (Berita Harian 17 Oktober 1997). Oleh itu bagi

    menyeimbangkan enrolmen pe1ajar bumiputera di kolej-kolej swasta, kuota tertentu

    untuk pelajar bumiputera perlulah diadakan. Untuk memenuhi kuota ini, pelajar perlulah

    diberi sama ada biasiswa, pinjaman ataupun kemudahan menggunakan DPT. Melalui

    cara ini jumlah pelajar bumiputera di kolej-kolej swasta boleh ditingkatkan.

    Keenam, memastikan kursus-kursus yang ditawarkan oleh semua IPT sama ada awam

    ataupun swasta bersesuaian dengan keperluan pembangunan Negara jangka pendekdan jangka panjang. Sekiranya pada masa hadapan negara memerlukan lebih ramai

    saintis dan tenaga mahir teknikal, maka tumpuan pendidikan tinggi haruslah dipastikan

    menjurus ke arah bidang-bidang berkenaan. Dalam konteks ini masalah kekurangan

    minat pelajar-pelajar sekolah terhadap mata pelajaran sains dan teknologi mesti

    diselesaikan segera. Selain memupuk minat pelajar-pelajar melalui berbagai cara,

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    19/20

    57

    insentif sesuai seperti ganjaran kewangan dan status pekerjaan yang tinggi patut

    diberikan kepada tenaga kerja S&T (Mohd Yusof 1997). Namun demikian, ini tidak

    bermakna bidang-bidang pengurusan profesional dan akademik lainnya diabaikan.

    Walau apa langkah yang diambil, governan pendidikan tinggi mesti diperkemas dan

    diperkukuhkan supaya pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan matlamatpengagihan ekonomi yang lebih adil dapat dicapai dan bukan melebarkan lagi jurang

    sosioekonomi yang masih berlaku.

    3.14 Penutup

    Peranan pendidikan terutama pendidikan tinggi menjadi semakin penting untuk

    mencapai matlamat pembangunan nasional iaitu mewujudkan negara industri yang

    maju lagi seimbang dan membentuk bangsa yang bersatu padu. Usaha mempertingkat

    daya saing, menangani cabaran-cabaran baru dalam alaf baru yang mendatang dan

    pencapaian matlamat pembangunan di atas memerlukan perancangan yang strategikdan pelaksanaan langkah-langkah yang sesuai.

    Pendemokrasian dan liberalisasi pendidikan tinggi dengan mempertingkat keupayaan

    IPT awam dan menubuhkan banyak IPT swasta adalah selari dengan hasrat kerajaan

    untuk menambahkan bilangan penduduk yang menerima pendidikan tinggi dan menjadi

    negara pengeksport pendidikan tinggi di rantau Asia. Namun demikian lonjakan besar

    dalam penawaran pendidikan tinggi ini tidak memadai jika tidak disertai dengan usaha

    mempertingkat mutu pendidikan dan penyelidikan di IPT. Ternyata, kini fungsi IPT

    bukan sahaja untuk memenuhi keperluan intelektual tetapi juga kehendak pasaran.

    Sama pentingnya adalah usaha untuk memastikan supaya pendidikan mampu bukansahaja mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi tetapi juga matlamat agihan

    kekayaan. Ini bererti dasar dan langkah-Iangkah wajar, antaranya termasuk

    memperluas kebolehcapaian pendidikan tinggi kepada semua penduduk tanpa

    mengabaikan golongan berpendapatan rendah dan kumpulan etnik tertentu,

    mempertingkatkan mutu pendidikan dan penyelidikan, dan memperkukuh,

    mempercekap governan dan sistem penyampaian pendidikan tinggi perlu dilaksanakan

    segera.

  • 8/12/2019 BAB 3 -Kemiskinan

    20/20

    58

    SOALAN PERBINCANGAN

    1. Apakah perbezaan antara kemiskinan mutlak dan kemiskinan

    relatif?

    2. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan kemiskinan di bandar.

    3. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan kemiskinan di luar

    bandar.