isu pendidikan
Post on 05-Jul-2015
1.105 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Tanggungjawab sistem pendidikan adalah untuk menyediakan generasi muda
dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran supaya mereka dapat
menghadapi alam dewasa. Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal,
tujuan dan matlamat pendidikan negara pada abad ke 21 amat jelas sekali.
Kementerian Pendidikan telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki,
memperkukuh, dan mempertingkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan
perubahan sosialisasi masyarakat hari ini. Salah satu unsur yang penting adalah
memberikan peluang pendidikan yang sama kepada semua pelajar tanpa
mengambil kira budaya, kelas sosial, kelompok etnik dan amalan atau cara
hidup.
UUM
Dalam buku Pembangunan Pendidikan 2001-2010 ( KPM, 2001 ). Kementerian
Pelajaran Malaysia menyatakan bahawa pembangunan pendidikan dari Zaman
Dasar Pembangunan hingga ke Zaman Dasar Wawasan Negara telah berjaya
mencapai banyak kemajuan khususnya dalam penyediaan infrastruktur,
kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. Strategi meningkatkan peluang
pendidikan berjaya mencapai sasarannya. Walau bagaimanapun, apa yang
dilihat pada masa ini masih terdapat pelbagai isu yang ditimbulkan berkaitan
dengan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya perkara
berhubung sengan struktur pendidikan ; akses kepada pendidikan; ekuiti;
kualiti tenaga pengajar; ketidakseimbangan penyediaan infrastruktur;
Pelaksanaan Program PPSMI ; dan kurikulum yang relevan. Ini selaras dengan
pendapat Sufean ( 2004 ) yang menyatakan terdapat banyak isu pendidikan
yang boleh dikatagorikan iaitu pentadbiran, peringkat pendidikan, teknologi
pendidikan, organisasi sekolah dan keguruan.
Struktur Pendidikan.
Beberapa isu berkaitan dengan struktur pendidikan antaranya termasuklah
struktur pendidikan menengah yang tidak selaras kurang menepati keperluan,
misalnya:
Bilangan tahun persekolahan struktur pendidikan Malaysia tidak sama dengan
kebanyakan negara lain di dunia;
Tidak terdapat keseragaman dalam kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi
(IPT) disebabkan wujudnya pelbagai haluan;
Kebanyakan pelajar memilih untuk menamatkan persekolahan mereka selepas
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); dan
Skop kurikulum Tingkatan 1 hingga 6 sangat luas.
Akses Pendidikan.
Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, KPM telah memperkenalkan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information and Communication
Technology (ICT) dalam pendidikan yang meliputi aspek prasarana, pengisian
dan latihan guru. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan
pembekalan komputer sebagai aktiviti utama penyediaan infrastruktur ICT.
Namun isu dan masalah yang menjejaskan usaha penggunaan ICT dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Antara masalah tersebut adalah berkaitan
dengan:
pembekalan komputer yang tidak seimbang antara sekolah bandar dan luar
bandar;
perisian komputer untuk P&P yang sesuai sukar diperoleh;
latihan dalam perkhidmatan untuk guru mengendalikan sistem komputer di
sekolah yang kurang berkesan;
penyenggaraan komputer yang kurang memuaskan di sekolah; dan
bilangan guru terlatih dalam ICT yang belum mencukupi.
Justeru adalah menjadi cabaran kepada KPM untuk memastikan setiap sekolah
akan memperoleh komputer menjelang usaha menjadikan setiap murid dan
guru celik ICT.
Ekuiti Pendidikan.
Dalam pelaksanaan Pembangunan Pendidikan 2001-2010, setiap institusi
pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dipastikan
mempunyai infrastruktur yang berkesan yang mencukupi dan berkualiti untuk
pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum yang berkesan. Oleh itu, input
pendidikan yang meliputi guru, peruntukan kewangan, bahan dan peralatan
pengajaran serta program sokongan akan diagih secara adil ke semua sekolah
bagi mengurangkan jurang perbezaan antara sekolah beruntung (advantaged
school) dan sekolah kurang beruntung (disadvantaged school). (Sumber:
Pembangunan Pendidikan 2001-2010, KPM).
Namun, setelah lebih kurang tujuh tahun pelaksanaan program tersebut, masih
terlalu banyak sekolah-sekolah di Malaysia yang belum dapat menikmati
kemudahan yang dijanjikan. Ini menyebabkan timbulnya beberapa isu yang
dikaitkan dengan ekuiti atau peruntukan yang disediakan oleh KPM tidak
mencukupi untuk pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Sebagai contoh, kementerian tidak menyediakan prasarana yang amat
diperlukan, seperti bilik darjah yang mempunyai kemudahan khusus,
terutamanya sekolah-sekolah luar bandar atau pedalaman. Selain itu,
kemudahan lain seperti sumber pengajaran dan pembelajaran dan kelengkapan
buku teks juga masih berkurangan.
Tenaga pengajar.
Kekurangan tenaga pengajar yang berkemahiran turut menjadi isu dalam
pelaksanaan pendidikan pendidikan yang berkesan. Berdasarkan statistik yang
dikeluarkan oleh Bahagian Perancangan Pembangunan Pendidikan (BPPDP)
Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2000 sebanyak 61.8 guru terdiri
daripada guru perempuan dan KPM menghadapi masalah menempatkan mereka
di sekolah luar bandar, khususnya di pedalaman dan pulau. Kebanyakan
sekolah di pedalaman dan pulau mendapat guru yang kurang berpengalaman
atau kurang latihan. Keadaan ini juga turut menyebabkan berlaku
ketidaksepadanan (mismatch) dalam pengagihan guru mengikut opsyen. Maka
berlakulah keadaan di mana kebanyakan guru yang mengajar di sekolah
menjadi “bidan terjun”. Guru yang bukan opsyen terpaksa mengajar mata
pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris bagi memenuhi
keperluan pelajar. Disebabkan kurang pengalaman dan pengetahuan tentang
subjek berkenaan maka kewibaan guru dalam menyampaikan ilmu kepada
pelajar mula dipertikaikan.
Program PPSMI.
Sejajar dengan matlamat ingin melahirkan pelajar yang “bertaraf dunia”, KPM
juga telah melaksanakan Program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan
Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walau bagaimanapun penggunaan
bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek sains dan matematik telah mendapat
respon yang negatif daripada rakyat. Ini kerana penggunaan bahasa asing
bukan sahaja merosakan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu,
tetapi turut memusnahkan reputasi pelajar, khususnya di luar bandar. Mereka
belajar melalui medium yang mereka tidak faham. Komunikasi tidak berkesan
dalam pelajaran sudah tentu memberi kesan yang buruk.
Kesan globalisasi.
Selain daripada itu, isu-isu berkaitan pendidikan juga turut melibatkan
penggunaan internet. Era dunia tanpa sempadan atau globalisasi telah
memudahkan maklumat diperoleh dengan cepat dan berkesan melalui internet
atau laman-laman web dan sebagainya melalui komputer. Implikasinya, isu-isu
Moral semasa khususnya isu-isu yang membabitkan nilai-nilai sosial menjadi
begitu kompleks dan menjadi sukar untuk diselesaikan. Fenomena ini
disebabkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang ingin diterapkan
bercanggah dengan nilai-nilai di Barat atau negara-negara maju yang lain yang
mana mereka lebih mementingkan materialistik, individualistik dan budaya
kosmopolitan.
Sahsiah Pelajar.
Kualiti sahsiah pelajar pada pelbagai peringkat pendidikan juga turut menjadi
isu dan dipersoalkan kerana masih terdapat sebilangan pelajar rendah yang
naik ke sekolah menengah, atau pelajar menengah rendah yang naik ke
Tingkatan 4 memiliki kualiti sahsiah yang kurang baik. Hal ini berlaku pada
kebanyakan murid tanpa mengira kaum dan agama. Sebagai contoh, tabiat
merokok di kalangan pelajar, gejala vandalisme, melepak, ponteng sekolah dan
sebagainya di kalangan pelajar sekolah semakin menjadi-jadi.
Isu-isu lain dalam sistem pendidikan.
Selain isu-isu yang dikemukakan di atas, terdapat pelbagai lagi isu yang timbul
berkenaan pencapaian Dasar Pendidikan Kebangsaan, antaranya:
Kepimpinan sekolah masih tidak dapat berfungsi sepenuhnya sebagai
pemimpin pengurusan dan pemimpin pengajaran (instructional leadership)
yang berkesan;
Pengupayaan kepada sekolah adalah terhad. Semua sekolah masih perlu
mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak
mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah
melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri;
Layanan yang sama diberi kepada semua sekolah walaupun pada realitinya
sekolah mempunyai keperluan, kekuatan dan kelemahan serta keupayaan
yang berbeza;
Keselamatan di sesetengah sekolah masih belum terjamin sepenuhnya;
Penandaarasan bagi menjamin sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah
di negara maju adalah terhad;
Struktur organisasi antara lapisan pentadbiran di KPM yang tidak setara
menyebabkan penyaluran dasar dan pelan pelaksanaan kurang sistematik dan
berkesan;
Sistem penyampaian masih belum cekap dan berkesan khususnya daripada
aspek pemberian bantuan; dan
Sistem maklumat tidak menyeluruh dan tidak bersepadu.
Baca isu-isu lain berkenaan pendidikan di SINI
* Entri dari blog KulanzSalleh
top related