anggaran penduduk semasa, malaysia, 2018-2019
TRANSCRIPT
EMBARGO : Hanya boleh diterbit atau disebarkan pada jam 1200, Isnin, 15 Julai 2019
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
SIARAN AKHBAR
ANGGARAN PENDUDUK SEMASA, MALAYSIA, 2018-2019
PENGENALAN
Penerbitan Anggaran Penduduk Semasa, Malaysia, 2019 membentangkan data anggaran penduduk pertengahan tahun di peringkat Malaysia dan negeri bagi tahun 2018-2019. Anggaran penduduk yang disediakan adalah berasaskan data Banci Penduduk dan Perumahan 2010 dengan mengambil kira komponen kelahiran, kematian dan migrasi.
SAIZ DAN KADAR PERTUMBUHAN PENDUDUK
Penduduk Malaysia pada 2019 diganggarkan 32.6 juta orang, meningkat daripada 32.4 juta orang berbanding 2018. Jumlah penduduk merangkumi 29.4 juta orang (90.2%) Warganegara dan 3.2 juta orang (9.8%) Bukan warganegara.
Kadar pertumbuhan penduduk tahunan menurun kepada 0.6 peratus pada 2019 berbanding 1.1 peratus pada 2018. Ini disumbangkan oleh penurunan kadar kesuburan dan migrasi Antarabangsa bersih.
PENDUDUK MENGIKUT JANTINA
Pada 2019, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan. Penduduk lelaki meningkat daripada 16.7 juta orang (2018) kepada 16.8 juta orang. Penduduk perempuan turut meningkat daripada 15.7 juta orang (2018) kepada 15.8 juta orang bagi tempoh yang sama.
Penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan dalam kumpulan umur muda (0–14 tahun) dan umur bekerja (15–64 tahun). Sebaliknya, penduduk perempuan melebihi penduduk lelaki dalam kumpulan umur tua (65 tahun dan lebih) iaitu 1.13 juta orang perempuan dan 1.06 juta orang lelaki.
NISBAH JANTINA
Secara keseluruhannya, nisbah jantina kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan sejak 2013. Walau bagaimanapun, nisbah penduduk Bukan warganegara adalah tinggi dimana pada 2019, nisbah adalah 163 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Nisbah jantina bagi Warganegara menurun sedikit daripada 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan (2010–2014) kepada 102 lelaki bagi setiap 100 perempuan (2015–2019).
STRUKTUR UMUR
Komposisi penduduk berumur 0–14 tahun (umur muda) pada 2019 menurun daripada 23.8 peratus pada 2018 kepada 23.3 peratus. Manakala penduduk berumur 15–64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 69.7 peratus pada 2018 kepada 70.0 peratus pada 2019. Komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) turut meningkat daripada 6.5 peratus kepada 6.7 peratus.
Peningkatan komposisi penduduk umur bekerja dan umur tua turut memberi kesan kepada peningkatan umur penengah pada 2019. Umur penengah meningkat kepada 28.9 tahun daripada 28.6 tahun pada 2018.
Dikeluarkan oleh:
DATO' SRI DR. MOHD UZIR MAHIDINKETUA PERANGKAWAN MALAYSIAJABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
DrUzir_Mahidin Dr_Uzir
15 Julai 2019
Pegawai dihubungi:
Rohaida binti MohamadPegawai Perhubungan AwamBahagian Perangkaan Komunikasi Strategik dan AntarabangsaJabatan Perangkaan MalaysiaTel : +603-8885 7942Faks : +603-8888 9248Emel : rohaida.mohamad[at]dosm.gov.my