huraian model
Post on 17-Feb-2015
61 Views
Preview:
TRANSCRIPT
HURAIAN MODEL-MODEL MODIFIKASI TINGKAH LAKU .
Dalam menguruskan bilik darjah, ahli-ahli teoris dan para pendidik telah
mengemukakan beberapa model pengurusan bilik darjah. Model-model ini berlandaskan
aras kawalan yang berbeza, iaitu daripada kawalan luaran sehingga kawalan kendiri. Berikut
merupakan model-model modifikasi tingkah laku yang telah dipelopori oleh ahli-ahli teoris
dalam pengurusan bilik darjah. Antaranya adalah Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner,
Model Disiplin Asertif Canter, Model Akibat Logika Dreikurs, Model Terapi Realiti Glasser
dan Model Pengurusan Kelompok (Kounin).
Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner
Burrhus Frederic Skinner (1904-1990) memperoleh Ijazah Kedoktoran dari Universiti
Harvard pada tahun 1931 dalam bidang Psikologi dan banyak menerbitkan artikel dan buku
berdasarkan kajian-kajian beliau terhadap tingkah laku manusia. Beliau berpendapat tingkah
laku manusia banyak dipengaruhi oleh apa sahaja tingkah laku yang berlaku sebaik sahaja
ditunjukkan. Beliau tidak mengkaji secara langsung tentang tingkah laku murid di dalam bilik
darjah tetapi pengikut-pengikutnya telah mengaplikasikan konsep modifikasi tingkah laku ke
dalam pengajaran di dalam bilik darjah, perkembangan kanak-kanak dan hubungan sosial
antara individu.
Model Tingkah Laku ini menggunakan prinsip peneguhan yang menjurus kepada
elemen-elemen luaran bagi mempengaruhi tingkah laku murid iaitu peneguhan yang
menjadi rangsangan untuk meningkatkan tingkah laku yang diingini. Terdapat dua jenis
peneguhan, iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif berlaku
apabila rangsangan diberikan seperti hadiah, pujian, dan sebagainya yang bertujuan untuk
meningkatkan tingkah laku murid yang diingini. Manakala peneguhan negatif berlaku apabila
rangsangan seperti majalah, komik dikeluarkan supaya murid-murid kembali menunjukkan
tingkah laku yang diingini.
Sebagai contoh, murid akan diberikan ganjaran yang positif seperti mendapat hadiah
dan pujian jika mereka menunjukkan tingkah laku yang baik seperti tidak berbuat bising,
melakukan kerja rumah dengan baik dan menyiapkan tugasan tepat masanya. Manakala
untuk peneguhan negatif pula, guru akan memberikan hukuman atau dendaan sekiranya
murid-murid melanggar peraturan seperti membaca komik semasa guru sedang mengajar.
Guru merampas komik tersebut dengan harapan supaya murid akan kembali menumpukan
perhatian mereka kepada pengajaran guru. Komik tersebut bertindak sebagai bahan
rangsangan yang tidak diingini. Guru melakukan peneguhan negatif apabila murid-murid
melakukan rangsangan yang tidak diingini. Untuk mendapatkan semula perhatian murid-
murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang di jalankan , guru
mengumpan dengan mengeluarkan bahan rangsangannya iaitiu komik yang di bawa oleh
murid tersebut. Dengan ini , guru dapat meningkatkan kembali tingkah laku murid yang di
ingini .
Peneguhan berbentuk positif atau negatif digunakan untuk meneguhkan atau
meningkatkan tingkah laku yang diingini. Peneguhan adalah berbeza dengan dendaan.
Peneguhan merupakan tindakan untuk menghukum tingkah laku yang salah atau tidak
diingini manakala dendaan pula merupakan tindakan yang diambil untuk mengurangkan
tingkah laku yang diingini. Tingkah laku individu banyak dipengaruhi atau dibentuk oleh
peneguhan yang diterima sebaik sahaja tingkah laku tersebut ditunjukkan. Menurut Skinner,
untuk mendapat tingkah laku yang diingini, peneguhan atau ganjaran perlu diberi selepas
seseorang menunjukkan tingkah laku tersebut. Rangsangan peneguhan ini diperoleh di
dalam bilik darjah dalam bentuk kejayaan yang diraih selepas berusaha, penyetujuan atau
penerimaan rakan sebaya, hadiah, senyuman, anggukan atau pujian yang diperoleh
daripada guru.
Perubahan tingkah laku merujuk kepada tingkah laku yang digunakan oleh guru
untuk membentuk tingkah laku yang diingini melalui peneguhan yang berkala. Tingkah laku
yang seterusnya pula dipengaruhi dengan cara peneguhan itu diberikan. Melalui peneguhan
yang tetap yang diberi setiap kali seseorang murid menunjukkan tingkah laku yang diingini,
hal ini akan membantu membentuk tingkah laku baharu yang diingini. Sebagai contoh, guru
boleh melibatkan murid-murid yang pemalu dalam setiap aktiviti bilik darjah.
Guru perlu menggunakan peneguhan yang tetap dan berkala seperti memberikan
pujian apabila setiap kali murid tersebut mengangkat tangan atau dapat menjawab dengan
betul. Dengan peneguhan ini, murid-murid yang pemalu akan mula berani untuk
mengangkat tangan dan melibatkan diri kerana diteguhkan, mendapat bimbingan atau
mendapat ganjaran selepas dia menunjukkan tingkah laku tersebut. Apabila tingkah laku
yang diingini telah ditunjukkan, guru mungkin akan mengurangkan peneguhan dan
memberikan peneguhan tersebut apabila diperlukan sahaja, iaitu sebagai pengekalan
kepada tingkah laku yang ditunjukkan.
Apabila murid sudah berani melibatkan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran
(P&P) seperti mengangkat tangan apabila soalan diberikan, guru tidak lagi perlu untuk
memberikan pujian setiap kali murid melakukan perkara tersebut tetapu hanya meneguhkan
pada waktu-waktu tertentu sahaja sekadar utnuk mengekalkan tingkah laku tersebut.
Tingkah laku ini juga boleh hilang atau pupus sekiranya guru tidak memberikan peneguhan
dalam jangka masa yang panjang. Sebagai contoh, murid yang mengangkat tangan tetapi
tidak dipanggil oleh gurunya, lama-kelamaan murid akan berhenti daripada mengangkat
tangan dan melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah.
Model Disiplin Assertif Canter
Seterusnya ialah model modifikasi tingkah laku Model Disiplin Asertif Canter
merupakan model disiplin yang berasaskan peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini
serta penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan. Canter
berpendapat guru mempunyai hak untuk menentukan peraturan-peraturan di dalam bilik
darjah serta memastikan murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
Konsep utama dalam Model Disiplin Asertif Canter, ialah guru mempunyai hak untuk
mengajar secara professional dan tanpa gangguan. Murid-murid pula mempunyai hak untuk
belajar dalam keadaan yang selamat dan tenang. Hak-hak ini boleh dilaksanakan sekiranya
guru bertanggungjawab memastikan tiada perkara atau tindakan yang boleh menghalang
murid-murid daripada mendapatkan hak mereka. Model Asertif Disiplin menggariskan tiga
jenis guru iaitu guru yang agresif, guru yang tidak asertif dan guru yang asertif.
Model disiplin ini dilihat lebih menyerupai Model Modifikasi Tingkah Laku Skinner,
namun model ini lebih menekankan penetapan dan penguatkuasaan peraturan serta
memastikan murid-murid mematuhi peraturan tersebut dengan tegas . Model ini juga
melibatkan ganjaran dan dendaan akibat daripada peraturan yang ditetapkan.
Dalam model Disiplin Asertif, guru perlu mengendalikan bilik darjah dengan
berinteraksi secara tenang, serius dan konsisten dengan murid. Canter menyatakan bahawa
murid-murid berhak untuk mendapatkan suasana pembelajaran yang tenang dan teratur
manakala guru pula berhak untuk mengajar tanpa gangguan. Canter berpendapat pihak
pentadbir sekolah dan ibu bapa murid-murid perlu memberikan sokongan terhadap sistem
pengurusan guru di dalam bilik darjah.
Menurut Canter, murid-murid memilih untuk bertingkah laku . Oleh yang demikian,
guru perlu menyediakan persekitaran pembelajaran yang dapat membantu murid memilih
tingkah laku yang sesuai dan bermanfaat. Untuk mencapai persekitaran yang kondusif,
keperluan-keperluan guru dan murid perlu dipenuhi melalui pengurusan bilik darjah yang
asertif. Hal ini boleh dilakukan dengan mengadakan peraturan tingkah laku yang jelas di
dalam bilik darjah. Apabila murid-murid mematuhi peraturan-peraturan yang telah
ditetapkan, guru memberikan peneguhan seperti penghargaan dan pujian.
Sebaliknya apabila murid melanggar peraturan, guru mengenakan peneguhan
negatif yang berstruktur, iaitu murid-murid sedaya upaya akan mengelak daripada akibat
dengan mematuhi peraturan.Dalam Model Asertif ini, guru-guru diberikan cadangan
mengenai cara-cara untuk membimbing murid-murid supaya murid-murid dapat
menunjukkan tingkah laku yang diingini. Perhatian yang positif perlu sentiasa diberikan
kepada murid-murid, berinteraksi dengan murid-murid serta mewujudkan hubungan saling
mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.
Model Akibat Logika Dreikurs
Fokus utama model akibat logikal Dreikurs ini adalah mewujudkan suasana bilik
darjah yang bersifat demokratik di mana murrd-murid rasa dipunyai. Oleh itu, guru yang
ingin kawalan bilik darjah yang baik tidak seharusnya menggunakan hukuman. Selain itu
juga, model ini menekankan guru perlu mengenal pasti punca salah laku dan murid perlu
dibimbing untuk memahami peraturan di dalam bilik darjah. Oleh sebab itu murid sendiri
perlu dilatih untuk mendapat kawalan kendiri terhadap pengurusan disiplin bilik darjah.
Terdapat beberapa motif utama salah laku. Motif tersebut ialah:
1. Mendapatkan perhatian : Murid sering kali cuba mendapatkan perhatian guru
dengan cara yang salah.
2. Membalas dendam : Murid bertindak balas dendam apabila guru dilihat sebagai
bersikap tidak adil dan bersikap autokratik.
3. Mencabar kuasa (konflik) : Apabila murid bertindak mencabar kewibawaan guru
jangan bertindak secara emosi. Bertenang, panggil murid secara individu dan cuba kenal
pasti punca kelakuan mereka.
4. Menunjukkan kekurangan : Murid yang gagal mendapat pengiktirafan melalui motif
sebelumnya mungkin akan bertindak menunjukkan dirinya sebagai seorang yang lemah dan
tidak upaya.
Untuk murid-murid yang mempunyai salah laku motif seperti tersebut, Dreikurs telah
menyediakan cara untuk menangani murid-murid yang mempunyai salah laku motif iaitu
kenal pasti motif murid , bantu murid memahami motif yang ditunjukkan, bantu murid tukar
matlamat salah kepada matlamat sebenar, bimbing murid bertanggungjawab ke atas
matlamat baharu dan bantu murid melihat akibat di sebalik tingkah lakunya.
Model Pengurusan Kelompok Kounin.
Model ini telah dicipta oleh seorang ahli teoris dalam bidang pengurusan bilik darjah
iaitu Jacob Kounin. Buku yang berjudul Discipline and Group Management merupakan karya
beliau mengenai pengurusan tingkah laku berkesan. Terkenal dengan ‘Konsep Riak’ -
apabila seorang murid akur kepada arahan, murid lain juga akan ikut bersama. Ciri-ciri teori
ini adalah mengenai teori berkaitan disiplin dan pengurusan kumpulan manakala matlamat
teori ini pula ialah pengajaran dengan disiplin dapat dicapai (seiring). Terdapat perkara-
perkara utama dalam model Pengurusan Kelompok Kounin. Perkara-perkara tersebut ialah:
1) Bertindih (overlapping) : Ia merujuk kepada kebolehan guru menguruskan dua
atau lebih aktiviti individu atau kumpulan pada masa yang sama.
2) Merangkumi semua (withitness): Ia merujuk kepada kebolehan guru
membetulkan tingkah laku buruk sebelum ia sampai sesuatau situasi yang tidak boleh
dikawal.
3) Momentum (momentum) : Ia merujuk kepada kebolehan guru untuk
menggunakan pergerakan yang sesuai sepanjang masa pelajaran.
4) Kelancaran (smoothness) : Cirinya ialah kontinuiti, tanpa sebarang gangguan.
5) Fokus kumpulan (group focus) : Iaitu memusatkan perhatian semua murid lain
daripada respons seorang murid sedang diberikan.
6) Menggalakkan akauntibiliti :Ia merujuk kepada komunikasi kepada semua murid
bahawa penyertaan mereka semua sedang diperhatikan dan ditaksir.
Implikasi model kounin terhadap tingkah laku bermasalah di dalam kelas adalah
seperti berikut:
Seorang murid yang melakukan tingkah laku buruk akan mempengaruhi tingkah
laku rakan sedarjah yang berada di sekelilingnya. Fenomena ini adalah dikenali sebagai
kesan riak (ripple effect).
Guru harus sedar semua aktiviti yang berlaku di dalam seluruh bilik darjah dalam
setiap masa. Kesedaran ini adalah dikenali sebagai withitness, sesuatu istilah yang dicipta
oleh Kounin.
Kebolehan memberi peralihan yang lancar antara dua aktiviti dan mengekalkan
momentum yang konsisten di dalam aktiviti adalah penting untuk pengurusan kumpulan
dengan berkesan.
Guru hendaklah berusaha mengekalkan kewaspadaan kumpulan dan menjamin
setiap individu mempunyai akauntibiliti dalam pembelajaran, dan memastikan pembelajaran
optimal berlaku.
Kebosanan murid boleh dielakkan dengan memupuk perasaan kemajuan atau
kejayaan, menambah pelbagai aktiviti dalam kurikulum dan alam bilik darjah.
Model Terapi Realiti Glasser
Diperkenalkan oleh William Glasser merupakan pengasas kepada terapi realiti.
Beliau dilahirkan di Cleveland Ohio, California pada tahun 1925. Pada tahun 1944, ketika
berumur 19 tahun, Glasser telah mendapat ijazah pertamanya dalam bidang kejuruteraan
kimia dari Case Institute of Technology. Pada tahun 1956, Glasser telah menjadi ketua
psikiatarist di Ventura School for Girls, iaitu sebuah institusi yang dikendalikan oleh kerajaan
California untuk merawat gadis-gadis yang rosak moral dan melanggar peraturan atau
undang-undang. Dalam tahun 1961, Glasser menghasilkan bukunya yang pertama iaitu
Mental Health or Mental Illness yang menjadi asas kepada teknik dan konsep terapi realiti.
Terapi realiti berlandaskan 3 prinsip berikut:
Setiap individu bertanggungjawab ke atas tingkah laku masing-masing.
Setiap individu berupaya untuk berubah dan hidup secara berkesan sekiranya
diberikan bimbingan dan sokongan.
Setiap individu bertingkah laku mengikut cara tertentu agar dapat membentuk
persekitaran mengikut kehendak masing-masing.
Pelan pengurusan bilik darjah Glasser ialah guru hendaklah melapangkan masa
untuk mengenal pasti punca tingkah laku bermasalah murid tersebut. Seterusnya guru perlu
mempertimbangkan cara penyelesaian. Guru juga perlu berusaha mencegah salah laku
melalui dua cara iaitu berikan latihan dalam kelas yang menarik dan bina hubungan yang
positif dengan murid. Selain itu, guru harus mempertingkatkan cara penyoalan. Guru juga
perlu mengadakan perbincangan dengan murid-murid. Murid dikehendaki membentuk satu
pelan yang mengandungi tindakan positif dengan bantuan guru. Jika tidak berkesan,murid
diasingkan dengan menggunakan time-out dalam bilik darjah. Murid dihantar ke satu lokasi
yang selesa tetapi tidak mengancam orang yang menyelia mereka. Bagi murid yang di luar
kawalan, guru hendaklah menghubungi ibu bapa untuk berpindah sekolah. Jika masih
serius, rujuk murid kepada pihak berkuasa.
Elemen Disiplin Yang Berkesan Glassser:
• Membantu murid membuat pilihan yang wajar
• Mengajar murid memikul tanggungjawab secara peribadi
• Menangani tingkah laku masa kini, bukan masa lampau
• Memerlukan murid membuat penghakiman berunsurkan nilai terhadap tingkah
laku mereka
• Membantu murid merancang ke arah perubahan tingkah laku
• Percaya bahawa murid boleh berubah ke arah positif
top related