artikel akhbar politik dan sukan
Post on 18-Jan-2016
259 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
ARKIB : 28/01/2014
Kemelut politik dalam pengurusan sukan
Oleh DR. SARIMAH ISMAIL
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pengurusan dan Komunikasi Sukan, Fakulti Sains Sukan dan
Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Bola sepak antara sukan yang paling popular di Malaysia dan rakyat negara ini menaruh harapan
tinggi agar skuad negara berjaya melayakkan diri ke tahap dunia. - Gambar hiasan
PERSOALAN ke arah mana masa depan sukan negara sentiasa diperkatakan. Kerajaan
memperuntukkan dana yang besar bagi memajukan sukan negara namun penghasilannya tidak
setara dengan modal yang dilaburkan.
Hanya tinggal enam tahun lagi untuk Malaysia memasuki era negara maju sebagaimana
matlamat Wawasan 2020. Sebagai negara maju bermakna industri sukan kita juga perlu maju ke
hadapan. Walaupun mungkin tidak setaraf Amerika Syarikat (AS), Jerman, Brazil atau Jepun
namun sekurang-kurangnya kita berada dalam kedudukan ranking terbaik dunia atau pun
berupaya menjana putaran ekonomi sukan untuk negara.
Melihat kepada kejayaan pasukan bola sepak di Britain, Eropah dan Amerika Selatan, ia banyak
bergantung kepada pengurusan atlet yang profesional.
Apakah kita, akhirnya tidak mahu menjadi seperti kelab bola sepak Real Madrid yang menurut
majalah Forbes' sebagai kelab paling bernilai di dunia dengan nilaian sebanyak AS$3.3 bilion
tahun lepas.
Pengurus-pengurus atlet di AS misalnya dilahirkan dari pelbagai bidang termasuk bidang
pengurusan dan sains sukan.
Bidang-bidang ini juga ditawarkan oleh universiti-universiti utama Malaysia termasuk Universiti
Teknologi Mara (UiTM) melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi.
Fakulti itu ditubuhkan bermatlamat untuk melahirkan pengurus-pengurus sukan bertaraf
profesional bagi memimpin persatuan-persatuan dan organisasi sukan termasuk di dalam Majlis
Sukan Negara (MSN) sendiri.
Melihat kepada senario sukan negara, kemelut pengurusan, permasalahan atlet masih menghantui
persatuan-persatuan sukan Malaysia. Permasalahan-permasalahan ini timbul kerana kegagalan
organisasi sukan untuk memahami fungsi dan peranan masing-masing.
Amat ketara apabila orang politik juga ingin mengepalai persatuan-persatuan sukan yang
mungkin mempunyai motif yang berbeza daripada matlamat pembangunan sukan negara.
Sering berlaku konflik akibat campur tangan langsung atau tidak langsung orang politik dalam
persatuan-persatuan sukan. Ini menimbulkan polemik sehingga menjadi perbualan terbuka
media.
Perlu diingat pertikaman lidah ini juga diikuti oleh para atlet dan sedikit sebanyak ia menjejaskan
tumpuan dan psikologi mereka.
Perbezaan antara nakhoda ini menyebabkan pelbagai masalah timbul antara persatuan sukan
serta dengan MSN waima dengan Menteri Belia dan Sukan sendiri.
Dalam masa kurang sedekad menuju negara maju semua pihak perlu memahami fungsi
organisasi masing-masing dalam memajukan sukan negara.
Pemahaman fungsi dan matlamat organisasi ini penting bagi mengelakkan kekeliruan dan
pertindihan tugas antara organisasi dengan organisasi yang lain.
Dalam aspek ini, universiti-universiti terutama fakulti sukan perlu bersungguh-sungguh untuk
melahirkan graduan berkualiti bagi berupaya mengepalai pengurusan atau industri sukan negara
secara berkaliber.
Terdapat kekeliruan apabila sesetengah universiti pula memikirkan sebahagian fungsi mereka
ialah melahirkan atlet berprestasi tinggi sedangkan tugas ini sepatutnya disandang oleh MSN
atau persatuan-persatuan sukan di bawah dasar sukan negara.
Tugas fakulti di universiti adalah melahirkan tenaga profesional dalam bidang pengurusan dan
sains sukan, bukan pusat melahirkan atlet.
Namun, sekiranya para siswa dan siswinya terdiri daripada atlet atau bekas atlet, maka hasilnya
akan lebih hebat lagi.
Dalam aspek ini, MSN perlu mencari formula yang lebih berkesan dalam melahirkan atlet-atlet
berbakat terutamanya bagi sukan berprestasi tinggi negara.
Pengesanan bakat (Talent ID) perlu dipergiat dan diperluas ke seluruh negara.
Pergantungan kepada kejohanan sukan sekolah sahaja seperti kejohanan Majlis Sukan Sekolah-
Sekolah Malaysia (MSSM) tidak memadai dalam usaha mengesan bakat-bakat baru sukan
negara.
Pengesanan atlet perlu dibuat melangkaui peringkat sekolah.
Penulis dalam kajiannya pada 2007 di perairan Pulau Mabul, Semporna, Sabah telah meneliti
bakat terpendam di kalangan anak-anak Orang Asli Laut (Bajau Laut) yang mempunyai
keupayaan semulajadi dalam sukan berkaitan air. Sepatutnya bakat-bakat mereka itu dikenal
pasti dan digilap dari peringkat kecil lagi.
Satu kajian baru juga akan dijalankan mengenai penglibatan anak-anak Orang Asli dalam sukan
kriket. Hasil inisiatif yang dijalankan oleh Persatuan Kriket Melayu Malaysia, mereka telah
mengumpul anak-anak Orang Asli di Pahang dan Kelantan untuk program pembangunan.
Kepemimpinan persatuan perlu diterajui oleh mereka yang profesional dan memahami aspek
pengurusan sukan, dan bukan oleh pihak yang mahukan populariti daripadanya.
Jika semua pihak memahami fungsi organisasi masing-masing, sudah pasti Malaysia berupaya
memajukan sukan negara.
Perlu diingat, bidang sukan adalah industri yang bernilai berbilion ringgit jika diuruskan secara
profesional dan hebat.
Ia bukan sahaja melibatkan soal penganjuran dan fasilitas semata-mata, tetapi juga membabitkan
soal hak penyiaran televisyen, pengiklanan, penajaan, perhubungan awam, perubatan sukan dan
sebagainya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140128/re_05/Kemelut-politik-
dalam-pengurusan-sukan#ixzz3FXXHqddv
© Utusan Melayu (M) Bhd
top related