ict
Post on 16-Jan-2016
46 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
KEKANGAN-KEKANGAN PENGINTEGRASIAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN SAINS DI SEKOLAH RENDAH.
PENGENALAN
Sejak mencapai kemerdekaan, negara kita telah mengalami perubahan yang pesat dalam
sistem pendidikannya. Bagi meningkatkan mutu pendidikan, dasar-dasar pendidikan negara
sentiasa dikaji dan kurikulum sentiasa diubahsuai bagi memastikan keberkesanan
perlaksanaannya dalam menghadapi alaf baru dalam bidang ekonomi, politik dan sosial agar
selaras dengan perkembangan pesat yang sedang berlaku dalam negara. Sesungguhnya,
gelombang teknologi maklumat dan komunikasi telah meninggalkan impak yang amat nyata
dalam sistem pendidikan negara.
Kini tiba masanya budaya persekolahan perlu berubah kepada amalan bermaklumat,
kreatif, bijak berfikir, penyayang dengan mengaplikasikan teknologi terkini (KPM, 1997).
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak ketinggalan melihat pembelajaran secara
elektronik sebagai satu kaedah yang dapat membantu pelajar dalam memahami konsep bagi
subjek yang diajar. Sehubungan dengan itu, KPM melalui Pusat Perkembangan Kurikulum telah
mengadakan semakan semula kurikulum sekolah dengan mengintegrasikan teknologi maklumat
dan komunikasi ke dalam kurikulum.
ICT (Information Communication Technology) merujuk kepada suatu sistem yang
membolehkan pengumpulan, pengurusan, manipulasi, perolehan, dan komunikasi maklumat
dalam pelbagai bentuk. ICT dalam pendidikan bermaksud penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan,
pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan sepanjang hayat. Penggunaan ICT membolehkan
aktiviti pembelajaran dan pengajaran dijalankan tanpa kekangan tempat dan masa, meningkatkan
penggunaan sumber pendidikan, berupaya meningkatkan kualiti pendidikan di samping
mempercepat proses pendidikan berasaskan kadar kebolehan pelajar.
1
KPM telah menggariskan tiga dasar utama ICT dalam pendidikan:
1. Dasar pertama adalah literasi ICT untuk semua pelajar, bermaksud pelajar memperoleh
kemahiran menggunakan kemudahan ICT.
2. Dasar kedua mengutamakan peranan dan fungsi ICT dalam pendidikan sebagai kurikulum dan
alat pengajaran dan pembelajaran. ICT sebagai kurikulum bermaksud pelajar mempelajari ICT
sebagai mata pelajaran seperti mata pelajaran Teknologi Maklumat bagi peringkat SPM dan mata
pelajaran Pengkomputeran bagi peringkat STPM. ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
seperti penggunaan perisian kursus, internet, dan aplikasi generik yang lain (contohnya, perisian
CAD dalam mata pelajaran reka cipta dan lukisan kejuruteraan).
3. Dasar ketiga menekankan penggunaan ICT untuk meningkatkan produktivi, kecekapan, dan
keberkesanan sistem pengurusan. Ini terhasil daripada pengautomasian pejabat dan pelaksanaan
sistem aplikasi pengurusan yang membawa kepada penambahbaikan proses kerja.
PERBINCANGAN
Perkembangan yang pesat dalam bidang komunikasi berlaku dengan pantas. Dengan
kemunculan teknologi, telah berlaku revolusi besar dalam bidang komunikasi sejagat. ICT telah
mengubah cara manusia bekerja. ICT juga dikatakan dapat mempermudahkan tugas serta
meningkatkan prestasi pelajar seperti penggunaan teknologi sebagai medium untuk bantuan
pembelajaran selain dari pembelajaran formal di dalam kelas. Justeru itu, pengetahuan dan
kemahiran mengguna serta mengintegrasikan ICT di tahap awal pendidikan khususnya dalam
matapelajaran Sains adalah sangat penting dalam membentuk dan menaik taraf pendidikan di
kalangan para pelajar.
Hasil dapatan kajian yang dijalankan oleh Jones (2004). Penulis mendapati bahawa tujuh
halangan yang wujud semasa pengintegrasian ICT dalam pengajaran ialah guru kurang
berkeyakinan semasa pengintegrasian (21.2% responden), kurang capaian terhadap sumber
(20.8%), kekurangan masa untuk membuat pengintegrasian (16.4%), kurang latihan yang efektif 2
(15.0%), menghadapi masalah teknikal semasa perisian digunakan (13.3%), kurang capaian
individu semasa penyediaan bahan pengajaran (4.9%) dan usia guru (1.8%).
Walaupun penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran sudah lama
diperkenalkan, masih terdapat ramai guru-guru matapelajaran Sains yang memandang kaedah ini
secara sambil lewa. Guru-guru lebih selesa dengan kaedah tradisional dan tidak mengaplikasikan
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran mereka. Sebanyak 81% guru
mengaku tidak memanfaatkan kelebihan ICT dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahkan
di kalangan guru-guru yang telah mendapat Kursus Sekolah Bestari juga kurang daripada 50%
yang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer (Imran, 2000).
Generasi yang lahir sebelum era 1970-an dikatakan kurang cekap mengendalikan
peralatan-peralatan ICT. Hal ini sangat berbeza dengan generasi selepas era 1990-an yang cekap
dan berpengetahuan luas dalam hal penggunaan ICT. Masih terdapat guru Sains yang tidak cekap
menggunakan peralatan ICT seperti pemancar LCD dan laptop, perkara ini akan menimbulkan
masalah. Guru-guru yang tidak cekap ini juga, mengambil masa yang lama untuk menyediakan
peralatan sebelum memulakan proses pengajaran. Akibatnya, masa di bilik darjah terbazir begitu
sahaja memandangkan guru terkial-kial menggunakan peralatan ICT yang disediakan pihak
sekolah. Kadang-kala pula, seseorang guru memerlukan masa yang khusus di luar waktu sekolah
bagi membuat persediaan terhadap alat yang melibatkan pengunaan ICT yang agak rumit.
Kelemahan sebilangan guru ini menyebabkan usaha kerajaan untuk mengaplikasikan ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran terbantut.
Justeru itu, kerajaan telah mengambil langkah memberi latihan intensif kepada guru-guru
Sains menerusi program dan kursus khas yang dijalankan. Melalui program Latihan Dalam
Perkhidmatan (LDP), guru-guru ini diberi taklimat khas dan hands-on penggunaan ICT dalam
pengajaran dalam pembelajaran pelajar oleh tenaga pengajar yang terlatih. Semasa LDP, guru-
guru ini diajar mengenai penggunaan Microsoft Word, Microsoft Powerpoint, pengurusan emel,
dan sebagainya yang berkaitan. Melalui cara ini, sedikit sebanyak dapat membantu guru-guru
dalam menggunakan ICT dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran.
3
Faktor kekurangan bahan sumber, contohnya kekurangan alat atau kelengkapan terhadap
peralatan ICT turut menimbulkan masalah kepada guru-guru Sains. Misalnya, sekiranya guru
sedang menggunakan peralatan ICT, dan didapatinya alatan tersebut tidak cukup atau tidak
lengkap, keadaan ini sekaligus menyebabkan guru akan hilang minat terhadap pengaplikasian
ICT dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Manual penggunaan yang kurang jelas tentang
sesuatu peralatan canggih atau berteknologi tinggi ini juga menjadi bebanan dan masalah kepada
guru-guru yang kurang berkemahiran dalam penggunaan ICT. Kurikulum yang samar tentang
pengaplikasian kaedah pengajaran Sains yang menggunakan ICT bakal menimbulkan kekangan
kepada guru-guru yang ingin menggunakan pendekatan ICT dalam proses pembelajaran dan
pengajaran kerana bimbang dan khuatir ianya lari atau bercanggah dengan kurikulum.
Satu analisis rekod penyelenggaraan pencegahan yang dijalankan di sebuah sekolah
pedalaman menunjukkan penggunaan peralatan ICT di sekolah tersebut masih berada pada tahap
yang rendah jika dibandingkan peruntukan yang terlalu besar dalam menyediakan kemudahan
ICT di sekolah tersebut. Didapati bacaan yang direkodkan daripada enam unit projektor LCD
yang diperiksa, menunjukkan purata setiap projektor LCD ini beroperasi hanyalah selama 29 jam
dalam jangkamasa dua tahun yang boleh dikatakan sangat rendah (MHS, 2005). Keadaan ini
menunjukkan betapa kurangnya penggunaan LCD dikalangan guru di sekolah tersebut.
Ssesetengah pihak atasan (pentadbir sekolah) turut mengambil sikap lepas tangan dan
kurang memberi sokongan kepada para guru dalam penggunaan ICT. Keadaaan ini juga
mematikan semangat guru untuk mengunakan ICT dan proses pembelajaran dan pengajaran.
Guru-guru amat memerlukan sokongan sekiranya berlaku sebarang permasalahan yang
berkaitan. Seharusnya sokongan yang kuat harus diberikan untuk menaikkan semangat guru,
namun apa yang berlaku, guru dipandang lekeh dan pihak atasan tidak memberi sebarang
kerjasama kepada guru dalam meningkatkan pengaplikasian ICT dalam proses pembelajaran dan
pengajaran.
Pada tahun 2003, sebanyak 31 peratus atau 7217 sekolah rendah di Malaysia dan 54
peratus atau 1641 sekolah menengah mempunyai kelengkapan komputer: 10 peratus sekolah
rendah dan 34 peratus sekolah menengah mempunyai kemudahan akses internet. Tetapi agihan
kelengkapan yang disediakan kerajaan tidak setara di semua negeri. Hanya di Lembah Klang dan 4
Kuala lumpur sahaja, semua sekolah dilengkapi dengan kemudahan ini, malah dalam lebih 1000
buah sekolah di luar kawasan ini tidak langsung mempunyai talian telefon (Belawati, 2003).
Oleh itu, kerajaan telah mewujudkan lebih banyak pusat-pusat teknologi komunikasi dan
maklumat (ICT) di kawasan pedalaman dan luar bandar bagi membolehkan rakyat di kawasan
terbabit mengakses ICT selain mendapatkan maklumat terkini dan semasa. Kerajaan juga telah
mengambil langkah menambah makmal-makmal komputer di sekolah di seluruh negara untuk
melatih pelajar menggunakan komputer sejak usia pujuk, sekaligus merapatkan jurang pelajar
bandar dan luar bandar. Usaha kerajaan memperbanyak komputer di makmal komputer sekolah
juga melibatkan kos dan komitmen yang tinggi.
Sesungguhnya, langkah untuk mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
matapelajaran Sains di semua peringkat sekolah di Malaysia dilihat sebagai satu keperluan. Oleh
yang demikian, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan 30 peratus daripada bajet
tahunan mereka (RM 42 bilion) untuk diagihkan kepada 230 buah sekolah di pedalaman dengan
kemudahan internet dimana 120 buah sekolah akan diberi kemudahan talian ISDN, 100 buah
sekolah dengan talian PSTN dan 10 buah sekolah dengan sambungan VSAT. Dengan
kemudahan sebegini, dijangkakan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran dapat
ditingkatkan.
Walaupun bilangan komputer mencukupi disediakan kepada setiap sekolah, akan tetapi
masalah penempatan komputer menghadapi masalah kepada sekolah yang mempunyai keluasan
yang agak terhad, biasanya sekolah yang memang tidak menyediakan ruang atau bilik komputer
yang khusus untuk kegunaan para pelajar. Biasanya fenomena ini berlaku kepada sekolah
pendalaman dan luar bandar kerajaan yang tidak mempunyai dana yang cukup untuk
menyediakan ruang yang khusus untuk kemudahan komputer. Jadi, perkara ini merumitkan
kepada guru yang ingin menggunakan kemudahan komputer sebagai proses pengajaran Sains
yang lebih menarik dan percubaan di dalam pengaplikasian ICT di dalam pembelajaran Sains.
Selain daripada itu, penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di Malaysia
dikatakan menunjukkan jurang perbezaan pelajar bandar dan luar bandar. Pelajar di luar bandar
kurang terdedah kepada gajet-gajet ICT dalam kehidupan seharian. Hal ini menyebabkan
5
kesukaran pihak guru untuk menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Sains.
Kebanyakan program pendidikan yang dibangunkan dalam bentuk ICT harus digunakan secara
dua hala, iaitu memerlukan interaksi balas daripada pelajar.
Jika dilihat dari aspek pengetahuan mengenai ICT, masih ramai pelajar yang jauh
ketinggalan dan menyimpulkan bahawa komputer adalah alat yang sukar untuk dikendalikan.
Tambahan lagi kemahiran asas komputer seperti kemahiran menggunakan perisian seperti
Microsoft Word masih lagi lemah dikalangan pelajar. Apatah lagi pengetahuan mereka mengenai
internet yang menjadi gerbang untuk mencari maklumat turut berada pada aras yang lemah.
Keadaan ini dapat diperhatikan dengan jelas di kalangan murid-murid di kawasan pedalaman dan
luar bandar. Mereka ini harus diberi pendedahan akan fungsi internet sebagai gerbang mencari
maklumat selain menyediakan modul yang efektif khususnya dalam pendidikan ICT. Sekurang-
kurangnya mereka tahu menggunakan aplikasi asas seperti menggunakan Microsoft Word.
Hal yang sama turut dipersetujui oleh Volman (2005) yang mengkaji penggunaan
komputer di sekolah rendah di kalangan etnik minoriti di Amerika menunjukkan, golongan ini
jarang menggunakan komputer untuk mencari maklumat bagi persediaan pembelajaran di dalam
kelas. Mereka juga jarang menggunakan internet semasa di sekolah. Penggunaan komputer pula
lebih kepada untuk memantapkan kemahiran literasi menggunakan komputer.
Peralatan ICT di makmal komputer juga sering rosak disebabkan oleh peralatan yang
tidak berkualiti dan juga penggunaan oleh pelajar yang tidak bertanggungjawab dan
menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran Sains terganggu . Pelajar-pelajar yang
menggunakan makmal komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka seringkali
merosakkan peralatan ICT yang terdapat di dalam makmal komputer. Antara kerosakan yang
sering mereka lakukan ialah membuang bebola tetikus, menukar butang-butang pada papan
kekunci dan menukar setting pada komputer. Kerosakan yang dibuat oleh segelintir pelajar tidak
bertanggungjawab ini menyebabkan komputer tidak dapat digunakan oleh pelajar-pelajar lain.
Masalah gangguan internet berlaku kerana perkakasan yang tidak lengkap dan mudah rosak
seperti alat penebat kilat. Kerosakan sering berlaku kepada perkakasan ini hingga menyebabkan
modem rosak disambar kilat. Akibatnya gangguan internet akan berlaku dan mengambil masa
6
yang agak lama untuk diambil tindakan oleh kontraktor yang terbabit. Maka, proses pengajaran
Sains menggunakan ICT tergendala.
Bagi memastikan peralatan ICT sentiasa dalam keadaan yang baik, KPM telah melantik
syarikat-syarikat untuk menyelenggarakan peralatan ICT di sekolah. Walau bagaimanapun,
perkhidmatan yang diberikan oleh kontraktor ini umpama melepaskan batuk di tangga.
Kontraktor-kontraktor ini sengaja melengah-lengahkan masa apabila penyelaras makmal
komputer membuat laporan untuk menyelenggarakan peralatan ICT yang rosak. Peralatan yang
rosak pula tidak digantikan dengan serta-merta dengan alasan kehabisan stok. Pihak sekolah
harus menunggu dalam jangka masa yang lama untuk menanti kehadiran kontraktor yang
bertanggungjawab menyelenggara dan memastikan semua unit komputer di sekolah dapat
berfungsi dengan baik. Adakalanya peralatan yang rosak digantikan dengan peralatan yang
spesifikasinya lebih rendah. Contohnya, di salah sebuah makmal komputer yang mengalami
kerosakan pencetak laser yang berkuasa tinggi, kontraktor mengambil jalan penyelesaian dengan
menggantikan pencetak tersebut dengan pencetak inkjet yang jauh lebih murah dan lebih rendah
kuasanya.
Penyelaras makmal juga menyatakan bahawa mereka mempunyai masa yang agak terhad
untuk menyelenggarakan kerosakan kecil pada peralatan ICT memandangkan mereka juga
terikat dengan jadual waktu pengajaran yang padat seperti guru-guru lain. Juruteknik makmal
komputer pula hanya diperuntukkan kepada sekolah-sekolah Gred A yang melaksanakan
program Sekolah Bestari.
Terdapat juga masalah dalam mendapatkan perisian yang bersesuaian dengan kehendak
guru matapelajaran Sains. Masalah ini dapat diatasi sekiranya guru-guru Sains diberikan latihan
dalam pembangunan perisian pendidikan, pembangunan perisian laman web dan multimedia.
Sebenarnya, guru-guru tidak mempunyai masalah untuk mengubah tradisi pengajaran mereka
sekiranya kemudahan-kemudahan dan sokongan-sokongan diberikan dengan cara yang
menyeluruh dan terbaik. Sesungguhnya, aspek penyelengaraan dan sokongan teknikal bagi
memastikan peralatan dapat berfungsi dengan baik tidak dititikberatkan.
7
Isu penyalahgunaan makmal komputer dan internet percuma di sekolah juga sering
diperkatakan. Guru-guru dan pelajar-pelajar didapati menyalahgunakan kemudahan internet di
sekolah untuk melayari laman-laman web yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan
pembelajaran Sains seperti laman sosial Twitter, Facebook dan sebagainya. Penyalahgunaan
seperti ini dibimbangi mampu meningkatkan jenayah intenet yang sukar dikawal.
Antara kekangan lain yang mengganggu perlaksanaan pengintegrasian ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran Sains ialah bilangan komputer tidak mencukupi, gangguan talian
internet, masa pengajaran yang tidak mencukupi, kurang bantuan teknikal dan tidak mempunyai
masa untuk menambah kemahiran penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kekangan-kekangan ini merupakan kekangan yang berada di tahap sederhana. Manakala
spesifikasi komputer yang ketinggalan, kekurangan perisian pengajaran yang sesuai dan kurang
sokongan pihak pentadbir merupakan kekangan-kekangan yang berada pada tahap yang kecil.
Sebagai contoh, jika diperhatikan di Sekolah Bestari daripada aspek pentaksiran
misalnya dalam matapelajaran Sains, didapati pentaksiran murid dilaksanakan secara
berterusan dan digunakan untuk menggalakkan pembelajaran. Pentaksiran boleh
dilaksanakan di dalam bilik darjah (on site) ataupun secara dalam talian (on line). Namun
pentaksiran secara talian hanya terhad kepada sekolah yang mempunyai komputer yang
dirangkaikan (network) dan aplikasi sistem pengurusan pentaksiran. Sekiranya tiada
network, maka proses pentaksiran tidak dapat dilaksanakan secara teratur dan sistematik.
Guru besar harus bertindak sebagai pemimpin pendidikan dan disokong oleh
sekumpulan tenaga pengajar yang berkaliber dan professional. Penggunaan teknologi
maklumat sebagai medium utama membolehkan penyimpanan kemudahan data dan
memudahkan pentadbir untuk mendapatkan semula data yang banyak. Ia memudahkan kerja
memproses dan menyampaikan hasil yang berkaitan untuk pentadbir membuat keputusan.
Ini akan membantu meningkatkan kecekapan, menghapuskan pertindihan dan secara radikal
membaiki akses bagi semua yang berkenaan. Namun, tanpa kemudahan pengkomputeran
dalam talian pengurusan sekolah, pentadbir tidak dapat merancang, mengurus dan
menggunakan sumber manusia dan fizikal dengan berkesan.
8
Sesungguhnya, matlamat utama pengintegrasian ICT adalah untuk melibatkan pelajar
dalam pembelajaran bermakna dan bukannya untuk pelajar menggunakan teknologi semata-
mata. Pembelajaran berkomputer lazimnya dikaitkan dengan beberapa istilah dalam bahasa
Inggeris iaitu Computer Assisted Learning (CAL) iaitu pembelajaran berbantukan komputer,
Computer Assisted Instruction (CAI) iaitu pengajaran berbantukan komputer dan Computer
Based Learning (CBL) iaitu pembelajaran berasaskan komputer.
Pendekatan yang terbaik dalam penggunaan ICT ialah penggunaan yang sesuai dengan
keperluan murid, serta dapat membuahkan hasil yang diharapkan dalam jangka masa yang
munasabah. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dapat dilihat dari dua
aspek, iaitu aspek pengajaran Sains di mana guru menggunakan ICT dan aspek pembelajaran
Sains iaitu pelajar menggunakan ICT. Dalam konteks pengajaran, ICT boleh digunakan sebagai
alat persembahan dan alat demonstrasi. Manakala, dalam konteks pembelajaran, penggunaan
ICT boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi.
KESIMPULAN
Untuk mencapai matlamat pendidikan di Malaysia, satu anjakan paradigma diperlukan
dalam cara pemikiran dan penggunaan teknologi (Wan Zahid, 1996). Usaha perlu dibuat dan
penglibatan secara menyeluruh perlu dilakukan sehingga kita mampu mereka dan menghasilkan
sesuatu mengikut acuan pemikiran kita sendiri, tanpa bersandar dan berharap kepada orang lain.
Bidang teknologi maklumat yang menjadi sebahagian daripada kandungan sukatan pelajaran
Sains akan memberi peluang kepada guru-guru Sains untuk menambahkan pengetahuan dan
meningkatkan kemahiran dalam penggunaan komputer, khususnya untuk aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Tambahan pula pada hari ini, terdapat pelbagai program pendidikan Sains yang
dicipta dan dipasarkan, yang meliputi hampir semua peringkat.
Keengganan guru-guru Sains untuk mengintegrasikan ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran matapelajaran Sains bukanlah disebabkan faktor dalaman yang ada pada diri
mereka tetapi ia berpunca daripada faktor-faktor luaran seperti kemudahan yang tidak sempurna
9
dan kekurangan latihan daripada peringkat pengajian hinggalah ke peringkat perkhidmatan.
Untuk beralih daripada kaedah tradisional kepada teknologi sudah tentu mengambil masa yang
lama. Guru-guru Sains perlu mengikuti kursus kemahiran ICT secara berperingkat-peringkat dan
mendapat sokongan dari pentadbir, kementerian serta sumber pakar-pakar dalam ICT yang
mendapat kemahiran khusus dalam bidang pendidikan. Setelah kekangan-kekangan
mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran diatasi, mungkin perubahan akan
berlaku dalam sistem pendidikan negara yang selama ini hanya menekankan kaedah ‘drill and
practice’. Segala kemudahan yang sedia ada mungkin akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh guru-
guru demi kebaikan pelajar-pelajar. Segala kekangan yang wujud ini, dapat di atasi sekiranya
semua pihak bersatu dan berusaha untuk mengatasinya.
10
RUJUKAN
Basir Zaharom (2008, Disember 22). Pendidikan Orang Asli. Berita Harian. Retrieved Sept
8, 2009 from http://www.scribd.com/doc/14269900/masalah-keciciran-pelajaran-
kaum-orang-asli.
Ekhwan Bin Besah @ Sitam (2004). Kemahiran Guru Sekolah Kebangsaan Daerah Batu
Pahat Menggunakan Komputer dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Tesis Sarjana.
UTM
KPM. (1997). Sekolah Bestari Di Malaysia: Suatu Lonjakan Saujana. Kuala Lumpur.
Md. Nor Bakar & ²Rashita A. Hadi (2011) Journal of Science and Mathematics Educational,
volume 2 Jun 2011, Pages 1-17/ISSN:2231-7368 Pengintegrasian ICT Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran Matematik Di Kalangan Guru Matematik Di Daerah
Kota Tinggi, Universiti Teknologi Malaysia.
Shahwiran Shahrany (2009, Jan 27) Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
dalam p&p. Retrieved April 30, 2013 from
http://www.slideshare.net/shahwiran/penggunaan-ict-dalam-pp-presentation
Volman, M., & Van Eck, E. (2001). Gender Equity and Information Technology in
Education: The 2nd Decade. Review of Educational Research, 71(4), 613-634.
Retrieved March 10, 2010, from Science Direct database.
11
top related