remaja dan kesalahan juvana
Post on 06-Dec-2014
183 Views
Preview:
TRANSCRIPT
REMAJA DAN KESALAHAN JUVANA : SALAH SIAPA ?
Assalamualaikum wrht dan Salam Sejahtera kepada Puan Noryana dan rakan-rakan sekalian,.
Hari ini saya akan berkongsi dengan anda semua berkenaan dengan suatu tajuk yang sering
terpapar di dada akhbar iaitu Isu Remaja dan Kesalahan Juvana. Sebelum kita melihat isu ini
dengan lebih lanjut, saya akan mendefinisikan maksud remaja dan jenayah juvana.
Menurut Kamus Dewan , remaja merujuk kepada seseorang yang mulai dewasa dan sudah
akil baligh manakala kesalahan juvana pula ialah kesilapan yang dilakukan oleh anak muda
yang belum matang. Mengikut perundangan juvana, orang muda dan remaja membawa
maksud yang sama, iaitu seseorang yang berumur antara 10 hingga 18 tahun.
Jenayah juvana merujuk kepada perlakuan jenayah yang dilakukan oleh golongan
remaja yang bertindak menyalahi undang-undang. Isu ini merupakan satu isu sosial yang
penting kerana golongan ini adalah kumpulan yang mengganggu hak asasi manusia.
Antara jenayah juvana yang dilakukan ialah rogol, samun, mencuri motosikal, pecah rumah,
dan termasuklah perbuatan agresif terhadap manusia seperti peras ugut. Selain itu,
vandalisme juga merupakan jenayah yang sering berlaku di taman permainan dan sekolah.
Harian Metro telah menunjukkan statistik kes juvana di Malaysia berjumlah sebanyak 25 626
kes sehingga tahun 2011. Angka ini sangat menakutkan dan sekarang pada tahun 2013, angka
itu pasti akan terus meningkat.
Suspek kes juvana yang didapati bersalah akan dihantar ke Sekolah Henry Gurney dan
Sekolah Tunas Bakti manakala terdapat persalah yang dikenakan kerja amal mengikut jam
oleh mahkamah.
Saya percaya setiap tindakan yang dilakukan oleh remaja pasti tersirat sesuatu di sebaliknya.
Setelah dikaji, antara punca yang membawa kepada berlakunya kes juvana ialah keluarga
yang bermasalah.
Antara masalah yang dihadapi dalam keluarga ialah kehilangan ketua keluarga, kekurangan
kasih sayang dan kesempitan kewangan, tiada idola yang baik untuk dicontohi dalam
keluarga serta pelbagai faktor lagi.
Perkara ini menyebabkan remaja mengalami tekanan secara emosi lalu menyertai kumpulan-
kumpulan di luar rumah sebagai sumber bagi memenuhi kelompangan emosi mereka.
Namun, kumpulan-kumpulan di luar ini gagal memberikan sokongan secara positif dan
menarik remaja ini ke kancah jenayah juvana. Pada zaman teknologi maklumat ini, ibu bapa
bekerja untuk mendapatkan wang sehingga mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak
agar menjadi insan yang berguna.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya turut menjadi punca berleluasanya jenayah juvana dalam
kalangan pelajar. Hal ini demikian kerana pelajar sekolah lebih banyak menghabiskan masa
bersama rakan sebaya semasa di sekolah dan selepas pulang dari sekolah. Mereka lebih suka
melepak bersama rakan sebaya dan sanggup melakukan apa sahaja yang disuruh oleh rakan
sebaya.
Media massa turut menjadi punca kegiatan jenayah juvana semakin menular. Kemudahan
seperti internet, emel, televisyen dan radio yang disalahgunakan oleh remaja menyebabkan
mereka mudah akses kepada perlakuan jenayah dan mendorong mereka untuk meniru
perbuatan tersebut.
Kesimpulannya, jenayah juvana yang berlaku dalam kalangan remaja kita bermula dengan
pelbagai punca seperti kekangan ibu bapa dalam mendidik anak-anak, pengaruh rakan sebaya
dan media massa. Justeru kerajaan perlu berganding bahu dengan pelbagai pihak untuk
mengatasi masalah ini agar tidak terus merosakkan imej baik Negara demi masa depan
Malaysia yang lebih cemerlang dan gemilang.
top related