document07

Upload: farhana-ridzwan

Post on 18-Jan-2016

220 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

fafa

TRANSCRIPT

  • BAB I

    PENDAHULUAN

    1.1. Pengenalan

    Sistem Pendidikan Malaysia berteraskan Falsafah Pendidikan

    Kebangsaan yang memberi tumpuan kepada perkembangan emosi diri

    pelajar secara menyeluruh untuk melahirkan individu yang seimbang

    dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Falsafah ini digunakan

    bagi melahirkan warganegara yang berketrampilan dan

    bertanggungjawab dalam segala bidang serta mampu menghadapi

    cabaran dalam menuju wawasan negara. Oleh yang demikian,

    kurikulum pendidikan dirancang berteraskan kepada Falsafah

    Pendidikan Kebangsaan kerana falsafah memainkan peranan sebagai

    dasar yang menjadi arah tuju, panduan dan bimbingan. Tanpa falsafah

    sesuatu kurikulum pendidikan itu adalah tanpa asas. Kurikulum yang

    berteraskan falsafah ini umumnya untuk membentuk pelajar bagi

    perkembangan menyeluruh meliputi dimensi instrumental, sosial dan

    dimensi intrinsik.

    Kurikulum ialah segala rancangan pendidikan (akademik dan

    kokurikulum) yang dikendalikan oleh sesebuah institusi pendidikan

    untuk mencapai matlamat pendidikan. Ia suatu rancangan yang

  • 2

    meliputi segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma, unsur-

    unsur kebudayaan dan kepercayaan masyarakat untuk diwariskan

    kepada ahli-ahlinya. Kurikulum kebangsaan yang ditetapkan

    hendaklah menentukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang

    dijangka akan diperolehi oleh murid-murid pada akhir tempoh

    persekolahan masing-masing (Akta Pendidikan 1996). Selain itu,

    kurikulum amat penting dalam sistem pendidikan di Malaysia.

    Kurikulum pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana

    anjakan paradigma dalam diri setiap individu dan ia juga memainkan

    peranan penting untuk melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam

    semua aspek kehidupan (Mastura Badzis, 2008).

    Oleh yang demikian, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

    (KPPM) melalui Akhbar Berita Harian bertarikh 14 Mei 2009 telah

    mengumumkan proses pelaksanaan trasformasi pendidikan di mana

    diperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

    Kurikulum ini memberikan penekanan kepada penguasaan literasi

    4M; Kemahiran Asas ICT, Perkembangan Fizikal, Kognitif, Sikap dan

    Nilai bagi Tahap 1. Bagi Tahap 2 pula penekanan kurikulum adalah

    terhadap pengukuhan dan aplikasi 4M serta menguasai kemahiran

    yang lebih kompleks, perkembangan fizikal, kognitif, sikap dan nilai.

    Pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan 6 tunjang kurikulum

    iaitu Ketrampilan Diri, Literasi Sains dan Teknologi, Kemanusiaan,

    Fizikal dan Estetika, Kerohanian Sikap dan Nilai serta Komunikasi.

    Selain Kemahiran Asas ICT, elemen-elemen tambahan yang merentas

    kurikulum ialah Kreativiti dan Inovasi serta Keusahawanan.

    Transformasi kurikulum persekolahan merupakan usaha

    menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi

    memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan

    nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi menghadapi abad ke

    21. Dalam proses transformasi kurikulum, Kementerian Pendidikan

  • 3

    Malaysia telah membuat penandaarasan dengan kurikulum negara

    maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan

    sertanding dengan pendidikan global. Dengan berlandaskan Falsafah

    Pendidikan Kebangsaan dan dengan mengekalkan prinsip KBSR,

    penambahbaikan dilakukan kepada rekabentuk organisasi, pedagogi,

    penegasan kurikulum, peruntukan masa dan pengurusan kurikulum

    untuk KSSR.

    1.2. Latar Belakang Masalah

    Setiap kurikulum harus melalui perubahan, iaitu bersifat

    dinamik agar sesuai dan relevan mengikut perkembangan masa. Pada

    abad ke 21, negara menghadapi cabaran baharu kesan daripada

    globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan

    Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Oleh yang demikian,

    Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 dilancarkan

    oleh Y.A.B Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007

    bertujuan membangunkan satu sistem pendidikan yang bertaraf dunia

    sebagai memenuhi hasrat Wawasan 2020 menjadikan Malaysia

    sebuah negara maju mengikut acuan sendiri. Pada dasarnya, PIPP

    merupakan satu dokumen perancangan yang meliputi tiga aspek

    utama iaitu infrastruktur, pengisian dan tenaga manusia. PIPP

    bertujuan menghasilkan pendidikan berkualiti untuk semua. Maka

    kepimpinan pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia mempunyai

    tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan

    yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi

    selain melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan celik ICT

    dan berkemahiran tinggi.

    Oleh itu, transformasi kurikulum merupakan proses perubahan

    yang holistik berdasarkan kurikulum persekolahan yang sedia ada.

  • 4

    Apabila KSSR diperkenalkan kepada murid-murid, sudah pastilah

    guru-guru harus menyediakan diri dengan bentuk perubahan yang

    berlaku secara drastik ini. Perubahan dalam KSSR ini bukan sahaja

    meliputi 3M malah menambah satu lagi pendekatan iaitu menaakul.

    Dalam pelaksanaan KSSR ini, guru-guru hendaklah menjadikan

    murid lebih berfikiran kritis, kreatif dan inovatif. Dalam tempoh

    tranformasi kurikulum ini, guru haruslah bersedia menerima

    perubahan kerana guru merupakan individu yang bertanggungjawab

    menentukan kejayaan dan kegagalan kurikulum ini. Guru merupakan

    penggerak kepada kesinambungan kurikulum ini. Justeru itu, sebagai

    warga pendidik, seharusnya mereka mempunyai komitmen bersama

    dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunan pendidikan bagi

    mencapai matlamat pendidikan.

    Setiap kali berlakunya perubahan dalam kurikulum, kesediaan

    dan persepsi para guru terhadap sesuatu pelaksanaan perlu dititik

    beratkan kerana ia boleh memberi implikasi serta penilaian untuk

    penembahbaikan pada masa depan. Bagi para guru, adalah amat

    penting untuk memahami dan menghayati setiap perubahan yang

    berlaku dalam kurikulum agar dapat diterjemahkan dengan baik

    dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Para guru harus

    menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dari segi

    kefahaman, pengetahuan, pelaksanaan dan juga kesediaan serta sikap

    mereka terhadap sesuatu perubahan. Semua ini memberi implikasi

    yang besar kepada guru dalam melaksanakan tugas mereka dengan

    baik serta memartabatkan profesion perguruan. Selain itu, semua

    pihak sewajarnya menyedari dan menerima hakikat bahawa agenda

    pendidikan perlu dijayakan bersama. Setiap warga pendidikan

    mestilah mempunyai kefahaman yang jelas dan mendalam tentang

    dasar, matlamat dan sasaran yang ingin dicapai serta strategi dan

    pelan tindakan yang akan dilaksanakan.

  • 5

    1.3. Pernyataan Masalah

    Pengisian kurikulum bukan sahaja berkait dengan isi

    kandungan yang perlu diajar, tetapi cadangan perlu dibuat tentang

    bagaimana ia perlu diajar dan apakah aspek yang perlu diberi

    penekanan dalam pengajaran bilik darjah. Antara lain guru disaran

    menggunakan bahan manipulatif untuk membimbing pelajar membina

    idea yang abstrak, membuat penemuan, meningkatkan keyakinan diri,

    mengurangkan kebergantungan kepada guru dan memupuk budaya

    kerjasama. Jadi, untuk mencapai hasrat kurikulum, pendekatan

    pengajaran yang dicadangkan untuk diimplimentasikan dalam bilik

    darjah termasuklah pembelajaran koperatif, pembelajaran kontekstual

    dan pendekatan berasaskan konstruktisme (Pusat Perkembangan

    Kurikulum, 2002).

    Terlalu banyak bebanan tugas yang perlu dilaksanakan oleh

    guru, terutama guru yang berpengalaman mahupun guru yang baru.

    Adakah guru dapat menghayati apa yang termaktub dalam kurikulum

    dan apa yang dihasratkan oleh penggubal kurikulum? Dalam

    pelaksanaan kurikulum, biasanya banyak yang dirancang tidak dapat

    dilaksanakan (Ornstein & Hunkins, 1988). Selaras denagn pendapat

    tersebut, Havelock dan Huberman (1977) juga menekankan walaupun

    pelaksanaan dan pembaharuan kurikulum melibatkan perbelanjaan

    yang besar, namun hanya sedikit sahaja perubahan dan pembaharuan

    yang menghasilkan kesan dalam menyelesaikan masalah seperti yang

    diharapkan. Menurut Olivia (1982) pula, kajian menunujukkan

    bahawa kurikulum yang dilaksanakan oleh guru dalam proses

    pengajaran dan pembelajaran serta kurikulum yang dicapai oleh

    pelajar adalah berbeza daripada kurikulum yang diharapkan. Oleh itu,

    adalah sangat penting untuk mengkaji sejauh mana guru dapat

    mengamalkan semua penekanan pengajaran yang disarankan dalam

    KSSR Matematik.

  • 6

    Dalam hal ini, guru merupakan individu terpenting yang akan

    menjalankan visi dan menyampaikan ilmu dan kemahiran. Oleh itu,

    bagi memastikan matlamat dan objektif pelaksanaan KSSR ini

    tercapai, pengajaran guru amat memainkan peranan. Jadi, guru-guru

    ini telah dihantar mengikuti kursus dan bengkel bagi mendapatkan

    tatacara menjalankan pembelajaran mengikut standard. Menurut

    Kamus Dewan (Edisi Ketiga, 1996), maksud keberkesanan ialah

    menimbulkan hasil (kesudahan dan sebagainya) yang diharapkan

    membawa kepada sesuatu perubahan (perkembangan), efektif atau

    mendatangkan sesuatu pengaruh kepada pemikiran (sikap, watak dan

    sebagainya) seseorang atau sesuatu golongan dan lain-lain (seperti

    mengubah sikap, membangkitkan sesuatu kecenderungan atau

    perasaan dan sebagainya). Dengan kata lain, keberkesanan pengajaran

    diukur berdasarkan sejauh manakah hasil objektif pelajar telah dicapai

    melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang dirancang dan

    dilaksanakan. Keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran

    memerlukan kesediaan dari semua pihak dalam melaksanakan visi

    dan misi pendidikan negara. Oleh itu, jelaslah bahawa keberkesanan

    pengajaran dan pembelajaran Matematik dalam KSSR amat

    bergantung kepada kesediaan guru KSSR Matematik di sekolah

    rendah dalam melaksanakannya.

  • 7

    1.4. Objektif Kajian

    Berdasarkan kepada peranan utama guru sebagai pelaksana

    kurikulum di sekolah, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap

    kesediaan guru dari aspek sikap, kemahiran dan pengetahuan

    terhadap pelaksanaan KSSR. Kajian ini dijalankan untuk memenuhi

    beberapa objektif kajian. Antara objektif kajian ini ialah :

    1.3.1. Untuk mengenalpasti tahap kesediaan guru Matematik dari

    segi sikap dan minat terhadap pelaksanaan KSSR dalam

    pengajaran Matematik.

    1.3.2 Untuk mengenalpasti tahap kesediaan guru Matematik dari

    aspek pengetahuan pedagogi isi kandungan KSSR Matematik

    terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik.

    1.3.3. Untuk mengenalpasti tahap kesediaan guru Matematik dari

    aspek pengetahuan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

    terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik.

    1.3.4 Untuk mengenalpasti tahap kesediaan guru Matematik dari

    aspek penguasaan kemahiran ICT terhadap pelaksanaan KSSR

    dalam pengajaran Matematik.

    1.3.5. Untuk mengenalpasti samada terdapat hubungan signifikan

    antara tahap kesediaan guru Matematik terhadap pelaksanaan

    KSSR dalam pengajaran Matematik mengikut jantina.

    1.3.6. Untuk mengenalpasti samada terdapat hubungan signifikan

    antara tahap kesediaan guru Matematik terhadap pelaksanaan

    KSSR dalam pengajaran Matematik mengikut tempoh

    pengalaman mengajar.

  • 8

    1.5. Persoalan Kajian

    Berdasarkan objektif-objektif kajian yang dikemukakan di

    atas, antara persoalan kajian ini ialah :

    1.5.1 Sejauh manakah tahap kesediaan guru Matematik dari aspek

    sikap dan minat guru terhadap pelaksanaan KSSR dalam

    pengajaran Matematik?

    1.5.2. Sejauh manakah tahap kesediaan guru Matematik dari aspek

    pengetahuan pedagogi isi kandungan guru terhadap

    pelaksanaan KSSR dalam pengajaran Matematik?

    1.5.3. Sejauh manakah tahap kesediaan guru Matematik dari aspek

    pengetahuan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) guru

    terhadap dalam pelaksanaan KSSR dalam pengajaran

    Matematik?

    1.5.4. Sejauh manakah tahap kesediaan guru Matematik dari aspek

    kemahiran ICT guru terhadap pelaksanaan KSSR dalam

    pengajaran Matematik?

    1.5.5. Adakah terdapat perbezaan yang signifikan dalam kesediaan

    guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam

    pengajaran Matematik mengikut jantina?

    1.5.6. Adakah terdapat hubungan yang signifikan dalam kesediaan

    guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam

    pengajaran Matematik mengikut tempoh pengalaman

    mengajar?

  • 9

    1.6. Hipotesis Kajian

    Hipotesis yang akan dikaji dalam kajian ini dibentuk

    berdasarkan permasalahan dan objektif kajian. Hipotesis-hipotesis

    yang dikemukakan adalah seperti berikut:

    1.6.1. Terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap kesediaan

    guru Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam

    pengajaran Matematik mengikut jantina.

    1.6.6. Terdapat hubungan signifikan antara tahap kesediaan guru

    Matematik terhadap pelaksanaan KSSR dalam pengajaran

    Matematik mengikut tempoh pengalaman mengajar.

    1.7. Kerangka Teori Kajian

    Kajian ini menggunakan kerangka teori reflektif Wallace

    (1991) yang berpendapat bahawa seseorang guru biasanya

    mempunyai pengetahuan dan pengalaman sedia ada yang berkaitan

    dengan bidang tugasnya. Apabila mengikuti latihan professional,

    seseorang guru itu akan mengaitkan pengetahuan yang diterimanya

    (received knowledge) dengan pengetahuan melalui pengalaman

    (experiental knowledge) yang merupakan dua sumber yang penting

    dalam latihan professional. Kedua-dua sumber pengetahuan tersebut

    mengikut Wallace saling bergantung antara satu sama lain bagi

    membolehkan guru lebih bersedia untuk melaksanakan tugas

    profesionalnya.

  • 10

    Rajah 1.1 : Kerangka Teori Model Reflektif Wallace (1991)

    Oleh itu, bagi kajian ini penyelidik telah menggunakan

    kerangka teori Wallace (1991). Penyelidik telah mengubahsuai

    kerangka teori ini mengikut kesesuaian kajian ini.

    1.8. Kerangka Konsep Kajian

    Berdasarkan kajian-kajian lepas, Killen (2003) dan Griffiths

    dan King (1985) mengutarakan bahawa dalam pengajaran, guru perlu

    memastikan murid menguasai ilmu, mengembangkan kemahiran sikap

    dan nilai. Kesemua ini adalah kecekapan yang berkait rapat dengan

    tingkah laku prestasi kerja. Di samping itu, berdasarkan sorotan kajian

    lepas, (Bychowski, Van & Ralp, 1984; Griffiths & King, 1985;

    Hamzah Ihsan, 1990; Woodrow, 1991; Indra Devi Shanmuganathan,

    1997; Badrul Hisham Alang Osman, 1998; Siti Hawa Abd. Majid,

    1998; Idris Md. Noor, Mohamad Daud Hamzah & Ishak Ramly, 2000;

    Siti Suria Salim, 2001; Mohd. Rasdi Saamah, 2003; Wong, Kamariah

    Abu Bakar, Ramlah Hamzah & Rohani Ahmad Tarmizi, 2002; Lucy

    Sylvia @ Siti Aisyah De Rozario, 2004; Nor Ruzaini Jailani,

    Saharudin Suhadi, Tan & Nazifah Shaik Ismail,2004), pembolehubah

    kesediaaan guru adalah berdasarkan sikap, kemahiran dan ilmu

    pengetahuan. Selain itu, penyelidik turut menggunakan kerangka

    Pengetahuan

    Berdasarkan

    Pengalaman Sedia

    Ada

    Pengetahuan

    Diterima Melalui

    Latihan

    Kesediaan Guru

  • 11

    Teori Reflektif Walllace (1991) sebagai sumber kerangka konsep

    kajian dan diubahsuai mengikut kesesuaian kajian ini. Berdasarkan

    literatur yang dinyatakan, kerangka konsep kajian dikemukakan bagi

    kajian ini seperti berikut:

    Rajah 1 .2 : Kerangka Teori Kesediaan Guru

    Daripada Rajah 1.2, penyelidik telah telah mencadangkan

    model persepsi guru terhadap kesediaan mereka mengikut empat

    aspek iaitu sikap dan minat guru, kemahiran ICT guru, pengetahuan

    pedagogi isi kandungan guru dan pengetahuan pentaksiran

    berasaskan sekolah. Penyelidik merasakan bahawa untuk

    mengimplementasi perubahan kurikulum, sikap guru perlu dirangsang

    mengikut arah tuju yang betul. Selain itu, dalam transformasi

    pendidikan yang dilaksanakan kini banyak menggabungkan

    penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Maka,

    kemahiran ICT guru diambil kira sebagai salah satu peramal untuk

    kesediaan guru. Di samping itu, pengetahuan tentang sistem penilaian

    KSSR iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah juga merupakan faktor

    yang penting. Guru yang terlibat dalam pelaksanaan KSSR perlulah

    mempunyai kefahaman tentang sistem pentaksiran tersebut. Jadi,

    kefahaman guru terhadap sistem penilaian ini juga merupakan

    penentu terhadap kesediaan guru. Pengetahuan yang tinggi tentang

    pedagogi isi kandungan merupakan satu elemen yang penting bagi

    KESEDIAAN

    GURU

    Sikap dan minat Guru

    Kemahiran ICT Guru

    Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan Guru

    Pengetahuan PBS

  • 12

    seorang guru agar proses pengajaran berjalan lancar dan

    efisien.Tambahan lagi, pengetahuan pedagogi isi kandungan guru

    dianggap sebagai salah satu peramal utama dalam mengukur

    kesediaan guru untuk mengimplementasi KSSR Matematik.

    1.9. Kepentingan Kajian

    Transformasi kurikulum adalah suatu tindakan yang diambil

    demi memastikan pendidikan yang relevan dalam menghadapi

    pelbagai perubahan dan cabaran dunia pada masa kini. Oleh itu

    menerusi kajian yang dijalankan ini, diharapkan dapat dimanfaatkan

    oleh penggubal dan pelaksana polisi serta pemimpin pada semua

    peringkat untuk memastikan keberkesananan pelaksanaan KSSR. Ini

    kerana berdasarkan kajian ini, dapat membantu golongan pendidik

    melaksanakan KSSR dengan lebih berkesan dan bertepatan dengan

    kehendak dan perubahan arus globalisasi dalam bidang pendidikan

    pada masa depan. Kaedah pengajaran yang sesuai dapat dipraktikkan

    dengan adanya tahap kesediaan yang cukup dalam diri setiap guru

    akan dapat membantu para pelajar untuk belajar dengan lebih

    berkesan. Seterusnya, menjurus kepada peningkatan dalam

    pencapaian akademik terutama matematik.

    Selain itu, kajian ini juga dapat membantu para guru agar lebih

    prihatin dan sensitif berhubung dengan persediaan untuk proses

    pengajaran yang efektif. Maklumat yang dikumpulkan akan

    membantu pemahaman lebih mendalam berhubung, tahap sikap,

    minat, kemahiran ICT dan pengetahuan pedagogi guru yang terlibat.

    Para guru Matematik yang terlibat dalam pelaksanaan KSSR

    perlu menjalankan tugas mereka mengikut standard kurikulum yang

    telah ditetapkan. Mereka perlu membuat refleksi terhadap kesediaan

  • 13

    mereka sendiri agar mereka betul-betul memahami perubahan

    pendidikan yang mereka laksanakan serta membuat anjakan

    paradigma yang sepatutnya. Adalah diharapkan kajian ini akan

    memberikan maklumat yang berguna kepada guru yang bertindak

    sebagai pemacu transformasi kurikulum ini. Segala bentuk tindakan

    yang akan diambil di dalam menangani transformasi ini adalah

    penting untuk kebaikan bersama kearah meningkatkan kualiti dan

    martabatkan profesion pendidikan di negara kita.

    1.10. Batasan Kajian

    Kajian yang dijalankan ini memfokuskan kepada guru-guru

    matapelajaran Matematik. Jadi responden yang dipilih adalah terhad

    kepada guru-guru Matematik yang terlibat dalam pelaksanaan KSSR

    sahaja. Selain itu, kajian ini juga hanya menumpukan tahap kesediaan

    dari aspek minat dan sikap, kemahiran ICT, pengetahuan pedagogi isi

    kandungan dan pengetahuan PBS terhadap KSSR Matematik.

    Tambahan lagi, dapatan kajian ini juga bergantung kepada kejujuran

    maklum balas responden terhadap semua soalan dan pernyataan yang

    dikemukakan dalam borang soal selidik.

    1.11. Definisi Operasional

    1.11.1. Kesediaan Guru

    Guru memainkan peranan utama dalam menentukan kualiti

    implementasi mana-mana polisi pendidikan yang baharu (Fullan,

    1993). Sering kali perubahan dalam pendidikan telah gagal

    disebabkan kurangnya perhatian diberikan kepada aspek pelaksanaan,

    khususnya keperluan para pelaksana (Wearmouth, Edwards &

  • 14

    Richmond, 2000). Oleh yang demikian, usaha untuk menyelidiki

    kesediaan para guru dalam implementasi mana-mana program

    pendidikan yang baharu perlu dilakukan kerana ia boleh menentukan

    kejayaan sesuatu program baharu itu.

    1.11.2. Sikap Guru

    Sikap guru memainkan peranan yang penting dalam proses

    pendidikan (Muller, Husband, Christou & Sun, 1991). Jadi untuk

    melaksanakan sesuatu kurikulum, guru hendaklah terlebih dahulu

    memahami dan menghayati falsafah dan matlamat kurikulum. Oleh

    yang demikian, guru yang bertanggungjawab haruslah mempunyai

    minat dan untuk melaksanakan kurikulum yang berkesan.

    1.11.3 Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan

    Mengikut sejarah, perkataan pedagogi berasal dari

    perkataanYunani pedagogue yang bermaksud seorang tutor atau

    pendidik yang mempunyai bakat dan kebolehan melaksanakan tugas-

    tugas pengajaran secara berkesan. Oleh kerana ilmu pedagogi sentiasa

    berkembang dari semasa ke semasa, maka konsep pedagogi juga

    berubah mengikut perkembangannya. Pengetahuan pedagogi

    kandungan ialah satu model perspektif yang luas untuk memahami

    proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Shulman (1987),

    elemen yang penting dalam pengetahuan pedagogi kandungan ialah

    pengetahuan tentang cara bagaimana isi pelajaran boleh disampaikan

    kepada pelajar dengan berkesan dan memahami masalah

    pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar, khususnya dalam isi

    pelajaran tersebut. Oleh yang demikian, dalam kajian ini, penyelidik

    memberi tumpuan kepada Pengetahuan Pedagogi Isi Kandungan yang

  • 15

    menjadi asas tujuan sesuatu mata pelajaran yang diajar di sekolah dan

    kandungannya adalah yang terdapat dalam sukatan pelajaran yang

    digubal oleh Pusat Perkembangan Kurikulum.

    1.11.4. Pengetahuan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

    Pentaksiran adalah sebahagian daripada proses pembelajaran

    yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod,

    membuat skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran

    seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan

    Malaysia, 2011). Justeru itu, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan

    Sekolah (PBS) merupakan salah satu transformasi pendidikan negara

    yang tidak lagi berorientasikan peperiksaan sepenuhnya bagi

    melahirkan modal insan yang holistik. Walau bagaimanapun,

    pelaksanaan PBS bukanlah satu tugas yang mudah. Justeru itu,

    tindakan segera haruslah diambil untuk memberi panduan kepada

    guru-guru dalam menjayakan pelaksanaan PBS. Tambahan lagi, untuk

    menjayakan matlamat Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan

    (SPPK) yang melibatkan pengurangan kepada peperiksaan awam,

    pentaksiran yang berterusan, membaiki pembelajaran murid,

    pentaksiran yang lebih holistik dan membina modal insan yang

    seimbang.

    1.11.5 Kemahiran ICT

    Dalam era digital ini, komputer digunakan untuk

    menyelesaikan masalah. Salah satu penggunaan Information

    Communication Technology (ICT) dalam pengajaran dan

    pembelajaran (P&P) ialah melalui penggunaan komputer. Di negara

    kita, pengetahuan dan penggunaan komputer di sekolah semakin

    berkembang. Tambahan lagi, pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan

  • 16

    Sekolah (PBS) dalam KSSR memerlukan kemahiran ICT yang baik.

    Sehubungan itu, adalah amat penting sekali para guru dapat

    mengintegrasi ICT dan melaksanakan PBS dengan lebih lancar.

    1.12. Penutup

    Perubahan kurikulum atau lebih dikenali sebagai satu

    tranformasi kurikulum adalah suatu perkara yang memang dijangka

    akan berlaku. Sejajar dengan perubahan arus permodenan negara yang

    menuju kearah sebuah negara maju serta mempunyai rakyat yang

    berpendapatan tinggi, sudah pasti sokongan yang amat kuat

    diperlukan dalam sistem pendidikan. Ini kerana bagi melahirkan

    modal insan yang benar-benar berilmu pengetahuan dan

    berketrampilan memacu kemajuan negara, mereka haruslah melalui

    satu sistem pendidikan yang benar-benar mantap dari semua aspek

    kehidupan. Namun begitu, dalam merangka perubahan kurikulum,

    pelbagai aspek harus dilihat dan dipertimbangkan sebelum sesuatu

    keputusan itu dibuat dan dapat dilaksanakan dengan baik. Peranan

    semua pihak amat penting terutama mereka yang secara terus

    berhadapan dengan kurikulum serta sentiasa bersedia menerima

    sesuatu perubahan.