1 psy sosial
TRANSCRIPT
1.0 SINOPOSIS FILEM PAPADOM
Mengisahkan Saadom adalah seorang pengusaha kedai makan yang terlalu kuat
bekerja sehingga berjaya mengejar impian hidupnya, namun dia gagal dalam
tanggungjawabnya sebagai suami kepada Munira dan ayah kepada Miasara. Situasi
ini berubah apabila Saadom kehilangan isteri kesayangannya yang meninggal dunia
dalam satu kemalangan ketika ingin melihat anaknya menerima anugerah di
sekolah selepas suaminya memberikan alasan sibuk bekerja. Sebelum itu, Munirah
sempat berpesan agar suaminya sentiasa menjaga anaknya seperti mana menjaga
kerjanya. Sejak itu Saadom tidak lagi seperti dulu, ke mana saja anaknya berada dia
sentiasa berada disisi. Sehinggalah saat berpisah dengan anaknya apabila Miasara
ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya di IPTA. Miasara tidak lagi mahu
ayahnya mengikutnya ke Kuala Lumpur dan mengugut akan berhenti belajar
sekiranya tidak patuh arahannya. Saadom akur dengan kehendak anaknya, namun
di sebalik itu Saadom punyai rancangan untuk memohon jawatan sebagai tukang
kebun di IPTA tempat anaknya belajar agar dapat sentiasa melihat anaknya.
2.0 PENGENALAN
Dalam filem Papadom, terdapat banyak prinsip psikologi sosial yang terjadi dalam
situasi atau individu yang digambarkan dalam filem tersebut. Antara lima prinsip
psikologi yang dapat dikenalpasti dalam filem Papadom ialah agresif, prejudis,
hubungan kekeluargaan, perapatan dan persahabatan.
Dalam filem Papadom terdapat beberapa adegan yang menunjukkan
berlakunya tingkah laku agresif. Agresif ialah sebarang tingkah laku yang dirancang
untuk mencederakan orang lain, iaitu tingkah laku yang harus dielakkan. Menurut
Arnold Buss (1961), tingkah laku agresif adalah sesuatu gerak balas atau tingkah
laku yang memberi rangsangan berbahaya kepada organisma ataupun sebarang
gerak-geri yang memberi sesuatu suasana yang tidak selesa kepada seseorang
individu. Contohnya, seseorang yang suka menentang kawannya dan menyebabkan
kawannya menangis atau cedera.
Manakala, prinsip psikologi iaitu prejudis, diskriminasi dan stereotaip
mempunyai konsep yang tersendiri dan saling berkaitan. Prasangka memberi
pengertian kepada satu bentuk sikap yang ditujukan kepada ahli sesuatu kelompok.
Sementara diskriminasi pula ialah tindakan tingkah laku negatif yang ditujukan
kepada ahli kelompok tersebut. Manakala, stereotaip merujuk kepada kepercayaan
negatif ke atas sesuatu kelompok. Menurut Paplia dan Olds (1985), prasangka dan
diskriminasi wujud di kalangan manusia. Kedua-duanya berlaku merentasi faktor
bangsa ataupun kelompok etnik yang membawa kepada corak tingkah laku seperti
perkauman, anti semistisme, diskriminasi terhadap golongan tua, cacat, miskin,
ataupun jantina serta mereka yang mengamalkan cara gaya kehidupan yang tidak
popular atau disukai.
Prinsip psikologi yang ketiga yang terdapat dalam filem Papadom ialah
hubungan kekeluargaan. Kamus Dewan edisi yang ketiga menyatakan hubungan
adalah sambungan, rangkaian dan perkaitan, dan talian. Manakala intim pula
didefinisikan sebagai sangat mesra, rapat, karib, perhubungan, dan persahabatan.
Hubungan kekeluargaan merupakan hubungan antara ibu bapa dengan anak,
hubungan sesama anak-anak dan hubungan saudara mara dekat atau jauh. Prinsip
hubungan kekeluargaan yang difokuskan ialah hubungan ibu bapa dan anak. Anak-
anak ialah pengikat kasih sayang sesebuah keluarga. Maka tidak hairanlah jika
hubungan ibu bapa dan anak terlalu rapat.
Seterusnya ialah attachment atau perapatan. Perapatan merupakan
hubungan kasih-sayang yang berpanjangan dan kekal sepanjang hayat seseorang.
Ia berfungsi untuk memberi rasa selamat, selesa dan seronok kepada seseorang
dalam perhubungannya dengan individu lain. Oleh sebab perapatan awal, iaitu pada
zaman kanak-kanak mempengaruhi hubungan emosi individu pada masa akan
datang, maka ibu bapa dan guru-guru mesti memahami bagaimana perapatan
mempengaruhi pembentukan emosi kanak-kanak.
Manakala, persahabatan merujuk kepada ikatan suci antara satu sama lain.
Persahabatan tidak mengira umur, bangsa, jantina, keturunan, pangkat dan agama.
Perhubungan ini terbentuk mungkin dengan beberapa sebab, antaranya ialah
kawan sepermainan sejak kecil, jiran, kawan sekolah, kawan seasrama dan sebilik.
Hubungan ini juga mungkin terjadi secara tidak sengaja atau perkenalan singkat di
majlis atau kursus.
Kesimpulannya, dalam filem Papadom banyak diselitkan dengan prinsip atau
tema psikologi sosial yang dapat memberi sedikit kesedaran dan pengajaran dalam
kehidupan setiap individu terutamanya kepada setiap individu yang bergelar bapa.
3.0 KEAGRESIFAN
3.1 Keagresifan
Beberapa tema telah dikenalpasti di dalam filem filem Papadom. Antaranya ialah
keagresifan (aggression). Keagresifan yang boleh dilihat dalam beberapa adegan
filem Papadom. Antara adegannya ialah ketika berada di padang bola ragbi. Sasha
salah seorang satu dari watak filem Papadom adalah ketua pasukan sorak. Hisyam
merupakan teman lelaki Sasha dan juga pengarah filem tentang ragbi pada waktu
tersebut. Pada ketika itu, Hisyam sedang bercakap-cakap dengan Miasara dan
Yvonne yang merupakan pelajar baru di Uitm Shah Alam. Hisyam telah memegang
dan melihat leher Miasara dan Yvonne. Sasha berasa marah dan cemburu apabila
melihat mereka dan berkata “Hei, freshie. Kan siang-siang I warning you yang
Hisyam boyfriend I. Yang you tu gatal sangat”. Kemudiannya kawan-kawan Sasha
juga berkata “amboi-amboi, jalangnya bunyi!”. Miasara menjadi marah apabila
orang memanggil dia jalang. Kemudiannya Sasha telah melemparkan sesuatu
kepada Miasara kerana geram dan Miasara pun marah dan melemparkan balik
barang tersebut dan berkata “Ingat muka kau lawa sangat”. Selepas itu, mulalah
pergaduhan mereka dengan saling menarik rambut dan tolak-menolak. Yvonne juga
bergaduh sambil saling menolak dengan kawan-kawan Sasha.
Selain adegan di padang bola ragbi, terdapat adegan agresif yang lain telah
dikenalpasti. Agresif telah berlaku pada latar di mana Hisyam mempamerkan
perlakuan agresifnya kepada Saadom. Hisyam berkata dengan marah dan
geramnya “Hoi, berzina ke?”. Hisyam telah menolak dan memukul pak cik tersebut.
Pelajar-pelajar lelaki yang lain telah menolak Miasara dengan kuat lalu pengsan
setelah melihat Miasara cuba menghalang mereka daripada memukul pak cik
tersebut kerana pak cik tersebut adalah ayah Miasara. Pelajar-pelajar lain pun turut
membelasah pak cik tersebut.
3.2 Perkaitan Psikologi Sosial
Berdasarkan kepada beberapa adegan yang dilihat dan dikenalpasti, prinsip
Psikologi Sosial yang boleh dilihat adalah keagresifan. Keagresifan didefinisikan
sebagai tingkah laku secara verbal atau fizikal yang bertujuan untuk mencederakan
seseorang. Ahli psikologi telah menyatakan dan melabelkan agresif mempunyai dua
jenis iaitu agresif ‘Hostile’ dan ‘instrumental’. Agresif ‘hostile’
muncul dari kemarahan, tujuannya adalah untuk mencederakan. Agresif
‘instrumental’ bertujuan untuk mencederakan juga, tapi hanya untuk sesuatu
tujuan. Kekecewaan, kejengkelan dan serangan semuanya mudah menyebabkan
seseorang berasa marah. Perasaan marah merupakan satu daripada unsur yang
penting untuk menghasilkan keagresifan. Biasanya, seseorang yang berasa
semakin marah akan bertindak semakin agresif. Namun ada juga individu yang
selalu berasa marah tetapi berkelakuan tenang, atau sekurang-kurangnya
bertenang dengan menggunakan akal dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif.
Oleh itu, faktor untuk mengawal tingkah laku agresif sama penting dengan
menimbulkan perasaan agresif. Pengetahuan lampau merupakan mekanisme
penting untuk menentukan manusia bertingkah laku agresif.
Prinsip Psikologi Sosial yang boleh dilihat adalah keagresifan. Keagresifan
termasuk dalam Psikologi Sosial dan dibuktikan dengan penemuan kajian seperti
kajian Kenneth Dodge dalam Azizi Yahya, Yusof Boon, Jamaludin Ramli, Jaafar Sidek
Latif, Fawziah Yahya dan Amir Hamzah Abdul (2010), menyatakan kanak-kanak
yang reaktif keagresifan dan suka bertengkar dengan rakan sebaya biasanya
bertanggapan bahawa rakan-rakannya sentiasa bermusuhan dengannya. Kanak-
kanak ini didapati mudah marah dan membalas dendam tanpa berfikir atau
bertimbang rasa terhadap keberkesanan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Kajian yang lain adalah Dollard dan rakan dalam Azizi Yahya dan rakan (2010)
memfokuskan bahawa tingkah laku agresif ialah disebabkan oleh perasaan kecewa
dan semua perasaan kecewa akan menyebabkan tingkah laku yang agresif. Punca
atau sebab kekecewaan datangnya dari luar diri individu iaitu satu pengalaman
atau respons yang subjektif apabila berhadapan dengan sesuatu keperluan
terhalang. Contohnya, seorang kanak-kanak gagal mendapatkan anak patung yang
telah terjatuh, perselisihan faham antara dua orang kanak-kanak.
3.3 Bukti artikel jurnal
Adegan agresif dalam filem Papadom bersesuaian dengan prinsip Psikologi Sosial.
Dalam adegan tersebut bapa Miasara menjadi agresif apabila ada orang menyerang
dan memukul dia. Oleh itu, salah satu pengaruh kepada keagresifan adalah
aversive incident. Jenis aversive incident seperti kesakitan, ketidakselesaan dengan
panas, serangan atau kepadatan penduduk. Individu yang diserang atau dihina oleh
orang lain adalah sangat konduksif untuk agresif. Beberapa kajian termasuklah satu
di Osaka University oleh Kennichi Ohbuchi dan Toshihiro Kambara dalam Myers
(2010), memastikan serangan sengaja mencetuskan serangan balas. Dalam
sebahagian besar kajian tersebut, seseorang individu bersaing dengan yang lain
dalam konteks reaksi. Setelah setiap percubaan ujian, pemenangnya memilih
berapa banyak kejutan diberikan kepada individu yang kalah. Sebenarnya setiap
orang memainkan lawan yang telah diprogramkan, yang mana akan terus
meningkat jumlah kejutan. Adakah peserta sebenarnya memberi respon murah
hati? Hampir tidak. Mengestrak “mata untuk mata” adalah respon yang lebih
mungkin. Manakala, menurut kajian yang dijalankan oleh Leonard Berkowitz (1988)
telah menyatakan bahawa kekecewaan boleh menghasilkan kecenderungan untuk
agresif hanya apabila mereka ada permusuhan dan juga menimbulkan kesan
negatif. Beliau telah menolak bukti yang dinyatakan oleh
Dollard, Doob, Miller, Mowrer, dan Scars iaitu kekecewaan menghasilkan reaksi
agresif dan hanya terkawal dan sengaja berkelakuan buruk yang menimbulkan
kemarahan diuji. Dalam adegan tersebut telah menunjukkan bahawa Sasha kecewa
dan marah apabila melihat teman lelakinya bersama dengan wanita lain dan
menjadikannya lebih agresif dari tingkah laku secara verbal dan fizikal.
Justeru, keagresifan dalam prinsip Psikologi Sosial boleh dilihat dalam filem
Papadom seperti adegan Sasha bergaduh dengan Miasara dan juga adegan Hisyam
menyerang rumah pak cik tukang kebun dan memukul pak cik tersebut kerana
salah sangka dan beranggapan Miasara mempunyai hubungan dengannya serta
tidak tahu pak cik Saadom tersebut adalah ayah Miasara. Keagresifan boleh
berlaku apabila individu telah diserang oleh orang lain dan individu tersebut akan
menyerang balik dan boleh mencederakan orang lain. Tambahan juga kekecewaan
juga boleh menyebabkan kemarahan dan seterusnya kepada agresif.
4.0 PREJUDIS
4.1 Adegan atau Skrip
Dalam filem Papadom terdapat beberapa adegan yang menyelitkan unsur prejudis.
Adegan prejudis dapat dilihat apabila pada suatu ketika semasa sesi pendaftaran
diri di universiti, Miasara dan Yvonne telah berjumpa dengan seorang senior yang
bernama Shasha. Shasha yang memperkenalkan dirinya sebagai ketua bagi
pasukan sorak di universiti tersebut dan ketua bagi peminat fanatik Hisham Hashim
yang merupakan seorang pelakon yang terkenal merangkap teman wanita. Adegan
prejudis dapat dilihat apabila Shasha mengajak Miasara untuk menyertai pasukan
sorak universiti tetapi dia tidak pula mengajak Yvonne untuk menyertai pasukan
tersebut. Contoh dialog;
Shasha : “Petang karang, I nak you datang padang join team cheer leading
I…You ni sweet, innocent and hot…memang sesuai join kitaorang”
Miasara. : “Tapi, saya tak pandai chile leading”
Shasha : “Oh no…tak ada orang yang berani cakap no dengan …Just be there…”
Miasara : “How to Yvonne?”
Shasha : “ Dia tu bukan orang kita, tak hot…macam abang penyek…”
Manakala, prejudis yang kedua dapat dikenalpasti iaitu lebih kepada unsur
stereotaip. Apabila Miasara dan Yvonne mula memasuki universiti, pada awal sesi
pendaftaran lagi senior mereka iaitu Shasha telah menunjukkan pandangan yang
negatif ke atas pelajar baru seperti Miasara dan Yvonne dengan mengelarkan
mereka sebagai ‘Freshere’. Malah, adegan stereotaip dapat dilihat lagi apabila
Shasha memberi amaran kepada Miasara dan Yvonne supaya jangan mengganggu
teman lelakinya iaitu Hisham Hashim.
Adegan prejudis ketiga lebih kepada diskriminasi, di mana situasi yang
berlaku apabila Saadom datang ke sebuah kedai motosikal dengan berpakaian
tukang kebun, pelayan kedai tersebut seakan-akan memandang rendah dengan
Saadom dan tidak memberi layanan yang baik kepada Saadom. Namun, apabila
Saadom mengeluarkan kad kredit, barulah pelayan kedai tersebut memberikan
senyuman dan melayan Saadom dengan baik.
Dalam filem Papadom ini, dapat dikenalpasti beberapa adegan yang
menunjukkan berlakunya prejudis yang mempunyai unsur-unsur stereotaip dan
diskriminasi.
4.2 Perkaitan Psikologi Sosial
Sikap adalah kesukaan dan kebencian, iaitu penilaian terhadap dan reaksi ke atas
sesuatu objek, manusia, situasi, atau aspek yang lain termasuklah idea abstrak dan
polisi sosial. Sikap terbahagi kepada tiga komponen utama, iaitu kognitif, afekti,
dan tingkah laku. Komponen kognitif merujuk kepada pemikiran, kepercayaan, idea,
fakta, dan pengetahuan terhadap ahli sesuatu kelompok serta cara maklumat
tentang ahli kelompok tersebut diproses, disimpan, dan diingati semula. Komponen
afektif melibatkan keadaan emosi yang positif atau negatif terhadap sesuatu.
Komponen ini merangkumi unsur hormat-menghormati, menyukai, dan simpati
yang merupakan perasaan emosi positif. Manakala, perasaan negatif melibatkan
penghinaan, takut, dan reaksi yang berubah-ubah. Komponen tingkah laku pula
memperihalkan kepada niat untuk bertindak dalam cara yang tertentu agar tingkah
laku selari dan sikap.
Ahli-ahli psikologi mendapati ketiga-tiga komponen sikap tersebut
memainkan peranan dalam membentuk sikap manusia seperti prejudis, stereotaip
dan diskriminasi. Prejudis didefinisikan sebagai pandangan negatif mengenai ahli
atau kelompok lain yang tersemat dalam hati seseorang atau kelompok tertentu.
Pandangan prejudis tidak diluahkan secara terbuka. Lazimnya pandangan ini tidak
berasaskan maklumat yang jelas, tepat atau mencukupi. Sikap prejudis disalurkan
dari satu generasi kepada generasi yang lain. Kesannya semakin mudah dilihat
apabila berlaku persaingan bagi mendapatkan sesuatu yang terhad sama ada
dalam aspek politik, ekonomi atau sosial. Prejudis merujuk kepada komponen
afektif iaitu perasaan atau emosi negatif yang dialami oleh individu yang prejudis.
Emosi negatif wujud apabila individu yang tidak disukai itu muncul di depan mata
atau hanya memikirkan individu tersebut sahaja.
Sementara diskriminasi pula merupakan tindakan tingkah laku negatif
ditujukan kepada ahli kelompok tersebut. Diskriminasi wujud dalam berbagai
bentuk. Pada situasi paling sederhana tingkah laku diskriminasi dapat dihindari.
Walau bagaimanapun pada tahap yang melampau, diskriminasi boleh
mengakibatkan pergaduhan atau penganiayaan sesuatu kelompok oleh kelompok
yang lain. Diskriminasi merupakan komponen tingkah laku melibatkan
kecenderungan untuk bertindak secara negatif atau mempunyai niat untuk
melakukan keganasan terhadap ahli sesuatu kelompok. Apabila kecenderungan dan
niat ini diterjemahkan ke dalam tingkah laku nyata,maka munculnya tingkah laku
negatif yang dikatakan diskriminasi.
Manakala, stereotaip merujuk kepada gambaran dalam mental atau pemikiran
yang dicipta untuk sekumpulan manusia, masyarakat atau negara. Persepsi
stereotaip bagi kumpulan terjadi akibat daripada persaingan kumpulan. Kumpulan
yang dipercayai mengancam status, kuasa atau masuk kepada beraneka sumber
selalunya dikatakan negatif. Stereotaip digunakan sebagai alasan yang kuat untuk
peminggiran dan permusuhan. Stereotaip merupakan komponen kognitif yang
melibatkan kepercayaan dan jangkaan terhadap ahli sesuatu kelompok serta cara
maklumat tentang ahli kelompok tersebut diproses, disimpan, dan diingati semula.
Secara ringkasnya, prejudis, diskriminasi dan stereotaip saling berkaitan dan
mempengaruhi antara satu sama lain yang bersifat negatif.
4.3 Sokongan artikel jurnal
Merujuk kepada artikel jurnal yang bertajuk “ Hubungan antara etnik di kalangan
pelajar sekolah menengah di sekolah luar bandar”, kajian oleh Amareson A/L
Munusamy. Kajian ini meninjau persepsi pelajar terhadap hubungan pelajar yang
berbilang kaum di sekolah mereka. Hubungan antara kaum berdasarkan empat
aspek iaitu, perkongsian identiti, sikap prejudis, sikap stereotaip dan kerapatan
hubungan antara kaum. Kerapatan antara kaum ditinjau berdasarkan aktiviti harian
pelajar bersama-sama dengan kawan yang berlainan kaum. Persepsi pelajar
mengenai amalan-amalan di bilik darjah juga dikaji. Teori kitaran hubungan kaum
dan teori konflik menjadi asas kajian ini. Sampel kajian terdiri daripada 170 orang
pelajar sekolah menengah di kawasan luar bandar yang merangkumi 91 orang
pelajar Melayu, 50 orang pelajar India dan 29 orang pelajar Cina.
Apabila merujuk kepada diskriminasi kaum, dapatan kajian menunjukkan
tiada perbezaan yang signifikan dari segi perkongsian identiti dan prejudis
mengikut kaum. Dapatan kajian menyokong teori Kitaran Hubungan Kaum yang di
kemukakan oleh Robert E. Park, 1921, (dalam Martin N.Marger,1994) . Mengikut
teori ini peringkat ketiga dalam Kitaran Hubungan Kaum adalah fasa penyesuaian
(accomodation). Ini bermakna pelajar berlainan kaum berkongsi ideologi yang
tertentu, di samping itu wujud juga kerapatan hubungan di kalangan pelajar yang
berlainan kaum. Merujuk kepada filem papadom, sikap diskriminasi kaum mahupun
prejudis tidak berlaku kerana dapat dilihat dengan jelas apabila Saadom yang
berbangsa Melayu, Alan yang berbangsa Cina, manakala Ali yang berbangsa India
dapat berkerjasama dalam menguruskan peniagaan iaitu “Saadom Nasi Kandar”
tanpa wujudnya prejudis dan diskriminasi.
Manakala dari aspek stereotaip, dapatan kajian juga menunjukkan terdapat
perbezaan yang signifikan dari segi sikap stereotaip dan kerapatan antara kaum.
Dapatan ini menunjukkan masih terdapat lagi sikap stereotaip di kalangan
masyarakat majmuk. Merujuk kepada filem Papadom, stereotaip jelas kelihatan
apabila Saadom yang memakai pakaian tukang kebun semasa hendak membeli
motorsikal, dipandang negatif oleh pelayan kedai motorsikal tersebut kerana
beranggapan Saadom tidak mampu untuk membeli motorsikal tersebut.
Secara keseluruhan dapatan menunjukkan kerapatan hubungan antara kaum
adalah di tahap yang memuaskan, terdapat perbezaan yang signifikan dari segi
persepsi pelajar Melayu dan India mengenai kerapatan hubungan antara mereka
dengan kelompok ras yang lain dan terdapat juga perbezaan signifikan dari aspek
sikap stereotaip antara pelajar Cina dan India. Kecenderungan untuk bergaul antara
kaum hanya berlaku berdasarkan aktiviti sewaktu masa di sekolah sahaja dan
jarang berlaku selepas waktu persekolahan. Amalan bilik darjah menunjukkan
bahawa budaya bilik darjah mengarah kepada pembentukan hubungan antara
kaum yang baik. Apabila merujuk kepada filem Papadom isu seperti prejudis,
diskriminasi mahupun stereotaip sememangnya masih ada ditunjukkan kepada
segelintir ahli dalam kumpulan. Namun, dalam aspek prejudis dan diskriminasi,
mahupun stereotaip kaum tidak jelas ketara, kerana dapat dilihat Saadom
bersahabat baik dengan dua orang yang berlainan kaum iaitu kaum Cina dan
kaum India. Manakala, Miasara bersahabat baik dengan Yvonne yang berbangsa
Cina.
Kesimpulannya, apabila melihat kepada prinsip psikologi sosial iaitu prejudis,
diskriminasi dan stereotaip memang wujud dalam masyarakat terutamanya yang
berbilang kaum. Terdapat banyak cara dapat disalurkan pandangan bagi mengatasi
mengurangkan prasangka dan diskriminasi. Kerjasama daripada semua pihak
seperti pihak sekolah, media massa, mahupun pihak keluarga memainkan peranan
penting dalam memupuk sikap keterbukaan dan penerimaan sesuatu kaum dalam
lapisan masyarakat.
5.0 HUBUNGAN KEKELUARGAAN
5.1 Adegan atau skrip
Dalam filem “Papadom” ini ia banyak mengisahkan tentang hubungan
kekeluargaan antara Dom dengan isterinya, Mun dan anaknya Miasara. Pada
awalnya hubungan kekeluargaan antara mereka adalah sangat bahagia. Namun
begitu, setelah beberapa tahun Dom banyak menghabiskan masa dengan
perniagaannya dan cuba memberikan yang terbaik untuk isteri dan anaknya. Dom
ingin mengubah hidup mereka sekeluarga dan tidak mahu mereka hidup susah lagi.
Setiap masa yang berlalu, beliau teringatkan akan isterinya. Dan selalu menyatakan
kepada isterinya “Mun abang rindu kat Mun”. Hal ini jelas membuktikan bahawa
Saadom masih bergantung pada isterinya dan isterinya selalu membantunya dalam
menyelesaikan masalah berkaitan dengan anak mereka iaitu, Mia.
Setelah isterinya meninggal, Saadom telah mengambil peranan sepenuhnya
sebagai seorang bapa dan seorang ibu. Segala kelengkapan dan keperluan anaknya
Mia telah diuruskan termasuklah memasak, menghantar dan mengambil anaknya
pulang dari sekolah, mengejutkan anaknya ke sekolah, dan segala yang dilakukan
oleh anaknya, beliau sentiasa berada di sisi anaknya. Contohnya, ‘ kenapa papa
kena ada dengan Mia 24 jam? Sebab ‘papa sayang Mia’. Di sini menunjukkan
bahawa bapanya terlalu menyayangi anaknya dan telah mengatur sepenuhnya
kehidupan anaknya. Beliau sanggup menghantar makanan pada anaknya apabila
tiba waktu rehat dan menyatakan bahawa makanan itu adalah lebih berkhasiat
daripada apa yang ada di sekolah anaknya. Walaupun diberi amaran oleh guru
besar sekolah, beliau juga nekad menunggu anaknya walaupun di luar pagar
sekolah.
Selain itu, setiap masa apabila Saadom mempunyai masalah dan konflik
dalam hidupnya, isterinya muncul untuk membantunya. Contohnya semasa
memandu untuk mencari Mia setelah dia lari dari majlis kawan baiknya, isterinya
muncul di sebelahnya sebagai jelmaan Saadom dan memberikan nasihat
kepadanya untuk tidak terlalu menyongkong anaknya. Nasihat isterinya “Dom tidak
boleh berbuat begitu, Mia dah besar bawalah dia duduk dan tanya pendapatnya, ini
tidak berbincang dan jangan mengikut perasaan macam firauan je”. Selain itu,
Saadom telah meminta maaf dengan Mia dan membuat perjanjian antara mereka
berdua. “ jangan buat macam ni lagi ok, papa minta maaf ye, papa tak sepatutnya
buat keputusan tanpa bincang dengan Mia, Mia betul nak tinggalkan papa?. Hal ini
jelas memberitahu bahawa Saadom seorang yang mengambil berat tentang
anaknya namun cara beliau adalah salah. Namun begitu, beliau cuba untuk
mengikut kemahuan anaknya untuk belajar di Kuala Lumpur. Walaupun begitu,
beliau tidak mahu berjauhan dengan anaknya kerana takut kehilangan anaknya
seperti beliau kehilangan isteri kesayangannya.
Saadom juga selalu memerhatikan tindakan anaknya dan ke mana sahaja
anaknya pergi. Namun begitu, isterinya melarang beliau berbuat demikian. Contoh
dialog ialah “ takkan awak nak skodeng semua pergerakan Mia?”. “Saadom
memberitahu “saya tidak mahu dia tersalah jalan dan takut perkara buruk akan
berlaku padanya”. Melalui dialog ini, beliau terlalu mengambil berat akan diri
anaknya. Selain itu juga, semasa berada di atas pokok bersama dengan salah
seorang pelajar kolej tersebut iaitu Rahman, Rahman pun bercakap “saya tak
sangka ada ayah yang buat perkara tersebut terhadap anaknya, tapi saya bangga
dengan pak cik” . Hal ini membuktikan bahawa hubungan kekeluargaan yang tinggi
terhadap anaknya dan tidak mahu anaknya tersalah langkah dalam memilih
hidupnya. Saadom juga memberitahu kepada Rahman bahawa sukar untuk seorang
bapa untuk meluahkan perasaan yang dia sayang akan anaknya. Hanya dengan
tingkahlakunya sahaja yang membuktikan bahawa beliau betul-betul sayangkan
anaknya.
5.2 Perkaitan Psikologi Sosial
Perkaitan tema hubungan kekeluargaan dapat ditemui pada bab 11 dalam buku
‘Social Psycology’ by David G. Myers tenth edition. Dalam psikologi sosial,
keperluan untuk memiliki merupakan satu motivasi dalam hubungan menuju
kepada hubungan yang positif. Hubungan kekeluargaan ini juga melibatkan
hubungan kebergantungan antara bapa dengan anak iaitu dengan Saadom dan
Miasara dan Saadom dengan isterinya. Pengkaji telah membandingkan hubungan
semulajadi dan hubungan dalam cinta antara ibu bapa dengan anak, kawan-kawan,
dan pasangan menurut (Davis, 1985; Stenberg & Grajek, 1984). Elemen ini adalah
melibatkan pemahaman, menerima dan memberi sokongan, dan mempercayai
antara satu sama lain. Anak-anak ialah pengikat kasih sayang sesebuah keluarga.
Maka tidak hairanlah jika hubungan ibu bapa dan anak terlalu rapat. Anak sentiasa
mengingati ibu bapa walaupun di mana mereka berada. Berbalik pada filem ini, Mia
selalu teringatkan ayahnya Saadom dan ibunya walaupun telah lama meninggalkan
mereka. Begitu juga dengan ibu bapa yang sanggup berkorban apa sahaja demi
anak-anak yang tersayang. Hal ini jelas pada watak yang ditunjukkan oleh bapanya
iaitu Saadom yang sangup berkorban apa sahaja termasuklah masa beliau banyak
dihabiskan dengan menjaga Mia dan sanggup bekerja sebagai tukang kebun bagi
menjamin keselamatan anaknya. Anak juga merupakan satu amanah yang telah
dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa.
5.3 Sokongan artikel jurnal
Dalam jurnal ‘hubungan keluarga dari aspek komunikasi dan gaya keibubapaan
oleh Che Hasniza Che Noh’ menyatakan bahawa hubungan keluarga dalam kajian
ini memberi tumpuan kepada aspek gaya keibubapaan dan pola komunikasi
keluarga. Selain itu, kajian ini melihat kepentingan ciri anak dalam hubungan
tersebut. Secara lebih khusus, kajian bertujuan mengkaji hubungan keluarga dari
aspek gaya keibubapaan dan pola komunikasi keluarga dan juga hubungan ciri
anak terhadap hubungan keluarga. Jurnal ini bersesuaian dalam hubungkait antara
tema hubungan kekeluargaan dalam filem Papadom ini kerana ia memaparkan
gaya keibubapaan iaitu terlalu mengongkong dalam diri anaknya supaya anaknya
tidak berasa terabai sebagaimana perasaan isterinya sebelum meninggal.
Perubahan yang berlaku ini juga telah membawa perubahan kepada peranan
ibubapa dan anak di mana akhir-akhir ini pengkaji mula melihat bahawa anak turut
mempengaruhi ibu bapa dan seterusnya hubungan keluarga. Hoghughi (2004)
menyatakan bahawa anak-anak sebenarnya bukanlah responden yang pasif
terhadap amalan keibubapaan. Mereka sebenarnya secara aktif membentuk
tingkah laku ibubapa mereka menerusi diri mereka sendiri. Oleh yang demikian,
hubungan ibubapa dan anak adalah satu proses transaksional. Menurutnya lagi,
sekalipun apabila kanak-kanak tersebut telah meningkat dewasa, sikap dan tingkah
laku ibu bapa terhadap anak dipengaruhi oleh persepsi mereka terhadap sikap
anak-anak terhadap mereka.
Sehubungan itu, satu kajian berkaitan telah dijalankan berdasarkan kepada
Teori Sistem Keluarga (Galvin dan Brommel, 1996). Berdasarkan kepada teori
tersebut, hubungan keluarga adalah bersifat menyeluruh dan melihat kepada
interaksi dan saling bergantungan di antara ahli-ahli di dalam sistem untuk
mengekalkan keseimbangan dan kelangsungan sistem. Teori Sistem Keluarga ini
digunakan untuk menerangkan proses komunikasi yang berlaku dalam keluarga.
Selain itu, berdasarkan kepada Model Belsky (1984), kajian ini melihat hubungan di
antara ibubapa dan anak secara dua hala iaitu saling mempengaruhi di antara satu
sama lain. Belsky (1984) memberi tumpuan kepada aspek gaya keibubapaan di
mana terdapat tiga faktor utama yang akan mempengaruhi proses tersebut iaitu
ciri ibu bapa, ciri anak dan konteks sosial seperti hubungan perkahwinan, jaringan
sosial dan pekerjaan. Kajian ini bertujuan melihat hubungan keluarga dari aspek
komunikasi keluarga dan gaya keibubapaan dan juga hubungan di antara
personaliti anak dengan gaya keibubapaan dan pola komunikasi keluarga. Empat
kategori personaliti yang dikaji iaitu ekstrovert, neurotik, psikotik dan dusta. Pola
komunikasi keluarga pula dikategorikan kepada dua iaitu orientasi perbualan dan
orientasi konformiti, manakala gaya keibubapaan dikategorikan kepada tiga iaitu
permisif, autoritarian dan autoritatif. Untuk melihat bagaimana anak mempengaruhi
ibu bapa, kajian ini menggunakan
pembolehubah personaliti untuk menggambarkan ciri anak.
Menurut Ambert (2001) ciri anak dibahagikan kepada dua komponen iaitu
demografi dan personal. Ciri demografi termasuklah umur, jantina, urutan
kelahiran, kumpulan adik beradik dan kualiti rakan sebaya. Ciri personal pula
termasuklah kesihatan fizikal, keupayaan IQ dan tret personaliti. Kepentingan
mengkaji ciri individu menurut Kochanska et al. (2004) adalah kerana tret
personaliti akan mempengaruhi tingkah laku individu dan kehidupan secara
keseluruhannya. Walaupun kajian ini hanya memberi tumpuan kepada pengaruh
anak terhadap ibu bapa, namun demikian ianya tidak menafikan peranan ibu bapa
dalam mempengaruhi kebanyakan aspek kehidupan anak-anak. Seperti yang telah
ditunjukkan dalam teori dan juga model yang digunakan dalam kajian ini, hubungan
ibu bapa dan anak berlaku secara dua hala dan transaksional iaitu saling
mempengaruhi di antara satu sama lain.
Kesimpulannya, dapatan kajian ini menyokong Teori Sistem Keluarga dan
Model Keibubapaan Belsky yang menyatakan hubungan di antara ahli keluarga
adalah berbentuk secara dua hala, yang mana ibu bapa tidak sahaja mempengaruhi
anak-anak malahan anak-anak juga merupakan penyumbang aktif kepada ibu bapa
dan seterusnya mencorakkan hubungan keluarga yang dibina. Bigner (2002)
misalnya melihat perhubungan di antara ibu bapa dan anak merupakan proses dua
hala. Anak-anak diiktiraf sebagai peserta aktif dan penyumbang kepada
perhubungan justeru itu setiap individu memberi kesan dan mempengaruhi di
antara satu sama lain. Ambert (2001) turut menyatakan kepentingan ciri ibu bapa
dan anak dalam mempengaruhi di antara satu sama lain kerana anak-anak
sebenarnya turut memberi impak kepada ibu bapa lebih-lebih lagi dalam keadaan
dunia yang semakin pesat dengan perkembangan teknologi ini, adalah sukar untuk
ibu bapa memainkan peranan secara menyeluruh di dalam perkembangan anak-
anak di mana kuasa sosial seperti rakan sebaya, media turut mempengaruhi anak-
anak dan secara tidak langsung juga mereka akan mempengaruhi ibu bapa.
6.0 Perapatan
6.1 Adegan atau skrip
Berdasarkan drama Papadom, prinsip psikologi attachment atau perapatan telah
dikenalpasti iaitu wujud perapatan atau kemesraan antara bapa dan anak
perempuan. Attachment atau perapatan merupakan satu hubungan yang rapat dan
mesra dengan orang-orang istimewa dalam kehidupan individu tersebut. Perapatan
yang dibentuk sejak kecil lagi sedikit sebanyak akan membantu membentuk emosi
dan mempengaruhi perkembangan emosi pada masa akan datang. Hubungan
emosi yang berbentuk kasih-sayang ini adalah berpanjangan dan kekal sepanjang
hayat. Melalui interaksi dengan ibu bapa seterusnya dengan ahli keluarga, rakan-
rakan, jiran-jiran, guru-guru dan masyarakat di sekeliling, gaya perapatan
seseorang itu akan terbentuk. Dalam filem Papadom, terdapat beberapa adegan
yang menyelitkan unsur perapatan. Adegan perapatan ini dapat dibuktikan dalam
filem tersebut dimana wujud perapatan antara anak dan ibu bapanya iaitu ketika
Miasara baru dilahirkan. Prinsip psikologi iaitu perapatan ini dipaparkan melalui
watak Munira iaitu isteri Saadom yang memangku Miasara yang berumur satu hari
dalam pangkuannya. Perapatan ini dikukuhkan lagi dengan kehadiran Saadom yang
mengazankan Miasara yang berada dalam pangkuan ibunya. Di sini dapat
dijelaskan bahawa terdapat perapatan yang teguh iaitu kasih sayang yang kuat
yang mengikat seseorang kepada seseorang yang lain dimana kasih sayang
Saadom dan isterinya terhadap anak mereka iaitu Miasara yang berada dalam
pelukan ibunya.
Selain itu, perapatan yang berlaku seterusnya adalah ketika Miasara berumur
empat tahun. Hal ini dapat dibuktikan dengan adegan Saadom yang masuk ke bilik
Miasara dan membawa makanan kegemaran Miasara iaitu papadom. Kedatangan
Saadom ke bilik Miasara telah disambut baik oleh Miasara lantas Saadom meminta
maaf dan memujuk Miasara dengan memberikan papadom kegemaran Miasara.
Miasara amat gembira dengan kehadiran Saadom yang membawa papadom
kesukaannya dan mereka berdua makan papadom tersebut sambil bergelak ketawa
sehinggakan tidak menyedari kelakuan mereka diintip oleh Munira.
Seterusnya adalah perapatan Saadom dan Miasara ketika Miasara pengsan
dan Saadom membawa Miasara ke rumah tumpangannya dimana tempat Saadom
menginap di UiTM tersebut. Semasa Miasara sedar dari pengsan, dia memeluk
Saadom dan Saadom membalas pelukan anaknya itu serta mengusap lengannya
Miasara sambil menangis. Disini wujud perapatan antara kasih bapa dengan
anaknya iaitu Miasara.
6.2 Perkaitan Psikologi Sosial
Perkaitan perapatan dalam psikologi sosial adalah dimana perapatan ini merupakan
satu elemen penting dalam sesebuah keluarga dimana ianya melibatkan kasih
sayang antara ibu bapa dan anak yang mana boleh mewujudkan satu hubungan
yang lebih erat dan lebih mesra. Kasih sayang antara anak dengan ibu bapa ini
digambarkan melalui watak ibu bapa Miasara yang terlalu menyayangi Miasara
sehinggakan sanggup berkorban apa sahaja terutamanya Saadom yang bersusah
payah mengurus dan membesarkan Miasara sehingga ke peringkat universiti.
Terdapat dua jenis gaya perapatan iaitu ‘equity’ bermaksud keadilan atau
kesaksamaan dan ‘self-closure’ yang bermaksud pendedahan diri. Berdasarkan
teori perapatan, teori psikologikal adalah digunakan untuk menerangkan dan
menyiasat ramalan perhubungan emosi antara dua orang individu. Menurut Bowlby,
perhubungan perapatan adalah penting kepada manusia untuk mengharungi
kitaran kehidupannya dan tingkah laku perapatan menggambarkan interaksi ‘dari
buaian hingga ke liang lahad.
6.3 Sokongan artikel jurnal
Merujuk kepada artikel jurnal yang bertajuk “ Mother and Father Connectedness
and Involvement During Early Adolescence”, kajian oleh Randal D. Day dan Laura M.
Padilla-Walker, mereka menyatakan bahawa dalam (Lamb, 2004) kedua ibu bapa
mempunyai hal masing-masing dimana ibu lebih berhubungan tekal kepada
tingkahlaku positif manakala bapa berkonsisten kepada masalah tingkahlaku yang
lebih bersifat kedewasaan. Cara didikan yang dimiliki oleh ibu lebih kepada
pembinaan kemahiran manakala bapa pula lebih memfokuskan kepada pematuhan
norma-norma.
Menurut Randal D. Day dan Laura M. Padilla-Walker dalam (Hasting et al.,
2007 dan Williams & Kelly, 2005) menyatakan bahawa penglibatan bapa dalam
melindungi dan menentang tingkahlaku negatif, manakala ibu pula lebih konsisten
berhubungan dengan tingkahlaku positif.
Kesimpulannya, perapatan merupakan satu elemen yang harus diterapkan
dalam setiap perhubungan dimana melalui perapatan ini, hubungan yang terjalin
antara ibu bapa lebih erat dan seterusnya mewujudkan sebuah keluarga yang
bahagia.
7.0 Persahabatan
7.1 Adegan atau skrip
Dalam drama Papadom ini terdapat beberapa prinsip psikologi sosial yang dapat
dikenalpasti, antaranya persahabatan. Salah satu keistimewaan dalam filem ini
adalah persahabatan yang ditonjolkan meliputi semua kaum iaitu Cina, India dan
Melayu. Hal ini dapat dibuktikan pada permulaan filem ini telah menunjukkan nilai
persahabatan, iaitu pada permulaan cerita ini Saadom iaitu watak utama telah
berkerjasama dengan kaum Cina dan India iaitu Alan dan Ali bagi memajukan lagi
perniagaan nasi kandarnya iaitu mereka sebagai rakan kongsi kepada Saadom.
Daripada rakan kongsi mereka bertiga telah bersahabat baik dan telah menjadi
tempat Saadom meluahkan masalahnya. Alan juga telah mengingati Saadom
tentang hari jadi anaknya Miasara ketika dia terlupa disebabkan kesibukan dengan
kerja.
Semasa penarikan balik tuduhan Saadom merogol Miasara, Alan dan Ali telah
pergi ke balai polis untuk mengikat jamin Saadom. Selain itu, bagi menunjukkan
lagi nilai persahabatan, pada akhir filem ini Saadom telah menyatakan kepada
anaknya Miasara untuk pergi bercuti bersama-sama dengan Alan dan Ali.
Selain itu juga nilai persahabatan berbeza agama dan bangsa juga dapat
dilihat iaitu diantara Miasara dan Yvonne iaitu berbangsa Cina. Persahabatan ini
juga dapat diperlihatkan juga dipermulaan cerita juga. Persahabatan Miasara dan
Yvonne bermula sejak disekolah menengah lagi. Mereka sentiasa bersama-sama
walau kemana sahaja mereka pergi. Mereka telah mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya bersama-sama melanjutkan
pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) dan juga dalam bidang yang sama
iaitu perfileman. Mereka juga ditelah ditempatkan dibilik yang sama semasa di
asrama. Semasa berlaku pergaduhan di padang sukan, mereka telah bergaduh
bersama-sama dengan watak protagonis iaitu Shasha kerana berebut seorang
lelaki. Persahabatan Yvonne dan Miasara dapat diperlihatkan bahawa mereka
benar-benar mengenali antara satu sama lain. Hal ini dapat ditunjukkan menerusi
adegan yang akhir sekali dimana berlaku situasi Miasara sedar daripada pengsan
akibat dipukul dan ayahnya iaitu Saadom telah dibawa kepenjara kerana dituduh
merogol Miasara. Semasa ingin memberitahu keadaan yang sebenar kepada Prof.
Balqis, Yvonne telah memberitahu bahawa dia mengenali bapa Miasara semenjak
sekolah lagi, bagi mempertahankan kata-kata Miasara bahawa ayahnya tidak
bersalah.
7.2 Perkaitan Psikologi sosial
Menurut Duck (1991) persahabatan adalah ikatan sukarela antara dua orang
dan keatas yang boleh dilihat tanpa kontrak yang bertulis antara mereka, sekiranya
ada perlanggaran boleh membawa kepada pembuburan perhubungan.
Persahabatan tidak melibatkan tarikan seksual (fahaman tradisi), tidak melibatkan
keluarga dan egalitarian iaitu banyak persamaan. Persahabatan dianggap lebih
dekat daripada kumpulan walaupun ada pelbagai darjat keintiman yang baik dalam
persahabatan dan berkumpulan. Persahabatan boleh dianggap sebagai
merangkumi seluruh rangkaian yang sama. Kajian tentang persahabatan
termasuklah dalam bidang sosiologi, psikologi sosial, antropologi, falsafah dan
zoologi.
Nilai yang dapat ditemui dalam persahabatan menunjukkan kecenderungan
untuk menginginkan apa yang terbaik untuk orang lain, simpati dan empati,
kejujuran, mungkin dalam situasi dimana mungkin sukar bagi orang lain untuk
bercakap kebenaran, terutamanya dalam hal menunjukkn kesalahan seseorang
rakan, saling memahami dan ada perasaan kasih sayang antara satu sama lain,
kepercayaan terhadap antara satu sama lain dan sebagainya. Ciri-ciri persahabatan
dapat dilihat seperti banyak bergantung kepada persekitaran individu, juga
bergantung kepada budaya dan status sosio-ekonomi, bersifat kepercayaan, tolong-
menolong, hubungan yang dipercayai dan menyenangkan, menghormati hal-hal
peribadi, memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak dan sebagainya.
Menurut Solono 1986, terdapat tiga fungsi persahabatan iaitu keperluan
material. Seseorang yang ada persahabatan saling bergantungan antara satu sama
lain. Sekiranya salah seorang daripada mereka mengalami kesusahan akan dibantu
oleh ahli yang lain. Selain itu juga dengan adanya sahabat kita dapat meminta
sesuatu yang selagi ahli yang lain terdaya untuk memberi pertolongan misalnya
kewangan, barangan, perkhidmatan dan sebagainya. Kedua, keperluan kognitif iaitu
kehendak kepada stimulisi. Apabila kita bersama-sama sahabat kita akan
menempuhi semua pengalaman ketika kita bersama-sama kawan. Perlakuan kita
juga boleh dipengaruhi oleh sahabat. Oleh itu sekiranya sahabat kita seorang yang
baik, maka baiklah tingkahlaku kita dan sebaliknya. Ketiga, keperluan emosi. Ramai
diantara kita menjadikan sahabat adalah tempat meluahkan perasaan dan masalah
apabila kita mengalami tekanan. Biasanya seorang sahabat yang baik akan sentisa
menjai pendengar yang baik di antara mereka bagi meringankan beban yang
ditanggung.
Melalui filem ini dapat digambarkan nilai persahabatan yang ditunjukkan oleh
watak. Persahabatan yang terdapat dalam cerita ini mempunyai ciri-ciri sahabat
yang baik kerana mereka sentiasa menasihati antara satu sama lain untuk
kebaikan. Walaupun dalam cerita ini percampuran kaum, ini gambarkan di dalam
sosial ini yang sebenar juga terdapat pelbagai kaum dan ada yang bersahabat baik
walaupun berbeza kaum. Persahabatan adalah penting bagi seseorang individu
kerana dengan adanya sahabat kita akan menjadi kuat, terpengaruh, teman dikala
susah dan senang dan sebagainya. Dengan adanya sahabat juga boleh
menghiburkan kita tatkala kita dalam kesedihan. Kegembiraan juga dapat dikecepi
bersama-sama sekiranya seseorang itu bersahabat. Sekiranya manusia tidak
bersahabat mereka akan hidup keseorangan tanpa orang yang boleh menghiburkan
hati, tanpa orang yang boleh berkongsi suka dan duka. Nilai persahabatan yang
baik tanpa mengira kaum dapat dilihat melalui kajian yang telah dibuat oleh
pengkaji-pengkaji terdahulu.
7.3 Sokongan artikel jurnal
Hasil kajian yang dibuat oleh Carole R. Smith, Lev Williams dan Richard H.
Willis dalam kajian mereka terhadap kaum, jantina dan kepercayaan sebagai
penentu terhadap penerimaan persahabatan yang dibuat keatas 140 pelajar dalam
khusus pengantar psikologi, dibahagikan berdasarkan jantina, daerah dan tempat
tinggal. responden Wisconsin diambil daripada Universitiy of Wisconsin, responden
Missouri pula berasal dari Harris Teachers College in St. Louis dan Louisiana pula
mengandungi responden dari Newcom College and Tulane University in New
Orleans. Dapatan kajian menunjukkan kesignifikanan terhadap kepercayaan
daripada bangsa dalam peringkat penerimaan persahabatan mereka. Persamaan
jantina telah menunjukkan tidak ada kesesuaian kepercayaan atau bangsa dalam
kebanyakkan kes.
Subjek di Louisiana berkemungkinan cenderung untuk menerima
kepercayaan yang bersesuaian sebagai penghormatan dalam kepercayaan lain
dalam kes orang Negro yang dipersetujui. Walaupun hal ini harus dibuktikan
bahawa kumpulan sterotaip tidak perlu bergantung kepada faktor motivasi dan
faktor kognitif. Beberapa dimensi kesamaan dalam personaliti yang ditemui
berkolerasi dengan persahabatan. Tarikan interpersonal telah ditemui oleh
Newcomb (1961) berkaitan dengan kesepakatan terhadap pelbagai isu sosial.
Kurangnya interaksi antara bangsa dan jantina adalah sesuatu yang mengejutkan.
Di anggap bahawa golongan yang berlawanan akan dinilai kurang diterima sebagai
rakan daripada sama bangsa dalam sesetengah responden. Hal ini memberi kesan
yang kuat kepada subjek Negro kerana perbezaan status antara kaum. Meskipun
tidak ada responden yang menunjukkan korelasi orang kulit putih mendiskriminasi
perkauman sedangkan Negro berasa yakin terhadap diskriminasi tersebut.
Responden Wisconsin dan Missouri dari institusi pendidikan berkolerasi baik antara
penerimaan orang Negro dan orang kulit putih.
Kesimpulannya, persahabatan mempunyai kualiti dan fungsi yang
berbeza dalam kitaran kehidupan. Dengan demikian, sifat dan pembangunan
persahabatan tertentu mungkin tertarik untuk perkembangan hidup. Individu yang
bersahabat adalah individu yang kuat kerana mempunyai kekuatan sokongan
dalam hidup. Sahabat yang baik juga mengetahui latar belakang rakan masing-
masing untuk lebih mesra lagi. Walaupun terdapat jurang perbezaan seperti
bangsa, agama dan budaya tidak akan menjadi penghalang untuk berkawan kerana
sesuatu perhubungan yang baik tidak memandang perbezaan tersebut. Malah ada
setengah individu yang bersahabat berbilang kaum kekal sehingga ke akhir ayat.
Keadaan ini juga mewarnai lagi kehidupan kita kerana percampuran budaya
membolehkan kita mengenal antara satu sama lain.
8.0 PERBINCANGAN
Filem ini banyak memaparkan tema yang sesuai dengan pembelajaran psikologi
sosial. Tema yang dimaksudkan ialah tema prejudis, tema keagresifan, tema
perapatan, tema kekeluargaan dan tema hubungan. Kesemua tema ini terdapat
dalam psikologi sosial. Dalam filem ini ia banyak memaparkan kisah mengenai
hubungan kekeluargaan antara bapa dengan anak dan ibunya. Terdapat kisah suka
dan duka ditunjukkan dalam filem ini. hubungan kekeluargaan antara mereka
bertiga tidak dapat dipisahkan. Buktinya, walaupun ibu Mia telah lama meninggal,
namun bapanya selalu menganggap bahawa isterinya selalu disampingnya dalam
menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Selain itu, bapanya terlalu sayangkan
anaknya. Hal ini disebabkan sikap ayahnya yang ingin menebus kesilapan yang lalu
kerana mengabaikan anak serta isterinya kerana terlalu menumpukan kepada
kerjaya beliau sebagai pemilik nasi kandar.
Selain itu juga, terdapat juga keagresifan yang ditunjukkan dalam filem ini. Ia
ditunjukkan oleh watak Shasha yang marahkan Mia kerana merampas teman
lelakinya. Oleh sebab itu, dia telah menyerang Mia di padang ragbi sambil
diperhatikan oleh Hisham Hashim, ketua bagi permainan ragbi dan terkebal kerana
memiliki perwatakan yang menarik walaupun sikapnya yang ‘playboy’. Sikap ini
sebenarnya tidak ditunjukkan oleh pelajar berkenaan yang boleh mencemarkan
nama Universiti berkenaan. Faktor-faktor itu adalah dorongan dan galakan, disiplin
di rumah, hubungan mesra antara ibu bapa dan anak dan keluarga yang utuh.
Namun salah satu faktor yang menjadi penyumbang kepada salah laku pelajar ialah
nilai kekeluargaan yang semakin pudar dan rapuh dikalangan masyarakat kita hari
ini. Nilai kekeluargaan ini amat penting untuk pembesaran dan perkembangan
emosi kanak-kanak
9.0 KESIMPULAN
Berdasarkan kepada kelima-lima tema yang dibincangkan dalam filem Papadom,
dapatlah disimpulkan bahawa tema agresif, prejudis, hubungan kekeluargaan,
perapatan, dan persahabatan adalah berkait rapat dengan kehidupan kita seharian
dimana kesemua tema ini mempengaruhi kehidupan kita seharian. Hal ini berikutan
dengan adanya kajian lepas oleh jurnal-jurnal yang menyokong tema-tema yang
terdapat dalam filem Papadom tersebut.
Seperti yang kita sedia maklum, prinsip-prinsip psikologikal yang
dibincangkan di atas merupakan salah satu cabang atau perkara yang sering
berlaku dan berkaitan dengan kehidupan kita seharian. Sebagai contoh hubungan
kekeluargaan yang mana keadaaan tersebut berlaku hampir kepada kehidupan
seharian iaitu melalui hubungan kekeluargaan ini, manusia akan mewujudkan satu
perhubungan yang akan mempengaruhi perkembangan hidup seseorang pada
masa akan datang.
Disini dapatlah disimpulkan bahawa, terdapat pelbagai prinsip psikologikal
yang terdapat dalam kehidupan kita seharian. Prinsip-prinsip ini mempunyai
kebaikan dan keburukannya yang tersendiri. Seseorang individu yang mempunyai
informasi dan terdedah dengan pengetahuan psikologi seharusnya bijak menilai dan
memilih prinsip yang sesuai dan mempraktikkan nilai-nilai tersebut dalam
kehidupannya.
10.0 Rujukan buku
Amareson A/L Munusamy. (2006). Hubungan antara etnik di kalangan pelajar
sekolah menengah di sekolah luar bandar. Jurnal pendidikan, 1-20.
Azizi Yahya,Yusof Boon,Jamaludin Ramli,Jaafar Sidek Latif,Fawziah Yahya dan Amir
Hamzah Abdul(2004). Psikologi Sosial. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Berkowitz(1988). Frustrations, Appraisals, and Aversively Stimulated Aggression.
Journal of Aggressive Behavior,14, 3-11.
Carole R. Smith, Lev Williams & Richard H. Willis (1967). Race, Sex, And Belief as
Determinants of Friendship Acceptance. Journal of Personality and Social
Psychology. Vol, 5, No, 2, 127-137.
Che Hasniza Che Noh, Jurnal Hubungan keluarga dari aspek komunikasi dan
gaya keibubapaan: Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Kolej Universiti Sains
dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) Kuala Terengganu, Terengganu.
Myers,D.G.(2010). Social psychology.10th Edition.Amerika: McGraw-Hill
Companies,Inc.
Randal D. Day and Laura M. Padilla-Walker, Mother and Father
Connectedness and Involvement During Early Adolescence: Journal of Family
Psychology © 2009 American Psychological Association 2009, Vol. 23, No. 6,
900–904
Amareson A/L Munusamy. (2006). Hubungan antara etnik di kalangan pelajar
sekolah menengah di sekolah luar bandar. Jurnal pendidikan, 1-20.
Rujukan internet
Psiko%20sosial/Friendship%20-%20Wikipedia,%20the%20free%20encyclopedia.htm
http://www.dynamic-education.com/ipd/index...view&id=691
http://www.mesra.net/forum/lofiversion/index.php/t97484.html