transformasi pendidikan vokasional dalam konteks pembangunan negara malaysia : isu dan cabaran
Post on 08-Aug-2015
616 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
1
TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS
PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN
Oleh :
Hawati Hasan & Md Yusoff Daud
Fakulti Pendidikan UKM
ABSTRAK
Perkembangan dan kemajuan sesebuah negara diukur dalam pelbagai bidang dalam
kerangka menuju kepada sebuah negara maju. Malaysia, sebagai sebuah negara yang
sedang pesat membangun telah melaksanakan pelan transformasi yang mencakupi semua
aspek termasuk pendidikan. Selaras dengan program transformasi sistem pendidikan yang
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Transformasi Pendidikan Vokasional
dirangka bertujuan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan,
berinovatif dan berdaya saing yang diiktiraf oleh industri dan diterima dalam pasaran kerja.
Kertas kerja ini membincangkan mengenai transformasi pendidikan vokasional dalam
pembangunan negara. Namun begitu, timbul perdebatan dari segi kemampuan sistem
pendidikan bagi menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu, kemahiran dan nilai
murni yang menyumbang ke arah pembangunan negara abad ke-21. Antara isu yang
diperdebatkan ialah dari segi tahap kesediaan guru, kesedaran kerjaya pelajar dan
kebolehpasaran sumber tenaga yang memenuhi kehendak industri. Bagi mencapai matlamat
tersebut, pelbagai cabaran mendepani sistem pendidikan vokasional sedia ada. Justeru itu,
pelbagai pendekatan dan strategi dirangka dalam penambahbaikan sistem yang ada.
Antaranya ialah pengukuhan kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan
semasa kerja kepada pelajar, meneruskan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan
mewujudkan laluan kerjaya yang menarik.
Kata kunci : Transformasi; Pendidikan Vokasional; Pembangunan Negara
2
1.0 PENDAHULUAN
Perkembangan arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat (ICT) membawa impak
yang besar dalam kehidupan seharian. Malaysia berjaya menjadi negara maju,
berpendapatan tinggi serta mempunyai peranan yang penting dalam ekonomi global, satu-
satunya pilihan ialah menggerakkan semua potensi, kemahiran dan bakat seluruh rakyat
Malaysia secara aktif malah kualiti sumber manusia mestilah dipertingkatkan untuk
menambah kecekapan dan daya pengeluaran negara (Sahila Suadi et.al 2012) menjelang
abad ke-21. Kemahiran-kemahiran abad ke-21 adalah penting kerana ia mencakupi literasi
era digital, pemikiran inventif, komunikasi berkesan, produktiviti yang tinggi serta
mempunyai norma dan nilai kerohanian. Penguasaan kemahiran ini akan melahirkan rakyat
yang mampu mengaplikasikan segala kecanggihan ICT, mampu berfikir secara kritis dan
kreatif, berdaya saing dan mempunyai sahsiah diri dan interpersonal yang tinggi (Zamri
Mahamod 2011).
Tenaga pekerja mahir merupakan syarat asas untuk menjamin perkembangan dan
pembangunan ekonomi negara menjelang tahun 2020. Ini kerana latihan kemahiran dikenal
pasti menjadi tonggak kejayaan sektor ekonomi di negara-negara seperti Jepun, Korea
Selatan dan Jerman. Negara tersebut mempunyai sistem latihan yang mantap serta mampu
menghasilkan tenaga kerja yang kompeten serta memenuhi keperluan sektor industri.
Sistem pendidikan Malaysia telah diangkat di arena antarabangsa malah secara tidak
langsung dapat menambah modal insan yang berkemahiran untuk membantu pembangunan
negara dan individu tersebut (Noor Azreen dan Sulaiman 2012). Justeru, fokus
pembangunan tenaga manusia di Malaysia adalah untuk meningkatkan seramai mungkin
sumber tenaga kerja melalui pendidikan dan latihan (Mohd Ghazali 2007).
Sistem pendidikan di Malaysia juga telah berubah dan tidak ketinggalan perubahan
yang begitu ketara berlaku dalam pendidikan vokasional seiring perkembangan arus
globalisasi. Semenjak mencapai kemerdekaan 55 tahun yang lalu, sistem Pendidikan
Vokasional di Malaysia telah mengalami pelbagai inovasi dalam menentukan
perkembangan potensi individu. Hal ini sejajar dengan cabaran globalisasi baru ke atas
pendidikan vokasional masa kini yang memerlukan paradigma yang lebih berinovasi agar
mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama (Siti Nor Atiqah et.al, 2011).
3
Perkara ini turut dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh oleh Perdana
Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang menyeru transformasi besar-besaran
berasaskan inovasi dilakukan secara menyeluruh bagi membolehkan negara terus berdaya
saing, membangun secara mampan dan terselamat daripada belenggu berpendapatan
pertengahan (Rancangan Malaysia Ke Sepuluh-RMK10 2010). Justeru, pendidikan
vokasional dilihat sebagai pemangkin untuk menjana tenaga mahir yang berupaya
menghadapi cabaran ekonomi baru, dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing
ekonomi yang diperlukan untuk mencapai status negara maju.
2.0 DEFINISI ISTILAH :
i. Transformasi
Transformasi bermaksud perubahan bentuk seperti sifat, rupa, keadaan dan
sebagainya. Transformasi sistem pendidikan di Malaysia direncanakan untuk
tempoh 15 tahun akan datang bermula 2013-2025. Transformasi pendidikan ini
bermatlamat melengkapkan setiap murid di Malaysia dengan segala kemahiran
baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan menangani cabaran
abad ke-21.
ii. Pendidikan Vokasional
Vokasional ialah pendidikan dan latihan yang akan menyediakan individu untuk
pekerjaan tertentu atau berkaitan dengan pembelajaran berasaskan amali (hands-on).
Pendidikan vokasional menyediakan murid kepada kerjaya yang memerlukan
kepakaran teknikal yang khusus. Aliran vokasional lebih berorientasikan kerjaya
dan berupaya menghasilkan tenaga kerja mahir dan usahawan.
iii. Pembangunan Negara
Pembangunan Negara bermaksud menjadikan negara Malaysia maju dengan
mengukuhkan keadilan sosial, nilai etika, moral, kualiti hidup dan mengamalkan
prinsip pentadbiran yang adil serta kecemerlangan ekonomi.
Transformasi pendidikan vokasional yang dilancarkan awal tahun 2012 membuka
tirai kepada program transformasi sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian
4
Pelajaran Malaysia. Program ini adalah selaras dengan agenda yang telah digariskan dalam
Rancangan Malaysia Ke Sepuluh iaitu mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan
Latihan Vokasional (Mohd Fuad Razali 2012). Sebanyak RM150 juta diperuntukkan dan
seramai 20,000 pelajar tercicir mendapat manfaat (RMK10 2010). Kerajaan Malaysia
mensasarkan 33% tenaga kerja dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang
tahun 2015 dan 40% menjelang tahun 2020.
Dalam memenuhi aspirasi ini, Pendidikan Vokasional adalah laluan penting ke arah
melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan mampu
menghadapi saingan pada peringkat serantau dan juga global serta relevan dengan
keperluan semasa. Dalam hal ini, penekanan terhadap penambahbaikan kualiti pendidikan
vokasional adalah sangat penting seterusnya menyumbang kepada mencapai hasrat negara
Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi (Tan Sri Muhyiddin Yassin 2012).
Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV)
Kementerian Pelajaran Malaysia, Ahmad Tajudin Jab berkata, pengarusperdanaan
pendidikan vokasional mampu menjana bakat-bakat yang kreatif dan inovatif serta
membantu ke arah mempercepat proses melahirkan tenaga kerja mahir yang mempunyai
nilai-nilai insaniah, kebolehpasaran dan kemahiran yang mencapai standard dunia.
Transformasi ini melibatkan kurikulum teknik dan vokasional, tempoh pengajian,
pengiktirafan persijilan, tenaga pengajar, infrastruktur dan yang paling utama penjenamaan
semula sekolah-sekolah menengah vokasional kepada Kolej Vokasional.
Pendidikan Vokasional di Malaysia pada masa kini sedang menuju ke arah konsep
Pendidikan Untuk Semua (Education For All) seperti yang digariskan oleh UNESCO
(United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization). Pelancaran
pelaksanaan transformasi Pendidikan Vokasional telah disempurnakan oleh Menteri
Pelajaran Malaysia pada 6 Januari 2012 dan salah satu tindakan yang digariskan dalam
Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional ialah mewujudkan program
Pendidikan Asas Vokasional peringkat menengah rendah bermula Tingkatan 1 hingga 3.
Ahmad Tajudin (2012) berpendapat, pelaksanaan Pendidikan Asas Vokasional bertepatan
dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga muda berkemahiran tinggi
5
memandangkan tidak semua pelajar cenderung ke arah akademik yang berorientasikan
peperiksaan.
Program Pendidikan Asas Vokasional yang dibentuk bertujuan untuk memberi
pilihan alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada pendidikan bercorak hands-on dan
berasaskan pekerjaan (work-based) dari peringkat menengah rendah (Mohd Fuad Razali
2012). Matlamat kurikulum Pendidikan Vokasional adalah ke arah pembinaan jati diri,
pengembangan kompetensi keusahawanan dan pembangunan kompetensi kemahiran
vokasional pada aras Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan Tahap 2.
Ketika menjelaskan mengenai kepentingan transformasi pendidikan vokasional,
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa hasrat
yang terkandung dalam Model Baru Ekonomi Malaysia adalah untuk melahirkan modal
insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang baharu bagi menjana
kekayaan negara. Modal insan sedemikian adalah faktor kritikal bagi menentukan
pencapaian kemajuan dan kemakmuran masa depan negara Malaysia. Oleh itu,
pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang
vokasional (Tan Sri Muhyiddin Yassin 2012).
3.0 LAPORAN AWAL PELAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL
2013-2025
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 (PPP
Malaysia 2013-2025) diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui kajian dan
penilaian yang mendalam serta penglibatan meluas pihak awam. Berdasarkan kedudukan
pencapaian sistem pendidikan Malaysia pada masa kini dan cabaran yang bakal ditempuhi,
pelan ini bermatlamat mengukuhkan visi dan aspirasi sistem pendidikan Malaysia sehingga
tahun 2025. Pelan ini juga menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif pelaksanaan yang
direncanakan dengan terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara yang
dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua serta memenuhi pasaran global.
Melalui program ini, murid boleh memperoleh Sijil Asas Vokasional Tahap 2 iaitu
Sijil Kemahiran Malaysia pada usia yang lebih muda bermula 15. Kemasukan pada usia
6
yang lebih muda adalah selari dengan sistem global negara lain seperti di Austria dan
Jerman yang mempunyai sistem pendidikan vokasional yang mantap. Gabungan kurikulum
yang baharu iaitu 70% melibatkan latihan kemahiran vokasional manakala 30% tertumpu
pada pendidikan akademik turut diperkenalkan.
Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah melakukan penambahbaikan program
pendidikan vokasional peringkat menengah atas dengan menukarkan Sekolah Menengah
Vokasional kepada Kolej Vokasional. Kolej ini menawarkan kurikulum yang disusun
semula dan akreditasi diploma melalui Diploma Vokasional Malaysia. Diploma ini diiktiraf
untuk mendapatkan kredit di bawah Standard Kebangsaan yang diperkenalkan oleh
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Kurikulum diploma yang baharu ini mengandungi
70% latihan kemahiran praktikal dan 30% pendidikan akademik. Kurikulum ini juga
melibatkan tujuh bulan penempatan praktikum. Pelbagai rakan industri dirujuk bagi
memastikan keselarasan dengan piawai dan amalan industri (PPP Malaysia 2012).
4.0 ISU DAN PERMASALAHAN
Pertambahan jumlah institusi pendidikan vokasional adalah perlu bagi memenuhi keperluan
tenaga kerja tempatan. Peratusan pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian di bidang
vokasional masih kurang berbanding jumlah peluang yang sepatutnya dibuka (Siti Syahirah
2011). Walau bagaimanapun, baru-baru ini, sistem pendidikan negara sering menjadi
perhatian dan bahan perdebatan. Polemik ini berbangkit disebabkan jangkaan ibu bapa
semakin meningkat, manakala majikan pula menyuarakan kebimbangan tentang keupayaan
sistem pendidikan negara dalam menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu,
kemahiran, dan nilai murni untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi abad ke-21
(PPP Malaysia 2012). Antara isu atau permasalahan yang dibangkitkan dalam
melaksanakan transformasi pendidikan vokasional adalah seperti berikut :
i. Tahap Kesediaan Guru
Guru-guru di sekolah vokasional mempunyai latar belakang akademik yang berbeza.
Sesetengah daripada mereka datang dari sekolah harian biasa dan tidak mempunyai
kemahiran dalam aspek pengajaran dan penyampaian serta pengalaman. Siti Syahirah
(2011) menyatakan Jabatan Teknik dan Vokasional menghadapi cabaran dalam mengatasi
7
masalah guru yang berpengalaman dan berkemahiran untuk mengajar walaupun terdapat
guru lepasan Pendidikan Teknik dan Vokasional, Universiti Tun Hussien Malaysia
(UTHM). Guru-guru baru ini kurang berpengalaman dan ilmu untuk mengajar mata
pelajaran vokasional. Selain itu, guru-guru di sekolah vokasional juga mempunyai sejarah
latar belakang akademik yang berbeza misalnya mereka datang daripada sekolah harian
biasa. Ini akan menimbulkan masalah terutama dalam aspek pengajaran dan penyampaian
kerana kurangnya pengalaman iaitu tidak mencakupi keperluan kemahiran yang diperlukan.
ii. Kesedaran kerjaya pelajar rendah
Pada masa kini, semakin ramai pelajar yang keliru dengan minat mereka. Menurut
Hairunnaja (2006), terdapat pelajar yang tidak tahu peluang kerjaya bagi kursus yang
mereka sedang duduki. Masalah pemilihan bidang kerjaya banyak dipengaruhi oleh
pelbagai faktor. Antara faktor yang dikenal pasti adalah minat dan kebolehan seseorang
pelajar dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka. Pelajar sewajarnya tahu ke mana arah
tujuan pendidikan dan kerjaya mereka sejak awal persekolahan menengah lagi.
Hasil kajian yang diterajui oleh Yusri (2010) di dalam Graduate Employability
graduan UTHM siri 1-2010, berkenaan dengan persediaan sebelum memasuki alam
kerjaya. Dapatan analisis menyatakan bahawa hanya 22% responden berbincang dengan
kaunselor, 52% mengikuti kerjaya dan hanya 57% menghadiri latihan temu duga. Ini
menunjukkan bahawa pelajar secara keseluruhannya kurang mengikuti program-program
dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak universiti. Ini jelas membuktikan bahawa
kajian perlu dilakukan untuk mengetahui tentang kefahaman hala tuju pelajar-pelajar sedari
alam persekolahan dalam aspek perkembangan pendidikan dan kerjaya. Hala tuju ini
penting sebagai panduan dan rujukan dalam diri pelajar.
iii. Kebolehpasaran graduan yang rendah
Secara sejarahnya pendidikan tinggi dan pendidikan vokasional wujud dengan arah yang
bertentangan. Pengajian tinggi seperti universiti lebih menekankan ilmu saintifik yang
bersistematik manakala pendidikan vokasional menuntut kepada latihan untuk pekerjaan
tertentu. Hasilnya, keluaran universiti dinilai berdasarkan sumbangan pelajar pada sains
manakala keluaran pendidikan vokasional lebih menekankan kepada keupayaan untuk
mendapatkan pekerjaan yang berguna. Ini menyebabkan sumber tenaga yang dihasilkan
8
tidak menepati kehendak pasaran global dan tidak memenuhi permintaan majikan yang
mementingkan pelbagai kemahiran (Sahila Suadi 2011).
Pengangguran dalam kalangan graduan bukanlah suatu isu yang baru. Dilema dalam
isu pengangguran sudah menjadi agenda utama perbincangan di seluruh negara (Sahila
Suadi 2011). Menurut kajian yang dilaporkan oleh Rasul (2007), peratus graduan Melayu
yang menganggur ialah sebanyak 96.33 peratus berbanding graduan kaum lain. Ini
dibuktikan melalui perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2012)
menyatakan bahawa pertambahan mereka yang menganggur adalah seramai 385,600 orang.
Kadar ini agak membimbangkan kerana secara tidak langsung akan memberi impak kepada
pembangunan negara.
Isu dan cabaran yang dikenal pasti dalam merealisasikan pembangunan tenaga kerja
mahir bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia negara maju di peringkat global
adalah ketidaksepadanan kemahiran di antara pelajar dengan industri, pekerja yang kurang
kompeten dan kurang penekanan kepada kemahiran kerja teras seperti kemahiran
penyelesaian masalah, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya.
5.0 CADANGAN DALAM PPP MALAYSIA 2013-2025
i. Tahap Kesediaan Guru
Kursus Perguruan Lepasan Ijazah telah memperlihatkan peningkatan dari segi standard
kemasukan. Peratus pemohon berkelayakan tinggi yang telah ditawarkan tempat dalam
program ini meningkat daripada 7% pada tahun 2010 kepada 13% pada tahun 2012.
Langkah-langkah yang diambil ini merupakan amalan sistem berprestasi tinggi seperti di
Singapura, di Korea Selatan dan di Finland yang membenarkan hanya 10% hingga 30%
daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan.
Guru adalah tunjang kepada sistem pendidikan negara. Mereka merupakan
golongan pelaksana dasar dan matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan
Malaysia. Sehubungan dengan itu, guru-guru sedia ada perlu didedahkan dengan program
latihan sangkutan industri. Ini penting bagi memastikan tenaga pengajar bidang vokasional
mengetahui keperluan supaya dapat diadaptasikan dalam pengajaran.
9
ii. Kesedaran kerjaya pelajar rendah
Guru bimbingan dan kaunseling perlu membantu murid merancang laluan pendidikan dan
seterusnya memilih hala tuju kerjaya. Menjelang penghujung tahun 2013, Kementerian
Pelajaran Malaysia menyatakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling akan dimasukkan
dalam jadual waktu persekolahan menengah. Semua guru bimbingan dan kaunseling dilatih
bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan dan kemudahan untuk membimbing
murid dengan berkesan. Menjelang tahun 2015, sebanyak 35% murid sekolah menengah
rendah akan membangunkan laluan pendidikan dan profil kerjaya masing-masing. Profil ini
akan merekodkan minat, sejarah akademik serta pencapaian lain setiap murid, semuanya
dibangunkan untuk membantu murid membuat pilihan laluan pendidikan yang bersesuaian
pada peringkat menengah rendah.
Sebuah buku panduan yang komprehensif berkaitan akademik dan laluan kerjaya
dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Buku ini akan digunakan oleh murid,
ibu bapa dan kaunselor sekolah untuk membimbing dan membantu murid membuat
keputusan dan pilihan laluan akademik dan kerjaya bermula dengan murid Tahun 6 hingga
ke peringkat seterusnya. Buku panduan ini akan diterbit dan diagih pada penghujung tahun
2013. Di samping itu, kempen dan promosi kesedaran terhadap pelbagai laluan pendidikan
dan keluwesan laluan tersebut diperhebatkan. Kempen tersebut akan menggunakan radio,
televisyen, artikel surat khabar, portal atas talian, jerayawara dan pelbagai saluran lain.
Kempen ini akan dijalankan bermula pada tahun 2013 sehingga akhir tahun 2015.
iii. Kebolehpasaran graduan yang rendah
Kementerian Pelajaran Malaysia akan memastikan sistem pendidikan mempunyai laluan
yang jelas, sesuai dengan minat dan keupayaan murid yang berbeza. Laluan ini akan mudah
dicapai dan menarik dengan memberikan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi
menyediakan murid ke arah profesion pilihan. Menurutnya lagi, fokus akan diberi untuk
mengukuh laluan pendidikan sedia ada untuk menjadikan ia pilihan menarik untuk murid.
Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memastikan sistem
pendidikan menyediakan beberapa laluan pendidikan yang berbeza untuk memenuhi minat
serta kebolehan murid yang pelbagai. Laluan ini berdaya maju dan menarik bagi
menyediakan peluang pembelajaran yang bermakna dan bersesuaian. Matlamat usaha ini
10
adalah ke arah perkembangan kemahiran khusus dan ilmu pengetahuan yang relevan
dengan keperluan laluan khusus yang tertentu. Di samping itu, setiap laluan pendidikan
akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh bagi menyediakan murid kepada laluan
yang jelas dan terarah kepada bidang kerjaya pilihan mereka. Penawaran kemasukan ke
laluan ini bersifat inklusif dan dibuka kepada semua murid termasuk murid berkeperluan
khas.
Permintaan industri untuk murid lulusan vokasional adalah tinggi dan akan terus
meningkat. Pada tahun 2008, Kementerian Sumber Manusia melaporkan terdapat
kekurangan sumber tenaga kerja mahir, iaitu melebihi 700,000 orang dalam industri
pembuatan, pertanian dan pembinaan. Permintaan untuk sumber tenaga mahir pada masa
depan akan terus meningkat. Menjelang tahun 2020, daripada 3.3 juta peluang pekerjaan,
sekurang-kurangnya 46% memerlukan kelayakan sijil vokasional atau diploma, berbanding
22% yang memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda universiti. Bagi merapatkan jurang
permintaan ini, terdapat keperluan untuk menyediakan 50,000 tempat tambahan dalam
pendidikan vokasional setiap tahun.
Pelan Transformasi Vokasional memerlukan lebih daripada 220,000 penempatan
praktikum menjelang tahun 2020. Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengukuhkan
kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan semasa kerja kepada pelajar.
Bagi menggalakkan lebih ramai rakan industri yang berpotensi menyertai kerjasama ini,
beberapa insentif disediakan seperti pelepasan cukai dan memberi keutamaan kepada
mereka memilih graduan bagi mengisi peluang kerjaya. Kerjasama ini akan dimeterai
secara formal melalui Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pelajaran Malaysia
dengan rakan industri. Sebanyak 40% kolej vokasional akan menandatangani perjanjian
dengan industri utama pada tahun 2015.
6.0 JUSTIFIKASI
Secara dasarnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 memberi impak yang
positif dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak komersil dan
industri. Walaupun hala tuju transformasi ini jelas namun pada pendapat saya, proses
pelaksanaannya masih di peringkat awal dan perlu dibuat penambahbaikan dari semasa ke
11
semasa. Beberapa perkara yang boleh difikirkan semula dalam melaksanakan transformasi
pendidikan vokasional di sekolah terutama dari segi pelaksanaan program Kolej
Vokasional. Jalinan kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan semasa
kerja kepada pelajar perlu diperkukuhkan. Namun begitu, jalinan kerjasama kurang
dilaksanakan. Ini menyebabkan pelajar vokasional tidak menepati pasaran kerja.
Menurut Akhmal (2011) satu sistem yang dikenali sebagai Sistem Latihan Dual
Nasional (SLDN) yang diperkenalkan perlu diadakan di sekolah vokasional. Sistem ini
bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada keadaan sebenar alam pekerjaan dalam
industri. Konsep SLDN dalam mempersiapkan individu yang berkemahiran tinggi ialah
dengan mendedahkan pelajar kepada 80% latihan perindustrian yang dilakukan dalam
industri itu sendiri dan 20% lagi dipelajari melalui latihan di sekolah dengan mengikut
kurikulum yang telah ditetapkan oleh National Occupational Core Curriculum (NOCC).
7.0 RUMUSAN
Perancangan pendidikan tidak akan berjaya sekiranya dilaksanakan tanpa mengambil kira
kepentingan semua pihak. Perubahan sesuatu dasar dalam tempoh masa yang terlalu cepat
boleh menjejaskan objektif sebenar vokasional diwujudkan. Di samping itu, perubahan
pendidikan yang kerap dalam tempoh masa yang pendek boleh menyebabkan tenaga
pengajar tidak sempat mempelajari dan mempraktikkan pembelajaran dan pengajaran yang
berkesan. Di sini dapat ditegaskan bahawa sesuatu dasar perlu dibuat penelitian menyeluruh
dalam semua aspek demi masa hadapan generasi muda yang akan menjadi pemangkin
kepada perubahan pembangunan negara.
RUJUKAN :
Ahmad Tajudin Jab. (2012). BPTV Laksana Strategi Lahirkan Modal Insan
Terbaik.Pendidik
Akhmal & Amimudin. (2011). Sistem Latihan Kemahiran Dua Hala Di Malaysia :
Satu Perbandingan Dengan Negara Jerman. Journal of Edupres, Vol. 1 September
2011, Pages 214-222
12
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2012). Perangkaan Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Ogos
2012. Jabatan Perangkaan Malaysia.Putrajaya.
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. (2012). Kementerian
Pelajaran Malaysia. Putrajaya.
Laporan Jabatan Pembangunan Kemahiran.2008
Mohd Fuad Razali. (2012). Strategi PIPP Kembangkan Pendidikan Vokasional.Pendidik
Noor Azreen. Sulaiman. (2012). Pentaksiran Alternatif : Menuju Ke Arah Transformasi
Sistem Pentaksiran Di Malaysia. Penerbit : Universiti Tun Hussien Onn Malaysia.
Rancangan Malaysia Ke Sepuluh. (2010). Ringkasan Eksekutif 2011-2015. Unit Perancang
Ekonomi.Jabatan Perdana Menteri. Putrajaya.
Sahila Suadi, Ahmad Esa. (2012). Tahap Kepuasan Pelajar Terhadap Kualiti
Perkhidmatan Program Kerjaya Di UTHM. Prosiding Seminar Pendidikan Pasca
Ijazah dalam PTV Kali Ke-2, 2012. Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional.
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Siti Nor Atiqah, Rohana & Amirmudin. (2011). Pendidikan PTV Dalam Membangunkan
Tenaga Manusia Berminda Kelas Pertama. Journal of Edupress, Volume 1
September 2011, Pages 279-286.
Siti Syahirah. (2011). Transformasi PTV, Kesediaan Guru-guru Vokasional Terhadap
Pelaksanaan Kolej Vokasional KPM Aspek Tahap Kemahiran. Fakulti UTHM.
Tan Sri Muhyiddin Yassin. (2012). Majlis Pelancaran SkillMalaysia 2011. Auditorium
Cempaka Sari. Putrajaya.
Yusri. (2010). Graduate Employability UTHM. Siri 1-2010. Fakulti UTHM.
Zamri Mahamod. (2011). Memperkasa guru, Mempercekap Pelajar : Pengajaran Dan
Pembelajaran Bahasa Melayu Dalam Abad Ke-21. Ucaptama Seminar Bahasa
Melayu. UKM. Bangi.
top related