al qiraat 1

Upload: hman3636

Post on 09-Jan-2016

26 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

saya

TRANSCRIPT

PENDAHULUAN

Al-Quran adalah sebuah kitab samawi yang diturunkan oleh Allah S.W.T yang merupakan kitab panduan dan pegangan hidup yang memandu manusia ke arah mentauhidkan Allah S.W.T. Kepentingan al-Quran dalam kehidupan seluruh umat Islam sememangnya tidak dapat dinafikan. Setiap muslim yang beriman kepada kitab al-Quran hendaklah mempunyai kemampuan untuk membaca al-Quran tersebut selain berusaha untuk menghayati, memahami dan menghafaz kandungannya.

Masalah penguasaan dalam bidang Asuhan Tilawah Al-Quran dalam kalangan murid sekolah di negara ini sememangnya satu realiti yang harus ditangani oleh guru-guru terutama guru Pendidikan Islam. Pelbagai program telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha untuk mengatasi masalah kelemahan menguasai bacaan al-Quran khususnya dalam kalangan murid sekolah rendah. Diantara program yang telah diperkenalkan oleh pihak kementerian ialah program j-QAF yang bertujuan untuk membolehkan pelajar muslim di sekolah rendah khatam al-Quran sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Pendekatan menghafaz adalah salah satu pendekatan yang digunakan dalam pengajaran al-Quran. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan dalam pengajaran hafazan al-Quran ialah kaedah talaqqi dan musyafahah. Penjelasan mengenai kedua-dua kaedah ini akan dikupas dengan lebih lanjut di dalam tugasan ini.

KAEDAH PENGAJARAN HAFAZAN

Bidang hafazan al-Quran telah bermula semenjak penurunan ayat al-Quran yang pertama, di gua Hira' ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 40 tahun. Pada ketika itu, Malaikat Jibrail mengajarkan baginda Rasulullah s.a.w secara hafazan.

Terdapat pelbagai kaedah dan teknik pengajaran hafazan yang digunakan oleh guru-guru. Ia termasuklah menggunakan kaedah talaqqi dan musyafahah seperti yang telah diamalkan sejak zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat lagi. Selain itu, kaedah-kaedah pengajaran hafazan yang turut digunakan oleh guru-guru ialah seperti kaedah pandang dengar, kaedah latih tubi, dan kaedah tasmik.

KAEDAH TALAQQI DAN MUSYAFAHAH

Mempelajari dan menghafaz al-Quran bukanlah suatu usaha yang mudah. Guru perlu mengambil berat serta memainkan peranan yang lebih dalam usaha untuk memastikan murid-murid benar-benar dapat membaca dan menghafaz bacaan surah-surah dengan betul dan fasih.

Kaedah talaqqi dan musyafahah ini amat sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran hafazan kerana bacaan dan hafazan itu seharusnya tepat dan bertepatan dengan syariat Islam. Ianya juga merupakan satu kaedah yang cukup berkesan dalam memastikan guru dan murid dapat meneruskan bacaan dan hafazan untuk surah-surah yang seterusnya.

KAEDAH TALAQQI

Talaqqi pada istilah ialah pertemuan di antara guru dan pelajar secara bersemuka atau berhadapan. Semasa menyampaikan pengajaran hafazan, guru berhadapan dengan murid sama ada seorang dengan seorang atau guru berhadapan dengan murid mengikut kumpulan atau secara kelas.

Kaedah ini sangat berkesan kerana guru dapat mengesan pelajar yang mempunyai kebolehan yang tinggi dalam bacaan dan hafazan, selain ianya juga dapat mengesan murid-murid yang lemah dan tidak dapat menguasai bacaan al-Quran. Melalui kaedah talaqqi ini, guru dapat mengesan dan memperbaiki setiap kesalahan yang dilakukan murid secara langsung, seterusnya ia dapat membantu murid yang tidak dapat menguasai bacaan al-Quran dengan mengadakan kelas tambahan atau kelas pemulihan.

KAEDAH MUSYAFAHAH

Musyafahah pada bahasa ialah gerakan bibir atau sebutan daripada mulut ke mulut yang diambil dari pergerakan dua bibir. Dari segi istilah pula, musyafahah bermaksud guru menyebut huruf dan kalimah dalam ayat al-Quran dengan memberi penekanan kepada gerakan bibir, pergerakan bibir guru yang diperhatikan oleh murid semasa mengajar bacaan atau hafazan al-Quran.

Aktiviti ini bertujuan untuk menyebut dengan fasih dan betul di hadapan murid supaya murid dapat mencontohi sebutan guru berdasarkan pemerhatian mereka kepada gerak bibir guru. Guru boleh mengulang-ulang sebutan kalimah atau ayat al-Quran dengan meminta murid memerhatikan pergerakan bibir guru dan mengikut sebutan guru. Guru dapat membetulkan sebutan murid secara langsung sekiranya terdapat kesalahan sebutan.

Murid menerima pengajaran dengan mendengar sebutan guru dan melihat pergerakan bibir guru dan menyebutnya. Kaedah ini bermaksud murid mendengar bacaan guru sambil memerhatikan pergerakan bibir guru semasa menyebut kalimah atau ayat al-Quran. Seterusnya, murid akan membaca seperti bacaan guru. Dalam masa yang sama, guru juga dapat membetulkan kesilapan pada sebutan dan bacaan murid.

KELEBIHAN KAEDAH TALAQQI MUSYAFAHAH

Terdapat beberapa kelebihan kaedah talaqqi musyafahah yang dapat dikenal pasti. Berikut adalah merupakan kelebihan-kelebihan kaedah talaqqi musyafahah:1) Kaedah talaqqi musyafahah sangat berkesan sekiranya ingin mengenal pasti secara amali tahap kefahaman dan pelaksanaan murid terhadap hukum tajwid dalam bacaan al-Quran yang meliputi makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan hukum tajwid yang lain.2) Isi pengajaran tidak diragui kesahihannya.3) Meningkatkan keyakinan murid terhadap guru.4) Boleh dijalankan sama ada di dalam mahupun di luar bilik darjah.5) Pembelajaran secara bersemuka antara guru dengan murid secara langsung.6) Murid dapat memerhatikan cara pergerakan bibir guru semasa membuat bacaan, seterusnya murid dapat mengikuti cara sebutan guru dengan tepat.7) Guru dapat memperbaiki dan memperbetulkan bacaan murid secara terus.8) Guru dapat mengenal pasti kebolehan murid, khususnya yang mempunyai kebolehan dalam bacaan atau hafazan mengesan kebolehan mereka.9) Guru dapat mengenal pasti murid yang lemah dan tidak menguasai bacaan al-Quran.

KELEMAHAN KAEDAH TALAQQI MUSYAFAHAH

Kaedah talaqqi musyafahah juga mempunyai beberapa kelemahan. Di antaranya ialah:1) Suasana pembelajaran yang kurang kondusif kerana murid menjadi pasif dan kurang aktif.2) Pembelajaran lebih kepada berpusatkan guru sahaja.3) Terjadi keciciran pada murid yang kurang menguasai bacaan al-Quran berbanding murid yang telah menguasai. Ianya menyebabkan guru sukar melaksanakan kaedah ini secara kelas.4) Penumpuan guru perlu diberikan secara sepenuhnya ketika murid-murid membaca atau menghafaz. Guru tidak boleh melakukan aktiviti lain semasa mengaplikasikan kaedah ini kerana perlu memperbetulkan bacaan/hafazan murid sekiranya berlaku kesilapan.5) Mengambil masa yang panjang untuk membetulkan bacaan murid secara individu. Terdapat murid lain yang tidak dapat didengar dan diperbetulkan bacaan pada satu-satu masa.6) Kelemahan bacaan guru akan menimbulkan kesan yang besar terhadap murid.7) Kawalan kelas tidak berjaya kerana apabila guru memberikan tumpuan terhadap bacaan seorang murid, murid lain akan kurang diberikan perhatian dan seterusnya terjadilah suasana pembelajaran yang tidak baik.

TEKS CERAMAH

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih saudara pengerusi majlis, yang berusaha tuan Guru Besar, ahli jawatankuasa penganjur program ceramah ini, seterusnya para hadirin yang saya hormati sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi, dengan dengan izin dan inayahnya dapat kita berhimpun bersama-sama dalam majlis ilmu yang begitu bermakna ini. Saya juga ingin merakamkam setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak penganjur yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk berkongsi ilmu dan pandangan mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran hafazan, yang bertajuk "Mengaplikasikan Kaedah Talaqqi dan Musyafahah Dalam Pengajaran Hafazan".

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, bidang hafazan al-Quran telah bermula semenjak penurunan ayat al-Quran yang pertama, di gua Hira' ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 40 tahun. Pada ketika itu, Malaikat Jibrail mengajarkan baginda Rasulullah s.a.w secara hafazan.

Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat, iaitu sedikit demi sedikit. Ianya secara tidak langsung dapat membantu memudahkan Rasulullah s.a.w unruk menyampaikannya kepada para sahabat baginda yang kemudiannya menghafaz dan memahami isi kandungan ayat-ayat tersebut. Kebiasaan yang tidak terburu-buru ini kekal sehingga ia telah menjadi salah satu kaedah di dalam menghafaz al-Quran.

Sidang hadirin dan hadirat sekalian, Rasulullah, para sahabat baginda dan para tabi'in mengajar dan mempelajari al-Quran secara talaqqi dan musyafahah. Ianya meliputi aspek-aspek membaca, menulis, menghafaz, memahami dan mengamal. Berdasarkan pengalaman Rasulullah S.a.w bersama malaikat Jibril, terbuktilah bahawa proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah secara talaqqi dan musyafahah, iaitu secara berdepan dengan guru yang mana guru akan memperdengarkan bacaan dan kemudian diikuti oleh murid. Dalam masa yang sama, guru perlu mengesan dan memperbetulkan kesilapan pada bacaan murid.Sejarah telah menunjukkan bahawa selain dari kaedah membaca, pengajaran al-Quran kepada generasi terdahulu adalah melalui pendekatan menghafaz. Ianya dapat dilihat melalui pendekatan yang digunakan oleh Jibril a.s ketika mengajarkan al-Quran kepada Rasulullah S.a.w. Malaikat Jibril telah mengulang-ulang bacaan dan kemudiannya diikuti oleh baginda Rasulullah S.a.w sehinggalah baginda dapat membaca dan menghafaz ayat tersebut.

Rakan-rakan guru yang dihormati sekalian, kaedah talaqqi dan musyafahah dilaksanakan dengan cara guru berhadapan dengan pelajar atau bersemuka. Guru akan memperdengarkan bacaan ayat al Quran sebagai bacaan contoh dan meminta pelajar mendengarnya dan memerhati pergerakan bibir dengan teliti. Setelah bacaan itu diulang oleh guru beberapa kali, guru meminta pelajar membacanya dan guru mendengar dengan teliti dan membetulkan kesalahan bacaan pelajar sama ada dari segi makhraj dan hukum tajwid. Kaedah ini berjalan berterusan sehingga tamat surah al-Quran mengikut rancangan mengajar guru pada hari itu.

Cara bersemuka sangat ditekankan supaya murid tahu secara amali bagaimana pelaksanaan semua hukum-hukum tajwid dalam bacaan yang meliputi makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan lain-lain hukum tajwid.

Bagi mengaplikasikan kaedah talaqqi dan musyafahah bagi hasil pembelajaran aras satu, guru perlu memastikan bahawa hasil pembelajaran aras satu disasarkan kepada semua pelajar yang terdapat di dalam kelas, merangkumi semua tahap pencapaian pelajar iaitu lemah, sederhana dan pandai. Bagi mencapai hasil pembelajaran aras satu, menggunakan kaedah talaqqi dan musyafahah, guru memulakan pengajaran dengan membaca ayat-ayat bacaan al-Quran. Langkah-langkah pengajaran ialah :

i) Guru memperdengarkan bacaan al-Quran dari bacaan guru sendiri supaya pelajar dapat memerhatikan pergerakan bibir dan sebutan guru.ii) Guru mempamerkan ayat-ayat dari surah yang diajar melalui LCD, kad carta atau kad manila. Setelah mempamerkan ayat-ayat tersebut, guru membaca ayat-ayat tersebut dan meminta pelajar mengikut bacaan guru.iii) Guru meminta pelajar membaca ayat secara kelas, kumpulan dan individu. Semasa pelajar membaca ayat, guru perlu memerhati dan mendengar dengan teliti sebutan pelajar untuk mengesan pelajar yang dapat membaca dan pelajar yang masih belum boleh menguasai bacaan.iv) Guru mengumpulkan pelajar dalam kumpulan kecil bertujuan membimbing mereka membaca dengan bacaan yang betul dari segi sebutan dan tajwid. Guru membaca, pelajar diminta memerhati gerak bibir guru kemudian mengikut bacaan guru. Guru membetulkan bacaan pelajar sekiranya terdapat kesalahan dalam sebutan dan tajwid.

Melalui kaedah ini, hasil pembelajaran aras satu dapat dicapai oleh guru dengan berkesan kerana pelajar dapat membaca ayat al Quran dengan betul mengikut sebutan guru. Guru juga dapat membetulkan sebutan dan bacaan pelajar semasa menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Bagi mencapai hasil pembelajaran aras satu, guru perlu memastikan semua pelajar dapat membaca ayat yang diajar oleh guru pada hari tersebut.

Rakan-rakan guru sekalian, bagi mencapai hasil pembelajaran aras dua, iaitu pelajar mampu menghafaz ayat dengan betul dan fasih, guru boleh menggunakan kaedah talaqqi musyafahah ini dengan berpandukan kepada beberapa langkah semasa menyampaikan pengajaran dan pembelajaran.i) Guru memaparkan ayat-ayat al Quran di carta atau di LCD, kemudian guru membaca ayat tersebut. Guru meminta pelajar memerhati gerak bibir guru di samping pelajar melihat ayat yang tertera di LCD.ii) Guru meminta pelajar membaca ayat di LCD sambil guru meneliti bacaan pelajar dari segi sebutan atau makhraj dan tajwid.iii) Setelah guru berpuas hati dengan mutu bacaan pelajar guru meminta pelajar membaca ayat-ayat tersebut di hadapan kelas.iv) Guru perlu memastikan pelajar dapat membaca ayat dengan betul dan fasih.v) Guru boleh menguji pelajar dengan meminta mereka membaca di hadapan kelas atau di hadapan guru.

Bagi mengaplikasikan kaedah talaqqi dan musyafahah bagi hasil pembelajaran aras tiga, iaitu pelajar mampu membaca ayat dengan bertajwid, guru boleh menyampaikan pengajaran dan pembelajaran mengikut langkah-langkah tertentu.i) Guru memperdengarkan kepada pelajar ayat bacaan atau ayat hafazan melalui CD. Guru meminta pelajar memerhati ayat tersebut di mushaf al Quran serta mengikut bacaan secara perlahan.ii) Guru mengulang beberapa kali bacaan ayat tersebut sehingga pelajar dapat menguasai ayat tersebut. Guru meminta pelajar membaca ayat tersebut secara kumpulan dan individu.iii) Guru meminta pelajar yang telah betul bacaannya dari segi makhraj dan tajwid, memperdengarkan bacaan di hadapan kelas.

Sidang hadirin dan hadirat sekalian, di kesempatan ini saya juga ingin kongsikan beberapa masalah yang sering dihadapi oleh guru-guru dan juga penyelesaiannya. Di antara masalah-masalah yang dihadapi oleh guru ialah :

1) Tiada buku panduan khusus yang menerangkan cara pengajaran al-Quran mengikut kaedah Iqra.2) Tiada kursus-kursus intensif yang berterusan kepada guru-guru.3) Bilangan murid yang ramai dalam satu bilik darjah.4) Tempoh masa yang singkat iaitu enam bulan tidak mencukupi untuk mengajar kaedah ini.5) Perbezaan cara pengajaran al-Quran di sekolah dan di rumah.6) Tiada buku yang khusus untuk latihan harian dan bulanan.7) Kurang aktiviti sampingan dalam pengajaran al-Quran.8) Tiada pengawasan pihak berkaitan terhadap buku-buku yang diedarkan di sekolah-sekolah.9) Naskhah buku Iqra yang digunakan tidak mempunyai tarikan-tarikan yang dapat menarik perhatian murid seperti warna-warna dan lain-lain.

Daripada masalah-masalah yang telah saya sebutkan tadi, masalah yang paling penting yang dihadapi oleh guru-guru ialah ketiadaan buku panduan yang khusus berkaitan dengan cara mengajar kaedah Iqra. Dengan hanya bergantung kepada catatan panduan yang terdapat di dalam buku Iqra, ia tidak memadai dan tidak menyatakan secara jelas teknik pengajaran. Pihak Unit Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah mengambil satu langkah yang baik dalam hal ini dengan menerbitkan buku panduan akan tetapi buku tersebut tidak tersebar ke negeri-negerilain untuk dimanfaatkan bersama.

Mengenai buku latihan khusus tentang pengajaran al-Quran, ada di sesetengah negeri telah mengambil inisiatif sendiri dalam menyediakan buku latihan sebagaimana yang dilakukan di negeri Kelantan padatahun 1994 tetapi ia tiada daya tarikan yang boleh menarik minat murid seperti warna-warni dan lain-lain. Kebanyakan guru menyediakan latihan-latihan untukpengajaran al-Quran atas inisiatif sendiri. Banyak contoh-contoh soalan latihan yang diambil dari sekolah-sekolah yang dilawati yang kebanyakannya dalam bentuk cetakan kertas pendua ataupun fotostat. Meskipun banyak masalah yang dihadapi oleh guru-guru, diharap ianya tidak mematahkan semangat rakan-rakan guru sekalian untuk meneruskan perjuangan kita dalam usaha mendidik anak bangsa kita mendalami ilmu al-Quran.

Sebagai kesimpulan sebelum mengakhiri ceramah saya ini, dapatlah simpulkan bahawa pelbagai inisiatif dan kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk menguasai ilmu al-Quran. jika ada seseorang menyatakan bahawa dia tidak boleh membaca al-Quran, itu sememangnya alasan yang tidak boleh diterima kerana pelbagai cara telah diperkenalkan untuk seseorang itu belajar ilmu al-Quran. Justeru itu,salah satu usaha Kementerian Pelajaran ialah dengan memperkenalkan program enam bulan khatam al-Quran. Dengan terlaksananya program ini, pembelajaran ilmu al-Quran dapat diterapkan seawal di peringkat sekolah rendah lagi.

Pelaksanaan program ini adalah merupakan satu langkah bijak untuk memastikan generasi akan datang menguasai ilmu al-Quran. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid malah turut memberi kesan kepada guru-guru dalam mendalami ilmu al-Quran. Kesimpulannya, tiada alasan untuk mengatakan susah untuk mempelajari al-Quran kerana telah banyak kaedah disediakan untuk seseorang itu mempelajari ilmu al-Quran. Sekian daripada saya, terima kasih.

RUMUSAN

Secara keseluruhannya, dapatlah dirumuskan bahawa kaedah talaqqi musyafahah ini merupakan kaedah yang telah digunakan sejak zaman Rasulullah S.a.w lagi. Kaedah ini sangat praktikal dan berkesan dalam pengajaran hafazan yang boleh dipraktikkan oleh guru-guru.

Penggunaan kaedah talaqqi dan musyafahah dilihat sebagai kaedah atau pemangkin utama dalam usaha mengajar murid-murid agar dapat membaca dan seterunya menghafaz ayat-ayat suci al-Quran. Guru secara langsung dapat mengenali sejauh mana pencapaian murid-murid dalam menguasai bacaan dan hafazan surah-surah tertentu. Murid juga berpeluang untuk memperbetulkan bacaan dan hafazan mereka secara langsung ketika berhadapan dengan guru.

REFLEKSI

Hasil daripada tugasan ini, saya telah mendapat banyak info dan maklumat tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran al-Quran bagi memastikan generasi akan datang dapat menguasai bacaan dan hafazan al-Quran. Bagi mencapai matlamat ini, guru perlulah mempersiapkan diri terlebih dahulu sebagai persediaan bagi memastikan proses pengajaran dapat disampaikan dengan baik. Salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh guru ialah dengan menghadiri program-program ilmiah seperti program ceramah, bengkel, dan sebagainya. Melalui program ceramah yang telah dirancang ini, saya tentunya tidak akan melepaskan peluang hadir dan melibatkan diri bagi menambahkan pengetahuan berkaitan kaedah talaqqi musyafahah dan seterusnya dapat dipraktikkan dan diaplikasikan dalam pengajaran.