elemen 2 permainan tradisional wau
Post on 06-Jun-2015
3.441 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
ELEMEN
2
Permainan
Tradisional
“WAU”
(layang-layang)
SENARAI KANDUNGAN
PENGHARGAAN
“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang”
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan pertolonganNya,
dapat saya menyiapkan kerja kursus sejarah Peperiksaan Penilaian Rendah (PMR) 2008.
Sayam Mohd Nizam bin Mohammad Zawawy, mengucapkan jutaan terima kasih atas
kerjasama yang diberikan oleh semua pihak.
Setinggi penghargaan saya rakamkan kepada kedua ibu bapa tercinta yang sentiasa
memberi dorongan serta sumbangan dalam bentuk modal sepanjang proses menyiapkan
kerja kursus ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada guru sejarah saya iaitu En.
Arjuna @ Mohd Noor Yunus. Tanpa tunjuk ajar atau bimbingan beliau mustahil dapat
saya melengkapkan dan menjayakan kajian ini .
Tidak lupa juga kepada rakan-rakan saya iaitu Wan Muhammad Imran, Wan Fudzail
Adhwa, Abdul Hafiz, Ardi Aminurrahim, Nur Hakimi, Najibullah, Nil Amirul Hamzah
dan Arif Hasanal yang bersama-sama menyiapkan tugasan ini.
Ucapan akhir saya kepada guru penilai saya iaitu En. Arjuna @ Mohd Noor Yunus. Jasa
beliau amat saya hargai. Akhir kata, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua
pihak yang terlibat.
OBJEKTIF KAJIAN
Objektif Am :
1. Memenuhi keperluan sukatan Pelajaran Sejarah Tingkatan 3.
2. Memenuhi keperluan Peperiksaan Menengah Rendah(PMR).
Objektif Khusus :
1. Membuat perkaitan Permainan Tradisional dengan rakyat Malaysia.
2. Mengetahui lebih mendalam tentang Permainan Tradisional yang dikaji.
3. Mengenalpasti asal usul Permainan Tradisional yang dikaji.
4. Memberi cadangan untuk meningkatkan taraf Permainan Tradisional Malaysia
supaya terkenal diseluruh Negara.
5. Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti sumber-sumber sejarah yang
sahih.Ini akan dapat membantu saya membuat satu kajian ilmiah dengan
tatacara yang betul, jelas dan tepat.
6. Kajian ini dapat menambah pengetahuan saya tentang permainan tradisional
di kalangan masyarakat mengikut adat Melayu.
7. . Kajian ini dilakukan untuk memenuhi kehendak sukatan pelajaran
Peperiksaan Penilaian Rendah (PMR).
8. Kajian ini juga dapat menyedarkan orang melayu betapa pentingnya
permainan tradisional di kalangan masyarakat melayu di Negara kita kerana ia
melambangkan setiap kaum dan adat tradisinya yang tersendiri.
KAEDAH KAJIAN
Saya telah menggunakan kaedah-kaedah kajian yang berikut:
(A) Penyelidikan perpustakaan
Saya telah meminjam beberapa buah buku yang berkaitan dengan permainan
tradisional wau.
(B) Pemerhatian
Pengajaran guru sejarah dan penerangan guru penilai.
(C) Penyelidikan
Melayari internet dan mencari maklumat di laman web serta melawat tempat
kajian.
Hasil Kajian
PERMAINAN TRADISIONAL WAU
PENDAHULUAN
Permainan wau atau pun lebih dikenali layang-layang suatu ketika dahulu lebih popular
di kawasan pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti di padang,
sawah padi dan sebagainya.
Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum
termasuklah mereka yang menetap di kawasan bandar.
Bukan itu sahaja, ia telah diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa seperti di
Pasir Gudang Kite Festivals International Guests yang diadakan pada setiap tahun.
Sambutan festival ini juga sangat memberangsangkan terutamanya peserta dari luar
negara.
Sejarah Wau Malaysia
Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan tarikh serta
asal-usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di
Malaysia berasal dari negara China. Ini kerana rekabentuk serta karektor wau mempunyai
persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China.
Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar. Kemungkinan
evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur kebudayaan dari
negara China.
Mitos Permainan Wau
Permainan wau dikaitkan dengan mitos ‘Semangat Padi’ yang berasal dari utara
Semenanjung Malaysia iaitu di negeri Kedah.
Diceritakan bahawa ada sepasang suami isteri di negeri tersebut yang bekerja sebagai
petani di sebuah kaki bukit dengan menanam padi huma. Ketika mereka sedang
menanam padi, mereka terjumpa seorang bayi perempuan lalu dipeliharanya bayi tersebut
sehinggalah dewasa. Oleh kerana suaminya ingin mengucapkan syukur dan terlalu
menyayangi anak gadisnya itu maka beliau selalu membawakan makanan ke tempat anak
gadisnya bermain iaitu di baluh padi.
Perbuatan suaminya itu telah menyebabkan sang isteri merasa sangat cemburu.
Disebabkan perasaan cemburunya itu dia telah menyiksa anak gadisnya sehingga
melarikan diri mengikut arah mata angin barat. Akibatnya, pada tahun itu juga padi yang
telah dikerjakan tidak menjadi. Menurut Tok Nujum yang ditemui menyatakan bahawa
anak gadis mereka sebenarnya adalah ‘Semangat Padi’ dan menasihatkan petani tersebut
sebagai tanda meminta maaf mereka dikehendaki membuat sebuah lembaga yang
menyerupai Wau Bulan dan diterbangkan menggunakan tali jerami.
Latar Belakang Wau
Selain wau, nama lain adalah layang-layang. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari
perkataan Thailand memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan
Kedah menggunakan perkataan tersebut.
Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di Pantai
Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat
dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad
bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja, dan tidak pula
disebut bermain wau.
Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang
diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur
tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.
Tujuan Dimainkan
Pada zaman dahulu, wau dimainkan oleh golongan rakyat sebagai tanda hiburan atau
keraian.Upacara permainan wau lazimnya dilakukan selepas tamat musim menuai
padi.Apabila padi habis dituai dan sawah padi habis dikerat, sawah padi akan bertukar
menjadi sebuah padang yang bersih.Pada masa inilah sawah ini akan digunakan sebagai
tempat diadakan pesta wau.
Wau juga dimainkan oleh golongan istana sebagai hiburan memandangkan cara
mendapatkan hiburan yang sangat terhad kepada masyarakat lama ini.Ada juga
pengiktirafan kepada wau apabila pertandingan wau dijadikan tradisi tahunan oleh
golongan diraja dan bangsawan.
Kebudayaan dan Seni Permainan Tradisional Wau
Permainan layang-layang atau wau amat digemari oleh penduduk-penduduk kampung.
Permainan ini dimainkan semenjak lebih 500 tahun yang lalu. Wau masih digemari dan
dimainkan di kawasan-kawasan seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Musim
bermain wau adalah buluh yang diraut halus yang ditampalkan dengan kertas berwarna
mengikut bentuk rangka. Wau bukan sahaja dimainkan tetapi dipertandingkan yang
dititikberatkan ialah kecantikan rupa, kemerduan bunyi dan tinggi serta keindahan
naiknya.
Permainan wau atau pun lebih dikenali layang-layang suatu ketika dahulu lebih popular
di kawasan pedalaman seperti di kawasan pantai dan kawasan lapang seperti di padang,
sawah padi dan sebagainya.
Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum
termasuklah mereka yang menetap di kawasan bandar. Bukan itu sahaja, ia telah
diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite Festivals
International Guests yang diadakan pada setiap tahun. Sambutan festival ini juga sangat
memberangsangkan terutamanya peserta dari luar negara.
Seni Pertukangan : Filigree
Seni pertukangan perak adalah salah satu cabang kesenian orang-orang Melayu yang
amat terkenal di negeri Kelantan. Kemahiran pertukangan logam orang-orang dipercayai
telah wujud sejak zaman-berzaman, hasil pengaruh tamadun Hindu dan Islam yang
memang terkenal dengan pertukangan barangan logam seperti emas dan tembaga. Bagi
masyarakat yang telah mengenali seni pertukangan perak filigree atau turut dikenali
dengan dawai pintal, mengakui bahawa seni perak filigree mempunyai keindahannya
yang tersendiri. Keindahan yang dimaksudkan ini bukan sekadar kehalusan ragam hiasan
pada penciptaan suatu motif yang terselindung di sebaliknya menghikut daya imiginasi
jiwa pencipta itu sendiri.
Kebanyakan barangan filigree memaparkan peralatan perhiasan diri yang menjadi
kegemaran kaum wanita. Pelbagai motif terdapat dalam pertukangan filigree ini
antaranya motif bunga-bungaan dan motif wau.
Tarian Siti Wau Bulan
Asal-usul tarian ini adalah dari Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu. Tarian ini
menggambarkan wau bulan yang sedang diterbangkan dengan penuh keriangan yang juga
merupakan salah satu acara tradisi semasa musim menuai padi. Tarian ini ditarikan oleh
penari lelaki dan perempuan dengan diiringi alat muzik tradisional seperti gendang dan
seruling
Bahagian Perincian Wau
Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala
wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.
Bahagian Utama Wau
Teknik Pembuatan Wau Tradisional
Antara bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk membuat wau ialah buluh, kulit
rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk
menghasilkan sebuah wau.
Selain daripada itu, kepakaran dan kemahiran juga merupakan aspek utama untuk
menghasilkan sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan
mentah, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bagi
memastikan wau yang akan dihasilkan mempunyai kualiti, bahan mentah seperti buluh
terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti.
Oleh itu terdapat beberapa petua serta pantang-larang yang terlibat semasa ingin
menebang dan menyimpan buluh tersebut.
Petua dan Pantang Larang Pemilihan Buluh:
Gambar Pokok Buluh
A. Mencari dan Menebang Buluh
1. Rumpun buluh mestilah di kawasan yang tinggi dan lapang, bukan di dalam
semak atau dusun.
2. Pilih buluh yang kelihatan kering, seelok-eloknya di tengah rumpun.
3. Jangan tebang buluh yang mempunyai pucuk muda kerana buluh tersebut
mempunyai banyak kanji dan mudah diserang serangga perosak.
4. Buluh yang condong ke arah matahari naik adalah lebih baik kerana mempunyai
semangat yang kuat menurut kepercayaan orang tua-tua.
5. Keadaan cuaca kering dan panas adalah sangat sesuai untuk menebang buluh
seperti pada waktu tengahari.
6. Jika menebang buluh pada waktu pagi, pastikan penebang menindih bayangnya.
7. Sebelum menebang buluh, digalakkan membaca doa dan selawat terlebih dahulu
8. Adalah lebih baik buluh yang sudah ditebang dipotong di situ juga.
9. Petua orang tua-tua di Kelantan pula semasa membawa balik buluh yang sudah
ditebang, akan meninggalkan pesan kepada Sang Bubuk iaitu, “Wahai Sang
Bubuk, hak aku tinggal ini adalah hak mu, hak aku wat kelik ni ialah hak aku, mu
tok sah ikut akulah, mu make hok sini”.
B. Penyimpanan Buluh
Buluh akan disimpan dahulu sekurang-kurangnya setahun sebelum diraut menjadi rangka
wau. Biasanya tempat penyimpanan mestilah tinggi untuk mengelakkan buluh daripada
di langkah manusia.
Antara petua-petua yang digunapakai untuk memastikan buluh tersebut tahan dan kuat
ialah :
1. Buluh disimpan di dalam paya atau direndam di dalam selut.
2. Buluh ditanam di dalam pasir dan dinyalakan unggun api di atasnya selama satu
jam.
3. Menyalai kepingan buluh pada bara api.
C. Meraut Buluh
Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti
ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan
berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar
tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan
mengelakkan daripada kesilapan.
Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :
1. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut
dan sederhana keras.
2. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan
semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
3. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5
sentimeter.
4. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan.
Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter
untuk memudahkan ia dibentuk.
5. Selepas semua buluh diraut, proses seterusnya ialah semua bilah tersebut akan
digosok pula dengan kertas pasir.
Membuat Bingkai
Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang,
tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan
dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk
sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor.
Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan
menandakan di tengah-tengah kepingan buluh.
Proses Mengikat Rangka Bingkai Wau
1. Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3
bahagian tersebut.
2. Bahagian sayap wau akan diikat terlebih dahulu.
3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang.
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian
tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap.
6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut
membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau.
7. Seterusnya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk
diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu
bersamaan dengan keluasan kepala wau.
8. Proses terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh
daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang
Proses Memasang Tanah Wau
Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil ‘tanah’ akan dipasang pada
wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih
kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah :
1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari
rangka bingkai.
3. Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk ‘V’.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.
Mengukur, Melukis dan Menyobek Corak
Ukiran lukisan pada badan wau adalah antara elemen utama yang menjadikan wau
tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat :
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian
ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke hujung sayap dengan
mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor
pula, corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak
asas bagi wau.
4. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada
bahagian tepinya sahaja.
5. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus
lukisan.
6. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup
kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau. Berlainan pula
dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak
menyerap air.
7. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek
hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan
yang mempunyai sehingga lapan warna.
Proses Membuat Serta Memasang Jambul atau Rambu
Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau.
Diperbuat daripada kertas ‘crepe’ yang dipotong dengan gunting secara memanjang
untuk membentuk rambu.
Proses Membuat Serta Memasang Belalai
Menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau.
Proses Membuat Serta Memasang Busur
Fungsi utama busur ialah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri
daripada empat komponen iaitu ‘bok’, daun ibus, inas dan buluh penyepit.
1. Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau.
2. Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian
bunyi yang dikehendaki.
3. Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang dua
sentimeter dan ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur.
4. Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala
wau dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan
benang nilon.
Wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini
haruslah dikekalkan kerana ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah
negara. Kini permainan wau mulai popular di kalangan masyarakat bandar dan tidak lagi
terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini juga telah dimodenkan
dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Selain wau, layang-layang juga amat
diminati sebagai salah satu aktiviti pada waktu terluang.
PERMAINAN WAU
Teraju tiga sememangnya sinonim dengan wau, juga dikenali sebagai layang-layang di
negeri-negeri sebelah pantai barat semenanjung. Sebagai permainan masa lapang bagi
kalangan rakyat biasa dan golongan istana. Sejak zaman-berzaman sekitar kurun kelima
belas, wau telah dimainkan oleh orang Melayu. Mereka telah mempercayai ada kaitan di
antara semangat angin dan langit.
Koleksi Jenis-jenis Wau Tradisional
Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau
bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau
barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Rekacorak
bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi kebanyakan wau yang
dihasilkan dengan berwarna-warni. Kelantan dan Terengganu sehingga kini masih
mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik, selain dijadikan untuk permainan
ianya juga sebagai hasil kraftangan dan hiasan dinding.
Membuat Wau
Pembuatan sesebuah wau agak rumit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh
untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada
rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Rangka buluh tulang
belakang wau lebih besar daripada kepaknya, kemudian diikat dengan menggunakan
benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Rangka yang telah disiapkan akan ditampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar
dengan berlainan warna. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua
menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung
atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang
telah ditebuk ditampalkan.
Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi
dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni menambah cantik lagi rupanya. Busul
akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi
dengung apabila diterbangkan diudara. Busul diperbuat dari daun rembia atau
mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti
alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah
bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.
Cara Bermain Wau
Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang
wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup
maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya
sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah
cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.
Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu
tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat
tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta,
ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan
dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakan pertunjukan wau dan layang-layang
masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau
pertandingan wau antarabangsa.
Kawasan yang sesuai
Wau hendaklah dimainkan di kawasan yang lapang seperti di tepi pantai, di kawasan
sawah padi atau di padang
kawasan tepi pantai merupakan kawasan yang paling sesuai untuk menerbangkan wau.
Kawasan yang tidak sesuai bermain wau ialah dikawasan yang tidak lapang, banyak
bangunan, pokok, tiang elektrik atau tiang telefon.
3 Unsur Yang Mempengaruhi Kenaikan Wau :
Tekanan angin
Apabila tekanan angin di permukaan wau semakin kuat, maka kemampuan untuk naik
tinggi semakin meningkat.
Daya tarikan graviti
Tarikan graviti ialah daya yang menarik wau ke bawah.
Daya seretan
Wau akan mengundur ke belakang apabila permukaan wau mendapat tekanan yang
tinggi. Hal ini akan mewujudkan daya seretan.
Jenis Tali Untuk Permainan Wau
Permainan wau tradisional Melayu adalah dimainkan menggunakan satu tali sahaja.
Penggunaan satu tali membolehkan wau ini mudah diterbangkan dan dikawal. Terdapat
dua cara melancarkan atau menaikkan wau iaitu, pelancaran jarak dekat dan pelancaran
jarak jauh. Tali yang digunakan adalah tali tangsi.
Teknik menaikkan wau jarak dekat.
Teknik ini sesuai bagi wau yang bersaiz kecil dan ringan. Hanya seorang sahaja
diperlukan untuk melancarkan teknik ini. Pemain berdiri membelakangkan angin.
Sebelah tangan pemain akan memegang badan wau dan dihadapkan ke arah angin.
Sebelah lagi tangan memegang gelung tali. wau dilepaskan perlahan-lahan sehingga wau
naik tinggi ke udara.
Mengawal penerbangan
Tiupan angin yang tidak meneru menyebabkan pemain perlu mengawal penerbangan
wau. Mengawal penerbangan wau penting untuk mengelakkan wau jatuh ke tanah atau
mengelakkan tali wau terputus.
Terdapat dua kemungkinan tiupan angin, iaitu angin beriup lemah dan angin bertiup kuat.
Apabila angin bertiup lemah, pemain mesti menggulung tali wau supaya wau tersebut
tidak jatuh ke tanah.
Teknik menurunkan wau
Menurunklan wau memerlukan dua pemain, iaitu seorang penarik tali dan seorang lagi
penggulung tali.
Penarik tali ialah orang yang menarik talu wau manakala penggulung tali ialah orang
yang menggulung tali wau yang telah ditarik oleh penarik tali.
Permainan wau laga merupakan perlawanan memutuskan tali wau pihak lawan. Ia
memerlukan kepantasan, tumpuan dan kemahiran yang tinggi. Bahagian tali wau ini
disalut dengan serpihan kaca halus.
Kesimpulan
Wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini
haruslah dikekalkan kerana ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah
negara. Kini permainan wau mulai popular di kalangan masyarakat bandar dan tidak lagi
terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini juga telah dimodenkan
dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Selain wau, layang-layang juga amat
diminati sebagai salah satu aktiviti pada waktu terluang.
Rumusan
RUMUSAN
1) Selepas menjalankan kajian ini, saya rasa amat bersyukur sebagai seorang
warganegara Malaysia kerana keunikan dan kepelbagaian budaya dan adat resam yang
terdapat di negara yang tercinta ini.Saya juga rasa sangat bertuah kerana dapat mengenali
dengan lebih mendalam tentang adat perkahwian orang melayu.
Bak kata perpatah melayu, tak kenal maka tak cinta. Selepas kajian ini, saya lebih
menghormati dan menghayati adat perkahwinan orang melayu. Saya akan cuba untuk
mengamalkan tradisi dan budaya bangsa yang begitu unik dan indah.
Jika semua rakyat masyarakat kita dapat mengenali dan memahami adat_adat
perkahwinan sesuatu kaum dengan mendalam, maka akan timbul semangat bersefahaman
dan hormat-hormati natara kaum. Persefahaman yang timbul ini bukan sahaja dapat
mengelakkan sebarang perselisihan faham yang mungkin berlaku antara kaum malah
dapat menjalinkan semangat muhibah atau semangat masyarakat antarakaum.
Semangat muhibah yang wujud ini mungkin membolehkan perpaduan rakyat Malaysia
yang berbilang kaum ini terus berkekalan.Rakyat Malaysia yang bersatu-padu ini juga
dapat berganding bahu dalam semua aspek untuk membangunkan negara yang tercinta
sehinggakan semua rakyat berbangga sebagai rakyat Malaysi.
2) Umum mangetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berjaya
memupuk semangat perpaduan di hati rakyatnya yang berbilang kaum. Namun itu bukan
sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan dalam jangka masa yang terdekat. Oleh itu,
usaha untuk memupuknya telah dimulakan sejak negara belum merdeka lagi. Setelah
melebihi separuh abad, usaha itu kini bleh dilihat jelas hasilnya. Tetapi kita masih perli
melekukan sesuatu untuk memastikan perpaduan ini b'terusan.
Antara langkah-langkahnya ialah kita perlu menjaga dan mempertahankan maruah
bangsa dan negara. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua kaum yang menetap di
negara ini. Dalam masa yang sama, perpaduan akan wujud jika tanggungjawab
dijalankan dengan penuh rasa hormat dan bekerjasama.
Selain itu, kita perlu peka terhadap isu-isu semasa tentang dunia terutamanya yang
berkaitan dengan bangsa dan negara. Itu menunjukkan rasa prihatin kita terhadap negara,
maka masyarakat akan moncontohi kita dan menunjukkan rasa bersemangat untuk setia
kepada negara.
Dalam masa yang sama, perpaduan akan wujud kija kita sentiasa bekerjasama dan
tolong- menolong antara satu sama lain. Ia akan bersemangat kekitaan kepada diri bangsa
Malaysia.
Semua kaum juga perlu mematuhi peraturan dan undang-undang negara untuk hidup
aman dan damai dalam masyarakat luar kerana tahap disiplin kita yang tinggi.
Rujukan
1. Majalah
Dewan Siswa, Mei 2007, Halaman 19.
2. Internet
http://malaysiana.pnm.my/03/0314wau.htm
3. Rancangan Televisyen
Program : Majalah 3
Episod : 10
Tarikh : 15 Mac 2008
Masa : 9.00-10.00 malam
Rangkaian : TV3
top related