231-236-ulasan-1

Upload: qammarul-anuar-mohamed

Post on 28-Feb-2018

226 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 7/25/2019 231-236-ulasan-1

    1/6

    231

    ULASAN BUKU

    Ahmad Jelani Halimi, Undang-undang

    Laut Melayu: Undang-undang Perahu danUndang-undang Belayar. Kuala Lumpur:

    Dewan Bahasa dan Pustaka, 2013, xxii +

    159 halaman. Nota, bibliograf, lampiran,

    indeks. ISBN 978-983-46-1007-4

    Pengulas: Jelani Harun

    [email protected]

    Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan,

    Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang,

    Malaysia.

    Undang-undang Laut Melayu: Undang-undang Perahu dan Undang-undang

    Belayar Sebuah Manifestasi Budaya Maritim Melayu

    Pertautan erat masyarakat Melayu dengan budaya mirip maritim sudah mendapat

    penelitian sarjana daripada pelbagai bidang ilmu termasuk arkeologi, sejarah. Amalanhidup masyarakat Melayu tradisional mendiami persekitaran laut, pelabuhan, pulau

    dan teluk, malah juga pesisir pantai, tanjung, kuala, muara dan sebagainya. Sejarah

    ketamadunan Alam Melayu juga amat berhubungan rapat dengan pembinaan negara

    kota yang berpusatkan kegiatan perdagangan dan pelabuhan kapal, antara lain seperti

    yang berlaku dalam sejarah Srivijaya, Mataram, Patani, Melaka, Aceh, Palembang,

    Riau, Singapura dan lain-lainnya. Peta Alam Melayu turut mengukir banyak laluan

    yang dinamakan sebagai Laut Melayu merangkumi, Selat Melaka, Laut Banda,

    Laut Maluku, Laut Jawa, Laut Sulawesi, Laut Sulu dan Laut China Selatan (lihat

    Nordin Husin, 2011). Pada zaman kegemilangannya, Laut Melayu menjadi pusat

    laluan kapal dan perahu dagang yang sentiasa berulang-alik antara sebuah pelabuhandengan pelabuhan yang lain

    Kepentingan budaya hidup maritim di Alam Melayu tergambar melalui

    penggubalan beberapa bentuk undang-undang adat yang berasaskan laut sama ada

    berhubungan dengan hal-ehwal perniagaan atau pun pengawalan keselamatan dan

  • 7/25/2019 231-236-ulasan-1

    2/6

    232

    MELAYU: JURNAL ANTARABANGSA DUNIA MELAYU JILID 7 BIL. 2 2013

    keamanan pelayaran. Contoh penting bagi undang-undang adat di laut ini ialah

    Undang-undang Laut Melakayang dihasilkan pada zaman kesultanan Melayu di

    Melaka, antara lain mengandungi pelbagai peraturan jual-beli, cukai, upah, denda dan

    kuasa para nakhoda kapal. Penyelidikan tentang Undang-undang Laut Melakatelahbermula sejak tahun 1816 oleh Thomas Stanford Rafes. Pada tahun 1956, Winstedt

    & Josselin de Jong pula menerbitkan Undang-undang Laut Melakaberasaskan 13

    manuskrip yang tersimpan di Britain. Undang-Undang Laut Melaka kemudian telah

    disalin dan dijadikan undang-undang laut bagi beberapa kesultanan Melayu yang

    lain.

    Penelitian oleh Ahmad Jelani Halimi telah menemukan dua variasi atau pengaruh

    Undang-undang Laut Melaka dalam bentuknya yang tersendiri yang dinamakan

    sebagaiUndang-undang PerahudanUndang-undang Belayar. BukuUndang-undang

    Laut Melayu: Undang-undang Perahu dan Undang-undang Belayar menampilkan

    sebuah pengenalan ringkas tentang undang-undang Laut Melayu dan diikuti dengantransliterasi bagi Undang-undang Perahudan Undang-undang Belayarberdasarkan

    dua buah manuskrip Jawi yang kini tersimpan di Perpustakaan Universiti Leiden,

    Belanda (Manuskrip Or. 3292 dan Or. 3293). Salinan faksimile manuskrip Jawi bagi

    kedua-dua buah naskhah undang-undang tersebut turut dilampirkan sebagai bahan

    rujukan lanjut para pembaca.

    Isi kandungan bagi kedua-dua buah naskhah undang-undang berhubungan dengan

    pelbagai peraturan tentang pelayaran perahu (kapal) di laut, diikuti dengan jenis-

    jenis kesalahan yang berlaku di laut dan bentuk hukuman yang dikenakan. Naskhah

    turut menyenaraikan beberapa tugas dan tanggung jawab para petugas di dalam

    perahu atau kapal. Undang-undang Perahuterdiri daripada 50 fasal undang-undangketika orang berada di dalam pelayaran perahu. Demikian juga dengan Undang-

    undang Belayaryang mengandungi 50 fasal undang-undang dalam pelayaran. Setiap

    peraturan ada undang-undang atau hukuman yang mengawalnya agar peraturan

    akan sentiasa dipatuhi oleh orang yang berada di atas kapal, perahu, sampan dan

    sebagainya. Kedua-dua naskhah undang-undang ialah hasil gubahan para nakhoda

    yang arif dengan pelayaran di perairan Laut Melayu dan peraturan-peraturannya.

    Keselamatan pelayaran kapal atau perahu sangat penting diberi perhatian, lebih-

    lebih lagi bagi kapal atau perahu dagang yang sarat dengan muatan penumpang,

    barang berharga atau dagangan. Untung rugi pelaburan modal para saudagar atau

    tuan punya kapal amat berkait rapat dengan keselamatan dalam pelayaran agarkapal selamat tiba ke pelabuhan. Adakalanya pelayaran akan mengambil masa yang

    panjang dan melibatkan tenaga petugas kapal yang ramai. Selain bahaya menempuh

    gelombang laut dan ancaman serangan lanun, pelayaran kapal atau perahu sentiasa

    terdedah kepada ancaman daripada anak kapal sendiri yang melakukan perbuatan

  • 7/25/2019 231-236-ulasan-1

    3/6

    ULASAN BUKU

    233

    derhaka, khianat, mencuri, bergaduh dan sebagainya. Oleh itu, undang-undang yang

    khusus perlu dibuat bagi memelihara keselamatan semasa pelayaran, nyawa dan

    harta benda ketika berada di lautan. Dalam bahagian mukadimah Undang-undang

    Belayar (Ahmad Jelani Halimi, 2013:75) ada disuratkan tujuan undang-undangtersebut dibuat:

    ...supaya sentosa kepada Allah segala pekerjaan dalam pelayaran dan supaya jangan

    bersalah-salahan dan juga meminasakan dan diadat dalam perahu layaran supaya

    selamat pekerjaan di laut dan di darat...

    Membaca naskhah undang-undang masa silam boleh membuka beberapa

    petunjuk kepada masyarakat masa kini tentang tatacara pemerintahan kesultanan

    Melayu yang mempunyai adat istiadat dan peraturannya. Ada undang-undang

    yang menjadi amalan kepada seluruh rakyat jelata yang berada di daratan dan adapula undang-undang yang khusus kepada rakyat yang berada di lautan. Mengikut

    Undang-undang Laut Melaka, seorang nakhoda merupakan raja ketika berada di

    lautan. Dilihat dalam konteks ini, tugas seorang nakhoda bukan hanya mengetuai

    pelayaran sebuah kapal tetapi juga menjadi ketua kepada segala anak kapal dan

    para penumpang yang berada bersama-samanya di dalam pelayaran. Nakhoda

    berkuasa penuh dalam mengemudikan haluan kapal agar pelayaran akan sampai

    ke destinasinya dengan selamat. Nakhoda juga berkuasa penuh menghukum mana-

    mana anak kapal atau penumpang yang melakukan kesalahan di atas kapalnya, hatta

    mengenakan hukuman bunuh sekalipun.

    Matlamat utama pembentukan sebuah undang-undang, walau dalam keadaan apasekalipun, adalah bagi memelihara keamanan negara dan memberi keadilan kepada

    rakyat. Undang-undang menjadi panduan kepada raja-raja atau pembesar dalam

    melaksanakan peraturan dan hukuman mengikut ketetapan yang telah disuratkan.

    Konsep adil yang terdapat dalam undang-undang Melayu telah menimbulkan

    pelbagai tanggapan dan interpretasi, tetapi rasional kewujudannya masih boleh

    dipertahankan sekurang-kurangnya mengikut konteks masa undang-undang tersebut

    digubal dan dilaksanakan. Hal yang sama boleh dikatakan bagi hal undang-undang

    di laut, terdapat nilai keadilan tertentu yang menjadi asas kepada sesuatu peraturan

    atau hukuman. Sama seperti seorang raja, seorang nakhoda juga harus memiliki sifat

    adil dan bijaksana dalam mengemudikan kapal.Kata-kata bahawa nakhoda ialah raja di laut turut ditemui tersurat di dalam

    Undang-undang Belayar(Ahmad Jelani Halimi, 2013: 80): ...nakhoda itu umpama

    raja ia dalam perahunya. Hal ini memperlihatkan bagaimana tugas memelihara

    undang-undang dan keselamatan begitu dititikberatkan pada masa lalu sehingga

  • 7/25/2019 231-236-ulasan-1

    4/6

    234

    MELAYU: JURNAL ANTARABANGSA DUNIA MELAYU JILID 7 BIL. 2 2013

    raja-raja sanggup menurunkan kuasa undang-undang kepada seseorang nakhoda.

    Secara perlambangannya, pelayaran sebuah kapal, perahu atau bahtera ibarat

    perjalanan pemerintahan sebuah negara. Nakhoda ialah raja atau ketua yang akan

    menentukan kejayaan atau kegagalan pelayaran kapalnya. Sebagai seorang rajadi laut, nakhoda seharusnya mengikuti segala peraturan dan hukum yang telah

    ditetapkan agar terhindar daripada melaksanakan hukuman yang dibuatnya sendiri,

    atau mengamalkan undang-undang rimba secara membuta tuli. Hal ini ada disuratkan

    dalam bahagian awal Undang-undang Perahu (Ahmad Jelani Halimi, 2013:51)

    seperti yang berikut:

    Hukum undang2 lima puluh bab dan lima puluh fasal barang diketahui oleh segala

    nakhoda supaya jangan bergaduh dan berbantah oleh kerana hukum undang2 itu

    umpama raja jikalau dibantah dan digagah salah yang besar demikianlah salahnya...

    Penerbitan buku Undang-undang Laut Melayu: Undang-undang Perahu dan

    Undang-undang Belayar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur telah

    berjaya mengenengahkan dua buah naskhah undang-undang laut yang pernah menjadi

    amalan masyarakat Melayu suatu masa dahulu. Kedua-dua buah naskhah undang-

    undang boleh menjadi bahan sumber rujukan yang penting kepada para peneliti

    undang-undang Melayu sama ada dalam bidang sejarah, bahasa, sastera, adat budaya

    mahupun bidang pengajian undang-undang moden masa kini. Sejarah tamadun dan

    peradaban Melayu bukan hanya berpusat di daratan tetapi juga pernah melangkaui

    sempadan lautan yang terbentang luas. Kedua-dua buah naskhah Undang-undang

    Perahu dan Undang-undang Belayarmerupakan sebahagian daripada manifestasitentang amalan budaya maritim di Alam Melayu suatu masa dahulu, merangkumi

    beberapa asas nilai keislamannya.

    Laut merupakan laluan utama kemasukan kapal dan barang dagangan asing

    ke Alam Melayu. Menurut catatan di dalam Sulalatus Salatin / Sejarah Melayu,

    pada zaman kegemilangan kesultanan Melayu, pelabuhan Melaka begitu sibuk

    dengan kehadiran kapal dagang dari seluruh dunia. Pelayaran yang sangat jauh

    pasti memerlukan peraturan dan undang-undang pelayaran yang lebih ampuh dan

    ketat. Peristiwa anak kapal menderhaka dan merampas kuasa nakhoda mungkin

    telah banyak kali berlaku pada masa dahulu. Salah satu rakaman peristiwa tersebut

    ada tersurat di dalam Undang-undang Belayar (Ahmad Jelani Halimi, 2013: 75-79) yang menceritakan kisah anak kapal menderhaka terhadap nakhoda perempuan

    yang bernama Siti Dewi. Rancangan telah dibuat untuk membunuh Siti Dewi dan

    merampas kapal dan segala hartanya. Walau bagaimanapun, Siti Dewi akhirnya

    berjaya diselamatkan dan semua penderhaka dikenakan hukuman.

  • 7/25/2019 231-236-ulasan-1

    5/6

    ULASAN BUKU

    235

    Peristiwa di atas hanyalah sebuah episod menarik yang wajar dikaji secara lanjut

    oleh sarjana, pembaca dan peneliti undang-undang Melayu. Benarkah anak kapal

    Siti Dewi menderhaka kerana tidak mahu bernakhodakan seorang perempuan, atau

    ada sebab lain di sebaliknya? Agak menarik juga diberi perhatian apabila dikatakanSiti Dewi ada mewarisi undang-undang pelayaran yang diperolehi daripada Sultan

    Mahmud Syah dan Sultan Mahmud Syah beroleh daripada Sultan Gujerat dan Sultan

    Gujerat beroleh daripada Nabi Khidir tatkala melayarkan bahtera Nabi Noh alaihi

    salam... (Ahmad Jelani Halimi, 2013: 76). Ada pelbagai persoalan yang menuntut

    penelitian dan jawapannya.

    Sehingga kini, kajian yang lebih mendalam tentang undang-undang pelayaran

    masyarakat antarabangsa di Alam Melayu masih belum dilakukan lagi. Apakah

    Undang-undang Laut Melakapernah menerima pengaruh daripada undang-undang

    laut para pedagang dari China, India, Tanah Arab atau Eropah? Menurut Ahmad

    Jelani Halimi (2013: xvii), besar kemungkinan Undang-undang Perahu danUndang-undang Belayar ditulis atau disalin antara tahun 1511-1641, yakni pada

    zaman penjajahan Portugis di Melaka. Apakah ini menyarankan ada kemungkinan

    terdapat pengaruh undang-undang laut Portugis dalam amalan undang-undang Laut

    Melayu tersebut?

    Setakat yang diketahui kini, naskhah Undang-undang Laut yang tersimpan

    di Breda (Breda 6619) bertarikh 1066H (1656M) dapat dianggap sebagai salinan

    Undang-undang Laut Melakapaling awal yang diketahui wujud. Sebuah lagi salinan

    yang sama telah ditemui oleh Liaw Yock Fang (2003) dalam naskhah Vat. Ind. 4

    yang tersimpan di Vatican City, Rom, Itali. Bagi peneliti Undang-undang Kedah

    pula, ada dicatatkan bahawa Undang-undang Pelabuhan yang terdapat di dalamundang-undang bagi Negeri Kedah tersebut bertarikh 1060H (1650M). Undang-

    undang pelabuhan tersebut telah digubal sewaktu zaman pemerintahan Sultan

    Rijaluddin Muhammad Syah (1625-1651 yang bersemayam di Kota Naga, Kedah

    (lihat Winstedt, 1928).

    Contoh naskhah undang-undang laut di atas merupakan sebahagian daripada

    dokumen sejarah sosiobudaya masyarakat Melayu tentang amalan undang-undang

    laut pada masa lalu yang masih belum diselidiki secara lebih mendalam lagi. Malah,

    sehingga ke hari ini, apa yang diistilahkan oleh Rafes (1879) sebagai The Maritime

    Code of the Malays masih belum diketahui dengan sepenuhnya. Di samping

    Undang-undang Laut Melaka, Undang-undang Perahu dan Undang-undangBelayar, terdapat juga Undang-undang Kedah, Undang-undang Laut Mengkasar,

    Undang-undang Laut Bima, Undang-undang Indragiri, Hukum Kanun Brunei, Adat

    Aceh dan Adat-adat Kapal yang mengandungi undang-undang laut di dalamnya.

    Penelitian secara perbandingan antara naskhah undang-undang laut yang pelbagai

  • 7/25/2019 231-236-ulasan-1

    6/6

    236

    MELAYU: JURNAL ANTARABANGSA DUNIA MELAYU JILID 7 BIL. 2 2013

    ini mungkin boleh menghasilkan dapatan silang budaya yang lebih luas tentang ciri,

    prinsip, nilai dan falsafah undang-undang laut dan budaya hidup maritim di Alam

    Melayu masa lalu (Jelani Harun, 2008).

    Usaha Ahmad Jelani Halimi dalam meneliti manuskrip Melayu yang tersimpandi Perpustakaan Universiti Leiden harus terus memberi dorongan kepada peneliti

    manuskrip Melayu yang lain. Manuskrip Melayu merupakan warisan bangsa, tinta

    emas tentang kepandaian dan keintelektualan orang Melayu masa silam dalam

    segenap bidang kehidupan. Mungkin masih ada lagi naskhah undang-undang Laut

    Melayu yang belum diketahui umum tersimpan di Perpustakaan Universiti Leiden

    atau perpustakaan besar dunia yang lain yang menanti penelitian daripada kalangan

    sarjana seterusnya. Undang-undang Perahu dan Undang-undang Belayar boleh

    membuka ruang perbincangan yang berpanjangan tentang amalan budaya maritim

    di Alam Melayu pada masa lalu.

    RUJUKAN

    A. Samad Ahmad, 1996. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasadan Pustaka.

    Jelani Harun, 2008. Undang-Undang Kesultanan Melayu dalam Perbandingan. Pulau

    Pinang: Penerbit USM.

    Liaw Yock Fang, 2003. Undang-Undang Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Kuala

    Lumpur: Yayasan Karyawan.

    Mariyam Salim (peny.), 2005. Undang-Undang Laut. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

    Pustaka.

    Nordin Husin, 2011. Perdagangan dan Peradaban di Laut Melayu. Bangi: Universiti

    Kebangsaan Malaysia.

    Rafes, T. S., On the Malayu Nation, with a Translation of its Maritime Institutions dlm.

    Asiatick Researches12, hlm. 102-59, 1816.

    Rafes, T. S., The Maritime Code of the Malays dlm.Journal of the Straits Branch of the

    Royal Asiatic Society3, hlm. 62-84, 1879.

    Winstedt, R.O., Kedah Laws dlm. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic

    Society 4. Part II, hlm. 1-44, 1928.

    Winstedt, R.O. & Josselin de Jong, The Maritime Laws of Malacca dlm. Journal of the

    Straits Branch of the Royal Asiatic Society 29. Part III, hlm. 22-59, 1956.