akta orang kurang upaya 2008 perkembangan hak orang kurang upaya di malaysia

10
AKTA ORANG KURANG UPAYA 2008: PERKEMBANGAN HAK ORANG KURANG UPAYA DI MALAYSIA Hirwan Jasbir Bin Jaafar 1 , (Dr. Harlida Bt. Abdul Wahab 2 & Dr. Nurli Bt. Yaacob 3 ) [email protected] Universiti Malaysia Perlis ABSTRAK Akta Orang Kurang Upaya 2008 membuka lembaran baru kepada golongan orang- orang yang tidak bernasib baik akibat kekurangan yang dimiliki mereka. Mereka merupakan salah satu golongan istimewa yang mendapat perhatian Kerajaan Malaysia apabila Kerajaan Malaysia bersetuju menandatangani Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya(CRPD) 2010. Justeru itu, kajian ini dijalankan untuk mengkaji perkembangan hak Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2008. Akta ini telah diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008 . Kajian ini akan memberi tumpuan kepada fungsi, kuasa, skop dan keanggotaan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya seperti yang dinyatakan menerusi Akta ini. Kajian ini juga akan membincangkan latar belakang dan perkembangan hak OKU di Malaysia. Kesimpulannya, beberapa cadangan akan dikemukakan untuk memastikan hak OKU mendapat perlindungan sejajar dengan tujuan asal Akta Orang Kurang Upaya 2008 diwujudkan. Kata Kunci: Hak OKU, Majlis Kebangsaan bagi OKU dan Akta Orang Kurang Upaya 2008. PENGENALAN Hak asasi manusia ialah satu bentuk keperluan asas untuk kesejahteraan seseorang manusia. Menurut Britanica Concise Encyclopedia, hak asasi ialah hak yang dimiliki oleh seseorang individu disebabkan ia dilahirkan sebagai seorang manusia. Berdasarkan definasi ini hak itu lahir bersama lahirnya seorang manusia ke muka bumi ini. Hak asasi menjadi teras kepada kebebasan, keadilan, keharmonian, keamanan dan ketenteraman kehidupan manusia di muka bumi ini. Pelanggaran hak asasi bermakna kita seolah-olah telah melanggar hukum alam. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) telah menerima dan meluluskan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration Of Human Right(UDHR) dalam perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 10/12/1948 yang menjadi teras perlindungan hak asasi setiap manusia di seluruh dunia(Abdul Ghani Shamsuddin, 2007). Tujuan utama pengisytiharan ini adalah untuk mengiktiraf keutuhan kemuliaan dan hak sama rata serta asasi yang berasaskan kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia. Kebebasan

Upload: mei-sin-wong

Post on 08-Jul-2016

303 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

EDU 3093

TRANSCRIPT

Page 1: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

AKTA ORANG KURANG UPAYA 2008: PERKEMBANGAN HAK ORANG KURANG UPAYA DI MALAYSIA

Hirwan Jasbir Bin Jaafar1, (Dr. Harlida Bt. Abdul Wahab 2 & Dr. Nurli Bt. Yaacob3)

[email protected] Universiti Malaysia Perlis

ABSTRAKAkta Orang Kurang Upaya 2008 membuka lembaran baru kepada golongan orang-orang yang tidak bernasib baik akibat kekurangan yang dimiliki mereka. Mereka merupakan salah satu golongan istimewa yang mendapat perhatian Kerajaan Malaysia apabila Kerajaan Malaysia bersetuju menandatangani Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya(CRPD) 2010. Justeru itu, kajian ini dijalankan untuk mengkaji perkembangan hak Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2008. Akta ini telah diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008. Kajian ini akan memberi tumpuan kepada fungsi, kuasa, skop dan keanggotaan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya seperti yang dinyatakan menerusi Akta ini. Kajian ini juga akan membincangkan latar belakang dan perkembangan hak OKU di Malaysia. Kesimpulannya, beberapa cadangan akan dikemukakan untuk memastikan hak OKU mendapat perlindungan sejajar dengan tujuan asal Akta Orang Kurang Upaya 2008 diwujudkan.

Kata Kunci: Hak OKU, Majlis Kebangsaan bagi OKU dan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

PENGENALAN

Hak asasi manusia ialah satu bentuk keperluan asas untuk kesejahteraan seseorang manusia. Menurut Britanica Concise Encyclopedia, hak asasi ialah hak yang dimiliki oleh seseorang individu disebabkan ia dilahirkan sebagai seorang manusia. Berdasarkan definasi ini hak itu lahir bersama lahirnya seorang manusia ke muka bumi ini. Hak asasi menjadi teras kepada kebebasan, keadilan, keharmonian, keamanan dan ketenteraman kehidupan manusia di muka bumi ini. Pelanggaran hak asasi bermakna kita seolah-olah telah melanggar hukum alam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) telah menerima dan meluluskan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration Of Human Right(UDHR) dalam perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 10/12/1948 yang menjadi teras perlindungan hak asasi setiap manusia di seluruh dunia(Abdul Ghani Shamsuddin, 2007). Tujuan utama pengisytiharan ini adalah untuk mengiktiraf keutuhan kemuliaan dan hak sama rata serta asasi yang berasaskan kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia. Kebebasan hak asasi manusia turut dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai akta di Malaysia. Sebagai contoh, Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan melarang sesiapa sahaja untuk memaksa orang lain menjadi buruh secara penghambaan. Ini bermakna tiada siapa yang dibenarkan untuk memaksa orang lain untuk bekerja untuknya. Setiap orang adalah bebas untuk bergerak dan melakukan apa sahaja selagi mana undang-undang membenarkannya. Ini bermakna undang-undang melindungi setiap orang tanpa membezakan sama ada seseorang itu cukup sifat mahupun tidak dalam ertikata OKU. Selain itu, setiap orang berhak untuk bergerak ke mana-mana sahaja dan memiliki harta sebanyak mana sekalipun selagi mana ia diperoleh tanpa melanggar undang-undang.

Page 2: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

Justeru itu, Perlembagaan Persekutuan memberikan perlindungan terhadap hak sama rata kepada sesiapa sahaja yang tinggal di negara kita.

Perkembangan Hak Di Bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008

Setiap orang di dunia ini mengimpikan kehidupan yang selesa dan dihormati. Oleh yang demikian setiap orang adalah sama di sisi undang-undang dan mendapat perlindungan yang sama rata menurut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan. Ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa setiap orang yang berada di Malaysia berhak mendapat perlindungan dan layanan yang sama di sisi undang-undang tanpa mengira status dan fizikal seseorang. OKU adalah golongan minoriti yang juga memerlukan perlindungan dan bantuan sama seperti golongan minoriti yang lain seperti orang asli, wanita dan kanak-kanak. Atas sebab itulah hak golongan ini diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui beberapa deklarasi dan konvensyen. Bagi golongan OKU selain daripada konvensyen berkaitan hak asasi hak mereka juga jelas dinyatakan dalam Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (Convention On The Right Of Person With Disabilities) yang telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 13 Disember 2006 dan dibuka untuk ditandatangan dan diratifikasi pada 30 Mac 2007. Sebanyak 158 buah negara telah menandatangani dan meratifikasi konvensyen ini termasuklah Kerajaan Malaysia. Tujuan utama Konvensyen ini adalah untuk memberikan hak sama rata kepada OKU untuk menikmati kehidupan seperti insan normal yang lain. Berdasarkan Konvensyen ini terdapat tujuh hak khusus yang dimaktubkan kepada OKU iaitu:

i. Hak kesamaan dari segi perundangan tanpa diskriminasi.ii. Hak untuk kehidupan.iii. Hak kebebasan dan keselamatan individu.iv. Hak untuk bebas daripada penyeksaan.v. Menghormati integriti fizikal & mental.vi. Hak untuk pendidikan, kesihatan dan pekerjaanvii. Hak untuk terlibat dalam politik, aktiviti awam dan kesenian dengan bebas

Ketujuh-tujuh hak ini menjadi teras kepada setiap negara yang telah menandatangani konvensyen ini. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Malaysia bersetuju menandatangani Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya(CRPD) 2010 pada 8 April 2008 dan meratifikasikan konvensyen tersebut pada 19 Julai 2010. Hasil dari komitmen dan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam mengiktiraf golongan OKU, Akta OKU 2008 telah diluluskan di Parlimen pada 24 Disember 2007 dan diwartakan pada 24 Januari 2008. Ia mula dikuatkuasakan pada 7 Julai 2008 dengan tujuan untuk memberikan pengiktirafan terhadap hak OKU dan menukar konsep OKU daripada konsep kebajikan kepada konsep right-based. Akta ini membuka ruang kepada OKU memiliki hak sama rata terhadap peluang dan penyertaan penuh dalam masyarakat setara dengan ahli masyarakat yang lain. Justeru itu, bagi OKU, Akta Orang Kurang Upaya 2008 membuka lembaran baru kepada golongan orang-orang yang tidak bernasib baik akibat kekurangan yang dimiliki mereka. Akta OKU 2008 telah memberikan nafas baru kepada OKU di Malaysia terutamanya berkaitan perlindungan, pembangunan dan kesejahteraan OKU, pendaftaran, rehabilitasi serta penubuhan sebuah majlis di peringkat kebangsaan bagi menjaga dan melindungi hak-hak OKU berdasarkan Akta OKU 2008. Kewujudan Akta OKU 2008 telah mengiktiraf:

Page 3: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

1. Ketidakupayaan sebagai sesuatu yang normal dan ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat kebebasan OKU untuk bermasyarakat.

2. Sumbangan-sumbangan yang diberikan oleh OKU kepada masyarakat.3. Hak Akses OKU terhadap kemudahan fizikal, ekonomi, sosial, kebudayaan, kesihatan,

pendidikan dan maklumat.4. Hak untuk dilindungi dan mendapat bantuan.5. Hak untuk melibatkan diri dalam sektor Kerajaan dan Swasta.

Skop Akta

Akta Orang Kurang Upaya 2008 mengandungi lima bahagian yang merangkumi 46 seksyen. Bahagian pertama mengandungi dua seksyen yang menerangkan tentang tajuk dan penguatkuasaan akta serta definisi bagi istilah yang berkaitan di dalam akta ini. Bahagian kedua pula adalah bahagian yang memiliki jumlah peruntukan seksyen yang paling banyak iaitu sebanyak 17 seksyen. Bahagian ini memberikan penumpuan kepada penubuhan sebuah majlis di peringkat kebangsaan untuk OKU. Majlis ini dikenali sebagai Majlis OKU Kebangsaan(selepas ini disebut Majlis). Bahagian ini menerangkan tentang hal ehwal pentadbiran Majlis seperti keanggotaan Majlis, kuasa-kuasa dan tanggungjawab Majlis, tanggungjawab Kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan. Manakala bahagian tiga pula mengandungi enam seksyen yang memberikan perhatian kepada aspek-aspek pendaftaran dan maklumat OKU. Bahagian empat pula boleh dibahagikan kepada lima bab dan mengandungi 15 seksyen. Peruntukan dalam bahagian empat memberikan tumpuan utama kepada hak-hak yang dimiliki oleh golongan OKU. Hak-hak sepertimana yang termaktub dalam bahagian empat adalah berkaitan kebolehaksesan, habilitasi dan rehabilitasi, kesihatan, perlindungan orang dengan ketidakupayaan teruk dan keadaan berisiko dan kecemasan kemanusiaan. Secara lebih terperinci boleh diterjemahkan dalam bentuk seperti berikut:

i. Hak untuk akses kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan bangunan awamii. Hak untuk mendapatkan pendidikaniii. Hak untuk mendapatkan pekerjaaniv. Hak untuk mendapatkan maklumat, komunikasi dan teknologiv. Hak untuk akses kepada kehidupan berbudayavi. Hak untuk akses kepada rekreasi, santai dan sukanvii. Hak untuk mendapat rawatan dan tempat perlindunganviii. Hak untuk mendapat kemudahan kesihatanix. Hak perlindungan sepanjang hayat dan sistem sokongan sosialx. Hak untuk mendapat bantuan semasa kecemasan

Bab kelima mengandungi enam seksyen berkaitan perlindungan terhadap tindakan guaman, kuasa-kuasa tambahan menteri, kecualian dan peralihan.

Jelaslah secara keseluruhan akta ini menitik beratkan penubuhan sebuah Majlis yang bertanggungjawab penuh dalam menjaga dan melindungi hak OKU di Malaysia. Majlis berperanan untuk melaksanakan segala peruntukkan-peruntukan undang-undang yang terdapat di dalam akta ini. Secara keseluruhan akta ini memberikan penekanan kepada aspek-aspek

Page 4: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

penggalakan dan pembangunan OKU untuk menjalani kehidupan seperti insan normal yang lain disamping memiliki hak yang sama untuk mendapat layanan sama seperti orang lain.

Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya

Akta Orang Kurang Upaya 2008 diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu golongan OKU disamping memberikan pengiktirafan kepada mereka. Sebagai sebuah negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya(CRPD) sudah tentu kerajaan Malaysia bersetuju dan komited untuk melaksanakan segala kehendak konvensyen tersebut dan salah satu kehendak konvesnyen tersebut ialah untuk menubuhkan satu Jawatankuasa yang akan memastikan perlaksanaan segala kehendak konvesnyen dilaksanakan di negara tersebut berdasarkan Artikel 34 Convensyen On The Right Of Persons With Disabilities. Justeru itu satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya(selepas ini disebut sebagai Majlis) pada bulan Julai 2008, sebagaimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 3, Akta Orang Kurang Upaya 2008. Majlis ini berfungsi sebagai sebuah organisasi yang memantau, mengkaji dan menasihat kerajaan dalam hal ehwal OKU. Penubuhan dan fungsi Majlis adalah selaras dengan kehendak dan fungsi Jawatankuasa yang diperuntukkan dalam CRPD. Antara fungsi-fungsi Majlis yang termaktub dalam Seksyen 9(1)(a) hingga 9(1)(n) Akta Orang Kurang Upaya 2008 adalah seperti berikut :-

1. Untuk menyelia pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU;

2. Untuk membuat syor kepada Kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU;

3. Untuk memantau aktiviti semua kementerian, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU;

4. Untuk mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh OKU dalam masyarakat;

5. Untuk membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU;

6. Untuk menasihati Kerajaan mengenai isu ketidakupayaan termasuk perkembangan di peringkat antarabangsa;

7. Untuk mengumpul data dan maklumat serta menggalakkan penyelidikan yang berhubungan dengan OKU;

8. Untuk menggalakkan pembangunan latihan awal dan berterusan bagi golongan profesional dan kakitangan yang bekerja dalam perkhidmatan habilitasi dan rehabilitasi;

9. Untuk menggalakkan peluang pekerjaan dan peningkatan kerjaya bagi OKU dalam pasaran buruh;

10. Untuk melaksanakan apa-apa fungsi lain sebagaimana yang diarahkan oleh Menteri bagi pelaksanaan sewajarnya Akta ini.

Page 5: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

Keanggotaan

Majlis ini dipengerusikan oleh YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dianggotai seramai 18 orang yang lain yang terdiri daripada 8 orang mereka yang telah ditetapkan di dalam akta dan 10 orang lain yang memiliki kepakaran dan pengalaman dalam mengendalikan OKU berdasarkan seksyen 3(2)(a) hingga 3(2)(i). Seseorang anggota Majlis akan memegang jawatan sekurang-kurangnya 2 tahun dan boleh dilantik semula tetapi tidak boleh melebihi daripada dua penggal berturut-turut(Seksyen 3(4)). Ini bermakna seseorang anggota Majlis hanya boleh menjadi ahli tidak lebih dari empat tahun. Sejak penubuhannya, keangotaan Majlis kini dianggotai oleh ahli-ahli baru selepas ahli dahulu telah tamat tempoh 4 tahun iaitu dari tahun 2008 hingga tahun 2012.

Peranan Dan Fungsi

Peranan Majlis dilaksanakan melalui mesyuarat yang perlu diadakan sekurang-kurangnya 3 kali setahun. Bagi memantapkan pengurusan dan pengendalian hal ehwal pembangunan OKU, enam jawatankuasa telah ditubuhkan untuk membantu Majlis dalam memainkan peranan dan fungsinya. Jawatankuasa tersebut adalah seperti Jadual berikut:

BIL. JAWATANKUASA PENGERUSI

1. Jawatankuasa Reka Bentuk Sejagat Dan Alam Bina

Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan

2. Jawatankuasa Pengangkutan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia

3. Jawatankuasa Quality Life Care

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia

4. Jawatankuasa Pendidikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia

5. Jawatankuasa Pekerjaan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia

6. Jawatankuasa Pendaftaran Orang Kurang Upaya

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat

Page 6: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

Jadual 2. Senarai Jawatankuasa dan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi OKU. (Sumber: Jabatan Pembangunan OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia)

Keenam-enam Jawatankuasa ini akan membentangkan laporan perkembangan tugas mereka dalam mesyuarat Majlis yang akan diadakan 3 kali setahun. Namun mesyuarat bagi setiap Jawatankuasa adalah bergantung kepada Pengerusi setiap Jawatankuasa yang telah dilantik.

Penubuhan Majlis adalah salah satu usaha kerajaan dalam memastikan hak dan pembangunan golongan OKU terjamin dan diperlihara sentiasa. Isu pekerjaan OKU turut menjadi salah satu agenda penting Majlis dibawah Jawatankuasa Pekerjaan. Namun usia kewujudan Majlis yang hanya baru berusia 5 tahun masih belum mencukupi untuk memastikan ianya dapat berfungsi dengan lebih berkesan kerana ada beberapa penambahbaikan perlu dilakukan dalam memastikan Majlis dapat berfungsi dengan lebih efektif seperti kuasa untuk menguatkuasa Akta yang telah diwujudkan dan memastikan pengurusan Majlis teratur dan lancar. Menurut Dr. Naziaty Binti Mohd Yaacob dan Dr. Wong Hui Siew, Majlis tidak memiliki sebarang kuasa untuk menguatkuasakan Akta disamping itu perjalanan mesyuarat sering terganggu kerana kuasa untuk mempengerusikan mesyuarat Majlis perlu diperturunkan kepada Timbalan Pengerusi kerana kesibukan Menteri menyebabkan seringkali bilangan mesyuarat yang diperuntukkan dalam Akta iaitu 3 kali setahun tidak dapat dicapai.

PERBINCANGAN DAN CADANGAN

Isu hak golongan pekerja kurang upaya merupakan isu global dan di Malaysia terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan membincangkan tentang hak pekerja kurang upaya. Mohd Rizal Bin Mohd Said dan Rosmawati Bt. Sulaiman(2010) telah menjalankan kajian terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi seseorang pekerja kurang upaya untuk bekerja di JARO(Johor Rehabilitation Organisation). Dalam kajian tersebut faktor utama mengapa OKU bekerja ialah faktor keperluan untuk dihargai dan menghargai. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa OKU juga berhak untuk dilayan sama rata sebagaimana orang lain dan pengiktirafan hak mereka melalui Akta OKU 2008 membuka peluang untuk mereka menikmati kehidupan yang sempurna sebagaimana ynag dinikmati oleh manusia biasa. Pengenalan undang-undang yang melindungi hak OKU adalah merupakan rentetan kepada komitmen kerajaan yang telah meratifikasikan CRPWD. Akta OKU telah diluluskan menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan dan mengiktiraf golongan OKU di Malaysia. Namun peruntukkan-peruntukannya masih ada kekurangan dari beberapa sudut seperti unsur definasi, unsur diskriminasi, penalti atau hukuman, badan penguatkuasa, dan tribunal. Kekurangan yang wujud tidak bermakna keperluan kepada akta lain bagi menyokong Akta OKU 2008 diwujudkan. Pada pandangan penyelidik adalah tidak wajar untuk diwujudkan lebih banyak akta kerana kewujudan akta yang banyak akan menimbulkan kekeliruan dan pertindanan kuasa. Ia jelas dapat dilihat apabila Akta Kesaksamaan 2010 diwujudkan di UK bagi tujuan untuk menyatukan semua akta berkaitan OKU di UK. Tujuan pengabungan dibawah akta ini adalah bagi memudahkan dan mengelakkan berlaku pertindihan kuasa malah masyarakat turut mudah untuk memahami akta tersebut kerana semuanya berada dibawah satu akta.

Akta OKU 2008 telah mendefinasikan OKU sebagai “mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi

Page 7: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat;”. Namun definasi ini tidak diperluaskan kepada pekerja OKU. Hak untuk bekerja dinyatakan dengan jelas dalam seksyen 29 Akta OKU 2008, namun tidak diperjelaskan di dalam akta ini. Definasi OKU perlu diperluaskan kepada beberapa perkara seperti definasi pekerja OKU dan bentuk-bentuk diskriminasi yang boleh berlaku kepada OKU. Penjelasan yang lebih jelas perlu dilakukan dalam mendefinasikan OKU terutama frasa “jangka masa panjang” dan “ menyumbang kepada masyarakat” yang sering mendatangkan kekeliruan. Akta Kesaksamaan 2010 di UK dan Undang-Undang Promosi Pekerjaan dsb. Bagi OKU di Jepun turut memberikan penjelasan kepada frasa tersebut bagi memastikan definasi tersebut mencakupi semua bentuk kecacatan yang dialami oleh OKU. Melalui definasi yang lebih jelas diperlukan agar masyarakat dapat memahami dengan mudah dan menghormati akta ini.

Secara keseluruhan akta ini memberikan penumpuan kepada aspek pengiktirafan hak OKU, namun ketiadaan hukuman kepada sesiapa yang melanggar akta ini memberikan impak yang besar terhadap penggunaannya. Ketiadaan sebarang peruntukkan berkaitan sebarang bentuk hukuman kepada pihak-pihak yang melanggar peruntukan-peruntukan akta ini menyebabkan akta ini kurang diberikan perhatian. Justeru itu, suatu bentuk hukuman perlu diwujudkan bagi memastikan undang-undang ini dihormati dan diikuti. Jika kita lihat Akta Diskriminasi 1995 di UK melalui seksyen 8 telah memperuntukkan kepada OKU yang merasakan diri mereka telah didiskriminasi untuk mengadu kepada sebuah tribunal dan sekiranya ia benar, maka pihak yang telah melakukan diskriminasi itu boleh diarahkan untuk membayar pampasan dan nilaiannya adalah seperti melakukan kesalahan tort atau kesalahan melanggar tanggungjawab statut. Kewujudan hukuman dapat menggerakkan masyarakat untuk memberikan perhatian dan seterusnya menghormati akta tersebut.

Kewujudan sebuah Majlis yang bertanggungjawab dalam memastikan perlindungan terhadap hak dan pembangunan OKU di Malaysia adalah suatu langkah yang baik namun kuasa yang diberikan berdasarkan Akta OKU 2008 agak terhad. Kuasa yang terhad kepada mengkaji dan memberikan cadangan kepada kerajaan tidak dapat menjadikan Majlis sebagai sebuah Majlis yang benar-benar efektif. Selain berfungsi sebagai penasihat kepada Kerajaan, Majlis juga perlu berperanan sebagai sebuah tribunal khas bagi membicarakan kes-kes berkaitan diskriminasi yang berlaku keatas OKU. Tribunal khas ini juga terdapat di UK dan Jepun bagi menyelesaikan kes-kes berkaitan diskriminasi ke atas OKU. Disamping itu tribunal ini dapat membantu menyelesaikan kes OKU dalam tempoh masa yang pendek sebagaimana Tribunal Pengguna dan Tribunal Perumahan yang ada pada hari ini. Disamping itu, Majlis sebagai sebuah badan bebas perlu ditadbir terus dibawah Parlimen seperti Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM). Apabila pentadbirannya terus dibawah Parlimen fungsi dan peranannya akan menjadi bebas dan kredibiliti Majlis akan lebih dihormati. Keahliannya juga harus dibuka untuk dianggotai oleh Ahli Parlimen dari pihak kerajaan dan pembangkang. Justeru itu, peranan Majlis akan lebih dilihat menyeluruh kerana setiap tahun Majlis perlu memberikan laporan terus kepada Parlimen tentang kedudukan OKU di Malaysia.

Disamping itu Jabatan Pembangunan OKU turut ditubuhkan berdasarkan Akta OKU 2008. Namun penubuhan Jabatan ini hanya sekadar menguruskan pendaftaran dan program-

Page 8: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

program pembangunan untuk OKU. Kuasa jabatan ini perlu diperluaskan dari sebuah jabatan yang hanya mengurus pendaftaran dan program-program pembangunan OKU kepada sebuah Jabatan yang turut diberikan kuasa untuk menguatkuasakan Akta OKU 2008. Sebagai penguatkuasa Akta OKU 2008, ia dapat berfungsi sebagai sebuah agensi yang mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mendakwa pihak-pihak yang melanggar akta ini. Konsep ini turut diamalkan di UK dan Jepun. Justeru itu, OKU dapat membuat aduan seandainya berlaku sebarang diskriminasi kepada mereka. Oleh yang demikian, ia dapat menjawab persoalan OKU berkenaan kemanakah haru mereka mengadu atau membuat rujukan sekiranya berlaku permasalahan kepada mereka terutama berkaitan undang-undang.

KESIMPULAN

Secara keseluruhan senario berkaitan hak OKU di Malaysia tidaklah dalam kategori lemah, Berbagai dasar dan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada golongan OKU bermula sebelum pengenalan Akta OKU 2008 lagi. Konsep kebajikan yang diamalkan oleh kerajaan telah membantu ramai OKU untuk menjalani kehidupan mereka. Melalui pengenalan Akta OKU 2008, ia membuka lebih peluang dan ruang kepada OKU untuk menuntut apa yang menjadi hak mereka. Selepas lima tahun ia diperkenalkan, tindakan yang diambil oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat harus dipuji kerana tindakan proaktif mereka meletakkan Malaysia hampir sama dengan negara-negara lain yang lebih lama mewujudkan undang-undang perlindungan bagi OKU. Bukti kesungguhan kerajaan ialah apabila mewujudkan Majlis Kebangsaan Bagi OKU yang turut diwujudkan oleh kerajaan UK dan Jepun. Malah Jabatan Pembangunan OKU diwujudkan dibawah JKMM sama sepertimana yang ada di UK iaitu Pejabat Isu OKU dan di Jepun ada Pejabat Bagi Mempromosikan Kebajikan OKU.

Walaubagaimanapun dengan usia yang baru mencecah lima tahun, sudah pasti wujud kelemahan dan kekurangan di sana sini yang memerlukan penambahbaikan. Namun dengan usaha kerajaan dan sokongan dari pelbagai pihak, usaha untuk memantapkan undang-undang dan pentadbiran berkaitan OKU boleh dilaksanakan. Disamping itu sokongan dari IPTA khususnya golongan akademik dalam menghasilkan kajian-kajian berkaitan OKU amat ditagih. Melalui hasil-hasil kajian yang dijalankan, ia dapat membantu kerajaan menilai dan mengubahsuai dasar dan polisi agar ia dapat memenuhi keperluan OKU yang sebenar. Sehingga kini bilangan hasil-hasil kajian berkaitan OKU di Malaysia masih lagi kurang. Justeru itu, kerajaan juga perlu menyediakan peluang-peluang berbentuk bantuan geran kewangan yang lebih banyak kepada penyelidik-penyelidik agar kajian-kajian dapat dilaksanakan dan cadangan-cadangan penambahbaikan dapat diperbanyakkan lagi.

Namun segala usaha yang dilakukan perlu mendapat sokongan dari golongan OKU itu sendiri. Pertama mereka perlu bersatu agar hak mereka akan didengari oleh kerajaan. Sehingga kini terdapat berpuluh-puluh persatuan yang mewakili pelbagai jenis kecacatan. Setiap jenis kecacatan diwakili lebih daripada satu persatuan. Sebagai contoh menurut Presiden Persekutuan Orang Buta Malaysia(SBM), terdapat 13 persatuan yang mewakili golongan OKU penglihatan. Keadaan ini menyebabkan kerajaan sukar untuk mendengar pandangan dari semua persatuan disamping bantuan yang hendak diberikan turut akan berkurangan. Oleh yang demikian,

Page 9: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

persatuan-persatuan ini harus bergabung sekurang-kurangnya satu persatuan yang besar untuk satu jenis ketidakupayaan. Jika mereka bersatu, segala bentuk bantuan dari kerajaan dapat disalurkan secara lebih efektif dan dalam jumlah yang besar. Jika tidak satu jumlah perlu dikongsi beberapa buah persatuan menyebabkan jumlah bantuan yang diberikan akan menjadi kecil.

Disamping itu sikap OKU turut perlu berubah, Tidak ada gunanya wujud undang-undang dan dasar-dasar kerjaan yang terbaik jika mereka masih bersikap pemalu dan rendah diri. Mereka perlu mengubah sikap lama kepada sikap baru yang lebih proaktif terutama dalam hal ehwal berkaitan hak mereka. Disamping itu mereka juga tidak boleh menggunakan alasan kekurangan yang dimiliki sebagai penghalang untuk memajukan diri mereka sendiri. Kata perpatah manakan dapat sagunya jika ruyung tidak dipecahkan.

RUJUKAN

1. Abdul Ghani Shamsuddin, Hak Asasi Manusia Dalam Islam: Konsep dan Falsafah.(2007), http://madani.ikram.org.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=18:hak-asasi-manusia-dalam-islam-konsep-dan-falsafah&catid=6:artikel-pilihan&Itemid=9 (diakses pada 6/6/2013) 

2. Akta Orang Kurang Upaya 2008(Akta ) Kuala Lumpur, Percetakan Nasional Berhad.3. Convensyen On The Right Of Person With Disabilities.

http://www.un.org/disabilities/default.asp?id=2594. Dr. Naziaty Binti Mohd Yaacob merupakan salah seorang ahli Majlis Kebangsaan Bagi OKU

bagi sesi 2008 hingga 2012.5. Dr. Wong Hui Siew merupakan salah seorang ahli Majlis Kebangsaan Bagi OKU bagi sesi

2012 hingga 2014.6. Laman Web Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. http.jkmm.gov.my 7. Mohd Rizal Bin Mohd Said & Rosmawati Bt. Sulaiman, Faktor-Faktor Yang Mendorong

Golongan Orang Kurang Upaya(OKU) Bekerja di JARO(Johor Rehabilation Organisation), 2010, Universiti Teknologi Malaysia, . www.eprints.utm.my.

8. SUHAKAM. Laporan Mengenai Hak OKU. Selangor: Percetakan Asni Sdn. Bhd. 2006.9. Suet Leng Khoo, Tiun Ling Ta and Lay Wah Lee, “The Role of The State towards

Employability of Malaysian PWDs – Myth or Reality?” World Academy Of Science, Engineering and Technology, 66 2012: 1102-1107.

10. YM Tengku Dato’ Omar Bin Tengku Bot. Pewujudan peluang-peluang pekerjaan bagi orang-orang cacat di dalam sektor swasta. Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Mengenai Peranan Sektor Swasta Dalam Peningkatan Taraf Sosio Ekonomi Orang-Orang Cacat di Hotel Concorde Kuala Lumpur pada 22 hingga 23 November 1993

11. Zianida Ariffin. Kerjaya Untuk Orang Kurang Upaya. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd., 2006.

Page 10: Akta Orang Kurang Upaya 2008 Perkembangan Hak Orang Kurang Upaya Di Malaysia

12. Zulfikri Osman, “Malaysian Employers’ Attitudes Toward Hiring Person With Disabilities” Thesis Universiti Utara Malaysia (Tidak Diterbitkan), 2003.