ada apa dengan letak jawatan

Upload: wandy

Post on 14-Jan-2016

230 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Kenapa perlu letak Jawatan?

TRANSCRIPT

Ada apa dengan letak jawatan?

Apabila disebut tentang letak jawatan, kebanyakan masyarakat akan segera mempunyai tanggapan bahawa seseorang itu berhenti daripada jawatan yang disandang oleh individu secara sukarela. Perletakan jawatan adalah perbuatan rasmi menyerah atau berjenti daripada jawatan ataupun kedudukan seseorang.

Perletakan jawatan boleh berlaku apabila seseorang yang memegang jawatan yang diperoleh melalui pilihanraya ataupun ditaklifkan untuk memikul jawatan yang dipegang. Namun, ianya tidak dinamakan sebagai perletakan jawatan apabila seseorang itu dipecat ataupun bersara. Terdapat banyak jenis dan sebab seseorang meletakkan jawatan mereka.

Perletakan jawatan dilakukan sebagai keputusan peribadi untuk keluar daripada kedudukan walaupun tekanan di luar yang wujud akibat banyak faktor dan kes. Misalnya, Richard Nixon meletakkan jawatan Presiden Amerika berikutan skandal Watergate, ketika beliau hampir pasti akan dicabar oleh Kongres. Demi mengelakkan skandal tersebut berpanjangan, Richard Nixon memilih untuk meletakkan jawatannya daripada jawatan tertinggi di Amerika tersebut.

Perletakan jawatan juga digunakan dalam memberikan tekanan politik kepada pemimpin tertinggi sesebuah negara. Pada tahun 2003, sepuluh pegawai kabinet di Filipina telah meletak jawatan beramai-ramai bagi mendesak dan memberi tekanan kepada Presiden Gloria Macapagal Aroyo untuk meletak jawatan sebagai presiden Filipina yang tercalit akibat daripada skandal rasuah.

Bertitik tolak dari situ, perletakan jawatan boleh digunakan untuk menutup mulut pengkritik. Pada tahun 2008, Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan tujuan untuk mendiamkan pengkritiknya iaitu mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir walaupun berhasrat untuk meneruskan pemerintahan untuk penggal yang berikutnya.

Di samping itu, ada juga pemimpin yang melakukan perletakan jawatan akibat daripada rasa tanggungjawab dan bersalah akibat kesilapan ataupun insiden yang berlaku. Di Korea Selatan pada tahun 2014, insiden kapal MV Sewol yang mengorbankan 304 jiwa telah menyebabkan Perdana Menteri Jung Hong Won meletak jawatannya sebagai tanda tanggungjawab terhadap insiden tersebut. Perletakan jawatan tersebut adalah disebabkan rasa bersalah dan tanggungjawab diatas insiden yang telah berlaku.

Terkini, di Britain, Ed Milliband mengumumkan untuk meletakkan jawatannya sebagai Presiden Parti Buruh akibat kekalahannya dalam Pilihanraya Umum yang baru sahaja diadakan. Ianya adalah mengikut jejak Perdana Menteri Gordon Brown yang meletak jawatan parti tersebut sebelum ini akibat tewas pilihanraya kepada Perdana Menteri David Cameron daripada Parti Konservatif. Perletakan jawatan ini adalah akibat daripada seseorang pemimpin itu gagal mendapat kejayaan yang ingin dicapai oleh sesebuah organisasi atau parti politik.

Ada apa dengan Malaysia?

Di Malaysia, kita telah berhadapan dengan banyak skandal yang berlaku di negara ini seperti skandal National Feedlot Coorporation (NFC), Skandal Scorpene, Skandal Altantuya, Skandal 1MDB dan Tabung Haji. Ironinya tiada pimpinan atasan yang mahu meletakkan jawatannya walaupun terpalit dengan skandal ini. Yang kedengaran hanyalah menteri wanita yang meletakkan jawatan akibat asakan daripada dalaman dan luaran partinya sendiri.

Daripada pelbagai skandal yang wujud, tiada pula menteri kabinet yang meletakkan jawatan beramai-ramai seperti yang berlaku di Filipina sebagai tanda protes dan tidak rela skandal yang dilakukan secara berterusan. Sepertinya mereka ini merelakan negara ini diperkosa oleh pemimpin korupsi yang dipenuhi skandal.

Tidak seperti John Mayor yang meletakkan jawatan di Perdana Menteri di Britain demi menutup mulut pengkritiknya, tiada pula pemimpin utama yang dikritik oleh parti lawan dan ahli partinya sendiri ingin meletak jawatan. Mereka lebih mempertahankan diri dan skandal yang mereka lakukan tersebut. Lebih menarik, alasan yang diberikan ialah mendapat sokongan mandat daripada rakyat walaupun cuma 47%.

Apakah pemimpin kita tidak mahu menanggung rasa bersalah dan tanggungjawabnya terhadap rakyat dan negara ini? Setelah insiden MH370, MH17 dan pelbagai insiden yang berlaku, tiada pemimpin pun yang mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai tanda tanggungjawab mereka seperti mana negara Korea dan Jepun yang terus meletak jawatan sebagai tanda tanggungjawab dan bersalah mereka.

Sememangnya dengan meletak jawatan, masalah dan skandal ini akan terus dapat diselesaikan. Namun ianya sekurang-kurangnya dapat meredakan serba sedikit kegelisahan dan kemarahan rakyat terhadap sesuatu perkara. Atau apakah pemimpin berkenaan rela untuk dipaksa meletakkan jawatan dengan dipecat oleh rakyat melalui pilihanraya?