2.4 hakisan

14
HAKISAN Peta Konsep: Konsep dan Jenis hakisan Hakisan larian air permukaan. Hakisan Hakisan di dalam alur (sungai) Faktor yang mempengaruhi Kadar hakisan. Bentuk bumi hasil hakisan A. Konsep dan jenis-jenis hakisan permukaan. Hakisan ialah proses penghausan muka bumi oleh agen yang bergerak seperti air mengalir. Ia berlaku kerana adanya tenaga kinetic dan tenaga potensi. Hakisan permukaan dilakukan oleh air mengalir, angina, ombak, cairan glasier dan juga oleh aktiviti manusia. B. Hakisan galur dan larian air permukaan.

Upload: joycelyn8999

Post on 17-Nov-2015

68 views

Category:

Documents


12 download

DESCRIPTION

Hakisan

TRANSCRIPT

HAKISAN

HAKISAN

Peta Konsep:

Konsep dan Jenis hakisan

Hakisan larian air permukaan.

Hakisan Hakisan di dalam alur (sungai)

Faktor yang mempengaruhi

Kadar hakisan.

Bentuk bumi hasil hakisan

A.Konsep dan jenis-jenis hakisan permukaan.

Hakisan ialah proses penghausan muka bumi oleh agen yang bergerak seperti air mengalir. Ia berlaku kerana adanya tenaga kinetic dan tenaga potensi.

Hakisan permukaan dilakukan oleh air mengalir, angina, ombak, cairan glasier dan juga oleh aktiviti manusia.

B.Hakisan galur dan larian air permukaan.

Berlaku dalam alur-alur kecil yang bersifat sementara di permukaan cerun. Alur-alur kecil tersebut dikenali sebagai gegalur.

Di kawal oleh beberapa faktor seperti kecerunan, litupan tumbuhan, geologi atau batuan, kuantiti dan bentuk hujan mengikut masa dan juga aktiviti manusia itu sendiri.

C.Hakisan galir atau hakisan di dalam alur sungai.

Berlaku di dalam alur-alur sungai yang kekal. Hakisan di dalam alur sungai boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu hakisan mendalam, hakisan melebar dan juga hakisan mengundur.

Mekanisme hakisan atau cara ia berlaku adalah menerusi empat cara iaitu hakisan lagaan, hakisan geselan atau kikisan, hakisan hidraulik dan juga hakisan larutan.

Hakisan sungai dipengaruhi oleh factor gradien dasar sungai, faktor kuantiti dan kualiti bahan yang dibawa oleh sungai, musim seperti hujan lebat, geometri alur sungai dan juga tindakan manusia.

D.Bentuk bumi hasil hakisan sungai.

Meliputi jeram dan air terjun, susuh bukit berpanca, tawanan sungai dan juga tebing cekung.

E.Penjanaan hakisan permukaan oleh manusia dan langkah kawalannya.

Pelbagai jenis aktiviti manusia seperti menorah dan meneres bukit, menjalankan pertanian tanpa teres, tanpa kontur, tanaman sejenis, ragutan berlebihan akan mempercepatkan kadar hakisan permukaan khususnya cerun-cerun bukit.

Langkah-langkah yang diambil mestilah menggabungjalinkan langkah perundangan, langkah pengurusan yang strategic dan juga kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar.

A.Konsep Hakisan dan Jenis-Jenis Hakisan Permukaan.

1.Proses hakisan bermaksud proses penghausan yang dialami oleh permukaan bumi akibat tindakan agen-agen yang bergerak seperti air mengalir, angin dan ombak. Penghausan terjadi kerana adanya tenaga kinetik dan geseran semasa agen-agen hakisan tersebut bergerak menuruni permukaan bumi. Pada amnya terdapat dua konsep hakisan yang harus dibezakan antara satu sama lain iaitu hakisan geologi dan juga hakisan tanih. Hakisan geologi ialah proses hakisan yang berlaku di bawah keadaan semulajadi (persekitaran yang belum diganggu oleh manusia). Oleh sebab itu hakisan geologi disebut juga sebagai hakisan semulajadi. Proses hakisan geologi ini berlaku secara perlahan-

lahan dan mengambil masa yang lama dan ia melibatkan keseluruhan permukaan bumi. Hakisan tanih pula adalah proses hakisan yang berpunca daripada manusia apabila manusia menggangu keadaan semulajadi alam sekitar. Dengan perkataan lain, hakisan tanih ialah hakisan geologi yang dipercepat dan dijanakan oleh manusia. Ia berlaku di permukaan tanih apabila muka bumi terdedah akibat aktiviti-aktiviti manusia.

2.Berdasarkan kepada agen-agen yang menyebabkan berlakunya hakisan, maka proses hakisan di permukaan bumi boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu; pertama hakisan oleh air, ke dua hakisan oleh angin, ke tiga hakisan oleh salji dan glasier serta ke empat hakisan oleh manusia. Proses hakisan oleh air pula boleh dibahagikan kepada empat kategori yang besar iaitu; pertama hakisan percikan air hujan, ke dua hakisan galur atau hakisan larian air permukaan, ke tiga hakisan galir dan ke empat hakisan sungai.

3.Hakisan percikan air hujan. Proses hakisan air sebenarnya bermula dengan titisan air hujan yang menimpa tanih. Setiap titisan air hujan ini mempunyai tenaga kinetik dan tenaga potensi yang tinggi untuk melonggarkan struktur tanih dan juga mencungkil partikel-partikel tanih. Tenaga kinetik dan potensi yang dimiliki oleh titisan hujan adalah berbeza-beza berdasarkan faktor saiz titisan, halaju titisan hujan yang turun dan juga kelebatan atau intensitinya. Sekiranya saiz titisan hujan adalah besar, halajunya tinggi dan hujan tersebut adalah lebat maka tenaga kinetik dan potensi untuk mencungkil partikel-partikel tanih adalah kuat. Sebenarnya impak setiap titisan hujan terhadap tanih berlaku dalam tiga keadaan. Pertama pencungkilan partikel tanih, ke dua melonggar dan merosakkan ikatan antara butiran (granul) tanih dan ke tiga percikannya yang boleh bertindak sebagai agen pengangkutan partikel dan butiran tanih yang sudah longgar tadi terutamanya di kawasan bercerun. Di antara bentuk bumi yang terhasil akibat hakisan percikan ini ialah menara tanih.

4.Hakisan Galur. Sebenarnya antara jenis hakisan galur dengan larian air permukaan adalah tidak jauh bezanya. Hakisan larian air permukaan merujuk kepada hakisan di kawasan permukaan cerun yang lebih meluas sifatnya. Hakikatnya di atas permukaan cerun tersebut bukanlah bersifat licin dan rata, sebaliknya ia terdiri daripada alur-alur air yang kecil yang dikenali sebagai gegalur. Di dalam gegalur inilah berlakunya proses hakisan permukaan bersama-sama dengan limpahan air yang meluas tadi. Galur ialah satu unit alur yang paling kecil terbentuk di atas permukaan cerun dan ia bersifat sementara. Galur yang dibentuk oleh satu hujan lebat seringkali terhapus oleh hujan lebat berikutnya. Kewujudan gegalur ini berubah-ubah dari masa ke semasa. Satu contoh gegalur yang mudah dikenali ialah di tepi cerun bukit yang sudah dipotong atau ditarah oleh manusia seperti di tepi lebuh raya. Di dalam gegalur inilah berlakunya hakisan larian air permukaan khususnya ketika air bergerak menuruni cerun-cerun bukit tersebut.

5.Hakisan Galir. Galir adalah merujuk kepada alur-alur air yang kekal, bertebing curam dan berisi air semasa hujan lebat. Ia juga bermaksud alur-alur yang menjadi tempat air mengalir. Alur-alur ini lebih besar daripada gegalur dan biasanya kekal dalam jangka masa yang lama. Justeru itu hakisan galir juga boleh disamakan sebagai hakisan sungai. Di dalam alur-alur yang besar dan kekal inilah berlangsung pelbagai jenis mekanisme hakisan sungai seperti hakisan larutan, hakisan hidraulik, hakisan lagaan serta hakisan kikisan atau geselan.

B.Hakisan Galur dan Larian Air Permukaan.

1.Larian air permukaan (Run-off) dikenali juga sebagai larian Horton. Mengikut Horton, hakisan larian air permukaan merupakan hakisan yang dihasilkan daripada baki air yang tertinggal di permukaan setelah ditolak dengan yang tersejat ke udara, yang meresap ke dalam bumi dan juga yang digunakan oleh tumbuhan selepas kerpasan (Hujan) berlaku. Secara formula ianya seperti berikut:

Larian air Permukaan = Jumlah hujan -- (Sejatan + Susupan +Yang

diguna oleh tumbuhan).

2.Oleh sebab itu baki air yang tertinggal di permukaan ini mempunyai kuasa untuk menghakis, menghaus,memusnahkan partikel-partikel tanah di atas permukaan cerun dan seterusnya mengangkut menuruni cerun-cerun tersebut ke kawasan yang lebih rendah sebelum dimendapkan. Keupayaan larian air permukaan untuk menghakis adalah disebabkan ia memiliki tenaga potensi dan tenaga kinetik. Salah satu bukti utama keberkesanan hakisan larian air permukaan di atas cerun-cerun ialah wujudnya kesan-kesan gegalur yang terdiri daripada kelaran-kelaran dan lurah-lurah kecil yang menjadi laluan air permukaan mengalir. Hakisan larian air permukaan berlaku melalui beberapa cara iaitu larian permukaan (Surface Run-Off), Larian Sub-Permukaan (Intra Run-Off), Larian Tepu dan juga larian air dalam alur-alur kecil (Hakisan galur). Walau apapun bentuk dan jenis larian, kesemuanya mempunyai tenaga yang kuat untuk menghakis dan mengangkut regolith dari atas permukaan cerun ke bahagian bawah cerun.

Faktor- Faktor Yang Mempengaruhi Kadar Hakisan Larian Air Permukaan.

Horton selanjutnya menggariskan kadar /kepesatan hakisan larian air permukaan bergantung kepada kombinasi beberapa faktor seperti berikut iaitu: faktor kuantiti air hujan dan bentuk hujan, geologi dan kadar susupan tanah, kecerunan (Gradien) dan juga faktor tumbuhan. Secara terperinci faktor-faktornya boleh dijelaskan seperti berikut:

1.Kuantiti Hujan dan Bentuk Hujan Mengikut Masa. Satu generalisasi yang mungkin dapat diterima umum ialah bahawa Semakin banyak hujan maka kadar hakisan larian air permukaan semakin tinggi. Generalisasi ini benar sekiranya kuantiti air hujan tersebut dikaitkan dengan larian air secara permukaan (Surface Run-Off) dan juga larian air dalam alur-alur kecil. Ini kerana bekalan air hujan yang banyak akan menambahkan lagi tenaga potensinya untuk menghakis. Tetapi bagi larian jenis tepu dan aliran intra kuantiti air yang banyak tidak semestinya menambahkan kuasa hakisannya, sebaliknya kuasa hakisan boleh berkurangan. Ini kerana jika larian air tersebut sudah mencapai ke peringkat tepu maka penambahan hujan selanjutnya tidak mampu lagi mencampurkan bahan tanih dengan air, liang-liang pore tanih kesemuanya sudah dipenuhi oleh air. Oleh sebab itu kadar pergerakan air menjadi perlahan sahaja ekoran daripada jisim tanih yang berat.2.Begitu juga dengan bentuk hujan mengikut masa. Dalam konteks ini ada dua bentuk hujan yang mempengaruhinya iaitu hujan yang lebat dalam jangkamasa yang singkat dan hujan yang perlahan dalam jangkamasa yang lama. Bagi hujan yang perlahan (Renyai-renyai) dalam jangkamasa yang lama, ia tidak boleh menghasilkan kadar hakisan larian air permukaan yang kuat kerana setiap titisan hujan tersebut mempunyai ruang masa tangguhan untuk meresap masuk ke dalam tanah. Berbanding dengan hujan yang lebat dalam jangkamasa yang singkat, kadar hakisannya adalah tinggi ekoran daripada ia tidak berkesempatan untuk meresap ke dalam tanah sebaliknya lebih cepat mengalir di atas permukaan cerun.

3.Pengaruh Geologi Setempat. Ciri-ciri geologi yang membawahi dan membentuk satu-satu permukaan cerun amat penting dalam menentukan kadar hakisan larian air permukaan. Ini kerana geologi tersebut akan mempengaruhi kadar susupan atau infiltrasi air hujan. Secara mudahnya susupan boleh dimengertikan sebagai larut resap air ke bawah permukaan cerun mengikut masa. Kepesatan infiltrasi ini berkait rapat dengan ciri-ciri geologi seperti keporosan, peratus liang pore, struktur dan juga rekahan (jointing). Di antara kadar susupan dengan kadar larian air permukaan umumnya mempunyai hubungan songsang, iaitu jika kadar susupan tinggi, larian air permukaan akan menjadi rendah dan jika kadar susupan rendah maka larian air permukaan pula menjadi tinggi. Justeru bagi batuan yang poros seperti batu pasir yang bersaiz kasar, ia mempunyai kadar susupan yang tinggi ekoran daripada peratus liang pore yang dimilikinya adalah banyak. Oleh sebab itu batuan jenis ini kadar hakisan larian air permukaan ke atasnya adalah berkurangan. Berbeza dengan tanah liat yang mempunyai peratus liang pore yang sedikit dan sifatnya yang lembut yang mengurangkan kadar susupan sebaliknya menambahkan kadar hakisan larian air permukaan. Namun demikian bagi batu granit, walaupun peratus liang porenya rendah ia tetap menghasilkan kadar larian air permukaan yang sedikit berikutan daripada sifat kekerasannya yang amat sukar dihakiskan.4. Pengaruh Faktor Kecerunan (Gradien) Faktor cerun seringkali dirujukkan kepada dua elemen iaitu cerun curam dan juga cerun landai. Semakin curam sudut cerun maka halaju pergerakan larian air permukaan semakin tinggi sekaligus semakin giat kadar hakisannya. Keadaan sebaliknya berlaku apabila cerun itu menjadi semakin landai. Selain daripada kecuraman cerun mempengaruhi kadar larian air permukaan, kecekungan cerun juga menjadi faktor penting. Mengikut R.E.Horton lagi cerun cekung biasanya mengalami kadar hakisan yang kuat berbanding dengan cerun cembung. Ini di sebabkan sudut tuju larian air permukaan bagi cerun cekung adalah lebih tepat berbanding dengan cerun cembung.

5.Pengaruh Faktor Tumbuhan. Jenis dan ketebalan tumbuhan semulajadi juga menjadi faktor penting dalam mengawal kadar hakisan larian air permukaan. Ini kerana tumbuhan berfungsi untuk menutupi dan melindungi cerun daripada ditimpa air hujan dan di hakis-angkut oleh hakisan tersebut. Bagi hutan primer (Rimba) kanopinya tebal serta berlapis-lapis. Justeru itu ia boleh melakukan proses cegatan silara (Pintasan) yang baik menapis dan menampan air hujan daripada menimpa secara langsung ke atas permukaan cerun. Kesannya titisan air hujan akan menimpa cerun dengan kadar yang perlahan sahaja dan cenderung untuk meresap ke dalam tanah daripada mengalir di permukaan. Kadar susupannya tinggi sekaligus mengurangkan kadar hakisan permukaannya. Tambahan pula tumbuhan primer mempunyai akar-akar pokok yang kompleks seperti akar banir yang timbul di atas permukaan cerun yang sudah pastinya berfungsi untuk menyekat pergerakan larian air permukaan secara mendatar, mengurangkan halajunya seterusnya meresap ke dalam tanah.Bagi hutan sekunder pula (Hutan belukar) hanya mempunyai litupan tumbuhan yang nipis dan ketinggian pokoknya seragam tidak berlapis-lapis. Oleh sebab itu tumbuhan begini tidak mampu menjalankan cegatan silara yang baik terhadap titisan air hujan. Ketiadaan halangan ini menyebabkan air hujan tidak sempat meresap ke dalam tanah sebaliknya berkumpul membentuk larian air permukaan. Kesannya kadar hakisan larian air permukaan di kawasan hutan sekunder adalah tinggi.

C.Hakisan Galir atau Hakisan Di dalam Alur Sungai.

1.Pada amnya hakisan di dalam alur merujuk kepada hakisan sungai. Kombinasi dan percantuman alur-alur di dalam satu-satu kawasan akan membentuk satu sistem sungai. Di dalam alur-alur inilah air akan mengalir bermula dari kawasan yang tinggi (Hulu) menuju ke kawasan yang rendah (Hilir). Semasa air mengalir tebing dan dasar alur-alur tersebut akan mengalami penghausan, peruntuhan, pelebaran, pendalaman akibat proses hakisan air sungai ke atasnya. Keupayaan air sungai yang bergerak di dalam alur-alurnya untuk menghakis tebing dan dasar alur tersebut adalah disebabkan oleh air sungai itu memiliki tenaga kinetik dan tenaga potensi . Tenaga kinetik wujud apabila air sungai bergerak manakala tenaga potensi terhasil melalui isipadu air sungai itu sendiri. Melalui proses-proses hakisan inilah alur-alur sungai akan berubah bentuk dan saiznya dari masa ke semasa.

Kepelbagaian Jenis dan Cara Hakisan Di dalam Alur Sungai.

1.Di antara jenis hakisan dengan cara hakisan di dalam alur sungai seharusnya boleh dibezakan dengan jelas. Jenis hakisan merujuk kepada pengkelasan hakisan yang boleh dibahagikan kepada tiga iaitu hakisan pendalaman alur, hakisan pelebaran alur dan juga hakisan pemanjangan alur atau lebih dikenali sebagai hakisan pengunduran. Manakala cara hakisan pula merujuk kepada mekanisme berlakunya proses hakisan tersebut seperti hakisan hidraul, hakisan lelasan,hakisan lagaan dan hakisan larutan oleh air sungai itu sendiri.

2.Hakisan mendalamkan alur melibatkan kerja-kerja mengorek dasar alur sungai oleh air sungai yang bergerak secara pusaran. Ia banyak terjadi di kawasan hulu sungai. Halangan-halangan batuan di dasar sungai menyebabkan pergerakan air sungai bertukar daripada laminar kepada pusaran. Setiap pusaran mempunyai tenaga untuk mengorek dasar alur-alur sungai tersebut. Pembentukan Lubang-lubang periuk di dasar alur sungai adalah menjadi bukti kepada proses ini. Selain daripada itu hakisan mendalamkan alur sungai juga bertujuan untuk mencapai tahap keseimbangan sungai (Equibilirium) hasil daripada kejatuhan aras laut. Sungai merupakan sebuah sistem yang dinamik. Dengan kejatuhan aras laut ia mampu memperdalamkan alurnya semula menerusi proses rejuvenasi (Balik muda) bagi tujuan mencapai ke tahap keseimbangan yang baru. Hakisan jenis ini lebih dikenali sebagai hakisan menegak (Vertical Errosion).

3.Hakisan pelebaran alur (Lateral Errosion) pula melibatkan kerja-kerja penghakisan dan penghausan yang berlaku pada tebing alur sungai. Hakisan jenis ini dikenali juga sebagai hakisan mendatar yang boleh berlaku pada kedua- dua bahagian tebing alur sungai. Hakisan ini amat berkesan semasa banjir kerana air sungai dikatakan mempunyai tenaga kinetik dan tenaga potensi yang kuat untuk menghakis dan meruntuhkan tebingnya. Adakalanya hakisan ini juga berlaku pada likuan alur sungai iaitu bahagian tebing cekung akibat lencongan arus sungai selepas melalui sesuatu liku. Hakisan pelebaranlah sebenarnya yang bertanggungjawab memperluaskan saiz alur-alur sungai.

4.Hakisan pengunduran alur ke belakang pula melibatkan proses pemotongan pangkal alur ke arah hulu kerana adanya takat terjun seperti jeram dan air terjun di pangkal alur tersebut. Apabila air terjun jatuh ke pangkal dasar alur ia berupaya untuk menghakis dan mengorek pangkal dasar alur berkenaan mewujudkan satu bahagian tebing atas alur yang tidak mempunyai daya tampungan. Dengan bantuan proses gerakan jisim , bahagian yang tidak mempunyai daya tampungan tadi akan jatuh ke dalam alur sungai. Kesannya pangkal alur sungai akan mengundur dan memanjang ke belakang. Proses ini dikenali juga sebagai unduran selari cerun. Jika unduran ini berlaku di dalam alur-alur sungai yang berdekatan kemungkinan pula terjadinya tawanan sungai. Misalnya dalam kes Sungai Pahang menawan Sungai Muar. Pada asalnya hulu sungai Muar di katakan terletak di pedalaman Pahang. Sungai Pahang pada asalnya pendek sahaja dan mempunyai air terjun di bahagian pangkal lurahnya. Oleh itu ia telah mengalami hakisan mengundur yang hebat sehingga berjaya menawan hulu sungai Muar. Akibatnya aliran air dari hulu sungai Muar kini telah mengalir masuk ke dalam sungai Pahang. Dalam hal ini sungai Pahang telah menjadi lebih panjang manakala sungai Muar lebih pendek daripada asalnya. Adalah dipercayai proses tawanan tersebut berlaku di tasik Bera yang kini menjadi bahu tawanan sungai.

5.Terdapat pelbagai cara atau mekanisme terjadinya hakisan alur sungai. Di antaranya yang utama ialah tindakan hidraulik. Hakisan hidraulik merupakan tindakan hakisan yang dilakukan oleh kuasa air di dalam alur sungai itu sendiri tanpa melibatkan bahan yang dibawa. Kuasa air sungai itu wujud akibat hempasan atau rempuhan aliran sungai ke atas struktur batuan yang lemah seperti struktur rekahan dan ke atas batuan lembut. Air sungai dikatakan mempunyai tenaga potensi. Apabila ia memasuki rekahan ia mampu memampatkan udara yang ada dalam rekahan tersebut lalu menekan dinding-dinding rekahan menyebabkan dinding rekahan mengalami tegangan. Apabila air sungai keluar daripada rekahan, mampatan udara tadi akan dilepaskan. Dengan itu dinding rekahan mengalami kenduran. Proses yang berulang akhirnya rekahan menjadi lebih luas dan dalam. Kekuatan hakisan hidraulik bergantung kepada isipadu air sungai dan juga halaju air sungai tersebut.

6.Hakisan geselan atau lelasan pula merupakan proses penghausan yang berlaku ke atas tebing dan dasar alur sungai apabila bahan-bahan yang di bawa oleh air sungai seperti pasir, kerikil,batu tongkol bergeser dengan tebing dan dasar alur sungai berkenaan. Daya geseran yang wujud akibat aliran air sungai ini memungkinkan proses penghausan dialami oleh tebing dan dasar alur sungai atau oleh bahan-bahan yang di bawa oleh sungai berkenaan. Keadaan ini bergantunglah kepada kekerasan bahan yang dibawa relatif dengan geologi tebing dan dasar sungai itu.

7.Hakisan lagaan merupakan perlanggaran antara bahan-bahan yang dibawa oleh air sungai dengan tebing dan dasar alur sungai atau perlanggaran sesama bahan itu sendiri. Perlangaran ini menyebabkan wujudnya momentum dan akhirnya bahan-bahan yang dibawa oleh sungai menjadi semakin kecil atau dinding dan dasar alur sungai mengalami retakan bergantunglah kepada keras-lembut bahan yang dibawa. Kekuatan proses ini amat bergantung kepada halaju arus sungai yang mampu menyeret dan melantun (Saltasi) bahan-bahan yang dibawa sehingga berlakunya lagaan.

8.Hakisan larutan merujuk kepada tindakbalas secara kimia antara air sungai dengan mineral geologi yang membentuk tebing dan dasar alur sungai. Jika batuan tebing dan dasar alur sungai terdiri daripada geologi yang lembut seperti batu kapor, gypsum dan dolomit maka ia mudah mengalami larutan. Air sungai bertindak sebagai pelarut akan melarutkan mineral-mineral batuan dan dialirkan bersama-sama dengan aliran sungai. Proses ini menyebabkan struktur dan tekstur batuan tebing dan dasar alur sungai menjadi longgar dan tidak stabil seterusnya mudah runtuh. Keberkesanan proses ini bergantung kepada keasidan air sungai dan darjah pergerakan mineral geologi yang membentuk tebing dan dasar alur sungai tersebut (Mobiliti mineral) apabila ia bertemu dengan air sungai (H O).

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Kadar Hakisan Di dalam Alur Sungai.

1.Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kadar hakisan di dalam alur-alur sungai. Di antaranya ialah gradian (kecerunan) dasar sungai, halaju (velositi) arus sungai, isipadu air sungai,kuantiti dan kualiti bahan yang dibawa, bentuk dan sifat geometri alur,halangan-halangan di dasar sungai, faktor iklim dan cuaca,faktor tumbuhan dan juga kegiatan-kegiatan manusia itu sendiri.

2.Gradian (cerun) dasar alur sungai yang curam mempengaruhi halaju arus. Kecerunan ini boleh dilihat melalui profil panjang alur sungai bermula dari hulu hinggalah ke hilirnya. Kecuraman cerun membolehkan air sungai mengalir dengan deras dan ini sudah tentu menyebabkan kadar hakisan adalah tinggi. Hakisan lelasan dan lagaan terutamanya akan berlaku dengan pesat jika halaju arus sungai adalah tinggi. Oleh sebab itulah di bahagian hulu sungai kadar hakisannya lebih tinggi berbanding dengan bahagian tengah dan hilirnya kerana kecuraman cerun dasar alur sungai di kawasan berkenaan. Kawasan hulu biasanya terdiri daripada batuan keras yang membentuk jeram dan air terjun.

3.Isipadu air sungai atau kuantiti air sungai pula amat mempengaruhi keberkesanan proses larutan dan hidraulik. Ini kerana semakin banyak air sungai semakin tinggilah tenaga potensinya dan juga kelarutan air sungai tersebut. Isipadu air sungai ini dipengaruhi oleh faktor cuaca. Semasa hujan lebat misalnya pada musim tengkujuh, sungai-sungai di Malaysia akan menerima input air hujan yang banyak. Ini akan menambahkan kekuatan hakisan sungai itu sendiri. Pada musim ini juga arus sungai bergerak secara berpusar yang mampu mengorek dan memperdalamkan rekahan di dasar dan tebing alur sungai menerusi proses hiaraulik dan larutan.

4.Kuantiti dan kualiti bahan yang dibawa oleh air sungai pula dilihat secara relatif dengan keras-lembut batuan tebing dan dasar alur sungai. Faktor ini amat mempengaruhi keberkesanan proses perlanggaran dan geselan/lelasan. Sekiranya bahan-bahan yang dibawa oleh air sungai itu adalah banyak maka kebarangkalian untuk perlanggaran berlaku adalah tinggi. Bahan-bahan yang dibawa oleh air sungai samada diseret,melantun (saltasi) sebenarnya bergerak secara rawak di dalam alur sungai tersebut. Ini memungkinkan perlanggaran sesama bahan berlaku. Seterusnya jika bahan yang dibawa oleh air sungai keras berbanding dengan batuan tebing dan dasar alur sungai maka batuan tebing dan dasar sungai akan mengalami penghausan melalui proses geselan dan sebaliknya akan berlaku jika bahan yang dibawa itu adalah lembut.

5.Faktor geometri alur pula boleh dilihat daripada dua sudut iaitu bagi alur yang lurus dan alur yang berliku. Bentuk alur yang lurus sudah tentunya mengalami kadar hakisan yang hebat. Ini kerana taburan tenaga bagi keseluruhan geometri alur tersebut adalah sama dan seimbang. Jadi keseluruhan tebing alur samada di kiri atau di kanan akan mengalami hakisan pada kadar yang sama. Tetapi bentuk alur yang berliku taburan tenaganya tidak sama yang menyebabkan kadar hakisan tidak seimbang bagi keseluruhan tebing alur sungai . Bagi tebing cekung akan berlaku hakisan melebar akibat lencongan arus yang kuat, mengorek, meruntuhkan tebing lalu melebarkannya. Manakala bagi tebing cembung yang bertentangan dengan tebing cekung tadi akan mengalami pemendapan kesan daripada pergerakan arus yang perlahan semasa ia melencong sesuatu liku.

6.Ciri-ciri geologi dasar dan tebing alur sungai juga boleh mempengaruhi kadar hakisan sungai. Jika tebing dan dasar sungai itu dibentuk oleh geologi yang lembut seperti batu kapur,dolomit dan gypsum maka sudah tentunya ia akan dihakis dengan hebat terutamanya melalui proses larutan. Ini kerana geologi yang lembut mempunyai struktur,tekstur dan ikatan mineral yang longgar dan menjadikannya sebagai geologi yang amat tidak tahan dengan kehadiran air dan akan bertindakbalas secara kimia. Bagi geologi yang keras seperti batu granit dan gabbro ia amat tahan untuk diuraikan atau dilarutkan oleh air sungai. Justeru itu kadar hakisan air sungai ke atasnya adalah lambat sekali.

7. Faktor yang terakhir ialah sifat tumbuhan yang berada di tebing sesuatu alur sungai. Akar-akar tumbuhan ini mempunyai fungsi yang amat penting untuk menstabilkan tebing sungai daripada diruntuhkan oleh hakisan sungai. Akar-akar tumbuhan akan bertindak mengikat dan mencengkam geologi dan tanah di tebing sungai daripada dihakis-angkut oleh air sungai dengan sewenang-wenangnya. Oleh sebab itulah sungai-sungai di kawasan hutan tebal (hutan primer) mempunyai tebing yang amat kukuh dan stabil berbanding dengan sungai-sungai di kawasan hutan yang sudah diterokai (hutan sekunder) dan kawasan lapang.

Penjanaan Hakisan Tanih dan Langkah Kawalannya.

1.Proses hakisan tanih adalah hasil buatan manusia dan kadarnya kini dipercepat oleh aktiviti manusia itu sendiri. Terdapat pelbagai jenis aktiviti manusia yang mempercepatkan kadar hakisan tanih di antaranya adalah seperti aktiviti penyahutanan untuk pembalakan, pertanian ladang dan pertanian pindah, aktiviti ragutan berlebihan dan pindah ternak, aktiviti pemotongan, peneresan dan perataan cerun bukit untuk membina lebuh raya dan kawasan petempatan, aktiviti melurus dan mengubah serta memperdalamkan alur-alur sungai disamping amalan pertanian yang tidak baik seperti aktiviti pertanian tanpa teres, tanpa tanaman tutup bumi, tanaman sejenis dan lain-lain lagi.

2.Fenomena penyahutanan yang dilakukan atas pelbagai tujuan telah melibatkan pemusnahan hutan secara besar-besaran. Kesannya kadar hakisan oleh percikan air hujan dan larian air permukaan menjadi tinggi. Tumbuhan semulajadi yang musnah tidak lagi boleh berfungsi untuk memintas setiap titisan hujan yang turun. Begitu juga sistem akar banir yang musnah gagal untuk menyekat pergerakan larian air permukaan. Akibatnya struktur permukaan tanih yang terdedah kepada timpaan hujan tadi akan dilonggarkan, partikelnya dicungkil serta dihakis-angkut oleh larian air permukaan menuju ke sistem sungai. Natijahnya sungai pula mengalami pencetekan, banjir dan pencemaran kelodak.

3.Aktiviti pertanian di kawasan bercerun juga seringkali mempercepatkan kadar hakisan cerun. Sebagai contoh pembajakan dan perataan cerun untuk tanaman teh, sayuran dan strawberi di Cameron Highland seringkali menjadi faktor utama peningkatan kadar hakisan cerun di Tanah Tinggi Cameron itu. Amalan pertanian tanpa teres/kontor, tanpa tanaman tutup bumi dan tanpa membina sistem perparitan yang baik akan memudahkan pergerakan larian air permukaan secara meluas untuk menghakis permukaan cerun secara besar-besaran. Lapisan tanih (top soil) yang subur akan diangkut oleh larian air permukaan tersebut dan dimendapkan di kawasan tanah rendah. Kesannya kesuburan tanih di kawasan cerun semakin merosot dan cerun-cerun yang terlibat menjadi tidak stabil.

4.Selain itu cerun-cerun bukit di kawasan tanah tinggi juga seringkali dipotong, ditarah dan diratakan untuk dibina kawasan kediaman mewah, tapak bina hotel dan resort, kawasan padang golf dan mungkin sebagai laluan lebuh raya. Walau apapun aktiviti yang dibuat untuk mengubah cerun tanpa mengikut spesifikasi yang betul maka kesanya kepada peningkatan kadar hakisan adalah tinggi. Cerun-cerun bukit berkenaan tidak lagi mempunyai tumbuhan pelindung, struktur tanihnya longgar, kaki cerun menjadi tidak stabil dan kesemua ini memudahkan hakisan galur serta larian air permukaan bertindak untuk menghakis mengangkut dan menipiskan lapisan tanih di permukaan cerun berkenaan.

5.aktiviti mengubah, melurus dan memperdalamkan lurah serta alur-alur sungai. Kerja-kerja mengubah struktur sungai yang asal akan meningkatkan kadar hakisan sungai tersebut. Misalnya apabila alur sungai dilurus dan diperdalamkan maka halaju aliran sungai akan meningkat. Peningkatan halaju arus akan menambahkan tenaga kinetik sungai tersebut untuk menghakis tebing-tebingnya. Hakisan lateral atau pelebaran tebing akan berlaku, seterusnya tebing-tebing sungai itu akan runtuh .

Pengawalan Hakisan.

1.Usaha mengawal dan mengurangkan kadar hakisan tanih boleh dilakukan dengan mengadunkan tiga langkah berikut; pertama langkah perundangan, ke dua langkah pengurusan yang strategik dan ke tiga melaksanakan kempen serta pendidikan alam sekitar kepada setiap individu yang terbabit. Langkah perundangan meliputi langkah penguatkuasaan undang-undang, pemantauan dan perlaksanaan hukuman seperti denda/kompaun, membatalkan lesen/permit operasi dan penjara terhadap individu atau syarikat yang didapati melanggar peraturan penggunaan tanah di kawasan berbukit. Langkah perundangan yang lebih komprehensif pada masa kini telah diwujudkan oleh kerajaan melalui penggunaan EIA. Tanpa laporan EIA yang lengkap pemaju sesebuah projek tidak boleh sama sekali melaksanakan projeknya.

2.Di bawah aspek amalan pengurusan yang strategik, terdapat banyak langkah yang boleh diambil bagi mengawal kadar hakisan tanih. Di antaranya ialah:

2.1 Langkah agronomi. Menanam tumbuh-tumbuhan pelindung terhadap permukaan cerun yang sudah didedahkan oleh manusia. Tumbuhan ini hendaklah bersifat kekal dan mampu menahan hakisan dengan cekap seperti menanam pokok buluh dan rumput di sepanjang lebuh raya yang baru dibina.

2.2 Menanam tanaman tutup bumi. Langkah ini bersifat sementara dan tujuannya ialah untuk memulihara tanih disamping mengawal hakisan. Tanaman seperti kekacang semenangnya mampu mencegah hakisan walaupun tidak sekuat tumbuhan rumput dan buluh.

2.3 Melaksanakan kaedah tanaman berteres atau berkontor di cerun-cerun bukit. Tujuannya ialah untuk memperlahankan pergerakan larian air permukaan. Di samping itu di atas teres yang dibina boleh disediakan sistem perparitan yang sesuai untuk aliran alir bergerak menuruni cerun-cerun tersebut.

2.4 Membina sungkupan. Di kawasan cerun yang baru dibina kaedah sungkupan adalah baik walaupun langkah ini bersifat sementara sahaja. Sungkupan boleh dibuat dengan sisa-sisa tanaman atau yang paling popular pada masa kini ialah sungkupan plastik.

2.5 Pembinaan benteng di kaki cerun yang boleh terdiri daripada tembok konkrit atau gabion (sangkar dawai yang diisikan batu). Benteng amat penting sebagai penguat kaki cerun dan sekaligus mengekalkan kestabilan cerun tersebut.

2.6 Pembinaan struktur penstabil di permukaan cerun. Permukaan cerun boleh distabilkan secara kejuruteraan seperti menyalutnya dengan simen, mengikat permukaan cerun dengan blok-blok konkrit, membina jaringan besi/dawai di permukaan cerun dan sebagainya sebagai penahan kepada hakisan larian air permukaan.

2.7 Membina laluan air. Seperti sistem perpaipan sebagai air buangan cerun, sistem longkang menuruni cerun, sistem perparitan dan sebagainya demi mengelakkan pergerakan air secara meluas di permukaan cerun.

3.Kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar. Sebagai masyarakat pengguna, penduduk harus disedari tentang perlunya mencegah hakisan di permukaan cerun atau tebing sungai daripada terus merosakkan alam sekitar. Kempen kesedaran boleh dilaksanakan menerusi pelbagai media elektronik dan juga projek kemasyarakatan seperti bergotong - royong. Manakala pendidikan alam sekitar boleh diberikan menerusi pelbagai matapelajaran tertentu di sekolah. Alam sekitar sebagai satu subjek yang merentasi kurikulum.